Sabtu, 26 Oktober 2013

PEMBUDAYAAN KESELAMATAN PEKERJA DI NEGARA KITA MASIH KURANG

Tags

 

PEMBUDAYAAN KESELAMATAN PEKERJA DI NEGARA KITA MASIH KURANG

LAMPU tidak terang, kerusi tidak sesuai, meja terlalu tinggi, kasut yang diberikan terlalu sempit adalah antara perkara yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Salah seorang penggerak utama kepada kesedaran orang ramai mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan ini ialah Dr Fariz Tokio, Presiden Persatuan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sabah (PKPS) yang baru ditubuhkan kira-kira tiga tahun yang lalu.

Dr Fariz Tokio dilahir di Tambuloran Kudat pada tahun 1963. Beliau mendapat pendidikan awalnya di Tinangol sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Lok Yuk Kudat. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di Royal Society of Health. Selepas itu, beliau bekerja selama 13 tahun.Beliau kemudian berpindah ke Pejabat Kesihatan Beluran sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang kesihatan awam di Atlantic International University hingga peringkat PhD pada tahun 2011.

Beliau pernah menjadi Safety Offcer di Bina Puri, kemudian menjadi Safety Manager di Aokam dan sekarang Safety Manager di Ishec Consultant.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD,NADDIN HAJI SHAIDDIN sempat menemubual beliau di salah sebuah hotel tertua di Jalan Gaya. Turut hadir dalam sesi temuramah itu ialah Bendahari PKPS, Dr Herwan Zulkarnain.

UTUSAN BORNEO: Boleh jelaskan sedikit mengenai kesihatan dan keselamatan pekerjaan?

DR FARIZ: Kesihatan dan keselamatan pekerjaan merupakan satu bidang yang bertujuan melindungi kesihatan, keselamatan dan kebajikan pekerja.

Keselamatan tempat kerja merupakan suatu aspek penting di dalam sesebuah organisasi syarikat. Oleh itu, sesebuah organisasi perlu prihatin terhadap kesihatan keselamatan dan kebajikan pekerja.

Misalnya lampu tidak terang, kerusi tidak sesuai, meja terlalu tinggi, kasut yang diberikan terlalu sempit adalah antara perkara yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Sebagaimana yang saya katakan tadi, keselamatan tempat kerja merupakan suatu aspek penting di dalam sesebuah organisasi syarikat. Ia merupakan salah satu tanggungjawab majikan di bawah Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994 Malaysia untuk mengambil berat tentang kesihatan dan keselamatan para pekerja ketika bekerja di dalam sesebuah syarikat. Akta ini dikawalselia oleh Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dari Kementerian Sumber Manusia

UB: Apa antara perkara yang disebut dalam Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994 itu?

DR FARIZ: Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994 dirangka berdasarkan prinsip bahawa pencegahan kemalangan adalah sebahagian daripada aspek penting pengurusan dan kemahiran yang baik, pihak pengurusan dan pekerja mestilah bekerjasama dalam memastikan tempat kerja bebas daripada sebarang kemalangan, penglibatan pihak atasan adalah diutamakan dalam memimpin pelaksanaan keselamatan di tempat kerja.

Selain itu, dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan hendaklah dirangka dan diketahui oleh semua pekerja di tempat kerja , Organisasi dan sumber yang perlu hendaklah dibangun dan disediakan bagi menyokong ke arah kesihatan dan keselamatan pekerjaan dan Pengetahuan dan kaedah tersedia yang terbaik digunakan.

Sebagai contoh, projek pembinaan yang menelan kos lebih 20 juta, perlu melantik seorang Safety Officer.Begitu juga kilang yang mempunyai lebih 100 orang pekerja, perlu melantik SSS.

Di negara kita, pembudayaan keselamatan di tempat kerja masih kurang. Kita dapati masih terdapat banyak kemalangan dan kematian di tempat kerja kerana ketidak tahuan, kedaifan dan ketidak patuhan terhadap prosedur-prosedur keselamatan.

Sebenarnya, banyak sektor seperti sektor pembinaan, minyak dan gas dan sebagainya adalah disyaratkan untuk melantik seorang pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

UB: Bagaimana mengenai keperluan terhadap isu keselamatan pekerjaan da kesihatan (OSH)?

DR FARIZ: Pihak syarikat atau majikan memerlukan ramai profesional keselamatan untuk mengendalikan isu Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan (OSH) di tempat kerja. Ini kerana kemalangan boleh berlaku di mana-mana tempat kerja sama ada kilang, dapur mahupun pejabat.

UB: Baru-baru ini PKPS telah membuat kenyataan bagi menyokong penuh saranan Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi NIOSH agar tempat kerja bebas dari sebarang kemalangan yang dikaitkan dengan industri?

DR FARIZ: Sebagai asas untuk merealisasikan serta mewujudkan tempat kerja yang bebas dari kemalangan, pihak pengurusan sektor awam dan swasta perlu kreativiti.

 

UB: Mungkin Dr boleh beritahu berapa kadar kemalangan semasa bekerja di negara kita?

DR FARIZ: Kadar kemalangan semasa bekerja di tempat kerja pada tahun 2012 ialah 5.48 kes dalam 1,000 pekerja. Ini masih jauh jika dibandingkan dengan kadar negara maju iaitu antara dua hingga 3 kemalangan bagi setiap pekerja.

Katakanlah jumlah pekerja di negara kita ialah 15 juta orang.Kadar kemalangan ialah 5.48 dalam 1,000 pekerja.Ini bermakna kita ada kemalangan kira-kira 82,200 setahun. Berbanding dengan negara maju iaitu dua hingga tiga kes kemalangan.Ini bermakna di negara maju jumlah kes kemalangan di tempat kerja hanya terdapat 30,000 setahun. Pekerja kita masih berdepan risiko

UB: Apa cara untuk mencapai sasaran mengurangkan kadar kemalangan semasa bekerja?

DR FARIZ: Sasaran ini boleh dicapai dengan beberapa cara, antaranya seperti yang digariskan oleh NIOSH iaitu melakukan Program Transformasi OSH. Selain dari itu lakukan lebih banyak kreativiti misalnya beri ganjarankepada pekerja yang proaktif, lakukan pendidikan berterusan OSH secara berkesa kepada semua lapisan pekerja setiap tahun, pendidikan OSH khas untuk pengurusan atasan, perbanyakkan peruntukan untuk OSH dan tingkatkan penguatkuasaan.

 

UB: Apa lagi yang boleh dilakukan organisasi?

DR FARIZ: Selain itu, organisasi itu sendiri harus bertindak sebagai satu badan pengamal OSH dan bukan hanya dilakukan disebabkan terpaksa atau hanya membiarkan tanggungjawab itu dipikul oleh Safety Officer atau SSS.

Pihak atasan dalam organisas itu sendiri harus lebih prokaktif terhadap OSH. Gabungan semua elemen itu, membolehkan negara kita mencapai sasaran iaitu setanding dengan negara maju yang lain.

 

UB: Apa seruan kepada SSS?

DR FARIZ: Saya menyeru agar semua safety officer dan SSS di negeri ini akan lebih proaktif dan tingkatkan keupayaan diri melalui membaca, hadiri kursus-kursus, workshop atau seminar OSH demi peningkatkan profesionalisme.

 

Sebagai seorang SSS tanggungjawab adalah amat berat antaranya ialah sebagai pemangkin OSH di tempat kerja, lakukan dengan keyakinan dan kurangkan kesilapan.

 

UB: Boleh jelaskan mengenai PKPS yang Dr terajui?

DR FARIZ: PKPS adalah singkatan kepada Persatuan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sabah. Ia ditubuhkan pada bulan Ogos 2009, dan didaftarkan sebagai persauan berdaftar oleh Pendaftar Pertubuhan oleh ROS pada 11 Februari 2010 dan telah beroperasi kira-kira tiga tahun.

UB: Bagaimana mengenai keahlian PKPS?

DR FARIZ: Persatuan ini terbuka kepada pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan (berdaftar dan tidak berdaftar), Penyelia Keselamatan dan Kesihatan atau lebih dikenali sebagai SSS, berdaftar atau tidak berdaftar, pengamal keselamatan yang lain seperti OSH-Doktor (Occupational Safety & Health Doctor), Scafffolder, Confine Space personnel, CHRA dan lain-lain.

Sesiapa yang berminat untuk mempromosikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan hendaklah berumur 18 tahun ke atas.

UB: Matlamat penubuhan?

DR FARIZ: Antara matlamat penubuhan ialah melindungi kepentingan ahli-ahlinya, menjaga kebajikan ahli-ahlinya, memperjuangkan hak ahli-ahlinya dan meningkatkan prfesionalisme ahlinya.

UB: Apa cara untuk mencapai matlamat pertubuhan tersebut?

DR FARIZ: Untuk mencapai matlamat tersebut, PKPS menyediakan data base ahli-ahlinya, mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan JKKKP, menyertai forum dan persidangan OSH dan mengadakan kursus untuk Site Safety Supervisor. Sejak 2010 telah memberi latihan seramai 12 orang SSS dan sentiasa terbuka kepada ahli dan bakal ahli.

PKPS juga mengadakan kursus-kursus singkat , yang terkini ialah NADOPOD iaitu kursus menyediakan laporan kemalangan tempat kerja pada 11 Ogos lepa.

Kita juga memberi panduan atau tol box kepada industri yang memerlukan, membuat kajian-kajian trend kemalangan atau kemalangan maut untuk negeri Sabah, mengadakan "The best Safety Practitioner of the year" PKPS dan mengadakan "Corporate Best Safety of The Year" PKPS.

 

UB: Apa harapan Dr sebagai presiden PKPS?

DR FARIZ: Saya berharap supaya profesyen Safety Officer dan lain-lain pengamal OSH di Negeri Sabah ini menjadi lebih berkualiti dan cemerlang lagi.

Melalui PKPS, pihak industri akan mendapat akses yang mudah kepada pengamal-pengamal OSH yang berkualiti setanding dengan negara maju yang lain di dunia.

Pengamal-pengamal veteran yang mungkin telah bersara supaya terus dikenang dan dihargai industri, masyarakat dan kerajaan.

Pihak PKPS juga sedang menyiapkan satu kertas kerja perancangan untuk mereka yang telah bersara supaya sentiasa dapat menabur jasa kepada ahli-ahli baru khasnya dari segi ilmu dan pengalaman.

Kita juga berharap dapat bekerjasama dengan pihak korporat seperti SHELL dan Petronas atau lain-lain gergasi-gabungan itu nanti membentu satu konglomerat yang kukuh dan dapat membantu menurunkan kadar kemalangan di tempat kerja (setanding dengan negara maju), gabungan itu juga menjadi pemangkin kepada prduktiviti negara, keharmonian rakyat dan menjulang nama negara Malaysia.

1 comments so far

salam.. saya hana pelajar tahun 2 hubungan industri UMS. saya bercadang nak membuat latihan ilmiah berkaitan tentang pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan, boleh tak saya memilih persatuan kesihatan dan pekerjaan sabah sebagai tempat kajian saya pada tahun 2015 yang akan dtg?