Ahad, 31 Disember 2017

BANYAK BURUNG PERKARA BURUNG

Tags



BANYAK BURUNG PERKARA BURUNG

Ada banyak hal menarik apabila kita melihat perilaku burung dalam alam lingkungan Melayu.  Seorang budayawan Melayu Riau, Allahyarham Pak Tenas Effendy mencatatkan sebanyak 26 jenis burung yang terakam dalam ungkapan tradisional Melayu. Ada burung sandang basung, burung pergam, burung tiung, burung dundun, burung concang terung, burung puling, burung pucung, burung enggang, burung bayan, burung puyuh, burung murai, burung balam, burung sawai, burung bangau, burung kurau, burung pipit, burung wakwak, burung gagak, burung punai, burung merbah, burung cecap, burung pelatuk, burung kako, burung pungguk, burung serindit dan burung taktabau.
Namun tidak semua burung itu pernah saya lihat. Malah nama-nama burung  itu kedengaran aneh di telinga saya. Banyak ungkapan Melayu akan hilang dan pupus seiring dengan tahap penguasaan kita yang makin juga sedikit dalam perbendaharaan kata Melayu.
Sebenarnya banyak yang kita dapat pelajari bila mengamati perilaku burung-burung itu. Sekarang mungkin tidak ramai lagi di antara kita yang dapat melihat burung dalam kehidupan seharian mereka.Tetapi pesan-pesan yang terdapat dalam ungkapan Melayu tradisional mengenai burung itu mungkin boleh bermanfaat jika kita hayati.
Saya hanya akan mengutip ungkapan mengenai burung-burung  yang biasa atau pernah kita lihat. Pernah dengar nama burung tiung? Dalam ungkapan Melayu dikatakan" burung tiung, bergelar monti suara, suara meniru-niru orang, suara tidak ada tahu maknanya.".
Burung tiung hanya tahu meniru-niru dan mengulang-ulang apa yang dikatakan oleh orang lain.Tiung mengulang kata-kata yang dia sendiripun tidak tahu akan  maknanya. Mungkin di kalangan masyarakat kita, ada yang sifatnya seperti burung tiung.
Satu lagi jenis burung yang biasa kita dengar ialah burung enggang. Dalam ungkapan Melayu terdapat  ungkapan seperti "itik sama itik, enggang sama enggang, kecil sama kecil, godang sama godang"
Burung enggang bergelar tok godang suara,suaranya menggoyang-goyang kayu, suara menggoncang rimba dalam, suara ada, akalnya pendek
Walaupun suaranya besar, boleh menggoncang rimba tetapi akalnya pendek.  Demikian menurut ungkapan Melayu yang dihimpunkan oleh Pak Tenas dalam bukunya Ungkapan Tradisional Melayu Roau yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 1989.
Selain burung enggang, ada juga disebutkan mengenai burung puyuh. Saya sangat suka daging burung puyuh ini kerana keenakannya. Sekarang sudah ada penternak yang menternak burung puyuh. Pasarannya ada tetapi bekalannya tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan.
Tapi  bukan itu yang dicatat dalam ungkapan Melayu Tradisional itu. Burung puyuh dikatakan "bergelar tuk panjang dengut, dengut ada badan tak nampak, orang berekor awak tidak, tidak dapat lari kencang, kalau berlari lintang pukang kerana kemudinya tak ada".
Saya hanya mahu mengutip hujung ungkapan yang mengatakan sekiranya tak ada kemudi nescaya kita berlari lintang pukang, tak tentu arah.
Mengenai burung murai pula dikatakan bahawa kicau murai, kicau banyak kan maknanya, kicau ada alamatnya, alamat buruk alamat baik. Begitulah yang dicatatkan dalam ungkapan Melayu.
Ada juga digambarkan mengenai burung bangau. Burung bangau dikatakan "burung tuk putih sabar, bulu putih bagai kapas,nan sabar duduk menanti,kalau terbang balik kembali, balik tempat asal jadi".
Ungkapan yang menarik bahawa setinggi tinggi terbang bangau, akhirnya hinggap di belakang kerbau. Bangau disifatkan sebagai butung yang selalu ingatkan tempat asalnya.
Sejenis burung yang tidak luput dalam ungkapan melayu ialah burung pipit. Mungkin semua orang yang pernah bertani mengerjakan sawah,atau setidak-tidaknya melihat sawah, pernah melihat burung pipit.
Burung pipit dkatakan bergelar tok uban, kopiah putih bagai tuk alim, kerja mencuri padi orang. Burung yang kelihatan alim, tapi kerjanya mencuri padi milik orang.
Ada lagi sejenis burung yang biasa kita lihat di bandar-bandar iaitu burung gagak. Burung gagak bergelar panglima hitam, suaranya menidak-nidak saja, suara ada kan tandanya, tanda alamat buruk dan baik.
Burung punai pula dikatakan bergelar si pico-pico, bukan piconya dek apa, pico melihat buah kayu, tak tahu kan getah orang, tak tahu kan damak orang. Burung punai selalu lupa jerat bila nampak buah kayu.
Burung pungguk pula digambarkan sebagai "bergelar tuk peratap, yang menangis mengenang untung, yang menunggu nan tidak tidak" . Ada ungkapan yang sering kita dengar bagaikan pungguk rindukan bulan. Ada juga orang yang menjadi seperti pungguk yang sentiasa rindukan bulan, menunggu nan tidak-tidak, kerana ada yang berjanji tapi tidak pula menunaikannya.
Banyak lagi jenis burung dalam ungkapan melayu Riau. Namun menarik juga kita lihat tabiat burung serindit, yang bergelar panglima hijau, yang tak sama dengan orang, tidurnya kaki di atas, bergantung bagai keluang, bijak ada cerdik pun ada, tapi pendek kira-kiranya.
Ya, banyak burung perkara burung, banyak yang boleh dipelajari dari gerak lakunya. Jika kita mampu menghayati persekitaran alam lingkungan kita dengan saksama, pastilah banyak tamsil , banyak pengajaran yang kita perolehi dari alamNya.