Rabu, 30 Jun 2010

Berita dari Dewan Saadah MUIS MTQ ke-53 malam kedua

Tags
Saya pasti sekali ayah dan ibu saya di Kota Belud sedang menonton siaran langsung Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-53 ini Tahun 1431H/2010H. Tak kan ada program tv yang lain yang dapat menandingi kehebatan majlis tilawah ini. Jangan sesiapa tukar siaran kerana mereka pasti marah.
Sahabat saya Rashid juga teringat ibunya di kampung, di Rompin Pahang yang pasti juga sedang menonton siaran langsung MTQ yang disiarkan di Dewan Saadah Wisma MUIS ini.
Hari ini malam kedua.
Malam kelmarin, penonton begitu ramai. Dari tingkat bawah, tingkat satu hingga tingkat tiga, semuanya penuh dengan orang. Sebaik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyudahkan ucapan perasmian, kami bergegas ke kantin Hajah Che Yam untuk menghantar berita.Masing-masing membuka laptop terutamanya rakanrakan wartawan dari akhbar nasional.

Sekarang peserta ketujuh sedang memperdengarkan bacaan.Qari dari Johor Mohd.Zulhilmi Ibrahim. Sebelum ini qariah Hanimzah Jalaludin dari Pahang.Sebelum majlis berhenti rehat, lima orang telah memperdengarkan bacaan.

Pembaca pertama pada malam ini dari Terengganu,Ahmad Tarmizi Abdul Rahman iaitu qari termuda berusia 21 tahun. Selepas itu, qariah,Nor Ruzana Natiah Jaafar dan qari ,Haji Ahmad Mustafa Mohd.Sidin dari Selangor memperdengarkan bacaan diikuti qariah dari Perlis,Sarina Che Yahya dan kemudian qari,Abd.Latif Mohd Ali dari Negeri Sembilan.

Buat pertama kalinya, orkes bambu diundang memperlihatkan kebolehan mereka bermain muzik bambu.Pada mulanya, kumpulan muzik, Kinabalu Merdu Sound di bawah pimpinan Koh Adie Watiman dari kampung Sinisian Ranau ini dianggotai oleh seramai lima anggota tetapi kini ia sudah mempunyai ahli seramai 150 orang ahli.Penyanyi undangannya ialah Nazrey Raihan.
Lagu Nasyid diiringi muzik bambu tentu ini merupakan kali pertama bagi penonton-penonton yang menonton dari seluruh negara. Semua pemain muzik ini terdiri dari masyarakat Dusun Ranau.

Insaflah wahai manusia, terdengar penyanyi nasyid itu melantunkan sebuah lagu D Loyd , yang akrab di telinga. Begitu syahdu dan menginsafkan lagu ini dan ini pertama kali, saya kira ia dilagukan dalam MTQ sambil diiringi muzik bambu.

Qariah kelapan,Hajah Maimunah Awang dari Pulau Pinang. Qari kesembilan dan terakhir pada malam ini ialah Mohd.Mawardi Jamaludin, juga dari Pulau Pinang.

Sabtu, 26 Jun 2010

Antologi Puisi Sulaman dan Pena Kota

Tags
Di sebalik kesibukannya dalam dunia politik, Haji Ghulabdin Enjih yang juga Pengerusi Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) Tuaran sempat juga mengumpulkan karya-karya penulis Tuaran khususnya dalam bidang puisi untuk dimuatkan dalam Antologi Puisi Sulaman. Selain puisi-puisi Haji Ghulabdin yang lebih dikenali sebagai Pena Kota di kalangan penyair Sabah, Antologi Puisi Sulaman itu memuatkan karya karya penulis seperti Mihaldin Rahim, Awang Puasa Jambul, Awang Bungu Ag Mattiasin @ Agus M, Marsah Muyung dan Ali Karim.
Antologi yang memuatkan 54 puisi itu disifatkan oleh Jasni Matlani, Yang Di Pertua BASA Pusat, sebagai "sangat besar ertinya dalam konteks penyerlahan sastera Melayu di Sabah".
Semoga penerbitan buku itu akan menjadi perintis kepada penerbitan lebih banyak buku lain yang lebih berkualiti pada masa depan khususnya dihasilkan oleh para penulis yang hebat dari kawasan Sulaman.
Haji Ghulabdin yang menulis sejak akhir 70-an lagi mula terlibat dalam sastera sejak di bangku sekolah.Karya-karyanya tersiar di akhabr tempatan seperti Sabah Times, Borneo Mail, Kinabalu Weekend,Suara Sabah, Mingguan waktu, Borneo Bulletin, Berita Harian, Dewan Sastera, Sarina, Juita dan Utusan Borneo.

Beliau pernah terpilih sebagai Pengarah Drama Terbaik Tuaran pada tahun 1980-an melalui drama Protes. Beliau juga menghasilkan cerpen, dan salah satu cerpennya berjudul `Cucu' dimuatkan dalam antologi cerpen Lambaian Kinabalu yang diterbitkan DBP pada tahun 80-an.

Kelahiran antologi Sulaman ini akan menyuntik lagi semangat penulis-penulis dari Tuaran Sabah untuk menghasilkan karya.

Jumaat, 25 Jun 2010

Zulhisham, selamat bertugas di tempat baru

Tags

barangkali agak sukar juga bagi kami melepaskan seorang sahabat seperti Zulhisham. Setelah kira-kira empat tahun berkhidmat sebagai wartawan Utusan Malaysia di Sabah, beliau dipindahkan ke Johor Bahru mulai 1 Julai ini.
Sepanjang empat tahun berada di Sabah itu,beliau telah berbakti dengan penuh dedikasi sebagai wartawan, berbaur dengan masyarakat,membuat liputan pelbagai peristiwa,lawatan menteri atau mendengar keluhkesah orang bawahan, petani atau nelayan.
Kami berasa kehilangan.Beliau seorang yang mudah membantu,bersahaja dan suka menjaga hati kawankawan.
Kalau tidak silap saya, Hisham begitu kami memanggilnya, bertugas di negeri bawah bayu ini pada penghujung 2005.Sebagai seorang yang rendah hati, belaiu mempunyai mudah mendapat ramai kawan.
Saya tidak ingat berapa kali saya meminta bantuan daripadanya, tetapi saya ingat bahawa beliau tidak pernah lokek untuk berkongsi maklumat atau berita yang ada.
Kami tidak menyangka beliau akan dipindahkan, mujurlah Johor Bahru terletak hanya tiga jam dari kampung halamannya di Segamat.
Saya fikir beliau lebih mengenal alam sosio budaya dan politik Sabah berbanding negerinya sendiri.Tentu banyak sekali pengalaman pahit manis, lucu, suka duka sepanjang berada di negeri ini.
Tetapi antara pengalaman pertamanya di Sabah yang tidak dapat dilupakan apabila mendengar nama-nama yang aneh orang tempatan,Pernah satu ketika beliau hampir tergelak apabila mendengar nama Rumput bin Lalang. Banyak kisah menarik yang mungkin boleh dikongsikan.
Kepada Saudara Zulhisham, kenang-kenangkanlah pengalaman yang menyenangkan dan lupakan yang mendukacitakan.
Perpisahan memang menyakitkan.Tetapi setiap yang berawal pasti kan berakhir jua. Gambar gambar ini kami rakamkan ketika Zulhisham mengadakan kunjungan selamat tinggal pada petang 25 Jun di pejabat Utusan Borneo.


Di Majlis Ulang Tahun DBP ke-54

Tags


Gambar gambar kami ketika itu

















Catatan ketika Majlis Ulang Tahun DBP ke-54 di Sabah

Tags
Saya hairan kenapa Jess dan Alex agak sibuk pada petang itu.Jess merangka kata-kata, Alex merekanya dalam bingkai.Hampir semua rakan di Utusan Borneo, dan ini sudah tentu dipandu Editor Eksekutif, Lichong Angkui merasa ingin merakamkan ucapan tahniah kepada DBP Sabah kerana ulang tahun DBP yang ke54.
Saya diminta menyampaikannya kepada Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas sebagai rakaman penghargaan kami atas sumbangan dan kerjasama yang diberikan kepada Utusan Borneo selama ini.
Majlis sambutan itu kelihatan agak sederhana.Didahului ucapan-ucapan, lagu-lagu tradisi Brunei dari Bongawan, bacaan puisi oleh Hasyuda Abadi,Jasni Matlani, Siiti Rahmah G.Ibrahim, Jasni Yakub,Mohd.Fuad Bebit,lagu-lagu puisi oleh Grup Pemuisi DBP Sabah, majlis itu ternyata meriah.
Ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif menggesa masyarakat supaya memandang berat soal-soal bahasa dan sastera bagi melahirkan masyarakat yang beradat dan beradab.
Marilah kita mensasterakan rakyat dan merakyatkan sastera.Ia membawa dua makna yang berbeza tetapi sudah pasti, usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan harkat dan martabat sastera tanahair.



Zubaidi berkata, walaupun kian tersamar oleh kilauan lampu neon yang benderang, semangat perjuangan untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara tidak pernah padam.
Semangat perjuangan kita tetap menyala untuk mendaulatkan bahasa Melayu, katanya.
"Kita tetap mempeteguh keyakinan untuk menggalas tugas dan tanggungjawab melaksanakan fungsi dan peranan dengan penuh amanah dan semangat," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang tahun DBP Ke-54 yang diadakan pada malam 22 Jun di Kompleks DBP Sabah.
"Sebagai institusi yang diamanahkan dengan tugas membina dan mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan, DBP mesti mengorak langkah mengikut arus zaman," katanya.
Majlis Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-54 itu diserikan lagi dengan kehadiran sasterawan, penulis dan penyair, pemimpin-pemimpin NGO dan wakil-wakil media cetak dan media elektronik.


"Pada tahun ini genaplah 54 tahun DBP ditubuhkan", kata Zubaidi mengimbas semula sejarah penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka. DBP lahir daripada semangat perjuangan yang menyala untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.
"DBP harus menjadi contoh kepada institusi pembinaan ilmu yang yang lain dalam usaha pembinaan, pengembangan penyelidikan, bahasa, sastera dan penerbitan.
Malah DBP harus memperhebat usaha dan peranan dalam mencorakkan perkembangan bahasa dan sastera pada era yang sungguh mencabar ini, " katanya lagi.
Walaupun amat sukar untuk mengukur dan menilai kejayaan dan keberkesanan program dan kegiatan yang dilaksanakan kerana ukuran tersebut agak abstrak sifatnya, namun keberkesanan program dan kegiatan tersebut banyak bergantung kepada sambutan dan penerimaan semua lapisan masyarakat terhadap penggunaan bahasa kebangsaan dengan baik dan betul.
Keberkesanan itu juga terserlah melalui sambutan masyarakat terhadap bidang penulisan, kegiatan kesusasteraan, penerbitan mahupun minat terhadap buku dan pembacaan, katanya lagi
Ukuran kejayaan ini tidak seharusnya dilihat dari kehebatan fizikal saja, tetapi yang jauh lebih penting ialah kehebatan bahasa Melayu menjadi wadah penyampaian dan penyebaran ilmu untuk pembangunan minda dan masyarakat.
Beliau berkata, dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini, usaha DBP secara sendirian tidak akan berhasil. Bantuan-bantuan dan sokongan pelbagai pihak amat diperlukan.
"Kita amat memerlukan sokongan pemimpin dan golongan politik yang berperanan dalam menentukan hala tuju perkembangan bahasa dan sastera," katanya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Datuk Haji Mohd.Arifin Arif , yang juga ADUN Membakut yang sentiasa memberikan sokongan dan bantuan untuk menjayakan kegiatan bahasa dan sastera di negeri Sabah
Zubaidi juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak Media yang sentiasa bersedia memberikan ruang kepada kegiatan anjuran DBP.
Media massa cetak mahupun media massa elektronik sebagai alat untuk menyampaikan laporan, berita, maklumat, pandangan, ulasan dan sebagainya yang dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat sesungguhnya amat berperanan dalam pengembangan dan perkembangan bahasa kebangsaan.
"Sempena sambutan ulang tahun ke-54 DBP ini, marilah kita membina kesepakatan dan tekad untuk terus mempertahan dan memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan kita , baik dalam bentuk dan peranannya sebagai bahasa perpaduan, bahasa pembentuk jati diri bangsa, dan sebagai wahana komunikasi rasmi dan pengembangan ilmu," katanya.
Kita pasti tidak sanggup meminggirkan dan meremehkan bahasa milik sendiri yang dicintai, apatah lagi menginjak dan `menghumbankannya' daripada kehidupan kita.
Namun dalam kehidupan moden pada masa ini, sebilangan anggota masyarakat tidak lagi melihat bahasa kebangsaan sebagai sesuatu yang cukup bernilai bagi kehidupan sebagai sebuah bangsa, kata Zubaidi lagi.
Bahasa milik bangsa sendiri sentiasa dilihat sebagai bahasa yang serba kekurangan, tidak mampu menjadi bahasa moden, tidak mampu menjadi bahasa ilmu, tidak mampu memajukan bangsa.
Dalam majlis itu juga, Utusan Borneo, yang juga merupakan akhbar tunggal berbahasa Melayu yang diterbitkan di Sabah telah menyampaikan penghargaan kepada DBP Sabah kerana sambutan ulang tahun DBP ke-54.

Berita untuk orang teater

Tags
Saya terjumpa Saudara Jamal Sulai baru sebentar tadi.Kelihatan beliau sedang sibuk menandatangani surat-surat jemputan untuk orang-orang teater.
"Kami akan mengadakan majlis Himpunan Teaterawan Negeri Sabah 3 Julai ini," katanya.
"Dimana?"
"Di Tingkat 11, Wisma Dang Bandang".
Majlis Himpunan Teaterawan itu bertujuan untuk menjadi wadah pertemuan dan diskusi dalam konteks pembangunan teater di Sabah.
Seramai 47 orang penggiat teater, mungkin nanti akan lebih ramai lagi, dijangka menghadiri Majlis Himpunan Teaterawan itu.
"Prof Ghousen juga kami jemput," katanya.
Menurutnya, Zakaria Arifin juga kemungkinan besar akan hadir pada majlis yang bermula jam 9 pagi hingga malam itu.
Majlis itu dianjurkan oleh Pesatuan Karyawan Teater Negeri Sabah dengan kerjasama JKKN, DBP, IPS.

Penggiat-penggiat teater Sabah dipelawa hadir menjayakan majlis himpunan itu. Jawatankuasa Penganjur boleh dihubungi melalui 0168066848/0123441072

Bloggers dipelawa sertai pertandingan Blog Pelancongan Terengganu

Tags
Anda seorang penulis blog? Ini berita baik buat anda.
Kerajaan Negeri Terengganu melalui Unit Komunikasi Negeri Terengganu kini sedang menganjurkan Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010.
Anda hanya mempunyai masa sehingga 30 Jun 2010 untuk membuat pendaftaran dan mengesahkan penyertaan.
Tempoh pertandingan ialah sehingga 30 Ogos 2010.
Pertandingan yang bertema "Terengganu Di Hatiku" terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
Peserta bebas untuk menulis apa jua artikel, kisah, maklumat, panduan, diari dan sebagainya dalam blog yang bertemakan pelancongan Terengganu. Pertandingan itu lebih menjurus kepada melahirkan keindahan, kepermaian, corak sosio budaya, kesenian serta kepelbagaian aktiviti dinegeri Terengganu yang menggamit kehadiran pelancong ke negeri Terengganu kini dan pada masa depan.
Oleh itu, kesemua peristiwa, catatan, gambar dalam paparan blog atau laman web hendakah membawa mesej positif dan mampu menterjemahkan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan.
Hadiah lumayan disediakan untuk pemenang pertandingan. Bagi kategori pelajar Tingkatan 6 ke bawah, hadiah pertama RM5,000, hadiah kedua RM3,500,ketiga RM2,500 keempat RM1,500, kelima RM1,000 dan 10 hadiah saguhati RM250 seunit.
Kategori pelajar IPT menawarkan hadiah pertama RM7,000, kedua RM5,000,ketiga RM3,000 keempat RM2,000, kelima RM1,500 manakala 10 unit hadiah saguhati bernilai RM300 setiap satu.
Bagi kategori Terbuka menawarkan hadiah menarik. Hadiah pertama RM10,000, hadiah kedua RM7,000, hadiah ketiga RM5,000, keempat RM3,000, kelima RM2,000 manakala saguhati RM500 untuk sepuluh unit.

Sebarang pertanyan bolehlah diajukan kepada Urus Setia Pertandingan, Harun (0199897679, Anida (0193728521), Rozita (0196065740) Huraizah (0179625517) atau emel urus setia trgtourism@yahoo.com atau lawati www.trgtourism.blogspot.com

Isnin, 21 Jun 2010

Terkenang peristiwa ketika menonton bola

Tags
Piala Dunia mengingatkan saya tentang ajinomoto, yang oleh orang kampung saya dipanggil misin. Mungkin semua orang tahu, ajinomoto bukanlah nama pemain bola melainkan ia merupakan perencah penambah sedap masakan. Tetapi kerana lambat membeli ajinomoto, saya hampir dirotan oleh ina' yang bermaksud ibu dalam bahasa Iranun. Keterlambatan itu disebabkan kerana saya terleka menonton perlawanan bola antara kampung-kampung yang diadakan di Padang SRK Tamau.

Saya disuruh membeli ajinomoto kerana ketika itu, ina' sedang memasak. Tetapi sehingga mereka siap masak dan makan, saya yang ditunggu-tunggu itu tidak juga pulang-pulang. Maka bapa kemudian mencari saya dan menemui saya sedang asyik menonton bola.

Beliau tidaklah memukul saya. Sebaliknya menyuruh saya pulang. Tetapi esoknya saya datang lagi untuk menonton bola. Bolasepak ketika itu merupakan salah satu acara keramaian di kampung kami. Hampir semua kampung berhampiran menyertai pertandingan liga kampung itu.

Saya teringat antara pemain yang jadi idola belia kampung ialah armawan, yang selain laju pandai menggelesek bola. Juga Abdul Gais, upok dan akiah.Imbut selalu bermain sebagai penjaga gol. Rakim selalu tidak ketinggalan bermain bula.Sawi juga. Mukaris, Mokdin juga pemain yang bagus.

Pemain-pemain dari kampung lain yang terkenal termasuklah Bidar dari Kampung Sarang. Juga Jack dari Taun Gusi.Kedua-duanya berbadan besar dan bermain di posisi pertahanan seperti Santokh Singh dan Soh Chin Aun. Dari perlawanan bola itu juga saya mengenal pemain seperti Akim, Ibadat,Batun,ParbikIntam dan lain-lain lagi darin Kampung Rampayan dengan penjaga gol mereka bernama Yusuf, yang mungkin penjaga gol terbaik ketika itu.

Dari kampung Kotabungan, yang terkenal ialah Jaafar Sidik, Mohd Saibi . Dari Peladok, ada nama Eping, Cikgu Lalim, dan banyak lagi yang saya tak ingat.

Sejak dulu lagi saya memang minat menonton bola. Barangkali kerana di kampung kami tak ada aktiviti lain. Ketika itu juga pasukan Sabah sedang berada di kemuncaknya dan kami anak-anak kecil hanya mendengar perlawanan itu melalui siaran jam 4.15 petang yang ke udara dengan juruhebahnya Ismail Tahir.

Sabah pernah memiliki pasukan bolasepak yang kuat. Selalu berada di kelompok empat terbaik di Malaysia. Yang terbaik selalu Selangor atau Singapura dan dikuti pasukan Pahang.Sabah berada di tempat keempat dalam Piala Malaysia ketika itu.

Siapa yang tidak kenal dengan nama Hassan Sani yang digelar Lipas Kudung itu. James Wong, Peter Rajah, Awang Sabtu, Razali Zinin, Rashid Piut, Paulus Jimit dan ramai lagi. Dari Kota Belud, ada nama Saidun Sungit. Pernah ada nama Awal Taham. Tony Wong, Jhonny Wong dan ramai lagi.

Tetapi setiap kali ada kejohanan bola sepak di kampung kami, saya tidak terlepas untuk menontonnya. Meskipun bukan seorang pemain bola yang baik, saya ialah penonton dan pengulas bola yang baik di kalangan kami anak-anak ketika ketika itu.

Bolasepak memang permainan untuk semua orang, tanpa mengira warna kulit atau agama. Bolasepak adalah satu-satunya permainan yang boleh dimainkan semua orang tanpa mengira bentuk rupa, wajah atau tubuh mereka.

Saya tertarik dengan rencana Majalah TIME yang mengatakan bahawa 715.1 juta orang menonton Piala Dunia di 400 saluran di 208 negara.

Apa kata Samuel Eto'o dalam wawancaranya kepada TIME baru-baru ini. Katanya, bolasepak adalah senjata terbaik bagi melawan konflik politik. Soccer is the best weapon against political conflict. Saya fikir Eto'o benar ketika dia berkata begitu.

Jumaat, 18 Jun 2010

Catatan kecil tentang Mabul

Tags
Ketika kecil Mabul, begitu dia dikenal dikalangan rakan-rakannya, bercita-cita untuk menjadi penyanyi seperti P.Ramlee.
Kerana itu, beliau mampu menyanyikan hampir semua lagu P.Ramlee. Minatnya kepada lagu-lagu klasik juga,menjadikan beliau menghafal hampir semua lagu 50 an, 60-an dan 70-an. Sebutlah apa saja lagu dalam era itu, pasti dia tahu siapa penyanyinya, siapa yang mempopularkannya.
Saya tidak pasti apa yang membuatnya meminati puisi. Sebenarnya dia lebih suka melukis, dan bakatnya menyerlah dalam lukisan sehingga mendapat markah yang bagus dari guru-gurunya.
Tetapi Mabul akhirnya dikenali sebagai penulis. Beliau mula menulis pada ketika semangat penulis-penulis bergelora pada awal 1990an. Gelora dan semangat yang kemudiannya melahirkan Ikatan Penulis Sabah (IPS).
Pertumbuhan awalnya sebagai penulis, barangkali lebih banyak dipengaruhi oleh puisi-puisi angkatan 45 yang dipelopori Chairil Anwar.Entah mengapa Mabul tergamit dengan gaya perpuisian mereka. Beliau juga tertarik dengan Subagio dan penyair penyair lain juga.
Mabul mulai terdedah kepada selok belok dunia penulisan ketika menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) yang pertama. Sejak itu, Mabul terus menulis puisi yang kini ratusan jumlahnya.Kemudian beliau menulis cerpen, dan menjadi eseis budaya dimana hasil-hasil tulisannya tersiar dalam majalah Dewan Sastera,Dewan Budaya, Berita Minggu, Wadah,Jendela Sabah, Majalah Etnik, Borneo Mail, Utusan Borneo, Daily Express, New Sabah Times dan sebagainya. Puisi-puisinya juga terbit dalam banyak antologi bersama.

Kehadiran Kumpulan Puisi Stensil Pari-Pari yang merupakan antologi persendiriannya yang pertama mengabsahkan kedudukan Mabulmaddin Shaiddin sebagai penulis dan penyair. Stensil pari-pari yang terbit atas bantuan Datuk Haji Mohd.Arifin Arif, sasterawan Malaysia yang kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut,begitu dinantikan khalayak sastera Malaysia.

Penulis kelahiran Kampung Tamau Kota Belud pada tahun 72 ini telah mewarnai dunia penulisan di Sabah sejak awal tahun 90 lagi. Beliau diberi banyak perhatian, mungkin kerana kelainan puisinya dan pembangkangan pembangkangan terhadap konvensi puisi yang sedia ada.

Saya fikir, Stensil pari-pari yang baru terbit ini merupakan satu peluang bagi khalayak sastera terutamanya di Sabah untuk menghayati, meneroka, mendebat atau mencabar pemikiran Mabul.
















Rabu, 16 Jun 2010

Gunung Kinabalu diselaputi awan

Tags

Bulan Mei lalu, pada satu pagi dalam perjalanan ke Kampung Perapat Laut Kudat,saya sempat merakamkan gambar gunung Kinabalu dari tingkap helikopter. Saya terpegun melihat keindahan gunung Kinabalu, gunung yang tertinggi di Asia Tenggara itu. Sejak dari Kota Belud hinggalah ke Teluk Marudu, pandangan saya asyik memandang gunung yang mempunyai banyak legenda itu.Konon dipuncaknya ada gemala naga, itulah sebabnya Ong Sum Peng dulu datang untuk mengambil gemala itu.Puncak gunung ini mula didaki oleh Gunting Lagadan dan Sir Hugh Low.Sebab itu,tercatat nama Hugh Low dan Gunting Lagadan disana.
Gunung Kinabalu memang indah.Kecantikannya tiada tara dan tiada duanya.




















































Ahad, 13 Jun 2010

Saya berasa seperti dalam filem

Tags
Sebaik turun dari pesawat AK6123 dari Tawau, saya terus dibawa menaiki kereta yang menunggu benar-benar di depan tangga kapal terbang. Kami tiba kira-kira jam 2.25 di Terminal Dua Kota Kinabalu dan mempunyai sedikit masa lagi untuk menghadiri majlis taklimat mengenai perkembangan terkini projek penaiktarafan KKIA yang akan dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Haji Abdul Rahim Bakri. Hari itu, petang 11 Jun.

Saya bernasib baik kerana terserempak dengan Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Wilayah 2, Tuan Mahmud Haji Amat Shah yang kemudian mengajak saya menaiki kereta yang telah menunggu.
Saya berasa seperti dalam filem. Saya merasa seperti orang penting kerana mendapat peluang seperti itu. Ditunggu di depan tangga pesawat seolah-olah orang penting, padahal saya hanya kebetulan terjumpa Tuan Mahmud yang terpaksa ikut Air Asia kerana penerbangan MAS agak lewat terbang petang itu. Agak jarang berlaku peristiwa seperti itu.Kami terus bergegas setelah mendapat kebenaran melintasi landasan kapal terbang untuk ke majlis taklimat projek penaiktarafan KKIA khususnya fasa dua yang tempohnya telahpun dilanjutkan tiga kali EOT.

2. Tidak lama selepas kami tiba di pejabat JPA, Datuk Rahim tiba dengan memandu keretanya sendiri.Beliau terus mengajak kami menaiki keretanya untuk ke pejabat tempat sidang media itu diadakan. Kami hanya menunggu di luar menunggu sidang media yang akan diadakan kira-kira jam 3.45 petang.

3. Saya agak terkejut juga ketika bertemu Ruhaini Matdarin, seorang novelis Sabah, lulusan dalam bidang perbankan, yang rupanya bekerja di pejabat itu.

4. Sambil menunggu sidang media, banyaklah perkara yang dibualkan. Saya sempat bertanya seorang Chavacano yang berasal dari Davao yang bekerja di sana mengenai Benigno Aquino III yang akan mula menjalankan tugas sebagai Presiden Filipina pada 1 Julai. Kami sempat berkongsi dengan pengalaman rakan-rakan wartawan lain terutamanya wartawan Senior RTM, Haji Salim Haji Ibrahim mengenai pengalamannya. Mengenai kegemilangan bolasepak Sabah yang biasanya disiarkan Radio dan dengan juruhebahnya arwah Ismail Tahir.

5. Pengalaman Yazeer Mahmun wartawan TV3 juga banyak yang boleh dikongsikan. Pengalamannya membuat liputan di luar negara, mengenai kecanggihan teknologi yang digunakan untuk menyerang flotila Gaza, dan berbagai kisah lain untuk membunuh waktu sambil menunggu.

6. Sebaik selesai sidang media itu, rakan-rakan bergegas pulang ke pejabat masing-masing untuk menyiapkan berita. Tetapi saya yang menumpang kereta Datuk Rahim, terpaksa ikut ke Tanjung Aru kerana beliau mengajak kami minum air kelapa dan makan satay.

7. Kira-kira jam 6.15 saya tiba di pejabat dan kemudian terburu-buru menyiapkan berita. Saya berharap tak ada salah fakta atau tersalah taip dalam waktu waktu sebegitu.

Sejenak menatap gambar masjid

Tags
Dari arah manapun, masjid bandaraya sentiasa kelihatan cantik. Saya sempat merakamkan beberapa gambar.Peluang menaiki Helikopter Bell 206 itu, saya gunakan sepenuhnya untuk melihat keindahan alam dari udara.Mungkin tidak ramai orang yang berpeluang untuk berada di ketinggian ini dan barangkali juga, tidak selalu dapat sudut seperti ini. Kelihatan Kampung Likas yang terkepung oleh hingarbingar pembangunan di sekitarnya.
Tetapi masjid itu, sentiasa mengingatkan kita akan tujuan perjalanan hidup kita.
Ia sentiasa mengingatkan kita kepada tempat kita berserah, bersujud dan tempat kita pulang.Seluruhnya ke-arahMu.

Catatan ketika melintasi Kampung Tamau

Tags
Saya menyesali diri kerana terlelap dalam perjalanan pulang itu. Saya hanya terbangun selepas helikopter melintasi Kampung Tamau, Kota Belud, desa dimana saya bersekolah dan dibesarkan.
Saya mencari anak sungai tempat saya pernah memukat atau menjala ikan. Tetapi yang kelihatan hanya sungai Magutang yang mengalir ke laut melalui muara yang telah berubah tempatnya.
Iya, kebanyakan penduduk di kampung kami, bekerja sebagai petani kalau bukan nelayan. tetapi sekarang anak-anak kampung itu sudah sedemikian maju. Ramai yang jadi guru, pegawai kerajaan malah peguam. Belum ada yang jadi doktor, rasanya. Hanya seorang ahli farmasi yang menjadi kebanggaan kami. Beliau berjaya membuka beberpa kedai farmasi di Sabah, Farmasi Aslam. Pemiliknya merupakan orang kampung kami-Akriah namanya.
Sebenarnya banyak lagi yang menjadi sumber kebanggaan warga kampung kami.Mungkin tak sempat dicatatkan di sini.
Tetapi pemandangan sawah padi itu memang mengilhamkan.

Satu petang singgah di Rosob

Tags
Sejenak singgah di Kampung Rosob, Pitas selepas menghadiri dua acara di Kudat. Petang itu, kira-kira jam 2.00 petang 12 Jun , kami bergambar di bawah pokok kelapa sebelum berlepas pulang ke KK.

"Takut hujan, tak dapat terbang," kata Datuk Rahim kerana kami terpaksa bergegas pulang dan tidak dapat menunggu majlis persandingan anak saudaranya.

Ini gambar kami.Haji Sairin yang berdiri di tengah-tengah itu ialah Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri.Di sebelahnya, Doni,wartawan RTM dan saya yang memilih baju Utusan Borneo kerana saya wartawan Utusan Borneo. Asmat Oyah rakan kami yang memetik gambar. Kesempatan seperti ini, jarang-jarang berlaku. Ia akan menjadi penting ketika usia memanjat senja dan waktu menjadi tua.

Kami mendarat di Kampung Dampirit

Tags
Kami terpaksa mendarat di sebatang jalan di Kampung Dampirit setelah helikopter beberapa kali berlegar di udara. Penduduk menyediakan tempat mendarat di tengah sawah padi, tetapi tak memungkinkan kerana tanahnya lembab. Merasa tidak ada pilihan lain, Kapten Ridzwan terpaksa mendaratkan helikopter di atas jalanraya, sebelum kami menaiki hilux kira-kira 10 minit perjalanan ke Kampung Bambangan Sikuati.
Kampung yang dikelilingi pokok getah, Bambangan agak tersembunyi dan terperosok jauh ke dalam pedalaman Sikuati. Terdapat kampung di sebelahnya, namanya Sungai Karang yang kebanyakan penduduknya adalah nelayan. Ada yang memberitahu, jauh di seberang kampung itu, ia berhadapan dengan Kampung Landung Ayang Kudat.
Tengahari 12 Jun itu, kami berada di sana membuat liputan lawatan Timbalan Menteri Pengangkutan,YB Datuk Rahim Bakri turun padang dalam majlis Pemimpin Bersama Rakyat di kampung itu.Beliau yang juga Ahli Parlimen Kudat mengagihkan bantuan kepada golongan miskin, ibu tunggal, dan warga emas.Beliau juga menyampaikan bantuan beras kepada penduduk di empat buah kampung.
Mungkin kalau bukan kerana tugas, agak sukar juga untuk ke kampung yang terpencil ini tanpa sesuatu tujuan. Tetapi Datuk Rahim disebalik kesibukannya tetap menyempatkan diri untuk bersama penduduk kampung di kawasan Parlimen Kudat yang diwakilinya.
Terasa agak lucu juga ketika mengingati perjalanan itu.Kami sangka dekat, sehingga kami menolak untuk naik kereta Chin yang mengambil kami untuk ke Kampung Bambangan sebaliknya memilih untuk berada di belakang hilux.Akhirnya dalam perjalanan naik bukit turun bukit itu kami bermandi habuk kerana rupanya Kampung Bambangan terletak agak jauh juga dari Dampirit, iaitu kira-kira 1o minit perjalanan menggunakan kereta.



Sengaja mengitari tanjung simpang mengayau

Tags
Sengaja kami mengitari Tanjung Sampang Mengayau untuk melihat keindahan ujung paling utara Pulau Borneo itu. Memang cantik pemandangannya. Walaupun ada yang menyebutnya Simpang Mengayau, atau sebutan apa saja, simpang mengayau merupakan garis pertemuan Laut Cina Selatan dan Laut Sulu. Ia menyimpan berbagai peristiwa sejarah sejak zaman bahari dan banyak disebut dalam catatan-catatan sejarah lampau.
Ia merupakan salah satu daya tarikan utama jika kita berkunjung ke utara Sabah. Mungkin bagi mereka yang ingin berkunjung ke Sabah, Tanjung Simpang Mengayau atau sampang mengayau ini boleh dimasukkan dalam jadual lawatan masing-masing.
Entah berapa ratus kapal, atau ribu kapal yang pernah melalui Tanjung Sampang Mengayau sejak beberapa abad yang lampau sebelum kolonialisme bertapak di Pulau Balambangan?

Dalam Helikopter Bell 206

Tags

Gambar ketika berada dalam helikopter bell 206, sebelum terbang ke Kudat. Pagi itu cerah, tepat jam 8.00 kami terbang ke bandar Kudat dan tiba kurang satu jam di Stadium Sukan Kudat kerana YB Datuk Rahim Bakri menyaksikan Kejohanan Bolasepak dan Bola Tampar Platun Rela Daerah Kudat. Terdapat kira-kira 115 platun Rela dengan keahlian seramai 5,000 orang, tiga ribu daripadanya merupakan ahli yang aktif di daerah Kudat.
Di Stadium itu saya sempat bertemu rakan penulis, Awang Karim Kadir yang jadi Pengerusi PIBG SK Landung Ayang, dan juga Haji Antau Alu, Ketua Kampung Indarason Laut.
Bersama saya dalam gambar ini ialah wartawan RTM yang baik hati, Doni.

Makin kita minum air yang manis

Tags
Biar betapa ketat sekalipun jadual tugas di Kota Belud pada hari itu, saya tetap menyempatkan diri bertemu dengan Cikgu Norawi Haji Kata, yang bertugas di bahagian Anti Dadah Jabatan Pelajaran Daerah Kota Belud. Beliau juga seorang penulis yang pernah memenangi Hadiah Sastera Sabah dan merupakan stringer Bernama untuk daerah Kota Belud.
Saya tertarik dengan dengan kata-katanya, puitis bunyinya-makin kita minum air yang manis, makin kita rasa kehausan. Ada falsafah di dalamnya, kata-kata yang diucapkan sambil kami menyasikan aliran sungai dari Gunung Kinabalu.

Isnin, 7 Jun 2010

Pertemuan singkat dengan Nik Nazmi

Tags

Nik Nazmi sudah menunggu ketika kami tiba untuk pertemuan itu. Kalau bukan kerana saya selalu mengikuti tulisan-tulisannya, mungkin saya hanya akan mengenalinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia dan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor.

Pertemuan itu, walaupun santai tetapi menjadi sangat penting bagi saya, bukan saja kerana dapat berkenalan dengan Exco Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat tetapi juga dapat berbicara dan bertukar fikiran dengan seorang tokoh dari angkatan muda, yang sudah saya ikuti buah fikirannya melalui tulisannya yang tersiar dalam beberapa media.

"Saya selalu mengambil jalan tengah," katanya kepada saya. Pemikirannya tentang demokrasi, kebebasan berpendapat, pandangannya mengenai subsidi, mengenai konsep 1 Malaysia, mengenai generasi muda, mengenai isu-isu semasa, masa depan Malaysia, mengenai sekolah, juga dibincangkan mengenai ketuanan Melayu, Model Ekonomi Baru, dan sebagainya itu, saya fikir amat bernas.

Sebenarnya saya diajak Sdr Sanizam untuk bertemu dan diperkenalkan dengan YB Nik Nazmi Nik Ahmad. Walaupun agak sibuk dan tergesa-gesa pada pagi itu, namun pertemuan dengan Nik Nazmi itu menjadi satu keutamaan kerana memang sudah lama saya berhasrat untuk dapat bertemu dengannya.

Nama Nik Nazmi ini saya kenali sejak AMK dipimpin Sdr Ezam Mohd.Noor (kini Senator). Beberapa tulisannya menyerlahkan sikap keterbukaannya bukan saja sebagai pemimpin muda tetapi sebagai pemikir dan intelektual.

Nik Nazmi merupakan lulusan undang-undang dari King College, University of London. Ayahnya pernah menjadi Ketua Setiausaha (KSU) salah sebuah kementerian dan merupakan lulusan Universiti Malaya (ketika itu di Singapura) pada tahun 1958. Berasal dari Kelantan, kebanyakannya keluarga ayahnya merupakan ulama dan guru agama lulusan Timur Tengah. Tetapi oleh kerana atuknya tidak mampu menyekolahkan anaknya di tanah Hijaz, maka beliau menghantar anaknya, Nik Ahmad iaitu ayah kepada Nik Nazmi untuk bersekolah di Singapura.

Nik Nazmi membesar dan bersekolah di Selangor. Beliau melanjutkan pelajaran di London dalam bidang undang-undang. Di sana, beliau terdedah dengan dunia pemikiran yang lebih terbuka. Walaupun begitu, Nik Nazmi tetap orang Melayu yang santun. Selain itu, beliau menghormati dan menghargai pendapat lawan bicaranya.

Beliau memberitahu saya bahawa beliau selalu mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan facebook dan twitternya, termasuk dengan rakan dari BN dan UMNO dan berbincang dalam suasana yang lebih terbuka. Saya juga sempat bertanya mengenai tokoh-tokoh muda dalam AMK antaranya Sim, Nurul Izzah, Jonah, Yusmadi, Amirudin Shari, Samsul Iskandar dan bagaimana AMK dapat menarik perhatian lebih ramai golongan muda.Pandangannya terhadap Khairy Jamaludin dan sebagainya.

Banyak juga perkara dan isu yang kami bincangkan. Sebagai wartawan, saya tidak melepaskan untuk melontarkan beberapa persoalan dan pertanyaan. Dalam beberapa hal, kami sependapat, dalam beberapa hal lain, mungkin ada yang berbeza. Percakapan kami menjadi semakin menarik,bahkan bukan setakat isu semasa, malah berlanjut juga ke dunia buku. Bagaimana seharusnya kita menggalakkan budaya ilmu, budaya berfikir di kalangan generasi baru.

Saya teringat bagaimana pada satu kunjungan ke Toko Buku Gramedia di Matraman, diadakan diskusi buku dan pelancaran buku di dalam kedai buku. Saya diberitahu bahawa beliau akan berada di Suria untuk menandatangani buku hasil karyanya. Sayang sekali kerana saya tidak dapat menghadirinya.

Tidak lama kemudian, rakan-rakan yang lain datang. Antaranya Erviana Ansari dan rakan wartawan dari The Borneo Post, Mariah Doksil. Pertemuan itu menjadi sangat bermakna dan menyenangkan.

Saya fikir, jika tokoh-tokoh muda kita di Malaysia, seperti Nik Nazmi yang dapat berbicara secara jelas, terbuka, berterus terang, berani berbeza pendapat, menghormati prinsip kebebasan demokrasi, adil dan dapat menghargai perbezaan, Malaysia mampu bergerak lebih laju dan maju lagi ke hadapan.