Sabtu, 5 September 2009

Catatan Hari Enam

Tags

Berbuka di Terminal Dua.

Saya melihat jam tangan.Merasa tidak pasti.Saya menoleh ke kanan kepada tiga anggota pasukan keselamatan yang duduk di restoran itu.Salah seorang daripadanya mengacung ibu jari.Tidak jauh dari tempat duduk saya,selang empat meja, duduk tiga pemuda.Mereka memandang ke arah saya beberapa kali. Setelah merasa pasti akhirnya saya mengangguk.

Saya mengambil sebiji kurma dan kemudian meneguk air mineral. Begitulah suasana berbuka puasa di Restoran KFC di Terminal Dua KKIA. Tak kedengaran azan.Masing-masing hanya melihat jam tangan dan kemudian berpandangan menunggu isyarat untuk berbuka.

Penerbangan ke Tawau jam 8.20 malam.Saya agak awal ke lapangan terbang hari itu kerana tidak ingin mengambil risiko kesesakan lalu lintas. Tambang teksi sudah naik kepada RM30. Saya meminta Amai Ilui menghantar saya. Setibanya di Airport Tawau, isteri dan anak-anak sudah menunggu.Mujur mereka menunggu di tempat yang agak jauh dari kesesakan. Sebentar kemudian, kami sudah meluncur pulang dalam kereta yang dipandu Nelly.

Mencari Hijau
Dari satu kedai ke satu kedai yang lain, dari satu supermarket ke satu supermarket, kami tidak bertemu warna yang dihajati.
"Tema kita tahun ini hijau bang," kata isteri saya.Tapi bayangkan betapa kami sudah ke Milimewa, Yong Hin, Servay Parkwell, eastern , wakaf, agak sukar juga mencari warna yang cocok.
Akhirnya terpaksa juga membeli warna yang seakan-akan sama.Saya hanya menemani isteri. Dia agak cerewet juga dalam memilih warna.Mujurlah sepuluh tahun yang lalu, dia tak begitu cerewet sewaktu memilih saya sebagai teman hidupnya. Alhamdulillah, tak terasa, sekarang kami sudah 10 tahun berumahtangga. Anak tiga orang, yang sulung perempuan, Sitti mehran Yasmin yang kedua lelaki, Ahmad Fawzan dan yang ketiga juga laki-laki, Ahmad Aliff Farhan.

Ramadhan penuh rahmat
Bulan Ramadhan, rahmat juga bagi wartawan seperti kami. Hampir setiap hari sepanjang bulan mulia ini kami dijemput berbuka puasa sambil bertugas membuat liputan. Ada kalanya, ada jemputan yang tak sempat dipenuhi kerana terlalu banyak acara.
Tapi saya sempat juga menghadiri Majlis Berbuka Puasa SEDCO. Syukurlah kerana di sana saya sempat berjumpa dengan rakan-rakan. Alung Jasmin, kini penolong imam di Kota Marudu, rakan penulis yang dulunya agak nakal juga tapi sekarang sudah jadi imam. Ada Haji Alipah, Ada Cikgu ramlie, Jasni, Norza, Nadin Haji Salleh, ada Ailin, Mabul termasuk juga rakan-rakan media yang lain.
Sempat juga bertemu Joidin Jahim, Haji Kassim Salleh, Basri Abd.Gaffar dan ramai lagi kawan lama. Cuma agak terkilan sewaktu pulang, tak sempat pamit dengan Datuk Haji Arifin Arif, yang menjadi tuan rumah pada majlis itu.

Petang Jumaat kami dijamu Nestle di Le Meridien. Sempat menatap senja sewaktu matahari perlahan-lahan masuk ke dalam laut. Jamuan berbuka ini memang benar-benar santai. Tak ada news statement, melainkan kami dijemput untuk sekadar makan makan. Terima kasih kepada Nestle yang sentiasa menghargai media.
Ramai juga rakan media yang ada. Veena, Ketua Biro Berita Harian itu terpegun melihat matahari turun ke dalam waktu. Cerita paling hot ialah satu lagi pilihanraya kecil diadakan selepas kematian ADUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan. Pilihanraya kecil yang diadakan dikampungnya sendiri. Katanya, BN memang kuat di sana, apatahlagi dulu kawasan tu kawasan Tan Sri Isa Samad. Tapi keadaan berlainan kerana Parlimen Teluk Kemang dimenangi Kamarul Bahrin Abbas dari PKR.

Selepas itu, saya menghadiri satu lagi pertemuan dengan ADUN Sukau, Saddi Abdul Rahman di Promenade Hotel dalam sesi berkenal-kenalan dengan media. Banyak cerita menarik mengenai Sukau, satu kawasan yang kata YB Saddi masih miskin. Sukua ditadbir di bawah Pentadbiran Pejabat Daerah Kinabatangan dan 15 kampung ditadbir Majlis Perbandaran Sandakan. Sukau perlukan pekan baru, katanya.Perlu pelan pembangunan baru. Ada juga cerita mengenai Kampung Dagat, kampung tertua di Sukau yang selama 29 tahun tidak pernah dilawati wakil rakyat. Tetapi bila YB Saddi datang, beliau ditaburkan beras kunyit tanda kesyukuran.

Demikian hari berlalu. Hari ini hari ke 15 umat Islam menunaikan ibadah puasa.