Rabu, 26 Februari 2014

HAJI JEBAR ACHAT, BERI SUMBANGAN BESAR KEPADA DUNIA SENI SABAH

Tags



HAJI JEBAR ACHAT, BERI SUMBANGAN BESAR KEPADA DUNIA SENI SABAH

SIAPA tidak kenal seniman luar biasa ini? Ratusan orang, kalau tidak ribuan pernah belajar muzik daripadanya. Mulai dari biola, angklung dan bermacam jenis muzik lagi, ramai seniman tersohor di negeri ini lahir hasil bimbingan beliau sejak tahun 60-an lagi. Juara lagu-lagu keroncong ini begitu terkenal pada zamannya. Beliau juga pernah berkeliling selama sebulan di Eropah bersama rombongan Kebudayaan dari Malaysia. Selain muzik, beliau juga seorang penulis khat yang disegani dan sering menjadi hakim seni khat di peringkat negeri dan kebangsaan.

Haji Jebar Achat bin Haji Hamid Achat lahir tahun 1935 di Tanjung Palas. Selepas tamat persekolahan, beliau pernah bekerja sebagai wartawan dan guru. Tetapi perjalanan hidupnya yang panjang dan berliku-liku itu membawanya untuk mengakrabi dunia seni dengan lebih mendalam lagi lagi. Bermula di Tawau, Haji Jebar Achat menubuhkan orkes keroncong bersama rakan-rakannya, kemudian beliau berhijrah ke Kota Kinabalu untuk mencurahkan khidmat baktinya. Beliau pernah menjuarai pertandingan muzik keroncong, kemudian menjadi pengajar seni khat, hakim pertandingan sepanduk peringkat negeri dan pada tahun 1994, terpilih mengikuti rombongan kebudayaan Malaysia sempena Festival Internasional 1994.

Beliau mendirikan rumah tangga dan Hajah Jamilah Haji Masykur dan dikurnai tujuh orang cahayamata.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual Haji Jebar Achat, 78 di rumahnya di Kampung Delima Melayu pada satu petang bergerimis .Tokoh seniman yang tidak asing ini amat berjasa kepada dunia seni di negeri ini menceritakan sedikit pengalamannya ketika bergelut dengan bidang seni d negeri ini. Ikuti petikan temubual bersama beliau.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemubual. Boleh ceritakan sedikit latar belakang penglibatan dalam seni di Sabah?

HAJI JEBAR: Ceritanya panjang. Pada tahun 1962, dengan usaha bersama kawan-kawan pemuzik keroncong yang berasal dari Tarakan, Berau dan Bulongan, saya tubuhkan satu kumpulan Orkes Keroncong "Sehati" yang dianggotai seramai delapan orang, gitar melodi,gitar iringan, julklele tempo dan julklele irama (chuk), celllo, pemain bass, seruling dan pemain biola saya sendiri sebagai pimpinan muzik.Ketua Orkes Keroncong "Sehati" ialah Encik Muhd Umayar, Forest Marine Tawau. Itulah detik permulaan saya melibatkan diri dalam orkes keroncong di Tawau.

UB: Pernah ikut pertandingan?

HJ: Pada tahun 1964, diadakan satu pertandingan Pancaragam Peringkat Daerah Tawau, Semporna dan Lahad Datu. Saya ikut pertandingan itu.Alhamdulillah kami mendapat johan dengan nama pancaragam "Irama Baru". Selepas kemenangan itu, kami dihantar ke Jesselton, kami mengikut Talentime bertempat di Dewan Masyarakat. Masa itu kami hanya mendapat naib johan.

UB: Kami difahamkan tuan haji pernah ikut pertandingan Bakat TV?

HJ: Itu pada tahun 1968. Pada tahun itu, diadakan pemilihan bakat Tv, pertandingan Peringkat Daerah Tawau. Saya mendapat Johan dengan bermain angklung, bersendirian membawakan dua buah lagu iaitu "Kinabalu" dan "Pesanku".

UB: Teruskan tuan haji...

HJ: Kemudian pada tahun itu, saya juga diminta untuk membimbing persatuan Kaum Ibu USNO Tawau seramai 32 orang bermain angklung dipimpin oleh Datuk Hamisah Samat yang diiringi pancaragam "Magdalines"pimpinan Wahid dan Japar.

UB: Tuan Haji main angklung juga?

HJ: Pada tahun 1970, atas arahan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Datuk Haji Sakaran Dandai (kini Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai, Mantan TYT,Saya pernah mengajar seni muzik angklung di Semporna iaitu di SRK Bubul, SRK Pekan Semporna, Sekolah Islamiyah dan Kaum Ibu USNO Semporna. Saya diberi elaun RM500 sebulan selama empat tahun. Makan minum dan tempat tinggal disediakan.

UB: Tahun berapa datuk berhijrah dari Tawau ke Kota Kinabalu?

HJ: Saya berhijrah ke Kota Kinabalu pada tahun 1976, semasa pemerintahan Kerajaan Berjaya.

UB: Apa pula pengalaman di Kota Kinabalu? Mungin ada yang boleh dikongsikan?

HJ: Pada tahun 1978, saya mengikuti pertandingan muzik keroncong seluruh Sabah di RTM Kota Kinabalu dengan nama Orkes Keroncong "Sinar Kinabalu" . Orkes itu disertai dua penyanyi lelaki dan perempuan, Sakmat Tajudin dengan lagu "Bumi Hijau" dan "Pahlawan Maaysia" oleh isteri saya Hajah Jamilah Haji Masykur;

Kesemua lagu-lagu yang disampaikan adalah ciptaan saya sendiri.Kemudian orkes "Sinar Kinabalu" mendapat johan. Maka kami dihantar ke Alor Setar Kedah mengikuti pertandingan Muzik Keroncong seluruh negeri di Malaysia dendangan Rakyat" . Tetapi disebabkan pemain muzik orkes "Sinar Kinabalu" hanya lima orang maka diputuskan tidak memenuhi syarat pertandingan yang ditetapkan seramai tujuh orang.

UB: Bilakah tuan haji mula berkhidmat di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan?

HJ: Sewaktu Datu Abdul Hamid Tun Mustapha jadi Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Sabah pada tahun 1980, saya dilantik sebagai penyelia oleh Pengelola Kebudayaan Negeri, Datuk Haji Shuhaibun Yussuf. Antara tugasnya adalah untuk membentuk pemuzik dan penari tetap. Atas arahan menteri juga, Pengelola Kebudayaan Negeri telah memberikan peruntukan sebanyak RM32,000 untuk membeli alat-alat muzik bersama Encik Ahmad Yakub,Pegawai Kebudayaan Negeri ke Singapura melalui Kuala Lumpur.

UB: Difahamkan tuan haji juga terlibat membimbing ramai murid dalam tulisan khat?

HJ: Ya, setelah mengikuti Kursus Seni Ukir di Terengganu pada tahun 1986, pada tanggal 25 Ogos, saya menerima Sijil Bengkel Pengajar Seni Khat Kebangsaan.

Dua tahun kemudian iaitu pada 1988, ditugaskan mengajar dan membimbing seni khat kepada guru-guru agama dan belia seluruh Sabah dengan tiga kategori, pertama seni ukir khat dicermin di dalam pusingan pertama kemudian pusingan kedua seni ukir khat tembaga keping dan ketiga seni ukir khat di kayu jenis tembus dan timbul.

UB: Bila pula tuan haji jadi hakim sepanduk?

HJ: Pada 1989, saya dilantik oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sebagai hakim negeri setiap pertandingan sepanduk sempena Maulidur Rasul iaitu mengadili bahagian tulisan khat selama lima tahun di Padang Merdeka Kota Kinabalu.

UB: Khabarnya tuan haji pernah berkeliling membuat persembahan di luar negeri?

HJ: Pada 1994, saya terpilih mengikuti rombongan kebudayaan Malaysia sempena Festival Internasional mengadakan persembahan kebudayaan di enam negeri di Perancis, di Paris, di Oloron kemudian melanjutkan persembahan ke Barcelona Sepanyol. Di Barcelona, kami sempat mengadakan persembahan di gelanggang sapi. Banyak pengalaman sewaktu di sana. Selama 32 hari berkeliling di Eropah.Dalam perjalanan pulang, kami transit melalui Bangkok. Jadi setibanya Bangkok, dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu, saya langsung menikmati nasi beras siam kerana selama di Eropah tidak pernah makan nasi.

UB: Bila bersara dari KKBS?

HJ: Pada tahun 1997, saya tamat perkhidmatan di Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah. Setelah itu, saya bersyukur kerana menerima Anugerah Pingat "Bintang Setia Kinabalu" (BSK) oleh Tun Haji Sakaran Dandai.

UB: Selepas bersara ada mengajar muzik lagi?

HJ: Pada tahun 2005, saya mengajar muzik Angklung atas permintaan Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Datuk Haji Arifin Arif kepada seramai 32 orang Puteri UMNO di Rumah Rehat Membakut.

UB: Apa anugerah yang pernah diperolehi dalam bidang seni?

HJ: Antaranya pada tahun 2012 menerima anugerah " Tokoh Seniman Sabah" dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) beserta saguhati RM300. Pada tahun 2013, saya mendapat sumbangan sebagai Tokoh Veteran Seniman Sabah dari Pengerusi Persatuan Seniman Malaysia Datuk DJ Dave @ Irwan Shah Abdullah sebanyak RM2,000. Yang terbaru, pada tanggal 26 Januari 2014, saya menerima siil Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 1432H sempena Majls Perarakan dan Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Qariah Masjid Darul Hikmah Kampung Delima Melayu Kota Kinabalu.

UB: Masih aktif lagi sekarang?

HJ: Sehingga sekarang saya berkhidmat dengan Sanggar Seni Suhaimi Magi sebagai pimpinan Orkes Keroncong "Waktoe Doeloe" yang dibimbing oleh Suhaimi Magi Pengerusi Seni tari dan Muzik Tradisi Melayu. Jadual saya penuh. Selain itu, masih ramai anak-anak murid belajar mengaji di rumah.