Sabtu, 26 Oktober 2013

DATUK HAJAH AMINAH AMBROSE, PRIHATIN ISU MASYARAKAT

Tags

DATUK HAJAH AMINAH AMBROSE, PRIHATIN ISU MASYARAKAT

MUNGKIN tidak ramai orang sepertinya. Walaupun sibuk dalam kedudukannya sebagai ahli politik wanita tetapi masih sempat memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat melalui Ngo-Ngo yang dipimpinnya. Beliau banyak terlibat dalam The Cancer Society of Sabah, Lions Club, MPMS, dan sebagainya. Pada masa yang sama, beliau juga megikuti kuliah sehingga mampu memperolehi ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Bachelor of Management) Kelas Pertama dari sebuah universiti terkemuka.

Datuk Hajah Aminah Ambrose @ Mary E Ambrose Dumpangol dilahirkan di kampung Dambak Penampang pada 15 Julai 1958. Beliau mendapat pendidikan awal di St Francis Convent Primary School, kemudian melanjutkan di St Francis Convent Secondary School dari tingkatan satu hingga lima.

Beliau kemudian meneruskan pelajaran di peringkat A-Level di Stamford College, Singapura. Selepas itu, Aminah melanjutkan pengajian di peringkat diploma dalam Sains Kesetiausahaan di Stamford College, Petaling Jaya.

Setelah memperolehi diploma, Aminah memulakan kerjaya sebagai Eksekutif Pentadbiran di Perkapalan Lautan Biru Sdn.Bhd, sebuah syarikat perkapalan bertaraf antarabangsa.

Bagaimanapun, pada tahun 1983, beliau melepaskan jawatannya di syarikat itu untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit kepada Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun, Bapa Kemerdekaan Sabah sehingga tahun 1993. Pada tahun 2002, beliau menjadi Pengarah Urusan Amir Kahar Holding Sdn.Bhd. Selain itu, beliau juga dipilih sebagai 'World Team Leader of Herbalife International'.

Kerjaya politiknya bermula apabila dilantik sebagai Bendahari Wanita USNO Pusat. Ketika UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah, Aminah pernah menjadi Exco Wanita UMNO Malaysia 1991-1993, Memangku Ketua Bahagian Marudu (penaja), Timbalan Ketua Bahagian UMNO Marudu dan Ketua Perhubungan Wanita UMNO Negeri (Penaja).

Seiring dengan senario politik pada masa itu, Aminah sempat juga menjadi Timbalan Ketua Wanita PBS Pusat dari tahun 1994 hingga 1996. Sejak tahun 2000, beliau terpilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Kudat. Beliau juga dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Parlimen Kudat .

Antara jawatan lain yang pernah disandangnya ialah Pengerusi Sekretariat Perpaduan dan Perhubungan Wanita Negeri Sabah, Pengerusi Biro Sukan (Wanita Negeri Sabah), Pengerusi Biro Kebajikan Bahagian Kudat, Pengerusi Penganjur, Program Juara Rakyat sempena Bulan Kebajikan Februari 2010, dan Pengerusi Penganjur Program Juara Rakyat Bulan Wanita dan Keluarga pada Mei 2010, Mei 2011 dan Mei 2012.

Pada 2005, beliau menerima 'The Outstanding Welfare Volunteer Award' dan The Gold Medal Award sempena Ulangtahun ke-50 Pertubuhan Kebajikan Negeri Sabah. Beliaujuga pernah menerima the Outstanding Humanitarian Service Award dari Rotary Club Luyang pada tahun 2003 dan Rotary Club Kota Kinabalu pada Mei 2011.

Di celah-celah kesibukannya sebagai seorang pemimpin wanita dan tokoh masyarakat, beliau sempat melanjutkan pelajaran di Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR). Jerih payahnya berbaloi apabila mencatat kejayaan cemerlang dengan mendapat ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan kelas pertama (Bachelor of Management). Kejayaannya lebih manis lagi kerana tersenarai sebanyak enam kali dalam `dean list' sebagai seorang pelajar terbaik setiap semestar.

Khidmat baktinya kepada masyarakat amat dihargai. Pada tahun 1993, beliau menerima bintang kebesaran Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) dari Kerajaan Negeri sempena Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah..Kerajaan Malaysia juga menganugerahkan Mejar Kehormat Askar Wataniah (JAKPAW) pada 1997, Jaksa Pendamai dari Kerajaan Melaka tahun 2011 dan kemudian pada tahun 2012, Kerajaan Negeri menganugerahkan bintang Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk kepada beliau. Datuk Hajah Aminah mendirikan rumahtangga dengan Datuk (Datu) Amir Kahar Tun Datu Haji Mustapha dan dikurniakan lima cahaya mata, empat lelaki dan seorang perempuan.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN dan MOHD NURAZWAN AUGUSTINE sempat menemubual beliau di Golf Sutera pada satu pagi yang cerah untuk berkongsi pengalamannya sebagai pemimpin wanita, ahli politik dan tokoh masyarakat yang disegani di negeri ini. Ikuti wawancara bersama beliau yang dijalankan secara santai di ibu negeri minggu lalu.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit bagaimana timbul minat datuk dalam politik?

DATUK AMINAH: Saya berminat dalam politik, barangkali disebabkan oleh ibu saya. Ibu saya aktif sebagai ahli jawatankuasa kaum ibu USNO. Sejak tingkatan empat lagi saya sudah belajar memandu. Biasanya saya yang menghantar ibu saya ke program-program politik. Antaranya ke rumah Datuk Abdul Malik Jangkat. Isterinya adalah rakan ibu saya dalam Jawatankuasa Kaum Ibu USNO. Keluarga saya adalah penyokong kuat USNO. Dalam keluarga kami,ada empat lelaki.Saya satu-satunya anak perempuan, dan yang bungsu.

UB: Bagaimana Datuk berkenalan dengan suami, kalau boleh tahu?

DATUK AMINAH: Suami saya (Datuk Amir Kahar) berkawan dengan abang saya, Datuk John Ambrose. Tapi sebenarnya ibu saya memang rapat dengan keluarga suami saya kerana mereka sama-sama dalam perjuangan USNO ketika itu. Di situlah mulanya saya berkenalan dengan suami, iaitu kerana beliau dan abang saya kawan baik.

UB: Di mana Datuk dilahirkan?

DATUK AMINAH: Saya dilahirkan di Kampung Dambak, Penampang. Saya membesar berdekatan dengan SM St Michael Penampang. Jadi hampir semua pelajar yang mahu ke sekolah , melintas di depan rumah saya. Hampir semuanya saya kenal.

UB: Sedikit latar belakang keluarga?

DATUK AMINAH: Di sebelah ibu saya, sebenarnya kacukan. Nenek saya orang Brunei. Kahwin dengan orang Scottish iaitu datuk saya. Di sebelah bapa saya, ada darah cina dan kadazan. Ibu saya bernama Margaret Thompson, orang memanggilnya Maggie. Bapa saya Ambrose Dumpangol. Beliau seorang anggota gerila dalam Perang Dunia Ke II. Beliau membantu tentera sekutu, Tentera Australia dan menyertai Pentadbiran Tentera British (British Military Administration dankemudian meninggalkan BMA dalam tahun 1947 untuk menyertai Sarawak Shell dan kemudian balik ke Sabah dan memasuki JKR. Ketika dalam perjuangan gerila dan BMA,Ayah saya bertugas sebagai interpreter atau penterjemah kerana belaiu pandai bertutur dalam bahasa Inggeris.

UB: Datuk bersekolah di mana dulu?

DATUK AMINAH: Saya mendapat pendidikan awal di St Francis Convent Primary School sejak peringkat tadika hingga darjah enam. Kemudian saya melanjutkan di St Francis Convent Secondary School dari tingkatan satu hingga lima. Selepas itu, saya ke Stamford College Singapura untuk A Level. Selepas A Level, saya pindah ke Stamford College Petaling Jaya untuk belajar di peringkat diploma. Sebenarnya pada waktu itu, saya diterima memasuki UKM, waktu di Limauan dalam bidang sains. Tetapi saya memilih untuk belajar sains kesetiausahaan di Stamford College Petaling Jaya.

UB: Kenapa pilih Singapura?

DATUK AMINAH: Ketika itu abang saya belajar di Singapura.

UB: Selepas tamat belajar diploma di Petaling Jaya, Datuk tidak melanjutkan pelajaran lagi?

DATUK AMINAH: Syukur alamdulillah, saya berjaya melanjutkan pelajaran di UNITAR. Belajar sepenuh masa tiga tahun.Bersengkang mata, untuk menyiapkan tugasan.Akhirnya saya berjaya mendapat ijazah sarjana muda. Saya agak terkejut juga kerana diumumkan sebagai penerima ijazah kelas pertama. Saya bersyukur kerana usaha saya untuk belajar bersungguh-sungguh tidak sia-sia.

UB: Oh ya. Selepas balik dari Petaling Jaya, Datuk kerja dimana?

DATUK AMINAH: Saya kerja balik di Syarikat Perkapalan. Kemudian saya ikut Miss Sabah. Terjumpa lagi dengan suami. Tahun 78 kami kahwin.Usia saya ketika itu baru 20 tahun. Kami dikurnia lima anak, empat lelaki dan seorang perempuan. Sama dengan saya. Lepas itu, saya kerja sama Tun.

UB: Bagaimana mulanya kerja sama Tun?

DATUK AMINAH: Saya mula kerja bersama Tun, apabila semua keistimewaannya ditarik balik. Setiausaha, pemandu, pengawal peribadi semua keistimewaan itu ditarik balik. Itu terjadi kira-kira tahun 1981. Bila semua kena tarik balik,Majlis Tertinggi USNO mencari seorang seorang setiausaha yang terlatih untuk membantu Tun.

Saya dipanggil oleh suami untuk membantu. Tun minta saya buat draf surat penting. Tapi sebelum itu, saya diminta mengangkat sumpah kerahsiaan. Kalau tak silap surat itu ditujukan kepada Perdana Menteri. Selepas itu, keesokan harinya saya dipanggil lagi. Lepas itu beliau suruh saya letak jawatan. Kemudian saya kerja di Bangunan USIA, Tingkat 3. Saya menjadi setiausaha sulitnya bukan saja sebagai Presiden USNO tetapi juga sebagai Yang Di Pertua USIA.

UB: Datuk pernah juga jadi bendahari USNO?
DATUK AMINAH: Saya menjadi bendahari wanita USNO Pusat ketika ia diketuai Datin Azizah. Kemudian saya dilantik Setiausaha Wanita ketika Datuk Hajah Dayang Mahani jadi ketua.

Sebenarnya saya terpilih sebagai Ketua Perhubungan Wanita UMNO yang pertama diperingkat penaja,Saya juga pernah memangku jawatan Ketua Bahagian UMNO Marudu.. Selain itu, saya pernah menjadi Exco Wanita UMNO Malaysia pada 1991-1993 iaitu sejak Wanita UMNO masih diketuai Datuk Seri Rafidah dan timbalannya Datuk Napsiah Omar.

Seiring dengan senario semasa pada waktu itu, kami tidak dapat menyertai UMNO akibat undang-undang anti lompat. Kemudian sejarah mencatat jalannya sendiri.

Saya sempat menjadi Timbalan Ketua Wanita PBS Pusat dari tahun 1994 hingga 1996 bagi kouta bumiputera Islam.

UB: Selepas itu?

DATUK AMINAH: Selepas itu, saya menyertai UMNO dan sejak tahun 2000, saya terpilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Kudat dalam pertandingan dua penjuru. Waktu itu ramai orang baru yang tak begitu mengenali saya. Syukur Alhamdulillah, saya menang juga dan menjadi Ketua Wanita sampai sekarang. Kini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Parlimen Kudat .

UB: Apa kegiatan Datuk selepas melepaskan jawatan Timbalan Ketua Wanita PBS pada tahun 1996 dan hanya empat tahun kemudian, menjadi Ketua Wanita UMNO Kudat?

DATUK AMINAH: Dalam tempoh tidak berparti itu, saya aktif dalam persatuan "The Cancer Society of Sabah". Saya terlibat dalam banyak NGO. Saya menjadi ahli seumur hidup, AJK dan Naib Presiden Majlis Kanser Sabah 1996 hingga 2003.Dari tahun 2003 hingga 2005, saya menjadi Presiden dan selepas itu, saya sekali lagi terpilih sebagai Presiden pada 2011 hinggalah sekarang.

UB: Bagaimana mula terlibat dalam persatuan kanser?

DATUK: Saya mula terlibat dalam Cancer Society apabila ibu saya didiagnosa mendapat kanser atau barah peringkat 3. Kami tidak tahu sebelum itu. Dari situlah timbul kesedaran saya. Dari situ saya terfikir untuk berkhidmat kepada ramai pesakit di luar sana.Saya ingin berbakti. Kanser menjadi pembunuh senyap. Saya banyak menganjurkan majlis untuk mengutip dana bagi membantu pesakit kanser. Kadang-kadang saya menjadi emosi. Saya tidak tahan berhadapan dengan pesakit kanser.Saya mudah menangis. Sebagai pemimpin kita tidak boleh menunjukkan kesedihan kita kepada pesakit. Kita mesti kuat dan tabah. Sebab itu saya memilih untuk menjadi pengerusi bagi tabung mengutip dana.

Selain itu, kami buat banyakmajlis penerangan untuk membangkitkan kesedaran di kalangan orang ramai termasuk di kalangan wanita luar bandar.

Tapi kadang-kadang , bukan setakat wanita di luar bandar, di kalangan wanita yang berpendidikan juga malu melakukan pemeriksaan seperti pemeriksaan pap-smear. Mereka malu. Ini menyebabkan risiko tinggi kerana mereka tidak membuat pemeriksaan. Kita membuat penerangan di kampung-kampung di Penampang , dengan diketuai Dr Helen Lasimbang.Kita mahu membangkitkan kesedaran di kalangan masyarakat. Kita menasihati mereka supaya mengelakkan diri daripada memakan makanan yang menjadi penyumbang kepada kanser seperti isi perut ikan masin, jeruk jeruk dan sebagainya.

UB: Ngo lain?

DATUK AMINAH: Saya telah menjadi presiden sebanyak dua kali kerana ahli-ahli memberi kepercayaan kepada saya. Sewaktu di Bakisa juga, saya aktif dalam mengutip dana untuk membantu badan-badan amal dan kebajikan.

Saya pernah menjadi pengerusi penganjur 'Gala Dinner and Golf Tournament' dalam tahun 2004 yang berjaya mengutip sebanyak RM500,000. Saya berkhidmat sebagai AJK Pengurusan dari tahun 1988-2003 dan Ahli Exco Bakisa dari tahun 2001 hingga 2005. Selain itu saya pernah menjadi Pengerusi Kebajikan dan Bencana Alam,Majlis Kebajikan Pelajar Luar bandar dan Biro Ekonomi dan Kebudayaan.

Saya juga aktif Persatuan Alumni St Francis Convent, Pure Love & True Family dan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah. (MPMS).

Sepanjang penglibatan saya, saya menerima dua anugerah iaitu "The Oustanding Welfare Volunteer Award 2005, (Tokoh Kebajikan Negeri), dan Anugerah Pingat Emas Perayaan Ulangtahun MPMS ke-50.

Selain itu, saya juga menjadi Pengerusi Penganjur Minggu Kebajikan 2002, Karnival Kebaikan 2003 dan PCK (Phua Chu Kang) Fund Raising 2003. Ahli Exco 2001 hingga 2005 dan mengutip sebanyak setengah juta ringgit dana untk dibahagikan kepada semua ahli Lembaga Kebajikan Sabah.

UB: Apa kegiatan Datuk di Lions Club Penampang Hongkod?

DATUK AMINAH: Kami banyak terlibat dalam usaha memberikan khidmat percuma kepada orang ramai khususnya mereka yang kurang berkemampuan. Kitabangu wanita diluar bandar, yang buta huruf dan sebagainya.Saya menjadi pengarah sejak 2008 dan terlibat dalam persatuan itu dalam pelbagai kapasiti. Ketika berkhidmat sebagai Presiden Kelab saya dianugerahi Melvin Jones Fellows dari Lions Club International, Amerika Syarikat dalam tahun 1989.

UB: Apa pandangan datuk mengenai wanita di luar bandar?

DATUK AMINAH: Masih banyak yang perlu kita bantu. Mereka masih memerlukan banyak pendedahan, berikan mereka kemahiran, dan sebagainya. Lebih banyak kursus untuk meningkatkan sara hidup seperti kursus jahitan, menjahit langsir, tudung dan sebagainya. Kursus memasak, membuat industri kecil dan sederhana, dan banyak lagi. Selain itu, mereka juga perlu diberikan pendedahan mengenai hak mereka sebagai wanita, dan sebagainya.

UB: Bagaimana pula wanita masa kini terutama mereka yang berpendidikan?

DATUK AMINAH: Untuk menjayakan agenda kerajaan, golongan wanita juga diharapkan mendapat kedudukan strategik dan penting dalam syarikat-syarikat GLC dengan pengetahuan kelas dunia, kemahiran dan minda yang diperlukan untuk memainkan peranan dan tanggungjawab dalam perancangan strategik, pengurusan pencapaian korporat, pembinaan modal insan dan kepimpinan masa depan,pengurusan risiko, inovasi dan kreativiti.

UB: Oh ya!, sebagai seorang yang dekat kepada Tun Mustapha, apa kenangan manis bersama beliau?

DATUK AMINAH: Walaupun ada orang melihatnya tegas, Beliau sebenarnya seorang yang lembut dan penyayang Sewaktu saya bersalin, dia berikan hadiah satu set diamond dan ruby. Beliau seorang yang sangat sayangkan cucu-cucunya. Kalau dia ke luar negara, dia belikan mainan.Kalau ada orang minta bantu, dia akan berusaha bantu, walaupun dia sendiri tiada. Untuk perjuangan, dia sanggup gadai harta, gadai itu, gadai ini. Saya masih ingat, dia menyelesaikan pinjaman perumahan, pinjaman sekolah untuk membolehkan pemimpin jadi calon. Tapi sekarang tiada yang ingat jasa beliau. Kalau kita buat kenduri arwah, ada yang datang, ada yang tidak datang.

UB: Sebelum ini, Datuk ada mengatakan bahawa ibu datuk banyak berpengaruh dalam kehidupan datuk. Apa pesan ibu yang datuk masih ingat?

DATUK AMINAH: Antara pesannya ialah kalau buat kerja,buat yang terbaik.Kalau ada kemampuan, bantu yang mana dapat, bantu golongan yang tidak berkemampuan. Kalau kita sudah mencapai satu tahap yang tinggi, jangan lupa akar kita. Dunia ini sementara. Kita harus setiakawan.Jangan ada tikam belakang. Itu adalah antara nasihat dan pesannya kepada saya. Selain itu, dia mempunyai ramai anak angkat. Itulah antara kelebihan ibu saya.

UB: Apa jenis sukan yang datuk minati?

DATUK AMINAH: Saya suka main golf. Selain itu saya pernah mewakili Sabah dalam Squash pada 1980. Waktu itu pengurus Sabah, Datuk William Shim. Ketika berlatih untuk Sukan Borneo, saya pengsan.Heboh seketika. Rupanya waktu itu saya mengandung anak pertama.

Kalau dalam golf, saya mempunyai 12 handicap, pernah menjadi lady captain Sutera Harbour Golf and Country Club selama lapan tahun dan Sabah Golf and Country Club selama dua tahun.

UB: Saya tertarik dengan pengalaman Datuk sambung belajar di UNITAR. Boleh ceritakan sedikit pengalaman Datuk belajar?

DATUK AMINAH: Sebenarnya dulu saya tidak berpeluang sambung belajar. Ramai kawan sambung belajar di luar negara. Saya terus bekerja. Kemudian ada peluang untuk belajar di UNITAR. Saya menduduki kuliah sepenuh masa. Kuliah seperti mahasiswa lain. Buat kertas kerja. Saya rasa seronok. Saya belajar secara teratur. Bangun jam lima pagi untuk buat tesis. Buka laptop. Cari bahan. Setiap hari pergi sekolah. Selama tiga tahun. Saya bersyukur kerana enam kali tersenarai dalam senarai dekan dengan pointer purata 3.7. Alhamdulillah, saya berjaya mendapat ijazah sarjana muda Pengurusan (Bachelor of Management) kelas pertama. Major saya ialah Leadership dan Total Quality Management. Saya habis belajar tahun 2009.

Bagi saya usia bukan halangan.Wang juga bukan penghalang untuk seseorang berjaya. Asalkan ada kemahuan dan usaha,kita boleh berjaya.Kita kena banyak bersyukur.

UB: Terima kasih banyak Datuk

DATUK AMINAH: Terima kasih banyak.