Jumaat, 23 Julai 2010

dapat tawaran berlepas ke Gaza

Tags
Tiba tiba saya dipanggil oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Sebenarnya kami sedang menunggu untuk menemubual beliau selaku Ahli Parlimen Kota Belud dan Setiausaha BN Sabah selepas program Bersama Nelayan anjuran Ko-Nelayan di Kampung Rampayan Laut itu selesai.
Tetapi beliau memanggil saya untuk duduk di sebelahnya.
Kepada saya beliau menyatakan bahawa beliau mencalonkan nama saya untuk membuat liputan di Gaza. Untuk mendapatkan perspektif dari mata kita sendiri, katanya. Dan setelah ditimbangtimbang, wartawan dari akhbar tempatan yang sesuai untuk membuat liputan ke Gaza itu ialah saya.
Katanya beliau membaca tulisan saya dan tertarik untuk mengesyorkan nama saya kepada Menteri Luar, Datuk Anifah Aman.
Bila berangkat?
7 haribulan, katanya.
Saya terpaksa memberitahu bahawa saya tidak dapat ikut serta kerana terlebih dahulu telah memberi komitmen kepada KJRI untuk menyerati rombongan wartawan Sabah untuk lawatan ke Indonesia.
Tak berani? Bukan tak berani Datuk, tetapi kebetulan saya telah memberi komitmen kepada KJRI untuk ke Indonesia.
Kebetulan 7 Ogos itu saya dalam perjalanan pulang ke Sabah.
Beliau beria-ia membawa saya pergi dan melalui kata-katanya itu , saya rasa beliau bersungguh-sungguh.
Kalau 8 haribulan, mungkin boleh Datuk.Saya cuba runding dengan editor.
Tak boleh, katanya kerana jadual keberangkatan sudah ditetapkan 7 Ogos.
Maka terlepaslah saya peluang untuk membuat liputan ke Gaza, iaitu sesuatu yang telah dicita-citakan sejak kecil.Pasti ada hikmahnya, kata saya dalam hati.

Rabu, 21 Julai 2010

di tugu khatulihistiwa

Tags
Sayang sekali mendung waktu itu. Saya juga terlupa untuk mengukur bayang kerana kata orang, di Tugu Khatulhistiwa itu benar-benar terletak di tengah garis khatulhistiwa.
Saya meminta isteri saya merakamkan gambar ini.Sungguh, bukan sebarang waktu dapat berkunjung ke sini.Kota Pontianak memang agak jauh tempatnya.Kami terpaksa naik bas dari Kuching dan menempuh perjalanan berjam-jam lamanua untuk tiba di kota yang yang menajdi ibu kota Kalimantan Barat dan terletak di Muara Sungai Kapuas.Sungguh kami tidak menyangka. Niat untuk kemari memang sudah lama, antaranya untuk mencari susur galur keluarga isteri tetapi hasrat itu terpendam begitu lama.Mujurlah dapat sedikit rezeki dan dapat pula bercuti. 17 Julai 2010.

Tugu Khatulhistiwa ini penanda silaturrahim itu.

kami tiba kemalaman di Ponti

Tags
Gerimis sedang turun ketika kami tiba di Kota Pontianak.Hari sudah malam dan kami tidak pasti, pak Hassan sedang berada dimana. Dia keluar dari rumah sejak pukul 4.00 petang untuk menunggu kami di Gang Mempelam.

Tapi kami datang agak terlewat. Pagi tadi kami ketinggalan bas yang berangkat jam 7.30 pagi dan terpaksa ikut bas yang berangkat jam 10.30 pagi.

Itulah sebabnya kami tiba kemalaman. Itupun lebih awal daripada jadual sepatutnya iaitu jam 8.00 malam kerana pemandu memilih jalan pintas, jalan yang belum siap dibina namun agak dekat dan masa dapat dipendekkan dua jam.

Akhirnya kami ke Muslim Hotel . Sewa Hotel hanya sekitar Rupiah 80.000 untuk satu malam.

Kami cuba menghubungi Pak Hassan. Anaknya yang menyambutnya sedangkan Pak Hassan tak dapat dicari. Selepas meletakkan beg di Kamar No 7, kami minum kopi sambil menunggu beliau datang.

Akhirnya beliau datang mencari kami. Kami berpelukan.Agak lama juga kami berjanji untuk datang tetapi tak dapat dipenuhi kerana kesibukan.

Pak Hassan adalah anak kepada Usman Achmad. Sementara Achmad adalah anak kepada Aminah bte Haji Muhd.Arif dengan pasangannya Muhd Ali bin H.Mahmuddin.

Anak-anak Aminah bte Haji Muhd.Arif ialah Ahmad bin Muhd.Ali, Abdullah bin Muhd.Ali dam Muhd.Amin bin Muhd Ali (sejak sebelum perang dunia kedua berada di Singapura).

Sementara anak-anak Abdullah ialah M. Zawawi, Si Hamnah, St Dasimah (ketiga-tiganya meninggal), H.Abdurrauf, Wagimah (Meninggal) dan Rahimah.

Aminah mempunyai adik beradik iaitu Mohd.salleh, Rodiah dan lain-lain.

Selepas itu, kami naik oplet untuk ke rumahnya di Gang Amalia. Sebuah rumah lama yang agak usang kerana kedaifan. Semoga Tuhan memberikan lebih banyak rezeki agar kami dapat membantu meringankan beban kehidupan Pak Hassan.




Jumaat, 16 Julai 2010

Bertemu juara tinju-Dahari Haji Sahari

Tags
Awal pagi lagi kami check out dari Arif Hotel.
Resepsionis memanggil teksi untuk membawa kami ke Stesen Bas Batu Tiga.
Namanya Doary Haji Sahari.
Doary atau lebih dikenal sebagai Dahari dalam dunia tinju merupakan orang kuat Persatuan Tinju Sarawak dan Persatuan Tinju Malaysia.
Beliau pernah menjadi juara tinju negara dan pernah mewakili Malaysia ke Sukan Sea, paling akhir pada tahun 1980.
Dahari kini membawa teksi untuk mengisi masa lapangnya. Dahulu beliau pernah berkhidmat sebagai polis selama 20 tahun. Di sarawak beliau merupakan ahli persatuan Skuad 69.
Seronok juga bercakap dengan pakcik Dahari, generasi keempat keturunan Banjar.
Ramai juga rakan-rakannya di Sabah seperti Orlando Harumal, Tobias, Chan Bin dan sebagainya.
Sebagai juara tinju, sudah tentu Dahari pernah berjasa kerana mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa.

Catatan perjalanan 1-Ke Pontianak

Tags
Kini dalam perjalanan ke Tebedu sebelum melintasi sempadan ke Pontianak Indonesia. Kami menaiki bas Bintang Jaya dari Kuching jam 10.30 pagi dan dijangka sampai jam 8.00 malam di Ponti, begitu orang menyebutnya di sini.
Semalam kami menginap di Arif Hotel yang terletak berdekatan Masjid Bandar Kuching. Arif Hotel, walaupun kelihatan seperti sebuah hotel yang agak tua tetapi kedudukannya agak berdekatan dengan bandar.
Apa makanan yang istimewa di Kuching?
Sepupu saya, Asli (satu lagi namanya yang popular ialah Zainal)kemudian membawa kami ke Gerai Raja Ayam Penyet. Ketika kami asyik bercerita dalam kereta, tiba-tiba terdengan bunyi berdentum. Rupanya kereta kami dilanggar dan kemudian kami meminta pemandu itu menepi.
Orang yang melanggar kami itu, seorang perempuan. Gadis muda bernama Helen, yang mungkin baru belajar membawa kereta untuk menghadiri kelas.Kelas Make Up,katanya.
Selepas berunding, Helen setuju membayar RM150. Tapi duitnya hanya ada RM100 dan kami terpaksa ke Maybank untuk dia mengeluarkan duit dan setelah itu, menunjukkan lagi arah jalan keluar kerana gadis itu ternyata takut sesat.
Itulah yang menyebabkan kami agak terlambat makan. Sesampainya di gerai itu, orang terlalu ramai. Isteri saya memesan ayam penyet.Saya pula memesan udang penyet.
Kami makan agak berselera mungkin kerana lapar atau mungkin makanan di situ sedap.
Selepas itu kami check in sebelum ke Kampung Tupong untuk ke rumah Asile walaupun hari sudah lewat malam

Khamis, 15 Julai 2010

Pertemuan singkat dengan Nik Rakib

Tags

Meskipun singkat, saya berasa amat bersyukur kerana dapat berjumpa Saudara Nik Rakib Nik Hassan, sahabat saya dari Universiti Prince Of Songkhla Pattani. Beliau datang bersama isterinya, Rattna atau Wan Umi Kalsum, anaknya Nik Hamidi yang masih kecil dan saudara Zawawi Padameen rakan seuniversiti.
Nik Rakib merupakan Ketua Jabatan Pengajian Melayu di univeriti itu.Mereka sampai di Tawau pada petang 13 Julai dan sahabat saya yang juga aktivis belia, Suhaimi Atal menyambut mereka di airport.
Selepas itu, mereka ke Semporna sebelum menaiki bas ke Kota Kinabalu.
Esok mereka akan ke Brunei untuk menyertai Pertemuan Sasterawan Nusantara.

Ahad, 11 Julai 2010

Bersama Saudara Mustapha Kamil Ayub

Tags
Saya berasa gembira kerana dapat berjumpa dan menemubual Saudara Mustapha Kamil Ayub, seorang pemikir dan tokoh pergerakan belia satu ketika dulu dan kini menjadi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Saya sempat bertukar-tukar pendapat mengenai politik Malaysia yang baru, mengenai betapa perlunya kita menghindari politik perkauman yang sempit dan membina politik Malaysia yang lebih adil.
Saya suka mengikuti tulisan-tulisan yang dihasilkan oleh Mustapha.Sayang sekali kerana saya belum memiliki buku baru yang dihasilkannya.

Sejenak bersama Materi Olod

Tags
Saya benar-benar tidak menyangka Saudara Materi Olod, Ketua Bahagian Media dan Komunikasi Jabatan Penerangan Malaysia sudah mencapai usia 58. Wajahnya kelihatan muda dan kerana itu saya fikir usianya lebih muda daripada itu.Barangkali kerana hatinya sentiasa baik.Penampilannya sederhana yang membuatkan saya merasa akrab dengannya.Selain itu, beliau seorang penulis dan sekaligus pemikir yang sentiasa memberikan sumbangan buah fikiran yang dituangkan dalam karya-karyanya yang tersiar di surat khabar dan melalui ceramah-ceramah yang disampaikannya kepada masyarakat.

Saudara Materi sedang berkemas-kemas ketika saya datang untuk memperbaharui kad media saya yang rosak.

Bulan depan, katanya beliau akan bercuti sebelum bersara daripada perkhidmatan kerajaan. Saya mengambil kesempatan untuk merakamkan gambar bersama beliau.

saya fikir, kalau beliau terus menulis dan menyumbangkan tulisan di suratkhabar, dan menuangkan pengalaman-pengalamannya, akan cukup menarik. Beliau sukakan tulisan yang bersifat ilmiah. Mudahmudahan beliau akan terus menulis walaupun setelah bersara

Jumaat, 9 Julai 2010

Mat Salleh belum mati!

Tags

Mat Salleh belum mati!, ternyata walaupun jasadnya sudah lama dikebumikan tetapi dia masih tetap hidup di hati anak-anak watan.Mungkin makamnya tidak diketemukan sampai sekarang,kecuali tugunya di Tibabar Tambunan itu, pemergiannya dari alam fana ini masih tetap misteri, sampai sekarang.
Mat Salleh belum mati!.saya teringat bagaimana seorang penyair menyatakan bahawa sebenarnya Mat Salleh belum mati lagi.Semangat perlawanan anti penjajahan masih tetap tertanam di hati anak-anak negeri. Segala yang namanya penindasan, pemaksaan,diskriminasi atau apa saja yang berbau kolonialisme, dapat dengan mudah dihubungkan dengan perjuangan Mat Salleh yang mampu menghimpunkan anak-anak peribumi dari pelbagai suku bangsa, orang bajau dari Darau, dari Mengkabung, dari Gentisan, dan tempat lain, bergabung dengan orang Dusun dari Kionsom dan sebagainya untuk menentang `orang putih".
Satu malam, pada penghujung abad ke 19, Mat Salleh bersama orang-orangnya menyerang Pulau Gaya dan membumihanguskan pulau yang menjadi ibukota ketika itu bersama keangkuhan kakitangan penjajah yang menginjak-injak martabat dan kemuliaan anak anak tempatan.
Selepas melakukan serangan itu, dan selepas rundingan dengan Cowie gagal, Mat salleh berundur ke Tambunan kerana di Inanam telah wujud ancaman kecurigaan kerana kehadiran talibarut.
Selama lebih 100 tahun sejarah itu terpendam malah hampir dilupakan.Hanya apabila warga kampung memaklumkan mengenai kewujudan bukit itu, maka Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan ketika itu, Pandikar Amin Haji Mulia (kini Tan Sri) bersama sejarahwan, RM Jasni dan pegawai kementerian, pihak Muzium kemudian mendaki bukit yang dikatakan kubu Mat salleh itu pada tahun 1994, kalau tak silap.Fakta sejarah yang tersembunyi itu kemudian tersingkap dan Kerajaan pada ketika itu meluluskan RM1 juta untuk menjadikan bukit itu tapak bersejarah.
Ramai yang gembira dan menyokong langkah kerajaan itu. Mereka merasakan sudah sepatutnya tapak tapak bersejarah, apatah lagi kubu pertahanan Mat salleh, pahlawan Sabah itu sudah sewajarnya dipulihara.
Namun hasrat murni itu tidak dapat dimakbulkan serta merta.Rombakan kabinet berlaku, Pandikar bertukar portfolio dan kegawatan ekonomi menyerang negara.
Mat Salleh mati dalam keghairahan pemimpin melupakan sejarah.Bukan kerana tidak ada lagi yang mengingatinya tetapi mungkin ada yang lebih menguntungkan daripada sekadar mengingati perjuangan Mat Salleh.
Sehinggalah beberapa minggu yang lalu, Jumat Haji Idris yang juga Ketua UMNO Sepanggar memberitahu bahawa bukit bersejarah itu-sebahagian daripadanya telah habis ditarah oleh kontraktor. Jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan tidak berbuat apa-apa untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan.
Mat Salleh dan perjuangannya hidup lagi.Kali ini bukan untuk menentang penjajah tetapi lebih untuk menentang kerakusan sebilangan orang yang secara tak sengaja-atau mungkin sengaja, memotong bukit Mat Salleh itu untuk pembangunan.
Kami kemudian mencari Bob. Bukan Bob yang menarah bukit itu tetapi kami mencarinya kerana beliau memahami selok belok sejarah.Neneknya sendiri pejuang pengikut Mat salleh.
Melalui Bob dan Nordin Barun, kami bertemu pula dengan Ketua Kampung Inanam Laut,Madlan Alidan.
Beliau membawa kami mendaki bukit itu dan melihat sendiri kubu pertahanan Paduka Mat salleh itu.
Adapun meriam yang digunakan Mat salleh dan diletakkan menghadap Pulau Gaya itu kini dipindahkan di rumah penduduk supaya khazanah bersejarah itu tidak dicuri orang.
Tidak ramai orang luar seperti kami yang berkesempatan mendaki bukit itu.Saya mengajak Rashid Abdul Rahman, wartawan Utusan Malaysia untuk mengabadikan gambar di kubu pertahanan itu bersama warga kampung. Tudak mudah untuk sampai kemari, kata saya kepada Ghazali Basri, fotografer Utusan Malaysia yang mengambil gambar kami.
Mat salleh belum mati di dalam jiwa kami.Tetapi ada yang sengaja membunuhnya dengan memusnahkan segala tinggalan sejarah yang bermakna untuk renungan buat anak bangsa.












Selasa, 6 Julai 2010

Catatan ketika mendaki bukit Mat Salleh

Tags
banyak yang perlu dikerjakan, sementara saya merasa umur semakin berkurang dan singkat. Pagi ini kami mendaki bukit, yang mungkin tidak terlalu tinggi tetapi tetap membuat nafas terengah engah.

Bukit yang penuh sejarah, kerana ia menjadi kota pertahanan Paduka Mat Salleh ketika ia merancang penempatan koloni di Pulau Gaya.

Kubu Mat Salleh itu yang terletak di atas sebuah bukit di Kampung Inanam Laut, terletak benar-benar menghadap pulau. Jika kita berdiri di atas bukit itu, kita seperti terasa derap kaki mereka yang kini meninggalkan jejak sejarah yang panjang.

Di tempat itulah, Mat Salleh mengumpulkan orang-orang bajau dari Darau, hingga Mengkabong, orang Dusun dan suku-suku lain untuk merancang serangan ke Pulau Gaya.

Pulau Gaya, yang menjadi pusat pemerintahan British ketika itu kemudian terbakar. Tidak berapa lama kemudian setelah peristiwa serangan itu, beliau berundur ke Tambunan. Di Tambunan, beliau mendirikan kubu pertahanan di Tibabar.

Walau apapun, bukit Mat Salleh ini perlu dijadikan tapak bersejarah supaya generasi baru faham sejarah perjuangan bangsanya.

Isnin, 5 Julai 2010

Catatan di Pulau Gaya

Tags
Pagi itu saya menyertai rombongan Ketua Pengarah JAKIM, Dato' Wan Muhammad Dato' Sheikh Abdul Aziz dan Pengarah JAKIM Sabah, Ustaz Aziz Haji Mohammad untuk melawat kelas KAFA di Pulau Gaya. Beliau sudah lama ingin melawat pulau itu, dan setiap kali ke Kota Kinabalu, hatinya tergamit untuk meninjau suasana pulau.
Lawatan ke Kelas Kafa itu adalah sebahagian acaranya ketika berlangsung Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu. Saya sempat bertanya kepadanya mengenai kedudukan guru-guru KAFA yang masih kurang dan mengenai keadaan kelas-kelas KAFA yang rasanya perlu ditingkatkan lagi.
Beliau memberitahu kerajaan memberikan perhatian yang khusus mengenai perkara itu dan akan mengambil langkah langkah perlu untuk meningkatkan mutu pengajaran KAFA di negeri ini.
Selepas melawat pulau Gaya, kami sempat singgah di Pulau Manukan sebelum pulang semula ke jeti Jesselton Point.








































































Ahad, 4 Julai 2010

Pertemuan dengan Asraf, Sasha dan Naqib

Tags
Rahmat persahabatan datang tanpa diduga. Asraf, anak seorang kenalan dari Batu Pahat dan rakan-rakannya, Naqib dan Sasha telah membuat lawatan bersama rakan sekolah di Kota Kinabalu.
Syukur Alhamdulillah kerana dapat bertemu mereka. Ketika itu pasukan Brazil sedang bermaain dalam perlawanan Piala Dunia yang sedang berlangsung di Afrika Selatan.Kami (Saya dan Nazir) membawa mereka ke Signal Hill untuk melihat pemandangan bandar pada waktu malam dan kemudian ke Pantai Tanjung Aru.
Brazil kalah dalam perlawanan itu.Kami pulang dengan rasa tak percaya, tetapi itulah bolasepak.
Kami sempat merakam gambar kenang-kenangan.


















pertemuan dengan asraf, sasa dan naqib

Jumaat, 2 Julai 2010

Kenangan di MTQ ke-53

Tags

"Mari kita bergambar," saya mengajak Rashid ketika melihat orang-orang berangkat pulang sehabis Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-53 melabuhkan tirainya pada malam ketiga.
Biasanya kami yang mengambil gambar orang tetapi kali ini kami pula yang mengambil kesempatan untuk bergambar. Sekadar untuk kenangan. Ini kali ketiga Sabah menjadi tuan rumah sementara sudah tiga malam berturut-turut membuat laporan intensif mengenai perjalanan MTQ itu.
Rashid, wartawan Utusan Malaysia di Kota Kinabalu membuat liputan sejak malam pertama iaitu malam perasmian lagi.

Sejenak di Kelas KAFA Pulau Gaya

Tags






CATATAN KUNJUNGAN KE KELAS KAFA PULAU GAYA



Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN

SEBAIK-BAIK rombongan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tiba di jeti, murid-murid Kelas KAFA Pulau Gaya secara serentak mengucapkan salam yang mulia itu.
"Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh". Wajah mereka ceria menyambut kunjungan Dato' Wan Mohamad Dato' Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM yang sudah lama berhasrat untuk menjejakkan kaki di pulau itu.
"Setiap kali ke Kota Kinabalu, hati saya teringin untuk singgah," katanya. Ketua Kampung Pulau Gaya, Puan Saimah Salam bersama Wakil Ketua Anak Negeri, OT Lait Abat sudah lama menanti ketibaan Ketua Pengarah dan rombongan yang ingin meninjau Kelas Kafa Pulau Gaya.
Pulau Gaya, sebuah pulau yang terletak berhampiran ibu negeri, sering disalahtanggapi. Kebanyakan orang selalu menghubungkan pulau Gaya dengan imigran asing padahal pulau yang mempunyai empat kampung itu, juga didiami oleh masyarakat tempatan yang sudah menetap di pulau itu sejak awal abad yang lalu.Pulau Gaya boleh dihubungi kira-kira 15 minit perjalanan menggunakan bot dari bandaraya Kota Kinabalu.
Di pulau yang menyimpan sejarah itulah, JAKIM mengadakan Kelas KAFA untuk mendidik anak-anak pulau dalam bidang pendidikan agama khususnya dalam pendidikan al-Quran dan fardu ain.
Tetapi khabarnya, Kelas KAFA yang dilaksanakan di sebuah balai raya itu hanya memiliki seorang guru.Padahal muridnya mencecah 80 orang. Kelas itu memerlukan keprihatinan kerajaan supaya membantu mereka meningkatkan lagi kemudahan pembelajaran di kelas itu.
Perkara ini turut disentuh oleh Ketua Kampung, Puan Saimah dalam ucapannya. Beliau meminta supaya JAKIM berusaha menambahkan guru untuk mendidik lebih ramai lagi anak-anak di pulau itu.
"Dulu Kelas KAFA ini pernah menerima murid seramai 200 orang," katanya Pengerusi JKKK, Haji Idris Dakum. "Tetapi jumlah murid berkurangan kerana tenaga pengajar tidak mencukupi," katanya yang juga penasihat Kelas KAFA itu.
Permasalahan yang dikemukakan itu mendapat tanggapan positif daripada Ketua Pengarah JAKIM Dato' Wan Mohamad Dato' Sheikh Abdul Aziz.
Beliau berkata, JAKIM akan memastikan Kelas KAFA Pulau Gaya itu memiliki tiga guru. Mengenai peralatan kerusi meja dan peralatan lain, beliau meminta tempoh dua bulan untuk menyediakan peralatan untuk kegunaan murid.
"Insha Allah, saya akan ikhtiarkan peruntukan yang munasabah untuk membekal peralatan ke kelas ini,," katanya.
Bagaimanapun, mengulas mengenai Kelas KAFA yang diadakan di balai raya itu, Dato' wan Mohamad berkata beliau akan merundingkan perkara itu dengan rakan-rakan sejawatnya di peringkat negeri dalam usaha menyediakan kelas yang lebih baik untuk murid-murid Kafa.
"Pelajaran agama amat penting bagi memastikan anak-anak tidak ditelan budaya barat," katanya sambil menambah, gejala sosial meningkat kerana kanak-kanak tidak diberi asas agama.
"Anak-anak selalu disebut aset. Aset maknanya harta. Tetapi saya fikir anak-anak jauh lebih berharga daripada harta. Dalam budaya kita, anak-anak selalu dirujuk sebagai nyawa," katanya.
"Nyawa lebih penting daripada harta, dan kita perlu memberikan asas pendidikan agama kepada anak-anak kita," katanya lagi.
"Mari kita jaga anak kita seperti kita menjaga nyawa kita," katanya di hadapan masyarakat kampung Pulau Gaya. Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah JAKIM Cawangan Sabah, Ustaz Aziz Haji Mohamad, Penyelia KAFA Negeri, Ustaz Saiful Muharam, dan penyelia KAFA Daerah, ustaz Mursyid @ Muhd.Sulaiman Mohd.Sidek dan Guru KAFA, Ustazah Siti Norita Nurkassam.
Beliau juga menasihatkan murid-murid kafa supaya sentiasa mendoakan ibubapa, guru guru mereka dan sentiasa mengamalkan ilmu yang bermanfaat.
"Apa saja ilmu yang dimanfaatkan memberi kebaikan," katanya sambil menambah, orang yang sentiasa membuat kebajikan, sentiasa mendapat kebajikan.
Barangkali itulah kata-kata yang mampu memberikan perangsang kepada murid-murid KAFA.Kumpulan nasyid Kelas Kafa Pulau Gaya tampil membuat persembahan yang memikat. Adik Ifwat Razak dan Nursyafieqah Samsol menyanyikan lagu nasyid, yang jika dihayati memberi keinsafan.
"Siapakah di antara kita, yang suka bersyukur kepadanya," demikian salah satu ungkapan lagu nasyid itu."Sembahyanglah sembahyang sebelum disembahyangkan.Jalankan perintah Allah, dengan hati yang ikhlas". Bait-bait yang dicipta Ustazah Siti Nurita sungguh mencengkam jiwa.
Selepas majlis jamuan dan bergambar, rombongan dibawa berkeliling pulau bagi melihat keindahan ciptaan ilahi.

Khamis, 1 Julai 2010

Malam ketiga MTQ ke-53 dari Dewan Saadah

Tags
Kalau ada orang sakit jiwa kerana tertekan perasaannya, datanglah ke Wisma Muis malam ini.
Dengarlah Al-Quran.
Sesungguhnya membaca dan mendengar al-Quran boleh menyembuhkan hati dan jiwa. Apatahlagi bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari qari dan qariah terbaik dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-53 ini amat merdu dan mengesankan.Jika kita memahami segala pesan Al-Quran, pastilah maju dan damai kehidupan kita.
Sabah menjadi tuan rumah tilawah buat kali yang ketiga.Kali pertama ialah pada tahun 1989, manakala kali kedua diadakan pada tahun 2000. Sepuluh tahun kemudian, giliran Sabah untuk menjadi tuan rumah tiba semula.
Saya mengambil kesempatan menulis blog sambil mendengar peserta ketujuh,Azraie Abdul Hak, qari dari Melaka melantunkan suara, memperdengrkan bacaan.
Malam ini malam ketiga MTQ ke-53.
Peserta pertama pada malam ini ialah qari tuan rumah Sabah, Abdullah Abdul Wahid. Ia diikuti oleh peserta dari Terengganu, Nur Hidayah binti Abdul Rahman. Peserta ketiga ialah ialah qari dari Kedah, Haji Othman Azmi Ahmad.Qariah Wilayah Persekutuan, Normalina Alias merupakan peserta keempat manakala peserta kelima,Muhammad Anuar Ghazali, qari dari Kelantan.
Pembaca keenam pada malam ini ialah Mimi Munawwarah Abdul Majid yang mewakili negeri Melaka diikuti oleh qarinya, Azraei Abdul Hak.

Sekarang peserta kelapan sedang memperdengarkan bacaan iaitu Munirah Haji Razali dari Perak manakala sebentar lagi, peserta kesembilan, Ismail Romli dari Perlis akan memperdengarkan bacaannya.
Hadirin pada malam ini dihiburkan juga dengan petikan lagu gambus dari pemetik-pemetik gambus dari Binsuluk,Membakut.Mereka mempersembahkan dua lagu, dan salah satu lagunya dicipta oleh Mawar Arif, nama yang tidak asing lagi di persada seni dan sastera di negeri ini.
Mendengar bacaan al-Quran amat menenteramkan.Lebih baik lagi jika kita dapat memahami semua isi dan inti ayat yang dibacakan.