Rabu, 6 September 2017

PERTEMUAN DENGAN PROF MIDORI DAN PROF HIROKO

Tags

PERTEMUAN DENGAN PROF MIDORI DAN PROF HIROKO

 

“SALAM, saya Hiroko dari UIA.Sekarang kami dalam perjalanan ke Kota Kinabalu. Boleh jumpa pukul 1.00 petang.InsyaAllah.”. Begitulah kira-kira bunyi pesanan singkat melalui aplikasi whatsApp.

“Boleh.Hiroko san”. Dengan jawapan itu saya bergegas dan tiba sepuluh minit lebih awal. Rupanya mereka sampai lebih awal lagi dan menunggu di Coffee Bean.

Saya agak terkejut melihat penampilan wanita Jepun itu. Bertudung. Saya tidak menyangka Prof Madya Dr Hiroko Shiozaki, seorang muslim dan bertugas sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Bahasa Melayunya agak lancar.Sebelum ini beliau menjalankan kajian mengenai Pendidikan Islam Pondok untuk disertasi PhDnya. Hiroko pernah menjadi Pegawai Penyelidik di Tokyo University of Foriegn Studies.

Beliau memperkenalkan saya kepada Profesor Midori Kawashima dari Fakulti Pengajian Global di Universiti Sophia, Tokyo.

Prof Midori datang ke Sabah, salah satunya kerana sering mendengar nama Tempasuk ketika beliau menemuramah alim ulama di Mindanao. Mengikut sumber yang diperolehinya, masyarakat Islam yang menunaikan haji dari Mindanao pada awal abad ke-19, biasanya singgah terlebih dahulu ke Tempasuk sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci Mekah. Antaranya ialah Sayyidina, lebih dikenali sebagai Hadji Sa Binidayan. Beliau berangkat ke Malabang bersama saudagar dan pedagang sebelum berlayar ke Cotabato, Zamboanga, Tawi-Tawi, Balabac, Labuan, Lingga Johor dan Palembang yang menjadi antara pelabuhan penting pada masa itu.


Menurut Prof Midori ketika Hadji Sa Binidayan, (Hadji kadang-kadang disebut Kadi) menunaikan ibadah Haji pada abad ke-19, isternnya bernama Sisuya melahirkan anak di Tawaran (Tuaran). Anak itu bernama Mohd Tahir atau Surur dan sejak itu Mohd Tahir ini menetap di Borneo. Dalam wawancara yang sering dilakukannya, beliau sering mendengar nama Tempasuk.

Itulah sebabnya mengapa Prof Midori melakukan kajian di Sabah. Profesor Midori Kawashima adalah pakar sejarah Asia Tenggara, khususnya politik Filipina dan Sejarah Moden dan fokus penyelidikannya ialah mengenai  Islam dan masyarakat Islam di Filipina dari segi sosial, intelektual dan politik. Beliau sudah menghasilkan banyak tulisan dan diterbitkan dalam bahasa Jepun dan Inggeris.

Kerana pernah tinggal lama di Mindanao, beliau boleh berbahasa Maranao-Iranun sedikit. “Maitu-maitu” atau sedikit saja, katanya.

Beliau ingin tahu serba sedikit mengenai sejarah kedatangan Islam khususnya di Kuala Tempasuk yang pernah masyhur pada abad ke-18. Malah pada tahun 1787, Sultan Mahmud III pernah meminta bantuan angkatan Tempasuk untuk mengusir Belanda dari Tanjung Pinang, Pulau Bintan,

Saya berusaha untuk  memberikan gambaran mengenai sejarah kedatangan Islam di Tempasuk (kini Kota Belud). Saya memperlihatkan mengenai penemuan Batu Nisan beraksara Jawi di Rebuk Rampayan Ulu. Juga peranan mubaligh yang pernah datang sepergti Sheikh Ahmad, Syarif Alawi Bafaqih dan sebagainya.
Juga mengenai kewujudan Quran bertulis tangan yang ditemui di Kampung Rampayan dan kini tersimpan di Muzium Tamadun Islam Sabah.

Menurut Prof Midori, gambaran dan imej Islam di Filipina selatan sebelum ini banyak dibentuk oleh pengkaji-pengkaji barat khususnya dari Sepanyol dan Amerika. Padahal berdasarkan pengalamannya di Mindanao, Komuniti Islam disana mewariskan khazanah intelektual Islam yang sangat kuat dan mempunyai hubungan dan kaitan dengan tradisi intelektual Islam di Aceh, Palembang, Banten dan lain-lain.

Pertemuan dengan Prof Dr Midori Kawashima dan Prof Madya Dr Hiroko Shiozaki memperluaskan lagi pengalaman dan pengetahuan saya mengenai sejarah Islam di kawasan Asia Tenggara khususnya berkaitan perkembangan Islam di wilayah Borneo.  Arigato gozaimasu, sambil membongkok badan sedikit saya mengucapkan terima kasih.

Sabtu, 2 September 2017

MURSALIM TANJUL, ANAK BANGGI PERTAMA SEKOLAH DI LUAR NEGERI

Tags




MURSALIM TANJUL, ANAK BANGGI PERTAMA SEKOLAH DI LUAR NEGERI


JANGAN tanyakan kesusahan dan keperitan hidup sebagai anak pulau kepada Mursalim Tanjul. Beliau tentulah amat arif menjalani liku-liku kehidupan zaman persekolahan, sanggup berbekal ubi rebus ke sekolah, cecah dengan gula tebu kerana susahnya memiliki wang. Namun di sebalik segala kepahitan yang dilaluinya, Mursalim muncul sebagai anak pulau Banggi yang pertama mengecap pendidikan hingga ke luar negeri dan pulang dengan ijazah MA atas tajaan biasiswa JPA. Sungguh sesuatu pencapaian yang membanggakan tetapi bagi Mursalim yang sentiasa bersuara rendah dan bersahaja, semua itu biasa-biasa saja dan tidak perlu dibanggakan.

Mursalim Tanjul dilahirkan di Kampung Balak-Balak Banggi pada 8 Ogos 1962. Beliau mendapat pendidikan rendah di SRK Balak-Balak dalam darjah satu pada 1971 sebelum pindah ke SRK Palak yang baru dibuka pada 1972. Kemudian beliau bertukar ke SRK Pekan Kudat dari tahun 1973 hingga tamat darjah enam pada tahun 1976. Selepas itu, beliau mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di University of Southern Mississippi atas tajaan biasiswa JPA pada 1982. Selepas memperolehi ijazah Bachelor Of Sceince in Business Administration (BSBA) beliau melanjutkan pengajian di peringkat MA di Ypsilanti University, Michigan.
Beliau pernah bekerja sebagai Pembantu Profesor selama setahun di Ypsilanti University sebelum pulang ke tanahair pada Januari 1988.
Sekembalinya ke Sabah, Mursalim menjadi guru di Yayasan Budi Akademik . Kemudian beliau berkhidmat sebagai guru sandaran di SMK Pekan Kudat dari tahun  1989 hingga 1991. Selepas itu, beliau bertugas sebagai Pegawai Buruh di Jabatan Buruh di Kudat pada 1992 dan kemudian dilantik Penolong Pengarah Buruh di Sandakan dari tahun 1993 hingga 1995. Kemudian beliau dilantik sebagai Pegawai Ekonomi di Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sebelum meletakkan jawatan untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan bergiat dalam arena politik.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual Mursalim Tanjul di sebuah restoran di Jalan Pantai Kota Kinabalu untuk berkongsi pengalaman beliau ketika zaman-zaman persekolahannya, dari seorang anak pulau yang terpinggir hinggalah menjadi anak Banggi pertama yang bersekolah di luar negeri.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?
MURSALIM: Saya lahir di Kampung Balak-Balak Banggi pada 8 Ogos 1962.Anak pertama dari tiga adik beradik. Saya menduduki darjah satu di SRK Balak-Balak pada tahun 1971. Sebuah sekolah yang terletak di pulau Balak-Balak.Masa itu belum ada sekolah di pulau Banggi. Satu-satunya sekolah yang ada ialah di pulau Balak-Balak itu.Itulah sekolah pertama di sana.

UB: Siapa yang pernah sekolah  di sana?
MURSALIM: Antara murid tua  yang pernah sekolah  disana ialah Cikgu Yahya Osman, mantan ADUN Banggi, Cikgu Kadir, mantan Pegawai Pendidikan, Cikgu Mohd Khairi, Penyelia Pendidikan.
Ketika bersekolah di sana, antara guru di SRK Balak-Balak masa itu, Cikgu Hamdan, Cikgu Janata,Cikgu Marail dan Cikgu Junayah.
UB: Berapa lama sekolah di sana?
MURSALIM: Pada tahun 1972, selepas kira-kira setahun sekolah di situ saya berpindah ke SRK Palak, yang terletak di daratan Banggi. Banggi sendiri adalah pulau terbesar di Malaysia. Luasnya lebih besar dari Pulau Pinang.
Sekolah itu baru dibuka, Antara rakan sekolah ialah Cikgu Miasin, usahawan di Pulau Banggi, Cikgu Majukil, Penyelia Pendidikan Kudat.

UB: Dimana tuan menginap?
MURSALIM: Saya tinggal bersama datuk dan nenek. Kalau soal makanan tak ada masalah, Hanya duit yang susah.

UB: Ada bekal ke sekolah? Berapa sen sehari?
MURSALIM: Saya bawa bekal ke sekolah, pisang rebus, ubi rebus, ubi rambat rebus, gula tebu.

UB: Apa pengalaman menarik sewaktu di sana?
MURSALIM: Pernah sekali, hujung tahun setiap murid diminta membayar RM3.00. Saya tidak dapat bayar kerana tiada duit, Terpaksa tunggu mama sampai dari Kudat.Mama saya Johong binti Abul. Kerana segan, saya tidak hadir ke sekolah, sehingga Cikgu Jahani, abang kepada Tuan Dingka datang ke rumah menanyakan kenapa saya tidak datang sekolah.Kebetulan ketika datang itu saya sedang menolong nenek , merumput ubi rambat. Bila nampak cikgu datang, saya lari bertapuk.

UB: Kemudian ibu datang?
MURSALIM: Tidak lama kemudian mama datang dari Kudat. Selain dapat duit bayar sekolah, saya gembira juga kerana mama datang bawa susu cap junjung, kicap, orange sunkist, biskut dan sebagainya.

UB: Tuan tinggal bersama nenek. Tentu banyak kenangan bersama beliau?

MURSALIM: Nenek saya, Salmah binti Bakin, selalu bercerita `kana kana’ setiap malam iaitu selepas makan malam sebelum tidur. Cerita `kana-kana’ atau dongengan cerita rakyat ada banyak unsur pengajaran. .Antara tajuknya Keral Bertapa, Anak Datu Asaral Tanu, Agta dan Raja Jumjuma.
Itu sebabnya, beberapa tahun kemudianm Saya juga suka baca cerpen, novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wicjk, Badan Bertuah, Merpati Putih Terbang Lagi dan sebagainya.
UB: Selepas dari SRK Palak, dimana tuan berpindah?
MURSALIM:Pada tahun 1973 saya pindah ke Kudat, sekolah di SRK Pekan Kudat . Saya bersekolah di sana hingga darjah enam pada tahun 1976.

UB: Boleh berikan gambaran kehidupan pada masa itu?
MURSALIM:  kehidupan waktu  serba sukar. Saya bantu ambil kayu api, ikut tarik udang, ikut memukat ikan, ikut loading kayu balak ke Kapal Jepun, ikut memanjat kelapa. Waktu cuti ikut berjual ikan pasar KK, pasar Sembulan waktu cuti sekolah.

UB: Berbalik kepada soal sekolah. Mungkin boleh ceritakan sedikit, keadaan sewaktu sekolah di Kudat?
MURSALIM: Satu-satunya yang harus dibuat ialah pakaian mesti disterika. Waktu itu masih pakai arang. Saya rajin cari tempurung kelapa, untuk guna seterika. Mesti smart pergi ke sekolah

UB: Waktu itu,siapa guru besar di SRK Pekan Kudat?
MURSALIM: Guru Besar masa itu Tuan Haji Abu Bakar Untong, beliau seorang guru yang tegas tapi bagus. Kalau silap sikit, dia siap dengan rotan. Berkat ketegasannya ramai anak muridnya menjadi. Majoritinya menjadi.


UB: Bagaimana pencapaian tuan di sekolah?
MURSALIM: Di sekolah saya selalu dapat Top 5.. Tahun 1976 saya menduduki peperiksaan darjah enam. Saya lulus dengan markah 74. Tapi yang paling tinggi ialah Ali Osman, yang dapat markah 82.

UB: Dimana tuan bersekolah selepas itu?
MURSALIM: Kemudian saya bersekolah dalam tingkatan satu di SMK Abdul Rahim Kudat. Masa itu masih bangunan lama. Kini bangunan itu digunakan SMK Pekan KudatSaya bersekolah di SMK Abdul Rahim Kudat hingga tahun 1981.

UB: Siapa antara personaliti yang pernah bersekolah di sana?
MURSALIM:Antara yang pernah bersekolah di sana ialah Ahli Dewann Undangan Negeri N1 Banggi,Datuk Abdul Mijul Haji Unaini, senior satu tahun, mantan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri , yang juga Ahli Parlimen Kudat, senior dua tahun, Lee Chin Chong, Engineer dan Victor Patrick.

Rakan seangkatan saya ialah Abdul Lashin Aning,Nota, penyair dan aktivis seni, Awang Karim Kadir,  Sani Onggong dan ramai lagi.

UB:Ada pengalaman tertentu sewaktu sekolah di sana?
MURSALIM: Antara pengalaman yang tidak dapat lupakan ialah ketika saya buang sekolah, kerana nakal, rambut panjang, Akhirnya saya jumpa Pengetua CikguAbdul Rahim Tambi, seorang India Muslim, untuk membuat rayuan. Mujurlah saya diterima..

Pernah satu ketika, mata pelajaran matematik, saya dapat kosong kerana nakal . Cikgu Matematik Mr Tai hairan macam mana saya boleh dapat kosong, itu kerana waktu tingkatan empat saya enjoy habis.

Nasib baik, ada cikgu saya, cikgu zaini,, beliau banyak memberikan motivasi, adakan kelas tambahan, belikan buku, dia berikan galakan.

Masa itu saya rajin ke perpustakaan Kudat. Saya masih ingat, pegawai Perpustakaan masa itu, Encik Aphil Haji Sadin memberikan saya anugerah sebagai pengunjung terbanyak di Perpustakaan Kudat. Sebenarnya letak perpustakaan dengan sekolah saya, di seberang jalan saja.
Saya berhabis belajar. Satu kesedaran baru timbul. Saya belajar di mana saja, di rumah Belia, di Masjid Surau Landung Ayang, Asrama Yayasan Sabah.
Antara kawan saya ialah Abdul Lashin Aning.
Selain itu, saya juga aktif dalam syarahan Ada lagi seorang, Duli,pelajar dari Lok Yuk. Kalau ada pertandingan, antara saya dan Duli, kalau tidak saya Duli yang menang .
Ketika peperiksaan diumumkan, saya dapat SPM Grade 1,satu-satunya grade satu masa itu

Selepas peperiksaan, Cikgu Zaini yang banyak bantu,isi masuk U bahkan dia mahu biaya sekolah di Victoria Institution, tapi kebetulan saya dapat tawaran pergi ke UPM.
UB: Dimana tuan bersekolah selepas tingkatan lima?

MURSALIM: Setamat tingkatan 5, saya bersekolah dalam tingkatan enam di SMK Arshad, tidak lama satu minggu saja, kerana mendapat tawaran di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) Semenggok. Sempat kuliah satu semester di sana, saya dapat tawaran biasiswa JPA untuk belajar di University of Southern Mississippi di Hatteisburg. Tahun 1982. Saya ingat lagi,masa itu, saya minta bantuan  Datu Hamid Tun Mustapha, (kini Allahyarham). Jumpa di rumahnya di Likas. Beliau hulur RM5000 untuk perbelanjaan saya ke Amerika.

UB: Bagaimana reaksi keluarga?
MURSALIM: Arwah nenek sebenarnya agak keberatan, Kalau saya pergi juga, katanya, barangkali kami tak jumpa lagi. Tapi saya kuatkan hati.

UB: Siapa yang hantar ke KK dari Kudat?
MURSALIM: Ketika berangkat, bapa tiri saya , Dustmin Sikin  yang menghantar ke Lapangan Terbang. Sebelum itu, saya sempat bermalam di tempat abang angkat saya, Sairin Melin dan isterinya Kak Fatimah yang menyewa di belakang pejabat Pos.

UB: Oh ya. Bagaimana hubungan dengan bapa tiri?
MURSALIM: Saya rapat dengan bapa tiri saya. Belia tidak pernah pukul saya.Dia panggil saya Oi, kami suka tengok filem koboi sama, sama, tengok kungfu cina sama sama. Kami suka nonton tayangan larut malam.
Beliau selalu ingatkan saya agar belajar rajin-rajin, sampai pergi universiti, jadi orang besar, supaya boleh bantu keluarga.Sebenarnya arwah bapa saya,  Tanjul, meninggal tahun 1974.

UB: Dari KK terus ke Amerika?

MURSALIM: Kami terbang ke KL ke pejabat JPA, Kami diberi taklimat, visa, travel cheque, RM3000. Dengan duit itu kami beli baju sejuk, kamera. Latifah Rahim, kini Pengurus Bank Muamalat, dilantik sebagai ketua pelajar, diiringi seorang wakil JPA nama Shirley , berbangsa India.
Dari KL kami terbang ke Manila. Dari Manila ke Honololo guna pesawat TWA ke San Francisco. Dari San Francisco kami terbang lagi Memphis Tenesse, sampai di Hattiesburg, sudah senja. Sepanjang perjalanan dari Memphis, kami lalui hutan pokok pinus. Di Airport sudah menunggu Audrey, pegawai dari English Language Foundation. Sampai di sana kami tinggal di motel, depan menghadap jalan, belakangnya mengadap hutan. Atas persetujuan bersama, kami sepakati agar pelajar pelajar perempuan pindah ke bahagian depan. Melihat tindakan saya itu, Latifah mencadangkan saya agar dilantik sebagai ketua pelajar Malaysia. Beliau jadi timbalan saya.

UB: Kemudian?
MURSALIM: Lepas itu kami belajar di Century Plaza, satu bilik satu orang. Saya satu rumah dengan Hasnol, orang Selangor, anak kepada Pengarah BPR masa itu. Dia memang orang bandar. Dia tidak lah begitu terkejut. Kita yang selama ini tidak mempunyai bilik sendiri tiba tiba ada bilik sendiri. Itu yang kita rasa agak ganjil sedikit.Selepas kursus bahasa Inggeris selama enam  bulan,barulah kami masuk universiti.

UB: Apa pengalaman sewaktu di sana?
MURSALIM: Kebanyakan orang di sana tidak tahu di mana Malaysia. Mereka tanya dimana Malaysia, kalau kita katakan di Asia Tenggara, mereka tidak tahu. Kalau kita sebut di atas Singapura, baru dia orang tahu. Ada kawan-kawan nakal bila ditanya dimana Malaysia, mereka kata satu tempat di California,, mereka juga cepat percaya.

Kami adalah angkatan pertama  pelajar Malaysia yang belajar di sana, seramai 20 orang dari seluruh negara.Dari Sabah, antaranya saudara Agoes Kholil,mantan Ketua Biro Berita Harian Kota Kinabalu, dan pernah bertugas di Bosnia, Rozie Anak. Kami tiga orang dari Sabah. Dari Sarawak, Anuar, Solo, Patricia, Nurliza, Nurhaliza . Pelajar-pelajar dari Sarawak ini agak pintar.Patricia, akauntan, Nurhalizah, Kimia, selalu dapat markah penuh, sehingga profesor yang menguji mereka tidak percaya dan terpaksa buat ulangan. Mereka memang pelajar brilian.

UB: Berapa biasiswa JPA masa itu?

MURSALIM: Waktu buat BSBA, elaun USD 305 sebulan dan buku USD200 satu semester. Waktu MA elaun USD365 sebulan dan buku USD200 sebulan.

UB: Berapa lama kuliah di Amerika Syarikat?
MURSALIM: Saya dapat habiskan pengajian Bachelor of Sceince on Business Administration , major dalam Interational Economy. Selepas dua tahun, baru boleh kampung. Saya pergi 1982, 1984 pulang kampung
Saya dapat menghabiskan 24 jam kredit dalam masa dua tahun.


UB: Selepas itu, dimana tuan melanjutkan pengajian?
MURSALIM: Pada tahun 1985, saya pindah ke Ypsilanti Michigan untuk ambil MA. Jauh jaraknya.Kalau kita berangkat maghrib, esok petang baru boleh sampay Ypsilinti. Saya pelajar economic development pengkhususan dalam Trade and Planning. Saya dapat MA siapkan selama satu tahun

UB: Aktif dalam NGO ketika di Universiti?
MURSALIM: Masa itu saya aktif juga dalam M ISG, Malaysia Islmaic Study Group Zon 6 yang mengandungi  Texas, Lousiana, Tennesee, Mississispii, Alabama, South Carolina, FloridaKami aktif adakan aktiviti, seminar,  Antara yang pernah melawat sana ialah Ustaz Hadi, Ustaz Nakhaie.

UB:Pernah kerja di sana?
MURSALIM: Saya kerja sebagai Pembantu Professor atau graduate assistance selama satu tahun.Dibayar gaji USD500. Waktu itu, saya sudah boleh mengirim duit ke kampung. Tukaran wang masa itu masih RM2.40 satu dolar USD. Sehingga ketika balik kampung saya dapat bawa balik USD10,000.

UB: Menarik sekali. Tuan dapat siapkan kuliah dalam waktu yang dikira agak singkat juga? Tidak melanjutkan ke peringkat yang lebih tinggi PhD misalnya?
MURSALIM:Saya ditawarkan buat PhD sehingga prof Hayworth, seorang pensyarah di MIT meminta saya membuat International Law dan menawarkan kerja di Bank Dunia. Saya dapat menghabiskan pengajian BSBA dan MA dalam empat  tahun. Biasiswa JPA untuk enam tahun. Ketika memohon kepada JPA untuk dibenarkan melanjutkan pelajaran ke PHD menghabiskan, tidak diluluskan kerana waktu itu ekonomi jatuh.

UB: Sekembalinya ke Sabah, dimana tuan bekerja?
MURSALIM: Sepulangnya ke Sabah, saya jadi guru di Yayasan Budi Akademik. Masa itu Abdul Rahman Yakub, Cikgu Sapawi (Datuk Sapawi Haji Ahmad), Pengarah Yayasan Sabah masa itu guru di Sekolah Berasrama Penuh. Dari situ, saya mengenali rakan rakan dan sahabat seperti Datuk Amin Senin, Dr kasim Mansur, Cikgu Johari

UB: Kemudian, dimana tuan bekerja?
MURSALIM: Saya memohon jawatan Guru Sandaan , masa itu pegawai pendidikan Zulkifli Jaafar.Saya dapat tawaran mengajar di SMK Pekan Kudat dari tahun 1989 hingga 1991. Kemudian saya jadi Pegawai Buruh di Jabatan Buruh dari dari tahun 1992. pada 1993, saya  hingga 1995, saya dilantik Penolong Pengarah Buruh di Sandakan, Datuk Ramlee Marhaban, Penolong Pengarah Buruh di Tawau Dari tahun 1995, saya jadi pegawai Ekonomi Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) tetapi meletakkan jawatan untuk bergiat sepenuh masa dalam perniagaan dan politik.

UB: Terima kasih kerana sudi ditemubual.Moga pengalaman tuan memberi motivasi kepada generasi baru untuk belajar lebih tekun lagi. Tidak mustahil seorang anak pulau boleh berjaya

MURSALIM: Terima kasih banyak kerana sudi menemubual saya.