Isnin, 28 Oktober 2013

Catatan mengenai RASKAN ASING, SALAH SEORANG PENGGERAK SASTERA AGABA

Tags

 

Catatan mengenai RASKAN ASING, SALAH SEORANG PENGGERAK SASTERA AGABA

Bilakah gerakan sastera di Sabah bermula? Ramai yang mengatakan gerakan sastera di Sabah bermula apabila Angkatan Gaya Baru (AGABA) ditubuhkan pada tahun 1957, iaitu kira-kira 56 tahun yang lalu.

AGABA lahir enam tahun sebelum pembentukan sebuah negara baru bernama Malaysia pada 16 September 1963. Antara tokoh-tokohnya ialah Donald A Stephens ( Tun Fuad Stephens) sebagai Presiden, K.Bali sebagai Setiausaha, manakala ahli jawatankuasanya terdiri daripada Datuk Haji Zakaria Gunn, isteri kepada Datuk Suhaimi Amin, Ahmad Mahmood, Cikgu Shafie Anterak, Ahmad Nunsi Haji Mahali, Sani (ayah kepada pemain bolasepak terkenal, Hassan Sani) dan Cikgu Raskan Asing. K.Bali menjadikan rumah peribadnya Teratai Desa di Kampung Tanjung Aru sebagai Markas AGABA. Selain Sandiwara,penulisan dan penerbitan majalah, AGABA juga bergiat dalam kegiatan kebudayaan, kelas pendidikan dan kelas masak-memasak.

Ketika itu memang ada perasaan ingin merdeka, kata Cikgu Raskan Asing, mungkin satu-satunya ahli jawatankuasa AGABA yang masih hidup.

"Yang lain sudah kembali ke rahmatullah," katanya kepada wartawan sastera Utusan Borneo dalam satu pertemuan singkat di salah sebuah restoran di Jalan Pantai, Kota Kinabalu.

"Pada masa itu, saya menjadi guru di Buit Hill, Putatan," katanya. Bersama rakan-rakannya beliau aktif dalam persatuan itu. Ketika menjadi guru, beliau pernah mengikuti kursus latihan jasmani selama enam bulan di New Zealand. Selepas itu, beliau mengajar latihan jasmani di sekolah Kota Kinabalu, Kota Belud dan Kudat. Raskan juga adalah pengetua pertama SMRK Taun Gusi ketika sekolah menengah itu dibuka pada 1970-1971.

Pada 1973, beliau dilantik sebagai Penyelia Latihan Jasmani dan Setiausaha Majlis Sukan Sekolah Sekolah Sabah (MSSS). Kemudian pada tahun 1977, selepas 21 tahun menjadi guru, beliau dilantik sebagai Penolong Pegawai Pembangunan Luar Bandar di Penampang. Namun pada tahun 1978, beliau meletakkan jawatan untuk berkecimpung dalam politik.

Pada tahun 1981, Raskan dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik sehingga tahun 1985. Pada tahun 1991, beliau merupakan salah seorang penaja UMNO di Sabah.Apabila BN menangpada 1994, beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan. Kemudian pada tahun 1999, beliau dilantik pula sebagai Pengerusi Perkasa Hotel Holdings, sebuah anak syarikat SEDCO.Kini beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pinjaman sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hartanah.

Jasa beliau dalam pergerakan sastera di negeri ini tidak boleh dilupakan begitu saja.Beliau satu-satunya saksi sejarah yang masih hidup untuk menceritakan sejarah perkembangan awal gerakan sastera di negeri ini. Selepas AGABA, pada tahun 1960, lahirlah Angkatan Persruratan Melayu Sabah (APMS) dituruti denga kelahiran PERPESA, Badan Bahasa Sabah (BAHASA), Gabungan Penulis Sedar (GAPURA) dan persatuan-persatuan lain, termasuklah Ikatan Penulis Sabah (IPS) yang lahir pada tahun 1990.

Perjalanan seribu langkah sastera kita bermula dengan kelahiran AGABA, dan Raskan Asing menjadi salah seorang saksi sejarah yang masih boleh menceritakan mengenai suasana zaman pada masa itu. Saya fikir kisahnya perlu dirakamkan dan didokumentasikan.

1 comments so far

Salaam. Tuan saya berminat mengenai AGABA. Berhasrat untuk membuat penulisan kajian mengenai pertubuhan ini.