Selasa, 25 Julai 2017

AWANG SAMIT, PERSONALITI YANG BANYAK BERJASA

Tags



AWANG SAMIT, PERSONALITI YANG BANYAK BERJASA
JASA yang sejati adalah seperti sungai, makin dalam sungai itu, makin berkuranglah suaranya. Namun walaupun suaranya kurang terdengar, tetapi sungai itu tetap mengalir terus menerus. Mungkin tanpa peranan yang dimainkan oleh Haji Awang Samit, nama Kota Belud dan sekitarnya akan luput dari dunia pemberitaan pada tahun-tahun 70-an dan 80-an. Ketika itu, beliau satu-satunya wartawan dari daerah itu yang setia menulis mengenai hal ehwal Kota Belud dan masyarakatnya di suratkhabar tempatan sehingga sejarah perkembangan dan proses kemajuan di Kota Belud masih tetap tersimpan dan didokumentasi di  arkib  dan perpustakaan hingga sekarang. Di sebalik tugasnya sebagai pegawai awam, beliau masih menyempatkan diri untuk menulis berita dan laporan mengenai daerah kelahirannya.
Peranan beliau tidak terbatas dalam dunia kewartawanan semata-mata namun banyak lagi tugasan yang beliau lakukan dan agak signifikan dalam proses sejarah dan perkembangan negeri Sabah.
HAJI AWANG SAMIT dilahirkan di Kota Belud pada 2 Mac 1950. Anak keempat dari tujuh adik beradik ini mendapat pendidikan awal di NVS Kota Belud  dalam darjah satu pada tahun 1957. Kemudian `melompat’ ke darjah tiga di GPS Kota Belud pada tahun 1958 hingga 1960. Apabila lulus dalam darjah lima, beliau melanjutkan pelajaran di Sabah College dari tahun 1962 hingga 1968 .
 Selepas tamat persekolahan menengah, beliau ditawarkan bekerja sebagai `technical trainee’   di Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Belud pada 1969 hingga 1970.  Selepas itu, beliau berpindah kerja ke pejabat Rancangan Jawi-Jawi Kota Belud dari tahun 1970 hingga 1972 sebelum berpindah lagi ke Syarikat Perikanan Jaya Diri Kota Belud dari tahun 1973-1974. Ketika Allahyarham Tun Said Keruak dilantik Ketua Menteri pada tahun 1976, beliau bertugas sebagai Penolong Setiausaha Akhbar di Jabatan Ketua Menteri hingga tahun 1981. Selepas itu, beliau berpindah semula ke Kota Belud sebagai Pegawai Kerja Kanan di Pejabat Daerah Kota Belud pada tahun 1981 hingga 1995. Beliau berkhidmat sebagai Pegawai Eksekutif Kanan Majlis Daerah Kota Belud dari tahun 1995 hingga 2000. Kemudian dari tahun 2000 hingga petengahan 2002 beliau bertukar di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan . Beliau kembali semula bertugas di Kota Belud dan bersara tahun 2006 dengan jawatan terakhirnya sebagai Pegawai Eksekutif Kanan. Beliau pernah berkhidmat di bawah pentadbiran tujuh orang pegawai daerah sepanjang perkhidmatannya.  Beliau juga berkhidmat sebagai wartawan sambilan dari tahun 70-an hingga 80-an dengan nama samaran Wangsa.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau di sebuah restoran  di Taman Puterajaya Telipok.Orangnya kuat semangat dan ingatannya masih segar mengikuti perjalanan kariernya sebagai pegawai awam dan kerjaya sambilan sebagai wartawan.Walau pergerakannya terjejas akibat serangan stroke namun orangnya tetap cekal periang dan bersemangat tinggi. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:
UTUSAN BORNEO: Sebagai pembuka, bolehkah tuan haji beritahu sedikit mengenai latar belakang tuan haji?
HAJI AWANG SAMIT (WANGSA): Saya  lahir di Kota Belud pada 2 Mac 1950. Dua bulan lagi saya memasuki usia yang ke-67 tahun . Saya anak keempat dari tujuh adik beradik.
UB: Di mana tuan haji memperolehi pendidikan awal?
WANGSA:Saya masuk darjah satu  di NVS Kota Belud pada tahun 1957. kemudian saya bersekolah di  GPS Kota Belud, lompat  ke darjah tiga pada tahun 1958 hingga 1960. Kemudian selepas lulus darjah lima, saya meneruskan persekolahan di Sabah College dari tahun 1962 hingga 1968 dan lulus peperiksaan OCE masa itu.
UB: Berapa belanja ke sekolah masa itu?
WANGSA: Belanja saya sebulan ialah sebanyak 15.00 sebulan. Jumlah itu sudah cukup.Waktu itu oren hanya berharga sepuluh sen, kek 20 sen. Harga barangan masih murah. Bagaimanapun masih ramai orang yang tidak dapat meneruskan persekolahan kerana kemiskinan.
Ketika sekolah dulu saya banyak dibantu oleh abang saya Cikgu Yusof Samit dan pakcik saya di Tenom iaitu pakcik Abdullah Rauf. Pakcik Abdullah adalah adik beradik dengan ayah saya Samit bin Rauf dan makcik saya Janis binti Rauf.
UB: Waktu itu saya difahamkan perjalanan dari Kota Belud ke Kota Kinabalu mengambil dua jam setengah, dengan jalan bengkang bengkok. Tuan naik apa ke KK untuk ke Sabah College?
WANGSA: Kami menumpang kereta. Tambang kereta masa itu cuma RM2.50 sen sehala. Kadang-kadang saya ikut menumpang Haji Mumin,ayah kepada Mohd Yakin. Masa itu, beliau  bekerja di Hospital Kota Belud. Jika mereka ke Kota Kinabalu , saya ikut menumpang untuk pulang kampung. Kadang-kadang dengan kereta ambulan yang dipandu Melin Laut, pemandu hospital KB masa itu, menghantar pesakit ke hospital KK. Jika tiada pesakit,yang dibawa pulang, ada ruang kosong, saya ikut  menumpang.
UB: Siapa rakan sekelas pada masa itu?
WANGSA: Antara rakan sekelas ialah Datuk Saidatul Badru Tun Said, Datuk Abdul Rahim , Ismail, Datuk Masidi Manjun, Datuk Dayang Mahani , Datuk Ir Maduarin Haji Riar, Datuk Rashid Bolong , Datuk Hamzah Haji Zakaria,Dr Salisih Ukoh, Datuk Seri Panglima Musa Aman, Datuk Yusof Yakub.
UB: Oh tuan haji satu kelas dengan Datuk Seri Musa, Ketua Menteri?
WANGSA: Ya. Saya satu kelas dengan Datuk Musa. Bagi saya beliau seorang yang tidak pernah lupa kawan. Pernah dalam satu majlis, bila ternampak saya, beliau berhenti menyapa saya, walaupun saya tiada apa-apa.Beliau tidak pernah lupa kawan. Itu yang saya banggakan.
UB: Apa kerja tuan haji selepas tamat sekolah?
WANGSA:  Selepas tamat persekolahan menengah, saya  ditawarkan bekerja sebagai `technical trainee’   di Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Belud pada 1969 hingga 1970.  Selepas itu, saya  berpindah kerja ke pejabat Rancangan Jawi-Jawi Kota Belud dari tahun 1970 hingga 1972.  Masa itu, Tun Said Keruak menjadi Menteri Pertanian manakala Ketua Menteri, Tun Datu Mustapha Datu Harun.
Skim Rancangan Jawi-Jawi adalah skim penempatan pertama di Sabah yang berasaskan padi. Peneroka di bawah rancangan itu dipilih dari lima buah kampung iaitu Tamau, Merabau, Kota Peladok, Labuan dan Taun Gusi.
UB: Selepas itu, tuan haji pindah ke mana?
WANGSA:Selepas saya berpindah  ke Syarikat Perikanan Jaya Diri, anak syarikat Sedco dari tahun 1973-1974.  Masa itu Sedco di bawah Datuk Harris Mohd Salleh. Di sini saya kenal dengan Datuk Zamanudin Lasin, Datu Ansau Datu Nanong yang aktif dalam syarikat masa itu.
UB:  Hingga tahun berapa kerja di sana?
WANGSA: Saya bekerja di sana hingga tahun 1974, jika saya tidak silap.Ketika Allahyarham Tun Said Keruak dilantik Ketua Menteri pada tahun 1976, saya diambil bertugas sebagai Penolong Setiausaha Akhbar di Pejabat  Ketua Menteri hingga tahun 1981.
UB: Tentu banyak pengalaman masa itu?
WANGSA: Ada juga sedikit. Saya pernah dilantik sebagai Setiausaha sambutan beberapa perayaan di peringkat negeri, seperti Sambutan Maulud Nabi, Maal Hijrah, Sambutan Hari Keputeraan DYMM Yang Di Pertuan Agong dan sebagainya. Saya tidak tahu apa sebabnya saya diberi kepercayaan menggalas tugas yang besar itu.Mungkin kerana saya ada pengalaman sebagai wartawan.
Masa bertugas di bahagian Akhbar Pejabat Ketua Menteri, saya banyak bergaul dengan orang-orang media, orang-orang yang sangat berpengalaman dalam dunia suratkhabar. Selepas kerajaan USNO Kalah pada tahun 1976, saya terus bekerja di bahagian akhbar Pejabat Ketua Menteri.  Apabila Berjaya menang, salah satu perkara yang dilakukan adalah mengundang kira-kira 20 orang wartawan kanan dari Kuala Lumpur untuk melawat Sabah. Antara yang saya ingat ialah Azah Aziz, isteri kepada Prof Ungku Aziz. Masa itu, saya yang diminta mengiringi wartawan-wartawan itu melawat sabah.
Masa itu juga, ramai wartawan kanan dari Kuala Lumpur dilantik bertugas di Bahagian Akhbar Pejabat Ketua Menteri. Di sinilah saya cuba menimba ilmu daripada mereka. Antaranya Saudara Maarof Idris,Ghazali Yahya, Khairune Ali,. AR Kamaludin, Yahya Ismail dan sebagainya.

UB: Oh ya. Bagaimana kisahnya tuan menjadi stringer?
WANGSA: Saya menjadi stringer KST secara kebetulan. Masa itu, saya bekerja  di JKR. Bos saya masa itu, Jurutera Bahagian, Mr Charlie Jayasuria berkawan baik dengan Circulation Manager KST Masa itu, Fred Sinidol .Bila dia cakap mahu cari stringer, Charlie terus beritahu saya.Saya cakap baiklah, Itu lah saya jadi stringer. Jurutera bahagian masa itu di Kota Belud masa itu membawahi Kudat, Ranau, Kota Marudu. Lebih besar daripada sekarang. Itu sebabnya dipanggil division engineer.

UB: Apa tajuk berita yang tuan haji tulis masa itu?
WANGSA: Artikel pertama saya bertajuk "Kota Belud forges ahead" pada tahun 1970. Masa itu, saya terus bergiat dalam bidang penulisan berita dan rencana. Editor Kinabalu Sabah Times,masa itu Samad Mahadi banyak memberi galakan dan mengasuh saya. Samad Mahadi pernah menjadi Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam. Saya pernah mendapat bimbingan daripada Tan Sri A.Samad Ismail tokoh wartawan negara. Saya juga pernah menjadi stringer akhbar Utusan Malaysia dan Bintang Timur.Saya sering ditelefon Ketua Pengarang Utusan Malaysia masa itu, Mazlan Noordin.Ini semua menjadi rakan-rakan baik saya. Sewaktu saya menjadi stringer KST dan Harian Ekspress, Kota Belud mendapat liputan meluas dari kedua akhbar berkenaan.
UB: Tahniah. Tuan haji banyak berjasa kepada Kota Belud hingga mendapat liputan meluas masa itu.Bagaimana tuan menghantar berita masa itu?
WANGSA: Biasanya saya menghantar berita dan terpaksa mengirimnya melalui bas untuk di hantar ke pejabat akhbar. Jika berita  penting, sangat dan perlu segera, saya menghantarnya melalui telefon.

UB:  Bermakna tuan haji sudah terbiasa dengan dunia suratkhabar?
WANGSA: Saya pernah memangku jawatan editor atau saya istilahkan `editor segera’ untuk membantu menjaga halaman bahasa Melayu di sebuah akhbar tempatan,Pada tahun 70-an. Saya tidak perlulah  beritahu akhbar apa. Waktu itu, editornya meminta saya untuk membantu beliau menjaga halaman bahasa Melayu kerana beliau terpaksa  berangkat ke Jakarta untuk menghadiri seminar.
UB: Jadi bagaimana tuan bahagikan masa?
WANGSA: Masa diurus dengan sebaik-baiknya supaya tidak bercanggah kepentingan dengan kerjaya tetap.Waktu makan tengahari, jam 12.30 saya ke pejabat akhbar itu hingga jam 2.00. Kemudian selepas waktu pejabat, saya datang lagi. Sebenarnya saya hanya menjaga satu halaman bahasa Melayu. Beliau berada di Jakarta kira-kira satu minggu. Tidak ada orang yang membantu, terpaksa saya yang buat kerja itu. Saya pernah juga menerima Hadiah  Penulis Terbaik dalam bidang kewartawanan masa itu.Tahun 70-an.
Diperingkat awal, bidang penulisanlah yang banyak mengajar saya. Saya bertindak  sebagai setiausaha mengambil minit mesyuarat pelbagai jawatankuasa termasuk perayaan peringkat negeri.Saya menyandang jawatan  setiausaha dalam  pelbagai jawankuasa melibatkan pejabat daerah seperti  jawatankusa  dakwah ,banjir,pembangunan,perayaan dan lain-lain.
Namun ia tidak menjejaskan masa bekerja ketika menjalankan tugas sambilan kewartawanan.
UB: Apa pengalaman pahit sewaktu dalam persuratkhabaran?
WANGSA: Saya pernah disoal siat selama oleh pihak polis di Kepayan selama beberapa jam kerana ucapan Datuk Mark Koding di Parlimen pada tahun Oktober 1978. Dalam ucapan beliau yang kontroversi itu, beliau mencadangkan pemansuhan sekolah Cina dan Tamil. Setelah ucapan beliau tersiar secara in toto di akhbar, saya turut dipanggil untuk disoal siasat, sebabnya saya yang menterjemahkan berita itu.Saya berdalih bahawa saya hanya menyampaikan apa yang disebut oleh Ahli Parlimen itu. Antara yang terlibat mengedit masa itu ialah Tengku Ali, Datuk Yahya Lampong,Hamid Awang. Masa itu, Hamid Awang Setiausaha Akhbar. Untuk rekod, Datuk Mark Koding kemudian didakwa pada tahun 1981 dan didapati bersalah pada Mei 1982  kerana kesalahan menghasut menjadikan beliau Ahli Parlimen pertama yang didakwa kerana mengeluarkan kata-kata hasutan di Parlimen.
UB: Selepas Samad Mahadi, siapa lagi editor KST yang tuan ingat masa itu?
WANGSA: Selepas Samad Mahadi, barulah diambil alih oleh TS Hamid. Enam bulan kemudian barulah diganti oleh Yahya Ismail dan kemudian AR Kamaludin. Antara wartawan masa itu ialah  Wahid Norbinsha (kini Datuk), Iganitus Daim sub editor masa itu.
UB:  Maaf ya saya lupa bertanya. Masa itu di Kota Belud siapa lagi yang banyak menghantar laporan berita?
WANGSA: Saya seorang. Selepas itu antara yang saya pernah bimbing ialah Cikgu Lamsyur Haji Gunggong dan Gindanau Sakat. Itu antaranya.
UB: Berbalik kepada tugas selepas bertugas di Pejabat Ketua Menteri, dimana tuan haji ditugaskan?
WANGSA: Selepas itu, saya berpindah ke Pejabat Daerah Kota Belud pada tahun 1981 hingga 1995. Kemudian saya berkhidmat sebagai Pegawai Eksekutif Kanan Majlis Daerah Kota Belud dari tahun 1995 hingga 2000. Kemudian dari tahun 2000 hingga petengahan 2002, saya  bertukar di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan . Saya  kembali semula bertugas di Kota Belud dan bersara tahun 2006 dengan jawatan terakhir sebagai Pegawai Eksekutif Kanan.
UB: Sewaktu bertugas di Kota Belud, siapa pegawai daerah masa itu?
WANGSASepanjang berkhidmat di Kota Belud, saya  pernah berkhidmat di bawah pentadbiran tujuh orang pegawai daerah . Antaranya Abdul Rahman Lo, Datuk Salleh Said Keruak (Kini Datuk Seri Dr) , Talikop Lamsin, Aziz Rashid Zainudin,Awang Samsi Jami, Kaim Karimin, Hamzah Zakaria.
UB: Selepas bersara, apa yang tuan haji lakukan mengisi masa lapang?
WANGSA: Saya banyak terlibat kerja kemasyarakatan sebelum saya diserang stroke. Kini selepas pulih, saya berusaha untuk kembali menulis dalam bidang puisi. Sebagai satu wadah untuk menyampaikan mesej dakwah.
UB: Oh ya, bagaimana keadaan dunia persuratan masa itu?
WANGSA: Dunia persuratan ketika itu tidak ramai diceburi anak muda,dibelenggu masalah perhubungan dan kemiskinan.Saya gunakan nama pena Wangsa atau A Sam . Antara penulis masa itu ialah Datuk AK Aliuddin,Herman Noor Ayub,Saidi Lampoh, K Bali dan Surya Irawan,antara yang banyak menggilap bakat penulis Sabah
UB:  Bagaimana tuan haji minat puisi?
WANGSA: Saya menceburi bidang puisi bermula sejak 3 tahun lalu ketika banyak berehat di rumah berikutan masalah kesihatan.Bergerak semampu yang boleh berdakwah melalui pena sumbangan diredhai Sang Pencipta.
UB: Apa azam tuan haji dalam bidang penulisan?
WANGSA: Saya berazam untuk menjadikan bidang penulisan semampu boleh untuk menyampaikan pesan-pesan dakwah melalui pena untuk mendapatkan keredhaan sang Pencipta.