Friday, July 21, 2017

MOHD SALLEH LAMSIN, PEGUAM YANG PUNYA IJAZAH EKONOMI



MOHD SALLEH LAMSIN, PEGUAM YANG PUNYA IJAZAH EKONOMI

MOHD SALLEH LAMSIN adalah satu nama yang  tidak asing lagi di negeri ini. Beliau adalah seorang peguam kanan yang terkenal. Selain bidang undang-undang, beliau juga memiliki ijazah dalam bidang ekonomi. Mohd Salleh memasuki perkhidmatan awam pada tahun 1978 dan  pernah memegang beberapa jawatan kanan dalam pentadbiran negeri sebelum menceburi bidang korporat pada tahun 1994.Beliau adalah satu-satunya anak Sabah yang belajar di Fakulti Ekonomi & Pentadbiran Universiti Malaya pada tahun 1975-1978. Selain itu, beliau adalah anak Iranun pertama yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Iniadalah sejarah tersendiri bagi beliau kerana menjadi idola sebagai orang yang pertama di kalangan masyarakatnya yang berjaya ke universiti.


MOHD SALLEH LAMSIN lahir di Kampung Liang Kota Belud pada tahun 1955. Anak keenam daripada 12 adik beradik ini  mendapat pendidikan awal di GPS Timbang Dayang dari tahun 1961 hingga 1966. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dalam kelas peralihan di Government Junior Secondary School (GJSS) Kota Belud pada tahun 1967 sebelum terpilih untuk bersekolah di Kolej Melayu Kuala Kangsar I(MCKK)  dari tahun 1968 hingga 1974. Sebaik lulus Higher School Certificate (HSC), beliau diterima melanjutkan pengajian di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya pada tahun 1975 dan lulus B.Econs (Kepujian ) pada 1978. Pada tahun 1979, beliau bertugas di Lembaga Hasil Dalam Negeri sebelum berpindah ke Perkhidmatan Awam Negeri sebagai Pegawai di Unit Penyertaan Bumiputera. Pada tahun 1980, beliau dipinjamkan ke Majlis Perbandaran Kota Kinabalu (MPKK) sebagai Setiausaha Perbandaran. Pada tahun September 1982, beliau bertukar ke Jabatan Kerja Raya sebagai Pegawai Pentadbir Kanan hingga tahun September 1984. Selepas itu, pada tahun 1984,beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang  di University of Birmingham, United Kingdom dan lulus LLB (Hons)  1988. Pada tahun 1989, beliau kembali ke Sabah dan ditempatkan di Jabatan Peguam Negeri hingga bersara pada 1994 sebagai peguam kanan. Beliau menerima Jaksa Pendamai (JP) sempena Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri pada 1995.Selepas meninggalkan perkhidmatan awam, Mohd Salleh memasuki dunia korporat dan pernah memegang pelbagai jawatan dalam sektor korporat.Beliau mendirikan rumah tangga dengan Dayang Masnah Abdul Rahman dan dikurniakan empat cahaya mata iaiayu Dr Ana Farazilah, Mohd Shahrul Izani, Mohd Fariz (peguam) dan Mohd Hanis (Arkitek)

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau disalah sebuah restoran di Jalan Gaya untuk berkongsi pengalamannya sewaktu zaman persekolahan. Ikuti petikan temubual bersama beliau:


UTUSAN BORNEO:  Terima kasih kerana sudi memberikan peluang kepada Utusan Borneo untuk mewawancara tuan. Bolehkah ceritakan sedikit mengenai latar belakang persekolahan tuan di peringkat awal?

MOHD SALLEH LAMSIN: Saya mendapat pendidikan awal di Government Primary School (GPS) Timbang Dayang Kota Belud hingga tahun 1966. Saya sekelas duduk satu meja dengan saudara Tuan Haji Jamil Atan, mantan Pengarah Biro Pengaduan Awam Negeri Sabah. Masa itu tidak ramai anak kampung yang bersekolah tinggi. Abang saya, arwah Talikop Lamsin, mantan Pegawai Daerah Kota Belud dan mantan Pengurus Besar Ko-Nelayan, ketika itu belajar di Sabah College. Sdr Salisi Ukoh ketika itu bersekolah di Maktab Sabah.Kesedaran di kalangan orang tua mengenai pendidikan masa itu agak rendah. Mereka tidak menyedari kepentingan untuk bersekolah.Antara yang memberi galakan kepada saya ialah mantan imam daerah, Awang Tengah Haji Mohd Noor.

UB: Masih ingat nama-nama guru yang pernah mengajar tuan?
MSL:Antara guru saya di GPS Timbang Dayang, ialah Cikgu Majid Gajah, Cikgu Soud Sipok, Cikgu Masri, Cikgu Ismail Sidek, Cikgu Mohd Yunin, bapa mertua Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin juga mengajar di Timbang Dayang masa itu, Arwah Cikgu Maludin.

UB: Bagaimana tuan ke sekolah? Naik apa?
MSL: Berjalan kaki sahaja. Kami berangkat dari rumah pada awal Subuh dan tiba di sekolah sebelum pukul 7.00 pagi. Saya memang tergolong murid yang rajin. Dimana saja selalu membaca buku.

UB: Umumnya tahap kesedaran di kalangan ibu bapa  mengenai betapa pentingnya pendidikan agak rendah. Bagaimana pula sikap ibu bapa tuan terhadap sekolah? Apakah mereka memberikan dorongan?
MSL:  Biasa saja seperti umumnya ibu bapa pada masa itu.Kebanyakan mereka buta huruf dan tidak tahu apa  maknanya  pendidikan, apa makna sekolah. Ayah saya Lamsin bin Bandang, seorang petani dan nelayan. Ibu saya Salinan Inding @ Abdullah. Mereka bekerja sebagai nelayan untuk menghidupi kami 12 adik beradik. Kini yang masih hidup lapan orang. Ayah saya  tidak mendorong tetapi tidak juga menghalang
Semuanya terpulang kepada diri sendiri. Jadi azam kita untuk belajar mesti kuat. Walaupun jauh di sudut hati mereka inginkan anak mereka pandai. Kalau dulu, kebiasaan mereka ialah jika tiba musim mengerjakan sawah, anak-anak di suruh cuti untuk membantu ibu bapa mereka.

UB:  Selepas GPS Timbang Dayang, dimana tuan meneruskan persekolahan?
MSL:  Saya bersekolah di Government Junior Secondary School Kota Belud pada tahun 1967. Di sinilah saya berjumpa dengan Tan Sri Pandikar Amin, kini Yang Di Pertua Dewan Rakyat. Kami satu kelas. Kelas yang top masa itu. Antara rakan sekelas kami ialah Charles Dalinsing, Kasmah Hasbolah, Lepas itu, ada peperiksaan dalam dua subjek saja. Satu peperiksaan untuk subjek bahasa Inggeris, satu lagi untuk subjek matematik.Siapa tidak lulus, dia terpaksa ke Bridge 2, Saya lulus dan terpilih ke Malay College Kuala Kangsar (MCKK) manakala Tan Sri Pandikar melanjutkan pelajaran di Sabah College.

UB: Dapat biasiswa?
MSL: Saya dapat tajaan biasiswa dari Jabatan Pelajaran.

UB: Sebelum itu, berapa ramai anak Sabah yang sekolah di MCKK?
MSL: Antaranya Ramli Amir,bekas guru besar, bekas ADUN Sipitang, Ibrahim Ahmad, Awang Bashir. Mereka dua tahun lebih senior daripada saya.

UB: Jarak Sabah dengan Semenanjung Tanah Melayu masa itu agak jauh tidak seperti sekarang kerana dulu tidak banyak penerbangan. Tuan naik apa ke KL?
MSL: Saya naik kapal laut. Enam hari dalam perjalanan baru sampai ke Singapura. Dari Singapura kami naik Keretapi Tanah Melayu (KTM) terus  ke Kuala Lumpur, Di pelabuhan saya sempat berjumpa dengan Datuk Haji Mohd Noor Mansoor mantan Menteri Kewangan Sabah Era Berjaya. Ketika itu beliau menuntut dalam bidang undang-undang di Universiti Singapura. Beliau ke sana kerana ada adik iparnya yang turut melanjutkan pelajaran ke semenanjung.

UB: Masa itu berapa ramai pelajar dari Kota Belud yang menuntut di Semenanjung?
MSL: Antaranya Abdul Murad Agau, arwah Abdul Rait Haji Moktar, arwah Jamlidi Oli bersekolah di Padang Midin dalam aliran Melayu. Beliau seorang yang pintar.Kebanyakan mereka sekolah aliran Melayu.

UB: Berapa tahun di MCKK?
MSL: Di MCKK, saya bersekolah di sana dari tahun 1968 hingga 1974 iaitu tamat Higher School Certifacate. Saya tidak pernah berpindah sekolag. Lepas MCE, saya diterima masuk Form 6 di MCKK hingga lulus HSC. Saya dapat sijil penuh. Masa itu keputusan HSC di siarkan satu halaman di suratkhabar.

UB: Siapa antara rakan tuan satu batch di MCKK?
MSL: Antaranya Rehman Rashid, bekas wartawan New Straits Times dan Asia Week.Raja Ahmad Aminullah,bekas Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Utusan dan kini Pengarah Galeri RA Fine Arts, Ramli Muhammad dan ramai lagi.


UB: Saya difahamkan tuan juga aktif dalam sukan olahraga sewaktu di MCKK?
MSL: Saya aktif dalam hampir semua cabang olahraga. Acara pecut 100 meter, 4x100 meter, 4 x 400 meter, lompat pagar dan sebagainya. Saya pernah menjadi wakil Negeri Perak dalam acara olahraga kejohanan MSSM  pada tahun 1969 hingga 1970. Pada tahun 1971, saya pernah mewakili Perak dalam sukan Ragbi,bahkan kami sempat bermain dalam sukan Ragbi di Rajabath University di Bangkok.

UB: Selepas MCKK, dimana tuan melanjutkan pelajaran?
MSL: Saya diterima masuk di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya pada tahun 1975 hingga 1978. Ketika itu saya satu-satunya anak Sabah yang kuliah ekonomi, selebihnya kuliah di bidang sastera.  Anak Sabah satu batch dengan saya antaranya, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur dan Datuk Ewon Ebin  belajar undang-undang di Fakulti Undang-Undang. Datuk Abidin Madingkir, arwah Mashud sallehDatuk Ghulam Jelani Khanizaman,Yusof Razak, Datuk Gregory Joitol dalam Fakulti Sastera. Sebelum itu, antara anak Sabah yang kuliah di Fakulti Ekonomi ialah  Sandralila Tun Said senior dua tahun dari saya.dan Zahari Haji Suhaili. Haji Ansari Abdullah,  Datuk Wilfred Bumburing Bumburing, Datuk Darshan Singh,Datuk Felix Madan senior satu tahun. Rinah Molukun.

UB: Apa yang menyebabkan tuan suka kepada bidang ekonomi?
MSL: Saya fikir mungkin kerana kebolehan dan kemampuan saya dalam subjek matematik yang buat saya ambil bidang ekonomi sewaktu di UM.

UB: Sewaktu kecil dahulu,apa cita-cita tuan? Misalnya kalau sudah besar mahu jadi apa?
MSL: Dulu kami tidak terdedah dengan peluang-peluang kerjaya. Sampai di Malay College barulah timbul cita-cita mahu jadi apa bila besar nanti. Ketika itu, dalam kepala saya hanya tertanam agar cepat cepat mendapat pekerjaan untuk membantu ibu bapa. Saya hanya belajar bersungguh-sungguh untuk dapat kelulusan dan kelulusan yang baik dapat gaji yang lumayan. Masa itu, saya hanya fikir mahu dapat kerja yang baik untuk membantu ibu bapa.

UB: Bila tiba waktu cuti di universiti, tuan buat apa?
MSL: Kalau cuti saya lebih suka tinggal di kampus. Saya tidak pernah menumpang rumah kawan dalam waktu yang lama. Saya rasa segan.
Kita orang miskin, duduk di rumah orang kaya, rasa tidak selesa.Paling lama pun sehari dua hari. Di universiti, saya belajar untuk berdikari, independen dan berdisiplin

UB:  Masa itu, mungkin harga barangan keperluan masih murah.Cukupkah jumlah biasiswa yang diterima?
MSL: Saya mendapat biasiswa kerajaan persekutuan sebanyak RM1890 satu tahun. Dari duit itulah kita ambil gunakan untuk belanja makan, pengangkutan, pakaian dan pelbagai keperluan lain. Memang tidak mencukupi. Satu hari, Pengarah Yayasan Sabah (YS) Tan Sri Ben Stephens melawat pelajar-pelajar Sabah di Semenanjung. Dalam satu dialog dengan pelajar, saya melontarkan masalah yang saya hadapi. Mengenai perbelanjaan seharian yang tidak mencukupi sementara jumlah biasiswa yang diterima agak kecil. Tan Sri Ben berkata beliau akan membantu. Selepas itu, dalam dua tahun teakhir saya di UM, saya mendapat tambahan biasiswa RM2000 menjadikan jumlah kesemua RM3890.


UB: Sebaik tamat dari Universiti Malaya, tuan kerja dimana?
MSL: Selamat tamat pengajian dari UM, saya bekerja dengan kerajaan pada tahun 1978. Saya kerja sebentar di Lembaga Hasil Dalam Negeri. Apabila saya mendapat tawaran kerja di Perkhidmatan Awam Negeri, saya terus letak jawatan dari LHDN.

UB: Dimana tuan ditugaskan?
MSL: Saya berkhidmat di Unit Penyertaan Bumiputera sebagai pegawai projek. Selepas satu tahun, iaitu pada tahun 1979,saya ditukarkan ke Unit Perancang Ekonomi. Pada tahun 1980, saya dipinjamkan di Majlis Perbandaran Kota Kinabalu (MPKK) sebagai Setiausaha Perbandaran. Masa itu saya sudah Gred A10.Ketika itu, Presiden MPKK ialah Datuk Kamarudin Lingham dan kemudian Datu Bistari Datu Jinurain.  Banyak pengalaman sepanjang berkhidmat di MPKK yang membuat saya cekal.

UB: Siapa antara pegawai-pegawai kerajaan yang berkhidmat masa itu, yang seangkatan dengan tuan?
MSL: Antaranya Tan Sri Sukarti Wakiman, Datuk Ghulam Jelani, Datuk Abidin Madingkir

Kemudian saya meminta bertukar. Saya kemudian ditugaskan di Jabatan Kerja Raya sebagai Pegawai Pentadbir Kanan dari September 1982. Saya ingat ketika itu, bulan September 1982, kebetulan pilihanraya kecil DUN Usukan, yang dimenangi Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia. Dua tahun kemudian pada bulan September 1984, saya terbang ke England untuk melanjutkan pelajaran.

UB: Tuan melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana ekonomi?
MSL: Tidak. Saya belajar dalam bidang undang-undang di University of Birmingham selama empat tahun hingga 1988.

UB: Apa yang mendorong tuan untuk tukar bidang dari bidang eknomi kepada undang-undang?
MSL:  Dalam melaksanakan tugas sebagai pentadbir, kita kadang-kadang berhadapan dengan banyak undang-undang dan peraturan yang harus kita kuatkuasakan. Saya fikir lebih bagus kalau saya dapat memberikan sumbangan. Jika adanya sedikit pengetahuan dalam undang-undang `legal knowledge’ lebuh mudah kita terapkan sesuatu peraturan. Itu antara sebab saya memohon cuti untuk belajar.

UB: Tahun berapa selesai?
MSL: 1987. Kemudian saya diterima sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi pada tahun 1989. Saya betugas di Jabatan Peguam Negeri dari tahun 1989 hingga 1994 sebagai Senior State Counsel  sebelum memasuki dunia korporat.

UB: Apa prinsip tuan? Boleh cerita sedikit?
MSL: Bercakap bila perlu. Saya sebenarnya bukan  orang yang mudah ikut cakap orang. Saya mempunyai pandangan sendiri terhadap perkara.Walaupun saya diam,Saya mungkin tidak setuju. Saya hanya bercakap bila perlu.


.








No comments: