Selasa, 25 Julai 2017

EMIN MADI MENCIPTA IDENTITI DALAM DUA GENRE PENULISAN

Tags



EMIN  MADI MENCIPTA IDENTITI DALAM DUA GENRE PENULISAN

DUNIA kewartawanan di Sabah pada era 70 hingga 90-an tidak dapat dipisahkan dengan nama Emin Madi. Beliau pernah menjadi pemberita seterusnya Pengarang Bahasa Melayu di Sabah Times, akhbar tertua di negeri ini. Emin adalah wartawan yang disegani dan dihormati.
Selain terkenal sebagai wartawan, Emin juga dikenali sebagai seorang sasterawan melalui beberapa karya cerpennya yang tersiar di suratkhabar. Novelnya Salarom, pernah terpilih sebagai pemenang  hadah ketiga (tiada pemenang pertama dan kedua) Sayembara Menayembara Mengarang Sempena 50 Tahun Merdeka yang diadakan oleh Dewan Bahasa Pustaka tahun 2008. Kini walaupun sudah bersara, beliau masih terus bergiat dalam bidang penulisan tanahair.

EMIN MADI lahir di Kampung Sinungkalangan, Tambunan pada 29 November 1949 tetapi membesar di Kampung Bayangan, Keningau. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Binaong (kini SK Binaong) Bingkor seterusnya ke Government Junior Secondary School  (kini SMK) Kemingau pada tahun 1963. Pada tahun 1965, beliau menyertai 3 Renjer Angkatan Tentera Malaysia . Selepas lima tahun dalam angkatan tentera, beliau menyambung pelajaran secara persendirian hingga lulus tingkatan lima. Pada masa yang sama beliau berjinak-jinak dalam dunia persuratkhabaran sehingga diterima sebagai pemberita di Sabah Times pada tahun 1973.
Emin pernah mengikuti kursus kewartawanan selama 12 bulan di Berita Harian Kuala Lumpur. Di sana beliau mendapat bimbingan terus daripada beberapa tokoh penulis dan wartawan tahair seperti Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail, Datuk A Samad Said, Sutan Shahril Lembang, Samani Amin dan Zubaidah Abdul Rahman,Zainudin Bendahara.  Selepas  bekerja selama 22 tahun di akhbar tertua di Sabah, pada Februari 1995, Emin dilantik sebagai Setiausaha Akhbar kepada  Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah hingga Mei 1995. Pada tahunn 1998, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menjadi Setiausaha Akhbar kepada Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam hingga 2002.
Beliau mendirikan rumah tangga dengn Siti Habsah Abdillah dan dikurniakan dua cahaya mata, Mohd Ezrie dan Mohd Erwin. Beliau kini menumpukan masa dalam dunia penulisan kreatif, pernah menghasilkan novel, antaranya Salarom, dan kini  sedang menanti novelnya The Green Gold of Borneo, ,yang ditulis dalam bahasa Inggeris, terbit  tahun ini.


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di salah sebuah premis di Jalan Pantai. Ikuti petikan temubual bersama beliau;
Boleh ceritakan sedikit latar belakang abang? Sekolah dimana?
Saya lahir di kampung Sinungkalangan, Tambunan dan membesar di Kampung Bayangan, Keningau.  Memulakan persekolahan di SRK (dahulu GPS) Binaong, Bingkor  dan seterusnya di Government Junior Secondary School (kini SMK) Keningau  pada tahun 1963 hingga 1965, hanya sempat duduk tingkatan dua beberapa bulan sahaja kerana menyertai perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia, iaitu Rejimen Ranger Malaysia, pada tahun 1965 dan berhenti pada tahun 1970. Ambil kelas lanjutan hingga lulus SPM.

Bagaimana terlibat dalam bidang kewartawanan? Apa yang menyebabkan abang tertarik menjadi wartawan?
Pada awal 70’an semasa bekerja dengan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), saya mula berkenalan dengan beberapa orang penulis Sabah, antaranya Hussein Qassau.
Minat saya dalam kewartawanan berkembang melalui pembabitan dalam  Sinar USIA, malahan semasa di USIAlah saya dihantar bekerja sambil belajar di akhbar Berita Harian/Berita Minggu, Kuala Lumpur, selama hampir setahun sekitar tahun 1975.
Minat dalam kewartawanan juga timbul apabila sering membaca akhbar Kinabalu Sabah Times (kini The New Sabah Times) dan yang paling menarik perhatian saya ialah nama-nama wartawan terkenal pada ketika itu, termasuklah  A.K. Aliuddin, K. Bali dan T.S. Hamid, sering terpampang di dada akhbar. Saya sangat kagum dengan cara penulisan mereka.

Apa pemerhatian abang tentang situasi atau trend kewartawanan sekarang?.
Bagus. Saya tengok ramai pemberita muda-muda belaka dan sangat berbakat. Cuma saya berharap pemberita muda jangan mudah berpuas hati dengan pencapaian kerjaya kewartawanan mereka.
Jangan segan silu menimba pengalaman daripada mereka yang lebih berpengalaman.  Saya lihat ada keperluan bagi pemberita-pemberita muda untuk berfikir lebih kreatif dan agresif dalam mencari bahan-bahan berita atau rencana yang ekslusif.
Saya lihat isu alam sekitar kurang diketengahkan, sedangkan banyak perkara menarik yang boleh ditulis mengenainya.
Masih aktif dalam kewartawanan?
Ya, wartawan sambilan dengan Bernama dan banyak tumpukan penulisan rencana.

Bila kali pertama menulis karya sastera? Cerpen?
Tak berapa ingat, mungkin sekitar 80’an saya mulai menulis cerpen.

Boleh cerita sedikit mengenai novel Salarom?
Salarom adalah novel dokumentari-fiksyen pertama saya. Novel itu kemudiannya memenangi hadiah ketiga (tiada pemenang pertama dan kedua) Sayembara Mengarang Sempena 50 Tahun Merdeka yang diadakan oleh Dewan Bahasa Pustaka tahun 2008.
Ceritanya berkisar tentang kehidupan masyarakat Murut di Kampung Salarom, sebuah penempatan terpencil di daerah Pensiangan, Sabah. Kebetulan saya berpeluang berkunjung ke tempat itu dan sangat tertarik dengan keindahan dan keunikan alam persekitarannya. Akhirnya saya terdorong untuk menulis novel mengenainya.

Khabarnya sedang menyiapkan novel dalam Bahasa Inggeris? Apa ceritanya?
Ya betul. Ia berjudul ‘The Green Gold of Borneo’ dan sebenarnya sudah siap sepenuhnya. Sahabat karib saya, Zahir Ahmad, yang juga bekas wartawan, banyak membantu dalam kerja-kerja penyemakan manuskrip awal, terutama dari segi Bahasa Inggeris. Saya sebenarnya sudah menulis dua karya kreatif dalam Bahasa Inggeris tetapi tidak mengetengahkannya kerana saya merasakan ia kurang mantap dari pelbagai segi.
Karya itu genre ‘docufiction’ (documentary-fiction).  Ceritanya adalah gabungan unsur-unsur mistik, alam sekitar serta banyak berkisar di Maliau Basin, salah sebuah konservasi hutan paling penting di Sabah, yang juga dikenali sebagai ‘Dunia Yang Tidak Ditemui’ (Sabah’s Lost World).
 Saya juga memanfaatkan pengalaman-pengalaman sebenar yang saya alami dan perolehi melalui beberapa kajian sumber dan hidupan liar di Lembah Danum, Imbak Canyon dan Maliau Basin yang melibatkan para saintis dari dalam dan luar Negara.
Memerhatikan para saintis dan para penyelidik melakukan kerja-kerja penyelidikan fauna dan flora merupakan satu pengalaman yang paling hebat pernah saya alami sepanjang kareer saya sebagai wartawan.
Bagaimana penulis kita bersaing dalam sastera di peringkat antarabangsa?
Ini soalan baik. Saya fikir penulis-penulis di Malaysia, khususnya di Sabah, tiada pilihan selain memikirkan bagaimana hendak menghasilkan karya yang mempunyai potensi menembusi pasaran bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa.
Maksud saya, karya-karya yang mempunyai kelainan dan keunikan cerita. Justeru, kena banyak usaha untuk menggali dan mencari cerita-cerita sedemikian.
Itulah sebab utama mengapa saya begitu bersemangat untuk menghasilkan The Green Gold of Borneo. Kerana, saya fikir,  itu sahaja cara untuk mencari potensi pemasaran karya baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.
Bukan untuk membanggakan diri sendiri, tetapi semata-mata kerana didorong untuk mencari sesuatu kelainan, selain mahu mencabar setakat mana kemampuan menulis dalam Bahasa Inggeris.
Saya sedang berusaha mencari penerbit di dalam dan luar Negara untuk menerbitkan The Green Gold of Borneo. Inipun bukan satu perkara yang mudah, terutamanya mencari penerbit tradisional.
Apakah cabaran yang dihadapi oleh penulis masakini?
Cabaran paling besar ialah bagaimana penulis, terutama sekali pengkarya sastera, boleh hidup dengan hasil karya mereka. Persoalannya, setakat manakah kebolehpasaran karya-karya penulis tempatan masakini?
Berapa ramai penulis di negara ini yang mampu berdikari melalui hasil pemasaran karya-karya sastera mereka? Saya tidak fikir penulis hanya mementingkan soal menghasilkan karya semata-mata.
Kita bersyukur kerana ada badan-badan penulis di Sabah yang begitu aktif merangsang dan mmberi galakan kepada para penulis untuk terus  berkarya.
Dan juga kita berterima kasih kerana institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan Buku Malaysia sentiasa memberi ruang kepada para penulis tempatan dari segi penerbitan karya-karya mereka. Namun demikian, kita masih berhadapan dengan isu kebolehpasaran karya-karya sastera.
Bila waktu menulis?
Biasanya saya menulis di waktu pagi. Tetapi kemunculan ilham tidak menentu. Jadi, saya pastikan saya sentiasa membawa buku nota. Kena cepat-cepat tulis idea yang datang. Walaupun dua atau tiga perkataan sahaja, tetapi apabila dihuraikan boleh menjadi satu atau dua lembar.
Pengalaman pahit manis sebagai wartawan?
Pengalaman manis ialah semasa bekerja sambil belajar hampir setahun di akhbar Berita Harian dan Berita Minggu, Kuala Lumpur, sekitar tahun 1975.
Saya merasakan seperti orang kerdil kerana dikelilingi oleh nama-nama besar dalam dunia kewartawanan dan kesusasteraan tanah air, seperti Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri A. Samad Ismail, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Shahril Lembang, Samani Mohd. Amin, Zubaidah Abdul Rahman, Zainuddin Bendahara dan ramai lagi. Mereka itu adalah sifu-sifu saya.


DR JANATHAN KEHIDUPAN YANG SERBA ORGANIK

Tags


DR JANATHAN KEHIDUPAN YANG SERBA ORGANIK
-KURA-KURA, BURUNG, KAMBING, RAKAN SEPERMAINAN SAYA SEWAKTU KECIL, KATANYA.

Pada masa kecil semuanya serba organik. Barang mainan kita kutip dari alam semulajadi seperti kura-kura, burung, kambing, kerbau dan lain-lain. Semuanya serba organik. Inilah keuntungan anak seorang petani, yang hidup dalam persekitaran luar bandar, dan hidup berlatar alam semulajadi, kata Pengarah Kastam Negeri Sabah, Dato Dr Haji Janathan Kandok.

Waktu kecil saya tiada kawan tetapi tidak mengapa kerana saya mempunyai rakan sepermainan, iaitu kambing, kerbau, ayam, kura-kura, katanya. Beliau mengaku kerana kenakalannya beliau pernah memberi makan ayam dengan nasi panas, memandikan kambing, melumurkan arang di kepala ayam jantan dan sebagainya, dan banyak lagi cerita lain dari tokoh yang sudah 42 tahun berkhidmat di Jabatan Kastam.

Dato'  Dr. Haji Janathan Kandok dilahirkan di Kg. Damai, Tandek, Kota Marudu pada 29 Ogos, 1957. Beliau adalah anak  ke tujuh dari lapan bersaudara. Beliau memulakan persekolahan di SRK Tandek Kota Marudu pada tahun 1967 hingga tamat darjah enam pada tahun 1970. Beliau melanjutkan pendidikan  di SMK Kudat pada tahun 1971. Selepas mendapat keputusan cemerlang dalam tingkatan tiga, beliau  meneruskan lagi persekolahan  di Sekolah Menengah Abdullah Munshi pada tahun 1974 sehingga tamat Tingkatan Lima pada tahun 1975.

Janathan mula menjadi penjawat awam berpangkat Pegawai Kastam Tingkatan 1 di Kudat pada 19 Oktober 1976. Enam tahun kemudian, iaitu pada tahun 1982, Janathan  mengambil cuti tanpa gaji untuk melanjutkan pendidikan di Walsh University, USA hingga lulus Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan Kewangan.

Sekembalinya ke Sabah,, beliau dilantik sebagai Penguasa Kastam dalam tahun 1985.  Bagaimanapun, sekali lagi beliau melanjutkan pendidikan di luar Negara pada tahun 1993, iaitu  di Hull University, England dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Pendidikan, Latihan dan Pembangunan..  Kemudian beliau dinaikkan pangkat ke jawatan Penolong Pengarah Kastam dan dalam masa yang sama  dilantik sebagai Pengarah Akademi Kastam Diraja Malaysia, Sabah dalam tahun 1994.  Selepas itu, beliau dinaikkan pangkat lagi sebagai Penolong Kanan Pengarah Kastam Gred W48 dan dipertanggungjawabkan mengetuai Pusat Antarabangsa Kastam di Akademi Kastam Diraja Malaysia, Melaka. Pada tahun 2003, beliau  ditukarkan ke Sabah mengetuai  Cawangan Operasi dan Siasatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Sabah sebelum ditempatkan ke Cawangan Risikan Kastam Sabah pada tahun 2004.Pada tahun 2006, beliau dinaikan pangkat sebagai Penolong Kanan Pengarah Kastam Gred W52, mengetuai kembali Cawangan Operasi dan Siasatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Sabah sebelum dilantik sebagai Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2008. Tiga bulan kemudian Janathan dinaikan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Kastam Gred W54, mengetuai  Bahagian Perkhidmatan Teknik Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Sabah. Pada tahun 2008,  beliau melanjutkan pendidikan Universti Malaysia Sabah dan berjaya merangkul  Ijazah Doktor Flasafah dalam bidang Seni Kreatif dalam tahun 2011. Pada 13 Februari, 2012, Janathan dinaikan gred jawatan ke Jawatan Utama Sektor Awam Gred C (JUSA C) dan dalam masa yang sama dilantik sebagai Pengarah Kastam Negeri Sabah yang ke xiii.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara Dato Dr Haji Janathan Kandok di salah sebuah restoran popular di Jalan Gaya Kota Kinabalu. Dalam wawancara itu, belaiu bercerita mengenai pengalaman masa kecil hidup dalam persekitaran organik, kenakalan semasa kanak-kanak dan alam persekolahannya. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:


UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Dato?

DATO DR HAJI JANATHAN KANDOK: Saya lahir dua hari sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Setiap tahun saya menyambut hari kelahiran ketika seluruh rakyat Malaysia dalam suasana menyambut hari kemerdekaan. Itu yang membuat saya merasai dua kegembiraan. Pertama, menyambut kemerdekaan dan satu lagi menyambut hari lahir sendiri.

UB:Mungkin banyak cerita menarik sewaktu kecil?

JANATHAN: Pada masa kecil semuanya serba organik. Barang mainan kita kutip dari alam semulajadi seperti kura-kura, burung, kambing, kerbau dan lain-lain. Semuanya serba organik. Inilah keuntungan anak seorang petani, yang hidup dalam persekitaran luar bandar, dan hidup berlatar alam semulajadi.

Pada zaman itu, pergi sekolah bukanlah keutamaan. Mungkin kerana lahir dikelilingi alam semulajadi yang cantik, indah dan rakan-rakan sekampung tidak ramai yang saya nampak pergi sekolah.

Walaupun kami tinggal di kampung tetapi tidak seperti keadaan perkampungan sekarang, yang rumahnya rapat-rapat. Kami mempunyai tanah yang cukup luas, kira-kira 10 ekar atau lebih. Di atas tanah itulah ibu bapa saya tinggal. Walapun di pinggir kampung, kami tidak tahu jiran kami kerana letak rumah yang berjauh-jauhan.

UB: Tadi Dato mengatakan masa itu pergi sekolah bukanlah keutamaan?. Jadi bagaimana Dato bersekolah?
JANATHAN: Saya lambat masuk sekolah. Hanya sesudah dua orang abang saya, Cikgu Masingkan dan Cikgu Singki berjaya memujuk saya untuk pergi ke sekolah, barulah saya bersekolah. Tetapi agak terlambat kerana usia sudah agak lanjut mengikut ukuran sekarang. Kerana itu apalagi pilihan terbaik oleh guru besar selain memasukkan saya terus ke  darjah dua, tanpa kenal ABC.

UB: Belum kenal ABC?
JANATHAN: Saya  memulakan persekolahan dengan  tanpa kenal ABC, agak perit juga. Contohnya, disuruh mengeja perkataan semudah s-a-y-a, pun saya tidak mampu.

UB: Jadi kena denda?
JANATHAN: Disuruh berdiri atas meja adalah perkara biasa namun ini memberi kesedaran yang mendalam kepada diri saya.Bahawa sesuatu harus dilakukan jika tidak mahu berterusan berdiri di atas meja ditonton oleh rakan sekolah yang lain dengan pandangan-bukan mengejek - tetapi memalukan.Ia mendorong saya belajar lebih rajin lagi

UB: Di mana Dato mula bersekolah?
JANATHAN: Saya bersekolah rendah di SRK Tandek pada tahun 1967.

UB: Dengan apa ke sekolah? Jauhkah sekolah dari rumah?
JANATHAN: Antara angan-angan masa itu ialah memiliki sebuah basikal supaya saya dapat mengelak daripada berjalan kaki tujuh batu jauhnya dari rumah atau 14 batu pulang balik.

UB: Jauh juga rupanya. Selalu lambat ke sekolah?
JANATHAN: Walaupun begitu saya tidak kerap lambat ke sekolah kerana awal pagi lagi saya sudah ke sekolah. Kalau balik , saya sampai ke rumah jam tujuh atau lapan malam . Ini berlaku apabila saya berada dalam darjah empat kerana sekolah sesi petang.

UB: Bagaimana dengan angan-angan beli basikal?
JANATHAN: Angan-angan itu itu tidak kesampaian sehinggalah saya darjah enam.

UB: Dengan jarak perjalanan yang begitu jauh, pernahkah timbul perasaan mahu berhenti sekolah?
JANATHAN: Saya pernah beberapa kali berhenti sekolah kerana faktor jarak jauh daripada sekolah tetapi tiba satu ketika rakan sekampung saya, yang juga kaum kerabat, saya nampak mereka ke sekolah beramai-ramai. Ini telah menggerakkan kembali semangat bersekolah sehingga saya lulus darjah enam.

UB: Mungkin banyak pengalaman lucu yang dialami? Boleh cerita sedikit?
JANATHAN: Pengalaman lucu semasa bersekolah? Banyak. Contohnya naik kereta.Kereta pada masa itu bukan banyak.Selain kereta PWD yang berwarna merah, hanya ada dua atau kereta lain land rover yang berwarna kelabu asap, yang saya nampak melintas di jalan raya.

UB: Kemudian?
JANATHAN: Maklumlah anak-anak mesti ada kenakalan. Saya sengaja menunggu kereta lamd rover di jalan raya yang berlumpur,ia mesti bergerak perlahan atau `terberhenti’ sekejap, terkial-kial di atas lumpur, masa itulah saat paling baik untuk bergayut. Setiap kereta itu ada tempat bergayut, pemandu tidak menyedari kerana kereta itu memang sarat dengan penumpang. Gayutan seumpama itu bukan selalu menguntungkan kerana ketika saya mengharapkan ia berhenti di SRK Tandek, dia terlajak tidak menurunkan penumpang sebaliknya hanya berhenti jauh dari situ.Jadi terpaksa berjalan kaki ke sekolah. Naik kereta itu bukan selalu ada.


UB: Berapa kadar tambangnya?
JANATHAN: Saya tidak bayar tambang. Naik percuma saja.
UB: Berapa bekal ke sekolah?
JANATHAN: Saya ke sekolah tidaklah dengan perut kosong kerana saya bersarapan ‘mogintopod’,apa makanan yang lebihan semalan, itu yang dimakan. Tiada bekal. Kemudian kalau dapat bekal lima sen atau sepuluh sen, tapi jarang ada begitu,poket diikat dengan getah takut tercicir, Saya takut hilang

UB: Apa yang boleh dibeli dengan duit sepuluh sen?
JANATHAN: Sepuluh sen, sudah boleh dapat,, kuih pau besar isinya. Air tidak perlu beli kerana sungai Tandek yang tidak jauh dari sekolah, hanya beberapa langkah dari sekolah  menjadi air mineral bagi kami. Kalau haus datang ke sungai, terus minum airnya.

UB: Siapa rakan sepermainan sewaktu kecil?
JANATHAN: Rumah kami agak terasing dari rumah jiran-jiran. Saya tidak punya rakan sepermainan. Kakak perempuan saya tidak sesuai jadi rakan sepermainan Pada masa saya kecil, saya merupakan anak bungsu pada ketika itu.Beza usia saya dengan adik saya ialah tujuh tahun.
 Jadi waktu kecil saya tiada kawan tetapi tidak mengapa kerana saya mempunyai rakan sepermainan, iaitu kambing, kerbau, ayam, kura-kura.Saya ingat ada juga kenakalan di situ.

UB: Apa kenakalannya? Boleh ceritakan?
JANATHAN: Saya pernah beri makan ayam dengan nasi panas. Bila ayam tu makan nasi panas , sebaik menelannya, ia berterbangan kerana kepanasan. Kanak-kanak apalah tahunya.Kita hanya terhibur oleh ayam yang kepanasan itu.

UB: Rupanya Dato nakal juga sewaktu kecil. Ada lagi?
JANATHAN: Saya juga pernah memandikan kambing. Kambing kan takut hujan. Lagi sekali sebagai budak kecil, saya hanya seronok melihat kambing yang kesejukan.
Ayam yang jarang bersabung, kepalanya saya lumurkan dengan arang hitam. Bila saya lepaskan, banyak ayam jantan lain yang mematuknya, ,menyangka ia ayam baru.Pertarungan yang hebat terjadi. Itu lah antara kenakalan saya.

Banyak lagi kenakalan saya. Ada juga kenakalan saya itu dibalas Tuhan serta merta. Ini berlaku apabila saya mencuri rambutan. Kerana rambutan itu baru dipetik, kulitnya agak keras.Terpaksa digigit.  Eh, lain rasanya.Saya tidak menyedari rambutan itu ada tahi ayam kerana rupanya ayam tidur di dahan pokok rambutan. Itulah pembalasan segera.

Satu lagi. Dulu tidak ada minuman coca cola atau seven up. Mungkin juga sudah ada tapi belum sampai di kampung kami. Jadi apa lagi pilihan terbaik selain dari buah kelapa muda. Bapa saya pula larang saya ambil kelapa, biar jadi kelapa tua kerana ia boleh dijual. Tapi namanya pun kanak-kanak, saya tak peduli.Pulang dari sekolah terus panjat pokok kelapa.Sekali lagi pembalasan segera atas kenakalan itu. Satu masa ketika memanjat itu, ular mahu turun dari atas pokok kelapa dalam keadaan one way. Tiada pilihan lain melainkan  terpaksa menggelunsur. Anda boleh bayangkan keadaan dada saya selepas menggelunsur itu. Sejak hari itu, nasihat bapa saya, saya patuhi.

UB: Apa impian Dato sewaktu kecil?
JANATHAN: Waktu kecil saya menyimpan angan-angan.  Begini ceritanya.Rumah kami tempat laluan kapal terbang. Boleh dikatakan setiap kali pukul 4.00 petang, kapal terbang lalu. Sehingga kerana terlalu kerap, kapal terbang itu jadi penanda waktu. Kadang-kadang ia sengaja terbang rendah, nampak dadanya. Sehingga timbul angan-angan bagaimana rasanya naik kapal terbang itu.
Satu lagi angan-angan iaitu setelah saya pandai menulis, ialah menjadi penulis dan memiliki suratkhabar.Ini agak lucu.Kakak saya pernah menganggap perbuatan saya menulis sesuatu atas kertas kemudian menampalkannya di pokok kelapa sebagai kerja gila. Saya harap orang baca  apa yang saya tulis. Saya tidak ingat lagi apa yang saya tulis dan lekatkan di pokok kelapa itu. Itulah satu kegilaan yang dikatakan oleh kakak saya. Akhirnya saya berjaya menjadi penulis.

UB: Berbalik kepada cerita sekolah. Selepas sekolah rendah, di mana Dato bersekolah menengah?
JANATHAN: Setelah tamat darjah enam, saya ke Kudat menuntut di SMK Kudat, walaupun masa itu sudah ada SMK Bandau. Satu lagi perkara yang saya kesali ketika saya di bangku sekolah menengah ialah apabila salah seorang guru saya tidak benarkan saya masuk ke kelasnya selama kira-kira satu tahun. Anehnya, saya tidak sedikitpun berasa takut gagal.  Perkara ini berlaku kerana salah saya sendiri yang terlalu nakal.Saya harap guru saya itu dapat memaafkan kenakalan seorang murid.Walaupun saya tidak masuk kelas guru kaji hayat itu, saya dapat markah kepujian ketika peperiksaan.

Setelah peperiksaan tingkatan tiga, saya menjadi salah seorang top student atau pelajar terbaik di Kudat pada tahun 1973. Kerana itu saya dihantar belajar ke Semenanjung, di Pulau Pinang dan diberikan biasiswa oleh Yayasan Sabah.Maka tertunai lah angan-angan saya yang pertama iaitu angan-angan naik kapal terbang dan peristiwa penghantaran pelajar itu dapat liputan berita.

UB: Dihantar ke sekolah mana ketika itu?
JANATHAN: Di Sekolah Abdullah Munsyi. Tahun 1974-1975. Antara rakan satu asrama saya ialah Datuk Haji Osman Jamal.Ketika itu dia belajar di Penang Free School, senior satu tahun dari saya.

UB: Apa perasaan berjauhan dengan keluarga?
JANATHAN: Berjauhan dengan keluarga , tidak begitu terasa kerana banyak perkara baru yang dapat disaksikan, yang amat berbeza sekali dengan persekitaran organik di kampung.

UB: Pernah kehabisan belanja?
JANATHAN: Soal wang tiada masalah. `Bapa saya’ Yayasan Sabah.Bahkan saya rasa agak dimanjakan, dengan peruntukan yang banyak. Ada wang untuk membeli buku teks, dan buku buku lain, ada untuk yuran kelas tambahan diberikan Yayasan Sabah.

UB: Selepas tamat tingkatan lima, dimana dato melanjutkan pelajaran?
JANATHAN: Saya sempat mengikuti kuliah di YS-ITM sekejap, selama kira-kira tiga bulan sebelum saya mendapat tawaran kerja sebagai Pegawai Kastam pada 19 Oktober 1976, ketika berusia 19 tahun.

UB: Boleh ceritakan sedikit pengalaman ketika mula bekerja sebagai pegawai kastam?
JANATHAN: Pengalaman ini termasuk lucu juga. Ketika itu kita cari kerja apa apa saja jenis kerja. Waktu itu masih mudah dapat kerja. Tapi saya ikut interview jadi guru, tidak dapat kerana rambut panjang. Saya mohon jadi pegawai perangkaan, tidak dapat kerana ilmu hisab saya agak lemah. Saya nampak jawatan pegawai kastam. Saya rasa agak special sedikit nama jawatannya. Saya tertarik dengan gelaran jawatan itu. Bagi saya pada masa itu, taraf jawatan pegawai kastam sama dengan pegawai daerah atau DO dan DO sama taraf dengan wakil rakyat. Ketika di kampung, DO dapat keistimewaan dari rakyat.Itu sebabnya ukuran kejayaan masa itu ialah jadi DO atau pegawai daerah.Melihat nama pegawai kastam, saya fikir ia keistimewaan sama seperti pegawai daerah. Apabila saya lapor diri di bangunan kastam , dekat jesselton point, iaitu di pejabat saya sekarang,pegawai yang bertugas memberitahu bahawa saya ditempatkan di Kudat sambil menghulurkan tiket kapal terbang.

UB: Naik kapal terbang ke Kudat? Apa perasaan Dato ketika itu?

JANATHAN: Apabila naik kapal terbang ke Kudat, meningkat lagi kepercayaan saya bahawa pegawai kastam sama dengan DO. Bila naik kapal terbang, tidak ramai penumpang, seolah-olah kapal terbang itu dicatar atau disewa  khas untuk saya.Sampai di Lapangan Terbang Kudat, sudah ada sebuah kereta menunggu untuk membawa saya ke pejabat. Lagi sekali keyakinan saya bahawa pegawai kastam memang sama tingginya dengan pegawai daerah. Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke pejabat kastam Kudat, saya terbayang bahawa di pejabat saya nanti akan terpampang nama saya di satu bilik yang besar.

Namun harapan, keyakinan saya punah apabila pegawai bertugas memberikan saya meja yang terletak berhampiran tandas dan berhampiran laluan orang ramai. Mejanya pula bukan meja baru sebaliknya penuh calar, lukisan, ukiran,tulisan vandalisme. Sahlah bahawa jawatan pegawai kastam jauh lebih rendah daripada jawatan pegawai daerah. Angan-angan saya tidak menjadi kenyataan.

UB: Berapa tahun Dato kerja di Kudat?
JANATHAN: Kira-kira enam tahun.Hanya selepas 6 tahun kemudian, iaitu pada 1982,saya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat untuk ijazah Sarjana Muda. Pada tahun 1993, saya ke England untuk ijazah MA dalam pendidikan Latihan dan Pembangunan. Saya sebenarnya merancang untuk mendapat PhD di  Australia tetapi saya fikir bagus untuk saya mendapatkan PhD dalam universiti dalam negara. Saya mendapat ijazah PhD di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 2011.

UB: Sudah berapa lama bertugas di Kastam?
JANATAN:Sudah 42 tahun dan akan memasuki usia persaraan.

UB: Apa perancangan selepas bersara?
JANATAN: Selepas bersara saya akan adakan kerajaan keempat?

UB: Kerajaan keempat? Boleh jelaskan?Kerajaan Keempat

JANATAN: Kita semua tahu bahawa jentera pentadbiran luar Bandar ialah JKKK. Setiap kampung mempunyai JKKK. Sehubungan ini, sukalah saya menyebut JKKK sebagai Majlis Pengurusan Desa (MPD). Peranan MPD adalah menyamai Majlis Daerah (MD), iaitu tentang perancangan, kebersihan, penyelenggaraan, infrastruktur desa.

Sehubungan itu, sukalah saya mendefinisikan kampung sebagai segmen kecil Negara yang jika dilihat melalui mata burung. Rupanya cantuman kampung-kampung kecil inilah yang menjadikan adanya Daerah. Di segmen-segmen kecil Negara  inilah MPKM wajib menampakkan pengaruhnya.  

Mendekatkan kefahaman tentang hal ini, cubalah kita ingat bagaimana Negara kita ditadbir. Di peringkat nasional, Kerajaan Persekutuan adalah bertanggungjawab mentadbir Negara Malaysia, manakala di peringkat negeri, Kerajaan Negeri yang memainkan peranan ini. Di peringkat Bandar pula, Kerajaan Tempatan yang mentadbir, iaitu  melalui Dewan Bandaraya, Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah.

Apa yang cuba saya tegaskan di sini ialah pentadbiran segmen-segmen kecil Negara ini, iaitu kampung-kampung wajar diperkasakan melalui Konsep Pengurusan Mikro Negara. Bagi memudahkan kita mengingat hal ini, sukalah saya memanggil pentadbiran di peringkat kampung ini sebagai Kerajaan Keempat, iaitu sesuai dengan urutan pentadbiran Negara—Kerajaan  Persekutuan, Kerajaan Negeri, Kerajaan Tempatan.

UB: Menarik sekali.
JANATHAN: Tegasnya, Kerajaan Keempat ini adalah juga bertujuan “membandarkan” desa dengan peraturan-peraturan yang menepati keperluan setempat supaya rakyat dapat dilindungi oleh sistem bagi membolehkan rakyat menikmati kemudahan-kemudahan seperti yang dinikmati oleh orang Bandar.