Selasa, 14 Julai 2009

Sketsa Mantanani-pada kunjungan kedua

Tags

Ombak besar hampir menghalang perjalanan kami ke Pulau Mantanani.Hari itu merupakan hari yang penting bagi penduduk pulau . Empat puluh sembilan orang menerima bantuan daripada Jabatan Perikanan. Bantuan kerajaan itu disampaikan sendiri oleh Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haji Musbah Haji Jamli. ADUN Usukan, Datuk Japlin Haji Akim yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur juga turut hadir. Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan, Daim Haji Basirun mengetuai sejumlah pegawai dan kakitangan Jabatan Perikanan berusaha memastikan majlis itu berjalan lancar.

Kami menaiki empat bot nelayan.KD Tigabu, KD Gaya, KD Selingan dan KD Langkayan. Perjalanan mengambil masa kira-kira satu jam dengan dua kuasa enjin 130 hp. Angin ribut baru berhenti dua hari lepas, kata penduduk kampung. Sudah lebih seminggu nelayan kecil tidak dapat turun ke laut.

Penduduk kampung berbaris untuk menyambut ketibaan kami. Mereka gembira melihat kedatangan Datuk Musbah ke pulau itu setelah tahun 1997. Waktu itu, menurut pengakuan Datuk Musbah sendiri, beliau sendiri yang memandu bot untuk ke pulau itu. Ketika mula-mula tiba, beliau sempat disangka `mundu' oleh penduduk kampung kerana ketika itu, di perairan kita masih ada mundu.

Inilah kali kedua beliau mengunjungi pulau itu. Datuk Japlin pula memberitahu, beliau sempat bermalam di pulau itu pada pilihanraya lalu. Kawasan Mantanani yang kini terletak di DUN Usukan mempunyai kira-kira 1,000 penduduk, 400 daripadanya pengundi.

Walaupun perjalanan kami agak mencabar tetapi demi penduduk pulau itu, akhirnya pemimpin-pemimpin yang mereka nantikan tiba juga untuk sedikit sebanyak membantu menyelesaikan permasalahan penduduk di pulau Mantanani, satu-satunya pulau yang berpenghuni di Kota Belud.Ramai di antaranya miskin dan perlu bantuan walaupun tidak dinafikan ramai juga yang hidupnya lumayan. Bagi saya sendiri, inilah kali kedua saya berkunjung ke pulau itu selepas Februari lepas. Lima bulan yang lalu, ramai diantara mereka mengeluh YB tidak datang menjenguk mereka tetapi kini, kedua-dua YB turun padang untuk memberi khabar kepada penduduk pulau, khabar yang ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar daripada mereka.