Isnin, 27 April 2009

Antara `ngarang' dan mengarang

Tags

Kenalan saya itu cukup marah sekali dengan kenalannya yang lain. Sebabnya kenalannya itu memberitahu kenalan saya itu bahawa dia mengenali menteri sianu dan sianu.Jadi kalau berurusan dengan mentero sianu bin sianu maka lebih baik kalau melalui dia. Akhirnya kenalan saya itu ditipu oleh kenalannya itu dengan ringgit beribu-ribu.

"Saya tidak percaya dia. Dia selalu `ngarang'". Oleh sebab saya tahu, dia orang Bajausama, maka saya dapat memahami maksud perkataan ngarang itu. Ngarang dalam bahasa Bajausama maksudnya mereka-reka cerita yang tidak ada, menipu atau bercakap bohong atau bercakap membesar-besarkan diri.

Rupanya `ngarang' membawa konotasi yang kurang elok dalam bahasa dan budaya Bajau. Jangan selalu `ngarang' sebab orang yang selalu ngarang, tak boleh dipercayai.

Ketika membelek kamus dewan, barulah saya tahu rupanya perkataan mengarang itu memiliki pengertian yang pelbagai.

Mengarang maksudnya menyusun sesuatu seperti bunga, permata dan sebagainya.Mengarang boleh membawa maksud mereka dan menulis cerita seperti cerpen dan novel. Mengarang juga bermaksud mengadakan atau mereka-reka cerita. Kalau sudah kehabisan bahan, mereka mengarang berita yang bukan bukan.

Mengarang sudah tentu dihubungkan dengan pengarang dan aktiviti kepengarangan. Cuma saya kira kepimpinan politik kita tidak perlu dipenuhi oleh orang-orang yang hanya pandai mengarang dengan maksud orang yang hanya pandai mengada-adakan dan mereka-reka cerita.
Itulah yang menyebabkan kenalan saya itu marah-marah kerana dibohongi oleh kenalannya yang selalu `ngarang'.