Jumaat, 3 Disember 2010

Ke mana kita akan pergi?

Tags

i-Saan tayo pupunta? where are we going? Itulah kata-kata terakhir Benigno Aquino sebaik turun dari tangga pesawat China Airlines Flight 811 di Manila International Airport pada 21 Ogos 1983.

Saya tidak tahu apa jawapan yang diberikan oleh anggota tentera Filipina tapi saya tahu Ninoy mati tertembak selepas itu.

Kemudian Marcos jatuh ditimpa kemarahan rakyat.Cory jadi Presiden.Selepas itu Fidel Ramos, Joseph Estrada, Gloria Macapagal Arroyo dan kini Benigno Noynoy Aquino.
Tapi persoalan masyarakat Islam di Mindanao belum selesai selesai.

Barangkali kalau Ninoy hidup lama, dan menjadi Presiden, aspirasi dan permasalahan masyarakat Islam di wilayah yang bergolak sedikit sebanyak akan dapat ditangani.
Ninoy pulang ke negara asalnya setelah tiga tahun di Amerika untuk membawa misi kedamaian.

Salah satu sebab utama beliau kembali ke Manila, walaupun dengan risiko mati atau dipenjara adalah untuk membantu menyelesaikan konflik berpanjangan itu.

"So here I am, offering myself to try to put a stop to the bloodshed in Mindanao.It is tragic and pathetic that filipinos should be killing each other only because of the lack of communications", itulah kata-katanya kepada Ketua Biro Agence France-Presse AFP Manila, Teodore Benigno.

Dalam ucapan yang tak sempat disampaikan, Ninoy antara lain menyatakan bahawa rekonsilasi nasional dan perpaduan juga penyatuan hanya boleh dicapai hanya dengan keadilan termasuk adil kepada saudara Muslim dan Ifugao.

"There can be no deal with a dictator.No compromise with Dictatorship". Beliau melanjutkan bahawa "In a revolution there can really be no victors, only victims.We do not have to destroy in order to build".

Beliau mengutip kata-kata Archibald Macleish yang tercatat di koridor University Harvard:
"How shall freedom be defended? By arms when it is attacked by arms; by truth when it is attacted by lies; by democratic faith when it is attacted by authoritarian dogma.Always, and in the final act, by determination and faith.

Kerana itu, Aquino pulang dari buangan. Ketika dinasihatkan oleh rakannya supaya beliau tidak pulang ke Filipina kerana berbahaya, Ninoy berkata "I'd rather die a meaningful death than lead a meaningless life"

Tapi antara kematian yang bermakna dengan kehidupan yang sia-sia, kita masih boleh memilih untuk satu kehidupan yang bermakna.

Untuk mencapai kehidupan yang berharga dan penuh erti itu, alangkah baik jika kita dapat menyingkirkan dendam dan konflik berpanjangan untuk menuju kedamaian yang berkekalan, yang akhirnya akan membawa kesejahteraan.

Saya sebenarnya belum habis membaca buku Ninoy Aquino The Man The Legend yang disunting oleh Asuncion David Maramba.Buku yang memuatkan cerita dan perwatakan Ninoy yang ditulis oleh rakan-rakannya, sungguh merupakan sebuah buku yang dapat menjelaskan kisah hidup, perjuangan dan idealisme Benigno Aquino, seorang pemimpin Filipina yang akhirnya mati, tetapi setelah kematiannya Filipina berubah.

Saan tayo pupunta? kemana kita akan pergi?. Pertanyaan ini bukan semata-mata pertanyaan Ninoy Aquino seorang, tetapi ia merupakan satu pertanyaan yang kini turut ditanya oleh sebilangan besar masyarakat Islam di wilayah selatan itu.

Mandat yang diberikan kepada International Monitoring Team (IMT) yang diketuai Malaysia akan berakhir beberapa hari lagi. Jika mandat itu tidak diperbaharui, Mindanao akan sekali lagi menyaksikan pertumpahan darah. Kedua-dua pihak, samaada Manila dan bangsamoro perlu memperlihatkan kejujuran dan keikhlasan dalam penyelesaian konflik di Mindanao.

Saan tayo pupunta? Ninoy tidak sempat melihat kemana destinasi tempat yang perlu dituju kerana dia telahpun pergi lebih awal tetapi saya yakin anaknya yang kini menjadi Presiden Filipina memahami impian, hasrat dan cita-cita ayahnya untuk mewujudkan pesan-pesan kedamaian untuk seluruh rakyatnya, tidak terkecuali masyarakat Islam di wilayah selatan.
ii-Saan tayo pupunta? Kemana kita akan pergi? pertanyaan dalam bahasa tagalog itu

terulang-ulang dalam fikiran saya ketika kami menaiki tangga pesawat Air Asia ke Kuching. Saya tidak lagi berada di Manila seperti minggu lalu tetapi sebaliknya meneruskan satu lagi perjalanan merentasi sempadan, kali ini ke Kalimantan Barat.

Dua minggu lalu secara tidak disangka, kami duduk berbincang-bincang di Tanjung Aru Plaza. Minum kopi bersama penulis Haji Hussain Qassau, seorang pejuang dalam bidang penulisan dan kewartawanan di Sabah dan Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS), Sukor Haji Usin atau lebih dikenali sebagai Hasyuda Abadi.

Tiba-tiba membuak keinginan untuk menulis dan membukukan karya-karya yang telah dihasilkan.Apa tandanya kita pernah hidup di dunia? Itu pertanyaan Bung Hussain, yang menggalakkan kami supaya menulis dan berkarya.

Untuk menyuburkan dan menyegarkan semangat menulis, beliau mencadangkan supaya kami melakukan semacam rihlah penulisan.

Jadi kemana kita akan pergi? Mari kita ke Pontianak dan menuliskan apa saja yang terlintas dalam fikiran, sama ada puisi, cerpen, catatan atau apa saja yang timbul dalam fikiran.
Itulah sebabnya tanpa disangka, kami berada di sini,Harbour View Hotel, transit sebentar di Kuching untuk meneruskan perjalanan keesokan hari.