Ahad, 31 Disember 2017

AH CHOI,PENGURUS BANK YANG TERBIASA BEKERJA KERAS

Tags



AH CHOI,PENGURUS BANK YANG TERBIASA BEKERJA KERAS


BELIAU sudah terbiasa bekerja keras. Sejak dahulu hinggalah sekarang, beliau sentiasa bersedia melakukan apa saja kerja yang diminta tanpa membantah. Ketika kecil, beliau pernah mencari kayu api untuk memasak, sering mengangkat dan mengangkut air untuk keperluan keluarga. Beliau menghadapi zaman persekolahannya tanpa mengeluh meskipun terpaksa belajar menggunakan pelita minyak tanah. Setelah mengharungi pelbagai kesusahan dan kepahitan hidup  ketika kecil, kini beliau adalah seorang yang berjaya. Walaupun cita-citanya mahu menjadi pemain bolasepak yang terkenal tidak kesampaian, kini beliau adalah Pengurus Wilayah Sabah/WP Labuan di sebuah bank perdagangan terbesar di Malaysia.
Liew Kui Choi dilahirkan di Kampung Tenghilan Tamparuli pada 1 November 1963. Anak keenam dari lapan adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRJK Chung Hwa Tenghilan dari darjah satu hingga darjah enam (1970 hingga 1975). Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran menengah di SMK Tenghilan dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga (1976-1978) dan tingkatan empat hingga tingkatan lima di SMK Tamparuli (1979-1980) dam kemudianmelanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di SM All Saints Kota Kinabalu (1981-1982). Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan  Malaysia (UKM) Bangi dari tahun 1983 hingga 1987. Selepas tamat universiti, beliau pernah mengajar sebagai guru sandaran di SMK Arshad pada tahun 1988 sebelum menyertai Program Latihan Siswazah di salah sebuah bank perdagangan. Kerjayanya bermula sebagai pegawai bank dan kini selepas hampir 30 tahun dalam bidang perbankan, beliau menjawat jawatan Pengurus Wilayah Sabah dan WP Labuan di sebuah bank perdagangan terbesar di Malaysia. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Constance  Thomson dan dikurniakan seorang cahayamata.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD,NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara LIEW KUI CHOI di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri untuk berkongsi pengalamannya ketika zaman persekolahan di sebuah daerah kecil yang masih belum dijamah oleh jentera pembangunan pada masa itu. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi menerima pelawaan kami untuk sesi interview Sembang Sabtu Utusan Borneo.Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?
LIEW KUI CHOI:  Saya dilahirkan di Kampung Tenghilan pada  1 November 1963. Ayah saya, Liew Ah Ngun seorang pemandu, antara orang pertama yang memiliki kereta di Tenghilan dan menjalankan khidmat pengangkutan dari Tenghilan ke Tamparuli manakala ibu saya, Melisa Solimbut  seorang suri rumah. Kami lapan adik beradik, saya anak keenam.
UB: Di mana tuan bersekolah?
LIEW: Saya  bersekolah di SRJK Chung Hwa Tenghilan dari darjah satu, tahun 1970 . Tahun 1975, saya darjah enam. Kemudian saya bersekolah di SMK Tenghilan dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga iaitu dari tahun 1976 hingga 1978. Masa itu SMK Tenghilan masih menumpang di SRJK Chung Hwa dan sebahagian lagi di SRK Tenghilan. SMK Tenghilan belum ada bangunan sendiri ketika itu.
UB: Selepas SMK Tenghilan, dimana tuan melanjutkan persekolahan?
LIEW: Selepas itu, saya berpindah ke SMK Tamparuli untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang  tingkatan empat dan tingkatan lima dari tahun 1979 hingga 1980. Selepas mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan SPM,  saya menyambung pelajaran dalam tingkatan enam di SM All Saint dari tahun 1981 hingga 1982 hingga lulus peperiksaan STPM.
UB: Langkah seterusnya?
LIEW: Seterusnya saya meneruskan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi dari tahun 1983 hingga mendapat Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Komunikasi Massa (Mass Communication).
UB: Kerja dimana selepas tamat universiti?
LIEW: Selepas tamat universiti, saya terjumpa Datuk Haji Jame Alip, mantan Pengarah Pendidikan Sabah di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Sebenarnya kami satu kampung di Tenghilan. Beliaulah yang mengajak saya jadi guru.  Saya jaadi guru sandaran di SMK Arshad dan sempat mengajar subjek Kesusasteraan Melayu kepada pelajar tingkatan empat. Kemudian saya mengikuti program latihan siswazah yang ditawarkan oleh sebuah bank perdagangan selama enam bulan. Kerjaya saya bermula sebagai pegawai bank, dan kini saya berkhidmat sebagai pengurus wilayah Sabah dan WP Labuan. Saya sudah berkhidmat  hampir 30 tahun di sebuah bank perdagangan terbesar di Malaysia.
UB: Mungkin ada kenangan pahit manis ketika berada di bangku sekolah dulu?
LIEW: Kalau saya ingat sewaktu sekolah rendah dulu, banyak pengalaman pahit yang saya alami. Ayah saya bawa kereta penumpang untuk laluan Tenghilan-Tamparuli. Ibu saya seorang seorang suri rumah.  Kehidupan kami agak susah juga. Kalau beli pakaian seragam, ayah saya beli saiz yang besar. Kalau saiz badan saya, saiz tiga, katakan begitu,beliau beli saiz empat, supaya pakaian itu boleh lagi dipakai tahun depan. Sebab itu, saya pakai seluar besar ke sekolah. Kerana saiznya besar, saya terpaksa buat tali pinggang.Masa itu tidak dibenarkan memakai tali pinggang ke sekolah. Lagi pula, susah cari tali pinggang masa itu, dan kalau cikgu nampak kita pakai tali pinggang, cikgu akan ambil tali pinggang kerana murid tidak dibenarkan memakai tali pinggang.Saya ikat seluar saya pakai getah sebagai ganti tali pinggang.
UB: Bagaimana cara pembelajaran masa itu?
LIEW:  Sistem pembelajaran masa itu, pelajar kena hafal. Satu muka surat penuh kemudian tutup buku. Kita diminta membacakan apa yang kita dihafal. Kalau tidak hafal, pelajar boleh dirotan. Masa itu saya ketua darjah, Selain ditugaskan ambil kapur, saya diminta juga simpan rotan untuk digunakan merotan murid yang tidak boleh hafal. Saya rasa kasihan tengok kawan kawan kena rotan.Kadang kadang saya sembunyikan rotan untuk mengelakkan rakan-rakan saya di rotan. Itulah cara yang menyebabkan murid-murid kuat daya penghafalan mereka.
UB: Apa cabaran yang tuan hadapi ketika belajar di sekolah Cina?
LIEW: Cabarannya ialah pelajaran bahasa Cina. Walaupun ayah saya dari bangsa Cina, ibu saya orang Dusun. Jadi kami terpaksa bercakap bahasa Melayu di rumah. Dalam keluarga kahwin campur, mereka terpaksa menggunakan bahasa Melayu. Saya terpaksa berhempas pulas juga belajar untuk lulus bahasa Cina.
UB: Biasanya berapa wang saku yang diberikan kepada tuan untuk belanja sekolah?
LIEW: Hari biasa, belanja saya ke sekolah 20 sen. Hari khamis, saya dapat wang saku lebih sedikit iaitu 30 sen, kerana hari Khamis adalah tamu mingguan di Tenghilan. Tapak tamu mingguan itu pula terletak dekat sekolah.
UB: Apa yang dapat dibeli dengan wang 20 sen itu?
LIEW: Masa itu satu biji kuih berharga lima sen.. Dua biji sepuluh sen. Harga makanan masih murah.
UB: Siapa antara rakan tuan di sekolah masa itu?
LIEW: Antara rakan baik  saya dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga ialah Mastan Gagah. Datuk Haji  Jame Alip senior kami. Kami satu sekolah di SMK Tenghilan tapi sekolah rendah kami berbeza. Datuk Jame di St James School.
UB: Apa hobi tuan masa itu?
LIEW: Hobi saya main bola sepak. Kalau diingat semula, cita-cita saya waktu kecil dahulu ialah mahu menjadi pemain bolasepak yang hebat. Itulah cita-cita saya dulu. Sehinggakan untuk beli kasut bola, masa cuti tingkatan tiga saya kerja di syarikat pembinaan sebagai sakung, membancuh simen. Pembinaan masa itu guna pasir laut ditapis , disaring untuk digunakan bancuh simen.Gaji sehari RM10.00. Bila cukup duit, saya beli kasut adidas second hand berharga RM35.00.
UB: Apa kelab yang menjadi favourite tuan?
LIEW: Dari dulu saya minat Manchester United. Antara pemainnya Bobby Robson. Kalau tiba perlawanan bola, kami pergi tumpang rumah kawan di kedai Tenghilan, sekadar untuk menonton bolasepak kerana di rumah kami tiada peti televisyen.
UB: Oh ya. Bagaimana tuan ke sekolah ketika  bersekolah di SMK Tamparuli?
LIEW: Saya berulang alik setiap hari dari Tenghilan ke Tamparuli. Dulu ada bas namanya Tuaran United Transport (TUT) .Jam 4.30 pagi saya sudah bangun. Jam 5.30 pagi saya harus berdiri di tepi jalan kerana kalau tidak pasti akan ketinggalan. Sebaik keluar dari jambatan Tenghilan, bas itu akan membunyikan hon.Jika terlambat sedikit terpaksa berlari ikut permatang sawah untuk mengejar bas. Jadi kita mesti tunggu di tepi jalan.Kalau terlepas tidak dapat ke sekolah. Itulah rutin setiap hari.Bas itu hanya boleh memuatkan 20 penumpang.
UB: Selain bas TUT, ada pengangkutan lain ke sekolah?
LIEW: Tidak ada. Hanya bas itu saja. Untuk pengangkutan awam, hanya ayah saya saja ada kereta land rover untuk penumpang awam dari Tenghilan ke Tamparuli. Tapi itu bertolak tidak tentu waktu.
UB: Susah juga kalau terpaksa bangun setiap jam 4.30 pagi untuk ke sekolah?
LIEW: Ada kebaikannya kalau saya ingat. Selepas bersiap mandi dan sebagainya,Masa menunggu bas itulah saya gunakan untuk mengulangkaji pelajaran. Jam 4.30 hingga 5.30 itulah masa saya belajar sementara menunggu bas datang.
UB: Masih ingat siapa rakan sekolah masa itu?
LIEW: Salah satunya, sekarang masih kerja di RTM, Linah Sulutan. Seorang lagi guru besar di Nabawan, sudah meninggal. Itulah antara rakan saya setiap pagi ikut bas TUT ke Tamparuli.
UB: Kalau cikgu pula, siapa cikgu yang tuan masih ingat?
LIEW:Antaranya Cikgu Mansor Puteh. Beliau mengajar di SMK Tamparuli.Beliau seorang guru yang baik kepada pelajar.
UB: Selain itu, siapa yang banyak memberi dorongan kepada tuan?
LIEW: Ada pakcik saya, Mr John Han.Beliau ini bekerja di Lombong Mamut Ranau. Setiap minggu dia balik. Beliaulah yang sentiasa memberi galakan untuk saya belajar bersungguh-sungguh.
UB: Boleh ceritakan sedikit macam mana tuan belajar masa itu?
LIEW: Ketika itu bekalan elektrik tiada. Jadi kami terpaksa gunakan  pelita minyak tanah. Kemudian ketika berada dalam tingkatan empat dan lima begitu, ayah saya belikan bateri kereta. Dengan  tenaga bateri kereta itu digunakan untuk menyalakan lampu. Bateri itu perlu dicaj seminggu sekali. Kalau tidak silap kosnya RM3.00 setiap kali mengecaj bateri. Sebelum itu kami terpaksa belajar menggunakan lampu pelita. Oleh itu saya sudah terbiasa berjuang untuk belajar untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik.
UB: Mungkin juga tuan boleh ceritakan bagaimana galakan dari ibu bapa untuk tuan mencapai apa yang dicita-citakan?
LIEW: Ketika lulus tingkatan lima, apa yang dibuat oleh ibu saya ialah beliau mencari satu ekor ayam, putih semua warnanya. Ayam ini disembelih, dimasak dan setelah itu saya diberikan keutamaan untuk mengambil bahagian mana yang saya suka. Baru setelah itu, adik-adik saya pula. Barangkali itulah KFC zaman dulu. Padahal ibu saya tidak tahu berapa keputusan SPM saya, Ibu saya hanya dengar dari orang kampung bahawa Ah Choy , nama saya di kampung, dapat keputusan yang bagus. Mungkin itulah juga yang menyebabkan ayah saya bersetuju untuk saya bersekolah tingkatan enam di SM All Saints di Kota Kinabalu.  Mujurlah, ada kakak saya yang sudah kerja di Singapore Airlines.
UB: Bagaimana pula pengalaman sekolah dalam tingkatan enam?
LIEW: Saya terpaksa berulang alik dari Penampang, tempat tinggal kakak saya ke SM All Saint Likas, Masa itu ada bas yang disediakan, Penampang United Transpprt, dari Donggongin Penampang ke All Saints. Jam 5.45 pagi . Jika terlepas bas itu, saya terpaksa naik bas dua kali. Dari Donggongon Penampang ke Kota Kinabalu dan dari bandar Kota Kinabalu naik bas lagi ke Likas. Jam 2.00 petang, akan ada bas dari All Saint ke Donggongon. Saya lulus dengan baik juga dalam STPM;
UB: Lepas itu, apa respon ibu tuan?
LIEW: Kali ini ibu saya cari ayam hitam, hitam semua warnanya.  Ayam itu disembelih, dimasak dan kemudian saya dipersilakan untuk memilih bahagian mana yang yang saya suka, barulah adik beradik yang lain. Inilah cara ibu saya memberi galakan kepada saya.  Saya ingat sampai sekarang. Saya juga ingat, kalau saya lama tidak pulang, beliau tidak tanya bila saya mahu pulang. Ibu saya tahu saya suka durian. Beliau hanya pesan, beritahu ada saya beli durian untuk si Ah Choy.
UB: Kalau ayah tuan, apa pula caranya?
LIEW: Ayah saya seorang yang tegas. Dalam semua kami adik beradik, hanya saya saja yang tidak pernah kena rotan. Beliau mendudik kami dengan caranya sendiri,
UB: Selepas lulus STPM, bagaimana proses tuan ke Universiti?
LIEW: Salah seorang yang banyak memberi galakan kepada saya ialah kakak saya. Beliau bawa saja ke ke Yayasan Sabah untuk mendapatkan pinjaman.  Selepas berkunjung ke sana, bahagian Pinjaman Yayasan Sabah menyarankan agar saya pergi saja dulu ke UKM sementara menunggu kelulusan permohonan pinjaman.
Selepas itu, kakak saya berusaha kumpul duit, pinjam kawan dapatlah kumpul RM800 untuk yuran pendaftaran universiti dan belanja lain. Dalam penerbangan ke KL saya satu flight dengan Shirley Gan, yang diterima masuk ke UM
Masa itu saya sendirian saja masuk ke UKM.
UB: Apa pesan orang tua ketika mahu melanjutkan pelajaran ke Universiti?
LIEW: Ayah saya pesan, belajar betul-betul, jangan dulu cari girlfriend.
UB: Dalam empat tahun berada di KL, berapa kali tuan balik ke Sabah?
LIEW: Satu tahun satu kali. Hanya tahun akhir saya tidak balik Sabah. Balik ke Sabah masa itu juga satu cabaran kerana kami terbang menggunakan kad pelajar. Jadi terpaksa menunggu kekosongan tempat duduk.Saya pernah tiga hari tiga malam tidur di lapangan terbang untuk menunggu penerbangan balik. Tiga hari tiada mandi tunggu kapal ada tempat kosong.
UB: Apa aktiviti semasa di universiti?
LIEW: Semasa di universiti, saya aktif dalam sukan. Saya aktif dalam sukan karate, main bola sepak, dalam bola sepak saya main pertahanan, saya aktif bola tampar, aktif dalam sepaktakraw, saya main tekong dan banyak lagi. Saya juga aktif dalam persatuan PERMIS, dan pernah terlibat program anak angkat di Keningau.
UB: Apa motto tuan dalam bekerja?
LIEW: Kesanggupan kerja keras. Mungkin kerana waktu kecil saya terbiasa kerja keras. Pernah cari kayu api, angkat air dari sumber air seperti perigi, atau angkut air yang dihantar oleh JKR, dan sebagainya, saya tak pernah komplen. Jangan komplen pasal kerja keras, itu pegangan hidup saya. Itulah mungkin menyebabkan saya tidak pernah dirotan oleh ayah saya. Saya tidak pernah membantah, apah saja yang disuruh, saya buat.Saya terbiasa kerja keras. Bahkan rumah di kampung yang ada sekarang, saya dan ayah saya yang bikin. Kebetulan ayah saya ada pengetahuan dalam tukang kayu. Kami buat sendiri rumah di kampung, masih ada sampai sekarang.

UB: Terima kasih tuan kerana sudi meluangkan masa untuk sesi wawancara ini.
LIEW: Terima kasih moga bermanfaat.