Isnin, 31 Mac 2014

Catatan ringkas dalam perjalanan pulang Tawau-KK

Tags

Kami sengaja memilih malam.
Memilih malam sebagai masa yang sesuai untuk perjalanan pulang. Kalau waktu siang, lalu lintas agak sibuk. Jika memandu malam, kata Sam, adik ipar saya, kita dapat beringat bila ternampak cahaya dari depan. Jalanan pula agak sepi.

"Kita isi minyak dulu," kata Sam. Kami isi tangki hingga penuh. Kosnya hanya RM54.00 kerana sebelum itu tangki minyak itu ada lagi sedikit isinya.

Dari stesen minyak PETRONAS, dekat rumah Ain itu, kami bertolak kira-kira jam 8.45 malam. Kemudian singgah sekejap di kedai 24 jam kerana Sam mahu beli minuman khuatir mengantuk dalam perjalanan itu.

Di Balung,kami berhenti lagi untuk mengelap cermin kereta. Saya menunjuk langit dan memberitahu betapa bintang-bintang yang bertaburan itu boleh menjadi petunjuk perjalanan dan petunjuk iklim dan cuaca.

Jam 9.48 malam kami sampai di Simpang Kunak. Jalan raya berkabus di Kunak bila malam, kata Sam lagi. Saya melihat jam tangan. Jam 10.15 malam. Kami sedang melewati ladang kelapa sawit yang luas.
Tidak lama kemudian ada arah penanda jalan simpang ke Pekan Kunak. Kalau bukan malam tentu kami boleh singgah.

Walaupun jalan agak sepi dari lalulintas tetapi memandu malam tetap ada bahayanya. Biasanya pemandu lori besar, trak dan kenderaan berat memilih waktu malam untuk ke destinasi mereka. Jika tiga empat lori besar di hadapan kita, kita terpaka mengekor di belakang jika kita tidak dapat memotong.

Sam membawa kereta viva itu dengan kelajuan purata 100 km sejam. Kami singgah minum di Telupid, di Kedai Puteri Seri Pelangi kira-kira 40 minit. Kami meninggalkan restoran itu, kira-kira tiga minit selepas jam 2.00 pagi.

Sesekali saya terlelap dalam perjalanan itu. Isteri dan anak-anak juga tertidur. Kami tiba di Taman Putera Jaya Telipok kira-kira tiga minit sebelum jam 6.00 pagi.