Friday, July 21, 2017

HAJAH NANIH ABAH, TOKOH WANITA YANG GIGIH



HAJAH NANIH ABAH, TOKOH WANITA YANG GIGIH

KEGIGIHAN dan komitmen beliau dalam berkhidmat untuk masyarakat sukar ditandingi. Sejak masa mudanya lagi, beliau sering terlibat dalam banyak kegiatan yang memerlukan semangat sukarelawan yang tinggi. Malah satu ketika, beliau pernah menjadi primadona dalam drama pentas yang diadakan bagi mengumpul dana untuk membina masjid. Sebagai seorang guru pula, beliau sentiasa menanamkan kesedaran kepada anak didiknya agar sentiasa mementingkan pendidikan untuk masa depan yang lebih cerah. Hajah Nanih Abah, adalah seorang tokoh wanita yang gigih dalam perjuangannya.

Hajah Nanih bte Abah @ Nancy Wong lahir di Putatan pada 13 Februari 1946. Beliau mendapat pendidikan awal di NVS  Buit Hill pada tahun 1955 hingga 1960. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di SM All Sainst pada tahun 1961-1964 sebelum menjadi guru pelatih di NVS TTC Pusat Latihan Guru-Guru Bumiputera di Tanjung Aru. Selepas itu, Hajah Nanih ditempatkan di NVS Poun Tunuh selama dua tahun  sebelum beliau dipindahkan sebagai guru di NVS Tansau. Setahun kemudian beliau dihantar berkursus di NVS TTC Tanjung Aru. Kemudian ditempatkan semula di Tansau dan selepas itu dipindah ke Buit Hill. Dua tahun kemudian beliau mengikuti kursus di Maktab Perguruan Kent Tuaran. Kemudian beliau dihantar semula ke Tansau. Di celah-celah kesibukannya beliau dihantar berkursus di Maktab Perguruan Gaya. Selepas itu, beliau ditukar SK Kem Lok Kawi. Di sana beliau bertugas  selama sepuluh tahun sebelum bersara sebagai guru pada tahun 2001. Beliau juga pernah menjadi Ahli Majlis Daerah Penampang dan kemudian pernah menjawat jawatan sebagai  sebagai Ahli Lembaga Pengarah Korporasi Pembangunan Desa (KPD).

Beliau pernah menjadi Ketua Wanita UMNO Penampang dan tetapi kemudian menjadi Ketua UMNO Putatan. Kini beliau menjawat jawatan Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Putatan dan Ketua UMNO Cawangan  Sailan Dua Putatan.

Hajah Nanih juga memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi USIA Pusat, Ketua Wanita USIA Bahagian Penampang, Ketua Wanita USIA Cawangan Sailan, Persatuan Tindakan Wanita Islam Sabah ({Pertiwisa) Persatuan Pesara Guru Sabah, Pengerusi Bulan Sabit Merah Cabang Putatan, Timbalan Pengerusi Panel Klinik Kesihatan Daerah Putatan, Ahli Lembaga Koperasi  Anisa Sabah, Ahli Jawatankuasa PMWK P173  Parlimen Putatan, Pengerusi JKKK Kampung Sailan  Putatan dan  AJK PDK Daerah Tuaran.

Berkat jasa-jasanya, beliau dianugerahkan Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1997 dan Ahli Darjah Kinabalu (ADK) pada tahun 1998.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN SHAIDDIN menemui beliau di rumahnya di Kampung Sailan untuk berkongsi pengalaman beliau dalam kerjayanya sebagai guru dan pengalamannya terlibat dalam badan-badan sukarela. Ikuti petikan  temuramah yang diadakan di rumahnya baru-baru ini.


UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang puan hajah?
HAJAH NANIH ABAH: Saya dilahirkan di Klinik Putatan pada 13 Februari 1946, jam 6.00 pagi. Kebetulan hari itu, hari raya Cina. Tahun  Baru Cina. Mercun meletup, saya pun lahir. Saya anak kelima dalam keluarga.Nama ayah saya Philip Wong Kin Fah. Setelah memeluk Islam namanya Ibrahim Abah. Nama ibu saya Nuyan binti Kee. Nama atuk saya, Wong Ah Cing. Nama nenek saya Kombuyut binti Limbungan asal Bundutuhan. Bila beliau memeluk Islam namanya Siti Aminah Abdullah.

UB: Di mana puan hajah bersekolah?
HNA: Saya bersekolah rendah di NVS Buit Hill dari tahun 1955 hingga 1960.
UB: Tiada bantahan dari keluarga? Jika tidak silap saya masa dulu sukar bagi anak perempuan untuk mendapat peluang pendidikan. Bagaimana dalam situasi puan hajah?
HNA: Dalam keluarga saya memang ada kesedaran dari ibu bapa. Mereka tidak menghalang saya untuk mendapatkan pendidikan untuk masa depan yang lebih cerah.
UB: Siapa rakan sekolah yang masih diingati?
HNA: Salah seorangnya Angeline Martin, dulu pernah kerja di Pertanian. Datuk Haji Jamdin Buyong, senior saya satu tahun. Haji Uda Sulai, mantan pegawai daerah. Cikgu kami masa itu ialah Cikgu Raskan Asing, Cikgu Datuk Haji Shuhaibun Yussuf dan Cikgu Nismah Awang Basar. Nama Guru Besar kami, Cikgu Pg Ghani Bagul. Semuanya sudah kembali ke rahmatullah.
UB: Selepas itu, puan hajah sekolah dimana?
HNA: Kemudian saya terpilih untuk bersekolah di All Saints dari tahun 1961 hingga 1964. Lepas itu, saya dipilih sebagai guru pelatih.
UB: Masuk maktab?
HNA: Saya terpilih untuk memasuki NVS TTC atau Pusat Latihan Guru Bumiputera di Tanjung Aru. Pengetuanya masa itu ialah Datuk Haji Dahli Elias. Antara rakan saya satu maktab ialah Cikgu Salumin, Cikgu Helen Kuring, Cikgu Julimah, Cikgu Rubiah Alman, Cikgu Rinau Buging dan lain-lain lagi. Selepas keluas dari NVS TTC, saya ditugaskan di NVS Puon Tunoh, sekolah misi.  
UB: Apa antara pengalaman di sana? Apa kenderaan ke sekolah?
HNA: Masa itu tidak ada kenderaan. Saya berjalan kaki dari rumah. Seorang diri. Saya merentas kawasan sawah padi untuk ke sekolah. Saya pernah ikut membonceng motosikal Cikgu John Wong Kin Loi. Terpaksa naik motosikal ikut Cikgu John ke sekolah. Antara rakan pendidik yang saya masih ingat ialah Theresa Juman, Lucia Sikajat. Ini cikgu yang sama-sama mengajar dengan saya.
UB: Berapa tahun mengajar di sana?
HNA: Saya mengajar di sana selama dua tahun. Kemudian saya ditukarkan ke NVS Tansau. Masa itu, pengajaran dan pembelajaran semua dijalankan dalam bahasa Inggeris. Mengajar setahun di sana, saya dihantar berkursus lagi fdi NVS TTC. Tamat kursus, saya balik mengajar di Tansau. Antara rakan saya di sana, Cikgu  Maria Gumpudu masih ada, Cikgu Katherine Han, Cikgu Betty Yap. Kemudian saya dipindahkan ke Buit Hill, mengajar di sana  selama dua tahun. Lepas itu, saya dihantar berkursus di Maktab Kent untuk bekajar bahasa Melayu. Saya diberi kursus bahasa Melayu kerana saya dianggap Cina. Saya berkursus selama enam bulan . Lepas keluar maktab, balik lagi ke Tansau. Ketika mengajar di SK Tansau itu juga, saya ikuti kursus  Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua di Maktab Gaya . Kebanyakan pensyarahnya anggota Peace Corp. Antaranya Michael Eugene, Joe Tangit, Mrs Duanno dan seorang dari India yang  kami panggil Mr Champion. Saya juga pernah ikut kursus melukis di bawah bimbingan Mr Worrick. Selepas berkhidmat di SMK Tansau saya dipindahkan ke SK Kem Lok Kawi. Saya mengajar di sana kira-kira 10 tahun sebelum bersara pada tahun 2001. Nama Lok Kawi itu sebenarnya berasal dari nama Sir William Cowie.

UB: Selain mengajar, puan hajah sempat juga bergiat dalam badan-badan sukarela seperti Persatuan Bulan Sabit Merah. Sejak bila melibatkan diri dalam NGO?
HNA: Saya melibatkan diri dalam persatuan Bulan Sabit Merah sejak 1960-an lagi. Saya memang minat. Cikgu kami masa itu Chua Kim Loi, orang Kota Belud. Saya bergiat dalam PBSM bermula dari peringkat bawah, tukaang angkat bakul hinggalah ke jawatan Pengerusi.

UB: Kami difahamkan puan hajah juga aktif dalam Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA)?
HNA: Dalam USIA, saya bermula sebagai ahli biasa saja. Selepas itu, saya terpilih sebagai Ketua Wanita USIA Putatan. Waktu itu, Putatan masih termasuk di bawah pentadbiran Penampang. Selepas itu saya terpilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi sedjak 1994 hinggalah sekarang.

UB: Dalam parti?
HNA: Saya mula-mula bergiat dalam USNO. Saya terpilih sebagai Ketua wanita USNO. Waktu itu tidak ada yang mahu jawatan itu kerana Usno sebuah parti pembangkang.  Apabila UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah, saya terpilih lagi sebagai Ketua Penaja Wanita Umno Tanjung Aru.  Kemudian ketika ada persempadanan semula, saya dilantik pula sebagai Ketua Wanita UMNO Penampang. Ketua Bahagian Kami, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin. Rakan seperjuangan sejak zaman USNO lagi.Kemudian satu bahagian baru diwujudkan iaitu UMNOI Bahagian Putatan tetapi saya tidak lagi jadi ketua wanita.saya hanya jadi ahli jawatankuasa bahagian.

UB: Apa yang mendorong puan hajah untuk terus berjuang?
HNA: Saya berjuang untuk kaum sejenis saya agar mereka maju jaya.

UB: Oh ya. Saya teringat satu ketika dulu saya terbaca bahawa puan hajah pernah berlakon untuk kutip derma masjid? Boleh ceritakan?
HNA: Ya. Kalau tidak silap saya, kami pernah berlakon untuk mengutip derma. Antara pelakon Drama Pentas Bajau 1964 itu  yang saya  ingat ialah Aminah Osman, Jamilah Amin, Haji Uda Sulai, dia yang jadi starring dalam cerita itu. Haji Uda berlakon Aziz,  Haji Masri Edris sebagai Kasim. Haji Masri  kini ketua kampung Kinarut. Saya jadi sri panggung masa itu  berlakon sebagai Inah. Itulah sandiwara pertama yang menggunakan bahasa bajau. Dialog-dialognya dalam bahasa Bajau. Arahan Jamdin B atau kini dikenali Datuk Haji Jamdin Buyong. Pembantu Pengarahnya M Jumahat. Pengurusnya masa itu Haji Madiah Ahmad Mus,. Antara yang terlibat ialah arwah Mohd Jad Pandikar, Abdul Rashid Ahmad, Haji Sedi, Mohd Yassin Isa,  Salina Ali Hussin sebagai juru acara,Kalau tidak silap saya, drama pentas itu dipentaskan oleh Persatuan Sabah Bajau Bersatu. Kisahnya seperti yang tertulis dalam risalah ialah sebuah kisah yang penuh tamsil, ibarat disulam air mata. Sebelum kami mengadakan pementasan itu, ia sudah diumumkan melalui kain rentang dan hailer atau pembesar suara yang menyatakan bahawa pada malam itu ada persembahan sandiawara.Kami berlakon bukan untuk mencari publisiti atau populariti .
UB: Kalau bukan kerana mencari populariti, apa tujuan puan hajah berlakon pada masa itu?

HNA: Masa itu kami berlakon drama semata-mata untuk mendapatkan untuk pembinaan Masjid Putatan. Tiada bantuan kerajaan pada masa itu. Dalam pementasan yang kami adakan masa itu, masyarakat memberikan sambutan yang sangat menggalakkan.Jika tidak silap kami mementaskan sandiwara itu di Papar, Kinarut dan Menggatal.

UB: Apa nasihat puan hajah kepada generasi muda?
HNA: Nasihat saya kepada orang muda, jangan mudah terpengaruh dengan hasutan yang boleh menjatuhkan pemimpin negara dan mengganggu kestabilan kita.
Apabila kita buat sesuatu kerja, kita mesti gembira.Kita buat secara ikhlas saja. Dalam perjuangan ini, kita berjuang tanpa harapkan balasan. Apabila kita mencari kekayaan di dunia, jangan lupa cari kekayaan untuk akhirat nanti. Ertinya kita harus selalu berkhidmat dengan ikhlas, mengerjakan kebaikan dan sebagainya.
UB: Mungkin ada pengalaman manis sepanjang berkhidmat dalam kerjaya?
HNA: Pengalaman manis banyak juga, pengalaman pahit ada juga.
UB: Mungkin ada pengalaman bersama arwah Tun Mustapha? Bapa Kemerdekaan Sabah?
HNA: Saya ada pengalaman bersama arwah Tun Mustapha semasa hidupnya. Waktu beliau sakit-sakit, saya sering ke rumahnya kerana suami saya rapat dengan arwah Tun. Dalam lawatan itu, saya rasa sebak juga mengenangkan Tun. Beliau selalu berpesan agar teruskan perjuangan.
UB: Jadi apa pengalaman manis?
HNA: Penglaman manis saya ialah apabila saya melihat kaum sejenis saya berjaya dalam segala bidang yang mereka ceburi. Saya rasa gembira juga apabila saya dapat berkhidmat membantu masyarakat.
UB: Nampak puan hajah banyak menanam bunga?
HNA: Menanam bunga adalah salah satu hobi saya. Saya masih menyempatkan diri menyiram bunga walaupun kadang-kadang saya sibuk. Melihat bunga selalu membuat hatu saya gembira.

No comments: