Ahad, 31 Disember 2017

JAMALUDIN JINAL , SENTIASA BUAT YANG TERBAIK, BILA-BILA MASA DAN DIMANA SAJA

Tags



JAMALUDIN JINAL , SENTIASA BUAT YANG TERBAIK, BILA-BILA MASA DAN DIMANA SAJA
Buat yang terbaik, bila bila masa dan dimana saja, adalah prinsip hidup personaliti kita kali, seorang pemimpin pengakap yang berkaliber dan memegang beberapa jawatan penting. Beliau adalah Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara selain menjadi Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah. Beliau juga adalah AJK Sumber Kewangan Pengakap Asia Pasifik bagi tempoh 2015 hingga 2018.
Jamaludin @ Jamal Bin Jinal dilahirkan  di kampung Tambulion Kota Belud pada tahun 1954.Beliau mendapat pendidikan awak di SRK Tambulion dari darjah satu hingga darjah dua.Selepas itu, beliau berpindah ke SRK Tempasuk dan kemudian ke SRK Pekan Kota Belud sebelum bersekolah di SK St Edmund Kota Belud, dari darjah tiga hingga darjah enam pada 1967. . Beliau meneruskan pendidikan menengah di  SMK Kota Belud  dari tahun 1968 hingga lulus MCE pada tahun 1972. Beliau kemudian bekerja di JPT sebelum berkhidmat di Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada tahun 1978. Beliau melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat dari tahun 1984 hingga 1989 dan berkelulusan Bachelor of Business Administration (BBA) pengkhususan dalam  Pemasaran (Marketing) dari USA dan Master of Business Administration (MBA).
Beliau pernah berkhidmat di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selama lebih kurang 36 tahun dan memegang pelbagai jawatan di Jabatan berkenaan. Beliau bersara wajib pada 8 Disember 2014. Beliau memegang pelbagai jabatan dan berkesempatan bertugas  di pelbagai Bahagian dan Cawangan di Jabatannya. Jamal pernah bertugas di beberapa tempat bermula di Kota Kinabalu (Julai 1978 – Disember 2005), Ibu Pejabat Kastam Diraja Malaysia, Putrajaya (Januari 2006 – Oktober 2011) dan yang terakhir sekali di JKDM, WP Kuala Lumpur (November 2011 – Disember 2014)
Jamal juga pernah bertugas di Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL), Cawangan Sabah selama lebih kurang 9 tahun sebagai Pensyarah, Pegawai Pentadbir dan Pegawai Kewangan serta Pengarah Cawangan selama 2 tahun. Beliau  seringkali dijemput menyampaikan pelbagai topik untuk kursus-kursus anjuran di AKMAL Induk, Melaka, Cawangan Sarawak, Cawangan Langkawi.Sebelum beliau bersara, beliau amat aktif menjalankan program  latihan di Jabatannya termasuklah latihan dalaman, seminar, bengkel dan sebagainya.,
Selain daripada ini, beliau juga mempunyai kemahiran bagi mengendalikan program inovatif dan kreatif. Beliau adalah Fasilitator kepada Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang terkenal di Malaysia iaitu Kumpulan TerraBytes dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia, WP Kuala Lumpur. Kumpulan ini pernah bertanding dalam program KIK -  International Team Excellence Competition di India (2010), Jepun (2011), Singapura (2012 dan 2014) dan Malaysia (2012 dan 2014). Kumpulan ini  memenangi 9 hadiah utama dan seterusnya dipilih mewakili Malaysia ke World Conference on Quality And Improvement, May 2015 di Nashville,Tennessee, USA,Asia Pacific  Quality Conference, October 2015 di Shanghai, China dan Asia Team Excellence Competition, November 2105 di Korea.
Di atas kecemerlangannya dalam memimpin dan mentadbir Bahagian dan Cawangan di Jabatannya beliau dianugerahkan:Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 1995, 2000, 2006, 2009 dan  2013, Pegawai Contoh (Personaliti) Terbaik Peringkat Ibu Pejabat Kastam, Putrajaya: 2007 dan Pegawai Kanan Terbaik Peringkat  W.P. Kuala Lumpur 2013
Semasa beliau berkhidmat di JKDM, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting dalam NGO Jabatan iaitu Presiden Persatuan Pegawai Kanan Sabah (Nov 1993 – Jun 1999),Presiden Kesatuan Sekerja Kastam Sabah (Nov 1990 – Mei 1993) dan Exco Persatuan Pegawai Kanan Kastam WP Kuala Lumpur (Jun 2010 – September 2014)
Di peringkat antarabangsa, Jamal   adalah AJK Sumber Kewangan, Pengakap Asia Pasifik bagi tempoh 2015 – 2018. Di dalam Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM), beliau memegang jawatan sebagai Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Sumber Dewasa) dan  Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah (Integrasi Nasional).
Beliau terlibat dalam Pergerakan Pengakap sejak pada bulan Mac 1965 (bermula dari seorang Pengakap Kanak-Kanak) hingga sekarang. Beliau sangat berpengalaman dalam bidang kepengakapan dan  beberapa kali dilantik mengetuai Kontinjen Pengakap Sabah ke beberapa Jambori Pengakap Negeri, Kebangsaan dan Antarabangsa seperti Jambori Pengakap Dunia di Bangkok, Thailand (2002) sebagai Ketua Kontinjen Pengakap Sabah, Ketua Kontinjen Pengakap Sabah ke Jambori Pengakap BIMP-EAGA di Kuching, Sarawak (2000), Timbalan Ketua Kontinjen ke Jambori Pengakap Nasional Indonesia di Cibubur, Jakarta, Indonesia (1991) dan Timbalan Ketua Kontinjen ke Jambori Pengakap Kelana Nasional dan Asia Pasifik di Tasmania, Australia (1982). Selain bergiat aktif dalam Pergerakan Pengakap, beliau juga pada suatu ketika dahulu pernah menyandang jawatan sebagai Naib Presiden, Majlis Belia Sabah (Jun 2002 - Disember 2005) dan Setiausaha Agong, Majlis Belia Sabah (Jun 2000 – Mei 2002).
Semasa sambutan Jambori Antarabangsa 100 Tahun Pengakap Sabah/Jambori Pengakap Sabah Kedua yang diadakan pada 12 – 17 Ogos 2013 bertempat di Sandakan, Sabah, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi II, Jawatankuasa Induk Jambori.
Atas kecemerlangan beliau dalam memimpin persatuan belia di Sabah khasnya  dan Malaysia amnya beliau dianugerah pingat Darjah Kebesaran Negeri iaitu Ahli Darjah Kinabalu sempena Hari Jadi TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah pada tahun 2002.Beliau juga menerima Anugerah Pemimpin Belia Berjasa Negeri Sabah disampaikan oleh YAB Datuk Seri Ketua Menteri Sabah pada Mei 2016 sempena Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sabah 2016.
Jamal juga dianugerahi Pingat Perkhidmatan Gemilang PPM dianugerahkan oleh DYMM Tuanku Sultan Terengganu pada 26 Julai 2016 bertempat di Istana Syarqiyyah Kuala Terengganu.  Di samping itu, beliau juga adalah penerima Pingat Perkhidmatan   Cemerlang, Pingat Perkhidmatan Setia dan Baik, Pingat Perkhidmatan Lama, Surat Kepujian Ketua Pengakap Negara
Seterusnya di sepanjang tahun 2016 - 2017, beliau  menulis 7 buah buku berkaitan kepengakapan Malaysia,selain itu, beliau sering   mengendalikan kursus-kursus anjuran Akademi Pengakap Sabah

Di samping itu, pada  Feb 2017, Jamal  dilantik oleh Datuk Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah sebagai Pengerusi bagi mengendalikan Malam Apresiasi Pengakap Sabah ke 2 yang  diadakan pada 28 Oktober 2017. Turut serta bagi memeriahkan Malam Apresiasi itu ialah Pengurusan Tertinggi Pengakap dari Negara Brunei Darussalam, Pramuka (yang berpangkalan di Sabah), PPM Cawangan Sarawak. Sebelum ini beliau  dilantik Pengerusi Malam Apresiasi PPM 2016 yang  diadakan pada bulan November 2016. (Malam Apresiasi ini adalah yang pertama kalinya diadakan dalam sejarah 107 tahun kepengakapan Malaysia).  

Kini beliau adalah `Freelance Lecturer dan seringkali dijemput oleh Badan-Badan Korporat, agensi kerajaan dan swasta di sekitar Lembah Kelang, termasuklah di Sabah.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABDNADDIN HAJI SHAIDDIN d berpeluang menemubual beliau di Tingkat 5, Wisma KTS Kota Kinabalu ibu negeri baru-baru ini. Foto oleh ALFRED PETRUS. Dalam temubual itu, Jamal menceritakan sedikit pengalamannya ketika bersekolah, kerjaya yang diceburinya dan pengalamannya dalam Persatuan Pengakap. Ikuti petikan temubual bersama beliau:
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang tuan?
JAMALUDIN JINAL @ JAMAL: Saya lahir di kampung Tambulion Kota Belud pada tahun 1954. Tambulion adalah sebuah kampung yang terletak berdekatan Kem Paradise.  Saya anak ketiga dari lima adik beradik.Saya bersekolah di SRK Tambulion pada tahun 1959 hingga darjah dua . Oleh kerana sekolah itu tidak mempunyai darjah tiga masa itu, saya terpaksa ke SRK Tempasuk selama tiga bulan dan kemudian ke SRK Kota Belud selama lapan bulan.  Di sinilah saya  mula terlibat dalam bidang kepengakapan apabila menyertai Pengakap Kanak-Kanak pada tahun 1965. Selepas itu saya berpindak ke SK St Edmund dari darjah tiga hingga darjah enam hingga tahun 1967.
UB: Selepas itu, tuan bersekolah di mana?
JAMAL: Saya bersekolah di SMK Kota Belud sehingga lulus MCE pada tahun 1972. Selepas itu, saya bekerja di Jabatan Parit Taliair pada 1972. Kemudian pada tahun 1978, saya memasuki perkhidmatan Kastam.
UB: Sejak bila tuan terlibat dalam pengakap?
JAMAL: Sejak tahun 1965 bermula sebagai pengakap kanak-kanak. Pada tahun  1970 ketika saya bersekolah di Kota Belud, kami yang hidupkan Pengakap Kota Belud. Saya bersama  Datu Tigabelas mengaktifkan kumpulan pengakap ke-10 di daerah itu. Masa itu, saya jadi troop leader sehinggalah saya naik ke tingkatan lima. Lepas itu  sambung lagi ketika saya bekerja di Jabatan Parit Taliair (JPT) pada tahun 1973. Kami menubuhkan Kumpulan Kelana Kepimpinan Islam dibawah pimpinan Datuk Haji Murshidi Nambi dan Haji Mohd Noor Mustakim. Antara rakan rakan saya dalam pengakap masa itu ialah Haji Yahamad Budin, Datuk Muhidin Yusin dan lain-lain. Ketika itu, urusan penghantaran jemaah haji di lapangan terbang Kota Kinabalu, sama ada pergi dan balik, kami yang uruskan. Sehingga satu masa, kami dijanjikan oleh Ketua Menteri Sabah masa itu, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun untuk menunaikan ibadah haji pada tahun berikutnya, ikut rombongan haji.Namun pada tahun 1976, USNO kalah di tangan parti Berjaya. Oleh sebab itu, hasrat ke tanah suci juga turut terkubur begitu saja.
Selepas itu, kami menubuhkan Kumpulan Pengakap Kelana C Kota Kinabalu. Masa itu Pesuruhjaya Pengakap ialah Jayan Marimuthu manakala Timbalan Pesuruhjaya ialah Awang Zaini Haji Suntim. Masa itu beliau belum dapat gelatan Datuk. Antara pemimpin Kumpulan Pengakap Kelana C Kota Kinabalu termasuklah Abd Rahman Laman, Hajah Azizah dan lain-lain. Saya aktif dalam Kumpulan Pengakap Kelana C sehinggalah saya melanjutkan pelajaran ke luar negara.
UB: Tahun berapa tuan melanjutkan pelajaran ke luar negara?
JAMAL: Saya menyambung pelajaran di Amerika Syarikat pada tahun 1984 di Eastern New Mexico University, Portales, New Mexico. Sebelum itu, saya menuntut di Coe College, Cedar Rapid di Iowa selama setahun lebih. Di sana saya menubuhkan Persatuan Penuntut Sabah Malaysia, saya sebagai setiausahanya manakala Jalumin Jahali sebagai Presidennya.Timbalan Presifden Abd Razak Walli.
UB: Apakah tuan aktif juga dalam pengakap ketika berada di Amerika?
JAMAL: Semasa  berada di New Mexico pada 1984 hingga 1989, saya pernah beberapa kali  ditawarkan memimpin kumpulan pengakap kanak-kanak , malah mereka datang tiga empat kali untuk memujuk saya tetapi saya tidak dapat membantu kerana sibuk dan fokus dalam pengajian..
UB: Berapa ramai  pelajar Malaysia yang menuntut di universiti itu masa itu?
JAMAL: Ramai juga, ada kira-kira 40 orang tetapi dari Sabah hanya saya, Jainal Sulai dan Pauline Pinso yang menuntut di sana masa itu. Walau bagaimanapun, saya bergiat di Kelab Penuntut Antarabangsa di universiti itu.Mulanya sebagai naib presiden namun kemudian ada pemilihan untuk memilih kepimpinan pelajar antarabangsa. Seramai empat orang bertanding tetapi saya terpilih menjadi presiden. Mungkin mereka mengambil kira penglibatan saya dalam NGO.

UB: Apa antara program yang dilaksanakan oleh persatuan?
JAMAL: Kami mengadakan banyak program, antara mengadakan `talk’ mengenai negeri masing-masing. Tapi yang paling seronok apabila kami berjaya mengadakan Malam Pelajar Antarabangsa pada tahun 1988. Dewan yang biasanya tidak terisi penuh pada malam itu bukan saja penuh sesak malah orang terpaksa berdiri. Banyak persembahan pelajar dari pelajar antarabangsa. Pelajar yang menuntut universiti berdekatan, seperti di Texas juga ikut menyertai pameran . Kita juga menjual makanan tradisi dan sebagainya. Penganjuran program itu mendapat pujian. Seminggu kemudian kami dipanggil oleh presiden Universiti.Semua persatuan universiti, 20 persatuan kesemuanya dipanggil dan dalam ucapannya, beliau memuji majlis yang kami adakan dan dijadikan contoh,  sehingga kemudian saya dianugerahkan biasiswa universiti selama satu semester. Selain itu, ketika menuntut di universiti, saya juga menyertai Persatuan Pemasaran Amerika, kerana kebetulan saya mengambil bidang pemasaran di universiti.  Sehingga nama saya masuk dalam senarai Who’s Who in USA.

UB: Selepas tamat pengajian, tahun berapa tuan balik ke tanahair?
JAMAL: Saya balik ke tanah air pada tahun 1990. Kemudian saya menubuhkan Kumpulan Pengakap Terbuka Kastam . Di dalamnya, kita ada kumpulan pengakap kanak-kanak, kumpulan pengakap muda, kumpulan pengakap kelana dan kumpulan pengakap kelana kanan. Kumpulan Kelana kanan ini  dianggotai oleh kum pegawai-pegawai kastam, warga jabatan Saya difahamkan oleh Pesuruhjaya Pengakap Negeri,Datuk Godferu Lim bahawa Kumpulan pengakap ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.
UB: Oh ya, tahun berapa tuan melibatkan diri dalam pengakap?
JAMAL: Saya mula  terlibat dalam Pergerakan Pengakap sejak pada bulan Mac 1965 bermula dari seorang Pengakap Kanak-Kanak, hingga sekarang.
UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai pengalaman dalam bidang kepengakapan?
JAMAL: Antaranya saya pernah menyertai jambori di dalam dan luar negeri.Saya pernah beberapa kali dilantik mengetuai Kontinjen Pengakap Sabah ke beberapa Jambori Pengakap Negeri, Kebangsaan dan Antarabangsa seperti Jambori Pengakap Dunia di Bangkok, Thailand (2002) sebagai Ketua Kontinjen Pengakap Sabah, Ketua Kontinjen Pengakap Sabah ke Jambori Pengakap BIMP-EAGA di Kuching, Sarawak (2000), Timbalan Ketua Kontinjen ke Jambori Pengakap Nasional Indonesia di Cibubur, Jakarta, Indonesia (1991) dan Timbalan Ketua Kontinjen ke Jambori Pengakap Kelana Nasional dan Asia Pasifik di Tasmania, Australia (1982). Semasa sambutan Jambori Antarabangsa 100 Tahun Pengakap Sabah/Jambori Pengakap Sabah Kedua yang diadakan pada 12 – 17 Ogos 2013 bertempat di Sandakan, Sabah, saya  dilantik sebagai Timbalan Pengerusi II, Jawatankuasa Induk Jambori.
UB: Apa jawatan tuan dalam pengakap sekarang?
JAMAL: Di dalam Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM), saya memegang jawatan sebagai Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Sumber Dewasa) dan  Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah (Integrasi Nasional) . Di peringkat antarabangsa, saya memegang jawatan sebagai AJK Sumber Kewangan Pengakap Asia Pasifik bagi tempoh 2015 hingga 2018.
UB: Selain pengakap, apa persatuan yang tuan pernah sertai?
JAMAL: Selain bergiat aktif dalam Pergerakan Pengakap,  suatu ketika dahulu pernah menyandang jawatan sebagai Naib Presiden, Majlis Belia Sabah pada Jun 2002  hingga Disember 2005) dan Setiausaha Agung, Majlis Belia Sabah dari Jun 2000  hingga Mei 2002. Saya juga pernah menjadi  Setiausaha Persatuan Seniman Sabah.
UB: Mungkin ramai juga yang ingin tahu, apa kebaikan menyertai pengakap?
JAMAL: Sebagaimana yang kita tahu , Persekutuan Pengakap diperbadankan di bawah Akta Parlimen.Paling penting menjadi pengakap, kita dilatih jadi orang yang berguna, berguna kepada diri sendiri, berguna kepada ibu bapa, berguna kepada masyarakat dan berguna kepada negara. Kita dilatih agar lebih berdisiplin, berintegriti, bersopan dan sentiasa taat kepada ketua. Dalam pengakap kita sentiasa bersedia, buat sehabis baik,dan sentiasa berkhidmat.Kita sentiasa taan kepada 10 undang-undang pengakap.
Selagi ada kemampuan, selagi itu kita sedia berbakti tanpa mengira had umur.Dalam pengakap tiada had umur. Kita bersedia membantu dalam dalam semua keadaan.

UB: Apa prinsip hidup tuan?
JAMAL: Buat yang terbaik, bila bila masa dan dimana saja.