Khamis, 25 Februari 2010

Cerita Iyan mahu kumpul duit

Tags
Saya agak terharu juga bila teringat hasrat anak saya itu.
Sitti Mehran Yasmine.Dalam usianya yang baru 10 tahun itu, saya tidak menjangka lontaran fikiran dan perasaannya.
Dia memberitahu saya,dia ingin mengumpul duit."Berilah saya duit abah, iyan mahu simpan", katanya yang selalu membahasakan dirinya Iyan.
"Iyan mahu berusaha kumpul duit," katanya meminta saya memberinya lima ringgit.
"Tapi abah jangan beritahu mama ya" pintanya.
Kenapa pula?
Iyan mahu kumpul seratus dua puluh ringgit, dia memberitahu. Saya tertanya-tanya juga untuk apa tetapi saya membiarkannya bercerita.Kenapa pula hal itu disembunyikan dari pengetahuan ibunya?.

Kalau Iyan picit kepala nenek, iyan minta dua puluh sen.Kalau nenek bagi lima puluh sen pun tidak apa lagi bagus, katanya. Nanti iyan mahu picit kepala abah juga.Tapi abah beri iyan lima puluh sen ya!.

Untuk apa iyan kumpul duit?
Kalau Iyan dapat kumpul duit seratus dua puluh ringgit, iyan mahu beli nenek tudung. Kan bulan April ni nenek hari jadi. Mama kan juga hari jadi, untuk mama, iyan mahu belikan coklat.Mama suka coklat," katanya.
Iyan mahu gembirakan hati mama dan nenek, katanya.Jangan beritahu mama ya,katanya.
Astaga, kata saya.
"Jangan suka cakap astaga abah, Ustaz Iyan marah nanti.Yang betul ucapkan Astaghfirullah hal adzim."

Rabu, 24 Februari 2010

Keunikan sambutan Tahun Baru Cina di Salimpodon Laut Pitas

Tags


















Langit di Kampung Salimpodon Laut Pitas pada malam itu dipenuhi cahaya bunga api. Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina anjuran Ruddy Awah dan keluarga yang dirayakan tujuh hari tujuh malam itu layak dicatat dalam buku Malaysia Book Of Records sebagai salah satu perayaan terpanjang di Malaysia. Uniknya, sambutan yang diadakan sejak berpuluhpuluh tahun yang lalu itu dianjurkan oleh sebuah keluarga Cina, tetapi lebih 90 peratus daripada ahli jawatankuasanya terdiri daripada penduduk berbilang kaum di Pitas.
Hanya terdapat kira-kira 10 keluarga berbangsa cina di Pitas, lebih 100 keluarga pula terdiri daripada keluarga `Cina Kebun' , yang telah berasimiliasi dengan masyarakat tempatan di daerah itu. Tetapi kehadiran lebih 5,000 penduduk di sekitar kampung itu benar-benar membawa makna tersendiri kepada perayaan tahun baru Cina yang kini diiktiraf sebagai satu perayaan yang dirayakan di peringkat daerah.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pitas, Datuk Bolkiah Haji Ismail yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Pegawai Daerah Pitas, Sapdin Ibrahim, Mantan ADUN Pitas, Datuk Masrani Parman yang juga Pengerusi Safoda, Naib Ketua UMNO Bahagian, Harun Durabi, Pengerusi penganjur sambutan di peringkat daerah, Ng Loi Teck dan puluhan lagi tetamu kehormat adalah antara mereka yang menunggu sampai acara majlis penutupan itu berakhir kira-kira jam 11 malam.

Kehadiran yang begitu ramai ternyata memeriahkan lagi majlis sambutan Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Ruddy Awah dan keluarga yang dianjurkan sejak zaman mendiang bapanya lagi. Pelbagai acara sambutan diadakan antaranya tarian singa, tarian naga dan persembahan kebudayaan turut diadakan.

Tetapi kemunculan artis-artis seperti Den Bisa, Amie Juba, Clarice John Matha, John Samud dan Jay Samud telah menyerikan lagi majlis yang istimewa dan mungkin satu-satunya di Malaysia itu. Lebih mengejutkan, dan menggegarkan suasana pada malam itu ialah kehadiran penyanyi Adam AF2, yang muncul sebagai hadiah tahun baru kepada Penduduk Kampung Salimpodon Laut.

Ramai yang tidak menyangka kemunculan Adam AF2, yang terbang khas dari Kuala Lumpur untuk menghiburkan peminatnya dengan lagu Jatuh, Joget lambak dan dua lagu lain, yang telah menjadikan majlis penutupan sambutan tahun baru itu berakhir dengan menggembirakan dan meninggalkan kesan kenangan di hati penduduk Pitas.

Walaupun Pitas terletak jauh di utara Sabah tetapi penduduknya telah menterjemahkan konsep 1 Malaysia itu sejak dahulu lagi. "Perayaan ini amat unik kerana lebih separuh jawatankuasanya terdiri dari bukan orang Cina," kata Datuk Bolkiah. Beliau sendiri, ketika remaja dulu, pernah menjadi ahli jawatankuasa sambutan perayaan itu yang disambut sejak turun temurun," katanya.

"Bertahun-tahun yang lalu, ayah kepada Saudara Ruddy telah menganjurkan Pesta Tahun Baru Cina ini. saya masih ingat, semasa kecil dulu saya pernah menjadi AJK Minuman," katanya sambil mengenang masa lalu.

Katanya, Sabah yang mempunyai kira-kira 35 etnik dan ratusan sub etnik, dan sudah tentu sambutan perayaan yang diadakan itu akan membantu memupuk tali silaturrahim di kalangan rakyat.

Bolkiah juga memberitahu mengenai usaha-usaha dan program kerajaan untuk membawa pembangunan di daerah Pitas. Pitas yang kini jatuh di tempat ketiga dalam senarai daerah termiskin di Malaysia kini perlahan-lahan keluar dari kepompong kemiskinan. Rakyat di Pitas yang sudah lama dahagakan pembangunan infrastruktur, tidak lama lagi akan menikmati pembangunan, termasuk diantara pembinaan saluran paip yang membekalkan air yang dirawat kepada penduduk Pitas.
Daerah Pitas yang kini sudah dinaikkan taraf dan akan mempunyai Majlis Daerahnya yang tersendiri menjelang 1 Mac nanti merupakan satu daerah yang berpotensi untuk membangun. Beberapa batang jalan raya seperti Jalan Malubang, Jalan Salimpodon, Jalan Kusilad dan beberapa batang jalan yang lain yang bakal dijalankan tahun ini merupakan satu rahmat kepada penduduk Pitas.
"Kerajaan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat," katanya kepada penduduk yang membanjiri padang Salimpodon laut pada malam itu.
Beliau menggesa masyarakat Pitas supaya terus menjaga keharmonian dan `apa jua fitnah, tohmahan oleh anasir jahat yang cuba memecahbelahkan perpaduan yang sudah sedia terjalin sebegitu lama hendaklah ditentang habis-habisan.
Program pada malam itu dihoskan oleh DJ Rumputt dan DJ PP dari UtaraFM.Net. DJ PP atau Hilmi Desa yang pernah menjadi DJ Di Mutiara FM menyebabkan penduduk Pitas tidak kering gusi dengan celoteh celoteh mereka.
Tidak lupa juga Grup Tari Kreatif yang mempersembahkan tarian pinakang Suku Kaum Kimaragang, Tarian Cina menyerlahkan kepelbagaian. Orang ramai tidak berganjak dari tempat duduk dan tempat mereka berdiri untuk menyaksikan persembahan yang disajikan oleh penyanyi-penyanyi tempatan kesayangan mereka.
Adam AF2 yang dinanti-nantikan tidak menghampakan peminatnya dengan mengajak mereka menyanyi dan menari di Pentas sebelum turun menyalami satu persatu penonton sambil menyanyikan lagu.Walaupun sibuk syuting dengan lakonan dalam Hotel Mania drama 26 episod di TV3 namun Adam tetap memenuhi undangan untuk menyanyi khusus untuk masyarakat Pitas.
Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Ruddy Awah dan keluarga, bukan saja sambutan perayaan yang terpanjang dan layak dimasukkan dalam Malaysian Book of Records tetapi juga merupakan satu perayaan yang disambut setiap tahun yang membuktikan keharmonian dan kekukuhan perpaduan di kalangan masyarakat Pitas dalam menjunjung semangat 1Malaysia.
Tersiar dalam Utusan Borneo 24.2.2010

Isnin, 22 Februari 2010

Aida Belo menyanyi demi Timor Leste

Tags


AIDA BELO MENYANYI DEMI TIMOR LESTE

Oleh ABD.NADDIN BIN SHAIDDIN
Perkenalan kami belum cukup lama tetapi terasa akrab. Penyanyi Timor Leste yang pernah mendapat Anugerah Woman Of The Year 2003 di negaranya, ternyata seorang yang peramah. Aida Pereira Belo yang lahir 26 tahun lalu, adalah seorang penyanyi yang gigih memperkenalkan Timor Leste melalui lagu dan nyanyiannya. Sebagai sebuah negara yang baru merdeka pada 20 Mei 2002, Republik Demokratik Timor Leste merupakan anggota kesepuluh ASEAN.
Artis yang kini sedang menuntut di Institut Kesenian Jakarta (IKJ) dalam bidang muzik mula menunjukkan bakatnya sejak berusia lima tahun ketika berada di kelas tadika Taman Kanak-Kanak Bayangkari Dili.Ketika berusia 7-10 tahun, Aida Belo sering tampil dipentas untuk membuat persembahan bersama band muzik di Dili.
Apa yang membuat nina suka menyanyi?. Saya bertanya kepada Aida yang sedang dalam proses menerbitkan album ketiga The Best Of Aida. Nina adalah panggilan untuk gadis Timor Leste.
"Bakat yang diberikan oleh Tuhan kepadaku. Dari kecil aku menyanyi, bukan sekadar hobi tapi sudah menjadi profesi (kerjaya)," katanya. "Aku ingin berjuang demi untuk negeriku," katanya lagi dalam temubual melalui facebook itu. "Aku harus bangkit dan menunjukkan yang terbaik bagi Timor Leste.Bahawa aku bisa, punya kemampuan untuk melalukan apa saja sama seperti artis lain di luar negara," katanya.
Selain Aida, terdapat beberapa penyanyi Timor Leste yang telah menerbitkan album antaranya Abito Gama, Blass Pereira, Tony Pereira dan lain-lain. Tetapi mereka hanya bergiat di Timor Leste. Sementara Aida Belo yang telah menerbitkan album berjudul Hu Sei Escola di Surabaya ketika berusia 14 tahun, yang khabarnya mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Antara lagunya yang mendapat sambutan ialah Istoria Domin, Neon Susar,Lalika Tatolia Lia, Tragedi Domin, Sei Hein O, Domin Bosok dan laian-lain lagi. Kebanyakan lagu-lagu itu merupakan ciptaannya sendiri.
Aida bukan setakat penyanyi. Artis ini juga bercita-cita besar untuk menubuhkan sekolah muzik di Dili, supaya lebih ramai lagi anak-anak Timor Leste yang menceburkan diri dalam bidang muzik dan nyanyian. Aida berharap melalui langkah itu, budaya Timor Leste akan dikenali dunia.
Ayahnya pernah menjadi anggota polis manakala ibunya seorang suri rumah. Ketika ditanya apakah dia tidak mendapat tentangan daripada keluarga, Aida berkata, memang pada awalnya ada sedikit tentangan dari keluarga kerana mereka kurang menyetujui langkah sang puteri menjadikan muzik dan nyanyian sebagai kerjayanya. Namun Aida mendapat dukungan daripada abangnya Venancio Pererira Belo yang jugab seorang pemain bass, komposer dan penyanyi.
"Aku orangnya nekad," katanya. "Sudah takdir Tuhan yang memberikan aku bakat dalam seni. Aku sangat berterima kasih kepada Tuhan," katanya yang merupakan anak ke enam daripada sembilan adik beradik.
"Aku ingin perkenalkan kepada dunia bahawa kami juga memiliki budaya yang bagus, kebudayaan peninggalan leluhur kami," Aida Belo. "Bahawa kami juga mempunyai identiti sendiri
Muzik yang aku ingin tunjukkan bahawa wanita Timor Leste juga bisa dengan muzik dan menyanyi, " katanya yang bercita-cita menjadi penyanyi terkenal di peringkat antarabangsa.
Katanya, impian untuk `go international' itu akan selalu dikejarnya," "Akan selalu kukejar dan mengejar, sampai aku meraih. Apa yang aku inginkan budaya, kebudayaan Timor Leste. Aku ingin memperkenalkan kepada dunia. Bahawa kami juga punya budaya yang bagus," kata Aida Belo, artis berbakat Timor Leste yang lahir pada 26 Februari 1984.
Aida Belo ingin berduet dengan Ella
Ketika ditanya siapa penyanyi yang paling diminatinya, Aida Belo cepat menyebut nama Ella, Ratu Rock Malaysia.
"Semua lagunya aku suka. Setiap konsertku di Timor Leste aku bawa lagunya.Masyarakat Timor Leste juga suka dengan suaranya setiap aku menyanyi lagunya. Semua orang bilang aku Ella, dan lagu Ella diputar di radio, mereka bilang itu album baru Aida Belo.
Lagu yang sering aku bawa Sembilu, Berlayar Tak Bertepian dan banyak lagi.Hampir semua lagunya pernah saya bawakan," katanya. Kalau senhor dengar nyanyian saya, pasti senhor sukar membezakan suara kami.
'Suara kami sama , serak juga sama," katanya sambil menyatakan bahawa beliau mengimpikan untuk berduet dengan Ella.
"Aku ingin berduet dengannya. Kalau boleh diundang berduet dengannya. Aku akan menunjukkan kepada Masyarakat Timor Leste, Ella favourite udah kutemui.
Dulu album saya pernah diberi nama Ella Aida kerana telalu minatkan Ella, katanya mengakui. "Aku banyak berdoa supaya satu saat Tuhan akan mempertemukan aku dengan dia. Kalau bisa muat aja di koran Malaysia," katanya sambil menambah "Siapa tahu ada perhatian untuk penyanyi Timor Leste", katanya.
Seniwati yang meminati buah anggur dan rambutan ini adalah pemain piano dan berkebolehan memetik gitar dan berkeinginan untuk mnemainkan alat-alat mmuzik yang lain. Aida juga meminati penyanyi terkemuka di negaranya seperti Zinha Coreia dan Blass Pereira. Sedangkan artis Indosia yang paling disukainya ialah Agnes Monica dan Afghan. Aida juga memintai Alicia Keys, Mariah Carey dan Celine Dion.
"Meskipun agak sibuk dengan aktiviti seni, Aida Belo juga memberi perhatian dalam kehidupan sosio-budaya terutamanya yang berkaitan dengan isu-isu wanita dan kanak-kanak serta orang-orang yang menderita akibat konflik peperangan.
Aida menyanyi supaya Timor Leste dikenali, supaya budayanya yang kaya itu dapat diperkenalkan di seluruh dunia. "Aku cinta budayaku...Aku ingin memperkenalkannya kepada dunia. Aku tidak mahu budaya asing menguasai negeri.Identiti Timor Leste tidak boleh hilang.Ia peninggalan leluhur kami," katanya yang mengagumi pemimpin penyair PM Xanana Gusmao dan Presiden Jose Ramos Horta.



Terbit di Utusan Borneo 13.3.2010







Sabtu, 20 Februari 2010

Golongan Belia digesa pelajari fardhu kifayah

Tags

Perjalanan ke Sipitang itu, mungkin yang pertama kali buat Ketua Belia USIA, Saudara Abdul Hakim Haji Gulam Hassan. Kami berkereta dari KK kira kira jam 7.30 pagi dan sampai ke Sipitang, kira-kira jam 9.30 pagi.
Hari itu, Hakim merasmikan Kursus Pengurusan Jenazah anjuran Badan Belia USIA Sipitang di Masjid Imam Haji Awang Hashim.
Dalam ucapannya, Abdul Hakim berkata mengenai betapa pentingnya golongan belia Islam di negeri ini
mempelajari fardhu kifayah kerana mengerjakan dan mengetahui fardhu kifayah adalah perkara yang wajib bagi umat Islam.
" Fardhu Kifayah mempunyai ruang lingkup yang luas melibatkan seluruh aspek kehidupan seperti soal-soal ekonomi, politik, dan perundangan termasuk soal ketenteraan dan lain-lain. ', katanya.

Katanya, Fardhu Kifayah ditafsirkan sebagai perbuatan yang wajib dilakukan oleh seseorang atau sekumpulan anggota masyarakat Islam tanpa melihat siapa yang mengerjakannya.

"Apabila telah dilakukan maka hilanglah tuntutan kewaiban itu terhadap orang lain, tetapi apabila tidak ada seseorang pun yang melakukannya maka semuanya berdosa seperti mendirikan tempat ibadat, rumah sakit, menyembahyangkan mayat dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, pengurusan jenazah adalah merupakan perkara yang tidak boleh dielakkan begitu sahaja kerana ia merupakan fardhu kifayah ke atas umat Islam.
Bagaimanapun, seperti yang diketahui kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya di kalangan generasi muda untuk melaksanakan tanggungjawab ini amat tipis sekali.
Katanya, ramai daripada generasi muda yang tidak tahu cara-cara menguruskan jenazah dan hanya menyerahkan sepenuhnya kepada generasi yang lebih tua daripada mereka untuk melaksanakannya.
"Cuba bayangkan sekiranya suatu hari nanti ayah, ibu atau saudara kita meninggal dunia, tergamakkah kita membiarkan orang lain menguruskannya sedangkan diri kita hanya mampu melihat tanpa sebarang ilmu," katanya.
"Sesungguhnya ajal tidak mengenal usia, tua atau muda. Oleh itu setiap anggota masyarakat perlu mempersiapkan diri dengan ilmu fardhu kifayah untuk memastikan tanggungjawab ini dapat dipikul secara bersama.
"Bercakap saja soal mati, semua masyarakat tanpa mengira agama, kaum, bangsa dan warna kulit tahu dan percaya bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti akan berlaku," katanya.
Justeru, penganjuran kursus seperti ini merupakan salah satu daripada bentuk pembelajaran berkesan dan berinovatif.
"Apa yang kita harapkan daripada kursus sebegini adalah pengetahuan dan pengalaman yang akan diperolehi oleh peserta berkaitan dengan persoalan menguruskan jenazah.
Para peserta diharap dapat menguasai ilmu berkaitan dengan persiapan ketika saat menghadapi maut, baik secara teori ataupun amali dan seterusnya melaksanakan pengurusan jenazah secara amali.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada badan Belia USIA Sipitang kerana menganjurkan program yang dapat memberi manfaat kepada belia khususnya serta masyarakat amnya golongan remaja yang meliputi sebahagian besar jumlah penduduk di negara ini.
"Golongan belia merupakan golongan yang produktif dalam menyumbang kepada pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara kita," katanya sambil menambah, usaha yang dilakukan Belia USIA Sipitang itu boleh dijadikan contoh oleh badan-badan belia USIA yang lain di negeri ini.
Turut hadir ialah Ketua Belia USIA Sipitang, Imam Haji Raffaie, AJK Badan Belia USIA Pusat, Ustaz Haji Awang Juri Awang Tahir dan kenamaan lain.

SERTAI KURSUS PENGURUSAN JENAZAH...Peserta Kursus Pengurusan Jenazah bergambar bersama Abdul Hakim (duduk empat dari kanan barisan tengah)selepas majlis perasmian di Masjid Imam Haji Awang Hashim Sipitang.

Salleh ajak masyarakat merangka masa depan

Tags

Lontaran pemikiran Datuk Salleh Tun Said pada malam itu memang jauh ke depan.
Beliau mengajak masyarakat di Kota Belud supaya merancang masa depan yang lebih cemerlang dengan memberi keutamaan kepada bidang pendidikan.
"Kemajuan dalam bidang pendidikan adalah penentu masa depan kita dan oleh sebab itu, semua anggota masyarakat di daerah perlu digerakkan untuk mencintai pendidikan.
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Kota Belud yang ditubuhkan sejak beberapa tahun lalu merupakan sebuah yayasan yang memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan dan kesihatan di daerah yang dihuni oleh majoriti masyarakat Bajau, Iranun dan Dusun itu.

"Kita tidak boleh fokus terhadap penyelesaian jangka pendek sebaliknya memikirkan serta melihat masa depan melangkaui satu generasi atau tempoh 10 atau 15 tahun akan datang," katanya yang juga Penasihat Sains dan Teknologi kepada Ketua Menteri.

Katanya, semua anggota masyarakat hendaklah memberi pendidikan yang terbaik untuk anak-anak dan generasi akan datang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel Hala Tuju Pendidikan Kota Belud anjuran Yayasan Kota Beluid, di salah Tingkat 8, Hotel Imperial, di ibu negeri
.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Penganjur Liasin Kaloh, Pengarah Bahagian Buku Teks Kementerian Pelajaran Malaysia, , Jame Alip, Timbalan Pengarah Pelajaran Sabah, Hajah Maimunah Haji Suhaibul, Presiden Persatuan Sama Sabah (PSS), Haji Abdullah Sibil, Ketua USIA Bahagian Kota Belud, Lamsil Hamidsor yang juga Naib Presiden USIA, Ketua Pemuda UMNO Kota Belud, Baharul Sawi, Pengerusi PERKASA Sabah, Musli Haji Oli dan golongan pendidik dan cendikiawan sekitar daerah Kota Belud.

"Kita hendaklah mampu meramal apa yang berlaku pada masa depan dengan menyediakan modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi bagi membolehkan mereka bersaing dalam era yang lebih mencabar," katanya.

Beliau berkata, jika kita gagal membaca masa depan sudah tentu kita tidak dapat merancang masa depan dengan lebih baik.

Selain itu, beliau menekankan betapa pentingnya generasi masa depan menguasai bidang bidang kemahiran tertentu kerana bidang kemahiran amat diperlukan dalam pasaran kerja pada masa akan datang.
Bagaimanapun, Salleh mengingatkan dalam kita mengejar kemajuan, jangan lupa nasib dan masa depan bangsa kita.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Liasin Kaloh berkata bengkel yang dihadiri golongan pendidik dan intelektual, pemimpin masyarakat dan NGO di Kota Belud itu bertujuan untuk mencari kaedah untuk memartabatkan bidang pendidikan di daerah itu.
Katanya, hasil rumusan bengkel itu akan dijadikan panduan untuk merangka masa depan yang lebih cemerlang dalam bidang pendidikan di daerah itu.

MERANGKA MASA DEPAN...Kelihatan Datuk Seri Salleh (dua dari kiri), Liasin (kiri sekali) dan Haji Abdullah Sibil (kanan) dan golongan pendidik dan cendikiawan di Kota Belud lain sedang menyertai Bengkel Halatuju Pendidikan di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri.

Khamis, 18 Februari 2010

Bahasa sukuan mungkin pupus jika tidak didokumentasi

Tags




Bahasa-bahasa sukuan di negeri ini menghadapi kemungkinan akan pupus dalam tempoh dua atau tiga generasi akan datang sekiranya tidak ada usaha dilakukan untuk memelihara dan memulihara bahasa ibunda itu.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Zubaidi Abas berkata beberapa bahasa yang mempunyai jumlah penutur yang kurang daripada 100,000 orang mungkin pupus jika usaha-usaha seperti mengkaji, mengumpul,dan mendokementasikan dalam bentuk buku daftar kata, glosari, buku atau kamus tidak dilakukan mulai sekarang.

Katanya, DBP Sabah telah membuat kajian di beberapa daerah di negeri ini dan mendapati generasi muda berumur 30 tahun ke bawah tidak dapat menguasai bahasa sukuan masing-masing.

"Keadaan ini adalah sangat malang kerana dua atau tiga generasi akan datang, bahasa sukuan akan pupus kerana tidak lagi mempunyai penuturnya," katanya.

Untuk rekod, terdapat 35 etnik di negeri ini dan ratusan lagi sub etnik di negeri Sabah berdasarkan kajian terbaru yang dibuat oleh Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS).

Zubaidi berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Pemimpin Tertinggi Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAH) yang turut dihadiri Presiden Sabah, Datuk Haji Zakaria Ederis yang juga ADUN Gum Gum, Timbalan Presiden Saddi Haji Abdul Rahman, yang juga ADUN Sukau, Naib Presiden, Johari Haji Janan, dua mantan Presiden, Datuk Haji Wahid Norbinsa, dan Haji Ahmad Abdul dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi SABAS, di ibu negeri


Dalam majlis itu, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Zubaidi Abas menyerahkan empat buku daftar kata Bahasa Sukuan Sabah iaitu Daftar Kata Bahasa Sungai Makiang, Daftar Kata Bahasa Sungai Paitan, Daftar Kata Bahasa Ida'an/Segama, dan Daftar Kata Bahasa Sungai Liwagu.

Beliau juga berkata, DBP Sabah juga kini sedang membuat penyelidikan dalam pelbagai aspek budaya tempatan seperti adat istiadat, perkahwinan, pantang larang, perubatan dan sebagainya selain penyelidikan dalam bidang bahasa.

Tambahnya, pihaknya juga telah mengumpur kira-kira 5,000 kosa kata bahasa Sungai yang boleh dijadikan asas kepada penerbitan Kamus bahasa Sungai.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS), Datuk Haji Zakaria Ederis berkata Sabas amat menghargai usaha yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah untuk menyelidik dan menerbitkan buku dafatar kata bahasa Sungai.

Katanya, terdapat 30 sub etnik Sungai yang mempunyia kepelbagaian dialek dan bahasa yang menjadi khazanah berharga dan perlu didokumentasikan.

Beliau berkata, Sabas akan berusaha mengumpul dana untuk menerbitkan Kamus dalam bahasa Sungai yang akan memuatkan semua 30 sub etnik dalam bahasa Sungai yang terbahagi kepada tiga kumpulan besar iaitu paitanik, idahanik dan dusunik.

Dalam majlis perjumpaan itu juga, kedua-dua pihak telah berbincang mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk memulihara dan memelihara bahasa sukuan supaya tidak pupus di telan arus globalisasi.
Saya turut hadir dalam perjumpaan itu atas kapasiti sebagai Pengerusi JK Penyelidik Bahasa Sukuan Iranun, yang ditunjangi oleh DBP Sabah.



DAFTAR KATA BAHASA SUNGAI....Zubaidi (tujuh dari kanan)menyerahkan empat buku daftar kata bahasa Sungai kepada Zakaria (tujuh dari kiri) dalam majlis perjumpaan itu.

Selasa, 16 Februari 2010

Catatan sewaktu pulang bercuti

Tags
Semua tiket bas dari KK ke Tawau habis ditempah pada hari itu.Semua orang pulang bercuti sempena Tahun Baru Cina. Tiket kapal terbang pula melambung harganya pada musim perayaan seperti ini. Mujurlah dalam waktu-waktu segenting itu, Tuhan sentiasa menolong dengan caranya sendiri.

Dalam situasi seperti itu, saya dipelawa pula oleh anak saudara, Sharif Shah yang kebetulan hendak ke Tawau untuk menghadiri satu majlis perkahwinan keluarga mertuanya. Alangkah leganya hati kerana dapat juga ke Tawau malam itu.

Kami berangkat dari KK kira-kira jam 8.30 malam setelah singgah minum di Coffee Bean terlebih dahulu.

Banyaklah cerita dan topik sepanjang perjalanan itu sambil dihiburkan dengan koleksi lagu-lagu klasik, dan antik, dan kerana itu terasa menyegarkan kerana lama tak didengar.

Jam 10.00 kami sampai di Ranau dan singgah makan soto. Kira-kira jam 11 lebih sedikit, kami mulai bergerak. Berhenti sebentar di Telupid sebelum meneruskan perjalanan lagi. Sesampainya di Batu 32 Sandakan, Wan memberitahu kereta kancilnya kehabisan minyak.

Wah gawat nih, dimana mahu mencari minyak pada malam sekelam itu. Stesen minyak di Batu 32 itu tutup sebel jam 7.00 malam sedangkan kami tiba di sana kira-kira jam 2.45 pagi.

Mujur ada orang memberitahu, ada minyak yang dijual orang di tepi jalan dekat Jambatan Segaliud, kalau tidak sudah tentu kami terpaksa singgah di Sandakan untuk beli minyak.

Tidak lama kemudian kami berhenti di Segaliud untuk membeli minyak.Selepas membunyikan hon, Puan Rahmah menjengukkan kepalanya dan kami dapat membeli minyak untuk meneruskan perjalanan ke Lahad Datu.Kami berhenti lagi di kampung Paris, kerana Sharif Shah, agak mengantuk .

Awal pagi itu saya menulis empat posting di face book, dan saya dapati kemudian banyak salah eja kerana saya menulis ketika kereta sedang bergerak menuju Lahad Datu.

Di Lahad Datu, kami singgah minum lagi di Restoran Islamic. Kuih pau kacang hitam agak sedap kerana masih panas-panas lagi.

Tidak lama kemudian, kira-kira jam 7.00 pagi kami meneruskan perjalanan selama dua jam lagi dan tiba di Tawau tepat jam 9.00 pagi.Sungguh satu perjalanan yang mengesankan dengan berbagai pengalaman.

Catatan kecil di Semporna

Tags





















Hari sudah petang ketika kami sampai di pekan Semporna. Kami terus mencari tempat penginapan dan pilihan pertama yang tergambar dalam fikiran kami ialah `floating', sebuah tempat penginapan yang terletak di atas air. Sayangnya, semua bilik sudah penuh dan masih ramai lagi yang sedang menunggu.
Kami lupa bahawa pada hari itu, hari Ahad dan cuti Tahun Baru Cina.Dengan rasa sedikit hampa, kami ke Sipadan Inn, tetapi tak ada bilik yang kosong.Kelihatan ramai pelancong Eropah dan Jepun, Cina sedang menunggu. Nampaknya kejadian di Pulau Sebangkat tempoh hari tidak mempengaruhi kunjungan pelancong ke daerah yang terkenal kerana memiliki pulau-pulau yang cantik, yang menjadi syurga para penyelam atau sekadar berjemur di pantainya yang indah dan bersih itu.

Selepas minum di Mabul Cafe, kami ke Mabul Inn, ke City Inn namun semuanya telah dipenuhi para penginap. Akhirnya kami ke Seafest Hotel dan berharap masih ada bilik yang kosong.
Harapan kami hampa juga kerana sewaktu akan mengeluarkan duit, bilik yang ada sudahpun diberikan kepada orang lain, hanya satu minit sebelum kami sampai di kaunter.
Dengan perasaan yang hampa itu kami memutuskan untuk pulang dan menyesali diri kerana tidak membuat tempahan lebih awal.

Entah bagaimana selepas berpusing-pusing itu,isteri dan mertua saya ingin ke kamar kecil. Kami singgah di City Inn, dan secara saja saja isteri saya bertanya, dimanakah agaknya tempat penginapan di Semporna selain tempat-tempat yang disebutkan itu.
Seseorang menyebut tempat penginapan dyana.
Dan akhirnya kami mendapat dua bilik di Tempat Penginapan Dyana dengan sewa RM50 sehari.
Saya sengaja tidak memberitahu rakanrakan dari Semporna mengenai kunjungan saya kali ini. Sebelum ini saya datang bertugas tapi kali ini, saya datang membawa keluarga untuk bercuti. Ada beberapa orang yang kebetulan terjumpa, agak terkejut dan bertanya`kenapa tak beri tahu nak datang' .

Selepas mandi, malam itu kami makan di floating.Lama tidak makan di sana, seingat saya kali terakhir ialah sewaktu Mehran masih berusia dua tahun.

Mujur ada Fazri, seorang kenalan yang membawa kereta private, jadi mudahlah kami bergerak ke sana kemari.

Menurut Fazri, hanya terdapat kira-kira lima buah teksi berpermit. Entah benar, entah tidak yang jelas memang tidak terdapat teksi yang beroperasi di pekan yang perlahan-lahan berubah menjadi bandar itu.

Jam 11 malam, kami menelefon Seafest Hotel sekali lagi untuk menempah bilik untuk Ain dan keluarga yang sedang dalam perjalanan dari KK.Mereka merentas dua negeri dan satu negara, berkereta dari Pusa, Sarawak untuk pulang bercuti ke Tawau. Pada malam itu, mereka singgah ke Semporna untuk bersama kami.

ke Pulau Bait

Pada mulanya kami merancang untuk snorkeling di Singgahmata. Vicky berkata mereka tidak dapat lagi menerima pengunjung kerana terdapat lebih kurang 80 pelancong di Pulau itu. Kami hanya dibenarkan masuk untuk melihat-lihat tanpa bayaran tetapi kebetulan pula Mail menelefon dan bertanya saya dimana kerana dua hari sudah sukar dihubungi.

Akhirnya kami memutuskan untuk berkeliling pulau di sekeliling Pulau Bait. Terdapat kira-kira 40 kampung yang terdapat di lapan buah pulau kata Abdul Arab atau Karag. Abdul Arab, yang saya temui di Pengkalan Tanjung Kapor itu, agak istimewa orangnya kerana memiliki tiang rumah dari kayu balak. Kalau tak silap ia mempunyai 22 anak dari empat isteri.

Mail membawa kami ke rumah Abukasim Imam Laggu di Pulau Bait.Rumah yang terletak dekat pengkalan itu sering menjadi tumpuan ramai.Apatahlagi tuan rumahnya seorang yang baik dan peramah pula. Kami dijamu kuih wajit sebelum dijamu makan tengahari yangmenyelerakan di Balai Nelayan. Kami makan ditemani semilir angin dan ikan panggang yang disediakan langsai kesemuanya.

Tidak lama kemudian kami dibawa oleh Mail untuk berkeliling melihat pulau-pulau yang cantik sekitar pulau Bait. Setelah beberapa minit, perahu yang dibawa oleh Julaili dan Julaihi Usop, adik beradik itu berhenti di tengah laut, berdekatan Kiling-Kilingan.

Kelihatan dasar laut yang ditumbuhi terumbu karang, terlihat juga tapak sulaiman dan hidupan laut yang lain.Perairan itu sangat bersih sekali, tak ada sampah dan kelihatan terjaga atau mungkin kerana jauh dari kediaman penduduk.

Disana kami berhenti untuk mandi manda, menyelam dan bersorak kepada keindahan dan kegembiraan yang dianugerahkan kepada kami hari itu. Kami bersyukur atas kurnia Allah yang memberikan alam secantik itu.

Kami semua turun mandi, kerana apabila sampai di kawasan cantik itu, tiada siapa yang boleh menahan keinginan untuk tidak terjun ke laut.

Jam 4.00 petang kami bersiap untuk pulang ke pengkalan.Saya bertekad untuk menuliskan sesuatu mengenai pulau-pulau itu. Pulau Bait merupakan pulau yang kedua terbesar di Semporna selepas pulau Bum Bum. SK Pulau Bait juga merupakan sekolah kedua yang dibina di Semporna itu pada tahun 1954, seumur dengan mertua perempuan saya.

Kami tidak jadi pulang ke Tawau, sebaliknya menginap untuk semalam lagi di Semporna.Hanya Ain dan Shukri dan mama dan anak-anak yang pulang. Kami berehat lagi dan berharap untuk naik bas Tung Talun, yang kemudiannya tidak tertunai juga kerana kami terlewat bangun pagi.

Semporna memang menawarkan banyak keistimewaan malah keajaiban sekaligus. Bagaimanapun untuk menjadikan perjalanan lebih sempurna di Semporna,mungkin lebih baik untuk membuat perancangan lebih awal untuk ke daerah yang selalu dipenuhi pengunjung dan pelancong itu.

Rabu, 10 Februari 2010

Catatan tentang Mangagat

Tags
Mangagat, mungkin tak ramai yang mengenalinya. Tetapi di kalangan keluarga, Mangagat memang seorang yang boleh diharapkan. Beliau seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab dan sanggup memikul sebarang amanah yang diberikan kepadanya.
Tetapi yang membuat saya tertarik kepada beliau, bukanlah kerana beliau seorang usahawan namun lebih kepada penglibatannya dalam bidang teater.
Saya sebenarnya tak pernah membayangkan beliau bermain teater. Tetapi rupa-rupanya dalam diri Mangagat terdapat bakat yang luar biasa.
Mangagat atau nama sebenarnya Masdid Unsung, bersama grupnya, pernah mewakili Sabah dalam festival teater di peringkat kebangsaan.
Beliau sering berlakon sebagai antagonis. Saya kurang pasti, tapi kalau tak silap Agat pernah berlakon dalam teater Seruan Damai arahan Cikgu Jamali Satari dan pernah ikut festival di Kuching tahun 1974.

Saya terfikir-fikir juga mengapa kegiatan seni pada ketika itu tumbuh dengan mekar. Sekarang tidak lagi seperti dulu?. Kalau adapun pementasan teater, ia tidak lagi banyak membawa keghairahan di kalangan peminat seni. Entah kenapa kegiatan-kegiatan seni teater seolah pudar dan sepi penonton?

Saya, waktu kecil, kampung Linau dan arwah Ag Semad

Tags

Barangkali sudah sangat lama saya tidak berkesempatan berkunjung ke Kampung Linau, kampung yang erat tautannya dengan masa kanak kanak dan remaja saya di Kota Belud. Kampung Linau merupakan kampung atuk saya, Haji Mohd Hashim @ Haji Markasham yang menjadi pernah menjadi khatib dan imam di kampung itu satu waktu dulu.

Saya tidak ingat bila kali pertama saya ke kampung itu, mungkin sewaktu atuk sakit dan saya masih terlalu kecil untuk dapat mengingatinya.

Ketika pakcik cikgu (Haji Madlan) melangsungkan perkahwinan, saya ingat peristiwa itu kerana pakcik selalu mengusik saya yang gemar memakai songkok. Sering diambilnya songkok saya dan disangkutnya di tiang. Bila meningkat remaja, saya sering ke kampung dan menginap satu malam dua malam di rumah makcik makcik saya dan mandi di sungai Linau bersama sepupu-sepupu. Kalau tidak Kai (sheqar) saya bermain dengan Sab (Sabran) Saya ingat, minat membaca saya antara lain tumbuh selepas saya membaca buku Hartini karya Aziz Afkar di rumah makcik Yang Lui.

Saya rajin bertandang ke rumah pakcik dan makcik saya di Kampung Linau. Terutama kalau tiba waktu bulan Ramadhan. saya biasa bersahur di rumah Ma Nda, dan itulah sebabnya saya agak rapat juga dengan sepupu-sepupu saya di Linau.

Tapi lama tidak ke sana.Paling akhir ialah apabila salah seorang adik sab kahwin dan saya membawa Prof.Datuk Dr.Zainal Kling dan kak Datin Tinah Sohadi untuk turut sama menyaksikan perkahwinan itu.

Entah macam mana kenangan saya terusik apabila saudara Japli Maton (yang sebenarnya pangkat pakcik) mengtag saya untuk hadir dalam Majls Kenduri dan tahlil untuk memperingati arwah Tuan Guru Hji Ag Semad Atoh, ma' pilihan. Saya terus teringat arwah yang merupakan seorang yang baik dan menyimpan banyak buku agama di rumahnya. Saya sering ke rumahnya juga apatahlagi isterinya masih merupakan makcik saya.

Sejarah perkembangan Islam di Kampung Linau Kota Belud pada tahun tahun 70-an, 80-an dan 90-an mungkin tidak dapat dipisahkan dengan peranan yang dimainkan oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Ag Semad Atoh.

Setiap tahun beliau mencetak puluhan murid dalam kelas pengajian al-quran. Sebagai guru mengaji, Haji Awang Semad mengajar tarannum dan tajwid. Setiap tahun juga diadakan majlis khatam al-quran untuk muridnya-muridnya yang datang dari kampung Linau, Gunding, Taun Gusi dan kampung berdekatan.

Selain peranannya sebagi guru mengaji, beliau juga mengajar seni kompang, nasyid dan seni silat. Hampir semua belia dan beliawanis di Kampung Linau pernah belajar seni silat di Gelanggang persilatan di Kampung Linau itu.

Selain itu, arwah Haji Ag Semad juga aktif dalam kegiatan sukarela. Selama puluhan tahun lamanya, beliau bergiat dalam Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) di Kota Belud.

Beliau yang bekerja sebagai Malaria Assistant Technician merupakan seorang dedikasi terhadap tugasnya.

Satu majlis kenduri dan doa tahlil akan diadakan pada 27 Februari jam 1.00 petang di Kampung Linau. rosnani sibil 013854002, sabran sabdani 0198705185/972079 dan japli maton 0138566976

Selasa, 9 Februari 2010

Agus M, kawan lama

Tags
Agus M sudah lama tidak menulis. Barangkali kerana hambatan hambatan kesibukan dengan tugas dan khidmat kemasyarakatan sejak beliau berhenti sebagai kakitangan di Lembaga Pelabuhan Sabah (LPS). Sesudah itu, beliau dilantik sebagai Pengerusi JKKK di kampungnya, di Batangan Baru Tuaran, Pengerusi PIBG di SK Batangan Baru Tuaran dan banyak lagi tugas tugas lain.
Ketika menjadi Pengerusi JKKK itu beliau sempat menamatkan pengajian sehingga peringkat diploma di UITM.
Agus M atau nama sebenarnya Ag.Bungsu Mathiasan ini merupakan antara orang-orang kuat Ikatan Penulis Sabah (IPS) pada masa masa awal penubuhannya pada tahun 1990 dulu. Kini IPS sudah berusia 20 tahun.
Kami sedang mencari rakan-rakan lama yang dulu ikut menumbuhkan dan memperkasa IPS sehingga menjadi persatuan seperti yang ada sekarang.
Ketika kami bertemu di kedai mamak itu, Agus masih tetap bersemangat. Semoga beliau dapat meluangkan masa untuk menulis semua di tengah kesibukannya sebagai AJK UMNO Bahagian Tuaran.
Beliau merupakan seorang penulis yang berbakat, dan cerpen-cerpen yang dihasilkan dulu juga agak baik tetapi mungkin kerana lama tidak menulis, beliau terpaksa melatih diri untuk menghasilkan karya yang bermutu

Isnin, 8 Februari 2010

Kami dihempas ombak,kata Haji Lait

Tags
Kami dihempas ombak dan badai dalam perjalanan itu, kata OT Haji Lait Abat,77 kepada saya. Kami bertemu secara kebetulan ketika beliau mencari tandas. Saya menunjukkan arah ke tandas, saya fikir beliau mahu melepas hajat rupanya beliau ingin membeli sinki tandas.
Kami mengajaknya singgah minum. Saya dengan cepat mengeluarkan buku nota dan mengambil foto selepas bertanya khabarnya. Kali ini saya tak ingin melepaskan peluang untuk menemuramahnya mengenai kisah-kisah perjuangan yang lalu.
"Kami menaiki kapal Elopura untuk menghadiri satu perhimpunan di Kudat pada 27.12.1960," katanya. Ombak kuat ketika itu, dan OT Lait yang mewakili masyarakat pulau-pulau ikut serta dalam kongres pertama penubuhan USNO.
Antara rakan yang diingatnya ikut dalam kapal itu ialah Datuk Taib, Datuk Walli,Datuk Hussin,OT Bidin Tanjung Aru, Haji Ahmad Fakir. Kebanyakannya sudah meninggal, katanya.
"Saya mewakili kira-kira seribu orang penduduk pulau termasuk pulau Denawan, Sepanggar dan pulau-pulau lain untuk menyatakan pendirian kami menubuhkan parti.
"Kami menubuhkan parti kerana kita mahu merdeka, " katanya sambil berkata tiada jalan lain melainkan melalui perjuangan dalam parti.
"Saya masih ingat antara orang yang turut dari Putatan, NC Asai,MOhd Din, Imam Jamrah, Mat Salleh, Ibrahim Dermat Haji Ahmad Takim, Kerani Hamid dari Menggatal, ini semua pejuang-pejuang USNO," katanya.
Kami dihempas ombak dalam perjalan itu, katanya lagi. Katanya Datuk Pengiran Galpam `melua' sin' mengeluarkan wang untuk membantu Tun. Datuk Peter Lo, Datuk Khoo Siak Siew. "Saya lihat dengan mata saya sendiri taukeh Ong Yun (Yung Brothers) bapa Datuk Yong Teck Lee membawa duit satu beg untuk menubuhkan USNO.
"Orang kampung kita kasi emas sama Tun suruh gadai," katanya lagi dalam dialek Sabah. "Saya pungut duit dari penduduk pulau dapat 460 ringgit. Haji Hamid keluarkan 120 ringgit, OT Lait berikan 80 ringgit untuk USNO. Jumlah duit itu besa, harga kopi 5 sin, harga roti paun satu buku lima sen juga.
Beliau berkata, penubuhan USNO memang mendapat tentangan dari awal tetapi setelah melihat semangat rakyat, beribu-ribu berkumpul di Kudat, barulah ramai orang menyokong USNO.
OT Lait masih ingat antara orang-orang yang kuat menyokong USNO di Pantai Timur ialah Pengiran Jakarullah, Datu Saribu, Haji Kalipunya, Haji Apdal dan ramai lagi. Beliau juga masih ingat satu ketika beliau turut berkempen untuk Datuk Ahmad Ayid untuk bertanding AMT USNO.
"Kami naik kapal elopura, pulang kami naik kapal perikanan," katanya yang merupakan satu sekolah dengan OKK Indan Kari. Masih terbayang di kepalanya ketika kapal mereka dilambung ombak.
"Sekarang kita sudah merdeka," katanya.Banyak nikmat kemerdekaan, kerajaan berikan berbagai bantuan untuk kesejahteraan hidup rakyat.
Kami dihempas ombak dan badai, katanya. Kalau kita tidak menjaga perpaduan antara kita, politik kita akan sentiasa dihempas ombak dan badai.

Sabtu, 6 Februari 2010

Sejenak bersama Datuk Harris

Tags
Sukar sekali untuk mendapat peluang seperti ini-bergambar dengan Datuk Harris Mohd.Salleh.Tetapi mantan Ketua Menteri Sabah yang cemerlang dan dinobatkan bapa pembangunan Sabah ini kelihatan bersahaja. Usianya sudah menjangkau 80. "Tetapi staminanya mengalahkan orang muda, dia paling on time," kata Bapak Abas Basuri, Konsul Indonesia ketika menceritakan pengalaman sepanjang lawatan 10 hari ke empat propinsi di Kalimantan Indonesia pada 18 hingga 28 Januari lepas. Lawatan yang diketuai oleh Datuk Harris dan disponsori oleh Yayasan Berjaya disertai oleh wartawan wartawan kanan dari Sabah.
Kalau tidak silap saya, saya telah membaca tiga buku yang mengisahkan riwayat hidup atau biografi tokoh yang menjadi Ketua Menteri Sabah selama 9 tahun ini iaitu dari tahun 76 hingga 85.

Saya mengkagumi kepimpinan dan cara kerja Datuk Harris sepanjang menjadi Ketua Menteri. Ketika beliau memimpin negeri ini, saya masih di bangku sekolah rendah dan menengah di Kota Belud.
Tidak pernah saya bayangkan jika satu hari nanti dapat bergambar bersama beliau. Saya mengambil kesempatan untuk bergambar ketika beliau mendekati kami. Rupanya beliau seorang yang cukup baik dan sederhana dan tidak menolak ketika saya mengajaknya bergambar.
Sebelum itu, dalam taklimat ringkasnya ketika membentangkan laporan misi lawatan ke Kalimantan beliau menggesa supaya golongan pelabur dari Sabah mengambil peluang pelaburan dan perniagaan di Wilayah Kalimantan Indonesia yang memiliki potensi dan masa depan yang cerah..
Katanya, adalah tidak diragukan lagi, wilayah Kalimantan Indonesia akan muncul sebagai kawasan yang cepat membangun dalam tempoh sepuluh tahun lagi dan pelabur dari Sabah boleh mengambil peluang untuk mengembangkan pelaburan dan perniagaan mereka di Kalimantan, yang terletak di Pulau Borneo.

"Pelabur dan usahawan dari Sarawak dan Semenanjung malaysia telahpun membuka perniagaan dan melabur di Kalimantan tetapi pelabur dari Sabah masih kurang menerokai potensi pekaburan dan perniagaan yang terdapat di wilayah itu.

"Kita berharap lebih ramai golongan pelabur dan peniaga dari Sabah meneroka dan mengambil peluang yang terbuka dan tersedia di Kalimantan," katanya lagi.

Datuk Harris berkata, ekonomi Kalimantan berdasarkan maklumat yang diberikan ketika lawatan itu, berkembang antara lima hingga sembilan peratusc setiap tahun. Jumlah eksport tiga kali ganda berbanding jumlah import.

Jumlah pendapatan perkapita ialah US$3,000 berbanding Malaysia US$5,000 ketika ini dan ia dijangka meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang. .

ke IPG menonton teater kembara

Tags
Malam itu, bersama Saudara Ketua Satu IPS, Hasyuda Abadi kami menyempatkan diri untuk bertandang ke Institut Perguruan Gaya bagi menghadiri Majlis Pelancaran Buku Antologi Menggapai Sinar dan menyaksikan Teater Budaya Kembara.

Datuk Bolkiah Ismail, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merasmikan majlis yang julung-julung kalinya diadakan itu.

Antologi Menggapai Sinar yang berisi cerpen dan puisi itu adalah karya pelajar ijazah sarjana muda perguruan (PISMP) yang pertama diterbitkan di negara ini. IPG Kampus Gaya menjadi IPG pertama yang mengadakan aktiviti seumpama itu.

Selepas majlis pelancaran, persembahan teater budaya berjudul Kembara turut dipentaskan. Pertama kali juga saya masuk dalam set drama untuk menggambil gambar Datuk Bolkiah menepung tawar pengantin, yang rupanya adalah adegan dalam mimpi anak muda, pelakon utama teater itu.Jadi rupanya bukan saja kami masuk dalam set drama dan menjadi sebahagian daripada pementasan itu tetapi juga kami dimasukkan juga dalam mimpi si pelakon.

Cuma saya agak gelihati juga dan tak faham mengapa penonton ketawa bila ternampak seorang pemuda mati ditembak pistol oleh penjajah ketika ia belum selesai membuka pencak silatnya?
Entah mungkin kerana pelakon atau kerana adegan itu menarik.

Datuk Bolkiah dalam ucapannya menggesa bakal pendidik di negeri ini supaya benar-benar menghayati profesion perguruan bagi membolehkan mereka memainkan peranan dalam mendidik anak bangsa, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk .
.
Katanya, citra guru haruslah dibawa ke mana dan dimana-manapun guru berada kerana guru merupakan role model kepada pelajar atau murid.

"Oleh sebab itu, etika perguruan biarlah dijiwai oleh para pendidik kerana personaliti dan imej pelajar banyak dipengaruhi oleh didikan yang diberikan oleh para guru selain daripada ibu bapa," katanya .

Beliau berkata, guru merupakan profesion yang sangat dihormati dalam kalangan masyarakat, malahan ibu bapa meletakkan kepercayaan yang sangat tinggi kepada para guru.

Bolkiah menambah, sesuai dengan bidang perguruan yang sangat-sangat mementingkan ilmu, penerbitan antologi Khemah berjudul "Menggapai Sinar"merupakan salah satu bentuk insentif dan motivasi kepada pelajar yang berkenaan agar terus berkarya.

Usaha murni DBP Cawangan Sabah dengan kerjasama IPG seharusnya dicontohi oleh institut perguruan lain di Sabah ini, katanya.
"Berkarya memerlukan pembacaan dan rujukan selain pengalaman diri sendiri dan rakan-rakan yang disatukan menjadi karya yang menjadi bahan pembacaan," katanya sambil penghasilan karya yang baik sebenarnya banyak bergantung kepada pembacaan.
"Penulis yang baik akan dapat menghasilkan karya yang berkualiti dan berilmu dengan pembacaan. Seorang penulis tidak akan mampu mengungkapkan disiplin ilmu di luar bidangnya tanpa pembacaan," katanya.
Bagi memperolehi ilmu serta inginkan ilmu itu bertambah maka seseorang itu perlu banyak membaca, mengembara, mengalami sendiri sesuatu perkara dan membuat pembuat pengalaman, katanya lagi.
Menurutnya, kelahiran penulis muda di Sabah seperti Ruhaini Matdarin, Rasimi Linggang, Salami Simon, Jessy Mojuru dan Angela Engkuan menunjukkan bahawa jumlah penulis muda yang berbakat besar dan berjaya kian meningkat.
"Malah lebih membanggakan kita,sudah ramai kalangan penulis yang berlatar belakangkan disiplin ilmu yang lain. Misalnya di Malaysia ada Saudara Nisah Haron yang merupakan seorang peguam, dan di Sabah, Ruhaini Matdarin daripada bidang kewangan.
Pada era teknologi maklumat, kepesatan dan kecanggihan teknologi ini penulis juga tidak terhad kepada media cetak sahaja, malah terkini sudah ramai yang menulis melalui blog, facebook, twitter dan lain-lain, katanya
Katanya, sejak 10 tahun kebelakangan ini, media baharu ini seolah-olah mendominasi media cetak.Media elekronik sudah menjadi wadah penyebaran pemikiran, gagasan terpenting, pendapat peribadi, ilmu dan sebabainya.
Hal ini dikenali sebagai ideologi pengabsahan atau legitimating ideologi. Oleh itu, menulislah dengan rasa tanggungjawab. Selain aspek ilmunya, aspek sensitiviti masyarakat, budaya, nilai dan bahasa usah dikesampingkan, katanya.
Sebelum itu, Pengarah Institut Perguruan (IPG) Kampus Gaya, Puan Salmah Abdullah menyifatkan peluang, kerjasama dan sokongan yang diberi kepada IPG Kampus Gaya, oleh DBP Sabah tidak pernah surut sejak dahulu.
Kerjasama yang erat ini selari dengan hasrat memperkasakan Bahasa Kebangsaan seperti yang tercatat dalam Teras 1 iaitu Membina Negara Bangsa dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.
Dengan adanya kerjasama daripada pihak DBP selalu peneraju utama pengembangan bahasa dan persuratan Melayu dalam pembinaan negara bangsa sudah tentulah aktiviti kebahasaan di IPG Kampus Gaya menjadi semakin mantap dan kukuh.
Katanya, pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, Kadazan, Iban dan sebagainya merupakan anak sulung IPG Gaya yang menerima Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian pada tahun hadapan.
"Kumpulan pertama ini sedang berada dalam tahun akhir dan pengiktirafan Malaysia Qulaification Assurance (MQA) merupakan perkara penting yang sedang diusahakan oleh pihak institut," katanya.
Sebagai guru yang bakal memegang ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan kepujian dalam Bahasa Melayu Pendidikan Rendah, penguasaan dalam bahasa Melayu Pendidikan Rendah, penguasaan dalam penulisan, pengucapan di khalayak, budaya dan sastera akan melahirkan insan guru yang berkualiti dan berkepribadian tinggi.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas, Timbalan Pengarah IPG Kampus Gaya, Subramaniam a/l Muthusamy.


KUMPULAN PERTAMA...Kumpulan pertama pelajar PISMP Institut Perguruan Gaya bergambar bersama Bolkiah, Zubaidi, Puan Salmah selepas persemban teater budaya Kembara

Sejenak dalam pertemuan dengan Datu Rosmadi

Tags
Jumaat lepas, saya menyertai rombongan DBP Sabah yang membuat kunjungan hormat kepada Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Sabah, Datu Rosmadi Sulai. Rombongan DBP Sabah diketuai Pengarah DBP Sabah, Saudara Zubaidi Abas disertai oleh Ketua Unit Bahasa, Puan Hajah Asmiah Haji Ajamain, Pegawai Projek, Abd.Nassir Said, Pengerusi JK Penyelidik Bahasa Sukuan Sungai, Sitti Rahmah G.Ibrahim dan saya sendiri atas kapasiti sebagai Pengerusi JK Penyelidikan Bahasa Sukuan Iranun. Pertemuan yang disifatkan sebagai seolah-olah `menang loteri' itu oleh Datu Rosmadi itu berlangsung mesra.Datu Rosmadi memberi pandangannya mengenai perkembangan dan pengembangan budaya dan bahasa ibunda, dan dipihak DBP Sabah juga, Zubaidi memberitahu mengenai projek projek penyelidikan bahasa dan budaya etnik yang telah dilakukan.
"Kalau tak didokumentasikan, budaya kita akan pupus," kata Datu Rosmadi.
Umpamanya, kajian perlu dibuat mengenai teknologi menangkap ikan, usaha -usaha pelasteraian alam, sistem tagal di laut, cara membuat belacan, kerana jikalau tak direkodkan, ini semua akan hilang satu masa nanti.
Cerita rakyat, dongeng, peribahasa, dan hasil sastera kita akan hilang. Saya lupa menyatakan bahawa teknologi membuat garam di kalangan masyarakat Iranun sudah pun hilang, teknologi membuat `rabur' atau simen di kalangan masyarakat Iranun juga sudah pun hilang, teknologi membuat gula tebu pula kini telah dimajukan dan tidak lagi menggunakan kerbau sebaliknya menggunakan mesin.Ini semua patut dirakam dan didokumentasi dalam bentuk buku.
Di akhir pertemuan, terpatri janji antara LKS dan DBP Sabah untuk bekerjasama memaju dan membangun budaya dan bahasa ibunda.


Senja di Ulu Kukut

Tags
Entah kenapa saya suka melihat pemandangan waktu senja. Saya suka melihat matahari yang sebentar lagi masuk ke dalam waktu, dan haripun berganti malam.
Senja selalu mengingatkan kita kepada hakikat kehidupan. Matahari yang terbit pagi, pasti akan tenggelam bila tiba waktu senja. Dalam pergantian siang dan malam itulah, kita dapat melihat betapa maha besarnya kuasa Allah S.W.T, yang mengatur dengan begitu teliti, kehidupan kita sebagai manusia iaitu hamba-hambaNya.
Hanya kita yang tidak menghayatinya.

Rabu, 3 Februari 2010

Catatan di Restoran Pantai

Tags
Kami singgah di Restoran Pantai dalam perjalanan pulang dari Lintabung, Sugut. Pemandangan petang di Teluk Marudu memang mengasyikkan.Perahu nelayan yang tertambat, dan soto special yang sedap dengan segera menambat hati kami. Perjalanan sudah semakin dekat untuk tiba di Kota Marudu, iaitu perhentian kami seterusnya.




catatan singgah minum di Restoran Pantai

Tags

Ketika berhenti melepas lelah di Restoran Pantai, saya sempat meminta jasa baik sdr Mahzan (unit Media Yadim) mengambil gambar kami. Saya duduk diantara Pengurus Besar YADIM, Dr. Abdul Ghani Mohammad dan Pegawai Khas Yadim, Dr.Salem Yunos Lingasa.

Kalau tidak silap, jarak antara Lintabung dan Simpang Pitas itu 105 km, tanpa ada pemandangan atau perhentian lain melainkan kesunyian hutan dan kiri kanan jalan yang penghuninya teramat jarang kelihatan.
Jalan Sapi Nangoh ke Pitas, itu merupakan salah satu pilihan jalan yang tersedia untuk ke ibu negeri, terutamanya jika anda seseorang yang berasal dari kawasan sandakan atau pantai timur sabah. Kata orang, jaraknya jauh sedikit satu jam berbanding jalan dari Telupid-Ranau-KK- Laluan Sapi Nangoh-Pitas Kota Marudu-KB-Kota Kinabalu ternyata jauh walaupun tak ada bukit bukau.

Sejenak di Kota Marudu

Tags



Jambatan itu menganjur ke tengah laut. Saya sengaja mengambil gambar kenangan sambil menunggu rakan-rakan lain singgah di Restoran Pantai.
Kelihatan juga Kurniawati Zulfatmi, pegawai Yadim Sabah, Mahzan Shahri mantan wartawan Utusan Malaysia yang kini bertugas di Unit Media Yadim dan Johan, dari JPPS yang membawa kami ke Lintabung.
Di tepi jalan Mengaris, Kota Marudu itu, kami berhenti sebentar untuk membeli dan makan jagung bakar.Mahzan sempat mengambil gambar, untuk koleksi kenang-kenangan.









Selasa, 2 Februari 2010

Catatan ketika bertugas

Tags

Kami terpaksa juga mewawancara Datuk Saifuddin Abdullah untuk mendapatkan pandangannya mengenai isu politik semasa sebaik selesai majlis Ekspo Pendidikan Putatan 2010. Saifuddin, seorang pemimpin yang sederhana dan mudah didekati.Gambar ini dirakamkan Saudara Liaw Sin Kuang, Setiausaha Akhbar Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin. Kelihatan. veteran RTM, Haji Osman, NT Ketua Biro Bernama, Rashid dari Utusan Malaysia dansaya sendiri dalam wawancara singkat itu.
Temuramah sebegini biasa dilakukan untuk mendapat butir-butir lanjut berhubung ucapan yang dibuat sebelum itu, dan di sinilah mereka yang diwawancara itu memberikan komen lebih lanjut mengenai sesuatu perkara, untuk disiarkan di media keesokan harinya.