Jumaat, 2 Disember 2011

Latif Kandok, sentiasa ingat pesan orang tua

Tags

BERGAYUT di belakang jip, bukanlah satu perkara yang luar biasa bagi Datuk Haji Abdul Latif Kandok sewaktu kecilnya. Ketika itu, penghujung tahun 50-an dan awal tahun 60-an, tidak ramai yang memiliki kereta di Tandek. "Mana ada kereta, hanya dua tiga orang saja yang memiliki kereta masa itu," katanya mengenang nostalgia masa lalu. Kesusahan hidup yang mereka alami ketika itu mendorong beliau untuk belajar lebih tinggi untuk satu waktu kelak menjadi orang besar seperti yang dicita-citakan ibunya, Aminah @ Andingin bte Alit. Pendidikan amat penting, itulah yang ditekankan oleh ayahnya, Binbang bin Kandok, walaupun kedua-dua ibubapanya, yang hidup bertani tidak pandai membaca.Ayahnya hanya berpesan, supaya beliau menjadi orang baik dan jangan mengganggu orang sebaliknya hidup terus berbakti dan memberi manfaat kepada semua orang.

Datuk Haji Abdul Latif Kandok adalah anak kelima daripada lapan adik beradik. Dilahirkan di Kampung Mosolog Tandek, kira-kira 7.5 kilometer daripada Kota Marudu, beliau menerima pendidikan awal di Government Primary School (GPS) Tandek dari tahun 1957-1962. Kemudian melanjutkan pendidikan menengah di Government Secondary School Kudat dari tahun 1964 hingga lulus Form Five dan berjaya mendapat School Certificate.

Beliau kemudian memasuki perkhidmatan kerajaan dan bertugas sebagai Kerani Am di Jabatan Kebajikan Masyarakat Kudat. Selepas itu, beliau berkhidmat sebgaia Penguasa Pusat Pemulihan Akhlak Kota Kinabalu dan kemudian dilantik pula sebagai Pegawai Kebajikan di Jabatan Kebajikan Masyarakat Kota Kinabalu dan Kudat.

Pada tahun 1981, beliau melanjutkan pelajaran di Walsh University Ohio Amerika Syarikat sehingga lulus ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran dan Sains Politik dalam tahun 1984. Sekembalinya ke tanahair , beliau dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah Kota Marudu. Selepas itu, pada tahun 1989, beliau dilantik pula sebagai Pegawai Eksekutif di Kementerian Kewangan.

Pada tahun 1992, Abdul Latif dilantik sebagai Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS). Kemudian pada tahun 1994, beliau dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah Kudat dan seterusnya menjadi Penolong Pegawai Daerah Banggi pada tahun 1998. Dua tahun kemudian, beliau dilantik pula sebagai Pegawai Daerah Kinabatangan dari tahun 2000 hingga bersara pada tahun 2010.

Dalam NGO, beliau terpilih sebagai Ketua Bahagian Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Kudat pada tahun 1986 selain menjadi Ahli Majlis Tertinggi. Pada tahun 1994-1996, beliau dilantik sebagai Bendahari Agung USIA dan kini, Abdul Latif dilantik sebagai Setiausaha Agung USIA sejak Jun 2011.

Abdul Latif Mendirikan rumahtangga dengan Datin Aishah bte Haji Mohd.Shafie dan dikurniakan lima orang cahayamata.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat mewawancara DATUK HAJI ABDUL LATIF KANDOK sambil menikmati minum petang di salah sebuah restoran di ibu negeri.Ikuti petikan wawancara dengan beliau mengenai kisah sewaktu masih kanak-kanak, keperluan memelihara alam sekitar, sistem penyampaian hinggalah kepada betapa pentingnya pendidikan untuk merubah nasib masyarakat yang daif dan miskin.

UTUSAN BORNEO: Pertama sekali, kami ucapkan terima kasih kerana kesudian Datuk untuk memenuhi sesi wawancara bersama kami. Boleh ceritakan sedikit kisah sewaktu zaman persekolahan Datuk dahulu?

DHALK: Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Utusan Borneo kerana sudi mewawancara saya. Saya amat menghargainya. Kalau mahu diceritakan mengenai zaman persekolahan dahulu, memanglah agak jauh berbeza dengan sekarang. Dulu kami berjalan kaki hampir empat batu setiap hari. Duit tak ada.Kita kadang-kadang ambil tebu, jual tebu, dapat sepuluh sen dua puluh sen. Waktu itu, kuih telinga gajah, harganya lima sen.Kalau ada duit dua puluh sen, sudah cukup mewah masa itu.

Suasana pembelajaran ketika itu juga memberi kesan kepada pelajar. Sebelum ke sekolah, mereka ambil kayu api untuk guru, singgah di hutan atau belukar untuk mengumpul kayu api diberikan kepada guru. Kita angkat air dan mengangkutnya ke rumah guru.Saya rasa itu pengajaran yang paling baik. Kita membersih sekolah, mencabut rumput sundal di tengah padang kerana ketika itu tiada mesin rumput. Kemudian rumput sundal yang kita ambil itu, berapa banyak. yang dapat diambilnya, itu kemudian diberi markah oleh guru. Pelajar ketika itu rajin ke sekolah, walaupun mereka miskin dan serba daif. Kemiskinan atau keadaan serba kekurangan tidak menghalang mereka ke sekolah.

UB: Apa pesan ibubapa yang selalu Datuk ingat, yang jadi semacam inspirasi kepada Datuk?

DHALK: Saya selalu ingat kata-kata bapa saya. Kata beliau, kamu mesti buat baik sama orang, jangan jahat sama orang, jangan gaduh, kalau ada orang bawa gaduh,kamu mesti jauhkan diri.Selalu beliau menasihati kami begitu. Ibu saya pula berkata, saya mahu kamu jadi orang besar. Kebetulan atuk saya, iaitu bapa kepada ibu saya itu, NC Walit bin Wara, seorang native chief atau ketua anak negeri, iaitu satu jawatan yang tinggi ketika itu.Dia mahu kami menjadi orang yang berguna dan boleh berbuat sesuatu untuk masyarakat.

UB: Bagaimana cara mereka mendorong Datuk?

DHALK: Mereka selalu menekankan agar kami berusaha untuk belajar bersungguh. Berusaha sendiri, jangan harapkan orang lain.Banyakkan berusaha, berdikari. Petik jagung kalau musim jagung, ketam padi kalau musim menuai, seberapa banyak yang kamu dapat, katanya, itu kamu punya. Begitu caranya mereka mendoring kami. Sikap mereka terhadap pendidikan sangat kuat.Walaupun tidak pandai membaca atau menulis, mereka sangat pentingkan pendidikan. Kalau dia nampak kami membaca buku, mereka tidak kacau. Ibu pun tahu caranya untuk menyuruh kami membuat sesuatu kerja.Beliau tahu cara ambil hati kami.Selalu kami dijanjikan, agar tolong buat kerja,kalau nanti malam mahu dengar cerita dongeng. Dia tidak marah kalau kami tertidur sebaliknya sentiasa memotivasi kami.

UB: Kesedaran di kalangan masyarakat terhadap pentingnya pendidikan masih perlu ditingkatkan. Apa komen Datuk?

DHALK: Pendidikan sangat penting, ilmu sangat penting.Kalau kita mahu dunia, ilmu penting.Begitu juga kalau kita mahukan akhirat, ilmu juga penting.Kalau kita mahu berjaya dalam hidup kita, pendidikan mesti ada, ilmu mesti ada. Kalau ada ilmu, ada pendidikan, barangkali tidaklah mudah bagi syarikat besar mengambil tanah kita, misalnya, dengan menawarkan satu ratus dua ratus ringgit. Kerana ilmu kita kurang, ada orang kita jual tanah. Tapi kalau ada kesedaran di kalangan masyarakat , tentulah perkara seperti ini tidak berlaku.

UB: Oh ya. Ketika sekolah dahulu, siapa rakan sekolah yang Datuk masih ingat?

DHALK: Antara rakan sekolah saya di Kudat ketika itu ialah mendiang Wilson Malingka, Mendiang Datuk Saibul Supu, Marina Teo, peguam terkenal, Akram dan lain-lain lagi. di GSS Kudat. Kalau di Walsh University pula,ialah Datuk George Sangkin, Adik saya sendiri, Dr.Haji Janatan Kandok, dan Datuk Haji Mohd.Yusof Apdal.

UB: Apa komen Datuk terhadap masalah alam sekitar, dimana cuaca cepat berubah dan tidak dapat diramal?

DHALK: Alam sekitar kita sudah banyak terganggu akibat pencemaran. Apabila sistem alam kita terganggu, cuaca menjadi sukar diramal. Tempat yang tidak biasa banjir, dilanda banjir. Lihat contohnya Australia, yang jarang banjir pun terkena banjir. Thailand pula menghadapi banjir, antara yang paling buruk dalam sejarahnya.

UB: Kira-kira apa puncanya Datuk?

DHALK: Antara punca pencemaran ialah penggunaan plastik.Kita mesti kurangkan penggunaan plastik.Kerajaan perlu bertindak kerana plastik punca pencemaran. Sebagaimana yang kita tahu,plastik mengambil masa sampai bertahun malah berpuluh tahun atau orang orang mengatakan beratus tahun untuk dapat dihapuskan. Ini kita mesti kurangkan. Kita mesti cari alternatif lain.

Plastik untuk membungkus makanan misalannya, kita boleh gantikan dengan linopot. Kita boleh popularkan penggunaannya.Bungkus pakai daun, makanan tahan lebih kama, sedap dan lebih wangi lagi.

UB: Sejauhmana pentingnya kita mengawal pencemaran?

DHALK: Kalau kita tidak mengawal pencemaran, dunia yang kita pinjam dari anak cucu kita akan rosak. Banyak punca pencemaran, misalnya kenderaan yang semakin banyak.Ia mengeluarkan asap pencemaran. Kadang bikin takut juga. Kalau kita semua ada kesedaran, boleh menyumbang kepada usaha, paling tidak mengurangkan pencemaran.Sekali lagi kita tegaskan bahawa kerajaan perlu mengambil langkah menangani pencemaran, mengurangkan penggunaan plastik, mengambil langkah memperbaiki kualiti pengangkutan awam , supaya lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam dan mengurangkan penggunaan kereta persendirian.

Adalah penting bagi kita mengawal pencemaran. Ini melibatkan masa depan, melibatkan generasi kita akan datang.Dunia ini kita pinjam dari generasi akan datang.Kita kena kembalikan kepada mereka dengan baik, dalam keadaan yang baik dan bukan dunia yang dicemarkan. Itulah sebabnya, bila ada peluang bercakap di kampung-kampung, selain pendidikan, saya selalu menekankan mengenai pentingnya menjaga alam sekitar.

UB: Mutakhir ini, tragedi banjir selalu berlaku.Di Kota Marudu juga selalu banjir? Apa komen Datuk?

DHALK: Setiap tahun, memang kita menghadapi situasi banjir.Untuk itu kita perlukan pelan jangka panjang untuk menangani isu ini.Di Kota Marudu misalnya, kita perlu membina tempat-tempat penempatan mangsa banjir.Selain itu, kita jangan ganggu reparian reserve Sungai. Kerajaan juga perlu mengambil langkah untuk mendalamkan sungai, membersihkan sungai, membersihkan parit dan longkang-longkang.Kita faham ini memerlukan kos yang banyak, tapi kita mengambil langkah untuk mengantisipasi masalah banjir pada masa depan.

UB: Datuk menekankan kepentingan memelihara sungai. Boleh jelaskan?

DHALK:Pemeliharaan sungai amatlah penting. Sungai perlu dijaga jangan sampai tercemar. Semua pihak perlu bekerjasama untuk menjaga dan memelihara Sungai. Kita ambil contoh Sungai Kinabatangan yang jauhnya 560 km yang kaya dengan flora dan fauna, pelbagai jenis ikan, buaya, monyet. Iitu semua jadi tarikan kepada pelancong. semua pihak mesti turut sama menjaga jangan sampai terjadi pencemaran. Syarikat-syarikat ladang kelapa sawit juga jangan buang pencemaran di sungai.Selain itu, mereka perlu penggunaan baja kimia dan beralih kepada penggunaan biotek, tidak banyak perbezaan dari segi kosnya.

UB: Sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam bidang perkhidmatan awam, apa komen Datuk terhadap perkhidmatan awam di negeri ini.Mungkin dari segi kualiti, sistem penyampaian dan sebagainya.

DHALK:Anggota perkhidmatan awam perlu lebih proaktif. Misalnya jika ada laporan mengenai tiang elektrik yang merbahaya.Ketua Kampung laporkan masalah itu, pengerusi JKKK lapor, orang awam lapor tetapi pegawai yang lambat bertindak. Ini bukan salah wakil rakyat atau kerajaan.Jadi kita mesti perbaiki sistem penyampaian atau delivery system kita.

Amat malang kadang-kadang orang kampung datang ke pejabat tidak diberi layanan sebaiknya. Sepatutnya mereka diberikan ucapan terima kasih kerana membuat laporan,itu ini, bukan dimarahi. Sepatutnya jika ada laporan sebegitu, mereka diberikan perhatian dan layan yang sebaiknya. berapa cantik. Bagi saya, budaya anggota perkhidmatan awam perlu ditingkatkan . Anggota perkhidmatan awamlah yang berhadapan dengan rakyat. Kadang-kadang kita salahkan wakil rakyat...sebenarnya bukan salah mereka, sebaliknya kelalaian penjawat awam.

UB: Mungkin ada pengalaman lucu, pahit manis sepanjang jadi pegawai kerajaan? Ada yang boleh dikongsikan?

DHALK: Ada juga sedikit sebanyak pengalaman, misalnya pengalaman dilambung ombak, berhadapan dengan masalah banjir dan sebagainya, tapi itu bagi saya, sebahagian daripada asam garam kehidupan.Part of life. Apa yang terkesan pada saya ketika dalam perkhidmatan ialah ketika kita sudah berhabis kerja, tapi pihak atasan kata belum cukup. Saya tidak marah sebaliknya terus bekerja kuat untuk meningkatkan kerjaya.Tapi kita manusia ada juga perasaan, kadang boleh melemahkan semangat. Tapi itu saya anggap satu cabaran. Pada saya yang penting ialah apa yang dapat kita sumbangkan untuk masyarakat di daerah itu, itu satu kepuasan bagi saya.

Salah satu kenangan manis saya di Daerah Kinabatangan pula ialah apabila salah satu kampung, iaitu Kampung Usaha Jaya menang dalam pertandingan Desa Cemerlang Peringkat Negeri Sabah dalam pertandingan yang dianjurkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.Sebelum itu, kemenangan selalui dimonopoli Kampung Bayangan di Keningau, tetapi atas usaha gigih, Kampung Usaha Jaya berjaya menang di peringkat negeri selama dua tahun iaitu tahun 2006 dan 2009 dan mewakili Sabah ke Peringkat Kebangsaan.

UB: Oh ya, sebagai Setiausaha Agung USIA sekarang, Bolehkah Datuk bercakap sedikit mengenai program dakwah USIA?

DHALK: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) adalah satu pertubuhan Islam yang terbesar di negeri Sabah. Ketika ini, di bawah pimpinan Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai bersama barisan kepimpinan, kita sedang berusaha untuk mengadakan program dakwah bersepadu.Selain itu, kita juga memberi susulan kepada kira-kira 93,000 orang saudara saudara kita yang perlukan tindakan susulan untuk meningkatkan kefahaman mereka.Melalui program dakwah bersepadu bersama NGO-NGO dan jabatan dan agensi kerajaan seperti JHEAINS, JAKIM,YADIM dan sebagainya kita mengadakan program bersama. Melawat kampung, kita lihat keperluan mereka, dalam melahirkan masyarakat kampung berdaya maju dan berdaya saing, tanpa mengira bangsa atau agama. Program ini kita mulakan pada bulan Januari nanti. Apa yang kita buat di USIA melihat kepentingan ekonomi. Kita tidak boleh diketepikan ekonomi , kemantapan akidah dan sebagainya.Kita tidak boleh biarkan ekonomi kita lemah. Kita harapkan melalui program seperti ini ramai yang mendapat manfaat, sesuai dengan tuntutan agama kita supaya memberi kebaikan masyarakat sejagat... inilah tuntutan iaitu memakmurkan manusia dan berbaik-baik kepada sesama manusia.

Selain itu, kita juga telah membangunkan laman portal untuk USIA bagi membolehkan ahli-ahlinya di seluruh Sabah, umat Islam dan masyarakat umum untuk melayarinya.

UB: Akhir sekali apa pesan Datuk kepada pembaca Utusan Borneo?

DHALK:Kejayaan memerlukan pengorbanan dan kesungguhan. Usaha , berfikiran positif dalam semua keadaan kerana ada hikmah di sebaliknya. Cepat sampaikan hak orang, elakkan sikap mengeluh dan merungut kerana akibatnya menyesal.Amalkan banyak beribadat,solat sabar dan syukur. Perancangan memerlukan Plan A dan B. Fokus kepada usaha mencapai kejayaan dan elakkan mengurus kegagalan iaitu isu-isu remeh, yang harus diketepikan.