Ahad, 6 Julai 2014

DATUK DR ZAKI HAJI GUSMIAH, TERIMA ANUGERAH PEMIMPIN BELIA BERJASA NEGERI SABAH

Tags

DATUK DR ZAKI HAJI GUSMIAH, TERIMA ANUGERAH PEMIMPIN BELIA BERJASA NEGERI SABAH

 

JASA yang sejati adalah seperti sungai.Makin dalam sungai itu, makin berkuranglah suaranya. Tetapi walaupun suaranya sudah berkurang, jasa bakti dan sumbangan yang dicurahkan oleh Datuk Dr Zaki Haji Gusmiah dalam pergerakan belia tetap tidak dilupakan.

Sempena Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sabah 2014 yang diadakan di Kompleks Sukan Ranau, Dr Zaki menerima Anugerah Pemimpin Belia Berjasa Negeri Sabah.

Menceritakan pengalamannya sebagai pemimpin belia, Dr Zaki yang juga mantan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri teringat ketika beliau menjadi Presiden Sabah Students Union di United Kingdom dan Republik Eire.

Ketika itu, beliau berpeluang bertemu dengan Allahyarham Tun Fuad Stephens dalam satu jamun untuk pelajar Sabah di Kota London.

"Saya teringat amanat Tun Fuad. Apabila satu hari kamu balik ke Sabah, beliau mengingatkan kami, dalam menyuarakan sesuatu kamu harus berani. Pokoknya kamu menyuarakan jalan kebenaran," katanya.

"Manusia boleh kurung tubuh kita dalam penjara.Hanya satu tidak boleh dipenjarakan iaitu apa yang ada dalam kepala kita, itu dia tidak boleh penjarakan. Ia terus kekal dalam diri kita". Itulah antara kata-kata Tun Fuad yang selalu diingati oleh beliau.

Sekembalinya ke tanahair, beliau sempat berkhidmat dalam pelbagai kapasiti. Beliau pernah menjadi Penolong Pengarah di Bahagian Perkhidmatan, Pejabat Perjawatan Negeri, Jabatan Ketua Menteri sabah seterusnya dilantik Timbalan Pengarah di Sabah Institute of Administration and Research (SINAR) dan kemudian dinaikkan pangkat sebagai Tinbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Pertanian dan Perikanan Sabah. Seterusnya beliau dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Datuk Harris Mohd Salleh, ketika era pemerintahan Berjaya.

Selepas meletakkan jawatan sebagai pegawai kerajaan, beliau menceburkan diri dalam bidang politik.Beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau ketika berusia 29 tahun. Selepas itu, beliau dilantik pula sebagai Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri ketika era pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Penglibatannya sebagai pemimpin belia tetap tercatat dalam tinta emas. Beliau adalah Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Sabah (SANYA) dari tahun 1988 hingga 1994 dan Ahli Majlis Tertinggi Majlis Belia Malaysia (MBM) 1988-1994.

Dalam sejarah MBM, beliau tercatat sebagai seorang pemimpin belia dari Sabah yang pernah menjadi Naib Presiden Majlis Belia Malaysia. Antara tokoh pemimpin belia dari Sabah yang pernah menjadi pemimpin dalam MBM ialah Datuk Roger Dunstan, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak, Datuk Masidi Manjun dan lain-lain.

Pemimpin Belia berjasa ini turut terkenang satu peristiwa bersama Almarhum Tun Datu Mustapha Datu Harun di ruang VIP Lapangan Terbang Lama. Ketika itu hanya mereka berdua dalam ruang VIP itu.

Tun Datu Mustapha berpesan kepada saya," Zaki, ingat satu hari, apa juga ideologi politik kita, apapun parti yang kita sertai, pesan saya, jaga dan pelihara baik-baik negeri ini, bukan senang untuk memerdekakannya".

Itulah antara pesan yang saya ingat, kata Dr Zaki. Sebagai pemimpin belia, beliau juga berpeluang ikut dalam delegasi untuk menjalin dan mengeratkan perhubungan Malaysia dan China. Beliau terpilih melawat Beijing bersama pemimpin-pemimpin Majlis Belia Malaysia (MBM) yang lain. Delegasi itu turut memainkan peranan mengukuhkan hubungan pemimpin belia Malaysia dan China.


Datuk Dr Zaki Gusmiah lahir pada 10 Disember 1955 di Kampung Sukau, Daerah Kinabatangan. Ayahnya seorang Pegawai Perubatan, dahulunya dipanggil "dresser" yang ditugaskan di merata tempat di Sabah.

Oleh sebab itu, beliau mengecap pendidikan awal di beberapa daerah. Selepas memasuki Tadika St Cecilia, Sandakan, beliau bersekolah di St Mary Primary School, Batu 2, Sandakan dalam Darjah Satu.

Kemudian beliau berpindah ke Government Primary School (GPS) Lamag, Kinabatangan dalam Darjah Dua. Tidak lama kemudian, apabila ayahnya dipindahkan ke Tuaran, Zaki menduduki Darjah Tiga hingga darjah enam di St John Tuaran dan kemudian menyambung pelajaran menengah di sekolah yang sama hingga Tingkatan Tiga (JCE).

Selepas itu, beliau belajar di All Saints' Secondary School di Likas tetapi tidak lama kemudian, beliau berangkat ke London untuk menduduki peperiksaan GCE 'O' dan 'A' Levels. Selepas beliau melanjutkan pengajian di Schiller International University, Kampus London dan berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Bidang Sains Politik (Bachelor of Arts Degree in Political Science) pada 1 Ogos 1978.

Ketika berada di London, beliau pernah menjadi Presiden Sabah Students Union (SSU) di United Kingdom dan Republik Ireland.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Perhubungan Antarabangsa (Master of Arts Degree in International Relations) di University of Southern California pada 4 Jun 1981.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di University of Greenwich sehingga mendapat ijazah kedoktoran Pentadbiran Perniagaan dalam Pengurusan (DBA) pada 21 April 2002.

Dr Zaki memulakan kerjaya pada tahun 1978, sebagai Pegawai Tadbir di Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah. Di atas kesungguhan dan tanggungjawab terhadap kerja, beliau dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah di Pejabat Perjawatan Negeri, Jabatan Ketua Menteri Sabah dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Pengarah di "Sabah Institute for Administration and Research" (SINAR).

Kesetiaan, dedikasi serta kecemerlangan dalam menjalankan tugas beliau di naikkan pangkat sekali lagi sebagai Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan Pertanian dan Perikanan, Sabah.

Atas kewibawaan yang ketara beliau dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan Awam Kepada Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Datuk Harris Mohd Salleh, mantan Ketua Menteri Sabah, di era pemerintahan Kerajaan BERJAYA.

Beliau menceburkan diri dalam arena politik dan akhirnya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.39 Sukau ketika berumur 29 tahun. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri sehingga April 1994.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi, Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Negeri Sabah (LPPS); Pengerusi, Perbadanan Pembangunan Nelayan dan Perikanan Negeri Sabah (KO-NELAYAN); Pengurus Besar, Perbadanan Pembangunan Nelayan dan Perikanan Negeri Sabah (KO-NELAYAN); Timbalan Pengurus Besar KOSAN.


Selain itu, beliau pernah menjadi Naib Presiden Persatuan Bolasepak Amatur Sabah (SAFA), Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Sabah (ASTAKA),Naib Pengerusi Majls Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Sabah.


Beliau pernah menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian P.162 Kinabatangan antara tahun 1994-2004.

Selain itu, beliau juga dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Kinabatangan dari tahun 1998 hingga 2016 serta menjawat jawatan Ketua Penerangan JK Barisan Nasional (BN) Kinabatangan hingga kini.


Ketika ditanya mengenai anugerah yang diterimanya sempena Hari Belia Negeri Sabah 2014, Dr Zaki mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa panel yang memilihnya sebagai penerima Anugerah Pemimpin Belia Berjasa.

"Saya ingin menyatakan anugerah yang saya terima ini bukan semata-mata untuk diri saya tetapi juga kepada semua Ahli Majlis Tertinggi Sanya semasa saya menjadiAMT dan kemudian sebagai Presiden pada tahun 1988 hingga 1994," katanya.

Sebagai seorang pemimpin belia, Dr Zaki menggalakkan dan mendorong belia di Sabah khasnya peringkat daerah menubuhkan badan-badan penyelaras Sanya di seluruh Sabah bagi membolehkan Sanya lebih aktif memainkan peranan lebih positif kepada masyarakat belia.

Sepanjang menjadi pemimpin belia,,beliau merangsang dan mempastikan perhubungan dan kerjasama, persefahaman dan persahabatan di kalanganbelia di negeri ini sebagai persediaan ke arah apa yang dikenali kini sebagai Warga Malaysia yang bersatu atau 1Malaysia.

Dr Zaki juga merangsang ahli Sanya dan belia Malaysia untuk turut serta menyumbang kepada program-program kerajaan negeri, persekutuan ke atas kemajuan belia yang seimbang di kalangan belia Sabah/Malaysia dalam pelbagai bidang.

Beliau jua mempastikan Sanya dibawah pimpinan beliau supaya sama-sama memupuk sikap bertanggungjawab, bersemangat patriotisme dan kesukarelawan di kalangan ahli Sanya, menganjur dan menggalak minat untuk kesuburan rohani, jasmani dan pendidikan belia dan mempastikan Sanya bekerja rapat dengan badan-badan yang bertanggungjawab berkenaan hal ehwal di negeri Sabah.

Datuk Dr Zaki juga menyokong penuh kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman yang mengingatkan belia supaya menghindarkan diri serta tidak terikut-ikut dengan tidak tanduk golongan tidak bertanggungjawab yang cuba memporak-porandakan masyarakat kerana ia membawa natijah yang tidak baik kepada semua pihak.

Ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Sambutan Hari Belia Negeri Sabah di Ranau baru-baru ini, Ketua Menteri mengajak golongan belia yang mewakili 41 peratus daripada keseluruhan penduduk Sabah supaya terus menyokong dan bersama-sama dengan kerajaan bagi menjayakan pelbagai program dan aktiviti yang diperkenalkan untuk membawa lebih banyak pembangunan dan kemakmuran kepada rakyat khususnya kepada gologan belia.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua pemenang anugerah sempena Sambutan Hari Belia Negeri Sabah.

Selain Datuk Dr Zaki Haji Gusmiah yang menerima Anugerah Pemimpin Belia Berjasa Negeri Sabah, turut menerima anugerah sempena Sambutan Hari Belia Negeri Sabah ialah Haji Ismail Abdul Gapur sebagai Tokoh Belia Sabah, Mas Nora Arin sebagai penerima Anugerah Belia Perpaduan.

Sementara itu, Anugerah Kewartawanan Bahasa Melayu diberikan kepada Norwahida Jamaludin bagi kategori bahasa Melayu, Sherrel Ann Jeffrey bagi kategori Bahasa Inggeris dan Jong Khiam Jung bagi kategori Bahasa Cina.

Anugerah Belia Niaga diberikan kepada Mohammad Sidiq Haji Musa (Emas), Hardi Sikul (Perak), Sariyaman binti Sabur (Gangsa) dan Maria binti Ahmad (Berpotensi).

Anugerah Belia Kreatif dan Inovatif diterima oleh Chiew Chin Chung @ Deric manakala Anugerah Khas Menteri Belia dan Sukan Sabah diterima oleh Mary Fred @ Hamidah Abdullah.

Bagi Anugerah Perdana Belia Negara 2014, Iranmal Haji Kasan muncul johan bagi kategori lelaki manakala bagi kategori Wanita dimenangi oleh Siti Salmiah Jesni. Bagi Anugerah Perdana Pertubuhan Belia diterima oleh Persatuan Belia Felda Sahabat 02 sebagai johan manakala naib johan diberikan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cabang Keningau.