Ahad, 26 April 2015

KAN ASNAH ATU, BAHAGIA DAPAT BERKHIDMAT

Tags



KAN ASNAH ATU, BAHAGIA DAPAT BERKHIDMAT

TEMURAMAH DENGAN PENERIMA ANUGERAH SUKARELAWAN KEBAJIKAN 2014

Beliau seorang tokoh yang disenangi. Sering tersenyum dan selalu membantu masyarakat di sekelilingnya.Di sebalik senyuman manisnya, wanita ini bukan calang-calang orang. Beliau salah seorang wanita di Sabah yang dilantik sebagai Ketua Anak Negeri (KAN), satu jawatan yang jarang dipegang oleh wanita. Tokoh kita kali ini seorang yang amat berpengalaman dalam kegiatan kemasyarakatan. Selain pernah menjadi ketua kampung,beliau juga adalah pengerusi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Keningau sejak lapan tahun kepas, Pengerusi RT Kampung banjar Keningau selama 15 tahun dan Pengerusi Tabika Perpaduan Kampung Banjar sejak 22 tahun lepas. Baru-baru ini beliau dinobatkan sebagai menerima Anugerah Sukarelawan Kebajikan Sabah 2014.

Ketua Anak Negeri (KAN) Asnah @ Hasnah binti Atu dilahirkan di Kampung Banjar Keningau pada tahun 1959. Anak sulung daripada sepuluh adik beradik ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Yuk Yin Keningau dari tahun 1968 hingga 1970 sebelum berpindah ke SRK Banjar dari tahun 1971 hingga 1973. Selepas itu, KAN Asnah menuntut di SMK Gunsanad Keningau dan kemudian di SM St Francis. Pada tahun 1974, beliau mendirikan rumah tangga degan Cikgu Jamal Haji Tamsir dan dikurniakan lima orang cahayamata. Kini beliau mempunyai 9 cucu dan 1 cicit.

Sebelum dilantik sebagai Ketua Anak Negeri (KAN), beliau yang lebih mesra dipanggil kak Asnah ini pernah menjadi Ketua Kampung. Lima tahun selepas itu, beliau dilantik pula sebagai Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan pada bulan September lepas, diberi kepercayaan sebagai Ketua Anak Negeri (KAN) dan bertugas di Mahkamah Anak Negeri (MAN) Keningau.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di salah sebuah restoran terkemuka di ibu negeri selepas beliau menerima Anugerah Sukarelawan Kebajikan 2014. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai pengalamannya dalam bidang sukarelawan.

UTUSAN BORNEO: Tahniah kerana terpilih sebagai penerima Anugerah Sukarelawan Kebajikan 2014. Apa perasaan puan?

KAN ASNAH: Saya bersyukur kerana terpilih sebagai penerima Anugerah Sukarelawan Kebajikan 2014. Saya tidak menyangka tetapi pemilihan ini adalah satu pengiktirafan bukan saja kepada saya tetapi kepada kerja-kerja kesukarelawanan di negeri ini. Saya dipilih dalam bidang sukarelawan kebajikan. Piala, Sijil dan cek disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin. Saya rasa gembira. Bahagia dapat berkhidmat kepada masyarakat.

UB: Sebelum ini puan pernah dilantik sebagai Ketua Kampung. Jarang sekali seorang wanita dipilih sebagai ketua kampung. Selepas itu,puan dilantik pula Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan kini sebagai Ketua Anak Negeri (KAN). Tentu banyak pengalaman pahit manis sepanjang bertugas?

KAN ASNAH: Ketika bertugas sebagai ketua kampung selama lima tahun, banyak juga pengalaman yang diperolehi. Banyak tugas yang dipikul oleh ketua kampung dalam menguruskan hal-hal berkaitan kepentingan masyarakat kampung, mengenai masalah yang dihadapi penduduk, pertikaian, dan adat istiadat. Kalau dikira memang memenatkan tetapi sudah menjadi tugas yang diamanahkan kepada kita.Walau penat, kadang terlampau banyak kerja tapi saya rasa seronok kerana menimba pengalaman.

Kadang-kadang seawal jam enam pagi, ada sudah orang ketuk pintu rumah. Ada yang datang untuk minta tandatangan surat, pengesahan dan sebagainya. Ketika menjadi Wakil Ketua Anak Negeri, sebenarnya hampir sama saja kesibukannya.Tugasnya lebih banyak berkaitan dengan adat istiadat. Kalau ada perbicaraan, Saya jadi pengapit, membaca kes selaras dengan peraturan Mahkamah Anak Negeri. Sekarang sebagai Ketua Anak Negeri,saya membantu menyelesaikan mes-kes mengenai isu adat istiadat, isu keluarga seperti perceraian, isu pertikaian tanah dan sebagainya.Saya rasa gembira dapat berkhidmat kepada masyarakat.

UB: Biasanya apa jenis denda yang dikenakan apabila mereka melakukan kesalahan?

KAN ASNAH: Kita tengok apa jenis kesalahan yang dilakukannya. Misalnya ada kes melibatkan kecederaan. .Kalau cedera atau luka, pengadu hendaklah membuat pemeriksaan perubatan dan membuat laporan polis sebab kita mahu bukti.

UB: Kalau cedera berapa sogitnya?

KAN ASNAH: Bergantung kepada kesalahan yang dilakukan. Berapa sogitnya?. Sogit tidak lari daripada binatang seperti kambing, ayam, babi dan sebagainya. Kalau tidak ada binatang,tidak ada ayam, misalannya, boleh ganti dengan duit. Kerana mungkin susah untuk cari ayam kampung. Kalau dendanya ayam kampung, mesti cari ayam kampung.Ayam karan tidak boleh. Mesti ayam kampung juga.

UB: Jam berapa bertugas di Mahkamah Anak Negeri?

KAN ASNAH: Waktu kerja saya dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang. Sebenarnya Mahkamah Anak Negeri (MAN) Keningau mempunyai dua ketua daerah iaitu OKK Amir Datu Arif dan OKK Majabin Dalinus.Biasanya kalau hari cerah dan tidak hujan, saya lebih suka naik motosikal ke pejabat.

UB: Suka menunggang motosikal?

KAN ASNAH: Setiap hari, saya ke pejabant naik motosikal kalau hari cerah. Ia lebih mudah dan efesien.

UB: Berbalik kepada kegiatan sukarelawan, sejak bila puan terlibat dalam kegiatan sukarela?

KAN ASNAH: Sebenarnya saya terlibat dalam kegiatan sukarelawan sejak lama. Kini saya terlibat sebagai Pengerusi PDK atau Pusat Pemulihan dalam Komuniti. Saya diberi kepercayaan sebagai pengerusi PDK sejak lapan tahun lalu.

UB: Boleh jelaskan sedikit mengenai PDK?

KAN ASNAH: PDK adalah satu kaedah pembangunan komuniti untuk OKU di mana program pencegahan, pemulihan dan pembangunan boleh dilaksanakan dengan penglibatan aktif keluarga dan masyarakat setempat supaya dapat mengecapi peluang sama rata serta diintegrasikan dalam masyarakat . Tumpuan PDK kepada pemulihan dan latihan asas . Ia dibuka kepada uka kepada semua jenis kecacatan, peringkat umur dan jantina.

UB: Bagaimana caranya?

KAN ASNAH: Proses pemulihan dilakukan dalam komuniti tempatan. Ini ciri-ciri PDK. Ibu bapa dan ahli keluarga/komuniti memainkan peranan penting. Pemulihan itu menggunakan teknologi dan kos yang rendah. Kaedah dijalankan secara seliaan di pusat dan seliaan rumah serta menggunakan sumber-sumber komuniti yang sedia ada.

UB: Apa konsep PDK?

KAN ASNAH: Konsep PDK adalah mendekatkan perkhidmatan pemulihan dan intervensi awal untuk OKU di peringkat komuniti tempatan;Memastikan penyertaan penuh dan integrasi sosial OKU dalam keluarga dan komuniti ;Mengurangkan penempatan jangka panjang di Institusi Pemulihan yang menyebabkan OKU disisihkan dari keluarga dan komuniti;Menyediakan peluang untuk OKU membangunkan kebolehan dan kemahiran mengikut potensi yang ada dalam diri mereka dan Membantu dalam mewujudkan masyarakat penyayang yang peka kepada keperluan OKU. Ini konsep yang dilaksanakan PDK seperti yang terdapat dalam laman web PDK. Saya berterima kasih kepada Pengarah Kebajikan Keningau , Encik Ali Hassan kerana banyak membantu. Begitu juga Encik Ishak,Encik Ahmat Razali yang banyak membantu PDK Keningau.

UB: Kami difahamkan puan juga seorang yang aktif dalam Rukun Tetangga.

KAN ASNAH: Saya aktif dalam RT Kampung Banjar sejak 15 tahun lalu. Sebenarnya saya seorang yang suka bermasyarakat sejak dulu lago. Selain itu, saya jadi Pengerusi Tabika Perpaduan sejak 22 tahun lepas. Selain itu,saya juga turut terlibat sebagai AJK Pemadam, Puspanita dan lain-lain lagi. Saya juga adalah Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Keningau, sejak 1994 lagi, Pengerusi Tanah Perkuburan Jalan Tenom. Jiwa saya memang suka berkhidmat dengan masyarakat.

Walaupun banyak pengorbanan tenaga dan wang ringgit tetapi saya tidak berkira sangat asalkan kita dapat berbakti kepada masyarakat.

UB: Dalam politik?

KAN ASNAH: Dalam kegiatan politik, saya pernah menjadi Bendahari Wanita UMNO Bahagian Keningau. Saya juga pernah menjadi penaja UMNO di peringkat cawangan sebagai ketua cawangan.

UB: Bagaimana puan mengagihkan masa?

KAN ASNAH: Sebelah pagi sebelum pergi ke tempat kerja adalah waktu saya bersama keluarga, urusan di rumah. Biasanya saya memasak dulu sebelum ke pejabat. Biar tak ada lauk, yang penting mesti ada nasi.Selepas itu barulah saya buat kerja untuk masyarakat. Hari Sabtu dan Ahad, saya juga bersama keluarga. Ketika berada di rumah juga, saya ambil ruang dan kesempatan untuk menjahit kain, bagi menambah ekonomi keluarga.

UB: Suami tidak menghalang?

KAN ASNAH: Suami saya tidak pernah menghalang. Saya berasa bersyukur kerana beliau sering memberi galakan dan banyak membantu. Selalu prihatin dan bertanya mengenai aktiviti yang dijalankan tetapi dia tidak pernah menghalang.

UB: Apa hobi puan?

KAN ASNAH: Saya minat menghiburkan orang. Saya suka menyanyi. Malah pada tahun 2010, saya pernah menjadi juara pertandingan Suara Emas Perpaduan yang diadakan di Pantai Tanjung Aru. Sebelum itu, pada tahun 2009, saya jadi naib juara ketika pertandingan itu diadakan di Semporna. Pada tahun 2008, saya mendapat tempat ketiga di Sandakan.

Pada tahun 2013, saya juga menjadi johan Bintang Saloma FM Keningau. Saya juga jadi bJuara Suara Klasik 2013 LHDN Keningau.

UB: Minat menyanyi sejak kecil?

KAN ASNAH: Minat menyanyi ini sebenarnya timbul ketika masih sekolah. Dulu kami didenda. Siapa yang pandai nyanyi , tidak boleh pulang. Di situlah timbul semangat saya untuk belajar menyanyi. Selepas itu, saya selalu dijemput menyanyi dengan live band. Saya juga suka jadi pengacara. Malahan kalau ada majlis kahwin, saya selalu diminta jadi deejay, pengacara di kampung sekadar suka-suka.

UB: Apa rahsia kelihatan muda?

KAN: Saya suka masak sayur-sayuran. Suka masak sayur rebus. Nasihat kepada saya kepada generasi muda ialah amalkan gaya hidup sihat dan jauhi kegiatan-kegiatan tidak sihat. Amalkan sikap kejujuran. Kalaujadi pemimpin, jadilah pemimpin yang baik.

UB: Apa falsafah puan dalam kehidupan?

KAN ASNAH: Dalam kehidupan ini, kita mesti jujur dan amanah, Dalam pengalaman saya, selagi kita jujur dan amanah, kita akan diberi kepercayaan oleh masyarakat dan dapat menjalankan tugas kita dengan baik.