Ahad, 26 April 2015

HAJI AMINUDDIN ALING, KE SEKOLAH MENUNGGANG KUDA

Tags



HAJI AMINUDDIN ALING, KE SEKOLAH MENUNGGANG KUDA

KECUALI dalam filem-filem koboi, kita jarang mendengar melihat seseorang bepergian dari satu tempat ke satu tempat dengan menunggang kuda. Tetapi bagi personaliti kali ini, kuda adalah kenderaan utamanya ke sekolah. Setiap pagi, beliau akan berangkat dari rumahnya di Kampung Tempasuk 2 ke Sekolah Rendah Kerajaan (SRK) Tambulion dengan menunggang kuda. Sesampainya di sekolah, kuda ditambatkan di pagar sekolah sebelum beliau masuk bilik darjah untuk belajar.

Kisahnya menunggang kuda ke sekolah agak menarik. Beliau terpaksa menunggang kuda kerana tidak ada kereta yang boleh ditumpanginya ada masa itu. Lebih-lebihlagi keadaan jalan raya yang berkelikir dan berdebu.

Jadi bagaimana caranya menjinakkan kuda liar? Haji Mohd Aminuddin Aling tersenyum mendengar soalan yang diajukan kepadanya. Bagi Pesuruhjaya PAS Sabah ini, kerja menjinakkan kuda liar, kerbau atau lembu liar bukan satu perkara yang menghairankan. Lahir dari sebuah keluarga penternak dan petani, beliau mewarisi kemahiran menjinakkan binatang peliharaan sejak kecil lagi.

Haji Mohd Aminuddin Aling dilahirkan pada tahun 1960 di Kampung Tempasuk 2 Kota Belud. Anak kedua dari tujuh adik beradik, lima lelaki dua perempuan ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kerajaan (SRK) Tambulion sebelum meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Arshad Kota Belud selepas mengikuti kelas peralihan di sekolah yang sama. Beliau adalah antara angkatan pelajar yang terakhir mengikuti pelajaran dalam aliran Inggeris kerana selepas itu, pelajaran menengah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Selepas tamat sekolah menengah, Haji Aminuddin bekerja di Lembaga Padi Sabah (LPS)sebelum berhenti untuk menceburi bidang perniagaan. Selain itu, beliau seorang yang rajin mengikuti usrah. Apabila PAS mengembangkan sayapnya, beliau dilantik sebagai Yang Di Pertua PAS Kawasan Kota Belud sejak tahun 1988.Beliau mempelopori penubuhan Sekolah Pondok Fi Zilalil Quran di Kampung Rosob, sebuah sekolah agama rakyat yang melahirkan ramai golongan tahfiz. Sebagai seorang yang istiqamah dalam perjuangan, beliau kini diberikan tanggungjawab untuk menggalas amanah sebagai Pesuruhjaya PAS Sabah.

Wartawan UTUSAN BORNEO,ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN menemui beliau di salah sebuah restoran di Taman Puterajaya Telipok untuk berkongsi pengalaman beliau semasa persekolahan dan selepas menceburi bidang politik khususnya pembabitannya dalam PAS. Ikuti petikan temubual bersama beliau.

UTUSAN BORNEO: Assalammualaikum tuan haji. Terima kasih kerana sudi ditemubual untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Boleh ceritakan sedikit mengenai masa kecil tuan haji? Lahir dimana?

HAJI MOHD AMINUDDIN (HMA): Saya dilahirkan di Kampung Tempasuk Dua, dalam Daerah Kota Belud pada tahun 1960. Tempat lahir saya itu, sekarang terletak benar-benar di Kompleks Sukan Kota Belud, di Butong. Itulah tempat lahir saya dulu. Saya anak kedua dari tujuh orang adik beradik,lima lelaki dan dua perempuan. Keluarga saya adalah keluarga penternak kuda, kerbau dan lembu. Selain itu, mereka juga bertani.

UB: Tentu banyak pengalaman jadi penternak. Pernah jinakkan kuda liar?

HMA: Saya boleh menjinakkan kuda yang liar, kerbau yang sedang membesar dan lembu. Bahkan saya boleh memanggil lembu, dan bila mendengar nama mereka dipanggil, mereka akan datang tanpa kita bersusah payah mencarinya. Untuk menjinakkan lembu, boleh lima ekor satu kali. Tetapi untuk menjinakkan kuda liar, caranya memang berbeza.

UB: Lembu boleh datang bila dipanggil? Bagaimana cara mereka tahu mereka dipanggil?

HMA: Ya.mereka boleh datang jika dipangil. Yang penting mereka boleh mendengar suara kita.Bagaimana tidak, setiap hari kita memanggil nama mereka, dengan sesuatu nama, bermula dari liar hingga menjadi jinak. Hari-hari kita panggil nama mereka. Jika mereka masuk hutan, atau kemana pun, asalkan mereka mendengar suara kita memanggil mereka, mereka akan datang mendekat kepada kita. Itu yang seronok. Betapapun, mereka itu lembu, mereka mengerti bila mereka dipanggil.

UB: Dulu sekolah dimana?

HMA: Saya bersekolah di SRK Tambulion dari darjah satu hingga darjah enam.

UB: Naik apa ke sekolah?

HMA: Saya terpaksa menunggang kuda ke sekolah setiap hari kerana tidak ada kereta pada waktu itu.Kalau adapun agak jarang.Lebih-lebih lagi jalan raya kelikir dan berdebu. Jadi saya ke sekolah dengan menunggang kuda, mungkin satu-satunya orang yang menunggang kuda pada masa itu, sebelum ia diikuti oleh rakan-rakan saya yang lain. Selepas menunggang kuda kira-kira setengah jam, menunggang kuda jam 7.00 dari rumah, sampai di sekolah jam 7.30 pagi.Setibanya di sekolah, saya mengikat kuda saya di pagar di luar sekolah sebelum saya masuk bilik darjah untuk belajar. Kemudian bila loceng berdentang, saya mengambil kuda yang ditambatkan itu untuk pulang. Kadang-kadang ada rakan saya yang mengajak untuk berlumba. Jadinya kami berlumba.

UB: Itu zaman sekolah rendah. Sekolah menengah bagaimana pula? masih naik kuda lagi?

HMA: Sekolah menengah, saya tidak naik kuda lagi. Kerana sekolah terletak agak jauh. Kami terpaksa menumpang di bangsal panjang yang didirikan oleh Datuk Haji Ismail Gimbad, mantan pembantu menteri dalam kerajaan USNO. Kami tinggal di bangsal, yang dia panggil reban ayam, sebuah bangsal panjang.Masa itu beiau adalah wakil rakyat. Ramai anak-anak dusun dari kampung simpang Ranau yang menumpang di bangsal itu. Mereka bawa bekal sendiri, masak sendiri dan belajar menggunakan pelita, tapi oleh kerana pelita banyak jelaga, kami pakai lilin.

UB: Berapa orang yang tinggal di sana masa itu?

HMA: Ada kira-kira sepuluh orang. Kami semua sekolah bridge class sebelum ke form one.

Sebelum bersekolah di Form One (Tingkatan 1) di SMK Arshad pada kami terpaksa mengikuti bridge class (kelas peralihan) kerana masa itu, semua subjek diajarkan dalam bahasa Inggeris. Tahun 1977. Itu adalah tahun terakhir bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar. Selepas itu, bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan.

UB: Siapa rakan sekelas pada masa itu?

HMA: Antaranya Saudara Lamsil Hamidsor, (Naib Yang Di Pertua, Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Ustaz Awang Laiman Haji Ikin (kini Setiausaha Perhubungan PAS Sabah. Selepas tingkatan tiga, saya tidak sambung belajar sebaliknya bekerja di Lembaga Padi Sabah (LPS). Rakan-rakan lain seperti Ustaz Awang Laiman pergi ke semenanjung untuk belajar.

UB: Apa yang tuan haji lakukan selepas tingkatan tiga?

HMA: Sebagai anak lelaki kedua, saya terpaksa membantu orang tua untuk menyara adik-adik yang masih belajar lagi. Selain itu, bagi pengisian ilmu, saya sering pula mengikuti usrah. Kemudian kami membuka pondok Fi Zilalil Quran di Kampung Rosob untuk pendidikan agama. Sekolah itu telah banyak melahirkan tahfiz al-Quran. Antara pelajarnya ialah Ustaz Haji Ibrahim Kisab, imam masjid negeri. Ada ramai lagi yang jadi alhafiz. Walaupun nama sekolah itu, sekolah pondok, tapi SubhanaAllah, sekolah itu banyak melahirkan orang-orang yang hafiz al-Quran.

UB: Bagaimana idea untuk menubuhkan sekolah itu lahir?

HMA: Setiap bulan, kami pimpinan PAS dari tiga cawangan yang ada, Sandakan, Tawau, Kota Belud berkumpul untuk mengadakan perbincangan dan cetusan minda. Salah satu yang kami cetuskan ialah pembinaan sekolah untuk pendidikan agama memandangkan masih tidak banyak sekolah pada masa itu. Saya ada tanah, kalau ada yang menguruskan, kita boleh buka sekolah. Selepas itu, kita cari dana dan gotong-royong untuk membina sekolah. Jalan raya pada masa itu sangat teruk. Tapi sekolah itu terletak di tepi sungai bagi memudahkan bekalan air.

UB: Siapa antara orang yang banyak membantu di peringkat awal?

HMA: Antaranya ialah Drs Zainuddin Awang Hamat, mantan ADUN Limbungan. Waktu itu beliau bertugas di SMK Mat Salleh Ranau, Seorang lagi, pengetua Ustaz Abirairah, orang Pahang yang tiap-tiap tahun bertukar sekolah Setiap tahun kena pindah dari Tawau, Ranau, Sarawak sebelum akhirnya pulang ke Pahang. Inilah antara kendala yang kita hadapi pada masa itu.

UB: Sejak bila terlibat dalam politik?

HMA: Saya terlibat dalam perjuangan berparti sejak 1988. Pada masa itu saya selalu mengikuti program-program usrah bersama-sama dengan pelajar sekolah di Kota Belud.Saya antara orang yang bukan dari kalangan guru atau pelajar, tetapi sering mengikuti usrah sebagai pengisian ilmu. Pada masa itu, Pas Kawasan Kota Belud belum didaftarkan lagi. Apabila didaftarkan saya menjadi Yang Di Pertuanya yang pertama. Saya tidak ada pengalaman, tapi saya terima cabaran.

UB: Boleh cerita sedikit mengenai sejarah PAS di Sabah? Siapa pesuruhjaya yang pertama?

HMA: PAS mula mengembangkan sayapnya di Sabah pada tahun 1988. Pesuruhjaya PAS Sabah yang pertama ialah Haji Hamzah Abdullah.Kemudian diikuti oleh Haji Muhammad Abdullah. Selepas itu dipimpin pula oleh Allahyarham Dr Haji Datu Bandira Datu Alang. Selepas beliau kembali kerahmatullah akibat kemalangan jalanraya di Tawau, beliau digantikan semula oleh Haji Muhammad Abdullah. Kemudian saya diamanahkan pula sebagai Pesuruhjaya PAS Sabah.

UB: Berapa cawangan PAS di Sabah?

HMA: Sejak saya mengambil alih PAS sejak dua penggal lepas, cawangan Pas Sabah bertambah kepada 17 kawasan daripada lapan kawasan sebelumnya. Antara cawangan PAS ialah PAS kawasan Kudat, Kota Belud, Sepanggar, Tuaran, Kota Kinabalu, Putatan, Keningau, Tawau, Sandakan, Kalabakan, Silam, Batu Sapi, Kinabatangan, Beluran, Libaran, Beaufort.

UB: Tahun berapa PAS meletakkan calon dalam pilihanraya di Sabah?

HMA: Pas mula meletakkan calon dalam pilihanraya pada tahun 1986. Waktu itu Pas belum berdaftar di Sabah lagi.Calonnya ialah Allahyarham Jamlidi Haji Oli.

UB: Tuan haji pernah bertanding dalam pilihanraya?

HMA: Saya dipilih bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1999. Sebenarnya pada masa itu saya ditugaskan untuk mencari calon untuk mewakili PAS.Alih-alih saya pula yang diamanahkan untuk bertanding.Pada masa itu belum banyak pengalaman lagi. Antara pengalaman yang menarik ialah Presiden PAS, Datuk Haji Fadzil Noor datang memberi ceramah dan ramai diantara pendengarnya, berbaris di bawah jambatan untuk mendengar ceramah. Majlis ceramah itu diadakan pada sebelah malam, dan ramai yang datang itu tidak mahu dilihat kerana mereka masih terikat dengan kerajaan, malah ada diantaranya penyokong BN.

UB: Sejak akhir-akhir ini timbul pergolakan dalam PAS antara golongan ulama dan profesional.Bagaimana tuan haji melihat perkara ini? Apakah ia tidak menjejaskan sokongan akar umbi?

HMA: Realitinya sokongan terhadap PAS semakin bertambah di seluruh negara walaupun ada orang melihat pergolakan berlaku dalam PAS. Kini keahlian mencecah 1.3 juta di seluruh negara. Sepatutnya kalau ada pergolakan, minat orang ramai akan menurun tetapi ini sebaliknya bertambah. Apa diantara yang menarik, saya kurang pasti, tapi orang semakin yakin terhadap perjuangan PAS. Mungkin selama ini mereka tidak dapat maklumat, maklumat yang adapun hanya dalam tv, tapi mereka dapat maklumat yang sebenar mengenai perjuangan parti, ramai yang tertarik.

UB: Pergolakan dalam PAS tidak menjejaskan sokongan?

HMA; Tidak menjejaskan malah semakin banyak sokongan.

UB: Terima kasih kerana sudi ditemubual oleh Utusan Borneo.

HMA: Terima kasih banyak.