Selasa, 17 Februari 2009

anak-anak pulau, cikgu Sabli dan novel Andrea Hirata

Tags

Bercerita mengenai pendidikan anak-anak pulau, saya teringat satu malam ketika duduk di Restoran Nasi Padang Ibu di Jesselton Point bersama Cikgu Sabli Nanti dan Cikgu Norawi Haji Kata. Pertemuan itu sendiri tidak dirancang hanya secara kebetulan mereka berada di KK dan ingin tahu, cerita bagaimana Pengerusi PIBG SK Pulau Mantanani Alilullah Haji Sabti datang ke Utusan Borneo untuk merayu bagi pihak penduduk kampung supaya cikgu sabli tidak ditukarkan.
Saya menceritakan kepada mereka apa adanya, dan kesempatan yang ada itu juga, saya bertanya sendiri carik-carik pengalaman cikgu Sabli sepanjang beliau berkhidmat di SK Mantanani dan bagaimana cara beliau menarik warga pulau itu agar mencintai pendidikan.
Saya mengesyorkan agar guru-guru membeli buku Lasykar Pelangi, karangan Andrea Hirata yang mengisahkan bagaimana anak-anak pulau Belitung, pulau terpencil di Indonesia berjuang untuk mendapatkan pendidikan mereka. Buku itu sendiri dicetak sebanyak 500,000 naskhah sebelum difilemkan.
Saya telah membaca novel Sang Pemimpi, yang sangat menarik ketika dalam perjalanan ke Sandakan dan Kinabatangan penghujung Januari lalu. Kemudian saya membaca novel Edensor, sebuah buku yang menjadi finalis Khatulistiwa Literary Award. Sayang sekali, saya belum berkesempatan membaca bukunya yang keempat Maryamah Karpov yang dihebohkan itu, kerana sudah beberapa kali dicetak.
Kepada cikgu sabli dan Cikgu Norawi, saya sarankan kepada mereka supaya membeli buku-buku itu untuk dihadiahkan kepada anak-anak pulau, supaya semangat mereka lebih kuat dalam mengejar cita-cita mengangkat martabat bangsa khususnya warga pulau mantanani.

3 comments

Tumpang tanya...Kedai Buku DBP masih di Kg. Air atau sudah berpindah ke tempat lain?
Terima kasih.

Kedai buku itu sedang menghitung hari-hari terakhirnya. Kelmarin, masih adabuku-buku yang diletakkan di atas meja. Sejak DBP Sabah mempunyai bangunannya sendiri dan kedai buku yang besar di Teluk Likas berdekatan Wisma Innorprise itu, kedai buku yang terletak di Kampung Air itu disewa oleh Sykt Ramah Enterprise.Malangnya pada bulan yang lalu, buku-buku diangkut ke satu tempat lain kerana khabarnya mereka berpindah.Tetapi kelmarin, kami masih sempat melihat masih terdapat buku-buku terpajang di kedai buku yang hampir kosong itu, menunggu waktu untuk berpindah.

Jika sampai begitu sekali sayangnya masyarakat kepada cikgu Sabli, maka tidak sia-sialah usaha murni selama ini. Syabas cikgu Sabli dan rakan-rakan cikgu semua.