Friday, July 21, 2017

CIKGU RASHID KABOD, BIASA DIBUAI GELOMBANG



CIKGU RASHID KABOD, BIASA DIBUAI GELOMBANG

“Kira-kira jam 5.00 petang, tiba-tiba angin bertiup kencang. Hujang lebat dari barat daya. Pada mulanya tidak begitu kuat. Kemudian hampir jam 9,00 malam, angin bertambah kuat. Ombak besar. Lampu-lampu rumah orang kampung pulau Omadal sudah tidak nampak.Keadaan gelap gelita. Penumpang lepa itu selain saya dan tukang perahu, ialah isteri dan tiga anak saya yang berumur lima tahun, empat tahun dan tiga tahun. Bot lepa yang kami naiki, sudah 70 peratus tenggelam, Tinggal 30 peratus lagi,” kata Cikgu Rashid Kabod menceritakan detik detik cemas ketika dipukul ribut `Hunus Habagat’ dalam perjalanan pulang ke Pulau Denawan. Beliau tidak dapat melupakan peristiwa ketika hampir karam itu. Namun itu adalah resam kehidupan , cabaran yang biasa dihadapi seorang guru yang bertugas di pulau..


ABDUL RASHID BIN KABOD atau lebih dikenali sebagai Cikgu Rashid dilahirkan di Pulau Denawan Semporna pada 27 April 1952. Beliau mendapat pendidikan rendah di GPS Bugaya dari darjah satu hingga darjah dua kerana mengikut keluarganya ke Semporna kerana bapanya yang bekerja sebagai penoreh getah di Ladang Yahyah, di Kampung Indani Semporna, Apabila ayahnya  pulang kampung, .  beliau berpindak ke GPS Pulau Denawan dari darjah tiga hingga darjah enam pada tahun 1969. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dalam kelas peralihan di GJSS Semporna pada 1970. Beliau memasuki Form One pada tahun 1971 tetapi pada awal Januari 1972, beliau menerima tawaran menjadi guru dan ditugaskan  di SRK Larapan hingga tahun 1972. Pada tahun tahun 1974, beliau berpindah ke SRK Pegagau. Kemudian pada tahun 1978, beliau mengambil Kursus Sijil Perguruan di Maktab Perguruan Sandakan. Beliau lulus tahun 1980. Pada tahun 1981 hingga 1982, beliau dipinjamkan sebagai guru bahasa Inggeris di SRJK St Patrick Tawau. Pada tahun 1983, beliau bertugas di SRK Pekan Semporna. Pada tahun 1983, beliau dilantik sebagai Ketua Pentadbir di SRK Pulau Denawan hingga tahun 1984. Beliau kemudian pindah semula ke SRK Pekan Semporna hingga bersara pada tahun 2008. Beliau pernah mengikuti pelbagai kursus antaranya di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) , Kursus bahasa-Bahasa Asing di Maktab Perguruan Bahasa,Beliau berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang B Jurist dari Universiti Malaya dan Excutive MBA dar St Clement University,London


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah beliau di ibu negeri kelmarin. Ikuti petikan temuramah bersama Cikgu Rashid mengenai zaman persekolahannya sehingga beliau dilantik menjadi seorang guru pada tahun 1972 dan seterusnya bersara dari perkhidmatan pendiidikan pada 2008.


UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang cikgu?
CIKGU RASHID: Saya dilahirkan di Pulau Denawa, Semporna pada 27 April 1952. Saya anak kedua dari lima adik beradik. Ayah saya Tuan Iman Haji Kabod bin Haji Ahmad manakala ibu saya Puan E-lah binti Panglima Nujum.

UB: Di mana letaknya pulau Denawan itu cikgu? Berapa jauhnya dari pekan Semporna?
CIKGU RASHID: Pulau Denawan adalah pulau yang agak terpencil di Semporna. Jauhnya kira-kira empat jam perjalanan menggunakan bot dengan enjin 15 kuasa kuda dari Semporna. Ia terletak berdekatan Pulau Siamil, Ligitan dan Sipadan. Gugusan pulau itu adalah pulau warisan nenek moyang kami, Panglima Nujum Haji Abu Sari. Pulau Siamil dikhaskan untuk pertanian, Pulau Ligitan untuk perikanan manakala pulau Sipadan untuk hasil telur penyu.

UB: Di mana cikgu bersekolah dahulu?
CIKGU RASHID: Saya bersekolah rendah di GPS Bugaya. Bapa saya berhijrah ke ke Yahyah Estate Jalan Yahyah Kampung Indani Semporna, kerja sebagai penoreh getah. Ketika itu belum ada ladang koko atau kelapa sawit. Hasil pertanian utama masa itu ialah getah. Antara rakan sekelas saya ialah Ilmin Haji Ibrahim, Si Kundang, beliau ni masuk tentera sewaktu darjah enam. Saya bersekolah di sana hingga darjah dua. Selepas itu, ketika dalam darjah tiga, saya bersekolah di GPS Denawan.

UB: Sudah ada sekolah di sana masa itu?
CIKGU RASHID: Ya, sudah ada sekolah di sana. Waktu itu, guru besarnya ialah Cikgu Abdul Guul bin Nunukan. Mungkin kerana melihat saya agak pandai, saya dinaikkan ke darjah empat oleh beliau. Antara guru besar yang pernah bertugas di sana sepanjang saya bersekolah di GPS Dinawan, ialah Cikgu Hassan bin Tawil, ayah kepada Bahari Hassan Ketua Penolong Pengarah Korporat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Omar Baki bin Abun dan kemudian Cikgu Abdul Guul bin Nunukan pindah semula ke sana. Kami menduduki peperiksaan darjah enam  pada tahun 1969 di GPS Pulau Bum Bum yang menjadi pusat peperiksaan masa itu.

UB: Mungkin ada kenangan sewaktu bersekolah di Pulau Denawan?
CIKGU RASHID: Ketika bersekolah di pulau itu, saya dikenali sebagai pemancing yang handal.Tiap-tiap malam terang bulan, kira-kira jam 7.00 malam saya selalu pergi memancing di Laut. Antara rakan saya ialah Abdul Hajan bin Madai, Muhammad Makinu, Salman Samalah, Jainarun Sarabun, Mujan Kuhatang, Jalali Janah, Mari Sating pergi meamncing. Kami hanya balik kira-kira jam tiga pagi. Selalu kami dapat ikan kira-kira 500 kati. Di daratan sudah menunggu pembelinya, tetapi selalu berikan ikan untuk guru-guru kami. Setiap kali kami pergi memancing itu, kami selalu dapat antara RM50 hingga RM100. Jumlah yang besar pada masa itu. Banyak lagi yang boleh diceritakan mengenai hobi memancing ini.

UB: Selepas itu, di mana cikgu meneruskan persekolahan?
CIKGU RASHID: Saya meneruskan persekolahan di Government Junior Secondary School (GJSS) Semporna pada tahun 1970. Kami terpaksa mengikuti bridge class atau kelas peralihan. Jika lulus bridge class, kami boleh naik Form 1, sebaliknya jika gagal, ada peluang satu tahun lagi di Bridge Class 2. Murid-murid diberi ujian bahasa Inggeris untuk layak Form 1. Saya mendapat nombor tiga dalam peperiksaan.Nombor satu, anak Cina,, Shi Khoo atau si Baksing, khabarnya kini jadi peguam di Singapura. Nombor dua, Datuk Haji Ujang Haji Sulani, mantan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah. Guru kelas kami ialah Miss Chong Johny. Saya ingat dalam peperiksaan akhir tahun, saya dapat markah 100 peratus dalam mata pelajaran geografi. Kertas jawapan saya diedarkan ke seluruh sekolah.  Saya dianggap `terer’ dalam geografi.n Itu berlaku pada tahun 1971. Pada tahun 1972, bulan Januari, saya mendapat surat tawaran menjadi guru. Surat itu bertarikh 27 November 1971 tetapi saya terima pada Januari 1972.

UB: Di sekolah mana cikgu ditugaskan?
CIKGU RASHID: Saya ditugaskan di SRK Larapan. Saya lapor diri pada 3 Januari 1972. Guru besar ketika itu ialah Cikgu Waja Anuar. Kamilah yang membersihkan sekolah itu, yang ketika itu dipenuhi rumput. Sekolah itu sudah lama didirikan tapi belum ada murid. Saya mengajar di sana hingga 1974.

UB: Selepas tiga tahun itu, cikgu bertukar di mana?
CIKGU RASHID: Saya bertukar suka sama suka dengan seorang guru dari SRK Pegagau, sekolah di Skim SLDB peringkat 1. Isterinya orang pulau. Cikgu ni orang Kadazan dari KK, beliau berkahwin dengan orang Larapan. Sementara bapa saya pula, selepas bekerja sebagai penoreh getah dan kemudian pulang kampung di Pulau Denawan, mendapat tawaran sebagai peneroka di Skim SLDB di Pegagau, diberikan tanah sebanyak 10 ekar. Rancangan Pegagau diwujudkan ketika Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun menjadi Ketua Menteri dan Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai menjadi Menteri Pertanian dan Perikanan. Rancangan Pegagau seluas 900 ekar, dan setiap peneroka mendapat 10 ekar. Sekarang Rancangan itu dikenali sebagai Kampung Mantalitip.

UB: Sampai tahun berapa di SRK Pegagau?
CIKGU RASHID:1975 hingga 1978. Pada tahun 1978, saya mendapat tawaran memasuki Kursus  Sijil Perguruan  di Maktab Perguruan Sandakan Sabah. Cabaran yang kita hadapi masa itu ialah ketiadaan jalan raya yang baik. Masa itu untuk ke Sandakan masih jalan balak.Hasil kebijkasanaan pemimpin masa itu, diwujudkan kapal penumpang dari Semporna ke Lahad Datu. Bot papan atau motor dari jeti Semporna ke jeti Lahad Datu.  Kemudian dari Lahad Datu, naik kereta menuju Sungai Kinabatangan. Di sana  putus jalanraya, jadi kta terpaksa menyeberang naik feri. Dulu tiada jambatan seperti sekarang. Di seberang sudah ada kereta `private’  ke Sandakan, kita boleh naik . Terus  bergerak menerusi jalan Sukau, Check Point di Batu 32 dan kemudian ke Sandakan.

UB: Dimana cikgu menginap?
CIKGU RASHID: Kami tinggal di Asrama. Tiap tiap satu asrama ada empat katil, dua tingkat. Jadi dalam satu bilik ada lapan orang. Antara rakan saya, Cikgu Malail Haji Usi, Cikgu Tayang, Cikgu Albani, Cikgu Awang, Cikgu Kasim dari Lahad Datu, Cikgu Yusup Puasan, Cikgu Marasanto dan saya. Banyak peristiwa yang tidak dapat dilupakan sewaktu kami berkursus di sana.

UB: Tahun berapa habis kursus di Maktab?
CIKGU RASHID: Tahun 1980, saya lulus sijil perguruan dari Maktab Perguruan Sandakan, saya mendapat kategori kepujian. Saya bertugas di sekolah lama di SRK Pegagau. Enam bulan latihan praktikal, saya dikunjungi oleh Haji Ahmad Abdul yang menilai kami. Saya mendapat kepujian. Pada tahun 1981 hingga 1982, saya menjadi guru yang dipinjamkan ke SRJK St Patrick Tawau. Saya mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik. Sahabat karib saya di tawau masa itu ialah Miss Lucy Chong, taukeh kedai buku di Tawau dan Cikgu Husin, pemain golf Malaysia. Kemudian pada tahun 1982, saya ditukarkan ke SRK Pekan Semporna sebagai guru bahasa Inggeris. Masa kitu juga saya dilantik sebagai Pengerusi Majlis Sukan Sekolah Sekolah. Guru Besar masa itu ialah Datuk Haji Melali Haji Malik. Kemudian pada tahun 1983 hingga 1984, saya dilantik sebagai Ketua Pentadbir di SRK Pulau Denawan.Saya bertugas semula di kampung asal saya.

UB:Jadi terpaksalah cikgu berulang alik dari Pulau Denawan ke Semporna?
CIKGU RASHID: Setiap dua minggu sekali saya pergi ke Pekan Semporna. Biasanya setiap hari Jumaat.Kadang-kadang untuk menghadiri setiap kali ada aktiviti, memenuhi jemputan, menghadiri mesyuarat dan sebagainya. Saya selalu juga memenuhi jemputan sebagai pengacara Majlis Hari Ibu Bapa, sekarang namanya Majlis Anugerah Kecemerlangan, pengacara majlis-majlis kahwin dan sebagainya kerana kebolehan saya dalam bahasa Melayu. Saya juga sering dijemput sebagai pengacara Majlis acara Festival Lepa-Lepa kerana saya boleh berbahasa Melayu, Inggeris dan bahasa Bajau dengan baik.

UB: Berapa murid di SRK Pulau Denawan masa itu?
CIKGU RASHID; Kira-kira 250 orang murid dengan tiga guru iaitu Cikgu Ismail dan Cikgu Salleh.

UB: Berapa gaji mula-mula jadi guru?
CIKGU RASHID: Gaji sewaktu mula-mula jadi guru pada tahun 1972 ialah RM127.00. Setelah potong EPF, tinggal hanya RM98.00 sahaja. Masa itu, sekati gula berharga 25 sen. Beras satu gantang RM1.50. Satu gantang itu kira-kira 4 kg.

UB: Di awal temuramah tadi, cikgu ada menyatakan mengenai hasil telur penyu. Saya agak tertarik mengenainya.Banyakkah penyu yang bertelur di pulau itu?
CIKGU RASHID: Dahulu paling banyak seribu ekor penyu bertelur setiap malam. Kalau seekor penyu bertelur purata 100 telur setiap malam, bayangkan betapa banyaknya. Tetapi sekarang jumlah penyu yang bertelur jauh berkurangan. Sekarang hanya terdapat sekitar 60 hingga 100 ekor setiap malam.



UB: Mungkin ada peristiwa yang tidak dapat dilupakan sepanjang menjadi guru?
CIKGU RASHID: Banyak peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Antaranya ada satu ketika , akhir bulan, tanggal 30 haribulan, kami keluar ke Semporna untuk terima gaji. Kami kewluar naik bot kumpit dengan enjin 15 horsepower. Tiba-tiba di pertengahan laut antara pulau Denawan dan pulau Omadal, enjin bot mati. Di dalam bot kumpit itu, kami sembilan orang semuanya. Enjin mati tidak dapat dihidupkan, Kami terapung-apung di laut.Nasib baik, hujan tidak turun, ribut tidak melanda, gelombang pun hanya sedikit sahaja. Kalau arus angin dari utara, kami akan hanyut ke periaran Indonesia. Kalau angin bertiup dari Selatan, kami akan hanyut ke perairan Filipina, yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari pulau Denawan.

UB: Kemudian apa yang terjadi?
CIKGU RASHID: Masa itu tidak nampak nelayan, tidak ada nampak bot. Selepas kira-kira satu jam, satu lansa atau bot barter trade, bot tukar barang, kapal kayu dari Tawau  ke Filipina melalui kawasan di mana kami terapung. Kami buka baju, menjadikannya seperti bendera  dan melambai lambaikannya untuk minta pertolongan. Kemudian mereka mendekat. Salah seorang bertanya, Makikamuyan? Mengapa kamu Kami jawap bot kami rosak enjinnya. Ono tatabangannamu kaniu? Apa yang boleh kami tolong? Saya terus perkenalkan diri sebagai prinsipal atau guru besar yang akan ke Semporna untuk menghadiri mesyuarat. Saya kenalkan dua guru yang bersama saya. Saya tidak  beritahu kami ke Semporna untuk ambil gaji kerana berbahaya. Kami minta dihantar ke Pulau Si Amil. Ono ha Si Amil? Apa ada di Si Amil? Saya beritahu di sana ada pasukan Polis Hutan, jadi kami boleh minta tolong di sana untuk di hantar ke Semporna. Kebetulan masa itu setiap kapal lansa barter trade dari Filipina ke Tawau untuk tukar barang, mesti singgah ke Pulau Siamil untuk pemeriksaan keselamatan, dan muatan. Tiap-tiap satu bot wajib  meninggalkan senjata api mereka, mereka dibenaran membawa dua senjata dan 100 butir peluru dan ini mesti ditinggalkan di Pulau Siamil. Mereka hanya dibenarkan mengambil senjata dan peluru itu jika mereka balik ke Filipina,
Kemudian kami ditunda ke Pulau Siamil. Selepas mengucapkan terima kasih kepada kapten Bot Lansa itu,  kami minta dihantar ke Semporna, tetapi kami dihantar semula ke Pulau Denawan. Kami dibekalkan satu gelen besar minyak 24 liter. Sampai di Pulau Denawan, kami jumpa ketua Kampung Panglima Ismail Panglima Nujum, adik lelaki ibu saya. Nasib baik kerana keesokan harinya , beliau juga ada urusan ke Semporna dan kami tumpang dengan beliau.


Ada lagi satu peristiwa kami hampir karam.

UB: Cuba ceritakan cikgu?
CIKGU RASHID: Hari itu hari Ahad.Saya lupa tarikhnya. Kira-kira jam 4.00 petang kami berangkat dari jeti Pekan Semporna. Saya gunakan lepa milik orang Kampung Sri Aman Semporna. Lupa nama kawasan saya itu. Antara muatan kapal ilah 5 kotak ais yang saya gunakan untuk ikan, kerana saya juga menjadi pemborong ikan. Biasanya paling lambat empat jam kami boleh sampai ke pulau Denawan. Kalau guna enjin 60 hp atau 70 hp, ia memakan masa hanya dua jam untuk sampai.
Kira-kira jam 5.00 petang, tiba-tiba angin bertiup kencang. Hujang lebat dari barat daya. Pada mulanya tidak begitu kuat. Kemudian hampir jam 9,00 malam, angin bertambah kuat. Ombak besar. Lampu-lampu rumah orang kampung pulau Omadal sudah tidak nampak.Keadaan gelap gelita. Penumpang kapal itu selain saya dan tukang perahu, ialah isteri dan tiga anak saya yang berumur lima tahun, empat tahun dan tiga tahun. Bot lepa yang kami naiki, sudah 70 peratus tenggelam, Tinggal 30 peratus lagi. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk membuang ais dan lontai  bahagian depan dan belakang.Tinggal lantai tengah yang diduduki oleh isteri dan anak-anak yang sudah menggigil kesejukan. Anak-anak menangis kerana tidak tahan. Dalam keadaan genting seperti itu, saya teringat petua datuk saya, panglima Nujum. Beliau berpesan jika dalam keadaan begitu, jatuhkan jangkar, supaya bot menghadap angin. Kira-kira jam tiga subuh, enjin mati. Dengan kuasa Allah, angin berhenti dan bertiup sepoi-sepoi.Ombak pun tiada. Bulan terang. Kemudian tukang bot  itu bukan enjin kaborator, memperbaikinya dan kemudian memasangnya balik. Syukur Alhamdulillah, akhirnya enjin dapat dihidupkan semula. Jika enjin tidak dapat dihidupkan, masa itu kami sudah hanyut hampir ke perairan Filipina.
Bila sampai di pulau, kami dapati pokok kelapa tumbang, atap rumah diterbangkan, daun dan buah mangga berguguran. Orang kampung yang terbangun cepat menjengah keluar jendela kerana mengenal bunyi bot saya. Mereka kehairanan dan bertanya sewaktu ribut itu saya berada dimana? Saya beritahu kami berada di laut. Biasanya ketika taufan `hunus habagat’ atau ribut petir seperti itu jarang yang dapat selamat.  “Kaaru rella,” kata mereka. Jika ditanya, apakah pengalaman saya bertugas di pulau, saya boleh katakan saya biasa dibuai gelombang tapi saya tidak pernah takut mendidik anak bangsa.
UB: Tahun berapa cikgu bersara?
CIKGU RASHID: Saya bersara dari perkhidmatan pendidikan pada usia 56 tahun pada tahun 2008 ketika bertugas sebagai guru  di SRK Pekan Semporna.



No comments: