Isnin, 20 Februari 2012

Satu percakapan simpang siur dengan dr James

Tags

SATU PERCAKAPAN SIMPANG SIUR DENGAN DR JAMES ALIN

PERCAKAPAN dengan Dr.James Alin, seorang penganalilis ekonomi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) selalunya memberikan banyak pengetahuan dan maklumat baru. Topiknya selalu menarik dan mengejutkan, seperti yang dikatakannya kepada saya kira-kira dua minggu lalu.

Beliau tahu bahawa saya seorang yang suka menyelidik susur galur keturunan dan silsilah keluarga. Beliau tahu saya sedang menjejaki jejak-jejak suku bangsa Iranun, yang satu ketika dahulu dikenali sebagai pelaut dan pelayar yang handal, suku bangsa yang mempunyai peranan yang penting dalam sejarah penentangan kaum pribumi terhadap penjajahan orang-orang Belanda, Sepanyol, Portugis dan British.

Beliau tahu bahawa bahawa saya sedang berusaha untuk mendapatkan maklumat-maklumat mengenai suku bangsa Iranun, yang terkenal sebagai satu suku bangsa yang dominan dalam abad ke-17 dan abad ke-18 di kepulauan Nusantara. Bagaimanapun, menurut sejarah seperti yang dikisahkan dalam Tuhfat-Al Nafis, dan melalui dokumen-dokumen yang lain, ramai dari suku bangsa Iranun, antaranya yang pernah membantu Sultan Mahmud mengusir Belanda dari Tanjung Pinang pada tahun 1787, tidak pulang lagi ke Tempasuk sebaliknya bertebaran di Pulau Lingga, Riau, Siak,Jambi bahkan di pulau Bangka dan Belitung.

Tetapi bagaimana kita mengesan mereka jika mereka telah kehilangan bahasa dan budaya? Bagaimana kita membuktikan bahawa mereka itu sebangsa dengan kita jika mereka tidak lagi menuturkan bahasa dan mengamalkan budaya bangsanya kerana begitu kuatnya asimilasi dengan masyarakat tempatan.

Dr.James memberitahu bahawa terdapat satu cara lagi iaitu melalui analisis genetik atau DNA. Dengan menggunakan analisis DNA, melalui air ludah dan sehelai bulu rambut saja, kita boleh membuktikan mereka adalah seketurunan dengan kita,

Katanya, analisis DNA ini sudah lama dilakukan, sejak tahun 1950 lagi. Tetapi beliau menunjuk seorang lagi rakan, Dr.Anthony Tibok, yang menurutnya mahir dan mempunyai banyak pengetahuan mengenai genetik dan analisis DNA ini.

Menurutnya, beliau mempunyai kepakaran yang lain. Beliau banyak menumpukan kajiannya terhadap ekonomi golongan masyakarat terpinggir. Bahkan pemegang ijazah ekonomu dari Universiti Yokohama Jepun telah membuat banyak penyelidikan mengenai hampir semua masyarakat yang hidup dengan menangkap ikan di Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Saya tertarik dengan beberapa kajian yang dibuat oleh Dr James yang juga seorang penikmat seni dan penggemar jazz ini. Banyak yang menarik.Salah satunya ialah mengenai masyarakat Tidung, masyarakat yang digolongkan dalam masyarakat bumiputera Sabah dan kebanyakannya bermastautin di Tawau dan Sandakan. Masyarakat Tidong juga terdapat di Kalimantan Timur khususnya di Kesultanan Bulungan, Sungai Sembakung dan Sibuku, Pulau-pulau sekitar Tarakan, Sungai Malinau.

Tetapi Dr.James mendapati bahawa terdapat kira-kira 3,000 orang sukukaum Tidung di Pulau Seribu, yang terletak di Selat Jakarta. Kepulauan Seribu mengandungi 340 pulau, yang boleh dihubungi antara 20 minit hingga 2 jam menggunakan bot laju dari Marina Jaya Ancol dan Tanjung Kiat.

Menurutnya, generasi baru suku kaum Tidung di Kepulauan Seribu itu tidak lagi mampu berbicara dalam bahasa ibunda mereka. Hampir semua orang tua boleh bercakap dalam bahasa Tidung, kata Dr.James yang pernah membuat penyelidikan di pulau itu.

Bahasa Tidung di kepulauan seribu sudah hilang akibat asimilasi dengan masyarakat tempatan yang begitu kuat. Tetapi budaya masyarakat Tidung di Kepulauan Seribu di Selat Jakarta itu masih lagi diamalkan. Dr.James mengakui bahawa beliau masih mengenal beberapa orang tua dari suku kaum Tidung ketika membuat kajian di sana.

Cerita bagaimana mereka terlempar ke sebuah kepulauan yang jauh dari tempat asal mereka menarik untuk dipelajari. Bagaimana masyarakat Tidung itu berpindah ke Selat Jakarta di luar lingkungan budaya mereka sejak berabad-abad yang lalu. Sukukaum Tidung adalah sebuah suku kaum yang banyak terdapat di Tawau, Sandakan, Tarakan, Bulungan,Melinau, Sesayap, Sembakung dan sebagainya.

Itu fakta baru yang menarik.Mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa terdapat ramai orang Tidung di kepulauan Seribu di Selat Jakarta. Padahal orang Tidung ini banyak didapati di Sabah khususnya di Sandakan dan Tawau dan juga di Kalimantan iaitu di Tarakan, Sesayap, Melinau dan sebagainya.

Banyak penyelidikan lagi yang perlu dilakukan mengenai sejarah, budaya dan sebagainya, bukan saja terhadap suku Tidung, tetapi juga terhadap suku-suku bangsa lain di negeri ini seperti Kadazandusun,Murut, Bajau, Iranun, Suluk, Bugis dan sebagainya, agar ia mendatangkan lebih banyak manfaat dan kebaikan jika kita salin kenal mengenali antara satu sama lain. Seperti kata seorang kawan, tidak ada ruginya bagi kita untuk mempromosikan agenda perpaduan kerana kedamaian dan keharmonian adalah matlamat semua orang.