Isnin, 21 Julai 2014

M FAUZI EKO NUGROHO, SELALU INGAT PESAN ORANG TUA

Tags

M FAUZI EKO NUGROHO, SELALU INGAT PESAN ORANG TUA

 

BEKERJALAH dengan jujur. Diplomat berpengalaman ini selalu ingat pesan arwah ayahnya. "Apapun yang kamu kerjakan, kamu harus jujur," Beliau juga selalu ingat pesan ibunya. Ibunya menasihatkan agar jangan lupa solat. "Kalau kita solat, kita akan selalu ingat pada Tuhan.Kalau kita ingat Tuhan, pasti kita bekerja dengan jujur," kata M.Fauzi Eko Nugroho,Minister Counselor yang juga pemangku Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu.

M FAUZI EKO NUGROHO dilahirkan pada 7 Oktober 1956 di Wonosobo,Jawa Tengah.Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Dasar (SD) Wonosobo dan SMA Negeri Wonosobo sebelum memasuki Fakulti Ekonomi Perusahaan, Universiti Islam Indonesia di Yogyakarta pada tahun 1975 hingga 1983. Selepas tamat universiti, beliau berkhidmat di Kementerian Luar Negeri di Jakarta. Kemudian beliau melanjutkan kuliah di Sekolah Dinas Luar Negeri yang diadakan untuk diplomat-diplomat yang berkhidmat di luar negeri.

Selepas itu, M Fauzi dilantik sebagai Ketua Seksyen di Direktorat Hubungan Perdagangan Internasional Kementerian Luar dari tahun 1986 hingga 1989. Tidak lama berselang, beliau ditempatkan di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Amman Jordan sebagai Ketua Bahagian Ekonomi dari tahun 1990 hingga 1993. Sekembalinya dari sana, M. Fauzi dilantik sebagai Ketua Bahagian di Direktorat Investasi dan Kewangan di Kementerian Luar Indonesia dari tahun 1994 hingga 1996.

Apabila Republik Indonesia membuka kedutaan di Beirut, M.Fauzi ditugaskan sebagai diplomat pertama Indonesia di Lebanon pada tahun 1996 hingga 2000.

Setelah tamat tempoh berkhidmat di Beirut, beliau kembali ke Jakarta dan ditugaskan sebagai ketua di Direktorat Komoditi dan Standardisasi Kementerian Luar dari tahun 2001 hingga 2002. Selepas itu, beliau sekali lagi ditugaskan di Timur Tengah, tapi kali ini beliau berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Ekonomi di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Riyadh dari tahun 2003 hingga 2007. M. Fauzi kemudian balik semula ke Jakarta sebagai Ketua di Biro Perencanaan Organisasi dan Kewangan Kementerian Luar. Selepas itu, diplomat berpengalaman ini ditugaskan pula di Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu sejak Ogos 2011 sebagai Minister Counselor.

M Fauzi mendirikan rumah tangga dengan Rikha Indah Sari dan dikurniakan seorang anak , Mohd Taikar kini masih kuliah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dalam bidang Perhubungan Antarabangsa.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau pada satu pagi yang cerah di KJRI Kota Kinabalu untuk berkongsi cerita dengan beliau mengenai pengalaman-pengalaman yang telah ditempuhinya dalam hidup. Ikuti petikan wawancara bersama beliau.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang bapak? Dimana bapak lahir?

M FAUZI EKO NUGROHO: Saya lahir pada 7 Oktober 1956 di sebuah kota kecil bernama Wonosobo, yang terletak persis di tengah Jawa Tengah. Wonosobo adalah sebuah daerah pergunungan seperti Kundasang. Wonosobo hawanya sejuk, sebuah kawasan wisata atau destinasi pelancongan yang terkenal.

UB: Anak keberapa dalam keluarga?

M FAUZI: Saya anak pertama dari tujuh bersaudara. Nama saya Fauzi Eko Nugroho. Eko ertinya pertama. Ayah saya seorang pegawai di Kantor Uusan Agama (Pejabat Agama) manakala ibu saya, pada awalnya bertugas sebagai guru sebelum berhenti untuk mendidik kami sepenuh masa.

UB: Dimana pak Fauzi mendapat pendidikan awal?

M FAUZI: Saya menduduki bangku sekolah dasar (SD) atau sekolah rendah di Wonosobo. Sekolah menengah juga di SMA Negeri di Wonosobo.

UB: Selepas itu, pak Fauzi melanjutkan dimana?

M FAUZI: Selepas menamatkan pendidikan di SMA, saya memasuki Universiti Islam Indonesia di Yogyakarta pada tahun 1975. UII adalah salah sebuah universiti tertua di Indonesia yang ditubuhkan pada tahun 1945 iaitu selepas Indonesia mencapai kemerdekaan.

UB: Pak Fauzi kuliah di fakulti mana?

M FAUZI: Saya kuliah di Fakulti Ekonomi Perusahaan UUI dari tahun 1975 hingga 1983.

UB: Tahun berapa masuk kerja di kementerian luar?

M FAUZI: Pada tahun 1985 saya masuk Kementerian Luar. Kemudian belajar di Sekolah Dinas Luar Negeri. Kami angkatan ke 11.

UB: Selepas itu, dimana Pak Fauzi ditugaskan?

M FAUZI: Saya menjadi kepala Seksi (Ketua Seksyen) Direktorat Hubungan Perdagangan Internasional Kementerian Luar dari tahun 1986 hingga 1989.

UB: Dimana Pak Fauzi ditempatkan selepas itu?

M FAUZI: Selepas itu, buat pertama kalinya saya ditugaskan di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Amman Jordan sebagai Ketua Bahagian Ekonomi. Sebagai ketua bahagian ekonomi, kita mengembangkan hubungan bilateral antara kedua negara, Indonesia dan Jordan. Waktu itu perang saudara di Lebanon (Lubnan) baru saja berakhir. Perang saudara melibatkan puak-puak di Lubnan itu berlangsung dari tahun 1975 hingga 1991. Selalu berlaku pertempuran. Kehidupan menjadi serba sulit. Makan serba sulit tapi ekonomi tetap jalan .

Sewaktu bertugas di Jordan, saya lihat media di sana agak bebas. Sistem juga sudah lebih baik dibawah pemerintahan Raja Hussein. Saya bertugas selama lima tahun di Jordan kemudian pada 1994 saya kembali ke Jakarta.

UB: Kembali ke Jakarta?

M FAUZI: Saya kembali ke Jakarta dan bertugas di Direktorat Investasi dan Kewangan di Kementerian Luar Indonesia sebagai Kepala Sub Direktorat dari tahun 1994 hingga 1996.

UB: Setelah dua tahun di Jakarta, apa tugasan pak Fauzi seterusnya?

M FAUZI: Tahun 1996 saya posting di Lebanon. Pada waktu itu belum ada kedutaan di Lebanon. Jadi apabila Kerajaan Indonesia membuka kedutaan di Beirut, maka yang dicari adalah diplomat yang sudah berpengalaman sering masuk ke Lebanon, negara yang selalu bergejolak. Jadi sayalah yang terpilih. Ketika itu,walaupun sudah tidak berperang, namun masih ada gejolak, masih ada bibit bibit pergolakan.

UB: Pak Fauzi diplomat pertama ditugaskan ke Lebanon?

M FAUZI: Sayalah orang mula-mula ditempatkan di Lebanon apabila kedutaan Indonesia dibuka disana. Mula-mula kami buka pejabat di hotel dibantu staf pentadbiran dan staf komunikasi. Di sana nampak pembahagian kouta kekuasaan untuk pihak-pihak yang bertelagah. Kalau Presidennya di pilih di kalangan Kristian Maronik, perdana menterinya pula dipilih dari kalangan orang Islam Sunni, speaker parlimen dari kalangan Islam Syiah, Timbalan presiden dari Kristian Orthodox manakala Menteri Luar dari kalangan Kristian maronik.Begitulah mereka mengatur tampuk kekuasaan disana.

Kemudian keadaan mulai membaik walaupun di sana sini kelihatan bangunan yang runtuh dan bekas-bekas tembakan.

UB: Berapa lama bertugas di sana?

M FAUZI: Saya bertugas di sana dari tahun 1996 hingga tahun 2000. Lebanon adalah sebuah negara yang unik. Walaupun Lebanon hanya mempunyai sebanyak 3 juta penduduk tetapi orang Arab Lebanon yang berada di luar negeri jauh lebih banyak daripada di Lebanon sendiri. Di negara Amerika Latin terdapat ramai orang Lebanon malah di Brazil terdapat kira-kira 8 juta penduduk keturunan Arab Lebanon. Lebanon diasporanya kuat. Ekonominya kuat kerana sumbangan diasporanya. Saya rasa gembira kerana menjadi antara perintis kedutaan Indonesia di Beirut.

UB: Kemudian tuan kembali ke Jakarta lagi?

M FAUZI: Ya, saya kembali bertugas ke Jakarta pada tahun 2001 sebagai ketua di Direktorat Komoditi dan Standardisasi yang banyak menguruskan komoditi seperti kopi, koko, minyak sawit iaitu harga yang diatur oleh pasaran. Saya juga mengawasi standardisasi dengan segala macam standard ISO yang perlu dipatuhi.

UB: Selepas itu dimana Pak Fauzi ditugaskan?

M FAUZI: Saya ditugaskan semula ke Timur Tengah. Kali ini di Riyadh Arab Saudi pada tahun 2003. Saya dilantik sebagai Ketua Bidang Ekonomi. Kedutaan Besar Republik Indonesia di Riyadh mempunyai ramai staf. Diplomat saja terdapat seramai 18 orang. Warga Indonesia yang bekerja di Arab Saudi juga ramai. Terdapat kira-kira 300,000 warga Indonesia di Riyadh. Kebanyakan mereka bekerja sebagai pembantu rumah. Ada di antara mereka yang mengalami masalah dengan majikan mereka seperti tidak di bayar gaji, jenayah seksual dan sebagainya. Selain itu ramai juga Orang Indonesia yang menjadi mukimin, iaitu orang Indonesia yang menetap di sana. Mulanya mereka datang dengan visa umrah tetapi akhirnya mereka tidak pulang sebaliknya bekerja di Arab saudi. Ini juga jumlahnya ramai.

UB: Tentu banyak kali menunaikan haji ketika bertugas di Arab Saudi?

M FAUZI: Ya, lebih dari sekalilah. Tapi yang wajib itu kan hanya satu kali. Setiap tahun saya menjadi penyelenggara jemaah haji. Antara tugasnya ialah mencari rumah yang disewakan untuk kegunaan jemaah haji. Saya cari transportasi dan sebagainya. Untuk musim haji, sewa rumah untuk tempoh lima hari saja ialah antara 40,000 hingga 50,000 riyal. Malah pernah juga mencecah sebanyak 75,000 riyal untuk lima hari. Setiap tahun jemaah haji dari Indonesia kira-kira 200,000 orang.

UB: Ada pengalaman menarik di sana?

M FAUZI: Kendala disana, antaranya Wanita tidak boleh memandu. Jadi Kalau mahu memandu harus ke Bahrain yang hanya dipisahkan dengan sebuah jambatan. Kalau berpergian juga harus ditemani muhrim.

UB: Berapa jauh dari Riyadh ke Tanah Suci Mekah?

M FAUZI: Jika memandu dengan kecepatan tinggi jarak antara Riyadh ke Mekah sekitar lima jam. Tetapi kalau menaiki bas, tempohnya lebih lama kira-kira 10 jam. Di sana had laju untuk kereta dihadkan kepada 120km/sejam.

UB: Dimana Pak fauzi ditempatkan selepas balik dari Riyadh?

M FAUZI: Saya ditugaskan di Biro Perencanaan Organisasi dan Kewangan Kementerian Luar yang mengawasi masalah prestasi kerja seluruh perwakilan Indonesia di seluruh dunia. saya bertugas selama tiga tahun setengah di sana, Di sana memerlukan banyak kesabaran kerana saya bekerja di unit yang sibuk.

UB: Selepas itu, di mana Pak fauzi bertugas?

M FAUZI: Saya mula bertugas di Sabah sejak Ogos 2011 hingga kini di bahagian konsular.

UB: Apa pandangan Pak Fauzi terhadap Sabah?

M FAUZI: Saya merasa Sabah tidak jauh bezanya dengan Indonesia. Sama saja. Saya rasa selesa berada disini, rasa tak canggung lagi. Terus terang saja, saya melihat roda perekonomian di negeri ini berputar , antaranya disebabkan adanya pekerja -pekerja asing termasuk sebahagian besarnya dari Indonesia.Terdapat sebanyak kira-kira 458,000 warga Indonesia di Sabah.

UB: Sepanjang bertugas dalam bidang diplomatik, mungkin ada pengalaman yang tidak dapat dilupakan?

M FAUZI: Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika Perang Teluk yang berlaku apabila Iraq yang dipimpin Presiden Saddam Hussein menyerbu Kuwait pada Ogos 1991. Itulah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Sebagai diplomat yang paling junior pada masa itu, saya sering diminta untuk menjemput warga Indonesia di Sempadan dengan Iraq Jordan, Jarak antara Amman dan Baghdad sekitar 350 kilometer. Kami menyewakan bas untuk orang-orang Indonesia yang mahu keluar dari Baghdad. Warga Indonesia itu ditampung di sebuah masjid yang kebetulan imamnya orang Indonesia di Kampung Wihdad . Perkampungan itu dihuni oleh pelarian Palestin.Warga Indonesia yang menjadi pengungsi itu diangkut dengan pesawat garuda pulang ke Indonesia.

Pada masa itu kebetulan isteri saya hamil. Ketika masa kritis itu, semua perwakilan dan staf diputuskan agar semuanya pulang. Kecuali Duta Besar.. Amman waktu itu kosong, Kedutaaannya kosong.Saya juga diminta untuk ke Baghdad kerana mengawasi Kedutaan Indonesia di Baghdad yang ditinggalkann kosong akibat perang Teluk pada masa itu.

UB: Apa cita-cita Pak Fauzi sewaktu kecil? Pernah terfikir jadi diplomat?

FAUZI: Dulu saya tidak punya cita-cita yang spesifik. Saya hanya ingin lulus saja.

.

UB: Apa hobi Pak Fauzi ketika masa lapang?

FAUZI: Hobi saya sebenarnya bertukang. Saya suka memaku maku rumah, bukan tambah baik, malah tambah rosak. tapi saya suka bertukang, mengutakatik rumah. Kalau olahraga, saya suka berenang setiap minggu.

UB: Mungkin ada pesan orang tua yang jadi pedoman seharian?

FAUZI: Ayah saya berpesan agar saya bekerja dengan jujur. Apapun yang kamu kerjakan, kamu harus jujur. Ibu saya pula berpesan agar jangan lupa solat. kalau kita solat, kita akan selalu ingat pada Tuhan.Kalau kita ingat Tuhan, pasti kita bekerja dengan jujur.