Isnin, 28 Oktober 2013

KUNJUNGAN MUHIBBAH IPS KE BRUNEI CAPAI MATLAMAT

Tags

KUNJUNGAN MUHIBBAH IPS KE BRUNEI CAPAI MATLAMAT

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

PROGRAM Kunjungan Muhibbah Ikatan Penulis Sabah (IPS) ke Negara Brunei Darussalam pada 26 hingga 29 September yang lepas telah berlangsung dengan jayanya dan berjaya merapatkan lagi hubungan antara Sabah dan Negara Brunei Darussalam dalam bidang kesusasteraan.

Kunjungan Muhibbah IPS ke Negara Brunei Darussalam sudah lama diilhamkan, kata Elni Maryani Mahmud atau nama penanya Ain Sofiya.

Antara objektif kunjungan in ialah mengeratkan lagi hubungan setiakawan dan da hala di antara Ikatan Penulis Sabah (IPS) dengan Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) Brunei Darussalam.

Selain itu, ia juga diadakan bagi meneroka kerjasama jangka pendek dan panjang dalam bidang kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan serumpun.

Ia juga memartabatkan sastera dan sasterawan lokal ke persada dunia, katanya.

Menurutnya, program itu diaturkan dengan kerjasama penuh daripada Asterawani menerusi setiausahanya, Haji Mohd Firdaus OKK Haji Nordin.

Sepanjang berada di negara itu, rombongan seramai 12 penulis, sasterawan dan budayawan itu diketuai Ketua Satu IPS, Sukor Haji Usin dan disertai ahli kehormat IPS, Laliman Haji Ahmad dan ahli-ahli IPS yang lain telah diberikan sambutan yang meriah dan layanan mesra daripada Ahli-ahli Asterawani.

Antara tokoh yang hadir dalam program-program yang diaturkan oleh Ketua Dua Asterawani, Haji Jawawi Haji Ahmad, Haji Muslim Burmat, dan lain-lain lagi.

IPS juga telah menghadiri pelbagai program yang telah diaturkan sepanjang kunjungan empat hari itu.

Kunjungan muhibbah kali ini amat bermakna dan sat pengalaman yang amat berharga kerana ahli-ahli IPS juga dapat merasai perayaan Hari Keputeraan ke-67 Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Sebaik tiba di Negara Brunei Darussalam, rombongan telah diraikan dalam satu majlis Makan Malam bersama Majlis Perundingan Mukim Sengkurong. Pada keesokan paginya, selepas sarapan pagi di rumah Salmi Mesra di Kampung Selayun, Sengkurong B, peserta telah dibawa melawat ke Lamin Warisan Bendahari Ghafar di Daerah Tutong.

Selepas itu, rombongan ahli IPS itu juga telah berkunjung ke Lamin Sastera K. Manis, salah seorang sasterawan negara Brunei yang juga penerima SEA Write Award. Lamin Sastera K Manis di Tanjung Maya itu menghimpunkan hampir seluruh khazanah sastera di Brunei yang diusahakan atas inisiatif beliau sendiri.

Selain khazanah sastera yang luar biasa itu, beliau juga menghasilkan karya-karya sastera, yang didokumentasikan dengan begitu baik dan teliti.

Beberapa buah puisinya diabadikan dalam bingkai-bingkai manakala empat buah puisi yang dikarang setiap sepuluh tahun dicatatkan dalam monumen. Khazanah Sastera di Lamin Sastera K.Manis, mungkin tiada duanya, bukan saja di Brunei tetapi di dunia Melayu.

Selepas itu, penyair IPS diraikan dalam majlis di rumah Sasterawan Pengiran Haji Mahmud Pg Damit, penerima Hadah Sastera Asia Tenggara dari Brunei bagi tahun 2012 sebelum bergegas mengadiri Acara Persembahan di Pentas Perayaan Hari Keputeraan Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-67 di Dermaga Diraja.

Pada hari ketiga, rombongan berpeluang mengadakan lawatan ke Radio Televisyen Brunei (RTB) sebelum mengadakan Diskusi Sastera bersama Asterawani dan DBP Brunei di Balai Sarmayuda DBP Brunei. Pengarah DBP Brunei, Hajah Dayang Aminah Haji Momin beserta pegawainya turut menghadiri diskusi untuk meningkatkan martabat sastera Melayu serantau.

Selepas itu, rombongan IPS itu telah diraikan oleh Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja, Dato Ser Utama Dr Ustaz Haji Awang Mohd Zain Haji Serudin yang lebih dikenali sebagai Shukri Zain dalam bidang kesusasteraan.

Pada hari keempat, rombongan IPS telah menghadiri Acara Bersama Rakyat dan Ke bawah Duli Bagi Daerah Brunei dan Muara sebelum bertolak pulang ke Sabah.

Antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan ialah rombongan IPS berpeluang untuk bersalaman dengan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Safuddien Sa'adaul Khairi Waddien, Sultan dan Yang D Pertuan Negara Brunei Darussalam.