Sabtu, 26 Oktober 2013

AWANG SHAM, PERJUANG KEPENTINGAN MASYARAKAT MELAYU BANDAR

Tags

AWANG SHAM, PERJUANG KEPENTINGAN MASYARAKAT MELAYU BANDAR

BELIAU seorang pemimpin yang telah teruji. Melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, sukan dan politik, namanya tercatat sebagai salah seorang tokoh yang banyak memainkan peranan dan sumbangan dalam bidang yang diceburinya.

Kepimpinannya dalam sukan telah mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Sukan Negeri pada tahun 2012. Beliau kini memegang jawatan sebagai Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) merangkap Presiden Persatuan Sepaktakraw Sabah (ASTAKA). Selain itu, berdasarkan latar belakangnya sebagai seorang usahawan, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn.Bhd, sebuah anak syarikat Sedco.

Dalam bidang politik, beliau merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sandakan sejak tahun 1998.

DATUK HAJI AWANG SHAM HAJI AMIT dilahirkan di Sandakan , 62 tahun yang lalu. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Berhala Darat bermula tahun 1958 dari Darjah Satu hingga Darjah Enam. Selepas itu, pada tahun 1965, beliau mendapat pendidikan menengah di SM St Michael Sandakan hingga tingkatan lima. Beliau sempat melanjutkan pelajaran di ITM Mara walaupun tidak meneruskan pelajaran akibat kemiskinan. Beliau kemudian diterima bekerja di Lembaga Padi Sabah. Kemudian beliau diserapkan ke Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN). Pada tahun 1984, beliau kemudian ditukarkan ke Alor Star Kedah selama lima tahun. Selepas itu, beliau kembali ke Sabah pada tahun 1989 sebagai Timbalan Ketua Pegawai LPN dan Pengurus Pemasaran sehingga bersara pada 1998.

Selepas bersara, beliau bergiat aktif dalam bidang keusahawanan. Pada tahun 1998, beliau menang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sandakan dan kini beliau telah menyandang jawatan itu selama lima penggal.

Selain itu, beliau pernah memegang jawatan Pengerusi Perkasa Holding pada tahun 2000 sebelum diamanahkan sebagai Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd pada tahun 2004.

Dalam bidang sukan, Awang Sham kini menjawat jawatan Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Sabah (ASTAKA). Atas jasa baktinya dan perkhidmatannya kepada masyarakat, beliau telah menerima pelbagai pingat dan bintang kebesaran, antaranya Kesatria Mangku Negara (KMN) dan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK). Selan itu,beliau pernah dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Sukan Negeri pada 2012.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang untuk menemuramah beliau di pejabatnya di Tingkat 3, Wisma Sedco pada satu pagi yang cerah untuk berkongsi pengalamannya dalam bidang keusahawanan, sukan, politik dan sebagainya. Ikuti petikan temubual bersama beliau.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Datuk?

DATUK HJ AWANG SHAM HJ AMIT: Saya dilahirkan di Sandakan pada tahun 1951. Saya bersekolah di SRK Berhala Darat. Dulu namanya SRK Berhala Darat. Kini dipanggil SK Tanjung Papat. Saya bersekolah d sana dari darjah satu hingga darjah enam. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di SM St Michael Sandakan hingga tingkatan lima.

UB: Selepas itu?

AWANG SHAM: Selepas itu saya sempat melanjutkan pelajaran di ITM Mara tetapi tidak lama. Saya terpaksa berhenti kerana perkara yang tidak dapat dielakkan, iaitu kemiskinan yang tidak memungkinkan saya untuk melanjutkan pelajaran lagi.

UB: Setelah berhenti, apa yang datuk buat?

AWANG SHAM: Saya mendapat tawaran untuk bekerja di Lembaga Padi Sabah (LPS). Kemudian diserapkan ke Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN). Pada tahun 1984, saya dipindahkan ke Alor Star Kedah. Selama lima tahun. Saya bertugas di sebuah kompleks bersepadu, kilang padi, mengisar padi dan sebagainya. Pada masa itu, saya mengetuai seramai 120 orang pekerja. Saya orang pertama dari Sabah yang pindah ke LPN di Semenanjung. Banyak pengalaman yang diperolehi selama lima tahun berada di sana hingga tahun 1989. Saya balik berkhidmat semula di Kota Kinabalu.

UB: Apa jawatan terakhir di LPN sebelu bersara?

AWANG SHAM: Jawatan saya yang terakhir di LPN sebelum bersara pada 1998 ialah Timbalan Ketua Pegawai LPN atau Ketua Pemasaran LPN Negeri Sabah.

UB: Sejak bila pula aktif dalam Persatuan Sepak Takraw Sabah (ASTAKA)?

AWANG SHAM: Saya aktif dalam Astaka pada tahun 2004, apabila Datuk Mohd Lan Allani melantik saya sebagai timbalannya. Kemudian pada 2011, beliau memberikan laluan kepada saya untuk menjadi Presiden Astaka.

UB: Apa kekangan yang dihadapi dalam perkembangan sukan tanahair?

AWANG SHAM: Kita tersekat dengan keadaan kewangan yang terhad. Contohnya Sepak Takraw.Kita hanya menerima peruntukan sebanyak 30,000 setahun daripada kerajaan.

Astaka Sabah adalah ahli bersekutu PSM. Jadi ini sedikit sebanyak menimba ilmu daripada PSM.Kita juga dapat pendedahan dalam kejohanan di peringkat nasional.Hingga hari ini, ada pemain dari Sabah yang terpilih untuk menyertai skuad Malaysia.

UB: Apa jawatan Datuk di PSM?

AWANG SHAM: Pada mulanya saya dilantik sebagai Naib Presiden yang keempat. Jawatan ini adalah jawatan lantikan. Selepas itu, saya menang jawatan Naib Presiden yang kedua. Dalam perlembagaan PSM, Naib Presiden yang pertama, kedua dan ketiga adalah dipilih manakala naib yang keempat adalah jawatan lantikan.

UB: Mungkin banyak pengalaman sepanjang penglibatan dalam sukan takraw?

AWANG SHAM: Sepanjang sembilan tahun penglibatan dalam sukan sepak takraw, saya pernah membawa pasukan Malaysia untuk menyertai Sukan Asia di Guangzhou. Saya dilantik sebagai Pengurus Pasukan Kebangsaan. Prestasi kita boleh dikatakan baik, dan hanya kalah dengan pasukan gajah putih iaitu Thailand.

UB: Tapi sekarang, kita kalah dengan Korea? Apa komen?

AWANG SHAM: Kita tidak nafikan pasukan Thailand dan Korea bermain dengan bagus. Mereka memberikan tumpuan, masa dan wang ringgit, kepada pembangunan sukan. Komitmen pemain mereka juga perlu dipuji.Mereka benar-benar berusaha untuk mencipta kejayaan. Kita boleh kata 'keberlainan' dengan sikap pemain kita di Malaysia. Mungkin disebabkan kita rasa terlalu selesa. Oleh sebab itu, sikap di kalangan pemain perlu diubah. Tidak dinafikan banyak persatuan dibantu dengan peruntukan yang cukup tetapi, sekali lagi sikap pemain kita perlu berubah jika kita mahu mencatat kejayaan yang lebih cemerlang lagi.

UB: Bagaimana keadaan sepaktakraw di Sabah?

AWANG SHAM: Prestasi kita dalam sepak takraw di Sabah begitu meningkat. Boleh dikatakan kita sentiasa mengikuti kejohanan di peringkat nasional yang diadakan di negeri negeri di semenanjung.

UB: Pernah terlibat dalam sukan lain?

AWANG SHAM: Saya banyak terlibat dalam sukan lain, tetapi bukan sebagai pengurus. Selain sepak takraw, saya pernah terlibat dalam sukan hoki, dan pernah mewakili Sandakan. Saya juga banyak terlibat dalam NGO, sebagai satu cara untuk menyumbang kepada pembangunan sosial di negeri ini.

UB: Selepas bersara, apa aktiviti Datuk?

AWANG SHAM: Saya menumpukan perhatian sepenuh masa dalam bidang keusahawanan. Saya terus berusaha dan berusaha untuk membangun dan maju.

UB: Mungkin datuk mahu beri komen sedikit mengenai usahawan di negeri ini?

AWANG SHAM: Kita jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan golongan usahawan di negeri lain. Pertamanya, mungkin kerana disebabkan keadaan geoagrafi.Kita jauh dari semenanjung, jadi banyak perkara lambat sampai ke Sabah.

Sebab kedua, mungkin disebabkan senario politik sebelum ini. Parti politik tempatan, dari zaman Usno hingga Berjaya hingga PBS, menyediakan kemudahan bantuan yang tidak mencukupi untuk menjana usahawan di Sabah. Namun sejak 1994, senario berubah, dimana usahawan kita mempunyai lebih banyak jaringan.Komunikasi bertambah dekat. Pada masa yang sama, sudah ada pemimpin kita dari Sabah yang duduk dalam kabinet pusat, dan ini memberikan impak yang besar. Pembangunan lebih banyak dan Orang bumiputera nampak bersatu di bawah payung UMNO dan BN. Kerajaan banyak beri peruntukan yang besar kepada Sabah.

UB: Sebagai Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd, sebuah anak syarikat SEDCO, barangkali datuk boleh jelaskan sedikit mengenai fungsi dan peranan Sedcovest dalam membantu usahawan di negeri ini?

AWANG SHAM: Sedcovest adalah sebuah syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO).Ia ditubuhkan pada tahun 1995, dan berperanan untuk menyelaras, merangka dasar dan polisi serta melaksanakan program-program sosio-ekonomi (MPPB) yang berkaitan dengan pembangunan usahawan bumiputera di Sabah.

Objektif syariakt ialah meningkatkan penyertaan bumiputera di dalam aktiviti-aktiviti kumpulan Sedco, menyediakan kemudahan premis perniagaan dan industri kepada masyarakat bumiputera, mewujudkan peluang perniagaan dan meningkatkan penyertaan bumiputera di bidang perniagan dan perindustrian dan meningkatkan ilmu keusahawanan di kalangan masyarakat bumiputera. Misi kita ialah mewujud, membangun, mengemabng dan mengukuhkan penglibatan bumiputera dalam pembangunan ekonomi negeri.

UB: Bagaimana mula tertarik dengan UMNO?

AWANG SHAM: Apabila UMNO dikembangkan ke Sabah pada tahun 1991, saya terus memohon jadi ahli. Sebagai golongan bumiputera Melayu, kita mesti rapatkan diri denga UMNO kerana hanya UMNO yang memperjuangkan masa depan dan membela hak orang Melayu. Keadaan kita amat terpinggir jika dibandingkan dengan suku lain.

Ketika bertugas di Semenanjung, saya bukan saja dapat menimba pengalaman di sana tetapi saya dapat melihat keadaan masyarakat di sana, di Kedah, yang diperintah oleh UMNO pada masa itu. Itu juga yang mendorong dan meyakinkan saya bahawa UMNO adalah yang terbaik dalam membela rakyat dan memberikan jaminan masa depan yang lebih baik. Sebab itu, apabila UMNO Masuk ke Sabah, saya tidak teragak-agak lagi untuk menyertainya.

UB: Oh begitu...

AWANG SHAM: Pada tahun 1998, saya mengambil keputusan untuk bersara pilihan dan melibatkan diri sepenuhnya dalam politik.

Saya menjadi ahli UMNO di Sandakan.Kemudian atas permintaan kawan-kawan, saya menawarkan diri jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sandakan. Saya menjadi Timbalan Ketua Bahagian sejak tahun 1998 hingga sekarang. Sudah 15 tahun, iaitu lima penggal saya menjadi Timbalan Ketua Bahagian.

UB: Apa langkah seterusnya? Ada spekulasi yang menyatakan Datuk sedia menawarkan diri untuk jawatan yang lebih tinggi lagi? Apa komen?

AWANG SHAM: Saya fikir sudah sampai masanya untuk saya menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Bahagian UMNO P186 Sandakan. Saya menyahut seruan pucuk pimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, termasuk juga seruan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohammad bahawa UMNO memerlukan transformasi untuk memperkasakan parti dalam membela kepentingan dan masa depan orang Melayu.

Usia saya sudah 62 tahun. Jadi sudah sampai masanya, saya diberi peluang untuk menerajui bahagian. Antara matlamat saya bertanding ialah mahu merapatkan lagi jurang kemiskinan di kalangan orang Melayu yang tinggal di kawasan bandar. Ramai di kalangan orang Melayu yang tinggal di dalam bandar, hanya mampu menyaksikan pembangunan di hadapan mata mereka sementara mereka masih terpinggir dari arus pembangunan itu.

Misi saya ialah supaya ekonomi orang Melayu di dalam kawasan bandar meningkat. Sekarang kira-kira 70 peratus di kalangan mereka masih menyara hidup sebagai petani dan nelayan. Keadaan ini perlu diubah.Mereka perlu diberi perhatiaan.Kerajaan kita pada hari ini memberikan banyak peluang kepada semua lapisan masyarakat.Terpulang kepada kita sebagai rakyat, orang melayu bumiputera untuk merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan.

Sebagai seorang yang berpengalaman sebagai usahawan dan diberikan pula kepercayaan oleh kerajaan untuk membangun usahawan bumiputera, saya yakin boleh menyumbang untuk membangunkan ekonomi di kalangan masyarakat Melayu bandar. Kita mestilah berbat sesuatu untuk kepentingan masyarakat Melayu di bandat, supaya kita jangan dikatakan `menang sorak kampung tergadai'.

Sebagai menyahut seruan pemimpin untuk memperkasakan Melayu dan golongan bumiputera seperti yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak, saya rasa sesuailah bagi saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Bahagian.

Kita juga harus ubah pemikiran orang Melayu dan bumiputera supaya jangan terlalu menumpukan masa berpolitik sehingga mereka abai dan lalai dalam merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan. Apapun segalanya terletak kepada usaha kita. Sejak berkecimpung dalam parti iaitu sejak UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah, tidak salah bagi saya menawar diri untuk bertanding. Semoga ia dapat mengubah sikap dan penghayatan orang UMNO di kawasan saya terhadap perjuangan supaya jurang kemiskinan dapat dirapatkan lagi.

Saya rasa tidak salah bagi saya menawarkan diri untuk bertanding.

UB: Saya nampak datuk selalu mengatakan bahawa salah satu tujuan adalah untuk mengurangkan jurang kemiskinan. Datuk kelihatan prihatin terhadap kemiskinan...

AWANG SHAM: Kehidupan saya daif ketika kecil. Saya pernah menjual kuih. Bangun jam 5.30 pagi, jual kuih di kampung Sim-Sim hingga habis kira-kira jam 8.30 pagi. Bapa saya, yang bekerja sebagai Serang Kapal juga membawa kuih untuk dijual kepada rakan-rakannya. Inilah yang menyedarkan saya untuk lebih memperjuangkan masyarakat yang masih miskin dan kurang berada. Kita harus memperjuangkan mereka. Kemiskinan adalah salah satu sebab saya tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Kita perlu melakukan transformasi supaya UMNO terus relevan pada masa depan. Kalau ditakdirkan saya mengetuai bahagian, saya akan memastikan untuk membawa lebih banyak golongan muda, orang yang mempunyai pendidikan, orang-orang yang mempunyai pengalaman untuk bergiat dan memperkuatkan parti.

1 comments so far

bagaimana saya mahu contact Datuk Haji Awang Sham ?? saya mahu buat satu kajian berkaitan dengan tokoh-tokoh yang ada dalam negeri Sabah.