Isnin, 24 Oktober 2011

Catatan pertemuan dengan A.Aziz Deraman

Tags

Saya gembira bukan kepalang ketika menerima panggilan telefon daripada seorang tokoh yang sangat saya hormati dan segani.

Beliau mengajak saya minum pagi di kedai mamak di bawah pejabat Utusan Borneo, yang kebetulan bersebelahan dengan hotel tempatnya menginap.

"Apa khabar Datuk?"

Beliau menggenggam erat tangan saya .Sambil menyatakan bahawa beliau ada membaca tulisan saya di akhbar, beliau bertanyakan perkembangan sastera di Sabah. Perhatiannya yang besar terhadap kami membuat saya terharu. Padahal beliau sudah bersara sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, beberapa tahun yang lalu.

Datuk A.Aziz Deraman singgah di Kota Kinabalu dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur selepas memberikan syarahan di Sandakan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK).

Masih ada sedikit masa lagi untuk berjumpa dengan rakan-rakan sasterawan dan budayawan, katanya, sebelum beliau ke lapangan terbang untuk berlepas pulang ke Kuala Lumpur tengahari itu.

Datuk Aziz setia ditemani isterinya, Datin Hajah Azizon pagi itu. Dalam pertemuan yang meskipun singkat itu, beliau sempat bercerita mengenai proses pengkaryaan, jati diti, bahasa Melayu, mengenai bahasa etnik, konsep satu Malaysia dan sebagainya.

Menurut beliau, kali pertama beliau ke Sabah ialah ketika berusia 26 tahun iaitu pada tahun 1974. "Masa itu , dari tempat kita ini, masih nampak laut," katanya. Pada masa itu beliau menghadiri Majlis Syarahan Syed Naquib Al Attas mengenai Islam dan Masyarakat di Malaysia atas jemputan Ketua Menteri, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.

"Sekarang, Sabah jauh lebih maju berbanding negeri-negeri seperti Kelantan dan beberapa tempat di utara semenanjung," katanya. Mengenai konsep 1 Malaysia, banyak perkara yang boleh dipelajari dari Sabah yang didiami masyarakat berbilang kaum tapi boleh hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Hormat menghormati antara satu sama lain.

Bahkan bahasa Melayu yang digunakan di Sabah agak baik berbanding rakan mereka di Semenanjung. Mereka menggunakan bahasa baku dengan intonasi yang tepat. Lihat saja penyampai berita dari Sabah sama ada melalui TV1 atau TV2, bahasa Melayu yang mereka gunakan hampir sama dengan yang dikehendaki dalam proses pembakuan bahasa.

Kami juga sempat bercakap mengenai aktiviti-aktiviti beliau selepas bersara. Beliau sering memenuhi undangan berceramah sama ada mengenai bahasa Melayu, jati diri, nasionalisme, konsep satu Malaysia dan sebagainya.

Khidmatnya pun masih digunakan oleh DBP, Kementerian Penerangan dan agensi-agensi lain. Datuk Aziz kini merupakan Ahli Lembaga Pengarah Felcra.

Kepada saya, beliau menghadiahkan dua buah buku Kumpulan Puisi bertajuk Mahligai Kencana dan Kumpulan Puisi Gapura Diri.

Sebelum ini beliau mendapat jolokan Penyair Kembara kerana sering menghasilkan puisi mengenai tempat-tempat yang dikunjunginya. Biasanya keindahan alam memberikan ilham kepadanya untuk berpuisi.

Tokoh kelahiran Pasir Puteh Kelantan pada tahun 1948 ini adalah satu nama besar dalam dunia kesusasteraan Melayu di negara ini. Walaupun dikenali sebagai budayawan-pentadbir dan Mantan Ketua Pengarah DBP Malaysia 1994-2004, Aziz adalah penyair yang terdidik dari tradisi agama dan budaya yang menjadi asas kekuatan dalam pelbagai kegiatannya.

Beliau memperolehi ijazah dari Universiti Malaya pada tahun 1971. Selepas itu beliau memegang jawatan Pengarah Kebudayaan di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (1981-1987) dan kemudian menjadi Pengarah/Setiausaha Bahagian Kebudayaan (1987-1989) di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), beliau pernah berkhidmat di Kementerian Luar Negeri, Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Pembangunan Luar bandar, Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat dan Kementerian Pendidikan.

Pengalaman hidup yang pelbagai itu diadunkannya dengan cara kreatif dan dituangkannya dalam bentuk puisi. Antara kumpulan puisinya ialah kumpulan puisi Kau dan Aku (1984) dan Bahtera Madani (2001) yang diterbitkan DBP.

Beliau juga menghasilkan banyak tulisan berkaitan budaya Melayu antaranya Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia terbitan KKBS (1975) Islam dan Kebudayaan Melayu KKBS (1978) Perayaan Malaysia Kita (Times Book International), Tamadun Melayu 1-V ed., (1989-1992), Tamadun Melayu dan pembinaan Bangsa Malaysia (2000).

Penglibatan beliau yang konsisten mewajarkannya untuk menerima anugerah UNESCO Fellowship on Cultural Planning and Programming (1983), US International Exchange Programme Award (1984), International Cultural Diploma of Honour USA 1986, Tokoh Budaya Kelantan (1986) KMN (1990), JSM (1997) Dato Mahkota Mindanao (1999) AS Pushkin Memorial Medal Russia (1999), Dato Paduka setia Mahkota Kelantan DPSK (2001) dan Prof.Tamu di Guangdong University of Foreign Studies Guangzhou China (2001).

Waktu mengalir dengan begitu cepat. Beliau terpaksa bergegas ke terminal kerana jadual penerbangannya sudah hampir tiba. Pagi itu, saya berasa gembira kerana dapat berkongsi ilmu dengan tokoh tersohor ini.