Rabu, 18 September 2013

DSP HAJI AHMAD AYID, PEJUANG YANG BANYAK BERJASA

Tags
DSP HAJI AHMAD AYID, PEJUANG YANG BANYAK BERJASA

NEGERI Sabah kehilangan salah seorang putera terbaiknya apabila Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid,87, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 11.00 pagi, Jumaat lepas di Pusat Perubatan Sabah (SMC).

Jenazah kemudian diterbangkan dan dikebumikan di Tawau di tengah kesedihan dan kepiluan ahli-ahli keluarganya serta masyarakat Sabah khususnya di Tawau yang banyak terhutang budi kepada perjuangan dan pengorbanan beliau dalam usaha mencapai kemerdekaan di negeri ini.

Beliau adalah seorang tokoh yang banyak memberikan jasa bakti dalam sejarah pembangunan sosial dan politik di negeri ini.

DSP Haji Ahmad Ayid dilahirkan pada 3 Februari 1926 di Sandakan. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Tawau pada 1935 hingga tahun 1940 dalam darjah 5.

Apabila Tentera Jepun menduduki Borneo pada 1941, beliau mempelajari bahasa Jepun dan berjaya menguasai bahasa itu dengan cemerlang malah mampu mendapat kedua dalam keputusan peperiksaan bahasa Jepun yang diadakan di seluruh Borneo ketika itu.

Selepas perang tamat, beliau menghadiri kelas malam khususnya untuk mendalami bahasa Inggeris di SM St Patrick Tawau sehingga selesai pada tahun 1954.

Sebelum itu, setelah lulus darjah lima pada tahun 1950, beliau bekerja sebagai Pembantu Guru. Namun pada tahun 1942, beliau ditugaskan sebagai Jurubahasa kepada Residen Jepun di Tawau sehingga tamatnya Perang Dunia Kedua pada 1945.Selain itu, beliau diberi tanggungjawab selaku `Port Control' yang damanahkan untuk mengawal pengagihan makanan di seluruh daerah Tawau.

Antara pengalaman pahitnya ketika Perang Dunia Kedua ialah ketika mendapat kecederaan di lengan kiri akibat terkena serpihan bom apabila Tentera Berikat melancarkan serangan udara ke ata daerah Tawau. Rumah beliau habis ranap, barang-barang tidak sempat diselamatkan tetapi beliau bernasib baik apabila beliau sempat terjun ke sungai.

Apabila perang selesai, beliau menceburkan diri dalam bidang perniagaan kira-kira pada tahun 1946. Sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya, dan bersikap dermawan, beliau banyak membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nasib bangsa dan pentingnya kemerdekaan melalui kegiatan-kegiatan politik selain memastikan kesejahteraan masyarakat melalui kegiatan-kegiatan sosial yang diceburinya.

DSP Haji Ahmad Ayid mula berkecimpung dalam politik selaku ahli USNO (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) pada tahun 1962. Malah beliau pernah menghadiri penubuhan USNO di Kudat sebelum itu. Di Tawau, beliau menjadi Ketua Cawangan USNO Bandar Tawau dan menjadi Timbalan Ketua USNO Bahagian Tawau sehingga USNO dibubarkan pada 1991.

Beliau seorang tokoh yang sangat berjasa dalam proses penubuhan Malaysia pada 1963, apabila beliau bersama enam yang lain, diketuai Tun Datu Mustapha Datu Harun mewakili USNO untuk menghadiri perjumpaan dengan Suruhanjaya Cobbold.

Ketika UMNO mengembangkan sayapnya ke negeri ini pada 1991, beliau turut aktif membela rakyat khususnya bumiputera Islam dan menjadi Pengerusi Tetap UMNO P162 Tawau dari tahun 1991 hingga 2002.

Dalam bidang sosial pula, penglibatan beliau bermula sejak bangku sekolah lagi. Sejak darjah lima, beliau bergerak aktif dalam Persatuan Sahabat Pena yang bergerak secara senyap memperjuangkan kemerdekaan.Pada tahun 1945, beliau bersama Allahyarham Datuk Ampong Kerahu, Allahyarham OKK Haji Zainal Kerahu, Allahyarham Kee Sulaiman dan beberapa yang lain diketuai Kee Abu Bakar telah menubuhkan Persatuan Kebajikan Melayu Tawau (PKMT).

Beliau terpilih sebagai ahli jawatankuasa PKMT sejak ditubuhkan. Pada tahun 1947, beliau aktif dalam Persatuan Islam Tawau (PIR) dan pernah diberi peranan penting sebagai Timbalan Ketua PIT. Beliau juga telah dilantik selaku Ketua Biro Kebajikan & Biro Tabligh (Dakwah) dalam PIT. Peranan beliau dalam Biro Kebajikan adalah memastikan pungutan zakat dapat dijalankan bertujuan bagi membangtu orang-orang miskin, mangsa kebakaran, kematian dan sebagainya. Selaku pengerusi Biro Dakwah, beliau memainkan peranan mengatur pentadbiean masjid, melantik imam masjid dan menjadualkan pembaca khutbah secara bergilir. Di samping ity, beliau pernah menjadi Setiausaha bagi Jawatankuasa Pembinaan Sekolah Rakyat Islamiah Tawau dan Masjid Raya Daerah Tawau, yang pembinaannya dibiayai sepenuhnya oleh rakyat.

Pada tahun 1968, Persatuan Islam Tawau (PIT), Persatuan Islam Sabah (PIS) dan Persatuan Islam Putatan (PIP) telah bersetuju membubarkan persatuan masing-masing untuk menubuhkan sebuah pertubuhan baru Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bagi menyatukan semua persatuan Islam di seluruh Sabah.

Dalam USIA, beliau memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi, Naib Presiden dan pernah dipilih sebagai Pengerusi Tetap Perhimpunan Agung USIA sehingga tahun 2009. Beliau telah dikurniakan "Anugerah Jasamu dikenang USIA) sempena Perhimpnan Agung USIA tahun 2008.

Tokoh ini aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan NGO. Beliau aktif dalam Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS) Tawau dan Timbalan Presiden DPBS dalam tahun 70-an,80-an, dan 90-an. Pada tahun 2000, beliau dikurniakan Anugerah Tokoh Jasamu Dikenang DPBS .

Beliau juga adalah ahli seumur hidup Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM). Selain itu beliau merupakan seorang pengasas dan tokoh penting sehingga tertubuhnya Sekolah Rakyat Islamiah Tawau selain aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan NGO lain seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) di sekolah kerajaan di daerah Tawau.

Semasa konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia pada tahun 1963, beliau menjalani latihan ketenteraan dan kemudian dilantik sebagai Leftenan bagi Pasukan Pertahanan Awam yang telah dipertanggungjawabkan bagi mengawal tempat-tempat penting seperti Pelabuhan,Pos dan Air.

Antara yang menjadi pengalaman manis buat beliau ialah apabila membantu perjuangan kemerdekaan Negeri Sabah selain mengambil bahagian aktif dalam gerakan dakwah Islam dan memberikan sumbangan yang besar dalam pembangunan masjid, surau dan sekolah-sekolah agama selain aktif dalam kegiatan NGO dan kemasyarakatan di negeri ini.

Bagi mengenang jasa-jasanya beliau menerima Pingat PPN (Pingat Pangkuan Negara) dari Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong pada tahun 1970, Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) pada tahun 1972, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu pada tahun 1975, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima pada 1977.

"Kami memang berbangga mempunyai ayah seperti beliau. Arwah ayah saya memperjuangkan agar kami boleh bersekolah di universiti di luar negara. Begitu juga dalam Politik, beliau banyak membimbing kami," kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid

"Sebagai seorang ayah yang prihatin dan menitikberatkan soal pendidikan anak-anaknya, beliau berjaya menghantar lima anaknya untuk belajar institusi pengajian tinggi di luar negara (tiga di England dan dua di Amerika Syarikat) dengan perbelanjaan sendiri.

Beliau seorang pejuang, yang telah memberikan pengorbanan dan perjuangan demi kemerdekaan sebuah negara, katanya lagi.

Kini tokoh dan pejuang itu telah kembali ke pangkuan rahmat Allah SWT. Semoga rohnya sentiasa dirahmati dan ditempatkan di sisi orang-orang yang saleh. Al-Fatihah.

 

Isnin, 16 September 2013

SENIMAN KB SERIKAN MALAM PUISI DI MAKASSAR

Tags
SENIMAN KB SERIKAN MALAM PUISI DI MAKASSAR
 
MALAM PUISI yang mempertemukan penyair, seniman dan wartawan Kota Belud Sabah dan Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia yang diadakan di Tingkat 4, Graha Pena pada 13 September lepas mungkin tercatat sebagai satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat mereka yang menghadirinya.
 
Penyair Udhin Palisuri sanggup terbang dari Bau-Bau Buton untuk menemui rombongan penyair dari Sabah itu. Dalam kesempatan itu, Udin menyampaikan sebuah puisi khas yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak.
 
Majlis yang dihoskan oleh Harian Fajar, sebuah kumpulan suratkhabar terbesar di luar pulau Jawa, turut dihadiri oleh pemimpin redaksi (Ketua Editor), Faisal Syam, Wakil Pemimpin Redaksi, Uslimin, Redaktur Pelaksana Meja Budaya Harian Fajar, Basri , Ketua Dewan Kesenian Makassar, Fahmi Syarief, Ketua Rombongan penulis dari Sabah Malaysia, Nandra Hitong, mahasiswa jurusan sastera Universiti Hasanuddin dan seniman dan wartawan sekitar Kota Makassar.
 
Program itu dihoskan oleh Muhklis, wartawan Harian Fajar dan tidak lepas daripada peranan yang dimainkan oleh Wartawan Senior Harian Fajar, H.M Nasri Aboe  yang banyak  membantu menjayakan program perjalanan budaya seniman, budayawan dan wartawan selama empat hari di bandaraya keempat terbesar di Indonesia selepas Jakarta, Surabaya,dan Medan.
 
Seniman Lee Saton memecahkan keheningan malam di Kota Makassar dengan alunan lagu isun-isun. Lee yang memakai pakaian tradisi Bajau itu berjaya memikat hadirin yang terdiri dari seniman, budayawan, wartawan pada malam itu. Persembahan mantap itu turut dijayakan oleh Mabulmaddin Haji Shaiddin dan Haji Abdul Majad Halim, yang kemudian membacakan puisi Salam Nusantara dengan terjemahan dalam bahasa Bajau.
 
Nandrayanatirow menyampaikan puisi kegemarannnya, Destinasi Anak Bangsaku dan Berjaya memancing perhatian hadirin. Amini Gawis pula menyampaikan puisi 'Selamat Tinggal Kenangan' karya Siba Nita As manakala Anafiah Haji Abdul Razak menyampaikan puisi Jika Pada Akhirnya karya Husni Jamaluddin sambil diiringi tiupan seruling oleh Mabulmaddin.
 
Persembahan dari Makassar pula mempersembahkan lagu puisi oleh mahasiswa pencinta sastera Universiti Hasanuddin yang disampaikan dengan begitu mengesankan. Ketua Dewan Kesenian Makassar, Bapak Fahmi Syarief menyampaikan puisi esei mengenai pencariannya terhadap `lompo'a'  atau tokoh yang diharapkan dengan diiringi dengan persembahan 'ossong' budaya Bugis Makassar. Selainitu, penyair muda Makassar turut mengadakan persembahan pada malam itu.
 
Malam itu juga merupakan malam terakhir rombongan penulis, penyair, seniman dan wartawan dari Sabah itu berada di Makassar. Antara penyair yang turut dalam rombongan itu ialah penyair Siba Nita AS (Siban Antau), Mabulmaddin Haji Shaiddin, Nandrayanatirow, penulis Amini Gawis, aktivis teater Lee Saton dan Anafiah Abdul Razak, budayawan Haji Abdul Majad Halim, aktivis seni Lalim Kandyong, pelukis Vovoyusnizamtirow.
 
Pemimpin Redaksi Harian Fajar, Faisal Syam berkata malam itu adalah malam yang sangat istimewa dalam mempertautkan dua bangsa serumpun.
 
Malam puisi yang mempertautkan seniman Kota Belud dan Makassar diharap dapat membuka jalan kepada hubungan yang lebih erat dalam bidang budaya dan sastera di antara kedua wilayah.
 
Ketua rombongan, Nandra Hitong berkata, kunjungan budaya ke Makassar itu amatlah bermakna dan bermanfaat.Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu (USBO) yang dipimpin oleh Datuk Seri Panglima Dr.Mohd.Salleh Tun Said kerana memberikan sokongan penuh terhadap misi budaya itu.
 
Selain Malam Puisi itu, rombongan juga telah mengadakan kunjungan hormat kepada Wali Kota Makassar, Ilham Arif Sirajuddin, berkunjung ke Suratkhabar Harian Fajar, menziarahi Makam Syeikh Yusuf, Makam Sultan Hasanuddin, Benteng Rotterdam, Pantai Losari dan Muzium La Galigo selain mengadakan pertemuan dengan Dewan Kesenian Makassar.
 

TERBACA PESAN YANG DITINGGALKAN KARAENG PATTINGALLOANG

Tags
TERBACA PESAN YANG DITINGGALKAN KARAENG PATTINGALLOANG

Ketika berkunjung ke Makassar, Sulawesi Selatan, beberapa hari yang lalu, saya menemui beberapa pesanan yang ditinggalkan oleh Karaeng Pattingalloang, seorang cendikiawan dan pejuang Kerajaan Gowa yang terkenal pada abad ke-16.

Seperti yang tercatat dalam buku Kasipalli,Tradisi Kepercayaan Nenek Moyang terbitan Pustaka Refleksi, Makassar yang diterbitkan buat pertama kalinya pada 2008, beliau menyatakan lima penyebab rosaknya sesebuah negeri atau Limai Pammanjenganna matena butta lompoa.

"Uru-urun, Punna tea nipakainga karaeng maggauka", katanya. Yang pertama, Kalau Pemimpin Tak Mau di peringatkan".

Jika pemimpin tidak mahu mendengar pandangan ataupun nasihat, jika pemimpin tidak mahu lagi diperingatkan sudah tentu ia akan menyebabkan kerosakan sesebuah negeri.

"Makaruanna, punna tena tumangngasseng ilalang pa'rasangan." Yang kedua ialah kalau dalam sesebuah negeri itu, tidak ada lagi kaum cendikiawan. Ataupun kaum cendikiawan tidak lagi memainkan peranan sebagai penyumbang pemikiran bangsa.

Sebagai cendikiawan, Karaeng Pattingalloang selalu berpesan kepada pemimpin agar masyarakat yang dipimpinnya tetap rukun damai dan kesejahteraan hidupnya sentiasa terjamin.

Peranan cendikiawan dalam memastikan keutuhan dan kekuatan sesebuah negeri banyak ditentukan oleh golongan cendikiawan. Tanpa kehadiran cendikiawan, maka sesebuah negeri boleh dikatakan mudah runtuh.

Satu lagi pesan beliau mengenai perkara yang boleh merosakkan sesebuah negeri ialah apabila , Makatallunna, punna manggalle sosok gallarrang mabbicaraya", yang bererti kalau hakim makan sogok.

Kedudukan Institusi kehakiman dalam menenutukan kekuatan sesebuah negeri amatlah penting, Jadi kalau hakim sendiri makan sogokan, maka rosaklah sesebuah negeri .

Karaeng Pattingalloang juga menyatakan bahawa sesebuah negeri akan roboh sekiranya ", maka appa'na, punna majaigau kodi ilalang malompoa (Kalau terlalu banyak kejadian besar dalam suatu negeri.

Sebab kelima rosaknya sesebuah negeri, kata cendikiawan yang hidup pada tahun 1639-1653, ialah " Maka limanna,punna tena kamaseang atanna karaeng maggauka" iaitu kalau pemimpin tidak lagi menyayangi rakyatnya.

Menurut sebuah buku Kasipalli, Tradisi Kepercayaan Nenek Moyang yang disusun Dr Ir H Hasan Hasyim,M.Si, Drs.Imanudin Djaya,M.Pd H Zainuddin Tia, SH, Drs.M Rdwan Syam,kalau pemimpin suatu negeri bersikap adil, jujur, bijaksana maka rakyatnya juga akan makmur. Tetapi apabila banyak berlaku pelanggaran, maka nescaya rosaklah sebuah negeri.

Ada lima sifat yang dimiliki oleh seorang pemimpin yang menyebabkan negerinya rosak iaitu a'ngowai (serakah), Barani gauki(melakukan perbuata tercela), Majekkongi (curang), Mabballe-ballei(suka berbohong) dan painung,pabotoro na pakarena baine (pemabuk, penjudi dan suka bermain perempuan.

Jika semua sifat ini dimiliki seorang pemimpin, maka negeri itu, menurut Karaeng Pattingalloang akan ditimpa bencana seperti gempa bumi (ronrong butta), banjir (abbai) gunung meletus (a'lappoki buluka) kebakaran (akkanrei pepeka) wabak penyakit (garring sorokau) angin topan (natabai laso anging) dan datang bahaya kelaparan (cipuru).

Karaeng Pattingalloang sudahpun meninggalkan kita kira-kira 360 tahun yang lalu, tetapi pesan pesan yang ditinggalkan oleh cendikiawan Kerajaan Gowa ini, mungkin wajar kita renungkan.