Selasa, 25 Julai 2017

AHMAD BIN LAKIM, UKIR NAMA DI PUTRAJAYA

Tags



AHMAD BIN LAKIM, UKIR NAMA DI PUTRAJAYA

SATU ketika dahulu, ayahnya sanggup menjual tanah semata-mata untuk memastikan anaknya mendapat pendidikan hingga ke peringkat tinggi. Sebagai seorang anak dari keluarga yang susah, beliau menimba ilmu bersungguh-sungguh dan tidak ingin menghampakan harapan keluarga. Kini Ahmad bin Lakim adalah salah seorang  anak tempatan Sabah yang berkhidmat cemerlang dan mengukir nama dalam perkhidmatan persekutuan di Putrajaya.   Beliau berkhidmat secara berterusan dalam perkhidmatan awam, iaitu lebih 30 tahun sejak 4 Disember 1986 sehingga sekarang;. Beliau pernah Menjadi Hakim (Kadi) yang termuda di Malaysia semasa lantikan pertama dalam perkhidmatan kerajaan sebagai Hakim/Kadi di Mahkamah Syariah Bahagian Pantai Barat, Kota Kinabalu, iaitu baru berusia 25 tahun pada 4 Disember 1986.

Ahmad bin Lakim lahir pada 9 September 1961 di Kampung Bubul Semporna. Beliau mendapat pendidikan awal di Goverment English Primary School (GPIS) Semporna pada 1961 hingga 1974. Beliau menerima pendidikan agama di Sekolah Rendah Ugama Semporna pada sebelah petang. Selepas itu, beliau sempat mengecap pendidikan di SMK Datuk Seri Panglima Abdullah Semporna pada tahun 1975 selama tiga bulan sebelum melanjutkan pelajaran di SM Arab Pasir Mas Kelantan pada 1975 hingga 1979. Selepas itu, beliau meneruskan persekolahan di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran (STP) dan Sijil Tinggi Ugama (STU) di Maahad Muhammadi Kota Bharu Kelantan dari tahun 1980 hingga 1981. Kemudian beliau memasuki Akademi Islam Universiti Malaya sesi 1982-1986 hingga mendapat BA Hons Syariah. Selepas itu, beliau mengambil Diploma lanjutan Pasca Ijazah iaitu  Diploma Undang-Undang dan Pentadbiran Kehakiman Islam (DAIJ). Kini beliau mengambil PJJ Master Sains (Bidang Pengajian Islam-Pengurusan Faraid sejak Disember 2013.

Beliau mula dilantik sebagai Kadi Mahkamah Bahagian Gred A22/A20 di Mahkamah Syariah Bahagian Pantai Barat Kota Kinabalu  bermula 4 Disember 1986 hingga 3 Disember 1991 sebelum berpindah ke Mahkamah Syariah Bahagian Sandakan pada 4 Disember 1991 hingga 31 Disember 1995. Selepas itu, Ahmad dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gred S3/L3 selama tiga tahun di Sandakan (1 Januari 1996-31 Januari 1999) dan dua tahun di Kota Kinabalu(1 Februari 1999 hingga 1 Februari 2001).

Kerjaya menanjak lagi selepas dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sabah Gred LS48 di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah selama 9 tahun iaitu 1 Februari 2001 hingga 11 Januari 2010.. Kemudian beliau dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Dasar) di JKSM Putrajaya selama satu tahun lima bulan iaitu 12 Januari 2010 hingga 5 Jun 2011. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Pengarah Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dari 6 Jun 2011 sehingga 15 Disember 2016.

Beliau kini adalah Pengarah merangkap Ketua Pendakwa Syarie sejak 6 Disember 2016   di Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan. Beliau masih memiliki tauliah sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sabah sejak 2 Januari 2001  hingga sekarang, Hakim Litar Mahkamah Tinggi Syariah Melaka sejak 31 Mei 2016 sehingga sekarang.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah mendapat anugerah atau sijil penghargaan antaranya Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahunan peringkat Jabatan JKSM dan Jabatan Perdana Menteri tahun 2011, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Bulanan (APCB) Peringkat agensi-agensi JPM pada Mei 2013, Ahli Darjah Kinabalu (ADK) sempena Hari Jadi TYT Negeri Sabah 1994, Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) sempena Hari Jadi Rasmi TYT 2016, Ahli Mangku Negara (AMN) sempena Hari Keputeraan DYMM SPB YDPA Malaysia pada 2016.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Jamilah binti Jaafar, berkelulusan  arkitek,berasal dari Muar Johor.


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah Tuan Ahmad bin Lakim di salah sebuah restoran terkemuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, minggu lalu. Ikuti petikan temuramah bersama personaliti terkemuka ini.


UTUSAN BORNEO (UB): Boleh ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang tuan?

AHMAD BIN LAKIM (ABL): Saya lahir di Kampung Bubul Semporna pada 9 September 1961. Anak pertama dari enam orang adik beradik. Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris iaitu di Government English Primary School (GEPS) Semporna dari tahun 1969 hingga 1974. Pada sebelah petangnya, saya bersekolah agama di Sekolah Ugama Islam (SUI) Semporna.

UB: Mungkin banyak pengalaman sewaktu belajar di sekolah rendah?
ABL: Banyak juga pengalaman. Beberapa guru saya berbangsa Cina. Pada mulanya memang tidak seronok. Malah sewaktu darjah empat saya ada pengalaman pahit, Subjek Matematik saya sangat lemah. Guru matematik saya namanya Mr Four, orang Sino kadazan. Beliau sangat tegas. Bila tidak dapat jawab soalan saya diturunkan dari kelas 4A ke kelas 4B. Selepas itu saya belajar bersungguh-sungguh dan pada penggal berikutnya, saya naik kelas semula. Selepas itu, saya mendapat keputusan yang baik ketika peperiksaan darjah enam.


UB: Di mana tuan melanjutkan pelajaran menengah?
ABL: Selepas itu, saya meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Panglima Abdullah Semporna pada tahun 1975. Tetapi hanya selama tiga bulan.

UB: Tiga bulan? Selepas itu, tuan sekolah di mana?
ABL: Saya mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Arab Pasir Mas, Kelantan atas biasiswa Yayasan Sabah. Saya bersekolah di sana selama lima tahun iaitu 1975 hingga 1979. Di sekolah ini, bahasa pengantarnya bahasa Arab.  Ketika dalam tingkatan empat,Saya lulus Sijil Menengah Ugama (SMU) manakala ketika tingkatan lima, saya lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).Kemudian saya naik tingkatan enam di Maahad Muhammadi Jalan Merbau Kota Bharu selama dua tahun 1980-1981 dan lulus Sijil Tinggi Ugama (STU) dan Sijil Tinggi Pelajaran (STP).Kami yang terakhir ambil STP kerana selepas itu peperiksaan itu dikenali sebagai Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

UB: Selain tuan, ada lagi pelajar dari Sabah yang belajar di sana ketika itu?
ABL: Antaranya Ustaz Muhsin dari Keningau, Abd Basri, dan Yusof Mahali kini berniaga sendiri. Selain pelajar tajaan Yayasan Sabah, ada lima orang pelajar tajaan USIA yang belajar di sana ketika itu.

UB: Apa perasaan tuan ketika mula menerima tawaran melanjutkan pelajaran?
ABL: Dapat tawaran memang rasa seronok. Tapi kemudian terasa hiba. . Malah saya rasa mahu menolak tawaran itu saja tetapi arwah ayah saya memberi nasihat. Katanya, kita orang susah. Hanya melalui pelajaran kita boleh mengubah nasib kita. Masa itu, belum ramai orang Semporna yang belajar tinggi dalam agama. Itu yang buat saya berubah hati dan bersemangat untuk balik sambung pelajaran.

UB: Selepas itu, apa yang terjadi?
ABL: Walaupun orang susah, arwah ayah saya sanggup menjual tanahnya untuk mendapatkan belanja beli tiket untuk menghantar saya hingga ke Kota Kinabalu. Menginap di Kota Kinabalu. Sebelum itu pun, ketika di sekolah rendah,ayah  saya bersemangat tinggi hingga sanggup menghantar saya ke sekolah Inggeris. Pada mulanya saya tidak mahu sekolah kerana apalah yang difahami oleh seorang kanak-kanak. Bapa saya memujuk saya agar bersekolah hingga sanggup beli satu jam tangan agar saya mahu bersekolah Inggeris. Antara rakan saya di sekolah Inggeris masa itu ialah Jacob asal India dan Zulkifli Haji Apdal, adik kepada Datuk Shafie.

UB: Apa kerja ayah tuan?

ABL: Ayah saya hanya bekerja sebagai pemandu di pejabat Daerah Semporna. Ia sezaman dengan Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai sewaktu bekerja di pejabat daerah Semporna.

UB: Siapa nama ayah tuan?
ABL: Nama ayah saya Lakim bin Harudin manakala ibu saya Siti Haimah Abdul Halim.


UB: Selepas lulus STP, di mana tuan melanjutkan pelajaran?
ABL: Saya melanjutkan pelajaran di Akademi Islam Universiti Malaya di Kuala Lumpur. Pada masa itu, saya memang dapat tawaran untuk meneruskan pelajaran ke Universiti Al Azhar Mesir tetapi saya sudah terlebih dahulu kuliah di Fakulti Syariah dalam bidang pengkhususan Undang-Undang Syariah dan Pentadbiran.

UB: Selepas lulus universiti, dimana tuan bekerja?
ABL: Apabila saya balik ke Sabah pada tahun 1986, saya dapat tawaran kerja sebagai Kadi di Mahkamah Syariah.

UB: Bagaimana ceritanya?
ABL: Ketika itu ada iklan tawaran kerja kosong jawatan Pendakwah Syarie Gred C11 masa itu. Saya masuk memohon. Masa temuduga, panel penemuduga tanya apakah saya berminat jawatan itu yang hanya memerlukan kelulusan SPM. Saya jawab, saya memang berminat untuk bekerja dalam bidang kehakiman. Apabila surat tawaran tiba, saya ditawarkan jawatan kadi, kerana kebetulan ada jawatan kosong ketika itu.

UB: Sudah berapa lama bekerja dalam perkhidmatan awam?
ABL: Saya sudah berkhidmat secara berterusan dalam perkhidmatan awam, iaitu lebih 30 tahun sejak 4 Disember 1986 sehingga sekarang. Saya juga adalah Pegawai kerajaan yang paling lama berkhidmat secara berterusan dalam perkhidmatan kehakiman di Mahkamah Syariah Sabah, iaitu hampir 24 tahun sejak 4 Disember 1986 sehingga 12 Jan 2010.

UB: Berapa usia tuan ketika dilantik sebagai Kadi?
ABL: Ketika itu, saya baru berusia 25 tahun. Saya menjadi Hakim (Kadi) yang termuda di Malaysia semasa lantikan pertama dalam perkhidmatan kerajaan sebagai Hakim/Kadi di Mahkamah Syariah Bahagian Pantai Barat, Kota Kinabalu pada 4 Disember 1986.

UB: Sewaktu jadi Kadi, mungkin ada pengalaman yang boleh dikongsikan untuk pembaca?

ABL:Sebelum proses pengasingan Mahkamah Syariah dari MUIS, disamping menjadi Kadi Bahagian pada 4 Disember 1986 sehingga 1991, pernah menjalankan fungsi tugas serta berpengalaman sebagai  Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Sabah, KK.(Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah yang kedua sejak fungsi tugas tersebut diperkenalkan). Saya juga menjafdi Pengerusi Penguatkuasa, Unit Penguatkuasa MUIS KK. Saya adalah Pengerusi Penguatkuasa yang kedua sejak fungsi tugas/unit tersebut diperkenalkan); dan Pendaftar Nikah, Cerai, Rujuk (NCR), Mahkamah Syariah Unit NCR, MUIS KK.


UB: Mungkin ada pencapaian tuan ketika berkhidmat sebagai pegawai syariah.Jika tidak keberatan, boleh ceritakan?
ABL:  Boleh dikatakan saya mencipta rekod dalam Perkhidmatan Pegawai Syariah yang tidak pernah berlaku setakat ini iaitu selain memegang jawatan hakiki sebagai Pengarah Bahagian (Bahagian Latihan JKSM) dan menjadi Ahli Lembaga Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi selama 3 penggal berturut-turut, pegawai juga mempunyai 2 tauliah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah (MTS) dalam satu masa iaitu: Hakim MTS Negeri Sabah masih berkuatkuasa sejak 2/1/2001 sehingga sekarang; dan Hakim MTS Melaka berkuatkuasa 31 Mei 2016 sehingga sekarang.

UB: Oh ya, apa kegiatan lain yang tuan laksanakan?
ABL: Antaranya saya menjalankan SME Faraid JKSM 2013-2016 untuk membangunkan modul dan menambahbaik pengendalian sistem dan aplikasi e-Faraid serta k-Faraid. Saya juga  membantu membangunkan modul, sistem dan aplikasi Digital Faraid peringkat antaranegara (antarabangsa).Membantu JAKIM dan agensi-agensi Jabatan Agama Islam Negeri-negeri membuat pencerahan terhadap proses dan prosedur bagi Permohonan Perintah Pengesahan dan Pendaftaran Perkahwinan (Permohonan 4P) yang bertentangan dengan Undang-undang negeri/negara. Dan Membantu Jawatankuasa Masjid mengendalikan program berbentuk keagamaan seperti pemahaman urusan kes-kes syariah dan faraid.

UB: Sepanjang bertugas di ibu negara, apa pengalaman yang tidak dapat dilupakan?
ABL: Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk menulis Titah Ucapan DYMM Yang DiPertuan Agong Malaysia, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-MuktafiBillah Shah sempena Perasmian Mahkamah Syariah WP, Jalan Duta, K.Lumpur pada 1 Disember 2011.Saya juga menulis Titah Ucapan DYMM SPB Sultan Selangor, sempena Persidangan Pegawai Syariah peringkat Nusantara di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor, pada 7-9 November 2016. Selain itu, saya pernah menulis teks ucapan YAB Dato’ Seri Dr  Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, sempena Perasmian Seminar Kebangsaan Transformasi Pengurusan Harta di Malaysia (SKTPM 2016), pada 22 September 2016, di USIM.Saya juga menulis ucapan  YB Mej.Jen Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B), Menteri di JPM, dalam pelbagai program JKSM sejak 2010 sehingga kini. Saya juga pernah menulis teks ucapan
YAB Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman (Ketua Menteri Sabah), sempena Majlis Pecah Tanah Mahkamah Syariah KK pada 13 Februari 2015;, Teks ucapan YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Bin Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan, sempena PPSSM ke-16 pada 8-10 Jun 2015 di KTD Port Dickson; dan Teks-teks Ucapan YAA Tan Sri Dr Ibrahim Lembut (Ketua Pengarah/KHS JKSM) dalam pelbagai program sejak 2010.

Saya juga berpengalaman dalam penyediaan deraf kaedah  (Garis Panduan):- iaitu Penggubal Garis PanduanStandard Operating Procedure (SOP) bagi  PermohonanPerintah Pengesahan dan Pendaftaran Perkahwinan (Permohonan 4P) peringkat Kebangsaan (JAKIM/JKSM) tahun 2015;Penggubal Arahan Amalan JKSM dan Standard Operating Procedure (SOP) Permohonan Perintah Pengesahan dan Pendaftaran Perkahwinan (Permohonan 4P) seluruh Malaysia 2016;Pengerusi Kaedah/Garis Panduan Pembahagian, Pelantikan Wali Harta dan Perakuan Harta Pusaka, tahun 2007, Negeri Sabah;Pengerusi Manual Pengurusan Permohonan Pengesahan dan Pendaftaran Perkahwinan (Pengurusan 4P) 2007, Negeri Sabah; AJK Kaedah Pengangkatan Anak Angkat (Sabah) 2006;AJK Deraf Enakmen-enakmen Mahkamah Syariah 1996 &2004;  danPenggubal Garis Panduan Pengurusan Nikah, Cerai, Rujuk (NCR) Majlis Ugama Islam Sabah, tahun 1988.

UB: Selain itu,apakah tuan terlibat dalam persatuan?
ABL: Saya adalah Ahli Seumur Hidup Persatuan Pegawai Syariah Malaysia , ahli Persatuan Mantan Pelajar Tajaan Yayasan Sabah (MAYA); dan ahli Persatuan Ulama Malaysia (PUM Cawangan Sabah).

UB: Apa cita-cita tuan sewaktu kecil?
ABL: Masa sekolah rendah dahulu, nenek saya pernah tanya saya. Kalau besar nanti mahu jadi apa? Saya kata apa kerja bagus nek. Nenek saya kata, bagus kerja `loyar’. Apa kerja loyar (lawyer) nek? Katanya, kerja loyar menjatuhkan hukuman kepada orang yang salah. Kalau begitu, saya mahu jadi loyar nek. Nenek saya, Maimunah binti Penghulu Jadi mungkin tidak pasti apa kerja loyar itu. Tetapi dengan doanya, akhirnya saya jadi hakim, tidak jauh dari kerja loyar itu.

UB: Apa motto hidup tuan?
ABL: Kita haruslah ikhlas. Ikhlas dalam memberi apa saja. Selain itu, sentiasa tidak lupa jati diri kita iaitu berkata benar walau kadang tidak disenangi.