Sabtu, 22 Julai 2017

HAJI SAIRIN IBRAHIM, DULU PEMANAH IKAN KINI PENGURUS POS SABAH

Tags



Jangan cerita pasal memancing atau memanah ikan, atau menyelam berlama-lama di dasar laut, ia bukan hal aneh baru kepada Haji Mohd Sairin Haji Ibrahim, Pengurus Negeri Sabah, Pos Malaysia Berhad. Sebagai seorang anak yang dibesarkan bersama deruan ombak dan alunan gelombang, Haji Mohd Sairin mempunyai keazaman yang kuat dalam mencapai kecemerlangan dalam pendidikan dan membantu mengubah hidup keluarganya.

Mohd Sairin Mohd Ibrahim lahir di Pulau Memutik pada 14 Julai 1958. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Pulau Mantanani dari tahun 1970 hingga 1972. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di SMK Sanzac dari tingkatan satu hingga tingkatan lima. Selepas itu, beliau meneruskan persekolahan dalam tingkatan Enam di SMK Menggatal Kota Kinabalu. Selepas itu, beliau ke seberang laut untuk melanjutkan pengajian
di Southern Illinois University (SIU) Carbondale sebelum berpindah ke Indiana State University, Terre Haute Indiana sehingga mendapat ijazah  BSc dan seterusnya MSc dalam bidang Ekonomi Pembangunan.

Kerjayanya di Pos Malaysia Berhad bermula apabila dilantik Penolong Pengurus di Pos Malaysia Berhad Kota Kinabalu pada Oktober 1987.

Kemudian beliau dilantik sebagai Penolong Pengurus Bahagian Perkhidmatan dan Pengurusan PMB Kuala Lumpur pada November 1987 hingga November 1989. Selepas itu, beliau kembali semula ke Kota Kinabalu dan dilantik sebagai Penolong Pengurus (Pembangunan) pada November 1989 hingga November 1992, Penolong Pengurus Kanan (Operasi) November 1992-April 1994, Penolong Pengurus Kanan (Pentadbiran Sumber Manusia) Mei 1994-Februari 1995,Pengurus Perniagaan (Bahagian Perniagaan Kaunter) Februari 1995-Oktober 1997,Pengurus Prosesan Negeri Februari 2001 hingga Mei 2003,Ketua Operasi Retail Negeri Sabah Jun 2003-September 2004,Ketua Operasi Mel Oktober 2004-November 2005. Kemudian Haji Sairin dilantik sebagai Pengurus Perancangan dan Operasi Pos Mel di Ibu Pejabat Kuala Lumpur Disember 2005-Jun 2008 dan Pengurus Wilayah Sabah Sarawak dari Julai 2008 hingga Januari 2009, Ketua Operasi Mel (KOM) Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur pada Januari hingga  Mei 2009.

Beliau kemudian berpindah ke Kementerian Pengangkutan dan  dilantik sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri , Datuk Abd Rahim Bakri bermula Mei 2009 hingga Jun 2013. Selepas itu, beliau kembali berkhidmat di Pos Malaysia,  sebagai Naib Presiden, Pembangunan Perniagaan dan Perhubungan dengan Pihak Kerajaan di Pusat Mel Nasional Shah Alam, pada Julai 2013 hingga 31 Mac 2016.

Sejak 1 April 2016, beliau dilantik sebagai Pengurus Negeri Sabah dan WP Labuan, Pos Malaysia Berhad Kota Kinabalu.

Sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan pos, banyak pengalaman pahit manis yang ditempuhinya. Antara yang tidak dapat dilupakan ialah ketika
mengetuai Misi Sipadan untuk menghantar surat-surat dari keluarga kepada mangsa penculikan di Pulau Jolo pada 22  hingga 30 Jun  2000.

Sebenarnya, sebelum berkhidmat di Pos Malaysia, Haji Sairin  pernah menjadi Pegawai Kerani di Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (Safoda ) bermula Disember 1979 hingga Mac 1980,Pegawai Imigresen Kota Kinabalu bermula Disember 1980-Jun 1981,Khidmat Siswazah Sambilan di LHDN dari November -Disember 1986, Skim Khidmat Siswazah Jabatan Buruh dari Januari-Jun 1987,Guru Sandaran Tidak Terlatih di SMK Likas pada Julai -Oktober 1987, Pensyarah Sambilan untuk Subjek Ekonomi di UiTM pada Januari-  Julai 1987.
Selain banyak  mengikuti kursus dalam negara, beliau juga pernah mengikuti kursus Postal Planning and Development di The Asian-Pasific Postal Training Center Bangkok Thailand dari 12 Mac hingga 4 Mei 1990,ASEAN Postal Officer Exchange Programme:On The Job Training di Singapore Post, Singapura pada 11 hingga 20 Ogos 1997,Kursus Postal Service Management di International Cooperation Agency of the Government of Japan di Tokyo, Jepun pada 8 hingga 22 Februari 2004.

Dalam bidang kemasyarakatan, Haji Sairin pernah menjadi penaja Pemuda UMNO Cawangan Kampung Baru-Baru Tuaran pada 1991-1992,Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Baru-Baru pada 1993-1998,Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Tuaran pada 1994-1998,Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Seni Budaya Bajau Sabah (PSBB) 1997-2005 dan Alumni SMK Menggatal dari 2004 hingga kini.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Rabiah Haji Abdul Salleh dan dikurniakan seorang puteri seorang putera dan kini menimang tiga orang cucu.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah beliau di pejabatnya di Tingkat 10, Pos Malaysia pada satu petang yang cerah. Ikuti petikan temuramah bersama  beliau mengenai pengalamannya ketika zaman-zaman persekolahan beliau hingga sekarang.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan haji?
HAJI MOHD SAIRIN HAJI IBRAHIM: Saya dilahirkan di Pulau Memutik pada 14 Julai 1998, jam 9.00 pagi hari Isnin.

UB: Maksud tuan haji Pulau Memutik yang terletak di Taman Tunku Abdul Rahman sekarang ini?
SAIRIN: Ya.satu masa dahulu, pulau Memutik, Manukan dan Pulau Sulug adalah milik keluarga dan kerabat kami. Bahkan allahyarhamah ibu kami dikebumikan di pulau Manukan. Datuk kami ialah Panglima Ali, salah seorang tokoh dalam sejarah Sabah ketika era perang Jepun.Beliau salah seorang yang menentang Jepun bersama Albert Kwok dan dikebumikan di Petagas. Kebanyakan yang tinggal di pulau itu ialah perempuan, Kaum lelaki jadi buruh, tanam ubi kayu untuk keperluan Jepun Kemudian berlaku peristiwa Double 10. Semua lelaki dipancung kepalanya di Petagas.Ada yang dihantar di Labuan sebagai tahanan perang.Semua lelaki dari pulau udar, Pulau Mengalun, dikumpul untuk dibunuh.

Orang-orang tua dahulu, meskipun tidak terpelajar, pandai mengaji dan menulis, malah mereka pintar. Mereka boleh menang peraduan menulis yang dianjurkan sebuah majalah  di Singapura. Mereka dari kecil lagi sudah jadi nelayan tetapi mereka pandai. Waktu itu mereka sudah membaca cerita-cerita Hamka.Idola mereka Hamka.

Kehidupan masa itu memang susah. Kebanyakan lelaki banyak yang mati waktu Jepun.Orang yang paling dituakan di pulau Gaya, Haji Jawak atau panglima Jawak yang banyak membantu keluarga. Anak buahnya banyak bantu seperti Muslih Siman,Pillak lintuk, Sawi, Mamun. Inilah generasi yang banyak beri sokongan kami sekolah

UB: Dimana tuan bersekolah rendah?
SAIRIN: Saya bersekolah rendah di SRK Pulau Mantanani.Kenapa saya sekolah di pulau Mantanani? Selepas arwah ibu saya,Rukayah binti Saman kembali ke rahmatullah, ayah saya Haji Ibrahim Imam Saililah membawa saya ke kampung asalnya, di pulau Mantanani. Beliau menyekolahkan saya di sana. Itu sebabnya saya sekolah di Pulau Mantanani, Saya anak keenam dari 12 adik beradik. Masa itu, kami tinggal di Kampung Baru-Baru Tuaran. Jadi saya ke sekolah naik motor yang dipanggil lansa. Saya dan adik saya , Dr Kassim disekolahkan di sana. Selepas subuh, kami dihantar ke pulau menggunakan lansa. Kenapa waktu Subuh? Kerana angin belum bertiup kencang. Perjalanan mengambil masa tiga jam. Selepas itu, ayah saya tinggal dua tiga hari di kampung itu, ziarah keluarga, Minum bersama rakan-rakannya Haji Kimsi, Haji Maulana. Kalau kebetulan dia ada di pulau itu hari Jumaat, beliau yang baca khutbah. Kalau balik , dia bawa ikan masin, sotong, ikan putih pemberian keluarga.Orang dulu-dulu begitu kebiasaannya. Masa itu pula banyak ikan.

UB: Berapa lama sekolah di Pulau Mantanani?
SAIRIN: Dua tahun sahaja.Sebab sebelum sekolah,ayah saya sudah menghantar saya belajar ABC kepada pakcik saya Maksi bin sama. Jadi kalau soal tulis ABC,kira mengira saya sudah pandai. Apabila peperiksaan, saya dapat keputusan yang baik. saya terus naik kelas darjah empat kerana dianggap pandai.Kemudian melompat lagi ke darjah enam.


Apabila tiba peperiksaan darjah enam, waktu itu kami menduduki peperiksaan di SRK Timbang Dayang. Masa itu musim ribut,musim angin utara. Guru kami, Cikgu Maswali susah hati bimbang kami tak dapat ikut peperiksaan.Kerana takut angin ribut, beliau menyewa bot dan menghantar kami ke tanah besar satu minggu lebih awal. Kami,25 orang semuanya  tinggal di rumahnya di Payas-payas. Walaupun tanpa diminta, kami bawa bekal ikan dan sebagainya kerana menumpang di rumahnya. Saya ingat lagi, bila tiba waktu peperiksaan darjah enam, kami berjalan kaki beramai-ramai dari Payas-Payas.
Antara rakan kami masa itu, Abdul Rahman,Cikgu hajah Norsiah,Alilulah Sabti, Abdul Siti Musli, Rumai Haji Dammah.Saya mendapat markah tertinggi kerana memang pandai matematik.

UB: Mungkin tuan masih ingat guru-guru yang pernah mengajar tuan sewaktu bersekolah di SRK Pulau Mantanani?
SAIRIN: Guru-guru yang pernah mengajar kami di SRK Pulau Mantanani tahun ialah Cikgu Sedin Tundan,Cikgu Masgul Karim, Cikgu Aminuddin Baki dari Suang Punggur, Cikgu Kansih Musli (arwah), Cikgu Jaffawail Ismail dan Cikgu Saudah Pauh, Cikgu Maswali.

UB: Selepas itu, tuan haji sekolah dimana?
SAIRIN: Pada tahun 1973, abang saya, Haji Salim tolong mengurus perpindahan saya ke SMK Sanzac. Masa itu SMK Sanzac menumpang di SRK Tanjung Aru, dekat lapangan terbang.

UB: Tinggal di mana masa itu?
SAIRIN: Kami pernah menyewa di kampung Air. Memang seronok masa itu. Hari Isnin hingga Jumaat sekolah seperti biasa. Bila ada masa terluang, saya suka tengok wayang. Masa itu tidak ada hiburan seperti sekarang. Kalau hari minggu, saya sempat menonton wayang.wayang karate, Hindi, Indonesia, filem Hong Kong dengan harga tiket 50 sen. Masa itu panggung wayang hanya ada dua, Capitol dan Cathay. Namun ketika tingkatan tiga, saya di asrama sekolah.

UB: Tahun berapa tuan haji di SMK Sanzac? Siapa rakan-rakan sekolah? Ingat lagi nama mereka?
SAIRIN: Saya bersekolah  di SMK Sanzac 1973 hingga 1977. Antara rakan sekolah saya ialah Hajah Asmiah Haji Ajamain, Muhidah Daiman,Mohd Nasir Datuk Kasim,Nonyon Inokan, Ismail Awang Adi, Alwi Haji Maidin, Jovio Greggory, Joe Gedayok,Wasyanto Kasmadi,Haris Ismail,Fatimah Haji Awang, Noriah Haji Awang, Dg Masgaloh Dahalan, Rosnah Hamid, Rusnah Idris

UB: Ramai juga. Kalau guru, siapa yang tuan haji masih ingat lagi?
SAIRIN: Antara cikgu kami masa itu ialah Cikgu Faridah Samsudin, Cikgu Muslimin, Cikgu Ghani Abdul Rahman, Cikgu Saadiah Muhamad, Cikgu Fatimah. Guru-guru ini sangat baik kepada kami murid-muridnya. Masa itu,, 90 peratus guru-guru didatangkan dari Semenanjung.Mereka guru guru yang berdedikasi dalam mendidik anak bangsa. Selalu mengadakan kelas tambahan setiap hari Sabtu. Kelas tambahan selama dua jam diberikan secara percuma, tiada bayaran satu sen pun.Mereka datang membimbing kami dalam matapelajaran yang kami ambil, manamana subjek yang tidak diajarkan disekolah.

UB: Berapa lama tuan sekolah di Sanzac?
SAIRIN:  Saya bersekolah di Sanzac hinga tingkatan lima. Selepas lulus SPM, saya bersekolahdi SMK Menggatal.

UB: Bagaimana tuan haji bersekolah?
SAIRIN: Saya bersekolah ikut bas.Masa itu pengangkutan awam, hanya ada satu bas. Satu bas sebelah pagi, tengahari dan petang.Suratkhabar. kami baca sehari lebih lewat.

UB: Masih ingat nama cikgu yang pernah mengajar tuan sewaktu bersekolah di SMK Menggatal?
SAIRIN: Antaranya Cikgu Aziz Abas (Dato Haji), Cikgu  Zakaria Jib, Cikgu Dahlan Yusop. Cikgu Baskaran, Prof Sahril,Osman Lebar. Saya ingat cikgu Osman Lebar, yang mengajar dengan sangat tenang. Beliau seorang pendidik yang mendidik dengan ilmu. Di Tingkatan Enam, kami diajar banyak subjek,kertas am, diajar guru-guru yang berpengalaman, diajar berpidato.Banyak perkara. Ketika berada dalam Tingkatan enam, ia  banyak mengajar saya lebih matang.Masa itu,Pelajarpelajar SMK Menggatal datang dari seluruh Sabah.Sungguhpun begitu, kami saling hormat menghormati dan menjalin persahabatan yang ikhlas sesama kami.


UB: Siapa rakan rakan sekolah tuan?

SAIRIN: Masa sekolah di SMK Menggatal tahun 1978-1979, antara rakan sekolah saya ialah Kassim Haji Mansur (Prof Datuk Dr), Hajah Asmiah Haji Ajamain, Almain Ajirul (Datuk), Aweeg Salim, Siti Ameh Haji Ruman, Yusuf Haji Lajak, Jupirin Haji Ruhimin,Jamilun Sanarul,Nonyon Inokan,Muhidah Daiman,Zaiton Bakri, Jovio Greggory,Maria Sinti,Sinilin Kuoi,Tiara Haji Sibil,Julian Guggau

UB: Selepas itu, apa yang tuan lakukan sambil menunggu keputusan peperiksaan.
SAIRIN: Ketika menunggu keputusan peperiksaan SPM, saya sempat bekerja di Safoda. Saya bekerja sebagai pegawai kerani di Safoda dari tahun Disember 1979 hingga Mac 1980.Masa tunggu STPM, saya mohon tujuh jawatan.Saya dipanggil temuduga. Masa itu, peluang pekerjaan masih banyak. Saya lulus temuduga lima jawatan tetapi kerana saya suka tugas uniform,saya pilih imigresen. Saya bertugas di Imigresen Kota Kinabalu bermula Disember 1980 hingga Jun 1981.

UB: Kemudian?
SAIRIN: Kemudian selepas itu, saya dapat peluang belajar di seberang laut iaitu di Southern Illinois University at Carbondale (SIU). Di sini saya banyak bertemua rakan-rakan dari Sabah, antaranya, Datu Rusmadi Sulai, Faridah Jaafar, Sarbini Jaidin,Karim Rashid,Hussin Haji Kiamsin, Jani Majuni (arwah), Juliana Ontol,Rusila Haji Nunsi, Jame Alip (Datuk), Henrynus Amin (Datuk),Esther, Sualim Gopog,Richard Benion,Arbaat Hassan,Aweeg Salim,Johari Salim,Masniah Tara,Ramlan Godos,Amirbangsa Haji Ahmad, Baharuddin Wahid, Abdul Hamid Sani. Razak Rakunman.
Kemudian sahabat saya, Dr Kassim Haji Mansur (Prof Datuk) mengajak saya untuk pindah ke Indiana State University., Terre Haute Indiana. Beliaulah yang mengambil saya di SIU, mencarikan rumah sewa di Indiana State University. Itulah sebabnya saya pindah ke Indiana.


Di Indiana University pula, antara rakan seuniversiti ialah Kassim Haji Mansur (Prof Datuk Dr) sendiri,  Kibin Haji Samad,Rabiah Haji Abdul Salleh,Omar Haji Mama,Ramli Marhaban (Datuk),Salleh Eddris,Rahman Mintek,Jamilun Sanarul, Salsidu Haji Ibrahim (Datuk) Elmin Haji Kassim, Dahali Haji Matussin, Sariff Haji Ibrahim, Tun Ahmadshah Abdullah,Yunus Tahir (arwah), Haris Yahya,Kastian Dullah, Abbas Haji Yahya, Muluk Samad, Salim Gabot,Felix Gusti, Wahab Haji Basri, Haji Awang Tuah Haji Mokti.

UB: Tentu banyak kenangan manis sewaktu belajar di sana?
SAIRIN: Banyak kenangan manis.Semasa belajar di universiti, saya bertemu jodoh dengan gadis asal Semporna bernama Rabiah Haji Abdul Salleh. Dari perkongsian hidup kami dikurniakan seorang putri seorang putra dan kini menimang tiga orang cucu.

UB: Pernahkah tuan bekerja sewaktu belajar di Amerika?
SAIRIN: Semasa belajar di Amerika,  memangramai pelajar yang cari kerja sampingan. Saya pernah kerja sebagai pembantu dapur, menghidang makanan di dormitori, masuk piring dalam mesin. Gaji 3.80 dolar sehari. Lumayan masa itu.

UB: Tuan belajar dalam bidang apa di Indiana?
SAIRIN: Saya belajar di Indiana State University, Terre Haute Indiana sehingga mendapat ijazah  BSc dan seterusnya MSc dalam bidang Ekonomi Pembangunan.

UB: Selepas balik ke Sabah, di mana tuan bekerja?
SAIRIN: Saya bekerja di bawah skim Khidmat Siswazah Sambilan di LHDN dari November -Disember 1986, Skim Khidmat Siswazah Jabatan Buruh dari Januari-Jun 1987,Guru Sandaran Tidak Terlatih di SMK Likas pada Julai -Oktober 1987, Pensyarah Sambilan untuk Subjek Ekonomi di UiTM pada Januari-  Julai 1987.

UB: Bila mula kerja di Pos Malaysia?
SAIRIN: Saya mula kerja di Pos Malaysia Berhad pada Oktober 1987. Saya dilantik sebagai  Penolong Pengurus di Pos Malaysia Berhad Kota Kinabalu. Kemudian saya  dilantik sebagai Penolong Pengurus Bahagian Perkhidmatan dan Pengurusan PMB Kuala Lumpur pada November 1987 hingga November 1989. Selepas itu, saya kembali semula ke Kota Kinabalu dan dilantik sebagai Penolong Pengurus (Pembangunan) pada November 1989 hingga November 1992, Penolong Pengurus Kanan (Operasi) November 1992-April 1994, Penolong Pengurus Kanan (Pentadbiran Sumber Manusia) Mei 1994-Februari 1995,Pengurus Perniagaan (Bahagian Perniagaan Kaunter) Februari 1995-Oktober 1997,Pengurus Prosesan Negeri Februari 2001 hingga Mei 2003,Ketua Operasi Retail Negeri Sabah Jun 2003-September 2004,Ketua Operasi Mel Oktober 2004-November 2005.  Selepas itu, saya dilantik sebagai Pengurus Perancangan dan Operasi Pos Mel di Ibu Pejabat Kuala Lumpur Disember 2005-Jun 2008 dan Pengurus Wilayah Sabah Sarawak dari Julai 2008 hingga Januari 2009, Ketua Operasi Mel (KOM) Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur pada Januari 2009 hingga Mei 2009.

Kemudian saya dipinjamkan  ke Kementerian Pengangkutan dan  dilantik sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri , Datuk Abd Rahim Bakri bermula Mei 2009 hingga Jun 2013. Saya kembali berkhidmat semula ke Pos Malaysia dan  sebagai Naib Presiden, Pembangunan Perniagaan dan Perhubungan dengan Pihak Kerajaan di Pusat Mel Nasional Shah Alam, pada Julai 2013 hingga 31 Mac 2016.

Sejak 1 April 2016, saya dilantik sebagai Pengurus Negeri Sabah dan WP Labuan, Pos Malaysia Berhad Kota Kinabalu.

UB; Apa cita-cita tuan ketika kecil?

SAIRIN: Sebenarnya, saya bercita-cita mahu jadi guruSaya mahu jadi guru, kerana ketika masih kanak-kanak, saya melihat kebanyakan guru-guru yang mengajar di Pulau Mantanani dari tanah besar. Itu sebabnya saya bercita mahu jadi guru. Kedua saya mahu jadi peguam, ketika mahu jadi pegawai kerajaan.

UB: Oh ya, mungkin ada pengalaman pahit manis ketika bersekolah di Pulau Mantanani. Tuan lupa cerita tadi?
SAIRIN: Banyak juga.Antara yang saya ingat ialah pernah satu ketika orang kampung ribut apabila mendengar bunyi letupan bom ikan. Bila mereka sampai ke pantai, mereka melihat kami telungkup dalam perahu.. Ramai yang menangis kerana menyangka kami sudah mati.
Satu lagi peristiwa yang saya tidak boleh lupa apabila kapal kami mati enjin kerana kehabisan minyak di tengah laut. Mulanya kami ingat ada bawa minyak tetapi rupanya minyak enjin tertinggal. Kelamkabut jadinya. Kami terpaksa berkayuh. Ketika itu hari sudah petang. Bila malam tiba, keadaan gelap gelita. Nasib baik tidak ada angin kuat. Tempat kami hanyut adalah laluan kapal besar. Orang kampung yang sudah gelisah dan bimbang kerana kami tidak pulang-pulang juga, akhirnya datang mencari kami. Mereka menemui kami kira-kira jam 11 malam dalam keadaan kelaparan. Sejak itu, makcik saya tidak membenarkan kami ke laut lagi. Hobi saya ketika itu ialah memancing dan memanah ikan. Saya boleh menyelam untuk memanah ikan di dasar laut selama enam atau tujuh minit. Dulu masih banyak ikan di Pulau Mantanani, sehingga saya boleh memilih untuk memanah ikan yang besar sahaja. Saya juga mahir menangkap udang `lobster’. Kalau soal memancing atau memanah ikan, saya boleh dikatakan mahir masa itu. Meskipun demikian, sebagai anak laut, saya juga ada kelemahan. Cepat mabuk laut
,

UB: Oh ya. Soalan akhir sebelum kita mengakhiri sesi temuramah kali ini?Apa agaknya kenangan yang tuan ingat mengenai ayah tuan?
SAIRIN: Salah satunya ialah beliau mahu kami konsentrasi dan sungguh-sungguh dalam pelajaran. Kalau masih sekolah, tidak tidak mahu tengok kami di atas kapal atau bot. Kalau masa cuti, dia mahu kami bawa kapal, pegang steering.  Sebaiknya pegang itu steering, katanya, Jangan sekadar jadi tukang tarik jangkar. Biar kamu yang bawa kapal, katanya.
Beliau juga selalu berpesan, dan mengingatkan kami agar jangan sombong. Selalu ingat keluarga. Tolong keluarga. Beliau mahu kami mengamalkan dan menghayati konsep bogbog atau tolong menolong.

Bercakap pasal bog-bog ini, saya sangat terhutang budi dan terharu dengan pengorbanan kakanda Haji Salim Haji Ibrahim  dan keluarga di kampung kerana  menyekolahkan kami adik-adiknya walaupun pada masa itu bekerja sebagai jurukamera RTM  dan gaji ala kadar  tetapi mampu menyara kami adik adik bersekolah. Alhamdulillah.

UB: Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman dengan kami.
SAIRIN: Terima kasih kembali.