Friday, July 21, 2017

ILIYAS IBRAHIM ANAK SABAH PERTAMA JADI PESURUHJAYA POLIS



ILIYAS IBRAHIM ANAK SABAH PERTAMA JADI PESURUHJAYA POLIS


SEJAK kecil lagi, cita-citanya memang mahu menjadi polis. Namun sebelum menjadi polis, ia menjadi kerani polis dan kemudian polis pelabuhan terlebih dahulu.Jalan untuknya menjadi polis tidak mudah.Beliau harus menempuhi pelbagai cabaran hingga pada suatu hari, ada pengambilan jawatan inspektor dan beliau tanpa berlengah memohon jawatan itu. Akhirnya beliau menjadi polis, bukan setakat polis biasa tetapi orang Sabah pertama yang dilantik Pesuruhjaya Polis Sabah.

Padahal sewaktu dulu, beliau pernah bekerja sebagai buruh kontrak di ladang kelapa sawit dengan upah RM5 sehari untuk menambah perbelanjaan sekolah. Beliau seorang yang gigih. Sejak kanak-kanak lagi, jiwa besarnya sudah kelihatan. Beliau sering membantu ayahnya memelihara kerbau, malah bukan itu sahaja, beliau juga pernah berjualan aiskrim. Berkat kecekalan dan sikap positif dalam melihat masa depan, impian Datuk Haji Iliyas Ibrahim untuk menjadi polis bukan setakat tercapai malah beliau dilantik sebagai anak kelahiran Sabah yang pertama dilantik Pesuruhjaya Polis Sabah, suatu jawatan yang tidak yang pernah difikirkannya. Berkat pengalaman dan kebolehan yang dimilikinya, beliau melakar satu lagi sejarah apabila dilantik sebagai Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang kedua.

Datuk Haji Iliyas Haji Ibrahim dilahirkan di Kampung Pimping Membakut pada 11 September 1948. Anak sulung dari sembilan adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRK Mempagar Beaufort sebelum meneruskan pelajaran di peringkat menengah di Goverment Secondary School (GSS) Keningau, yang kemudiannya dikenali sebagai SMK Gunsanad, hingga lulus Senior Cambridge.

Selepas itu, beliau bekerja sebagai kerani di Balai Polis Kota Kinabalu sebelum berpindah sebagai pegawai polis di Lembaga Pelabuhan Sabah (LPS) dari tahun 1968-1970. Beliau kemudian bernasib baik kerana diterima sebagai Inspektor Percubaan dan menjalani kursus di Kolej Polis Kuala Kubu Baru pada 1971. Sebaik tamat latihan, beliau ditugaskan sebagai SB (Special Branch) di Sandakan, kemudian dilantik  sebagai SB di Kinabatangan sebelum bertugas di bahagian Perkhidmatan Am.
Pada 1 Jun 1977, beliau ditempatkan di Sandakan sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah dan kira-kira satu tahun kemudian, iaitu 1 April 1978,dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Sandakan. Pada 2 April 1983, beliau dipindahkan ke Tawau sebagai Ketua Polis Daerah (OCPD) hingga 2 Julai 1987 apabila beliau mengikuti kursus sembilan bulan di Bukit Aman,Kuala Lumpur.

Sebaik menamatkan Kursus Diploma Sains Kepolisan, Iliyas ditukarkan semula ke Sandakan sebagai Ketua Polis Daerah Sandakan dari 30  April 1988 hingga 5 Jun 1989. Iliyas kemudian dilantik Ketua Polis Bahagian Sandakan hingga 4 Disember 1992. Pada 5 Disember, beliau ditugaskan sebagai Pegawai Memerintah Batalion 7 PGA  Sandakan hingga 18 April 1994. Selepas itu, beliau berpindah ke  Gombak Kuala Lumpur sebagai Ketua Polis  pada 19 April 1994 hingga ditukarkan semula ke Sabah pada 14 Februari 1997 sebagai Ketua Bahagian Pengurusan Balai Polis Karamunsing. Pada 16 Mac 2001, beliau dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan kemudian menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah pada  5 Januari 2004 sehinggalah bersara pada 11 September 2004 setelah berada selama 35 tahun dalam perkhidmatan polis. Kemudian  Iliyas dilantik sebagai Mayor Bandaraya Kota Kinabalu selama tiga penggal bermula 2 Februari 2005 hingga 1 Februari 2011.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Datin Naimah Haji Hassan pada tahun 1973 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Radzdiyanna, Syabrenna,Muhd Naziff dan Lydianna.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN dan HASSIM HAJI OTHMAN berpeluang menemuramah Datuk Haji Iliyas Haji Ibrahim di kediamannya di Kampung Sipanggil, Putatan. Ikuti petikan temuramah bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Datuk?
DATUK HAJI ILIYAS IBRAHIM: Saya lahir di Kampung Pimping, Membakut pada 11 September 1948. Mulanya saya tinggal di Pimping, kemudian dibawa ke Kampung Bingkul Beaufort, di situlah saya bersekolah. Ibu saya, Aishah binti Ismail  berasal dari Pimping, Membakut. Ayah saya, Ibrahim Abdullah  pula berasal dari Beaufort.Saya anak sulung dari sembilan adik beradik,  Siti Rohaneh,Siti Rokayah,Siti Noredah, Siti Rija, Abidin,, Siti Rosnah, Sabdin (kini Pegawai Daerah Kudat) dan Sophiah.

UB: Di mana Datuk bersekolah?
DHII: Saya bersekolah di Sekolah Rendah Mempagar Beaufort hingga darjah enam sebelum menyambung persekolahan di GSS Keningau hingga Form 5.  Waktu kami menumpang di sekolah rendah.Kemudian kami pindah sekolah baru. Kini GSS Keningau dikenali sebagai SM Gunsanad.

UB: Berapa ramai dalam satu kelas?
DHII: Batch kami seramai  30 orang. Antaranya yang saya ingat,Mifli Mohd Noh, Menteri Luar Datuk Anifah Aman, Datuk Ahmad Bujang dan lain-lain. Kami tinggal di asrama.

UB:  Naik apa ke Keningau masa itu?
DHII: Dari beaufort, kami naik keretapi ke Tenom. Dari Tenom kami naik kereta ke Keningau. Saya bersekolah di Keningau hingga Form 5. Bila peperiksaan diadakan, saya hanya mendapat GCE. Saya rasa tidak puas hati. Saya ambil semula peperiksaan, saya dapat Grade 3.

UB: Boleh ceritakan sedikit keadaan masa itu?
DHII: Kehidupan keluarga masa itu serba susah. Saya kadang-kadang hanya menerima bekal RM5 untuk beli keperluan. Akhirnya saya  bekerja sebagai buruh kontrak di ladang kelapa sawit dengan upah RM5 sehari untuk menambah perbelanjaan sekolah. Hujung bulan, saya mendapat upah kira-kira RM150. Dengan duit itu saya beli keperluan baju, seluar, kasut dan sebagainya.

UB: Bagaimana galakan orang tua terhadap anak-anak dalam pelajaran?
DHII: Kebanyakan orang tua memberikan galakan. Tapi ayah saya hanya memberi nasihat agar kami pandai pandai bawa diri. Kalau ibu pula, saya tidak pernah dicubit ibu. Ketika masa lapang pula, Saya juga  sering membantu ayah saya  memelihara kerbau, cari makanan kerbau, bikin asap supaya tidak banyak nyamuk dan sebagainya. Saya juga sering membantu ayah berjualan aiskrim. Ayah saya seorang Cina Mualaf. Kami dipelihara nenek Haji Omar Akhbar khan dari kecil di Kampung Bingkul. Di sanalah saya membesar. Di kampung, saya suka bermain layang-layang, bermain gasing dan bermain guli. Memang saya hebat.Saya sering menjadi juara. Antara rakan sepermainan saya, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, yang kini menjadi Ketua Menteri Sabah. Saya tiga tahun lebih tua.


UB: Selepas itu, apa yang datuk lakukan?
DHII: Saya cari kerja.Mula-mula saya bekerja sebagai kerani di Bahagian Protokol Jabatan Ketua Menteri. Ketua saya masa itu ialah Allahyarham Datuk Mohd Edinin Kay atau KM Edinin. Kemudian saya ditukarkan ke balai polis Kota Kinabalu sebagai kerani. Kemudian saya berpindah ke ibu pejabat polis juga sebagai kerani. Saya rasa, di sana tiada ‘future’ jika mahu maju  ke hadapan.Kemudian saya bekerja sebagai polis di Lembaga Pelabuhan Sabah. Kami berlatih di polis depoh di Kuala Lumpur.

Tapi saya tidak lama di sana. Saya lihat `future’ saya bukan di sana. Tugas saya lebih kepada jaga gate keluar masuk. Di sinilah saya berkenalan dengan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu,Tuan Anthony Wong  dan saya menyatakan minat untuk berkhidmat dalam perkhidmatan polis.Tuan Anthony beritahu peluang untuk naik pangkat dalam pasukan Polis terbuka jika seseorang bekerja keras dan menunjukkan prestasi yang baik dan disiplin yang tinggi.Tidak lama kemudian ada pengambilan  inspektor percubaan pada 1971 . Saya memohon dan  dapat Ahamdulillah.Kami menjalani latihan di Kolej Polis Kuala Kubu Baru.
Antara rakan saya satu kolej  ialah Tan Sri Jamil Johari, pernah jadi IGP, Tan Sri Bakri Omar, Datuk Pahlawan Ramli Yussof.

UB: Selepas itu, dimana Datuk ditempatkan?
DHII: Saya bekerja sebagai Pegawai Cawangan Khas (SB) di Sandakan. Kemudian saya ditugaskan sebagai pegawai Cawangan Khas (SB) di Kinabatangan.  Untuk ke Lamag, saya terpaksa melalui sungai Kinabatangan.Saya biasa menumpang bot orang kampung, kadang-kadang berminggu  di jalanan,tidur di kedai atau  rumah kampung, kadang di Pondok polis.Kadang kita sampai Tongod. Kadang-kadang saya ikut orang politik buat lawatan.Salah satunya arwah Haji Abas, ayah kepada arwah Datuk Aklee Abass. Jika ke Lamag, kadang-kadang saya menunmpang rumah Haji Awang Tengah , masa itu Pegawai Jabatan Hutan di Lamag. Saya pernah jalan kaki dari Tongod ke Telupid untuk menjalankan tugas.
Kemudian saya kembali bertugas di  bahagian GD agtau perkhidmatan Am.

 Pada 1 Jun 1977, saya ditempatkan di Sandakan sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah dan kira-kira satu tahun kemudian, iaitu 1 April 1978,dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Sandakan. Pada 2 April 1983, saya  dipindahkan ke Tawau sebagai Ketua Polis Daerah (OCPD) hingga 2 Julai 1987 kerana saya mengikuti kursus sembilan bulan di Bukit Aman,Kuala Lumpur.

Sebaik menamatkan Kursus Diploma Sains Kepolisan, saya  ditukarkan semula ke Sandakan sebagai Ketua Polis Daerah Sandakan dari 30  April 1988 hingga 5 Jun 1989. Kemudian saya dilantik Ketua Polis Bahagian Sandakan hingga 4 Disember 1992. Pada 5 Disember, saya pernah  ditugaskan sebagai Pegawai Memerintah Batalion 7 PGA  Sandakan hingga 18 April 1994. Selepas itu, saya ditukarkan  untuk mendapatkan pengalaman baru sebagai Ketua Polis   Gombak Kuala Lumpur sebagai  pada 19 April 1994 . Saya bertugas di sana hingga 13 Februari 1997. Kemudian pada 14 Februari 1997, saya  sebagai Ketua Bahagian Pengurusan Balai Polis Karamunsing. Pada 16 Mac 2001, saja  dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan kemudian menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah pada  5 Januari 2004 sehinggalah bersara pada 11 September 2004 setelah berada selama 35 tahun dalam perkhidmatan polis. Kemudian  saya dilantik sebagai Mayor Bandaraya Kota Kinabalu kira-kira dua bulan kemudian


UB: Pernah terfikir menjadi Pesuruhjaya Polis?
DHII: Saya tidak pernah fikir satu hari saya jadi CP, Pesuruhjaya Polis, dan menjadi anak Sabah pertama dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah.

UB: Apa cita-cita datuk sewaktu kecil?
DHII: Cita-cita saya memang ingin menjadi polis. Tapi saya tidak pernah terfikir menjadi Pesuruhjaya Polis.


UB: Apa pula pengalaman yang diperolehi ketika menjadi OCPD?
DHII: Antara yang tidak dapat dilupakan ialah peristiwa  tahun 1986 ketika berkhidmat di Tawau. Ada kejadian  banduan melarikan diri. Mulanya mereka merampas senjata polis dan menembak mati pemandunya sebelum melarikan diri dalam hutan dengan membawa senjata.Sehari kemudian, banduan itu menembak seorang lagi anggota polis dekat Kelab  Golf Shan Shui. Selepas seminggu operasi, kami berjaya menjejaki penjenayah itu dan menembak lima daripada mereka dan dapat mengambil semula senjata yang dilarikan penjenayah sebelum ini. Sebulan kemudian, seorang banduan yang melarikan diri ditembak mati.

UB: Mungkin ada pengalaman menarik sewaktu menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah?
DHII: Banyak juga pengalaman. Saya bersyukur kerana selama sepuluh bulan saya menjadi CP, tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku. Strategi saya masa itu, seminggu sekali saya turun padang ke Semporna dan Lahad Datu, yang dianggap kawasan sensitif. Bila saya pergi melawat, semua pegawai `alert’. Kami rajin buat rondaan, banyak operasi yang diadakan. Saya bersyukur kerana selama saya menjadi CP tiada kejadian rompakan, tiada kejadian yang berlaku.

UB: Selepas bersara dari perkhidmatan polis, apa yang datuk lakukan untuk mengisi masa lapang?
DHII: Sebenarnya selepas bersara kira-kira tiga bulan, saya dilantik dan diberi tanggungjawab untuk menjadi Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Begini ceritanya.Pada satu hari Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman memanggil saya ke Sri Gaya. Dia bilang “Iliyas, saya mahu kau jadi Mayor,Saya agak terperanjat. Saya tidak ada pengalaman. Akhirnya saya kata, saya cuba buat apa yang boleh dibuat. Kemudian selepas itu, saya merangka strategi mengenai misi dan visi saya sebagai Mayor. Sekali lagi saya ke Sri Gaya, kali ini bersama Datuk Dr Yee  Moh Chai yang menjaga Kota Kinabalu. “Apa kau punya strategi? “ tanya CM. Kemudian saya kemukakan strategi 3K iaitu Kebersihan, Keindahan dan Keselamatan.Bandar mesti bersih, tiada kekotoran, tandas mesti bersih dan sebagainya Saya katakan ini tong sampah tidak boleh dibiarkan bersepah, harus dibuatkan rumah sampah, bila hujan tidak basah. Saya tekankan kecantikan bangunan, kita mesti menguatkuasakan peraturan untuk memaksa tuan punya kedai atau bangunan mengecat rumah mereka. Selain itu saya minta agar kereta peronda penguatkuasa diperbanyakkan lagi. Saya tekankan kebersihan, hingga wujudnya idea Sekolah Tanpa Sampah, Kampung Tanpa Sampah dan sebagainya. Itu antaranya.

Mengenai hobi masa lapang itu, saya selalu bermain golf selain aktif dalam kegiatan-kegiatan NGO. Saya menjadi Presiden Persatuan Sabah Oil and Gas, Yang Di Pertua Persatuan Seni Silat  Pesaka Sabah. Saya juga Exco Pesaka Malaysia.

UB: Saya tertarik mengenai silat? Sejak bila datuk minat bersilat?
DHII: Saya minat seni silat sejak sekolah rendah lagi. Pakcik saya Awang Osman berguru dengan orang Indonesia. Saya belajar silat dengan beliau di bawah pokok di Tanjung Aru.Nama silat Sekerima.Kini saya terlibat dalam  seni silat, kita hidupkan semula warisan seni silat. Di Sabah sendiri, ada kira-kira 40 jenis silat. Seni silat ini penting untuk mempertahankan diri. Selain silat, saya juga belajar taekwondo, karate, judi dan sebagainya.

UB: Akhir sekali apa motto hidup Datuk?
DHII: Motto hidup saya mudah. Kita harus jujur, jangan dengki pada orang, jangan suka menipu.

UB: Terima kasih banyak datuk kerana sudi berkongsi pengalaman bersama Utusan Borneo
DHII: Terima kasih banyak.

No comments: