Jumaat, 19 Jun 2015

HIDUP INI SATU SURVIVAL, KATA CIKGU HJ MD YUSOF MATTAIM

Tags



HIDUP INI SATU SURVIVAL, KATA CIKGU HJ MD YUSOF MATTAIM

Hidup ini satu survival, jangan kita merasa kepayahan hidup jika kita tidak pandai mengolah bidang kerjaya kita menjadi ceria dan menarik. Seseorang yang tidak cukup lengkap anggota seperti penglihatan akan berusaha mencari cahaya sebagai panduan hidupnya.

Kerjaya sebagai guru mesti kita olah lebih menarik dalam kehidupan kita. Kita boleh belajar dari seorang tukang kasut bagaimana mereka survival dalam hidup, yang penting kita mesti jangan merasa selesa sehingga kita tidak mahu turun padang.

Membujur lalu melintang patah, bunyinya macam kasar tetapi klausa itu memberikan inspirasi untuk kita tidak perlu lemah semangat, jika ada halangan kita mesti cari jalan lain untuk sampai matlamat.Kesusahan banyak mengajar saya erti kehidupan sebenar, saya dapat memilih mana yang terbaik buat saya.

Itulah antara kata-kata personaliti kita kali Guru Besar SK Tanjung Aru 1, Haji Md Yusof Mattaim. Mantan Presiden KGKS Sabah ini bercerita mengenai pengalaman hidupnya sebagai guru.

Haji Mohd Yusof Mattaim lahir di Kampung Menumbok pada 11 Januari 1956.Beliau i mendapat pendidikan awal di PS Pekan Menumbok dari tahun 1963 hingga 1969. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di SMK Sipitang dalam aliran Inggeris hingga peringkat LCE. Bagaimanapun beliau mengulang untuk peperiksaan SRP di SMK Menumbok pada tahun 1974. Pada tahun 1975, beliau bersekolah di SMK Sanzac Kota Kinabalu. Pada tahun 1976, beliau memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran untuk mengikuti Kursus Sijil Perguruan. Selepas tamat kursus, beliau ditempatkan di SRK Serudong Baru Tawau dari tahun 1978 hingga 1982. Kemudian beliau bertukar ke SK Rancangan Klias Beuafort. Bagaimanapun satu tahun kemudian beliau bertukar semula ke SK Kem Kabuta dari tahun 1984 hingga 1986. Selepas itu beliau bertugas sebagai Guru Besar di SK Sungai Tongkang dari tahun 1990 hingga 1997. Cikgu Md Yusof dipindahkan ke SK Kinabutan Besar dari tahun 1998 hingga 2002. Selepas itu saya berpindah ke SK Kampung Contoh Penampang dari tahun 2006 hingga 2008. Kini beliau bertugas sebagai Guru Besar SK Tanjung Aru 1 sejak tahun 2010 hingga kini.
Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Presiden Kesatuan Guru-Guru Kerajaan (KGKS) Sabah selama hampir 12 tahun, dan pernah menjadi Pengerusi Cuepacs selama hampir tiga tahun. Selain itu, beliau juga menjadi Ahli Koperasi Guru Bumiputera Sabah Berhad 2002 2003,Koperasi Pemandu Mini Bas Kota Kinabalu Sabah Berhad 2009,Koperasi Guru Besar Sabah Berhad 2012,Koperasi Pendidik Tg Aru Sabah Berhad 2012 dan ALK Angkasa Sabah 2011-12


Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Ena Abdullah dan dikurniakan tiga cahaya mata, salah seorang daripadanya menuruti jejaknya sebagai seorang pendidik.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual Haji Md Yusof Mattaim di salah sebuah restoran di ibu negeri untuk berkongsi pengalaman beliau dalam bidang perguruan.

 

 

 

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang cikgu?

MD YUSOF: Saya dilahirkan di Kampung Menumbok pada 11 Januari 1956. Saya anak kedua dari lapan adik beradik. Ayah saya Mattaim bin Aspar seorang nelayan manakala ibu saya Aminah binti Bungsu bekerja sebagai peniaga kuih.

Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah, waktu itu dipanggil Government Primary School (GPS) Pekan Menumbok dari tahun 1963 hingga 1969 dari darjah satu hingga darjah enam.

UB: Siapa antara rakan sekolah cikgu di GPS Menumbok masa itu?

MD YUSOF: Antara rakan sekolah saya, Mr Teo Boon Sing, bekas DO, Ali Hassan Abd Hamid, jurutera, Datuk Murshidi Abd Ghafar, Musa Sulaiman, Setiausaha Persekutuan Sabah, Teo Chong Lai dan lain-lain lagi

UB: Rumah kediaman cikgu jauh dari sekolah? Apa kegiatan cikgu selepas balik dari sekolah?

MD YUSOF: Rumah saya tidak jauh dari sekolah. Hanya kira-kira 300 meter saja. Kalau bukan masa sekolah, saya selalu membantu ibu saya jual kuih. Umur saya ketika itu kira-kira tujuh hingga 12 tahun.

UB: Sebaik tamat sekolah rendah, dimana cikgu bersekolah menengah?

MD YUSOF:Selepas tamat darjah enam, saya melanjutkan pelajaran menengah di SMK Sipitang. Pada masa itu, belum ada sekolah menengah di Menumbok. Pelajar-pelajar dari Menumbok terpaksa melanjutkan pelajaran di Labuan, Beaufort, Kuala Penyu atau Sipitang. Sekolah Menengah hanya didirikan di Menumbok pada taun 1973. Saya bersekolah di SMK Sipitang dari Bridge Class hingga Form III dan menduduki peperiksaan LCE (Lower Certificate of Education). Itulah peperiksaan LCE yang terakhir sebelum peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran diperkenalkan pada tahun 1974.Saya repeat di SMK Menumbok hingga lulus SRP. Sebelah pagi saya sekolah agama, pada sebelah petangnya saya bersekolah Inggeris. Antara rakan sekolah saya di sekolah agaa ialah Ustaz Haji Mohd Nor Kasah.

UB: Selepas lulus SRP, dimana cikgu menyambung persekolahan?

MD YUSOF: Saya menyambung pelajaran dalam tingkatan empat di SMK Sanzac. Antara rakan sekelas saya ialah Musli Oli, Eddy Berhan, Hasnah Taulani. Pada tahun 1976, selepas seminggu sekolah dibuka, saya berhenti sekolah. Saya lari ke Maktab Perguruan Kent Tuaran untuk mengikuti kursus perguruan. Saya lari dari sekolah kerana waktu itu umur saya sudah mencecah 20 tahun.

UB: Siapa rakan Cikgu di Maktab Kent masa itu?

MD YUSOF: Antara yang menonjol ialah Cikgu Kaipin Rosmin, senior saya satu tahun di Maktab Kent dan YB Karim Adam, mantan ADUN Kundasang.

UB: Selepas tamat sijil perguruan, dimana cikgu ditempatkan untuk bertugas?

MD YUSOF: Saya adalah antara guru pelatih yang di tempatkan ke Bahagian Tawau tanpa penempatan sekolah yang ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Sabah masa itu, hanya perlu melaporkan diri kepada Pegawai Pendidikan Bahagian Tawau (PPBT) Encik Abd Ghani Mandar. Saya menemuinya dan meminta saya memilih sekolah mana pilihan saya, saya memohon bersama sahabat karib saya antaranya Arwah Hassan Radin, Ali Rahman Andan, Ondiki Tinggi dan lainnya daripada Maktab Perguruan Sandakan. PPBT setuju dan keluarkan surat penempatan khusus untuk saya.

Saya dan rakan-rakan melapor diri ke SRK Serudung Baru, di mana Guru Besarnya Arwah cikgu Isdup Yusof menyambut kami dengan gembiranya kerana kami semua ada lima orang guru baru lelaki yang masih fresh dan bersemangat untuk sedia berkhidmat. Masa itu, kami ditawarkan dengan bilangan kelas yang sedia untuk diajar, guru senior yang sedia ada sudah pun mengambil peranan masing-masing. Saya ditugaskan mengajar di kelas tahun 6 KBSR kecuali Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam.

UB: Dimana letaknya SRK Serudung Baru itu cikgu? Bagaimana pengalamam cikgu ketika bertugas di sana?

MD YUSOF: SRK Serudung Baru merupakan sekolah dalam penempatan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) Kawasan Tanaman Kelapa Sawit Balung, Tawau. Jauh dari bandar Tawau lebih kurang 18 batu dengan menaiki bas sebagai pengangkutan awamnya. Sebagai guru baru, kami sentiasa bersama dalam mengurus aktiviti sekolah, kami ada visi dan misi untuk mempromosikan Serudung Baru sebagai sekolah bitara yang digeruni di kawasan Balung.

Sejak dari tahun pertama kami di sekolah ini, kami merancang membuat pelbagai aktiviti kebudayaan dan kesukanan, cikgu Ag Abu Bakar Ag Tengah adalah pelapor kami ke media akhbar tempatan. Ramai belia dan beliawanis Serudung Baru terlibat menyertai aktiviti yang kami anjurkan seperti olahraga, sukan dan permainan serta kebudayaan, seni tari dan nyanyian. Akhirnya pada penghujung tahuan 1978 kami menubuhkan Persatuan Pencinta Seni Tawau (Pesnita) yang dipengerusikan oleh saudara Chacho Mohama.

Tahun 1979 saya masih di sekolah ini sebagai tahun kedua, saya diputuskan oleh Guru Besar mengajar kelas Tahun 3 yang terletak di bahagian Blok Bangunan lama selama hampir 4 tahun sehingga saya memohon tukar balik ke Pejabat Pendidikan Bahagian Beaufort 1982.

UB: Selepas bertukar ke Beaufort, di sekolah mana cikgu ditugaskan?

MD YUSOF: Saya ditempatkan ke SK Rancangan Klias, untuk ke dua kali lagi saya bertugas di penempatan LKTNS. Di Zon Klias saya diamanahkan sebagai Setiausaha MSSS Zon Klias, Bagaimanapun, 1 tahun setengah, maknanya pertengahan 1984, Julai saya balik semula ke SK Kem Kabuta, Tawau.

UB: Jadi cikgu balik semula ke Tawau?

MD YUSOF: Saya balik semula ke Tawau dan bertugas di SK Kem Kabuta, Tawau kerana pertukaran atas dasar suka sama suka dengan arwah Ak Mahmud Pg Ahmad yang mahu balik ke Beaufort.

UB: Tentu banyak pengalaman cikgu sewaktu bertugas di Tawau?

MD YUSOF: Di sekolah ini sebagai guru kanan saya diarah oleh Guru Besar menjadi Guru Pemulihan Khas, saya menerimanya dan mengikuti kursus pemulihan di Maktab Perguruan Sandakan pada tahun 1985. Tahun 1986 saya dah sedia untuk membuka bilik kelas pemulihan, tetapi saya mendapat tawaran untuk memangku jawatan Guru Besar yang mulanya diberitakan di SK Umas-Umas tetapi kerana peristiwa di SK Sg Tongkang yang lebih kritikal saya diarah oleh Pegawai Pendidikan Daerah ke SK Sg Tongkang, Pulau Sebatik. Saya dibawa oleh PPD masa tu arwah Syarif Kassim ke sekolah berkenaan. Beliau memberikan ucapan dan jaminan untuk membantu menyelesaikan masalah di SK Sg Tongkang, Pulau Sebatik. Di sekolah pertama ini saya ikhtiarkan sebuah surau sekolah untuk praktikal kandungan amali pendidikan Islam. 4 tahun saya di SK Sg Tongkang, saya ditukarkan ke SRK Ladang Tiger atas alasan anak-anak saya membesar dan memerlukan pendidikan asas Islamiyah.

Di era ini saya dilantik menjadi Bendahari PSKPPS dan Setiausaha Hari Bosnia Tawau.

UB: Saya difahamkan cikgu juga terlibat memberikan idea awal kepada penubuhan sekolah islamiyah sewaktu bertugas di Sungai Tongkang?
MD YUSOF: Di sekolah ini saya mencadangkan PIBG menubuhkan sekolah rakyat Islamiyah, PIBG setuju kerana kebetulan masyarakat di sini majoriti Muslim. Saya mendominasikan keadaan yang ada untuk memajukan agenda PIBG dan Jawatankuasa Masjid untuk merealisasikan visi menubuhkan SAR Ladang Tiger. Visi ini berjaya ditubuhkan dan masih berfungsi sehingga ke hari ini. Saya bertahan di sekolah ini sehingga 8 tahun iaitu dari 1990 1997. Banyak kenangan dan memori manis di sekolah ini.


UB: Selepas itu, dimana cikgu ditugaskan?

MD YUSOF: Pada tahun 1998 hingga 2002, saya ditukarkan ke SK Kinabutan Besar Tawau. Di SK Kinabutan Besar ini saya memegang jawatan YDP MGB Tawau selama hampir 4 tahun selepas Saudara Raduan Hj Donald melepaskan jawatan kerana bersara.

Di sekolah ini saya membina bilik Kemahiran Hidup (dekat dewan) secara berperingkat dan Bilik Perawatan Kesihatan Gigi (bawah rumah guru). Saya banyak membuat hubungan baik dengan komuniti luar terutama dengan masyarakat kampung. Di sini saya diberikan mandat oleh perwakilan sebagai Presiden KGKS Negeri Sabah selama hampir 12 tahun. Dan sebagai Pengerusi Cuepacs Sabah selama hampir 3 tahun.

UB: Sebenarnya apa cita-citu cikgu sewaktu masih kanak-kanak?

MD YUSOF: Sebenarnya saya lebih minat kepada unit beruniform, sama ada mahu jadi anggota Polis, Tentera atau Imigresen tapi tidak kesampaian.

UB: Apa prinsip yang jadi pegangan hidup cikgu?

MD YUSOF: Mesti berani mencuba. Jangan takut gagal. Kita kena cuba, jangan mengalah.

UB: Mungkin cikgu ada kata-kata nasihat kepada rakan-rakan guru?

MD YUSOF: Ramai rakan guru bila terasa hidup selesa tidak mahu berganjak daripada keselesaan, sebenarnya dengan keselesaan itu membuatkan kita tidak kreatif dalam hidup ini.

Sekadar menyebut beberapa nama, saya tidak boleh lari dari mereka kerana mereka adalah sumber inspirasi dalam kehidupan saya sehingga kini saya memilikinya.

Ramai rakan guru menyebutkan aktiviti luar itu seperti berkaitan dengan bidang tugas hakiki mereka sebenarnya aktiviti luar itu berkait rapat dengan aktiviti yang tidak berbayar gaji.

Hidup ini satu survival, jangan kita merasa kepayahan hidup jika kita tidak pandai mengolah bidang kerjaya kita menjadi ceria dan menarik. Contoh seseorang yang tidak cukup lengkap anggota seperti penglihatan akan berusaha mencari cahaya sebagai panduan hidupnya.

Kerjaya sebagai guru mesti kita olah lebih menarik dalam kehidupan kita, kita boleh belajar dari seorang tukang kasut bagaimana mereka survival dalam hidup, yang penting kita mesti jangan merasa selesa sehingga kita tidak mahu turun padang.

Membujur lalu melintang patah, bunyinya macam kasar tetapi klausa itu memberikan inspirasi untuk kita tidak perlu lemah semangat, jika ada halangan kita mesti cari jalan lain untuk sampai matlamat.

Kesusahan banyak mengajar saya erti kehidupan sebenar, saya dapat memilih mana yang terbaik buat saya.

Pengalaman ini banyak saya dapati dalam berkesatuan, ramai dapat kawan dan membuat penilaian. Kita tidak boleh sangat berharap dan mengharap kerana semuanya tidak boleh menjanjikan dengan satu keputusan yang memuaskan hati kita.

Ramai kawan kita berpotensi untuk menyampaikan aspirasi mereka tetapi sayang mereka tidak aktif dalam berkesatuan untuk menyalurkan maklumat yang baik itu.

Sesuatu yang menjadi pengajaran dalam hidup saya ialah saya tidak boleh keciwa dengan keadaan yang tidak sempurna kerana ianya akan membuatkan kita lebih dikeciwakan.

Sesuatu yang tidak ramai rakan guru lakukan ialah membuat kajian sebelum memulakan khidmat bakti apabila sampai ke suatu tempat yang dirasakan amat asing.