Sabtu, 28 Februari 2009

Gambar oleh C V Chong

Tags






Saya selalu kagum dengan kebolehan jurugambar CV Chong merakam gambar.Hidup.Gambar ini dirakamkan ketika pertandingan Lumba Kerbau di Kota Belud sempena Tamu Besar yang diadakan setiap tahun.




Gambar kedua memperlihatkan indahnya pemandangan Gunung Kinabalu manakala yang ketika gambar Masjid Bandaraya di waktu pagi.

Jumaat, 27 Februari 2009

Belajar menghafaz Quran

Tags
Mulanya, sebahagian daripada mereka adalah anak-anak jalanan. Kemudian USIA membenahi kehidupan mereka dengan mewujudkan Madrasah Tahfiz di Masjid Bandar Kota Kinabalu.Kini anak-anak sekecil ini boleh menghafaz satu juzuk dua juzuk ayat-ayat sucil Al-Quran.















gambar oleh Ghazali Basri



Bunga Rafflesia, bunga terbesar di dunia

Tags
Bunga Rafflesia, bunga terbesar di dunia. Walaupun mengambil masa 9 hingga 15 bulan untuk mekar, jangka hayat bunga rafflesia hanya tujuh hari sebelum mati. Kami diberi penerangan oleh Jannet Hilarius, ketika singgah sebentar di Pusat Penerangan Rafflesia yang terletak di Tambunan dalam perjalanan kami ke Tambunan,Keningau dan Nabawan tidak berapa lama dulu.
Bunga ini hanya tumbuh di Borneo dan Sumatera, ditemui Stamford Raffles beberapa kurun yang lalu.Bunga ini menjadi daya tarikan utama kepada pelancong-pelancong untuk melihat dari dekat keunikan bunga Rafflesia.



Sejenak di Pusat Penerangan Rafflesia

Tags










SEJENAK BERKUNJUNG KE PUSAT RAFFLESIA

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

Setiap kali rafflesia berkembang, setiap kali itulah Jannet Hilarius disergap oleh kesibukan dengan kehadiran ratusan tamu. Wanita ini tidak lekang dengan senyuman.Sebagai Ketua Unit Rekreasi dan Pembangunan Pusat Penerangan Rafflesia, Tambunan, Jannet sudah terbiasa dengan kehidupan bunga rafflesia, bunga terbesar di dunia itu.
"Bunga rafflesia hanya mekar dan berkembang selama tujuh hari, selepas itu mati," kata Jannet,25 ketika kami singgah mengunjungi tempatnya kerana didesak rasa ingin tahun mengenai bunga rafflesia, yang ditemui Sir Thomas Stamford Raffles bebeberapa kurun yang lalu. Dari penemuan Raffles itu, bunga rafflesia yang jarang ditemui itu mendapat namanya.
Bunga rafflesia hanya ditemui di Pulau Borneo dan Sumatera. Di Sabah terdapat beberapa lokasi dimana bunga rafflesia ditemui tumbuh dan salah satu tempatnya ialah di Tambunan yang dapat dikunjungi dengan mudah oleh pengunjung dan pelancong.
Jannet memberitahu, bunga liar itu mengambil masa antara sembilan hingga 15 bulan sebelum mekar dan boleh mencapai diameter sehingga kira-kira 80 sentimeter.
"Cuma selepas ia mekar, jangka hayatnya sangat singkat dan hanya boleh bertahan selama seminggu," jelasnya lagi.
Bagaimana bunga ini mengalami proses pendebungaan dan bagaimana benihnya disebarkan, mungkin mendatangkan rasa ingin tahu di kalangan peneliti yang sanggup meredah hutan semata-mata untuk menatap dari dekat bunga rafflesia ini.
Sebab itulah, Kerajaan Negeri Sabah menubuhkan Pusat Penerangan Rafflesia bagi memberi maklumat dan penerangan mengenai bunga rafflesia, yang merupakan bunga yang dilindungi dan dipulihara dan menjadi daya tarikan tersendiri bagi para pelancong di luar negara.
Pusat Penerangan Rafflesia itu dirasmikan pada tahun 1991 oleh Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Ketua Menteri Sabah ketika itu.
Setiap bulan, pusat ini menerima purata pengunjung antara 200 hingga 300 orang. "Kadang-kadang ramai pengunjung, kadangkala sepi tak ramai orang," katanya. Pusat itu menerima pengunjung yang ramai apabila mereka diberitahu bahawa ada bunga rafflesia yang tengah berkembang di pusat itu.
Pusat di bawah seliaan Jabatan Perhutanan itu dibuka bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang pada Isnin hingga Jumaat dan dari pukul 8.00 pagi hingga jam 2.00 petang pada hari Sabtu.
Yuran yang dikenakan untuk memasuki pusat yang mempunyai pelbagai maklumat mengenai bunga Rafflesia itu ialah sebanyak RM5.00 bagi orang dewasa dan RM2.00 bagi kanak-kanak.
"Jika anda ingin masuk ke dalam hutan, bayaran dikenakan sebanyak RM50 dengan maksimum enam orang bagi warganegara manakala RM100 dikenakan bagi warga asing.
Terdapat tiga jenis rafflesia di negeri ini iaitu jenis Rafflesia Pricei, Rafflesia Keittheii dan Rafflesia Tengku-Adlini.
"Rafflesia Keittheii adalah bunga yang terbesar antara ketiga-tiga spesies dengan mempunyai diameter lebih kurang 80 sentimeter diikuti raflesia Pricei dengan ukuran kira-kira 30 sentimeter.
"Rafflesia tengku-adlini pula adalah spesies baru ditemui dengan ukuran 20 sentimeter diameter sahaja," katanya.
Pelawat yang berkunjung ke pusat itu berpeluang untuk melihat sendiri bunga berkenaan di beberapa tapak yang dikenalpasti.
"Lot-lot bunga berkembang yang paling dekat ialah kira-kira 800 meter dan yang paling jauh kira-kira dua kilometer," katanya. "Kebiasaannya setiap lot mempunyai lima tunas dan di kawasan ini kita ada lebih 60 lot dengan kira-kira 300 tunas semuanya,"jelas Jannet lagi.
"Kami juga akan melakukan pemeriksaan ke lot-lot Raflesia dua kali sebulan bagi memastikan sama ada terdapat bunga yang sedang berkembang.
"Sekiranya terdapat bunga yang sedang mekar pihaknya akan memaklumkan kepada Lembaga Pelancongan Sabah (STB) untuk kemudahan para pelancong," katanya.
Sebelum masuk ke dalam hutan, para pengunjung akan diberi penerangan terlebih dahulu bagi mengelakkan mereka tidak terpijak tunas-tunas baru.Taklimat berkenaan juga bagi memastikan mereka mengutamakan keselamatan dan sentiasa menjaga alam sekitar.
Setiap hari ramai pengunjung datang kemari, kata Roslina Paulus,25, salah seorang pekerja di pusat berkenaan. Kebanyakan pengunjung terdiri daripada pelancong tempataan, pelancong asing, pelajar IPT, sekolah dan pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN).
"Jumlah pengunjung bertambah ramai sekiranya ada rafflesia sedang berkembang," katanya.
Bagi Juse Belulan, 53, seorang pengunjung yang sempat ditemui, kewujudan pusat itu dapat memudahkan pelancong asing dan tempatan untuk mendapatkan maklumat mengenai bunga Rafflesia itu.
Selain itu, kewujudan pusat itu secara tidak langsung dapat meningkatkan jumlah pelancong, bukan saja ke daerah ini malah ke pedalaman.
Beliau juga berharap lebih banyak pusat seperti ini dapat diwujudkan untuk memberikan penerangan mengenai keistimewaan dan keunikan flora dan fauna yang terdapat di negeri ini.
Bunga rafflesia memang bunga yang unik.Kerana keunikannya itu, ia menjadi istimewa. Keistemewaan yang terdapat pada bunga Rafflesia juga turut memberi keistimewaan kepada negeri Sabah yang menjadikan negeri ini salah satu negeri yang menjadi destinasi pelancongan yang istimewa.










Seketika bersama petani di Kg Baginda

Tags
Kami berhenti di tepi jalan dalam perjalanan dari Kampung Baginda, Keningau. Saya begitu tertarik dengan pemandangan ini.Petani-petani membanting tulang untuk menuai padi mereka yang telah masak.Saudara Ghazali Basri, juru gambar Utusan Malaysia yang baik hati itu mengambil gambar-gambar ini.Saya dan Rashid, asyik bertanya mengenai ehwal kehidupan mereka sebagai petani. Mungkin inilah juga pertama kali saya melihat Rashid menemuramah petani ketika mereka mengerjakan tanaman mereka.
Tradisi ini, makin lama makin hilang ditelan zaman.Di Kota Belud, kebanyakan sudah menggunakan jentera penuai padi, yang turut menghilangkan semangat bergotong royong atau seliu-liu, panaliu, atau tolong menolong di kalangan penduduk kampung.Saya kagum dengan kegigihan mereka.
Padi, sentiasa dekat dengan kehidupan kita.Tanpa penanam padi, yang telah bertani sekian lama itu, bagaimana rasanya kita membesar tanpa memakan nasi, sebagai makanan roji kita.

Tahniah kepada para petani ini, yang memberikan hidup mereka agar orang lain bisa makan.


















Khamis, 26 Februari 2009

26 Februari

Tags
26 Februari, kata orang life begin at forty.

Selasa, 24 Februari 2009

Sketsa Mantanani 14-Panduga

Tags
Laut tenang ketika kami berangkat pulang dari Pulau Mantanani. Tak ada ombak tetapi enjin bot dua kali mati dalam perjalanan.Mujurlah Lapus, pemilik bot itu menggunakan dua enjin untuk menggerakkan botnya meredah Laut China Selatan.
Nun jauh terlihat puncak Gunung Kinabalu.Barangkali inilah pertama kali saya melihatnya dari tempat ini, sebelum ini tidak pernah. Saya kagum dengan semangat dan kegigihan pakcik-pakcik saya yang dahulunya mereka ini nelayan. Ketika itu tak ada enjin, mereka hanya berdayung.Dan apabila malam menjelang mereka hanya menggunakan `panduga' untuk menentukan tempat dimana mereka berada.Panduga adalah semacam tanda dalam ilmu pelayaran Iranun. Itulah sebabnya barangkali, saudara-saudara dari Lupa a Iranun dengan mudahnya sampai ke Tempasuk.Mereka pintar membaca tanda dan isyarat alam, pintar membaca bintang gemintang untuk menentukan arah pelayaran.
Tapi sekarang, kita berlayar arah ke mana?

Sketsa Mantanani 13-sebelum pulang ke tanah besar

Tags
Saya di kiri sekali. Cikgu Sabli, Abdullah Abdul Hamid, dan lapus dan seorang lagi.Gambar ini diambil sebelum berangkat pulang ke tanah besar. saya terharu dengan penghargaan dan keramahan penduduk pulau. Mereka sempat memberikan saya dua kotak ikan masin, yang mungkin tidak habis dimakan sebulan.Terima kasih atas budi baik kalian dan saya akan menulis lebih banyak kisah tentang pulau bagi memenuhi permintaan supaya lebih banyak cerita mengenai pulau didedahkan supaya mendapat perhatian pihak yang berkenaan.


Sketsa Mantanani 12-Pokok Misteri

Tags
Pokok kayu ini-tak tahu pula namanya- tumbuh di perkarangan sekolah SK Pulau Mantanani. Menurut ceritanya, cerita Cikgu Samri Garam, satu ketika dahulu ketika ditebang, terdapat huruf `Allah' di bahagian pangkal pokok ini.Bentuknya juga luar biasa. Saya tertarik merakamkan gambar pokok ini kerana melihatnya sebagai sebuah karya seni, yang amat indah, terpulang kepada anda untuk mentafsirnya. Tetapi pokok ini menjadi satu hiasan-atau daya tarikan jika anda berkunjung ke SK Pulau Mantanani, yang terletak kira-kira satu jam 40 minit perjalanan menggunakan bot dari Minanga a Marampayan.






Sketsa Mantanani 11-protes penduduk pulau

Tags






WARGA PULAU MANTANANI BUAT PROTES

KOTA BELUD: Penduduk Pulau Mantanani yang kecewa dengan keputusan Jabatan Pelajaran Sabah menolak permintaan mereka agar Guru Besar, Cikgu Sabli Haji Nanti tidak ditukarkan ke tempat lain kelmarin berhimpun secara aman bagi menyatakan bantahan terhadap keputusan itu.

"Kami sudah berusaha buat rayuan...Sebagai ibubapa kenapa permintaan kami tidak diberi pertimbangan? Kami khuatir kalau Guru Besar ditukarkan,kualiti pembelajaran di sekolah SK Pulau Mantanani akan merosot semula," kata Pengerusi PIBG SK Pulau Mantanani, Alilulah Haji Sabti yang bercakap bagi pihak ibubapa yang berkumpul di perkarangan sekolah itu.

Katanya, jika kehendak penduduk kampung tidak diberi perhatian maka mereka berhasrat untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah sebagai tanda protes sehingga Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atau Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh turun padang ke Pulau Mantanani bagi menyelesaikan masalah itu.

"Mungkin pendapat kami tidak akan didengar kerana kami orang pulau, tetapi perjuangan mengekalkan Guru Besar penting bagi kami kerana beliau telah berjaya meningkatkan mutu pembelajaran dan pencapaian murid khususnya dalam UPSR," katanya,

Sebelum ini, kata Rumi bin Aziz, 31, Pulau Mantanani pernah menjadi perhatian di seluruh negara kerana mencapai kosong peratus dalam UPSR tetapi komitmen guru di bawah pimpinan guru besar telah berjaya memecahkan angka sifar itu.

Menurutnya, Cikgu Sabli amat rapat dengan penduduk kampung sama ada ibu bapa, golongan belia malah pelajar menyebabkan beliau disayangi dan dihormati kerana telah banyak membawa perubahan di pulau itu.

"Sekali lagi kami merayu pihak kerajaan supaya mempertimbangkan permintaan penduduk kampung supaya Cikgu Sabli dikekalkan bertugas di pulau itu," katanya sambil menambah, banyak usaha dilakukan oleh guru besar untuk kemajuan pelajar malah masyarakat di pulau yang terletak kira-kira 69 km dari tanah besar.

Beliau bukan saja prihatin terhadap nasib pelajar bahkan beliau begitu mengambil perhatian terhadap nasib penduduk kampung yang perlukan pembelaan.

Mohd.Azan Ujali,29 berkata pihak Kementerian Pelajaran digesa supaya membuat tinjauan ke Pulau Mantanani untuk mengetahui kedudukan sebenar isu tersebut.

"Kami tahu bahawa cikgu Sabli dinaikkan pangkat dan dikatakan tidak layak lagi bertugas di sekolah ini kerana dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM). Tetapi undang-undang adalah peraturan yang dibuat oleh manusia dan permintaan penduduk kampung wajar diberikan perhatian tanpa prejudis," katanya.

"Walaupun SK Pulau Mantanani dikategorikan Sekolah Kurang Murid (SKM) namun masyarakat Pulau Mantanani masih memerlukan kepimpinan beliau sebagai guru besar,"katanya,

Seorang lagi penduduk kampung Hashim bin Dahlin, 39 berkata, jika terdesak penduduk kampung sanggup membuat pungutan seringgit atau dua ringgit seorang asalkan perkara itu didedahkan kepada orang luar mengenai keperluan bagi penduduk pulau menikmati pendidikan yang berkualiti.

"Kalau sebelum ini, setiap jam 11.00 kanak-kanak pulang ke rumah kerana tidak ada guru yang mengajar, kalau sebelum ini setiap Rabu atau Khamis guru-guru pulang ke tanah besar, kini perkara itu tidak berlaku lagi kerana masing-masing telah sedar akan kepentingan pendidikan.

Selain itu, Abdullah Abdul Hamid, 39 memberitahu warga Pulau Mantanani memerlukan kepimpinan guru besar yang mampu menyelami dan mendekati masyarakat, mengambil tahu masalah mereka demi kepentingan pembelajaran di sekolah

"Ibubapa mulai mendekati sekolah sementara guru besar sendiri dan guru-gurunya bergaul mesra dan mendekati dari dekat permasalahan warga kampung, semuanya kerana usaha dan kepimpinan cikgu Sabli.

"Kami hairan mengapa selepas mencatat pencapaian yang menunjukkan peningkatan, guru besar ditukarkan dan menyebabkan penduduk bimbang akan masa depan pelajar-pelajar di sekolah itu," katanya.

Sementara itu, antara sepanduk yang direntangkan ialah "Kami Ahli-Ahli PIBG/Warga Pulau Mantanani mendesak Menteri Pelajaran Malaysia untuk Mengekalkan En Sabli Haji Nanti sebagai Guru Besar atas dua sebab: Perubahan/Kemajuan Sekolah; Hubungan Baik dengan Masyarakat.Kami akan terus...terus...terus berjuang dengan apacarapun untuk mempertahankan beliau".

Manakala belia dan beliawanis mendesak Sabli nanti dikekalkan sebagai Guru Besar SK Pulau Mantanani sementara warga SK Pulau itu merayu "supaya guru besar En Sabli Hj Nanti yang kami hormati...kasihi...sayangi...kekal sebagai guru besar kami".

Warga kampung meminta supaya khidmat Guru Besar dikekalkan di sekolah itu demi kemajuan dan pembelajaran murid.

Sketsa Mantanani 10-Bantuan Kerusi Roda

Tags

Ketua Cawangan UMNO Desa Nelayan Pulau Mantanani, Enggu Paung mewakili Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Haji Abd.Rahman Datuk Dahlan bagi menyampaikan bantuan berupa tiga kerusi roda kepada tiga OKU di pulau itu.Majlis itu diadakan di pekarangan sekolah SK Mantanani pada 23 Februari.

Sketsa Mantanani 9-Habli Tohmajun

Tags

HABLI TIDAK DAPAT PERBAHARUI KAD PENGENALAN

KOTA BELUD: Perjuangan bagi Habli Tohmajun,54, seorang penduduk Pulau Mantanani adalah bagaimana beliau berjuang untuk mendapatkan sekeping kad pengenalan untuk dirinya.
"Saya mana ada duit untuk ke darat.Tambahan pula saya diminta untuk membayar denda sebanyak RM400 untuk mendapatkan kad pengenalan baru.Saya mana ada duit sebanyak itu," kata Habli, yang juga tergolong Orang Kurang Upaya (OKU).
Habli yang tinggal sebatang kara memberitahu, sebelum ini beliau telah berusaha untuk menukarkan kad pengenalan kepada kad pengenalan bunga raya.
"Saya telah dua kali mahu tukar kad pengenalan kepada bunga raya tetapi sampai sekarang tidak keluar ", katanya kepada Utusan Borneo.
Selepas itu, bila ada arahan untuk menukarkan kad pengenalan kepada Mykad, beliau telah pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Belud tetapi diberitahu, beliau hanya boleh menukarkan kad pengenalannya selepas membayar denda sebanyak RM400.
Menurutnya, beliau tidak dapat memperbaharui kad pengenalan kerana beliau tidak mempunyai wang untuk membayar denda.
"Saya tiada kerja.Lagipun saya tidak dapat bekerja kerana tangan saya puntung" kata Habli yang cacat jari tangannya.
Beliau yang belum berumah tangga terpaksa mengharap belas kasihan keluarga kerana beliau tidak mendapat sebarang bantuan OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Habli berkata beliau tidak mendapat bantuan kebajikan kerana tidak mempunyai kad pengenalan padahal beliau merupakan penduduk asal di pulau itu.
"Saya tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan kebajikan padahal kehidupan saya sengsara," katanya.
Menurutnya, beliau tidak dapat memperbaharui kad pengenalan kerana beliau tidak mempunyai wang untuk membayar denda.
Sementara itu, seorang penduduk kampung, Rumi Aziz,31, meminta supaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turun padang ke Pulau Mantanani bagi memberikan peluang kepada penduduk asal pulau itu yang tidak memiliki kad pengenalan untuk menukarkan kad pengenalan mereka.
"Selain Habli, terdapat ramai lagi penduduk pulau yang belum memiliki kad pengenalan Mykad", katanya sambil menambah, mereka perlu dibantu kerana tidak mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian.

ANTARA DOKUMEN...Habli menunjukkan dokumen surat permohonan kad pengenalan yang masih disimpannya

Mykad
BELUM DAPAT DITUKAR...Habli menunjukkan kad pengenalan lamanya yang belum dapat ditukarkan kepada Mykad



Sketsa Mantanani 8-Enggu pembuat perahu

Tags
Enggu Paung, seorang pembuat bot yang mahir. Beliau membuat bot di Pulau Mantanani. Bot ini biasanya dipanggil kapal nelayan bagi warga pulau, inilah kapal nelayan. Biasanya boleh memuatkan 20 hingga 50 orang sekali pelayaran. Enggu antara personaliti Mantanani yang terkenal kerana beliau juga merupakan Ketua Cawangan UMNO Kampung desa Nelayan Mantanani, iaitu salah satu cawangan UMNO yang terdapat di pulau itu. Pulau Mantanani mempunyai kira-kira 1,000 penduduk, 400 daripadanya masuk dalam senarai pengundi manakala yang lain-lain kanak-kanak dan masih belum layak mengundi lagi. Saya berjanji untuk menemuramah Enggu tetapi tidak kesampaian kerana saya terpaksa pulang ke daratan kerana memenuhi janji dengan seseorang yang tidak muncul-muncul sehingga sekarang.

Sketsa Mantanani 7-Ingin menjadi doktor

Tags

Saya kagum dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh Cikgu Sabli kepada dua anak muridnya ini. Kedua-duanya bercita-cita menjadi doktor. Sepanjang perjalanan mengelilingi pulau, mereka kelihatan amat erat dengan cikgu besar ini.

Sketsa Mantanani 6- Sisi lain pulau Mantanani

Tags

Sisi lain pulau mantanani.Sisi lain kehidupan penduduk di pulau itu.







Sketsa Mantanani 5-Lanskap pulau

Tags

Lanskap pulau yang menarik. Pulau Mantanani merupakan sebuah pulau yang berpotensi menjadi destinasi pelancongan. Pulau ini menyimpan sejarahnya yang tersendiri. Penduduknya kira-kira 1,000 orang.Boleh dihubungi satu jam setengah dari Kuala Rampayan dan tiga jam dari Kuala Abai.
Ada dugung, tapi kata penduduk, dugung itu sudah mati.
Inilah sebahagian pemandangan pulau yang sempat dirakamkan ketika kunjungan singkat ke sana.













Sketsa mantanani 4-Lihatlah kepahitan di wajah mereka

Tags

Lihatlah kepahitan di wajah mereka.







Sketsa Mantanani 3-Merakam wajah wajah sengsara

Tags
Hari petang sedikit ketika saya mengajak cikgu Sabli untuk berjalan-jalan mengelilingi pulau. Bergerak-gerak di sekitar rumah penduduk, kami menemui warga yang sengsara. Saya cuba menemuramah mereka.Menanyakan duka yang mereka alami. Berapa anak mereka, berapa pendapatan mereka, berapa tanggungan mereka dan banyak lagi. Saya terharu dengan sambutan penduduk. Dari rumah penduduk ke rumah penduduk yang lain, saya diringi ramai orang sehingga terjadilah semacam pawai, seolah-olah saya seperti seorang pemimpin yang sudah lama ditunggu.Tapi saya bukan pemimpin.Saya hanya seorang wartawan yang datang merakam kesedihan dan keperitan hidup mereka.
Saya sudah lama minta bantu tetapi saya belum lagi dapat bantuan.
"Kami miskin, anak ramai, atap rumah bocor"
"Kami tinggal di bawah kolong, menumpang rumah orang tua"
"Kami sudah buat permohonan, tetapi janji tinggal janji"
"Kalau pilihanraya, mereka janjikan apa saja lepas itu mereka lupa semua"
"Tolong encik, tolong tuan tulis cerita kami"
"Ah sana lagi tuan, tolong gambar supaya mereka tahu penderitaan kami"
Saya terus menggambar dan menggambar, memotret wajah-wajah mereka. Mungkin lebih dua puluh rumah yang kami kunjungi, saya tidak ingat lagi kerana tidak sempat bertanya mereka semua.Saya mengambil gambar sehingga hari gelap, sehingga saya sedar tidak mungkin dapat mengambil foto mereka semua kerana kamera saya tidak ada flash. Tapi saya terus menggambar walaupun saya percaya tidak mungkin dapat menggambarkan kepiluan dan kepedihan hidup mereka.




















Sketsa Mantanani 2- Ketika kami sampai di Mantanani

Tags

Saya melihat jam tangan menunjukkan jam 1.20 petang. Kapal nelayan yang kami tumpangi itu perlahan-lahan meninggalkan Minanga a Marampayan (Kuala Rampayan Laut). Sepanjang perjalanan perjalanan saya menghabiskan masa membaca antologi Darangen, sebuah epik suku kaum Iranun yang diterjemah ke dalam bahasa Inggeris The Story of Darangen oleh Prof.Dr.Howard Mc Kaughan.Saya berharap menjadi Paramata Bantogen yang boleh terbang ke awan atau menyelam hingga ke dasar laut.
Pelayaran bermula dengan baik tetapi kerana hari sudah petang, angin bertiup dan kemudian hujan, menjadikan kapal nelayan dioleng-olengkan ombak. Kira-kira jam tiga lebih sedikit, kami sampai ke pulau.Saya amat terkejut melihat begitu ramai orang yang menunggu kami di jeti. Semua orang ingin menyalami, dan menjabat tangan kami. Saya begitu terharu. Cikgu Sabli, apatah lagi kerana beliau disambut dengan kain rentang yang meminta beliau kekal bertugas sebagai guru besar di pulau itu. Juga rakan-rakan dari Yayasan Sabah zon Kudat yang diketuai denakan Sabrin dan Zulkiflee Bakar. Hampir semua penduduk kampung datang untuk mengalu-alukan kedatangan kami. Apatahlagi ketika mengetahui ada wartawan yang datang dalam rombongan.Mereka ingin menyuarakan hasrat hati mereka supaya kerajaan terus memberi perhatian kepada kualiti pendidikan dan masa depan anak-anak di pulau itu sekaligus meminta cikgu Sabli tidak ditukarkan kerana hubungan baiknya dengan masyarakat telah dapat meningkatkan prestasi pelajar.
"Ini penting bagi kami orang pulau, mungkin tidak penting bagi kamu orang darat, kalau boleh jangan tukarkan cikgu Sabli"., kata seorang ibu.




Sketsa Mantanani 1-Sebelum meninggalkan pulau

Tags


Sehari di Pulau Mantanani adalah pengalaman yang penuh bermakna. Inilah buat pertama kalinya saya menjejakkan kaki ke pulau itu walaupun sejak kecil lagi sudah mengimpikan untuk ke sana. Apatah lagi, Pulau Mantanani sering kelihatan berbalam-balam di pantai di kampung kami.
Saya sudah lama berhasrat ke pulau itu, iaitu ketika pertama kali saya mendengar ada orang yang melahirkan anak dalam perahu dalam perjalanan mereka untuk ke tanah besar. Ada yang melahirkan anak tidak cukup bulan kerana perahu mereka ditimang gelombang. Pulau yang mempunyai kira-kira seribu penduduk termasuk anak-anak itu perlukan klinik. Bahkan saya sempat mengunjungi sebuah keluarga yang daif dan tidak memiliki kad pengenalan terpaksa membiarkan anak mereka yang terlantar sakit, lebih sebulan lamanya kerana tidak dapat menghantar anak ke hospital KB.
Sebenarnya, saya hanya menunaikan janji kepada cikgu Sabli yang mengajak saya melawat pulau itu sejak beliau mula-mula ditugaskan di pulau yang agak terpencil itu. Jadi sebelum beliau ditukarkan ke tanah besar, saya mengambil kesempatan untuk berkunjung ke pulau itu.
Sebelum berangkat pulang, saya sempat merakamkan gambar kenangankenangan bersama cikgu Sabli,cikgu Kukung Emang, Cikgu Samri Garam dan sebahagian pelajar-pelajar di sekolah itu.