Ahad, 29 Julai 2012

Catatan sebelum mendarat di Phnom Penh

Tags

CATATAN SEBELUM MENDARAT DI PHNOM PENH

PERJALANAN kami kali ini menghala ke Phnom Penh.
Di sana telah menunggu seorang  sahabat, El Rozak, anak imam masjid di Chrang Chomres. Rozak atau lebih mesra dipanggil Jack adalah  jurutera telekomunikasi lulusan Universiti Gajah Mada  Yogyakarta, Indonesia. Sebab itu, kami tidak begitu risau masalah komunikasi kerana Zack mampu berbahasa Melayu dengan baik.
Kunjungan ke Kampuchea atau Kingdom of Cambodia ini hanya semata-mata mencari jawapan kepada pertanyaan pertanyaan yang sering bermain dalam fikiran kami iaitu bagaimana situasi kehidupan masyarakat Melayu Campa, yang sudah turun temurun menetap di Indochina.

Memang sejak dari kecil lagi, kami sudah akrab dengan nama negara Kemboja, atau dalam sastera Melayu lama disebut dengan Kembayat Negara, dengan tokoh-tokoh seperti Sultan Zainal Abidin dan Siti Zubaidah yang pintar, dalam Syair Siti Zubaidah yang banyak dibaca orang di kampung kami. Bahkan dulu, Babu Dandam terkenal dengan suaranya yang merdu dan arwah Babu Rugayan atau Inai Tiandawan adalah orang-orang yang pandai bersyair. Entah dari mana mereka mendapat syair-syair pada zaman-zaman 60-an itu.

Di negara Kembayat inilah, kami sedang menuju. Saya begitu teruja dengan Kampuchea sudah sejak lama. Putera Norodom Sihanouk, adalah seorang negarawan yang pernah menjadi hos perdamaian mendamaikan sengketa antara Tengku dan Sukarno satu ketika dulu. Negara yang dulunya terkemuka, pernah jadi jajahan Perancis, pernah bergelumang dengan darah, pembunuhan dahsyat yang pernah dilakukan oleh rejim Pol Pot dan Khmer Rouge.

Kalau anda pernah menonton Filem The Killing Field, lakonan Haing S.Ngor, barangkali sedikit banyak dapat mengerti akan situasi Kemboja ketika zaman prahara.Banyak filem dibuat mengenai kekejaman di Indochina  itu, sayangnya yang banyak ditonjolkan ialah kehebatan superhero Amerika, yang sebenarnya kalah dalam Perang Vietnam tetapi cuba memenangkan persepsi penonton melalui filem-filem Action.

Khabarnya keadaan masyarakat Islam yang dulu pernah ditindas dan dizalimi itu masih berada dalam keadaan yang serba miskin. Selain Chrang Chomres dan Prek Phra di Phnom Penh, ada kampung seperti Kompong Chom, ada di Siem Riep dan ada yang memberitahu ada sebuah kampung kira-kira 30 minit dari Phnom Penh, ditebing Sungai Tonle Sap.

Sebenarnya, kunjungan ini sebelumnya tidak dirancang dalam bulan Ramadan. Rupanya tiket yang di tempah itu tanpa disedari berlaku seminggu setekah umat Islam berpuasa. Banyak hikmahnya.Tanpa disangka kami mendapat peluang untuk merasai suasana bulan Ramadan di Phnom Penh. Barangkali dapatlah kami berkunjung ke masjid atau madrasah di sekitar Phnom Penh.

Waktu Phnom Penh lambat satu jam berbanding kita.Penerbangan mengambil masa 1 jam 55 minit sebelum mendarat di kota itu. Jika sempat, kami berhasrat juga untuk berkunjung ke Angkor Wat, kira-kira enam jam perjalanan dari Phnom Penh.

Sewaktu menulis ini, saya berada dalam pesawat AK1474 Air Asia. Dari kejauhan ini, saya sudah dapat5 melihat keindahan sawah padi. Kemudian pandangan terganggu oleh awan tebal. Pramugari mengatakan penerbangan menempuh cuaca yang kurang baik. Penggunaan tandas, katanya atas risiko sendiri.

Kelihatan awan tebal dari jendela pesawat. Saya sudah mengisi borang imigresen yang diberikan. Sekarang cuaca semakin baik.Pesawat bersedia turun.Kelihtan sungai-sungai,sawah dan sebagainya.
Perlahan-lahan pandangan makin dekat ke Cambodia

Sabtu, 28 Julai 2012

Terkenang waktu puasa di kampung kami

Tags

TERKENANG KENANG WAKTU BERPUASA DI KAMPUNG KAMI

MENDENGAR beduk dipalu berulang kali menandakan waktu sahur telah tiba. Di kampung kami dahulu, beduk yang dibuat dari kulit kambing itu, terdengar nyaring bunyinya hingga ke seluruh pelusuk desa. Bagi sebuah masyarakat yang mempunyai sistem berkomunikasi yang tersendiri, beduk digunakan secara tradisi untuk memberitahu jika tibanya waktu Jumaat, atau dengan jumlah paluan yang tertentu, untuk menyampaikan berita duka jika ada sesuatu musibah yang menimpa. Namun beduk juga selalu ditabuh untuk memberitahu waktu untuk bersahur.

Bila tiba waktu berbuka, kadang-kadang jika tidak dapat melihat matahari terbenam ke ufuk, beduk dijadikan sebagai penanda masuk waktu maghrib. Kami yang masih kanak-kanak ketika itu,sudahpun bersedia di depan gelas penuh minuman.

Selepas makan, berlarilah kami ke masjid untuk ikut menunaikan solat terawih. Masih terngiang juga suara imam Haji Abdul Rahman, imam tua di kampung kami atau bacaan ayat al-Quran oleh Haji Mukadim, yang ramai anak-anaknya menjadi juara musabaqah.

Dahulu lepas waktu sungkai, kanak kanak sebaya kami berlumba lumba meletupkan meriam buluh atau `kidaban' dalam bahasa kami. Bersahut-sahutan, mencari mana `kidaban' yang paling kuat bunyinya. Tetapi pada masa itu, jarang sekali kami mendengar ada orang yang tercedera atau jadi mangsa kerana permainan itu. Tak ada juga orang yang meletupkan kidabannya pada waktu lain kecuali selepas waktu berbuka, atau yang paling sering ialah selepas menunaikan solat terawih beramai-ramai.

Selepas sepertiga puasa, di kampung-kampung masyarakat Iranun menjadi terang bercahaya kerana orang-orang tua memasang tajukur.Tajukur yang sebenarnya pelita yang dipasang pada malam  tujuh likur itu biasanya dibuat daripada tempurung kelapa yang dibakar . Pada malam-malam ganjil sepuluh hari terakhir bulan Ramadan itu dipercayai akan turun `lailatur qadar' yang selalu ditunggu-tunggu.

Arwah ayah selalu mengatakan bahawa pada bulan puasa, tangan dan kaki iblis dan syaitan diikat, sehingga ia tidak boleh lagi mengganggu orang-orang untuk melakukan ibadah. Kami teringin juga melihat bagaimana tangan dan kaki syaitan itu diikat, tapi kerana kami masih kecil, kami hanya dapat membayangkan syaitan-syaitan itu sebagai sesuatu yang ngeri.

Kata arwah ayah, orang yang kotor jiwanya, orang yang selalu berbuat jahat, selalu berdengki, selalu berdendam dan bermusuhan antara satu sama lain itu, adalah sahabat syaitan. Jika tidak mahu menjadi sahabat syaitan, janganlah buat perkara perkara serupa itu, kata ayah kepada kami.

Demikianlah puasa kami jalani. Kalau berpuasa, kata ayah, kita bukan saja puasa makan tetapi juga puasa mata, puasa telinga dan sebagainya. Kita bukan saja berlapar menahan dahaga tetapi juga puasa menahan pandangan mata dan penglihatan kita daripada melihat sesuatu yang `tidak benar'.Bagi kami kanak-kanak pada waktu itu, kami tidak faham benar apa yang diperkatakannya.

Biasanya, kami mengaji mulai mukaddam hingga khatam quran daripada pakcik Haji Salleh.Rumahnya sentiasa riuh rendah dengan suara anak-anak yang mengaji.Kami belajar alif ba ta daripadanya. Saya selalu teringat rotan ekor pari yang biasanya digunakan untuk menakut-nakutkan kami supaya tidak nakal atau membuat bising.

Jika waktu puasa, biasanya meriah.Kami melupakan sejenak minat menonton cerita `combat' atau `canon' di rumah cikgu Hujud, satu-satunya jiranya kami yang mempunyai peti tv. Peti tv itu menggunakan tenaga bateri kereta kerana pada waktu itu bekalan elektrik belum sampai di kampung kami.

Selain tv, melalui siaran radio, kami mengetahui waktu bermulanya puasa atau pengumuman Hari Raya Aidilfitri  yang diumumkan oleh penyimpan mohor raja-raja. Seawal pagi lagi, selepas solat Subuh pada pagi AidilFitri itu, kami menunggu kedatangan Arwah Babu Inai Daiman yang rajin menghantar dulang berisi makanan sesuai dengan tradisi kami. Selepas itu, Inai Agaitu juga datang menghantar dulang. Kemudian ibu pula menghantar dulang ke tempat jiran-jiran yang lain atau membalas hantaran dulang itu.

Setelah pagi aidilfitri itulah, biasanya kami dibenarkan bermain `kanjarapung' (mercun). Pada pagi itu kami berkunjung ke perkuburan menziarahi keluarga yang lebih dulu berpulang. Selepas itu barulah kami berkunjung ke rumah sanak saudara. Kadang-kadang kami berjalan kaki berbatu-batu kerana waktu itu jarang ada kenderaan seperti sekarang.

Kenderaan Pick-up yang selalu menjadi alat pengangkutan untuk ke pekan Kota Belud, jarang beroperasi pada hari raya.Meskipun tidak ada kereta, tapi itu tidaklah menghalang kami untuk berziarah satu sama lain. Masyarakat kami waktu adalah masyarakat yang erat hubungan kekeluargaannya.

Tetapi sekarang, nilai nilai lama sudah tergantikan oleh sistem nilai yang baru. Tidak lagi terdengar beduk dipalu, tidak ada lagi zaman kanak-kanak yang dulu ada. Sekarang diganti dengan sms, mms dan sebagainya. Orang lebih seronok menggunakan media alfisbuki. Melalui media sosial, mereka yang jauh seperti berada di sebelah rumah sahaja. Meski begitu, ironisnya, walaupun dekat, tetapi mereka semakin jauh. Kadang-kadang walaupun mereka berada di depan mata kita, mereka seolah-olah tidak lagi akrab atau bercakap dengan kita, kerana sibuk menekan punat handphone, sehingga kita kadang tenggelam dalam kesendirian.

“Sahurlah sahur, sahur semua, bangunlah sahur, untuk puasa”, tiba tiba terdengar sekumpulan remaja memukul tambur untuk membangunkan orang bersahur. Alangkah indahnya, jika kita sentiasa mengingat makna dan hikmah berpuasa. Puasa daripada fitnah atau sumpah seranah, puasa dari benci dan rasa iri, puasa dari dendam dan kebencian, puasa dari nafsu yang menggebu-gebu, puasa dari kata-kata nista dan dusta. Puasa sebenar puasa

Yang Terbaik dan Yang Menang HSS 2010/2011

Tags

 KALAU ada satu detik yang boleh membuat jantung penulis-penulis Sabah berdegup lebih kencang daripada biasa, detik itu ialah pengumuman keputusan Hadiah Sastera Sabah (HSS) 2010/2012.

Keputusan HSS 2010/2011 pasti ditunggu-tunggu khalayak sastera Sabah.Setiap kali keputusan HSS itu diumumkan, selalu ada sesuatu yang mengejutkan.

Kali ini, buat kali pertama dalam sejarah Hadiah Sastera Sabah (HSS) sejak mula diperkenalkan 22 tahun lalu, seorang penulis menang dalam tiga kategori sekaligus. Tiga nama yang tidak pernah terpisah dari senarai pemenang berjaya mengekalkan reputasi mereka. Sekurang-kurangnya lima nama baru masuk dalam tinta emas HSS manakala selebihnya adalah personaliti sastera yang terbilang kerana keunggulan karya mereka.

Penulis Ruhaini Matdarin, menempati urutan pertama HSS 2010/2011 kerana prestasinya yang luar biasa. Beliau membuktikan keistimewaan mutu karyanya apabila novelnya Nisan, terbitan Penerbitan Melur 2011 lebih layak diperakui mutunya berbanding enam novel lain yang turut dinilai.
Dalam kategori cerpen, Ruhaini melalui cerpen Emas Hitam (Antologi Emas Hitam, Iris Publishing & Distributor 2010) terpilih sebagai salah satu daripada sepuluh pemenang genre cerpen manakala puisinya “Sesedih Aku” yang tersiar dalam Wadah Jun 2011, tersenarai sebagai salah satu daripada sepuluh pemenang genre puisi.

Sebanyak 331 cerpen telah dinilai bagi memilih sepuluh yang terbaik.Hasyuda Abadi, sasterawan yang namanya tidak pernah tercicir (kecuali dua tahun lalu apabila beliau dilantik sebagai salah seorang panel) turut menang dua kategori. Cerpen Embun di Tapak Tangan yang tersiar dalam akhbar Utusan Borneo membawa tuah kepada Hasyuda Abadi selain puisinya Perlimbahan Cinta (tersiar dalam antologi Sutera Kunjungan 2011) menang dalam genre puisi.

A.Karim Kadir,Juri Durabi,Amini Gawis, ketiga-toganya nya dari bahagian Utara Sabah turut menang dalam dua kategori. A.Karim Kadir dari Kudat  unggul melalui Cerpen Ng Kafak, tersiar dalam Dewan Sastera April 2010 manakala puisinya Hidup yang tersiar,juga dalam Dewan Sastera April 2010 turut terpilih sebagai salah sebuah puisi terbaik daripada 900 buah puisi yang tersiar sepanjang dua tahun tempoh penilaian itu.Juri dari Pitas menang melalui cerpen Tanah Kubur yang tersiar dalam Wadah Jun 2011 dan puisi Redup yang tersiar dalam Harian Ekspress 28 Mac 2010. Amini, penulis dari Kota Belud menang melalui cerpen Milik Yang Hilang, tersiar dalam Utusan Borneo, 30 Januari 2010 dan puisi Sungai Pegalan, tersiar dalam Utusan Borneo, 6 Februrai 2011.

Penulis hebat yang turut membuktikan keunggulan dalam genre cerpen ialah Azmah Nordin melalui cerpen Kekasih, tersiar dalam Dewan Sastera September 2010, Yatim Ahmad melalui cerpen Nyiur Gading Tinggi Menjulang, tersiar dalam New Sabah Times 22 Mei 2011.

Julia Unggai, yang menulis dari Amerika Syarikat, menang melalui cerpen Sepasang Mata Biru Sepucuk Pistol, tersiar dalam Utusan Borneo 11 April 2010 manakala antara nama baru yang menang ialah Lembayung Senja melalui cerpen Internet yang tersiar dalam Harian Ekspres 24 April 2011.Lembayung Senja atau nama sebenarnya Dg.Rosnah Ag.Jaafar terpilih buat pertama kalinya sebagai salah seorang pemenang HSS 2010/2011. Selain itu, Ismi Nailofar atau nama sebenarnya Hadijah Awang Mahmud menang melalui cerpen Resah Si Kembang Kolam yang tersiar dalam majalah wadah terbitan DBP Sabah keluaran Jun 2011.

Jasni Matlani, juga salah seorang maestro sastera Sabah meneruskan keunggulan melalui puisi Sepetang mengenangmu, tersiar dalam Wadah Disember 2010, manakala Ramli A.R (Ramli Jusoh) menang melalui puisi Tanah Penangguhan, termuat dalam Antologi Sutera Kunjungan 2010. Puisi Kaki Hujan karya Pena Alam atau nama sebenarnya Rita Robert Rawantas turut terpilih sebagai salah satu daripada 10 puisi yang terbaik. Penyair Jair Sulai dari Malubang Pitas menang melalui puisi Bengkoka, tersiar dalam Dewan Sastera  Oktober 2011 manakala Norawi Haji Kata dari Kota Belud menang melalui puisi Aku Ingin Menatap Tidurmu yang tersiar dalam Dewan Sastera Oktober 2011.

Hanya dua daripada 40 buah esei yang tersiar di akhbar dan majalah  sepanjang 2010 dan 2011 layak menerima hadiah sebagai pemenang HSS. Raymond Majumah melalui esei bertajuk Sejarah Datuk Jamdin Buyong dan Perjuangan Menerusi Kumpulan Ada dalam Tiada  menang genre Esei dan Kritikan. Sementara itu, Lokman Abdul Samad juga mendapat pengiktirafan melalui esei bertajuk Yang Indah dan Bermanfaat dalam Sastera Rakyat, yang tersiar dalam Wadah Mac 2011.

Menurut siaran akhbar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah sebagai penganjur hadiah paling berprestij itu, Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Sabah akan diadakan pada 21 September 2012.

Hadiah Sastera Sabah yang diadakan sejak 1990 adalah salah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan para penulis Sabah, khususnya dalam penghasilan karya yang baik dan bermutu untuk bacaan masyarakat.

Hadiah dwitahunan untuk karya terbaik penulis Sabah ini dibahagikan kepadaa beberapa genre sastera seperti novel, cerpen, drama, esei dan kritikan dan puisi.

Hadiah Sastera Sabah mengambil kira karya penulis-penulis Sabah yang diterbitkan dalam tempoh dua tahun iaitu tahun 2010 hingga tahun 2011, untuk dinilai dan seterusnya dicalonkan sebagai penerima Hadiah Sastera Sabah.Penilaiaan karya oleh panel penilai dibuat berdasarkan genre novel, cerpen, esei/kritikan dan puisi.

Sementara penulis yang menang hadiah HSS 2010/2011 tidak sabar lagi menanti masa penyampaian hadiah itu, penulis-penulis lain mempunyai masa dua tahun iaitu sepanjang 2012 dan 2013 untuk membolehkan karya mereka dinilai pada sesi penilaian yang akan datang.




Selasa, 24 Julai 2012

Hadiah Sastera Sabah bakal beri kejutan

Tags
Hadiah Sastera Sabah (HSS) yang penuh kejutan itu kini benar-benar hadir dengan penuh kejutan.Majlis penyampaian hadiah bagi acara paling berprestij dan paling ditunggu oleh khalayak sastera di negeri Sabah itu akan diadakan pada September ini.Nama yang biasa menang turut tersenarai kali ini.Nama yang jarang menang pun turut menang.Ada kategori yang tidak mempunyai pemenang kerana tidak banyak karya yang boleh dinilai.Semua orang pasti dapat menduganya.
Saya juga menjangka pasti ramai yang marah dengan posting ini.Jenis maklumat macam apa ini? Tentu mereka berkata begitu. Seperti politik, sastera juga pasti perlu provokasi juga.
Tetapi yang paling penting, ada beberapa karya yang tersiar di Utusan Borneo turut tersenarai sebagai pemenang.Itu yang paling menggembirakan saya. Tapi karya yang tersiar di media lain juga ada menang.
Rakan-rakan penulis,khususnya di sabah, jangan pedulikan posting ini.Teruskan berkarya.Menghasilkan sastera yang bermutu.Terus menulis

Ahad, 22 Julai 2012

Bercermin dan banyaklah bercermin

Tags

BERCERMIN DAN BANYAKLAH BERCERMIN

ENTAH kenapa, ketika fikiran semakin galau, untuk menyiapkan tulisan ini, saya teringat pesan yang terkandung dalam sepotong lagu Ebiet G.Ade.

`Kita mesti berjuang memerangi diri', katanya. Perjuangan memerangi diri sudah tentu memerlukan kekuatan dan keberanian. Kita mesti berjuang untuk memastikan diri kita `benar-benar bersih', suci lahir dan di dalam batin. Bersih lahir batin itulah yang patut kita tuju, sebagai seorang yang hidup penuh debu, penuh nista, penuh dusta.

Barangkali inilah waktu yang paling baik untuk kita menyingkirkan `debu yang masih melekat', dalam jiwa kita, dalam fikiran kita, bukan saja dalam tubuh ragawi kita bahkan juga dalam rohani kita.

Seorang seniman seperti Ebiet juga boleh kita dengarkan nasihatnya dalam menempuhi hidup yang penuh dugaan ini. Anugerah dan bencana adalah kehendakNya, dan sebagai manusia kita mesti tabah menjalani kehidupan ini.

Dalam dunia yang semakin tua, penghuni ditimpa pelbagai musibah tetapi semua ini, semua `lahar dan badai' yang menyapu bersih bumi ini hendaklah dilihat sebagai isyarat bahawa kita mesti membenahi diri, yakni mengemaskan semula, mengatur kehidupan kita supaya lebih tertib.

Kalau kita kaji lebih jauh, kata penyanyi yang pernah bersekolah di pesantren ini, `dalam kekalutan masih banyak tangan yang tega berbuat nista'.Hakikatnya, Tuhan pasti telah memperhitungkan segalanya, amal dan doa yang telah kita perbuat, dan kita tidak akan dapat dapat bersembunyi daripadanya.

Hanya kepadanya  kita kembali. Oleh sebab itu, katanya dalam lagu `Untuk Kita Renungkan' ini, mari hanya sujud padanya. Kepatuhan kepada perintah Tuhan yang sesungguhnya, menjauhkan diri dari kemungkaran dan menyebarkan sebanyak-banyaknya kebaikan.

Saya tidak menyangka, lagu ini boleh membuat saya terharu pada petang ini. Hanya kepadanya kita kembali, kata Ebiet, kerana itu kita mestilah memastikan diri kita benar-benar bersih, suci lahir dan di dalam batin.

Sungguh satu peringatan yang sederhana, tetapi mengena, sambil merenung keberadaan diri, yang masih berlumur debu. Dalam kerapuhan hidup yang singkat ini, kita mesti membuatnya bermakna. Kita mesti berjuang menyingkirkan segala kekotoran dalam kehidupan.

`Kita mesti berjuang memerangi diri, bercermin dan banyaklah bercermin'. Kata-kata bercermin dan banyaklah bercermin itu terngiang-ngiang di telinga saya, terngiang-ngiang juga dalam fikiran saya. Betapa lama saya tidak bercermin walaupun setiap hari saya menghadap cermin. Kadang kita terlupa melihat wajah sendiri ketika kita bercermin. Banyaklah bercermin kerana banyak juga yang boleh dijadikan cermin-cermin dalam menjalani kehidupan kita.

Apabila kita sentiasa bercermin, pastilah kita dapat membenahi diri kita dengan sebaik-baiknya. Dengan banyak bercermin, dan menjalani kehidupan yang bersih, Tuhan pastilah merahmati dan memberkati. Jika kita sentiasa bercermin dan bercermin, sedikit demi sedikit kita dapat membersihkan debu yang melekat, entah dalam hati kita atau dalam fikiran kita.

Entah bagaimana, lagu Ebiet G.Ade ini mampu meruntun jiwa.Ketika berhadapan dengan kesementaraan, dengan kerapuhan, dengan kegagalan, dengan kelalaian, kenistaan, kedustaan, kecemburuan, kebencian, kedengkian dan berbagai-bagai lagi jenis debu yang melekat dalam diri kita, Lagu ini, meskipun hanya sebuah lagu yang pendek, membawa pesan yang membuat hati kita bergetar.

Benarkah kita telah banyak bercermin? Atau benarkah kita telah memerangi diri kita agar segala kebiadaban, segala keburukan, segala kejahatan dapat kita kalahkan?

Betapa banyak isyarat dan peringatan yang diberikan kepada kita, tetapi kita insan yang lemah ini gagal membaca dan menterjemahnya. Betapa banyak `lahar dan badai' yang timpa menimpa dalam hidup kita, tetapi masih tetap juga kita cuai dan lalai dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah kita sebagai hambanya.

Bercermin dan banyaklah bercermin, kali ini saya tujukan kata-kata ini untuk diri sendiri.