Sabtu, 22 September 2012

Haji Kamil minat politik bermula dari susun kerusi

Tags




HAJI KAMIL MINAT POLITIK BERMULA DARI SUSUN KERUSI


"Disuruh susun kerusi, saya susun kerusi.Disuruh memandu, saya jadi pemandu.Pokoknya apa saja yang disuruh oleh arwah ayah, saya akan mengerjakannya," kata  Datuk Haji Mohd.Kamil Datuk Seri Panglima Dr.Kassim Kamidin, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu. Mulanya, beliau hanya bertindak sebagai pembantu ayahnya  tetapi kemudian beliau tidak dapat mengelak melainkan mengambil peranan untuk membantu berkhidmat untuk masyarakat di daerahnya.Sebagai seorang yang lahir dalam keluarga yang aktif dalam bidang politik, beliau mahu tidak mahu terpaksa melibatkan diri dalam politik, kerana jika tidak "nanti orang bilang kita sombong atau lari dari tanggungjawab"

Itulah antara kata-kata Datuk Haji Mohd.Kamil ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Bumi, di Tawau. Selepas tidak lagi menjadi wakil rakyat, beliau kini melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan.Kini beliau memimpin Persatuan Kemasyarakatan Melayu Tawau (PKMT), Pengerusi Lembaga Sekolah Islamiyah Tawau, Pengerusi Masjid Bandar Tawau, Pengerusi Masjid Raya Tawau, Naib Yang DiPertua Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS), Pengerusi Jawatakuasa Harta Waqaf Tawau.

Datuk Haji Mohd.Kamil dilahirkan di Tawau,kira-kira 66 tahun lalu.Beliau mendapat pendidikan awal di SK Wallace Bay hingga darjah lima sebelum berpindah ke SK Holy Trinity,Tawau Selepas itu, beliau meneruskan pelajaran di peringkat Menengah di SMK Holy Trinity hingga Tingkatan 5. Di sekolah itu, beliau dipilih sebagai Ketua Pelajar. Kemudian Haji Mohd.Kamil melanjutkan pendidikan di ITM (ketika itu di Petaling Jaya) sebelum ditawarkan biasiswa Syarikat North Borneo Timber untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Perdagangan di Melbourne Institute of Technology. Setelah lulus, beliau bekerja Pembantu Syarikat di Melbourne,  dengan gaji A$500 dolar seminggu. Selepas enam tahun mencari pengalaman di Australia, beliau pulang ke tanahair dan menceburkan diri dalam bidang perniagaan sambil membantu ayahnya menjalankan khidmat dan kerja-kerja kemasyarakatan.

Dalam bidang politik, beliau pernah menjadi Setiausaha Zon USNO Tawau dan kemudian ditugaskan sebagai Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Tawau. Haji Mohd.Kamil dipilih sebagai AJK UMNO Bahagian sebelum menjawat jawatan naib Ketua UMNO Bahagian Tawau. Apabila persempadanan pilihanraya dibuat, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kalabakan. Beliau pernah menjadi  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu (2004-2008) .Kini selain politik, beliau juga  dalam dunia perniagaan dan khidmat sosial.

Ikuti petikan wawancara Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN bersama Datuk Haji Mohd.Kamil DSP Dr Haji Kassim Kamidin di pejabatnya di Tawau baru-baru ini.

UTUSAN BORNEO:      Boleh Datuk ceritakan penglibatan awal dalam politik?  Sewaktu kecil, apakah Datuk pernah bercita-cita menjadi pemimpin politik satu hari nanti?
HAJI KAMIL:  Penglibatan saya dalam politik bermula sejak kecil. Dulu saya selalu menolong bapa saya. Saya punya tugas menyusun kerusi.Sayalah yang tolong susun kerusi jika ada acara, mesyuarat ataupun perjumpaan. Bukan cita-cita saya menjadi ahli politik. Saya terikut-ikut dalam politik kerana menolong bapa saya. Apa saja yang disuruh oleh bapa, saya kerjakan, termasuk susun kerusi, taip surat, menjadi pemandu beliau dan sebagainya. Dari sana saya menyerap  nilai-nilai berbakti kepada masyarakat, komitmennya kepada masyarakat. Sebagai anak seorang pemimpin, kita terpaksa mengambil tanggungjawab terhadap rakyat. Kalau kita tidak melibatkan diri, nanti orang anggap kita sombong dan lari daripada tanggungjawab.

UB:       Selepas tamat belajar dari Australia, Apakah Datuk terus terlibat dalam politik?
HAJI KAMIL:  Selepas lulus dari Melbourne Institute of Technology, saya sempat bekerja di Australia selama enam tahun. Waku itu saya bertugas sebagai Assistant Company Secretary di Melbourne dengan gaji $500 dolar Australia satu minggu. Waktu itu, ia dianggap lumayan. Kemudian saya balik ke tanahair. Di Tawau, saya sekali lagi membantu bapa saya.  Saya jadi driver beliau. Arwah ayah saya, (Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Kassim Kamidin) ada;ah seorang pemimpin Melayu di Tawau. Beliau pernah menjadi Ketua Bahagian USIA Tawau, pemimpin Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau (PKMT), pemimpin USNO dan sebagainya. Dari sana saya kenal banyak orang. Kenal hati budi mereka. Di sanalah mulai timbul rasa tanggungjawab.Kalau kita tinggalkan mereka, nanti orang kecil hati.Kalau kita tidak mahu terlibat dalam politik, orang anggap macam kita sombong atau lari dari tanggungjawab.. Itulah permulaan saya terlibat dalam politik.Beginilah kita hidup dalam masyarakat.Umpama naik bas, belum sampai bus stop (perhentian bas) belum boleh turun.

UB:       Apa tugas yang diberikan kepada Datuk?
HAJI KAMIL:  Pada mulanya saya menjadi Setiausaha Zon USNO Tawau. Selepas UMNO ke Sabah, saya ditugaskan sebagai Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Tawau.  Kemudian saya terpilih sebagai AJK Bahagian.Selepas dua tahun ,saya menjadi Naib Ketua Bahagian UMNO Tawau. Apabila persempadanan semula pilihanraya diadakan, saya dilantik sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kalabakan. Dalam pilihanraya 2004, saya diminta bertanding kerusi DUN Tanjung Batu dan menjadi wakil rakyat sehingga tahun 2008.

UB:       Mungkin ada nasihat atau pesan yang diberikan oleh ayahanda Datuk sebagai bekal dalam perjuangan?
HAJI KAMIL:  Antara nasihatnya ialah perjuangan untuk masyarakat mestilah ikhlas.Beliau pernah memperkatakan, selagi berjuang untuk rakyat, jangan terlibat dalam bisnes. Nanti kalau sudah tidak memegang jawatan, barulah berniaga. Kalau kita berbuat baik, tentu orang kenang. Waktu dalam politik, jangan berbisnes.

UB:       Dalam perjuangan apa yang Datuk pentingkan?
HAJI KAMIL:  Saya fikir yang penting keikhlasan dalam perjuangan.Kita berjuang mesti mahu ikhlas.Perjuangan untuk masyarakay adalah satu ibadah.Kalau kita tidak ikhlas, apa saja ibadah yang kita buat tentu tidak diberkati. Jika kita ikhlas, perjuangan kita maju dan kitapun dapat berkat.

UB:       Mungkin ada kenangan yang boleh dikongsikan sewaktu menjadi wakil rakyat? Kenangan lucu misalnya?
HAJI KAMIL: Banyak kenangan. ..tapi ada satu kawan, tidak payah sebut namanya, datang dari jauh pakai bot. Kawasan Tanjung Batu adalah satu kawasan yang luas.  Tapi setiap kali datang, ada saja kerosakan botnya, kalau bukan kipas, enjinnya rosak.Kadang-kadang lucu. Sebaga pemimpin kita memperjuangkan kesejahteraan rakyat.

UB:       Apa cabaran yang datuk hadapi selama menjadi wakil rakyat?
HAJI KAMIL: Cabaran memang banyak. Kadang-kadang perjuangan kurang difahami. Apabila  kita buat pendekatan yang lain, bukan cara biasa orang lakukan, orang selalu sangsi dengan kita. Ada yang menuduh kita mengada-ngada. Ada orang yang menuduh kita kacau daun dan sebagainya. Dalam politik, selalu kita berhadapan dengan persepsi.

UB:       Dulu sewaktu masih menjadi wakil rakyat, kami selalu tertarik dengan isi perbahasan ketika Datuk mengambil bahagian dalam Sidang Dewan.
HAJI KAMIL: Saya membuat persiapan tiga bulan lebih awal, iaitu setiap kali selesai sidang DUN, saya sudah mencari bahan-bahan atau fakta ketika saya menyuarakan masalah masyarakat di kawasan yang saya wakili. Saya selalu teliti bahkan membuat suntingan berkali kali , mencari ayat yang tepat untuk menyuarakan masalah mereka. Misalnya kita saya membahas masalah kelapa sawit, saya berbahas panjang lebar dari semua segi secara detail. Saya memikirkan betul-betul isu sebelum membahaskannya dalam Dewan.sekarang, ada di kalangan mereka yang terlibat mengatakan `betul juga apa yang Datuk yang cakap  hari itu'.

UB:       Sekarang ini setelah tidak lagi sesibuk dulu, apa yang datuk buat di masa lapang?
HAJI KAMIL:  Saya suka bekerja di rumah. Saya jaga taman sendiri. Saya juga minat cara mengendalikan data di komputer. Selain itu saya suka melancong, bawa keluarga, suka tengok tempat orang.Ia memberikan pengalaman yang berharga. Ia menimbulkan kesedaran kepada diri kita.Kita boleh belajar dengan membandingkan antara masyarakat kita dengan rakyat negara lain.

UB:       Oh ya. Siapa agaknya tokoh yang menjadi idola datuk?
HAJI KAMIL: Idola saya sudah tentulah Tun Musapha. Saya suka kepada perjuangan dan kepimpinan Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun. Apatahlagi suana pada zaman itu iaitu ketika berhadapan dengan penjajah British. Tun Mustapha bukan jenis orang yang cabut keris. Cara dia menyatupadukan rakyat, itu yang mengagumkan.Dia ada kemampuan untuk menyampaikan hasrat masyarakat tanpa bersikap kasar. Keikhlasan beliau dan kesungguhan beliau menyampaikan aspirasi masyarakat waktu itu bderjaya mempengaruhi sikap British kepada a nak negeri Sabah.

UB:       Selalu berjumpa Tun?
HAJI KAMIL:  Sewaktu beliau melawat Tawau, saya masih muda ketika itu. Saya menjadi tukang sedia air minuman.Bila dia sudah bercakap di antara rakan-rakannya, saya cuba fikirkan butir percakapannya. Dari situ, saya rasa saya faham apa dia perjuangan.

UB:       Sejak tidak lagi menjadi wakil rakyat, apakah Datuk masih didatangi oleh  rakyat untuk mengadukan masalah mereka.
HAJI KAMIL:  Masih ramai yang datang.Walaupun kita bantu bukan secara politik, saya bantu cara lain.Tdak perlu publisiti.kalau politik perlu ada publisiti.tapi kita berbakti secara ikhlas kepada masyarakat.

UB:       Sebagai seorang pemimpin, apa nasihat datuk kepada rakyat?
HAJI KAMIL:  Saya selalu ingatkan, supaya kita jaga hak kita.Jika kita tidak hormati hak kita, orang akan pijak-pijak.Jangan kerana diberi RM50, kita buang hak kita.  Kita buat sokongan setelah mempertimbangkan baik buruknya. Kita mesti jaga hak kita, jangan kita sia-siakan. saya juga selalu memperingatkan supaya rakyat tidak diperlalukan sebagai angka.Kita tidak mahu jual  angka semata-mata, misalnya di sana ada 300 orang, di sini ada 300 orang.Kita tidak mahu begitu. Kita mahu suara 300 orang itu  kita didengar. Mereka bukan angka. rakyat perlu didengar dan rakyat perlu mendengar pemimpin mereka.

UB:       Apa komen datuk terhadap situasi sekarang?
HAJI KAMIL:  Kita mahu pemimpin lebih banyak memikirkan masalah dan kepentingan rakyat  daripada fikir strategi politik. Politik hanyalah satu cara untuk memperjuangkan rakyat. Ada diantara pemimpin, sudah berpuas hati setelah mereka menang jawatan dalam parti, ahli jawatankuasa bahagian misalnya.Jawatan itu tidak akan bermakna sekiranya kita tidak memperjuangkan rakyat. kalau kita sekadar berpolitik, memikirkan hanya siapa yang menang, siapa yang kalah, saya rasa ini tidak berbaloi. Kita ambil  jawatan supaya kita boleh berjuang, kita perjuangkan eselesaan hidup rakyat, keselamatan hidup mereka. Saya melihat sekarang, kita terlampau bertumpu soal politik, siapa mahu dibuang, siapa yang mahu dipecat dan sebagainya.Di situ masalahnya.

UB:       Bolehkah datuk ulas sedikit mengenai PKMT, dimana Datuk salah seorang pemimpinnya?
HAJI KAMIL:  PKMT atau Persatuan Kemasyarakatan Melayu Tawau, dulunya Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau sebelum kita ubahnya namanya pada tahun 1992, adalah pelopor perjuangan Melayu. Sebenarnya ia ditubuhkan sejak tahun 1938 dan kini sudah berusia 74 tahun walaupun ia ditubuhkan secara rasmi beberapa tahun selepas itu. Kita ubahnya daripada `Kebangsaan' kepada` Kemasyarakatan' supaya orang tidak keliru.
PKMT telah mempelopori perjuangan Melayu di negeri ini, tanpa mengira suku dan etnik. Kita teruskan perjuangan PKMT, ia telah berjuang sejak zaman British, perjuangan yang berhemah, tanpa perlu cabut kerus tetapi persatuan itu menjadi wakil kepada masyarakat tawau ketika itu. PKMT berjaya menyampaikan aspirasi masyarakat ketika itu, sehingga PKMT menjadi sebuah persatuan yang dihormati. PKMT dihormati kerana pemimpin-pemimpinnya memperjuangkan semua masyarakat Melayu, bukan kaum mereka. Mereka perjuangkan masyarakat Melayu tidak peduli sukunya,.

Jadi kita mahu PKMT teruskan perjuangan. Pada masa yang sama tetap kritikal kepada siapa saja, nyatakan yang benar, suarakan keperluan masyarakat. Sebenarnya PKMT melahirkan ramai pemimpin, yang mempunyai kebolehan masing-masing. PKMT tidak perjuangkan individu tapi kita memberi komitmen untuk memperjuangkan masyarakat kita.


UB:       Akhir sekali apa harapan datuk?
HAJI KAMIL:  Saya berharap suasana keadaan untuk anak-anak dan cucu cucu kita akan leboh baik daripada apa yang kita alami sekarang. Semoga bertambah baik dari segi peluang hidup dan peluang beramal, beribadah. Kita harap keadaan hidup mereka lebih baik daripada sekarang.