Ahad, 31 Oktober 2010

Jasa guru, sekolah lama dan kenangan lalu

Tags
Jasa guru, sekolah lama dan kenangan lalu
Sekitar Jamuan Makan Malam Persatuan Alumni SMK Menggatal

Oleh ABD. NADDIN HJ SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
gambar ihsan HANAFI ABD.SALIK

NAMANYA paling banyak disebut pada malam itu. Orang yang paling dihormati dan disegani kerana karisma, wibawa dan dedikasinya sebagai seorang guru. Kalau malam berbintang, beliaulah bintang pada Majlis Jamuan Makan Malam Persatuan Alumni SMK Menggatal yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri.

"Kalau bukan cikgu Adzis, saya tak akan sampai ke tempat yang ada sekarang," kata seorang bekas muridnya, Datuk Abdul Rahim Bakri. "Cikgu Adzis telah membuatkan saya minat dalam bidang sejarah," kata Timbalan Menteri Pengangkutan ini. "Walaupun menjadi akauntan dan `bankers', tetapi saya tetap menyimpan minat besar terhadap sejarah hasil didikan Cikgu Adzis".

Rahim yang juga Ahli Parlimen Kudat berkata, beliau tidak dapat melupakan peristiwa sebaik-baik keputusan STPM diumumkan pada 1980. Ketika itu, keputusan peperiksaan disiarkan dalam suratkhabar.

"Saya berada di kampung di Pitas ketika itu. Selepas mendapat tahu keputusan peperiksaan dengan mendapat gred A, saya ke Jabatan Pendidikan Kota Kinabalu. Malangnya borang UPU sudah habis.` I get really lost ' ketika itu," kata Datuk Rahim. Kemudian beliau datang mengadu kepada Cikgu Adzis. "Rahim jangan risau, saya boleh bantu," katanya. Cikgu Adzis kemudian memberikan borang UPU anak saudaranya kepada beliau untuk diisi. "Saya ingat lagi, anak saudara perempuannya itu nangis depan cikgu Adzis". "Sampai begitu sekali, komtmen cikgu Adzis membantu murid sekolahnya," kata Rahim. Beliau diberitahu anak saudara cikgu Adzis itu kini menjadi eksekutif di Petronas dan mendapat Phd.

"Kalau bukan cikgu Adzis, saya tak kan sampai ke tempat yang ada sekarang," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Jamuan Makan Malam Persatuan Alumni SMK Menggatal itu. Beliau berbangga kerana ramai bekas pelajar SMK Menggatal berjaya dalam kerjaya masing-masing. Banyak nostalgia sepanjang berada di SMK Menggatal, kata Rahim, malah beliau jumpa isterinya pun di SMK Menggatal. Beliau menyifatkan ia `turning point of my life'.

"Kita jangan lupa asal usul kita, sejarah hidup kita. Kita belajar di sekolah untuk mengubah nasib kita, dan alhmadulillah, kini bekas-bekas pelajar SMK Menggatal berjaya dalam kerjaya mereka masing-masing," katanya sambil berterima kasih kepada bekas-bekas guru yang telah mengajar mereka sehingga menjadi insan yang berguna.

Antara guru yang paling bermakna dalam hidup mereka ialah Cikgu Haji Abd.Adzis Abas, mantan Penolong Kanan dan Pemangku Pengetua SMK Menggatal (1977-1981). Sebelum itu, Cikgu Adzis dalam ucapannya berkata, sepanjang perkhidmatannya sebagai guru, kenangan paling manis baginya ialah ketika mengajar di Sabah iaitu SMK Menggatal. Selain itu, beliau pernah mengajar di SMK Sanzac dan SMK Gunsanad Keningau.

Banyak kenangan manis sepanjang bertugas di sekolah itu. Beliau berasa amat rapat dengan pelajarnya. "Saya tidak pernah rasa seperti berada di rantau orang kerana SMK Menggatal dekat di hati.

Katanya, pernah satu ketika, SMK Menggatal mengalami masalah bekalan air. Tapi walaupun tak ada air, tak ada pula pelajar yang dapat penyakit kulit. Barangkali kalau tak mandi seminggu, pelajar tak kena penyakit kerana antibodi mereka kuat, katanya berjenaka. Beliau mengakui sering mengikuti perkembangan anak muridnya. Beliau sering mengikuti perkembangan Datuk Rahim Bakri, Prof Madya Dr.Kassim Haji Mansur dan muridnya-muridnya yang lain.

Sesungguhnya ramai alumni SMK Menggatal yang telah berjaya. pada malam itu saja, selain Prof.Madya Dr.Kassim Haji Mansur,yang kini Timbalan Naib Canselor UMS, ramai lagi pelajar yang cemerlang.Antaranya Prof.Madya Dr.Datu Kamarudin Datu Mudin, Prof.Madya Dr.Mahmud Sudin dan ramai di antara mereka menduduki jawatan tinggi seperti Haji Safar Untong (Timbalan Pengarah Tanah dan Ukur), Datuk Awang Buhtaman Ag.Mahmun (Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM Sabah), Hajah Maimunah Haji Suhaibul (Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah), Mohd.Sairin Haji Mohd.Ibrahim (Setiausaha Sulit Kanan Menteri), Hajah Asmiah Ajamain (Ketua Unit Bahasa DBP Sabah). Hajah Fauziah Datuk Haji Mohd.Din, Mohd.Salim Gabot, Haji Almain Ajirul (Pengarah Penerangan Johor) dan ramai lagi.

Selain itu, ramai yang menjadi doktor, antaranya Datin Dr.Mariana Mahmood, Dr.Bangrose Sadin, dan sederet senarai panjang orang-orang yang telah mencipta nama dalam bidang mereka. Musli Haji Oli, yang merupakan first batch SMK Menggatal, berkelulusan sarjana muda ekonomi, berjaya dalam kerjayanya menjadi penulis setelah berhenti daripada perkhidmatan kerajaan. Setakat ini beliau telah menghasilkan sembilan buah buku.

Majlis jamuan makan malam itu juga diserikan dengan persembahan multimedia dan persembahan karaoke. Sebelum itu, Presiden Persatuan Alumni SMK Menggatal, Prof Madya Dr.Kassim Haji Ibrahim berkata, hasrat untuk mengadakan majlis itu memang sudah lama dirancang tetapi baru kali ini mendapat waktu yang sesuai. Beliau berkata, antara tujuan persatuan itu diadakan ialah menjejak semula bekas pelajar dan bekas guru SMK Menggatal dan SMK Bandaraya.

Selain untuk mengeratkan hubungan silaturahim, perpaduan serta kerjasama di kalangan ahli Persatuan, persatuan itu juga bertujuan untuk mengumpul segala kepakaran yang terdapat di kalangan ahli untuk kepentingan masyarakat amnya dan sekolah khususnya dan menjadi jambatan penghubung di antara ahli dengan sekolah dan masyarakat.

Beliau berkata, persatuan alumni itu juga menyelaraskan aktiviti-aktiviti sosial dan kebajikan ahli-ahli ke arah hidup bermasyarakat yang lebih mampan dan mewujudkan rangkaian ahli yang terdapat di seluruh negara dan mengumpul maklumat untuk membentuk satu rangkaian yang sistematik dan tersusun.

"Persatuan Alumni SMK Menggatal merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS).No Pendaftaran 2337-09-SBH bertarikh 11 November 2009. Keahlian persatuan terbuka kepada semua bekas pelajar/bekas guru/bekas kakitangan kakitangan SMK Menggatal/SMK Bandaraya Kota Kinabalu). Persatuan itu boleh dihubungi melalui http://facebook.com/Persatuan Alumni SMK Menggatal, emel alumnismkm@yahoo.com.my dan blog http://alumnismkm.blogspot.com.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Datuk Abdul Rahim Bakri yang sudi menjadi penaja utama untuk menjayakan program jamuan makan malam itu.

Pengetua SMK Bandaraya (nama baru SMK Menggatal), Dr.Shirley Tay Siew Hong berkata SMK Bandaraya kini semakin meningkat maju. Bagaimanapun tidak seperti dahulu, dimana hanya pelajar terbaik dari seluruh negeri Sabah terpilih belajar ke sekolah itu, kini SMK Bandaraya juga menampung keperluan pelajar di kampung-kampung berdekatan.

Dr.Shirley juga mengalu-alukan hasrat untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara bekas belajar dan sekolah. Selain itu, beliau juga meminta supaya persatuan membantu memajukan bidang pelajaran di sekolah itu.

Sejarah SMK Bandaraya Kota Kinabalu atau dulunya dikenali sebagai SMK.Menggatal telah di tubuhkan pada tahun 1967. Ketika pertama kali dibuka pada tahun 1967, hanya terdapat dua buah kelas tingkatan 1 dalam aliran bahasa Inggeris dengan 51 orang pelajar dan 2 orang guru. Pada mulanya, sekolah ini menumpang di bangunan SRJK Good Sheppard, Menggatal pada sesi persekolahan petang.

Tahun 1969, kelas peralihan telah dibuka bagi pelajar-pelajar yang datang dari sekolah bukan beraliran Bahasa Inggeris. Tahun 1977, bilangan pelajar meningkat lagi kepada 468 orang dengan 12 buah kelas.

Bangunan tetap SMK Menggatal siap dibina pada 24 Januari 1977 dengan menelan belanja sebanyak RM5.4 juta. Sekolah ini telah dibina di atas tapak seluas 30 ekar yang terletak di Batu 10, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu.

Pelajar SMK Menggatal mula menduduki peperiksaan LCE pada tahun 1970 bagi melayakkan mereka memasuki tingkatan empat. Pada tahun 1977, seramai lebih kurang 90 orang pelajar telah terpilih untuk mengikuti kursus matrikulasi Universiti Kebangsaan Malaysia di sekolah ini dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya.

Walau bagaimanapun, 1985 kelas matrikulasi UKM ini telah dipindahkan ke Sekolah Berasrama Penuh Sabah (SBPS) di Bukit Padang, Kota Kinabalu. Ini adalah kerana kedudukan sekolah ini lebih dekat dengan kampus UKM Cawangan Sabah. Sekolah ini juga pernah menempatkan pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Ugama (SMA Limau-limauan atau kini dikenali sebagai SMA Tun Mustapha) sebelum berpindah ke bangunan tetap di Papar. Kelas tingkatan enam juga telah dibuka pada tahun 1977 dan telah menempatkan pelajar-pelajar lepasan SPM dari seluruh Sabah.

Sehingga kini, sekolah ini mempunyai 7 bangunan bilik darjah, 2 blok asrama putera dan puteri. 2 buah bangunan flat dan 4 buah rumah untuk staf mengajar dan bukan mengajar. Pada masa kini, bilangan pelajar telah mencapai 2,000 orang dengan bilangan kakitangan akademik seramai 110 orang.

Bagaimanapun pada malam itu, tidak ramai pelajar first batch 1977-78 yang hadir. "Hanya dua tiga orang saja pelajar first batch yang saya kenal," kata Musli, antaranya Datuk Haji Abd.Gafar Madin dan Rusni Dusun, rakan satu kelas. "Kebanyakan yang datang merupakan pelajar baru selepas saya masuk UM tahun 1979," kata Musli lagi.

Namun pertemuan itu sangat bermakna dan bersejarah. Bertemu kawan dan rakan lama sangat menyeronokkan. Semua orang disapa sebagai kawan dan tanpa protokol lagi.

"Saya tidak sangka Dr.Kassim boleh jadi seorang profesor. Dulu nakalnya bukan main. Suka datang lewat ke sekolah," kenang Mursidi, bekas Ketua Pengawas. "Gengnya ialah Haji Sairin.Mereka selalu berdua. ," Saya mahu melapor kepada guru, Dr.Kassim malah mencabar supaya saya tulis dan lapor. Mereka datang lewat kerana keluar malam untuk tengok wayang. Tapi Dr.Kassim dan Haji Sairin tetap cemerlang," katanya. Walaupun mereka `nakal' tetapi selalu mendapat nilai terbaik di sekolah," katanya. "Datuk Rahim pula kalau berjalan tetap terselip nota di poketnya. Dia seorang yang artikulate," kata Mursidi lagi sambil membandingkan kenakalan pelajar dahulu amat berbeza dengan kenakalan pelajar sekarang.

"Dulu walaupun mereka nakal tetapi tetap `maintain' kecemerlangan dalam kelas." katanya mengenang. Pertemuan pada jamuan makan malam itu jelas mengubat kerinduan-kerinduan lama. Mereka bertukar-tukar cerita lama, bertanya kerjaya dan berapa jumlah anak masing-masing. Namun barangkali penting juga disebutkan beberapa nama yang bertungkus lumus menjayakan majlis Jamuan Makan Malam Persatuan Alumni SMK Menggatal pada malam itu, antaranya Hajah Fauziah Datuk Haji Mohd.Din (Timbalan Pengerusi), Mohd.Salim Gabot (Setiuasaha), Norallysham Stoh (Penolong Setiausaha), Inismawati Yusup (Bendahari) dan Muhamat A.Rahman, Prof.Madya Dr Datu Kamarudin Datu Mudin, Dk.Salmiah, Prof.Madya Dr.Mahmud Sudin, Ajanah Mohamed, Anne Sidek, Dr.Mariana Mahmood, Jafri Maskam, Zulkifli Ibrahim, Hajah Rosilah Haji Ahmad Nunsi, Hajah Asmiah Ajamain dan Haji Ghazali Hj Suhaili dan senarai panjang ahli jawatankuasanya.

Banyak kenangan yang tersimpan, terpendam atau tercicir sejak bertahun-tahun lamanya, tetapi pada malam itu, semuanya mengingat semula nostalgia, mengenang jasa guru dan sekolah, rakan-rakan lama dan tempat dimana mereka bermula.

Utusan Borneo 1 November 2010

Kenalan bernama Majid dan PRK Batu Sapi

Tags
SEORANG kenalan, Majid namanya, bercerita mengenai kesan-kesan pasca Pilihanraya Kecil Parlimen Batu Sapi walaupun pengundian hanya akan diadakan pada 4 November ini. Beliau baru balik dari Sandakan tetapi pulang ke ibu negeri untuk mengambil semacam `off day' kerana terlalu penat melihat orang berkempen.
Beliau memberitahu, kereta yang mereka naiki dihumban dengan batu di Bokara kerana masuk kampung menggunakan kereta mewah. Selepas itu, mereka terpaksa menukar kereta kerana ternyata kehadiran mereka kurang disenangi.

Beliau masih meramalkan PRK Parlimen Batu Sapi yang mempunyai jumlah pengundi seramai 25,582 orang (59.02 peratus atau 15,099 daripadanya bumiputera Islam manakala 38.06 peratus atau 9,737 pengundi Cina) akan dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datin Linda Tsen Thau Lin. Antaranya kerana faktor simpati dan beliau merupakan calon yang sudah dikenali masyarakat Batu Sapi, dan tahu pula mengenai visi dan perancangan mendiang suaminya, Datuk Ir.Edmund Chong Ket Wah. Kelemahannya ialah dalam penguasaan bahasa, kata Majid. "Bagaimana dia menyuarakan masalah rakyat sedangkan dia tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik?".

Majid juga menyifatkan calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee mampu memberikan saingan yang bererti kepada BN. Tetapi Yong hanyalah menguji populariti sebelum Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Walaupun diyakini mampu bersuara tetapi Yong dikatakan orang luar dan bukan saja berhadapan dengan Ketua Menteri, Datuk Musa Haji Aman malah terpaksa juga berdepan dengan pengaruh bekas orang kanannya, Datuk Tham Nyip Sen dan Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Calon PKR, Haji Ansari Abdullah walaupun belum kalah dalam pilihanraya itu tetapi beliau telah terjatuh dua kali ketika berkempen. Ramai orang simpati dan menyalahkan kerajaan kerana tidak mempedulikan nasib rakyat kecil tetapi ada yang menyifatkan Ansari kurang bernasib baik kerana bertarung di gelanggang orang.

Sehabis saja pilihanraya ini, semua calon akan pulang KK. Yang tinggal hanya pengundi, katanya kepada saya ketika kami minum kopi di restoran mamak itu.

"Saya tidak tahu mengapa ada orang yang memasang bendera parti mereka di atas replika buaya di Batu 7, Jalan Labuk?" katanya. Ia mengingatkan beliau kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam beberapa pilihanraya kecil yang lepas. Katanya, ada keluarga yang bercerai berai selepas satu-satu PRK. Ada suami orang yang terpaksa menyesali diri kerana `handphone' direndam dalam besen oleh isterinya. Sebabnya, kerana si suami tadi asyik ber`sms' meskipun ketika berada dalam tandas.

Begitu juga ada isteri yang tiba-tiba minta cerai dari suami kerana melihat gemerlap janji janji kawan baru di celah-celah kempen pilihanraya kecil, dan Majid mempunyai banyak cerita mengenai kempen itu. Tetapi ini hanyalah kes-kes terpencil, katanya kerana tidak semua orang begitu.Walaupun cara berpolitik sekarang tidak seperti dahulu tetapi masih ramai yang berpolitik kerana betul-betul yakin terhadap perjuangan mereka.

Setakat ini belum terlihat kerancakan berkempen di Batu Sapi,katanya kepada saya sambil menghirup kopinya. Kita harapkan orang mematuhi tertib demokrasi untuk meraih undi rakyat. Sudah sampai masanya bagi ahli-ahli politik untuk mengamalkan politik santun dimana semua orang berlumba bukan kerana berahi kuasa tetapi bersaing untuk menawarkan sesuatu yang terbaik untuk rakyat.

Majid mengimpikan agar laporan berita yang dibuat agak seimbang dan semua pihak diberikan peluang dan akses kepada media. Pada ketika itu, pertandingan adalah pertarungan antara idea-idea, yang bertujuan untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya. Majid bercakap mengenai kaedah berkempen yang baru menggunakan twitter, facebook, blog dan sebagainya. Katanya, beliau bersetuju dengan pandangan seorang pemimpin yang meminta supaya semua pihak mengamalkan keterbukaan kerana dunia kini adalah dunia `digital democracy'.

Tidak syak lagi, PRK Parlimen Batu Sapi adalah satu pilihanraya yang penting, yang menjadi barometer untuk mengukur sejauhmana sokongan rakyat terhadap parti-parti politik menjelang PRU-13. Ia juga menjadi ujian kepada konsep 1 Malaysia, Model Ekonomi Baru dan penerimaan rakyat terhadap konsep yang diperkenalkan kerajaan semata-mata untuk kebaikan dan kemajuan.

Menurut Majid, pihak yang akan menang dalam pilihanraya itu, bukanlah parti yang paling banyak menaburkan wang atau janji tetapi pihak yang dilihat mengamalkan politik yang sederhana dan boleh diterima. Orang-orang politik yang berteriak-teriak pasti akan ditolak kerana ia tidak sesuai dengan budaya politik kita. Pihak yang menawarkan program program yang logik untuk kesejahteraan rakyat itulah yang akan muncul sebagai pemenang kali ini.

Majid tidak menamakan parti politik itu dan pihak mana yang disokongnya. Beliau mengakui pergi ke Batu Sapi untuk melihat-lihat keadaan. Beliau berpendapat PRK Batu Sapi dijangka sengit, tetapi beliau memberikan beberapa kesimpulan menarik. Katanya, jika BN menang dengan majoriti yang besar, ini akan membuatkan Pakatan Rakyat dan SAPP untuk duduk semeja untuk memikirkan masa depan pembangkang di negeri ini. Satu lagi kemungkinan ialah BN menang tetapi jika dicampurkan jumlah undi PKR dan SAPP, mereka boleh menang dalam pilihanraya itu. Ini juga akan membuatkan SAPP dan PR duduk semeja untuk berbincang strategi satu lawan satu. Ketiga ialah PKR atau SAPP yang menang. Jika ini yang berlaku, katanya, BN harus menyalahkan diri kerana tersalah memilih calon.

Penganalisis politik kita ini mengakui seronok melihat suasana berkempen di Batu Sapi. Bukan saja kerana berpeluang menyantap makanan laut yang murah seperti ikan bakar, ketam, udang dan sebagainya tetapi dapat melihat keunikan budaya politik Sabah. Beliau menyifatkan dunia politik Sabah sebagai "the beauty of Sabah" dimana semua orang, tidak kira apa fahaman parti, agama, kaum dan sebagainya, boleh duduk `ketawa ketawa' dalam satu meja.

Saya melihat Majid, kenalan baru waktu duduk di kedai kopi itu.Katanya, Pilihanraya Kecil Batu Sapi, siapapun yang akan memenanginya, tetap membawa impak kepada politik Sabah. Namun beliau yakin, jika budaya politik santun dapat dipupuk dalam demokrasi yang penuh tertib, rakyat akan menuai hasil yang menggembirakan.

UTUSAN BORNEO 31 OKTOBER 2010

Sabtu, 30 Oktober 2010

Catatan tentang bapa kami

Tags
Saya sebenarnya agak seronok mendengar cerita Mabul disuruh baca berzanji. Sebelum ini dia tak pernah baca berzanji di khalayak ramai, tetapi ketika diminta imam baca berzanji, diapun terpaksalah baca berzanji.
Mujurlah ketika kecil dahulu, arwah Bapa selalu menasihatkan kami agar belajar semua perkara jika mahu menjadi lelaki. Baginya lelaki mestilah serba boleh. Kalau diminta baca berzanji boleh, kalau diminta bersilat boleh, kalau diminta berpantun boleh dan pokoknya belajar semua bidang kehidupan.
Cuma beliau memperingatkan kami agar jangan menunjuk-nunjuk. Ilmu, katanya, harus diamalkan dengan kerendahan hati, dan hanya dengan cara itulah kita mendapat kemuliaan dan keredhaanNya.
Kini sudah seratus hari bapa kembali ke rahmatNya. Saya teringat betapa beliau sebenarmnya seorang luar biasa.
Di kalangan kawan-kawannya beliau dikenali sebagai seorang pencerita yang penuh jenaka. Seorang penglipur lara. Di kalangan keluarganya, beliau seorang yang amat dihormati dan disegani. Beliau seorang yang berilmu dan memang seorang yang serba boleh.
Walaupun banyak dikenali sebagai seorang budayawan, kerana kemampuannya menguasai budaya dengan segala aspeknya, arwah bapa juga seorang ahli bahasa, yang selalu menjadi rujukan. Beliau menguasai bahasa Bajau sampai ke akarnya. Malah beliau menguasai bahasa Dusun, dengan baik sampai boleh mendongeng dalam bahasa itu. Selain itu, beliau juga mampu bertutur bahasa Iranun, dan hampir lima bahasa lain seperti Inggeris, Hailam, Gurka, Jepun dan bahasa tempatan yang lain.
Jika diminta berpantun atau dalam budaya masyarakat Kota Belud dipanggil isun-isun, dia boleh berpantun, berbalas pantun dengan tiga atau empat orang sekaligus, dengan amat paantas dan spontan.Saya pernah menyaksikannya berpantun isun-isun sampai pagi.
Jika diminta berkalang sambil berunsai, beliau juga boleh berkalang dan berunsai. Beliau menguasai bahasa klasik dengan baiknya.
Arwah bapa menghasilkan juga banyak karangan. Beliau pengarang syair, pernah menulis perjuangan syarif Osman, perjuangan Tun Mustapha dalam bentuk syair, beliau pernah menulis kisah percintaannya dengan ibu saya, dalam bentuk syair dan inilah satu-satunya yang masih tersimpan, beliau menulis hikayat dan sebagainya.
Ilmu, kata bapa saya mesti dikuasai semuanya. Beliau menekankan agar kami belajar ilmu dunia akhirat.
Jika disuruh membaca khutbah, bapa saya pernah menjadi khatib di kampung kami. Jika diminta membaca doa selamat, beliau oleh membaca doa, jika diminta berzanji, beliau boleh membaca berzanji-apatahlah lagi atuk saya dulu dikenali di kampung Linau sebagai orang yang suaranya merdu ketika berzanji.
Arwah bapa saya juga menguasai pelbagai jenis silat, dan di kalangan rakan-rakannya di sebut sebagai `guru' kerana mempunyai pelbagai pengetahuan.

Beliau juga dengan mudah mampu berbicara dengan siapa saja. sama ada kanak-kanak, orang muda, orang agama, orang budaya, orang terpelajar, dan macam macam lagi orang. Saya fikir inilah yang menyebabkan beliau sangat dihormati dan disegani, bukan kerana kejaguhannya tetapi kerana ilmu yang ada didadanya,

Masing-masing orang punya kelebihan dan keistimewaan, katanya. Kita haruslah menghormati dan menghargai semua. Kita jangan sombong dan angkuh dengan ilmu yang kita ada, kerana pastilah ada yang pandai daripada kita. Amalkan ilmu dengan kerendahan hati, jangan menunjuk-nunjuk, katanya. Itu akan menyebabkan ilmu tidak berkat.

Dengan caranya sendiri, beliau selalu menasihati dan menggalakkan kami belajar ilmu dunia akhirat. Proses belajar tak pernah berhenti, hingga ke liang lahad.
Kini beliau sudah tiada, kami benar-benar terasa kehilangannya. Semoga segala amal kebaikannya diterima Allah dan dosanya diampuni. Semoga beliau ditempatkan di sisi orang-orang yang diberkati. Alfatihah.

Sabtu, 23 Oktober 2010

Catatan pertunjukan Kiai Kanjeng di Kota Kinabalu

Tags









KIAI KANJENG TAMPIL BERSAMA MENTERI DI KOTA KINABALU
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com


KEHADIRAN Kiai Kanjeng di Kota Kinabalu, sebenarnya tidak diketahui ramai. Meskipun begitu, halaman Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, yang menjadi tempat pertunjukan, penuh sesak dengan kehadiran warga Indonesia untuk menyaksikan Kumpulan pemuzik Gamelan Kiai Kanjeng yang begitu terkenal bukan saja di Indonesia malah di peringkat antarabangsa.

Sejak awal lagi, kami sudah menunggu ketibaan Cak Nun atau nama sebenarnya Emha Ainun Nadjib. Cak Nun merupakan pemimpin kumpulan Muzik Kiai Kanjeng yang telah membuat persembahan di hampir kesemua wilayah di Indonesia, termasuk lebih dari 21 propinsi,376 kabupaten,940 kecamatan dan 1,300 kampung di negara itu.

Kiai Kanjeng juga pernah diundang di 6 kota besar di Mesir (2003), enam kota di England pada 2004, Scotland, Jerman dan Itali pada 2005, Finland (2006), Hong Kong (2007),Belanda (2009) Abu Dhabi (2009) dan beberapa kali membuat persembahan di Malaysia.

Sayang sekali Cak Nun tidak dapat datang pada malam itu. Namun penampilan isterinya, Novia Kolopaking berjaya mengubat kerinduan masyarakat untuk menyaksikan persembahan Kiai Kanjeng. Kumpulan muzik yang merakyat itu tambah menarik lagi apabila ia membuat persembahan yang diselangselikan dengan dialog antara Menteri Pendidikan Nasional Republik Indonesia, Prof.Dr.Ir.Muhd.Nuh dengan warga Indonesia di Sabah.

Kumpulan pemuzik yang dikenal agak dekat dengan masyarakat akar umbi di Indonesia itu memang dirindukan. Ekplorasi muzik Kiai Kanjeng tidak terbatas kepada muzik tradisional Jawa, Sunda, Melayu atau Cina tetapi sebaliknya Kiai Kanjeng menggali budaya pelbagai etnik lain di Indonesia seperti Papua, Madura, Mandar, Bugis dan sebagainya.

Sambutan masyarakat terhadap kumpulan Kiai Kanjeng sangat membanggakan. Mereka memulakan persembahan malam itu dengan medley lagu-lagu rakyat, untuk membangkitkan rasa cinta warga Indonesia terhadap tanahair mereka.

Bersama Cak Nun, Kiai Kanjeng telah menghasilkan album Kado Muhammad pada 1996. Antara hit dalam album itu ialah lagu Tombo Ati, yang banyak memikat perhatian masyarakat. Cak Nun mengawali lagu-lagunya dengan bait-bait puisi yang menggetarkan. Sejak kemunculan album Kiai Kanjeng itu, shalawat dan syair-syair yang bernafaskan Islam mulai mendapat perhatian dan semakin popular di kalangan masyarakat.

Pada malam itu, Kiai Kanjeng tampil bersama Pak Menteri, yang menjadikan majlis itu berlangsung rileks dan informal. Bersama Konsul Jenderal, Bapak Suepeno Sahid, Menteri Pendidikan, Prof.Dr.Ir.Muhd.Nuh naik dan duduk bersila di atas pentas sambil memulakan dialog dengan warga Indonesia.

"Pada malam ini tiada menteri, tiada konjen (Konsul Jenderal) tiada dubes (Duta besar), kita bicara sesama bangsa," katanya.

Paling menarik ialah apabila Pak Menteri bertanya kepada Pascalis, seorang murid sekolah rendah mengenai cita-cita kanak-kanak itu. Pascali sempat menangis kerana tidak menyangka boleh berbicara dengan menteri.

"Apa cita-citamu?"
"Cita-cita saya menjadi Presiden", kata Pascalis sambil disambut tepukan tangan. Ketika menanggapi cita-cita pascalis ingin menjadi Presiden itu, Prof Muhd.Nuh berkata, siapa tahu 40 tahun akan datang, anak ini benar-benar jadi Presiden.

Seorang lagi pelajar, Rabiah ingin menjadi guru. Rakannya Muhd.Fikri ingin menjadi pilot. Menteri menasihatkan mereka supaya terus belajar dan belajar untuk menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat.

Selepas itu, Menteri meminta Kiai Kanjeng melanjutkan persembahan. Kali ini Kiai Kanjeng tampil dengan lagu dangdut Melayu, lagu irama zapin tradisi dari Melayu Riau.

Kemudian Pak Menteri berdialog lagi dengan guru-guru. Hasanudin, pendidik yang berasal dari Palembang memberitahu mengenai permasalahan pelajar yang tidak mempunyai cukup buku. Ada juga guru yang meminta supaya diberi kelengkapan lap top supaya boleh berhubung dalam dunia global.

Seorang lagi guru, Nurdanita pula mengatakan bahawa beliau seumur hidup tidak pernah berdepan dengan Menteri. Beliau juga menyampaikan masalah pelajar dan kelas di Lumadan.Selain itu, Ibu Sarji Saloranti yang bekerja sebagai pekebun sayur di Kundasang, meneruskan tugas membimbing pelajar walaupun terpaksa membeli tusuk satay untuk belajar ilmu matematik. Nasib guru-guru yang mengajar anak-anak warga Indonesia di Sabah perlu mendapat keprihatinan daripada kerajaan Indonesia.

Prof.Muhd.Nuh berjanji untuk menyelesaikan permasalahan yang diajukan oleh kalangan pendidik itu sebaik mungkin. Beliau juga memuji guru-guru yang disifatkannya sebagai pahlawan bangsa yang gigih mendidik anak bangsa Indonesia.

Selepas itu, beliau meminta Kiai Kanjeng menyanyikan lagu "Sayang Padaku" iaitu sebuah lagu Kiai Kanjeng yang paling diminatinya.

Kiai Kanjeng adalah kelompok muzik yang berjaya menampilkan, menghargai, dan menghidupkan kekayaan budaya Islam. Apa yang menarik ialah bagaimana Kiai Kanjeng meramu dan menampung lagu dari pelbagai jenis muzik dari seluruh dunia. Kiai Kanjeng membuktikan bahawa perbezaan budaya, agama, ras, bangsa dan sebagainya boleh disatukan melalui muzik.

Persembahan Kiai Kanjeng di Kota Kinabalu akan terus terpahat di hati warga Indonesia di Sabah kerana penampilan mereka lain daripada yang lain.Kali ini mereka tampil dan menyanyi di tengah-tengah dialog antara pak Menteri dengan masyarakat Indonesia. Kiai Kanjeng menutup acara persembahan pada malam itu dengan lagu-lagu religius yang mencengkam jiwa.

Kisah Bobbey dan masalah rakyat

Tags
Ketika menulis nota ini, saya teringat kata-kata Datuk Bobbey Suan. Ia bukanlah kata-kata keramat atau kata-kata hikmah tetapi bagi saya, ia merupakan kata-kata berbisa dan penuh makna. Saya fikir beliau tidak akan mengucapkan kata-kata itu, kalau bukan kerana beliau sendiri sebagai wakil rakyat berasa terdesak untuk meluahkan kata-kata itu.

"Sampai kiamatpun, masalah rakyat tidak akan diatasi sekiranya sikap kakitangan awam tidak berubah," katanya. Beliau yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, banyak perancangan kerajaan tidak dapat dilaksanakan dengan tepat dan betul kerana sikap kakitangan awam, yang lambat dan tidak melaksanakan arahan yang sepatutnya.

Sebagai contoh, kata Bobbey yang juga ADUN Nabawan itu, beliau telah menyenaraikan nama-nama yang layak untuk mendapat bantuan PPRT tetapi kemudian, beliau mendapati orang yang sepatutnya mendapat bantuan tidak mendapat bantuan sebaliknya orang lain yang tiada dalam senarai pula yang diberi keutamaan.

"Jika begini sikap kakitangan awam, sudah tentu, sampai kiamatpun, hasrat kerajaan membawa pembangunan tidak akan tercapai," katanya.

Bobbey juga menyatakan kebimbangan mengenai tahap kecekapan dan mentaliti di kalangan tenaga pelaksana di sektor awam dalam Program Transformasi Ekonomi (TPE) yang bertujuan membawa negara menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Program yang akan dilaksana melalui Program Transformasi Ekonomi (PTE) adalah bertujuan membawa negara menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Pemacu utama PTE ialah Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) dimana terdapat dua belas bidang-bidang tertentu telah dikenalpasti.

Sebagaimana yang telah dinyatakan sebanyak 131 Projek Pintu Masuk (EPP) dan 60 peluang perniagaan telah dikenal pasti untuk memulakan pemacuan itu kepada hampir tiga kali ganda Pendapatan Negara Kasar (GNI) daripada RM600 billion pada tahun 2009 kepada hamper RM1.7 trillion pada tahun 2020.

Katanya, program ini adalah satu kebanggaan kepada Negara kita dimana Ketua Menteri sendiri telah menyatakan kesediaan kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan persekutuan melaksanakan PTE.
" Apa yang menjadi kebimbangan saya, " kata Bobbey ialah melihat tahap tenaga pelaksana di sektor awam dari pelbagai sudut termasuklah kecekapan dalam sistem pentadbiran dan mentaliti serta sikap di pihak pelaksana perlu ada perubahan atau penaikantaraf terlebih dahulu,".
"Perubahan ini perlu kerana kita akan berhadapan dengan sektor swasta dan pelabur yang tidak suka membuang masa atau enggan menerima banyak birokrasi," kata Bobbey yang juga pernah menjadi Pegawai Daerah sebelum menceburi dunia politik.
"Perlaksanaan projek-projek biasa di peringkat daerah-daerah pun masih banyak kepincangan, terutamanya yang berkaitan dengan program pembasmian kemiskinan.," katanya sambil menegaskan kita tidak menepati sasaran kerana masih terdapat kelemahan di pihak perlaksanaan.
Komen Bobbey ini perlu diberikan perhatian oleh kakitangan sektor awam kerana terlalu banyak aduan masyarakat yang melibatkan tahap kecekapan kakitangan awam yang kurang memuaskan. Ada yang terpaksa datang untuk berurusan di pejabat-pejabat kerajaan sehingga berpuluh kali tetapi urusan mereka tidak juga selesai.Ada yang menghabiskan ratusan ringgit untuk berulangalik untuk mendapatkan satu jawapan daripada pegawai kerajaan tetapi tetap pulang dengan kehampaan.
Banyak contoh boleh diberikan.Ketika Kerajaan beria-ia membantu menyelesaikan masalah rakyat, apa yang dibimbangkan Datuk Bobbey, ialah tahap kecekapan dan mentaliti kakitangan awam yang sepatutnya berubah. Sebab kalau tidak, sampai kiamat, masalah rakyat tidak dapat ditangani dengan sempurna. Mungkin Bobbey benar ketika mengucapkan kata-kata itu, mungkin juga tidak. Tetapi untuk mengatakan tidak, mentaliti dan sikap kita harus berubah.

Utusan Borneo 24 Oktober 2010

Khamis, 21 Oktober 2010

Balada Si Oyong,Pitas dan sebuah kehidupan

Tags

Balada si Oyong, Pitas dan satu kehidupan
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
SEWAKTU kecilnya, si Oyong hampir hilang di Sungai Bengkoka. Mujur ibunya, Puan Rahimah Japar terbangun selepas terdengar suatu bisikan, dan betapa terkejutnya dia apabila mendapati `Si Oyong' yang ketika itu masih kecil dan masih belum boleh bercakap, sudah tidak ada di sisinya. Padahal, sebelum masuk tidur, si Oyong berbaring disamping ibunya.
"Saya menengok kanan, menengok kiri, si Oyong tiada," kata emaknya. Gemparlah mereka dan setelah dicari, entah bagaimana, si Oyong yang masih berjalan tertatih tatih itu dijumpai di tepi sungai.
"Jika teringat peristiwa itu, saya merasa takut sehingga sekarang," kata ibunya kepada kami. Itulah peristiwa yang paling melekat di ingatan ibu tua itu. Kini si Oyong itu telah belayar menempuh sungai kehidupan merantau melintasi likuliku sungai yang jauh sebelum menempah namanya sebagai salah seorang sasterawan di negeri Sabah yang kita cintai ini.

Si Oyong itulah yang kini kita kenali dengan nama Juri Durabi, seorang penulis yang telah menghasilkan banyak karya seperti novel (Susuk Tingkayu,Jalan Ke Puncak,Misteru Gua Gumantong, Gadis Atlit, Benih Harapan,Dia Yang Dilupakan,Jaguh, Pahitnya Bak Hempedu, cerpen (Kumpulan Cerpen Daerah Patung-Patung, Perjalanan Ke Negeri Satu) Antologi Cerpen Bersama, Bagai Camar Di Lautan, Fenomena, sajak, drama radio dan esei kritikan. Juri Durabi juga tercatat sebagai salah seorang penulis yang sering memenangi Hadiah Sastera Sabah. Beliau telah menerbitkan kumpulan cerpen Perjalanan ke Negeri satu yang merupakan kumpulan cerpennya yang kedua.

Pada satu pagi, 10 Oktober yang lalu, sebelum pulang ke ibu kota, kami sempat singgah di kampung kelahirannya, iaitu Kampung Pondoi Pitas yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari Pekan Pitas. Rumah tempatnya telah dirobohkan lama dahulu, mungkin kerana sering terkena banjir. Kami bertandang ke rumah kakaknya untuk menziarahi ibunya, yang sedang tak sihat.

Sehari sebelumnya, kami menghadiri acara Derau Bahasa dan Sastera yang diadakan sebagai salah satu program sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 yang diadakan di Kampung Senaja. Juri Durabi, yang merupakan salah seorang penyair besar di Pitas tampil untuk membacakan puisi. Sebenarnya, Pitas telah melahirkan ramai penulis yang berkaliber seperti Alipah JN, Jair Sulai, Mokuji Maturon, dan banyak lagi yang luput di ingatan ketika menulis catatan ini.

Juri Durabi pernah dianggap `seniman gila' di kampungnya. Setelah berpindah ke Kudat, beliau bertemu tokoh-tokoh sastera ketika itu seperti Mohd.Omar Mualam dan Musa Tampil. Minatnya menulis tumbuh kerana alam persekitarannya, di sebalik cabaran yang diterima dan galakan rakan-rakannya. Sejak di bangku sekolah, Juri memang sudah meminati bidang penulisan. Tetapi beliau menulis secara serius pada tahun 1984 setelah bertemu dengan R.Hamzah Dua, penulis yang banyak berjasa kepada dirinya.

Selain itu, beliau juga berkenalan dan bersahabat dengan arwah Saffie Haji Mukri, seorang penulis yang pernah menulis novel bersiri. Dari situ, Juri melangkah setapak demi setapak dalam dunia penulisan. Malah beliau sempat menjadi anak angkat kepada Sasterawan Negara, Datuk Haji Abdullah Hussain melalui program Penulis Anak Angkat DBP Sabah, satu program yang sangat baik tetapi sekarang telah terhenti.

Penulis ini memiliki semangat yang kental. Sibuk bekerja di waktu siang, beliau mengambil peluang menulis pada waktu malam. "Dengan keterbatasan waktu yang ada , saya hanya dapat menaip perlahan-lahan apabila ada masa terluang. Kerana saya bekerja, jadi pada waktu malamlah saya mengambil masa sejam dua jika tidak sibuk"
.
Juri yang berumah tangga dengan Amisiang Dali mempunyai tujuh orang anak, Mohd.Adzmadi, Mohd.Azwan, Mohd.Nazri,Mohd.Faizan, Nurul Hidayah, Nur Halidah dan Mohd.Zahrul Fahmi yang dianggapnya permata yang bersinar. "Terangilah jalan kehidupan ini dengan pelita iman untuk dunia dan akhirat," begitu pesannya kepada anak-anaknya. Kebetulan pula, Juri dilahirkan dalam keluarga tujuh adik beradik dari pasangan arwah Durabi Atong dan Puan Rahimah Japar. Adik beradiknya terdiri daripada Puan Tiarah Durabi, Allahyarham Tetayu Durabi, Basri Durabi, Tirakmat Durabi, Jumri Durabi dan Harun Durabi.

"Inilah manusia-manusia yang paling dekat dengan saya, yang tahu dan faham tentang kedegilan, kejahatan dan kenakalan saya semasa kecil.Mereka juga menjadi inspirasi saya ketika berkarya," kata Juri kepada kami yang mengikuti beliau ke rumahnya. Dalam rombongan itu, selain saya, terdapat juga Pegawai Bahasa DBP Sabah, Abd.Nassir Said dan `pilot' kami, Firdaus Petrus Abdullah.

Kami sempat menolak kereta yang masuk lumpur kerana tanah lembab di kampung Pondoi. Selepas itu kami berangkat pulang ke Kota Kinabalu dan sepanjang perjalanan itu banyaklah kisah suka dan duka yang diceritakan.

"Walaupun kampung saya agak teruk," kata Juri, "tetapi saya tetap berbangga dengan kampung saya," katanya. Malahan menurut Juri, banyak perkara di kampungnya itu menjadi sumber idea dalam karya-karya sasteranya. Melalui pengalaman yang ditinggalkannya, membekas kenangan yang menjadi butir butir ilham yang membentuk karya yang bermutu. Sebab itu, Juri mampu tampil dengan karya-karya yang bermutu.

Pitas merupakan sebuah daerah yang terletak jauh di utara, kebanyakan penduduknya hidup bertani dan menjadi nelayan. Pitas terletak kira-kira 195 kilometer dari ibu negeri dan 132 Km dari Kudat. Penduduknya terdiri dari masyarakat Sungai, Bajau, Suluk, Ubian yang membentuk kira-kira 49 peratus penduduk yang beragama Islam. Kira-kira 51 peratus penduduknya yang lain terdiri dari suku kaum Rungus, Kimaragang, Tambanua dan Sonsogon dan 10 keluarga cina yang menjadi pekebun.

Kampung Pondoi merupakan salah satu daripada 133 buah kampung di Pitas, yang dulunya daerah termiskin tetapi kini sedikit demi sedikit mulai makmur dengan pelbagai projek pembangunan yang dibina oleh kerajaan.

Dalam perjalanan itu, kami sempat berhenti untuk bergambar bersama replika udang, ikan di bulatan Pitas. Ia merupakan antara hasil utama daerah itu, yang baru memiliki Majlis Daerah tahun ini walaupun daerah itu menjadi sebuah daerah pada tahun 1971.

Sepanjang pesisiran pantai kami menghayati pemandangan yang indah dan mengilhamkan. Walaupun sesekali terserempak dengan `batu-batu di jalan' ikut istilah Firdaus untuk najis lembu, namun keindahan dan keramahan penduduk Pitas tidak berkurang. Selain itu terdapat juga beberapa restoran di pinggir jalan, yang dibina menganjur ke laut. Keindahan lanskapnya memukau pandangan mata. Sebenarnya banyak lagi, keindahan yang boleh dieksploitasi.
Di Mempakad Laut, masyarakat yang tinggal di pinggir pantai mengusahakan jualan ikan salai. Ada juga yang menjual ikan dan makanan laut yang lain. Tetapi sepanjang perjalanan di Pitas hingga ke Marasimsim, pemandangan daerah Pitas sesungguhnya sangat menarik.

Barangkali yang paling menarik ialah sikap penduduknya yang ramai dan baik budi. Sentiasa menghulurkan bantuan jika diperlukan malah dalam banyak acara sastera atau program kemasyarakatan yang diadakan, sambutan penduduk kampung agak luar biasa.

Ketika saya bertanya, bagaimana masyarakat Sungai mengucapkan `terima kasih', Juri tidak dapat mengingat suatu kata yang dapat menterjemahkan ucapan terima kasih itu. Di Pitas, ungkapan terima kasih dapat diucapkan dan digambarkan dengan banyak cara. Tapi kita wajar mengucapkan terima kasih kepada Pitas yang telah memberikan kita satu kesempatan untuk memahami beberapa kata seperti kemiskinan, keterpencilan, ketertinggalan, juga keindahan, kebaikan, keramahan, kebersamaan, dan denyut kehidupan.


































Satu pagi di Jesselton Point

Tags
Sebelum ke Terminal Dua LTAKK,saya sempat menyertai Nizam, YB Dr.Xavier Jayakumar dan Pak Khalid makan di Restoran Nasi Padang Ibu di Jesselton Point. Dr.Xavier teringat pengalamannya ketika kempen PRK Likas kira-kira sepuluh tahun yang lalu ketika bot yang dinaikinya terkandas di tengah laut selepas enjinnya tak dapat dihidupkan.
Tetapi apa yang membimbangkan beliau kini ialah masalah-masalah berkaitan gejala sosial di kalangan remaja, masalah pengangkutan awam, masalah tahap kesihatan awam, kemiskinan, pengangguran dan macam-macam lagi isu menarik.Beliau menceritakan sewaktu kecilnya tinggal di kampung dan beliau mampu mengingati satu demi satu nama nama jirannya dan anggota keluarga mereka.Malah kadang makan di rumah mereka dan begitu sebaliknya.Keadaan sekarang jauh berubah.
Beberapa pertanyaan juga saya timbulkan kepada Pak khalid, mengenai pencerahan politik, mengenai bagaimana sepatutnya masyarakat kita menjadi kuat, persoalan berkait pembentukan masyarakat madani dan sebagainya. Angin laut memang terasa bertiup, pemandangan memang mengasyikkan dan kapal-kapal masih tertambat di pelabuhan.
Mungkin menunggu waktu untuk memulakan pelayaran.


Pertemuan dengan Azmin Ali

Tags
Tidak siapa boleh menafikan bahawa dalam tempoh 5 tahun atau 10 tahun lagi, YB Azmin Ali merupakan pemain yang penting dalam arena politik negara. Sekarang inipun, Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Gombak, merupakan seorang tokoh yang dilihat boleh memimpin PKR selepas DSWA. Beliau seorang pemimpin yang sudah teruji tahan lasak, dan antara tokoh pemimpin era reformasi.
Saya berpeluang untuk menemuramah Azmin yang turut menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden PKR selain Dato' Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub.
Saya mendapatkan pandangannya mengenai PRK Batu Sapi, visinya sebagai calon Timbalan Presiden PKR dan jaminan-jaminan yang diberikannya dalam menjayakan agenda Borneo seperti yang diucapkannya ketika menyampaikan ucapan penerimaan pencalonan Timbalan Presiden PKR.
Sebagai seorang tokoh politik nasional, Azmin memperlihatkan kewibawaannya yang tersendiri dan saya fikir mampu mengemudi PKR ke destinasi yang mereka harapkan.
Dalam gambar ini, saya dan sahabat baik, Nizam berfoto bersama Azmin dan Pak Khalid.


Bukan selalu dapat minum dengan TKM

Tags

Bukan selalu dapat duduk semeja dengan Timbalan Ketua Menteri.Sarapan bersama di Megah d'aru. Peluang yang jarang berlaku tapi itulah barangkali keuntungan memilih kerjaya sebagai seorang wartawan. YB Dr.Mansor Osman, TKM Pulau Pinang yang baik dan mudah mesra. Bersama kami ialah Pak Khalid dan sdr.Zakaria, mantan Pengerusi PKR Pahang.
Pada pagi itu, saya sedang menunggu untuk menginterview YB Azmin Ali, mengenai visinya bertanding Timbalan Presiden PKR, apa yang disebutnya sebagai agenda Borneo dan jaminan yang diberikan PKR dan soal mengenai PRK Batu Sapi.
Pertemuan sejenak dengan orang-orang penting ini, amat berharga dan bermakna bagi saya.

Lama tak bertemu Pak Khalid

Tags
Lama tak bertemu Pak Khalid Jaafar.Jika tak silap, paling akhir kami minum dan sembang bersama ialah di Anjung Selera ketika Pilihanraya Kecil DUN Likas, tahun 1999 yang lalu.
Kali ini beliau datang ke KK dan kami sempat berjumpa di rainforest cafe sebentar sebelum maghrib tiba.Beliau kini aktif mempromosikan pencerahan politik, satu topik yang bagus untuk melihat dan menjangka masa depan demokrasi kita.

singgah minum di Pantai Tanjung Aru

Tags
Kami singgah minum di Pantai Tanjung Aru malam itu selepas menziarahi brother Razak di Hospital Queen Elizabeth, kemudian ke rumah Ita' dan Linda di Flat Guru di Bukit Padang.
Saya sengaja minta isteri datang kerana saya tidak berpeluang bercuti, agak sibuk juga sebenarnya.Anak-anak tak ikut, cuma Mehran minta dibelikan buku dan Fawzan dan Farhan minta dibelikan mainan mainan.
Mujur Nazir sedia menemankan kami dalam ziarah itu.Jadi selepas segalanya selesai,kami singgah makan dan minum kelapa muda, bagi membuang segala sisa toksik dalam badan.
Mungkin singkat, tetapi saat-saat seperti itu amat indah dan bermakna.

Pertemuan dengan Nik Abduh

Tags

Kesempatan untuk bertemu Sdr Nik Abduh Nik Aziz, dan rakan-rakannya Mohd.Nazri Noor dan Ust.Mohd.Edrus Abdul Rahman yang sedang mempromosikan barangan Tok Guru Nutriceuticals Marketing tg4all.com, merupakan satu peluang yang amat berharga untuk menemubual anak Menteri Besar Kelantan ini.
Orangnya sederhana dan bersahaja.Fikirannya jernih dan jelas.Caranya menjawab soalan provokasi juga terlihat matang.Tidak hairanlah jika Nik Abduh yang juga Ahli Dewan Pemuda PAS Pusat mampu pergi jauh dalam politik Malaysia sekurang-kurang untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Pertemuan di Restoran Ikhwan Sembulan itu, saya gunakan sebaik-baiknya untuk mendapatkan pandangan beliau mengenai politik generasi muda, isu-isu terkini termasuk soal PRK Batu Sapi dan sebagainya.
Nik Abduh, yang namanya mengingatkan saya kepada Muhamad Abduh, tokoh pembaharu di Mesir, mampu menjadi salah seorang tokoh pemimpin di persada politik tanahair satu ketika nanti. Saya yakin.



Catatan perjalanan ke SK Lingga Baru

Tags
Perjalanan ke SK Lingga Baru, Tamparuli memang agak mendebarkan.Bukan kerana sekolah itu jauh lokasinya iaitu kira-kira 25 minit menggunakan 4WD dari Tamparuli merentasi jalan kelikir dan berbukit bukau tetapi lebih disebabkan saya agak terlambat sampai dari jadual yang ditetapkan.
"Jangan terburu-buru, asalkan tuan selamat sampai," demikian SMS dari Cikgu Wilter Dousip, 25, guru bahaha Inggeris yang baru beberapa bulan bertugas di sekolah itu, sebaik menamatkan pengajian perguruan di Maktab Perguruan Keningau.
Sebenarnya saya bergerak agak awal dari rumah kerana takut terlambat. Tapi rupanya, agak kurang orang yang berkunjung ke Tamparuli menggunakan bas mini, maka bas agak liat untuk berangkat sebaliknya sanggup berlama-lama, lebih dua jam menunggu penumpang.
Hampir jam 10.00, saya sampai di Simpang Berungis dan minta cikgu Wilter datang mengambil saya di sana. Lebih setengah jam kemudian, setelah melalui jalan berbukit dan berlikuliku, kami sampai di SK Lingga Baru.
Kalau bukan kerana teman sekolah saya, saudara Raflee haji Mansor, saya mungkin tak larat ke sekolah itu kerana faktor kesibukan,Tetapi rakan baik saya itu, beria-ia minta saya datang. Pada mulanya saya sanggupi kerana saya fikir hanya datang untuk membuat liputan, tapi rupanya saya diminta buat ceramah untuk Bengkel Penulis Muda.
Saya sungguh-sungguh menawarkan beberapa rakan yang lebih baik daripada saya untuk datang membimbing bimbing, tapi katanya `kami mahu kau yang datang'.

SK Lingga Baru merupakan sebuah sekolah kluster, mungkin satu-satunya sekolah kluster yang terletak di luar bandar, boleh dikatakan di tengah hutan, tetapi pelajarnya seramai 53 orang itu, dengan 30 keluarga ibubapa, telah mencatatkan kecemerlangan demi kecemerlangan hingga ke peringkat kebangsaan.

Kunjungan ke SK Lingga Baru itu juga mengingatkan saya kepada perancangan untuk ke Riau Lingga pada awal November nanti untuk menelusuri hubungan sejarah antara Raja Tempasuk dengan Sultan Mahmud Riau Lingga yang telah berlangsung pada 223 tahun yang lampau.

Sebaik-baik saya datang, murid-murid berdiri dan mengucapkan Selamat Pagi Cikgu kepada saya.Tiba-tiba saya menjadi cikgu kepada murid-murid tahun dua hingga 6, yang menyertai Perkhemahan Bahasa Melayu itu.

Tanpa berlengah saya terus menyampaikan sedikit huraian mengenai wartawan, kerjaya wartawan, mengenai kriteria sesuatu berita, mengenai 5W1H-satu suami lima isteri dalam berita, mengenai orang menanduk kambing dan sebagainya.

Pelajar-pelajar tahun 4 hingga 6 itu, pintar-pintar belaka.Saya beritahu cikgu Beneh Ramlee, Guru Besar Sekolah yang membawa sekolah itu mencatat kecemerlangan.Saya ucapkan tahniah kepada mereka.Juga kepada Cikgu Loumin Gonsu, yang berasal dari kampung Bambangan, yang terletak berdekatan. Saya terharu juga dengan kesempatan yang diberikan oleh Cikgu Ripah Maji, Pengerusi Pelaksana Perkhemahan itu.
Seramai 46 murid menyertai perkhemahan BM itu dan mereka bersama 11 guru, tiga hari tiga malam, berada di sekolah untuk menjayakan aktiviti-aktiviti perkhemahan yang diadakan seperti Sehari Selembar Benang,Kemahiran Mengarang, Bahasa Isyarat,Bengkel Penulis Muda,Permainan Bahasa,Bercerita,Persembahan Malam Kebudayaan dan sebagainya.
Saya fikir objektif SK Lingga Baru mengadakan perkhemahan itu, antaranya untuk memberikan suasana belajar yang berbeza dengan situasi di rumah,melatih murid untuk berdisiplin dan membina imej kendiri serta mampu menyelesaikan kerja dengan lebih sistematik dan teratur selain membentuk pelajar yang berkelakuan positif terhadap pelajaran demi meningkatkan pencapaian akademik selain menanam sikap bertoleransi,bekerjasama,tolong menolong dan sentiasa bermuafakat dalam segala perkara.
Saya kagum dan gembira dengan kesungguhan pelajar SK Lingga Baru Tamparuli itu.Saya yakin, jika mereka rajin belajar dan mendapat bimbingan dan tunjukajar yang baik daripada guru-guru yang berdedikasi,para pelajar itu mampu mengharumkan nama SK Lingga Baru, Tamparuli, negeri Sabah malah mampu memngharumkan nama diri sendiri untuk memberikan kebaikan dan manfaat sebanyak-banyaknya demi kesejahteraan umat manusia.

















Rabu, 20 Oktober 2010

Ann, kehidupan ini sepatutnya lebih indah

Tags
ANN, KEHIDUPAN INI SEPATUTNYA LEBIH INDAH

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

Ann, ketika anakku bertanya, dimana lagi tempat yang selamat untuk kehidupan kita, sesungguhnya aku tidak berani menjawabnya. Hari itu, selepas kau tidak pulang lagi, aku menjadi terdiam dan termangu buat beberapa lamanya di depan skrin komputer. Marah, sedih dan kecewa, semuanya bersatu dalam gelapnya harapan.
Kita mungkin tidak pernah bertemu, dan aku yakin tidak mungkin lagi bertemu. Kau pergi begitu tiba-tiba, tanpa sempat pamit pada keluarga atau orang yang tersayang. Entah kenapa di dunia ini, ada orang yang sebegitu kejam, kelihatan seperti manusia tetapi perilakunya buas seperti binatang malah lebih ganas daripada itu.
Beberapa lamanya kami termangu. Seperti tak percaya, di negeri kita ini, ada orang yang begitu tega memadamkan hidup orang lain untuk mencapai tujuannya, juga kerakusan, ketamakan dan hidup yang tanpa pegangan. Kami menjadi begitu marah kerana ada orang seperti itu, yang kejam membunuh, entah kerana dendam, kerakusan atau apa saja, yang sepatutnya tidak mungkin dapat dimaafkan, oleh orang mempunyai hati nurani.
Kekejaman demi kekejaman berlaku setiap masa dan ketika. Kini kami semakin bimbang melihat bagaimana dunia yang dulunya beradab kini penuh gelora dan penghuni yang salah tingkah. Ramai telah berpaling daripada agama dan hidup tanpa pedoman. Ada diantaranya menjadi benda benda sebagai tuhan mereka sehingga tidak pedulikan lagi hidup orang lain atau sesama mereka.
Tidak ada lagi rasa keprihatinan dan kasih sayang. Tidak ada lagi rasa kasih dan cinta, sebaliknya mereka hidup dalam dendam dan kebencian. Mereka meremehkan segala kejadian Tuhan sedangkan Tuhan begitu adil dan teliti mencipta segala sesuatunya. Bahkan embun di hujung daun pun, telah diatur perjalanannya sebegitu rupa. Kita manusia menjadi golongan yang tak bersyukur dan kerana itu, kita sanggup berbuat apa saja kerana telah lupakan sang pencipta kita.
Ann, ketika anakku bertanya, dimana lagi tempat yang selamat untuk hidup yang lebih selamat, aku tidak menjawabnya.Sama seperti anak-anak lain, mereka juga diselimuti kebimbangan kebimbangan.
Apakah mereka hidup dalam persekitaran yang selamat? Persekitaran yang ramah, yang mesra, yang ceria?. Persekitaran dimana semua orang hidup dengan perasaan aman, dimana semua orang mempunyai kerja dan tiada pengangguran. Dimana semua orang di sekitar menjadi warga negara yang penuh cinta dan bermaruah.
Pemergianmu seolah mengisyaratkan bahawa dunia ini semakin tua dan lelah. Setiap hari di kaca tv, di suratkhabar, di internet, facebook dan sebagainya, kita melihat betapa dunia yang kita kongsikan ini tidak selamat. Tidak selamat untuk kehidupan. Setiap hari ada kejadian pembunuhan dan penganiyaan. Jenayah berlaku bukan di Eropah atau Amerika tetapi di negeri kita, di daerah kita, di kampung kita malah di dihadapan mata kita.
Kutahu kau tidak akan pulang lagi. Malaikat telah membawamu ke seberang sana, ke alam yang lebih kekal dan abadi. Kami percaya, setiap dosa walaupun sebesar debu dan zarah tetap akan diadili, dan setiap pahala meski sekecil manapun tetap akan dihitung dihadapannya.
Yakinlah bahawa setiap perbuatan tetap ada pembalasannya. Tuhan adalah hakim yang maha bijaksana, dan kau tak perlu meraguinya. Aku yakin setiap segala sesuatunya dalam hidup kita ini tidak terlepas dari perhatiannya.

Pemuda berfikir, bertindak sebagai hulubalang UMNO

Tags
PEMUDA BERFIKIR, BERTINDAK SEBAGAI HULUBALANG UMNO

Kerajaan perlu meneruskan usaha untuk memberi ruang serta menyokong pemimpin pelapis, iaitu golongan muda, kerana pengabaian terhadap aspek ini boleh menjejaskan kesinambungan kepemimpinan Negara.

Demikianlah rumusan pendapat yang dilontarkan oleh Ketua Pemuda UMNO Sabah, AZMAN HAJI RUSLAN, dalam satu wawancara eksklusif dengan wartawan Utusan Borneo, ABD NADDIN SHAIDDIN, baru-baru ini. Azman, yang menerajui Pemuda UMNO Sabah sejak Mac 2009 juga bercakap tentang harapan serta peranan Pemuda untuk membantu memperkasakan golongan muda di negeri ini. Dalam wawancara hampir satu jam itu, peguam muda itu juga menjelaskan tentang halatuju Pemuda serta peranannya untuk mempertahankan UMNO sebagai institusi yang memperjuangkan hak-hak dan kepentingan rakyat berbilang kaum dan agama di Negara ini.

Utusan Borneo (UB): Terima kasih kerana sudi diwawancara. Bagaimana keadaan Pergerakan Pemuda UMNO Sabah sekarang?

Azman: Sama-sama. Saya juga berterima kasih kepada Utusan Borneo kerana sudi menemuramah saya. Ya, bulan ini masuk bulan ke 16 saya menerajui Pemuda UMNO Sabah. Dalam kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan UMNO Pusat, terutama sekali Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin kerana atas sokongan dan kepercayaan kedua-dua pemimpin itulah saya berada di tempat yang saya duduki sekarang. Saya juga merasa bersyukur kerana mempunyai rakan-rakan ketua Pemuda UMNO Bahagian yang sangat komited dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Saya melihat bahawa kekuatan Pemuda UMNO banyak bergantung kepada semangat kerjasama seluruh pemimpin dan anggota Pemuda UMNO. Selain itu, tugas dan peranan utama kami sebagai sayap kanan parti, juga adalah untuk mendokong, memelihara dan mempertahankan institusi kepemimpinan parti UMNO, sama ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri mahupun kebangsaan. Pada hemat saya, Pemuda UMNO haruslah sentiasa berfikir dan bertindak secara kolektif dan proaktif mengikut tuntutan dan keperluan isu-isu semasa. Secara jujur masih banyak lagi perkara yang saya perlu pelajari mengenai tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda UMNO Sabah, dan saya yakin dengan pasukan (bersama ketua-ketua Pemuda UMNO Bahagian) serta sokongan para pemimpin UMNO Negeri, Pemuda UMNO Sabah boleh berfungsi selaras dengan harapan pucuk pimpinan parti.

UB: Boleh jelaskan apakah halatuju perjuangan Pemuda UMNO Sabah?
Azman: Seperti yang saya katakan tadi, peranan, tugas dan tanggungjawab utama kami ialah untuk berfungsi sebagai sayap kanan parti UMNO, terutama sekali mendokong, memelihara dan mempertahankan UMNO sebagai institusi politik yang memperjuangkan hak-hak dan kepentingan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

UB: Bagaimana dengan pencapaian Pemuda UMNO Sabah di bawah kepimpinan saudara setakat ini?
Azman: Alhamdulillah, sangat memberangsangkan tetapi adalah tidak adil jika saya mengatakan bahawa kejayaan atau pencapaian Pemuda UMNO Sabah itu adalah hasil kejayaan saya sebagai Ketua. Apa yang saya boleh katakan ialah bahawa kemantapan kepimpinan Pemuda UMNO Sabah sekarang ini adalah berkat daripada kerjasama erat dan sokongan padu daripada seluruh anggota dan pemimpin Pemuda Negeri dan Pusat. Saya juga merasa bertuah kerana barisan kepimpinan Pemuda UMNO Sabah, sama ada di peringkat Ahlijawatankuasa Pemuda Negeri mahupun bahagian, adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin muda yang berani, jujur, berkebolehan dan berwawasan.
Setakat ini Pemuda UMNO telahpun menjalankan beberapa program seperti mengadakan kempen pendaftaran pemilih dan keanggotaan parti UMNO serta mengadakan program perjumpaan dengan pemimpin dan anggota parti di peringkat akar umbi, yang dinamakan program ‘Rakan Pembela Rakyat’. Kita juga telah menganjurkan program-program ke arah penyatuan dan permuafakatan antara Pemuda UMNO dengan Pemuda komponen BN yang lain, khususnya untuk merangka persediaan dan strategi untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13. Selain itu, Pemuda UMNO juga telah mengambil inisitiaf untuk merapatkan hubungan dengan pihak NGO-NGO belia, para penjawat awam, badan-badan berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta. Kebetulan saya juga adalah Pengerusi Pemuda BN Sabah.

UB: Sebagai sayap kanan parti politik terkemuka di Malaysia, bagaimanakah Pemuda UMNO dapat memainkan peranan berkesan untuk memperkasakan golongan belia atau generasi muda, khususnya di peringkat negeri Sabah?
Azman: Sebelum menerajui Pemuda UMNO Sabah, saya pernah terfikir mengenai perkara itu. Yang saya fikirkan ialah apakah persepsi umum terhadap parti UMNO? Memanglah UMNO itu sebuah institusi politik tetapi kita juga lihat bahawa peranan dan tanggungjawab UMNO itu bukanlah tertumpu kepada aktiviti politik atau politiking semata-mata, kerana sebagai parti politik yang menjadi tunjang kepada pemerintahan Negara, maka UMNO itu juga adalah nadi dan jentera penggerak kepada agenda pembangunan bangsa dan negara.
Justeru, sebagai sayap kanan parti UMNO, saya lebih cenderung untuk melihat supaya Pemuda UMNO dapat memahami dan menyelami isu-isu yang melibatkan kepentingan dan keperluan generasi muda. Pada waktu yang sama saya juga ingin melihat supaya Pemuda UMNO dapat menampilkan imej dan pemikiran di luar kotak politik, iaitu dari segi fungsi dan sumbangannya kepada masyarakat umum. Contohnya, saya ingin melihat pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO menyertai dan melibatkan diri secara aktif dalam badan-badan sukarela, institusi-institusi awam atau badan-badan bukan kerajaan (NGO). Dengan cara itu, pemimpin dan anggota Pemuda UMNO bukan sahaja dapat memahami isu-isu relevan berkaitan badan-badan atau institusi-institusi berkenaan tetapi dapat pula menyumbang tenaga dan idea-idea bagi memantapkan peranan dan fungsi badan-badan tersebut.
Justeru, saya berpendapat bahawa salah satu cara untuk memperkasakan golongan muda ialah dengan menerima dan melibatkan mereka dalam hal-hal yang berkaitan dengan pembuatan atau penggubalan dasar-dasar. Saya percaya dengan penglibatan mereka itu, mereka boleh menimba pengalaman serta menjadi golongan yang lebih prihatin tentang hak-hak mereka serta akan menjadi golongan yang lebih bertanggungjawab, dimana pada akhirnya ia akan menjadi satu pelaburan yang memberi manfaat kepada masyarakat pada keseluruhannya. Dengan kata lain, usaha memperkasakan golongan muda memerlukan mereka memainkan peranan aktif dalam soal-soal kemasyarakatan. Secara amnya, golongan muda merasakan bahawa kerajaan memang mengambil perhatian berat tentang isu-isu yang melibatkan kepentingan generasi muda, namun mereka mungkin kurang pengetahuan tentang program-program kerajaan yang disasarkan khusus untuk mereka. Kurang pengetahuan inilah yang mungkin menyebabkan tentang perlunya meningkatkan penyebaran maklumat yang lebih berkesan tentang usaha-usaha kerajaan membangun dan memperkasakan belia. Dalam hubungan yang sama, adalah menjadi harapan kami supaya kepimpinan Negeri dan Persekutuan meneruskan usaha untuk memberi ruang serta menyokong golongan atau pemimpin pelapis, kerana pengabaian terhadap aspek ini bleh menjejaskan kesinambungan kepemimpinan Negara.

UB: Persoalannya, apakah generasi muda berminat atau mempunyai kesedaran tentang perkara yang saudara sebutkan itu?
Azman: Ini bukan soal mereka berminat atau tidak. Saya percaya golongan muda juga ada visi dan misi dalam hidup mereka. Saya percaya mereka juga mahu terlibat baik secara langsung atau tidak langsung dalam hal-ehwal Negara, terutama sekali mengenai isu-isu atau perkara-perkara yang bersangkut paut dengan hak-hak dan kepentingan mereka, kerana saya percaya lambat laun mereka juga akan sedar, malah tiada pilihan, bahawa mereka akan mewarisi dunia yang akan ditinggalkan oleh ibu bapa mereka. Kerana itu, seperti yang saya nyatakan tadi, adalah penting supaya golongan muda diberi ruang dan peluang untuk sama-sama membina dunia masa depan yang bakal mereka warisi nanti.

UB: Ada sesetengah pendapat mengatakan generasi muda masakini nampak tidak begitu ghairah dengan dengan trend politik yang bersifat tradisional atau konvensional? Betulkah?
Azman: Ya, saya terbaca satu kajian Merdeka Center dan The Asia Foundation mengenai pandangan dan harapan pemilih muda di Malaysia. Menurut kajian itu, walaupun golongan muda di Negara agak jahil (ignorant) tentang isu-isu politik Negara, namun golongan muda – berusia antara 21 hingga 35 – merupakan hampir 45% daripada jumlah pemilih yang layak di Negara ini, dan angka ini boleh dilihat sebagai satu kuasa baru yang boleh membahaskan isu-isu berkaitan dasar-dasar awam di Negara ini. Kajian itu seterusnya mendedahkan bahawa walaupun kemudahan Internet semakin popular sebagai wadah untuk menyuarakan pandangan serta sebagai sumber berita di Negara ini, namun kajian itu menyatakan bahawa golongan muda itu tidak menggunakan kemudahan itu sebagai alat untuk meningkatkan pengetahuan atau melibatkan diri dalam isu-isu politik dan sosial.
Untuk menjawab soalan tadi, saya lihat golongan muda sekarang mempunyai cara tersendiri untuk menilai parti-parti politik. Maksud saya, mereka lebih terbuka dari segi memilih atau menyokong mana-mana parti politik, tambahan pula mereka sentiasa akses kepada pelbagai sumber maklumat yang disalurkan atau disampaikan melalui pelbagai sumber, terutama sekali media-media alternatif Nampaknya, kecanggihan ICT memberi impak besar kepada pembentukan mood dan perwatakan golongan muda masa kini dan dalam aspek tertentu tidak hairanlah jika mereka mempunyai cara pemikiran politik yang berbeza daripada yang berlaku sekarang. Selain itu, hasil kajian makmal Pemuda BN juga mendapati bahawa 62% pemilih anak muda masih belum membuat keputusan atau pemilih atas pagar. Hasil dan candangan daripada kajian itu telah dibentang kepada YAB Perdana Menteri. Kita percaya anak muda atas pagar ini akan menyokong kita (BN) kerana kerajaan akan melihat kepentingan belia dan akan menawarkan keperluan untuk belia.

UB: Mungkinkah kesedaran dan penglibatan belia secara aktif dalam politik akan mencetuskan satu transformasi politik yang lebih fundamental, iaitu berbeza dengan trend dan amalan demokrasi sekarang?
Azman: Ini satu soalan bagus. Pertama sekali kita mestilah menerima hakikat bahawa dunia masakini adalah zaman teknologi dan kemajuan ICT. Ia sekaligus mencetuskan satu kejutan budaya di kalangan masyarakat, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Kini kita boleh berkomunikasi atau memperolehi maklumat mengenai isu-isu dan perkembangan di seluruh dunia melalui kecanggihan internet. Kita juga boleh membaca pandangan atau posting orang ramai mengenai pelbagai isu melalui portal berita, laman web, blog dan facebook, selain kita juga boleh menerima, menghantar atau bertukar-tukar maklumat terkini melalui SMS.
Yang membimbangkan saya ialah mampukah golongan muda ‘menapis’ ledakan dan serangan maklumat atau bahan-bahan bacaan melalui alam siber itu, kerana kalau kita teliti bukan semua hujah yang dikemukakan itu bersifat konstruktif. Mungkin kita boleh mengatakan bahawa inilah kebebasan bersuara, tetapi yang kita persoalkan ialah apakah kebebasan yang diagung-agungkan itu boleh membina atau meruntuhkan ketamadunan manusia? Dalam hal ini, saya mendoakan agar generasi muda mempunyai kekuatan dan kebebasan untuk menilai yang mana baik dan buruk untuk mereka. Oleh kerana itu peranan golongan muda untuk mentransformasi trend politik banyak bergantung kepada kesediaan, kekuatan dan kematangan mereka untuk menghadapi cabaran-cabaran tersebut.

UB: Menyentuh tentang perkembangan politik tempatan, saya terbaca satu komen dalam portal yang mendakwa kepimpinan UMNO Sabah sedang menghadapi pergolakan serius dan bagaikan retak menunggu belah, betulkah?

Azman: (Ketawa). Dalam politik, tuduhan seperti ini adalah lumrah. Saya tidak mengatakan UMNO itu sempurna seratus peratus atau langsung tiada cacat cela. Kita mesti ingat bahawa yang menghidupkan atau menggerakkan sesebuah organisasi politik adalah manusia. Kalau saudara ikuti sejarah perjuangan UMNO maka saudara akan dapati bahawa parti UMNO pernah menghadapi detik-detik sejarah yang sangat mencabar, tetapi semua itu telah dapat diatasi berkat kebijaksanaan dan kematangan para pemimpin UMNO dahulu dan sekarang.
Justeru, tuduhan penulis yang mengatakan kononnya UMNO Sabah retak menunggu belah hanyalah satu andaian dan pandangan sepintas lalu penulis berkenaan. Malahan tuduhan itu, pada pendapat saya, akan lebih mengukuhkan kedudukan dan perjuangan UMNO di Sabah khususnya dan di Malaysia amnya. Saya amat yakin bahawa kepimpinan UMNO di negeri ini tidak akan mengambil pendekatan ‘api lawan api’ dalam merungkai apa jua masalah dalaman parti. Yang saya nampak, pucuk pimpinan UMNO Sabah sekarang lebih bersikap akomodatif dalam menerima teguran dan pandangan daripada pemimpin dan anggota akar umbi, termasuklah daripada pemimpin-pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain.
Bagi pendapat saya, yang penting sekali ialah suara akar umbi mestilah sentiasa didengar dan diambil perhatian kerana ‘suara-suara’ itulah sebenarnya yang menjadi asas kepada kekuatan parti. Setiap pemimpin parti juga tidak perlu ‘terlalu risau’ memikirkan survival politiknya kerana dalam soal berparti, yang sewajarnya dipelihara dan dipertahankan ialah falsafah dan nilai perjuangan parti itu.

UB: Andainya tuduhan itu berasas, apakah pendirian Pemuda UMNO Sabah?
Azman: Itu bukan satu masalah kerana pemuda itu adalah sayap kanan UMNO. Sikap dan pendirian kami adalah sangat jelas, kerana hubungan Pemuda dengan pucuk pimpinan parti tidak boleh lari daripada maksud pepatah ‘bagaikan aur dengan tebing’. Dalam apa situasi sekalipun, Pemuda UMNO kenalah berfikir dan bertindak sebagai pendekar atau hulubalang parti. Dengan kata lain, Pemuda mestilah berjuang untuk memelihara dan mempertahankan UMNO sebagai institusi politik yang memperjuangkan hak-hak dan kepentingan semua kaum di Negara ini, tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
Pemuda juga mestilah sentiasa menghormati dan menyokong pucuk pimpinan parti, sama ada di peringkat bahagian, negeri mahupun Persekutuan. Kerana pada pandangan saya, sesiapa juga yang memegang jawatan penting dalam parti, sama ada di peringkat Negeri mahupun Persekutuan, maka orang itu sebenarnya mewakili institusi politik, iaitu UMNO. Saya percaya semua pemimpin UMNO mempunyai harapan dan cita-cita untuk meninggalkan legasi perjuangan politik yang boleh membina banyak terowong yang dihujungnya ada cahaya, supaya perjalanan generasi yang bakal mewarisi perjuangan UMNO dan kepemimpinan Negara dapat melihat apa yang ada di hujung terowong-terowong itu.

Hubungan Ekonomi Sabah-Indonesia perlu diperkukuh

Tags

HUBUNGAN EKONOMI SABAH DAN INDONESIA PERLU DIPERKUKUH
Oleh ABD.NADDIN HJ. SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

MESKIPUN jarak antara Kota Kinabalu dengan Surabaya atau Makassar jauh lebih dekat, orang Sabah yang mahu berkunjung ke Wilayah Indonesia Timur atau sebaliknya, terpaksa melalui Kuala Lumpur, Jakarta atau bahkan Singapura.
Masalah ini menghambat hubungan ekonomi antara Sabah dan Indonesia kerana barang dagangan yang dikirimkan terpaksa melalui Pelabuhan Kelang dan mengambil masa berminggu-minggu untuk sampai di Pelabuhan Sepanggar.
Utusan Borneo menemui Konsul Ekonomi Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Bapak Rudhito Widagdo untuk membicarakan mengenai prospek dan hambatan yang dihadapi dalam hubungan ekonomi dan Perdagangan Indonesia dan Sabah.
Sektor ekonomi (trade-tourism-investment) memiliki peranan dan sumbangan yang cukup besar dalam pembangunan suatu negara.
"Sebagai negara yang bertetangga dan mempunyai kekayaan serta potensi alam yang hampir sama, sepatutnya kita serius dalam berupaya lebih meningkatkan dan menciptakan `tujuan' dari pada hubungan ekonomi/perdagangan kita," katanya.
Dengan total penduduk kedua negara Indonesia dan Malaysia, yang lebih dari 270 juta, yang mana kondisi itu merupakan pasar yang cukup besar, maka sudah sewajarnya bila kita secara terus menerus membuat strategi dan tema untuk berbagai segmen kalangan peniaga agar mengisi hubungan bilateral kedua negara yang sangat baik ini dengan kegiatan-kegiatan yang bersifat proaktif.
Dengan landasan yang ada, sudah sampai masanya hubungan ekonomi perdangan antara Indonesia dan negeri Sabah tidak lagi hanya berjalan, namun justeru harus berjalan lebih cepat dan mulai berlari, katanya.
"Dan sudah sampai masanya pula kita bukan lagi menjadi harimau kandang, namun menjadi negara yang memiliki daya saing yang tinggi di pentas global.
"Kerana itulah, kita harus mengenalpasti berbagai halangan, debottlenecking atas berbagai masalah yang menghambat dalam hubungan dan kerjasama ekonomi antara kedua negara," katanya.
Pada sepuluh tahun pertama reformasi, Indonesia telah melangkah jauh dalam melakukan transisi demokrasi, dengan membongkar dan membangun tatanan dasar dalam kehidupan politik, sosial, hukum dan ekonomi.
Di bidang ekonomi, Indonesia telah berhasil meningkatkan pertumbuhan ekonominya dari minus 13 perattus pada tahun 1998 menjadi 6 peratus dalam tahun 2008.
Ketika ini, pertumbuhan ekonomi Indonesia sebesar 6.2 peratus dengan kadar inflasi sebanyak 5.3 peratus, pendapatan per kapita sebesar US$6.812 dengan jumlah penduduk sebanyak 238 juta.
Dalam proses yang terus berkembang , eksport non-migas Indonesia telah menembus US$100 bilion, APBN (Anggaran Perbelanjaan Besar Negara) menembus 1000 triliun rupiah , cadangan devisa Indonesia kini mencapai lebih dari US$98 bilion, rupiah terus stabil, angka kemiskinan terus menurun, credit rating Indonesia terus membaik, dan rasio hutang atas PDB turun secara signifikan, kini mencapai 27.8 peratus, salah satu yang terendah dalam sejarah Indonesia.Dan yang paling penting, bangsa Indonesia memiliki ketahanan makanan yang semakin kuat
"'Hasil dari semua ini, bangsa Indonesia mengalami reformasi besar, juga sebuah tranformasi total. Indonesia kini lebih utuh, lebih aman, lebih kuat ekonominya, lebih damai, lebih dinamis dan lebih demokratis,"' katanya.
Buktinya, ketika dunia dirundung krisis kewangan yang dahsyat pada 2008 dan 2009, ketika dunia mengalami kontraksi pada tahun 2008, ekonomi Indonesia justeru tetap tumbuh sebanyak 6.0 peratus pada 2008 dan 4.5 peratus pada tahun 2009, pertumbuhan ketiga tertinggi antara G-20, setelah Cina dan India.
Apabila kita lihat pada neraca perdagangan antara negeri Sabah dan Indonesia pada tahun 2009 ialah sebanyak RM3,959 juta.
Hal ini memperlihatkan hasil ekonomi kita masih sangat kecil jika dibandingkan dengan nilai/voplume eksport-import antara Indonesia dengan Malaysia secara nasional.
"Padahal kita fahami, Indonesia merupakan rakan dagang terbesar ke-7 bagi Malaysia yang sebenarnya kita boleh lakukan hubungan dan kerjasama secara langsung," katanya.
Di antara kedua wilayah, mempunyai sumber daya alam yang mirip, sehingga perlu adanya suatu bentuk kerjasama yang saling menguntungkan dan berkelanjutan.
Kerjasama ekonomi ini diharapkan akan bisa saling mengisi keperluan untuk menjaga kestabilan pasar dan harga, kata Rudhito lagi.
Potensi produk yang boleh dikembangkan demi pembangunan adalah building materials, crude palm oil (CPO), kayu dan produk-produknya, perabot, produk perlombongan, arang batu, pasir besi, nikel) kraftangan, kertas, komponen automotif, kain/garment , kopi, sepatu, floot glasses dan lain-lain.
Dalam menjalani hubungan ekonomi kedua bangsa yang sudah cukup lama dan tradisional ini, kita dapat melihat bahawa kita masih kekurangan dukungan kemudahan pengangkutan (laut dan udara), yang boleh menghubungkan secara langsung masyarakat kedua wilayah (people-to-people contact) termasuk angkutan barangan dan perkhidmatan, jelasnya.
Keadaan ini tentunya cukup menghambat dalam mewujudkan rasa 'kekitaan' di antara dua bangsa.
Menurut catatan kami, selama ini import Sabah atas produk-produk Indonesia masih melalui Semenanjung, sehingga tidak menghairankan apabila kebanyakan dari masyarakat di sini menganggap bahawa barang-barang yang beredar di pasaran adalah produksi Malaysia.
"Selama ini pula, bagi masyarakat Sabah yang akan berkunjung ke wilayah Indonesia Timur dan sebaliknya, sama ada untuk berniaga, melancong, mahupun saling kunjung antara ikatan keluarga yang mereka miliki, masih harus melalui Kuala Lumpur, Jakarta atau bahkan Singapura," katanya.
Kebanyakan penduduk Sabah masih mempunyai tali persaudaraan dengan masyarakat Indonesia Timur. Ertinya mereka tentu mempunyai citarasa yang sama di antara mereka, baik dalam adat istiadat mahupun dalam memenuhi keperluan sehari-hari.
Apakah upaya-upaya promosi dan langkah-Langkah strategis yang dilakukan?
Kami berpendapat, saat ini kita tidak bisa lagi bersikap pasif dalam berpromosi. Kinisudah tiba saatnya untuk melalukan langkah-langkah strategik melalui pendekatan global, dengan saling mengimpormasikan secara pro-aktif produk-produk terbaikyang kita miliki.
Tidak kalah pentingnya adalah agar sentiasa mempertebal komitmen kita untuk mengembalikan `manfaat' yang bisa dihasilkan dari dunia industri ekonomi kita, kata Rudhito lagi.
Katanya, dalam berpromosi, kita perlu memperhatikan produk market, yang selama ini sifatnya hanya `mengatur' menjadi `menjual' atau `memasarkan' yang mencakup produk yang akan dipasarkan dan pasar yang akan dituju.
Keperluan masyarakat akan suatu produk agar disertai dengan upaya perbaikan dan pembungkusan guna menarik minat pasar.
Segala upaya pencepatan, de-bottlenecking ini akan sia-sia kalau kita tidak melakukan perubahan yang paling hakiki, iaitu perubahan cara pandang.
"Kita tidak akan menghasilkan transformasi besar tanpa dimulai dengan perubahan cara pandang, perubahan mind-set.
"Walaupun kita masih menghadapi ekonomi dunia yang tidak menentu, kita perlu terus secara kreatif dan cekap mendapatkan peluang untuk meningkatkan pembangunan kita yang pro-pertumbuhan ekonomi, pro-growth, pro-peluang pekerjaan, pro-job, pro-penurunan kemiskinan, pro-poor dan pro alam sekitar, pro-environment.
Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu (KJRI-KK) sentiasa terus berupaya menjambatani hubungan/kerjamasa peniaga di Sabah seperti mengadakan `roundtable discussin, semiant/business matching, fam trip's, menganjurkan trade/investment mission, serta membuka pintu KJRI-KK kepada kalangan dunia peniaga di Sabah yang memerlukan bantuan.
Menurutnya, KJRI-KK akan terus mendorong para pengusaha Sabah agar terus melakukan terobosan-terobosan pasar secara pro-aktif (penetrasi pasar) atas keberadaan dan harga barang yang kompetetif dan marketable.
"Melalui usaha dagang langsung antara kedua bangsa diharapkan akan bisa didapatkan hasil yang positif dalam rangka upaya lebih meningkatkan kesejahteraan masyarakat kedua negara," katanya.

Ikan salai RM1 di Mempakad Laut, Pitas

Tags






IKAN SALAI RM1 DI MEMPAKAD LAUT
Oleh ABD.NADDIN Hj.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

BAGI Puan Masiah Gundiok,42, pekerjaan menjual ikan salai hanya untuk mengisi masa lapang sambil menunggu suami pulang dari kerja. Tetapi kerja menjual ikan salai yang dijalankan secara sampingan itu, mampu memberi senyuman kepada wanita cekal dari Kampung Mempakad Laut, yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Pitas.
Puan Masiah mendapat bekalan ikan dari pengusaha-pengusaha `bagang' di Teluk Marudu. Anak-anak ikan tamban,selidai dan lumaan serta pelbagai jenis ikan lain yang tidak laku untuk dijual itu, diberikan nilai komersil oleh Masiah dan beberapa wanita lain dengan menjadikannya ikan salai.
Anak-anak ikan pelbagai jenis itu disalai sebaik dibawa turun dari laut. Selepas disalai, mereka memasukkannya ke dalam plastik kecil sebelum digantung di pondok-pondok kecil di sepanjang jalan di Mempakad Laut, sebuah kampung cantik yang terletak di pesisiran pantai dengan pemandangan teluk dan hembusan angin yang mengasyikkan.
Kampung Mempakad mempunyai kira-kira 667 orang penduduk, 387 daripadanya kaum wanita. Kebanyakan penduduk di kampung itu dari suku kaum Kimaragang, iaitu salah satu suku kaum yang mendiami Pitas.
Pitas merupakan sebuah daerah yang dinaikkan taraf daerah penuh pada tahun 1975 walaupun hanya pada tahun lalu, Pitas mendapat majlis daerah. Penduduknya terdiri daripada suku kaum Sungai, Bajau, Suluk, Rungus, Kimaragang, Tambanua dan Sonsogon, serta sepuluh buah keluarga Cina yang bekerja sebagai peniaga dan petani.
Mempakad Laut merupakan salah satu kampung daripada 133 kampung yang terdapat di Pitas, yang terletak kira-kira 195 kilometer dari Kota Kinabalu dan 132 kilometer dari Pekan Kudat.
Mungkin banyak perkara istimewa yang boleh disaksikan oleh pengunjung di kampung itu. Sesekali jika dalam perjalanan menuju Pitas, singgahlah di Kampung Mempakad laut merasakan ikan salai yang dijual dengan harga satu ringgit satu bungkus plastik kecil.
Namun walaupun harga ikan salai itu satu ringgit bagi satu plastik, Puan Masiah mampu memperolehi pendapatan RM100 sehari bagi menghidupkan lima orang anaknya. Sejak setahun lalu, beliau menjadikan kerja menjual ikan salai itu sebagai pekerjaan tetap kerana ia memberikan hasil yang lumayan.
"Lagipun kerja menjual ikan salai agak mudah....anak-anak ikan disalai di atas unggun api sehingga masak kemudian dimasukkan dalam plastik untuk dijual.
"Yang memenatkan ialah menunggu pelanggan untuk membeli ikan salai, " katanya sambil menambah, walaupun begitu, beliau masih mampu mendapat pendapatan yang mencukupi bagi menampung keperluan hidup mereka sekeluarga.
Hasil jualan ikan itu juga boleh digunakan untuk membayar tambang bas sekolah anak-anak. Yang pasti, Masiah ingin memastikan anak-anaknya menikmati pendidikan yang baik.
Walaupun pendapatan tidak menentu mengikut cuaca tetapi menjual ikan salai merupakan satu perniagaan yang boleh dikomersilkan dan diusahakan oleh masyarakat kampung terutamanya kaum wanita.
Sementara itu, Hailin Jamari, 33, yang baru menjual ikan salai sejak empat bulan lepas mendapati ikan salai boleh menjadi salah satu produk kampung Mempakad Laut seandainya ia ditingkatkan lagi mutunya.
"Ikan yang diperolehi dari pengusaha bagang disalai begitu saja tetapi kalau ia dibersihkan lagi, sudah tentu ia boleh dijual hingga ke daerah-daerah lain," kata wanita yang menjadi ibu kepada lima anak ini.
Katanya, pelanggan ikan salai itu hanya terhad kepada mereka yang menggunakan jalanraya Pitas itu. Kebanyakan yang singgah adalah pengunjung dari Sandakan, Beluran, Paitan, Kota Kinabalu yang berkunjung ke daerah Pitas.
Sesungguhnya perniagaan ikan salai itu, bukan saja mampu menjadi sumber pendapatan lumayan masyarakat Mempakad Laut malah boleh diangkat menjadi salah satu produk yang boleh menjadi ikon di kampung itu.

Penternakan Kambing Boer gagal jana industri ruminan di Sabah

Tags

PENTERNAKAN KAMBING BOER GAGAL JANA INDUSTRI RUMINAN DI SABAH
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

PENTERNAKAN Kambing Boer dikatakan gagal menjana industri ruminan di Sabah. Ia dikatakan tidak komersil dan tidak mendatangkan keuntungan kepada penternak. Utusan Borneo menemui Ketua Unit Pembangunan dan Penyelidikan Ternakan Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Sabah (JPHPT), Dr.Mutarin Haji Damshik untuk mendapatkan pandangan beliau mengenai penternakan Kambing Boer di Sabah.
Dr.Mutarin, 53, mendapat ijazah sarjana muda Sains Ternak (Pengeluaran Ternak) pada 1986, Sarjana (Makanan Ternakan) 1994 dan Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang pengeluaran ruminan pada 2001. Kesemua ijazah itu diperolehi daripada Institut Pertanian Bogor atau Bogor Agricultural University.
Menurutnya, pada tahun 1981, Kerajaan Negeri Sabah mula mendapat baka Feral, Baka ini telah didatangkan oleh Ketua Menteri Sabah ketika itu,Datuk Harris Salleh dari Australia dan dibiak baka di ladang Kambing Menumbuk milik beliau sendiri.
Kerajaan Sabah melalui Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak(JPHPT) ikut mengimport Baka Feral bertujuan untuk dibiakbaka di ladang Kambing Bongawan, milik JPHPT .
" Tujuan pengembangan ini adalah untuk membekal kambing pada Penternak yang diberi bantuan JPHPT melalui Projek Sosio ekonomi yang dinamakan “Skim Pawah Kambing”," katanya.
Pengimportan kambing Feral diikuti Kambing Anglo-Nubian. Pengimportan ini juga bertujuan untuk meningkatkan populasi ternak kambing di Sabah disamping untuk mendapatkan baka baru .
Katanya, Kedua-dua baka ini digunakan untuk biakbaka dengan kambing Kacang bertujuan untuk perbaikan genetik Kambing Kacang dimana, diharapkan generasi baru ini memiliki sifat-sifat pengeluaran yang baik seperti bentuk badan yang lebih besar dari kambing Kacang asli, berat badan berada diantara induk dan pejantan, perototan yang menonjol, perdagingan yang lebih banyak, peratus beranak dan jangka kelahiran yang lebih pendek, peratus kematian yang rendah, serta memiliki ketahanan terhadap serangan penyakit yang lebih tinggi berbanding kambing Kacang.
Menurutnya, hasil dari biakbaka kambing Jantan Anglo- Nubian dengan Betina Kacang telah dihasilkan suatu Baka baru dikenali, SABIAN atau nama penuhnya Sabah Anglo Nubian.
"Akan tetapi baka ini tidak bertahan lama sehingga beberapa lama lenyap begitu sahaja. Entah apa sebabnya tidak ada penjelasan yang boleh dijadikan pegangan," katanya.
Jelasnya, baka Feral pula mengalami banyak masalah dalam pengembangannya, memiliki sifat yang kurang baik iaitu memilki sifat mati tiba-tiba, sering disebut “Suddent Death.” Artinya mati dengan tiba-tiba tanpa menunjukkan tanda- tanda sakit.
"Baka Feral juga kurang tahan terhadap serangan cacing. Akhirnya pada hari ini baka Feral hampir pupus ini disebabkan penternak enggan menggunakan Feral," kata Dr.Mutarin lagi.
Katanya, hasil sampingan biakbaka Feral telah menyebabkan kemusnahan Baka Kacang. "Pada hari ini sukar ditemui Baka Kacang yang Asli. Kambing Kacang yang ada kini memiliki sifat-sifat lebih separuh Feral," katanya.
Menurutnya, kemusnahan kambing Kacang disebabkan oleh kurang pengawasan di pihak JPHPT, Banyak kambing Kacang Asli maupun peranakannya telah dijual keluar ke Brunei dan Sarawak , disamping akibat penyembelihan yang tidak dikawal.
Katanya, pada 2006 JPHPT Sabah telah mengimport baka kambing yang baru berasal dari Australia bernama Boer. Baka Boer jantan memiliki berat 80kg, sedang yang betina 70kg. Harga pasaran Boer hidup ialah RM25 per kilogram. Seperti Feral dan Anglo-Nubian baka BOER di import oleh JPHPT untuk membekal ternak tersebut kepada peserta projek/penternak JPHPT Sabah.
"Pengalaman penternak Boer mengungkapkan bahawa pejantan Boer kurang aktif menjalankan reproduksi sehingga system pembiakan terbengkalai, demikian juga Boer betina menggambarkan ibu yang tidak baik, contoh bila induk Boer melahirkan dua anak setelah menyusukan anak yang pertama maka anak kedua akan ditinggalkan tidak disusui," katanya. Jadi terpaksalah penternak berusaha menyusukan anak kedua dengan puting susu buatan manusia.
Katanya, sifat Boer betina ini memburukkan lagi industri ternakan kambing di Sabah dan ini menunjukkan penternakan kambing Boer di Sabah gagal menjana industri ruminan di Sabah.
Di pihak lain status kambing Boer mulai dipertikai, setakat ini kemajuan BOER baru pada tahap pembelian baka oleh ladang –ladang kambing di seluruh Sabah, daging Boer belum lagi dipasarkan. Jika dipasarkan akan berlaku kerugian besar diperingkat peniaga, kata Dr.Mutarin.
Contohnya, jika peniaga membeli Boer jantan seberat 40kg dengan harga RM25 sekilo maka peniaga mengeluarkan modal RM1,000.00, sedangkan jika kambing Boer di sembelih daging yang diperoleh hanya 40% yakni 16kg dari berat hidup 40kg dan harga daging kambing paling tinggi RM 16.00/kg. Jika dikira maka peniaga tadi hanya memperolehharga jualan RM256.00 sahaja dan dia kerugian sebanyak RM 744.00. .
Jika demikian, kata Dr.Mutarin, wajarkah penternakan kambing Boer dikembangkan. Katanya, mungkin pada masa lalu tidak ada perancangan dalam mendatangkan kambing Boer.
"Ini disebabkan mereka tidak memiliki ilmu penternakan kambing. Nyatalah bahawa mereka tidak mengkaji kelemahan dan keunggulan Boerterlebih dahulu, maka jadilah penternakan Boer “Ibarat Mimpi yang Tidak Menjadi Nyata”," kata Dr.Mutarin..
Beliau menyarankan agar penternak kembali menternak kambing Kacang.
"Kambing kacang boleh dibaikbaka/crossbred dengan Feral, Anglo-Nubian atau Boer Jantan," katanya sambil menambah hasil biakbaka diharapkan akan terjadi perbaikan genetik dan melahirkan keunggulan seperti bentuk badan yang lebih besar dari Kacang, berat badan yang lebih berat dari Kacang,peratus beranak meningkat tinggi,Perdagingan yang banyak,Interval beranak yang pendek,melahirkan anak kembar 4 yang banyak,melahirkan generasi yang tahan terhadap serangan penyakit,Cepat dewasa tubuh dan cepat dipasarkan," jelas Dr.Mutarin lagi.

Derau Bahasa Kekal di Ingatan warga Senaja

Tags
DERAU BAHASA KEKAL DI INGATAN WARGA SENAJA
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

GERIMIS belum berhenti ketika kami tiba di Kampung Senaja, yang terletak kira-kira sepuluh minit perjalanan dari Pekan Pitas. Orang ramai tanpa mempedulikan cuaca, sudah berhimpun sejak pagi untuk meramaikan Derau Bahasa dan Sastera Peringkat Daerah Pitas, yang diadakan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2010.
Peristiwa sastera itu akan terpahat di ingatan warga kampung Senaja dan kampung-kampung sekitarnya kerana buat pertama kali dalam sejarah, kampung itu terpilih sebagai tuan rumah Derau Bahasa, yang dianjurkan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dan Pejabat Daerah Pitas pada 9 Oktober lepas.
Lebih 700 warga kampung memeriahkan lagi program itu. Sejak bagi, orang kampung bergotong royong menyembelih lembu, kemudian melapahnya bersama-sama. Selepas acara sukan tradisi, dilangsungkan juga acara makan beradat suku kaum Sungai yang merupakan penduduk majoriti di Pitas.
Selain suku kaum Sungai, Daerah Pitas juga didiami masyarakat suku kaum Bajau, Suluk, Rungus, Kimaragang, Tambanua dan Sonsogon, serta sepuluh buah keluarga Cina yang bekerja sebagai peniaga dan petani.Kampung Senaja merupakan salah satu kampung daripada 133 kampung yang terdapat di Pitas, yang terletak kira-kira 195 kilometer dari Kota Kinabalu dan 132 kilometer dari Pekan Kudat.
Program Derau Bahasa itu dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Bolkiah Haji Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pitas (ADUN) Piitas.
Kehadirannya dalam majlis itu, bukan saja menambah meriah sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 malah turut membuktikan kesungguhan beliau yang secara berterusan memberi komitmen terhadap kegiatan-kegiatan sastera dan bahasa. Bolkiah hampir tidak pernah menghampakan harapan penggiat bahasa dan sastera untuk membantu memartabatkan bahasa dan sastera tanahair.
Pada malam kemuncak Derau Bahasa dan Sastera itu, Pegawai Daerah Pitas, Sapdin Ibrahim menyatakan bahawa Pitas bertuah kerana terpilih sebagai tuan rumah acara bahasa dan sastera. Katanya, kegiatan seperti itu mampu mendekatkan masyarakat kampung untuk bersama-sama menggerakkan sastera dan bahasa Kebangsaan.Beliau juga memuji usaha DBP yang meletakkan Pitas dalam Buku Rekod Malaysia apabila melaksanakan acara Sendait Ria selama 50 jam di daerah Pitas.
Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas berkata, Pitas sentiasa berada di hati beliau dan oleh sebab itu, Pitas yang merupakan antara daerah paling hujung di utara Sabah tetapi diberikan perhatian agar kegiatan bahasa dan sasteranya terus mekar dan berkembang. Zubaidi berkata, pelbagai kegiatan bahasa dan sastera akan terus diadakan di seluruh Sabah untuk memastikan semua lapisan masyarakat dapat turut serta dalam memartabatkan bahasa dan sastera.
Sementara itu, Bolkiah dalam ucapannya berkata, Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu yang berfokus pada gagasan dan matlamat 1Malaysia.
"Saya menggesa semua rakyat pelbagai kaum supaya memperbaharui iltizam dan azam, memantapkan kualiti sahsiah, dan mengenali jati diri sebagai rakyat Malaysia," katanya.
Menurutnya, Tema Bulan Bahasa Kebangsaan iaitu 1Bahasa, 1Bangsa,1Negara bertepatan dengan gagasan 1Malaysia yang dicita-citakan dan berasaskan prinsip-prinsip yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan.
"Sewajarnyalah, sebagai bangsa Malaysia, kita mempertahankan dan menghormati bahasa kebangsaan kita sebagai lambang jati diri dan bahasa perpaduan negara kita.
Beliau juga meminta pihak berkuasa tempatan memastikan paparan dan peragaan seperti papan iklan, papan tanda, nama jalan dan lain-lain mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan serta persekitaran memaparkan latar dan panorama yang bercitrakan Malaysia.
Tegasnya, perkara ini selaras dengan Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan seperti dalam Pekeliling Jabatan Kerajaan Tempatan JKT:MNKT/D/BIL.1/2005 bertarikh 11 Januari 2005.
"Saya mengharapkan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini disemarakkan dengan menanam iltizam dan azam meletakkan bahasa kebangsaan kita di dalam jiwa seperti tema DBP "Bahasa Jiwa bangsa", kita lanjutkan dengan "Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita," dalam semarak tema Bulan Bahasa Kebangsaan "1Bahasa, 1Bangsa,1Negara" yang menunjangi 1Malaysia, katanya.
Beliau juga turut melancarkan sebuah antologi karya berjudul "Hujan Rindu" yang dihasilkan penulis-penulis berbakat dari daerah Pitas. Turit hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pemuda UMNO Kudat, Sh.Sahar Sh.Ading, Ketua Puteri Kudat, Normala Rasick, Naib Presiden Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS), Abdul Hamid Ahmad, Ketua Daerah Pitas, OKK Joki Haji Nanoh, Pengerusi pelaksana, Ali Long KK Badawi dan para kenamaan lain.
Turut menyerikan lagi majlis itu ialah persembahan kebudayaan, pembacaan puisi oleh Timbalan Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah, Ramlee AR, Penulis terkenal dari Pitas, Juri Durabi dan Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan, Dulamid KK Rudin.
Selain itu, majlis itu juga turut menyaksikan kemunculan kumpulan Gong, dan penampilan Naib Juara AF3, Felix Agus dan artis tempatan, Masliah Parman.
Sesungguhnya Program Derau Bahasa dan Sastera yang diadakan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 yang diadakan Kampung Senaja Pitas itu akan tetap menjadi kenangan indah di kalangan warganya.