Isnin, 17 November 2008

Kalau Abdullah Munsyi Masih Hidup

Tags

Catatan deasoka...kalau Abdullah Munsyi masih hidup

Saya tidak pernah bertemu Abdullah Munsyi. Mungkin tuan juga belum pernah.Kita dengar hanya namanya, kita baca hanya ceritanya.Tapi kalau beliau hidup sekarang, mungkin beliau akan menulis satu lagi hikayat tentang nasib bahasa Melayu.

Eh,bukan bahasa Melayu tuan,sebut namanya bahasa Malaysia.Kalau tidak pemimpin kita nanti marah. Kita selalu ribut tentang nama, kita takut rakyat tidak bersatu kerana nama bahasa kita bahasa Melayu.

Lalu kita memilih nama bahasa kita bahasa Malaysia. Baiklah, apapun namanya tentu kita tidak dapat berbangga sekiranya bahasa kita semakin hari semakin kacau, dan tercemar, dan kita bercakap dan bicara dalam bahasa yang campur aduk. Bila bercakap BM, kita sering menyelitkannya dengan bahasa Inggeris. Kita bercakap sepotong sepotong, akibatnya BM kita tak sempurna, bahasa Inggeris kita lintang pukang.

"Maka apabila dibaca orang Melayu hilanglah akalnya," kata Abdullah Munsyi kira-kira 158 tahun yang lalu.Dalam Hikayat Abdullah yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1849 (jilid keduanya diterbitkan Pustaka Antara KL 1963) sang Munsyi telah merakamkan kegelisahan akan pencemaran dan pencabulan bahasa Melayu.

"Kalau ada satu bangsa yang besar itu, maka bahasanya pun besarlah," tulis Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi lagi.

Bahasa memang teras kebudayaan yang penting.Tidak dapat dimungkiri lagi.Tetapi dulu sianu berkata, lebih baiklah sains dan matematik diajarkan di sekolah bukan dalam bahasa Melayu.
Adakah berguna kepandaiannya yang demikian itu? Tanya Abdullah lagi.

Dalam hikayatnya, Abdullah menulis,"Syahadan tidak dapat tiada kalau ada satu bangsa yang besar itu maka bahasanya pun besarlah, kerana sekelian perkara yang ada dalam dunia dan akhirat itu semuanya terbit daripadanya-menjalankan pekerjaan dan memberi nama tiap-tiap suatu itu dengan bahasa dan mencari kehidupan itu pun dengan bahasa dan mendatangkan beberapa kekayaan dan kemuliaan kebesaran bagi manusia itu pun dari bahasa datangnya"

"Maka bahasa itulah yang amat besar gunanya bagi manusia itu dunia akhirat adanya, maka patutkah ia itu tiada engkau endahkan," katanya pada halaman 441.

ii. Saya tidak tahu mengapa Jean menamakan kapalnya Pirates of Borneo.Mungkin bagi orang putih itu, nama itu begitu eksotik.Ketika dipelawa untuk menaiki kapal itu, saya tidak menolak. Tapi kalau Jean tahu bahawa sebenarnya saya merupakan salah seorang waris `pirates of Borneo’ yang mereka takuti itu tentu dia tidak akan membawa saya. Istilah `pirates’ itu mereka yang menciptanya kerana sering diserang apabila mereka menceroboh nusantara atas alasan berdagang, dan mengutip segala khazanah dan sebagainya dan bermacam lagi alasan.

Kalau dia hidup seratus tahun yang lalu, sudah tentu dia tidak akan dapat membawa kami melayari Taman Tunku Abdul Rahman yang cantik itu. Berangkat dari Jesselton Point, kapal bergerak dengan kelajuan 7 knot mengitari Pulau Manukan, Pulau Mamutik sebelum para pelancong itu berhenti untuk mandi di Pulau Sulug. Sejam kemudian, kapal bergerak lagi mengelilingi Pulau Gaya, betapa indahnya. Sisi lain pulau Gaya yang dipenuhi pemandangan yang cantik, pantai yang bersih dan tak berpenghuni.Kapal berhenti untuk memberikan ruang kepada penumpang snorkeling di Police Beach. Lebih separuh penumpang kapal itu terdiri daripada pelancong asing.Tempat ini mendamaikan.

iii.Saya tidak ikut mandi.Saya hanya melihat orang-orang itu mandi berenang dengan gembira.Saya memilih untuk mengambil pinggan lalu makan juadah yang disediakan.Ada udang, ada sayap ayam, ada ikan kerapu, ada daging kambing dan sebagainya. Sebenarnya romantic juga berada di atas kapal itu, melihat pemandangan pulau-pulau di sekitarnya. Lepas makan, saya mengeluarkan laptop untuk menaip.Kehabisan idea, saya membaca buku Dark Star Safari oleh Paul Theroux, iaitu kisah pengembaraannya dari Kaherah ke Cape Town. Ceritanya menarik tetapi saya tidak dapat meneruskannya apabila melihat seorang nelayan kecil sedang berdayung ke tengah lautan.

Nelayan kecil itu terus mendayung ke tengah lautan. Entah apa yang bermain dalam fikirannya apabila melihat kami dalam kapal Pirates of Borneo itu.

26 Jun 2007