Sabtu, 24 Mac 2018

SEJENAK PERTEMUAN DENGAN PROF ABHOUD SYED M LINGGA, TOKOH PERDAMAIAN DARI MINDANAO

Tags
SEJENAK PERTEMUAN DENGAN PROF ABHOUD SYED M LINGGA, TOKOH PERDAMAIAN DARI MINDANAO

Tanpa disengaja, saya terserempak dengan Prof.Abhoud Syed  M Lingga yang sedang berjalan-jalan di luar hotel. Seorang diri. Saya menyapanya dan mengajaknya minum petang di sebuah restoran di seberang jalan.
Saya memang sudah lama berhasrat untuk mewawancarainya mengenai isu dan permasalahan masyarakat Islam di Selatan Filipina. Prof Abhoud adalah Pengarah Eksekutif Institut Pengajian Bangsamoro (IBS) yang berpusat di Cotabato. IBS adalah sebuah institut bukan kerajaan yang menumpukan perhatian kepada penyelidikan mengenai sejarah Bangsamoro, Kebudayaan, Politik dan isu kontemporari, dan bidang latihan untuk meningkatkan dan memperkasa golongan belia, wanita dan golongan miskin,  selain memberikan khidmat masyarakat untuk golongan kurang berkemampuan dan golongan yang terjejas akibat konflik di Selatan Filipina.



Sebagai seorang yang berpengalaman dan pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatan baik dalam perkhidmatan awam dan organisasi NGO, beliau tentu memiliki pandangan menarik mengenai masalah Mindanao. Beliau memiliki ijazah sarjana dalam Pengajian Islam dan Pendidikan du universiti di Filipina.
Sebenarnya, walaupun bukan sebagai peserta rasmi, saya menghadiri Persidangan Antarabangsa Transformasi, Sosial, Komuniti dan Pembangunan Lestari 2017 (ICSTCSD) yang dianjurkan oleh Fakuliti, Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia, antara lain bertujuan untuk bertemu dengan beliau. Persidangan itu dianjurkan bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) dan Institut Sains dan Teknologi Imus Filipina.
Sambil membuat liputan mengenai persidangan itu, hasrat saya untuk bertemu Prof Abhoud tidak kesampaian kerana saya hanya melihat kelibatnya dari jauh, dan melalui Dr Ayesah Abu Bakar, saya berpesan jika dapat bertemu Prof Abhoud jika berkesempatan.
Kesempatan itu hadir tanpa diduga dan saya terus mengajaknya minum petang di Aeza Cafe. Saya gunakan peluang itu untuk menemubualnya untuk mengetahui pandangannya  mengenai prospek kedamaian di Mindanao. Kebetulan beliau juga pernah menjadi panel perunding untuk Moro Islamic Liberation Front (MILF) dalam perundingan dengan Kerajaan Filipina.
Temubual dibuat dalam bahasa Inggeris dan diselangi dengan bahasa Iranun, kerana kebetulan Prof Abhoud Syed M Lingga dari suku bangsa Iranun yang dilahirkan di Zamboanga.  


Bangsamoro adalah istilah yang digunakan untuk pelbagai sukukaum atau etnik beragama Islam yang menentang penjajah Sepanyol di Selatan Filipina. Antara sukubangsa yang dikenali sebagai bangsamoro di Filipina ialah Maguindanao, Maranao, Iranun, Tausug, Yakan, Kagayan,Samal, Badjau, Kalibugan dan sebagainya.

Prof Abhoud Syed Lingga yakin bahawa memang terdapat masa depan yang cerah untuk perdamaian di Selatan Filipina. Menurutnya, konflik di Mindanao dan  mampu diselesaikan dengan baik jika semua pihak ikhlas dalam mencari penyelesaian mengenai konflik di Selatan Filipina.
Beliau gembira dapat menghadiri persidangan itu dan ikut memberikan pendapat mengenai kaedah untuk mencari persaman dalam menangani isu dan konflik secara aman.
Prof Abhoud berkata, masyarakat Islam masih menaruh harapan terhadap Manila untuk menghormati komitmen bagi penubuhan Kerajaan Bangsamoro.
Beliau berkata, ada pihak ketiga yang bertindak sebagai pemerhati  yang diketuai oleh Malaysia dan boleh melaporkan jika ada mana-mana pihak yang tidak mematuhi perjanjian yang dimeterai .

Pertemuan petang itu menjadi makin rancak apabila saudara Nelson Dino, seorang penulis, seniman, penyair, komposer, blogger, ikut serta. Kebetulan Pak Andhika BS, mantan Konsul di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu, yang sedang menyiapkan disertasinya untuk PhD di UMS juga datang menyertai kami. Pak Andhika pernah bertugas kira-kira empat tahun di Mindanao dan pernah bertindak sebagai moderator bagi panel perunding sama ada antara MNLF dengan Kerajaan Filipina dan kemudian antara MILF dengan Kerajaan Filipina.  Beliau memiliki pengalaman luas dalam bidang pengurusan konflik.


Suasana pertemuan itu memang agak santai. Prof Abhoud melihat konflik Mindanao dalam bingkai perjuangan dan penentangan rakyat Bangsamoro dari dominasi dan penjajahan terhadap masyarakat Islam di selatan Filipina.
“Konflik antara Kerajaan Filipina dan penduduk bangsamoro bermula tuntutan kerajaan terhadap kedaulatan dan tuntutan rakyat Bangsamoro untuk melaksanakan hak mereka untuk pemerintahan sendiri.
“Kita harus melihat persoalan ini dari perspektif berbeza. Rakyat Bangsamoro mahu melaksanakan hak mereka untuk kerajaan sendiri tetapi kerajaan pusat tidak membenarkannya. Mereka (Rakyat Bangsamoro) berusaha untuk menggunakan proses demokratik dan aman tetapi tidak berjaya. Apabila mereka menempuh perjuangan bersenjata untuk mempertahankan komuniti mereka dari serangan tentera, ramai yang terkorban dan harta benda musnah sama ada di pihak bangsamoro dan kerajaan.
Sebenarnya, konflik Mindanao ini adalah perjuangan rakyat bangsamoro untuk mempertahankan cara hidup mereka, kepercayaan dan maruah kedaulatan rakyat mereka dari dominasi pihak berkuasa, katanya.
Prof Abhoud menjelaskan pandangannya mengenai bingkai pemikiran bangsamoro dalam perjuangan untuk mendapatkan penyelesaian konflik yang berlarutan di Mindanao dan Sulu.
Sungguhpun, sudah lewat petang tetapi Prof Abhoud semua soalan yang diajukan dengan baik. Suaranya lembut dan santun tetapi kegigihannya untuk memperjuangkan penyelesaian mengenai pelbagai isu dan konflik di Selatan Filipina dalam pelbagai forum tempatan dan antarabangsa amatlah tinggi.
Beliau memberikan pelbagai pandangan ke arah tercapainya keamanan dan perdamaian yang berkekalan di selatan Filipina beserta dengan justifikasinya.
Pada sebelah malamnya, selepas acara persidangan itu, saya bersama Datu Jamaludin Moksan, seorang calon PhD di UMS yang mengkaji mengenai peranan Iranun dalam dunia maritim di Nusantara menemui Prof Abhoud sekali lagi. Kali ini cerita berkisar mengenai sejarah masyarakat Iranun sebagai wira samudera di Nusantara pada abad ke-18.



Namun Prof Abhoud memiliki pandangan lain mengenai teori kedatangan Iranun di Filipina dan Borneo. Baginya sukubangsa Iranun berasal dari Sumatera yang memiliki tamadun lebih awal. Hujah-hujahnya juga disertai pelbagai dalil yang boleh diterima.
Beliau juga menerangkan mengenai sosial budaya masyarakat Iranun yang terdapat di Filipina. Banyak hal menarik yang dibincangkan dengan Prof Abhoud Syed M Lingga Tapi malam sudah larut dan kami terpaksa menutup pertemuan itu dengan berjabat tangan dan harapan agar dapat berjumpa lagi di masa yang akan datang.

USTAZ KAZIM, SENTIASA BUAT YANG TERBAIK

Tags
USTAZ KAZIM, SENTIASA BUAT YANG TERBAIK
SIAPA yang tidak kenal Ustaz Kazim Elias? Mungkin hampir semua orang mengenali penceramah bebas yang popular ini. Setiap kali datang menjayakan program ceramah di Sabah, sambutan yang diberikan oleh masyarakat agak luar biasa. Ribuan orang datang,ada diantara mereka dari kalangan bukan Islam, yang tidak berganjak mendengar ceramah Datuk Ustaz Mohamad Kazim Elias yang disampaikannya secara santai, menghibur tapi berisi dan penuh makna.
Ustaz Kazim sering dijemput memberi ceramah di seluruh negara, Singapura dan Brunei dan sering menjadi ahli panel atau pensyarah di siaran-siaran televisyen dan radio serta ceramah perdana. Beliau pernah menjayakan program tv antaranya Al-Kuliyyah di TV3, Mursyid Dai Pendakwah Milenia Musim ke3, Ketua Mentor Dai Pendakwah Nusantara, Halaqah (TV9), Forum Perdana (TV1) Tanyalah Ustaz (TV9), Salam Ramadhan (TV1),Pencetus Ummah (Astro Oasis),Santai Bersama Datuk Kazim Elias.

Datuk Ustaz Mohamad Kazim bin Elias lahir di Kampung Paya, Batu Kurau, Selama, Perak pada 28 November 1972. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Tok Sajak Batu Kurau sebelum menyambung persekolahannya di Sekolah Kebangsaan Seri Besout Felda Gunung Besout, Sungkai. Kemudian beliau menyambung pelajaran menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Besout dan dilantik sebagai pengawas dan Ketua Pelajar.Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di Sekolah Agama Syubbaniah, Batu Kurau  walaupun lulus cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selepas tamat sekolah agama, beliau memasuki  Maahad Tahfiz Al Quran & Qiraat Negeri Perak di Masjid Negeri Perak sehingga mendapat Diploma Tahfiz Al Quran. Selepas itu, beliau bertugas sebagai guru Maahad Tahfiz Al Quran Addin, Tualang Sekah, Malim Nawar, Perak pada tahun 1993. Beliau juga adalah pensyarah di Pusat Perkhidmatan Keluarga Cawangan Negeri Perak dan kemudian dilantik sebagai pengarah bagi pusat kaunseling pada 1996. Beliau adalah pengasas dan pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah di Ipoh Perak.
Anak ke 7 dari 9 adik beradik ini dari pasangan Elias bin Che Mat dan Nazirah binti Ismail, guru agama sekolah di Batu Kurau. Kedua-dua datuk dan neneknya adalah guru agama di sekitar Batu Kurau awal tahun 1900.  Beliau adalah adik kepada Kapt (B) Dato Haji Mohd Najmuddin Elias dan ADUN Kubu Gajah , Larut, Ahmad Hasbullah Alias.
Beliau menerima Anugerah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2015. Beliau juga dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1437 Peringkat Negeri Perak pada tahun 2015.


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah Datuk Ustaz Mohamad Kazim Elias di salah sebuah premis di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Turut bersama dalam sesi temuramah itu ialah Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM ) Sabah, Haji Samin Ongki dan Penolong Pegawai Daerah Pitas, Haji Bakri Nanun. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Sejak bila Datuk Ustaz terlibat memberikan ceramah agama?
DATUK USTAZ MOHAMAD KAZIM ELIAS (DUKE): Saya terlibat dalam memberikan ceramah agama sejak di bangku sekolah lagi. Mulanya saya menggantikan guru saya yang tidak dapat menyampaikan ceramah kerana ada urusan tertentu. Lama kelamaan, saya menjadi terbiasa memberikan ceramah. Kebetulan keluarga kedua orang tua saya datang dari keluarga yang berlatar belakangkan agama. Datuk saya seorang pendidik. Nenek saya orang panggil Mak Guru.Arwah ibu saya  juga seorang guru agama. Saya belajar Al-Quran dari ibu saya. Ayah saya meninggal pada tahun 1973, sewaktu saya masih berusia lapan bulan.
UB: Dimana Datuk mula bersekolah?
DUKE: Saya mula bersekolah di Sekolah Rendah Tok Sajak, Batu Kurau Perak. Kemudian saya menyambung persekolahan  di Sekolah Kebangsaan Seri BesoutFelda Gunung Besout 1SungkaiPerak apabila ibu saya  ditukarkan ke Sungkai.  Di sana juga saya menyambung pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Besout di Felda Gunung Besout 1.
UB: Selepas itu, dimana Datuk melanjutkan pelajaran?
DUKE: Saya masuk  Sekolah Agama Syubbaniah Batu Kurau. Walaupun saya pelajar terbaik peperiksaan peperiksaan SPM, saya masuk sekolah agama, yang lain dari akademik,.
UB: Berapa usia datuk ketika itu?
DUKE: Umur saya ketika itu kira-kira 18 tahun. Saya terpaksa belajar bersama kanak-kanak berusia 9 hingga 11 tahun. Belajar bahasa Arab bersama mereka. Selepas tamat sekolah di sana,  pada tahun 1991,saya menyambung pelajaran di Maahad Tahfiz Al-Quran & Qiraat Negeri Perak di Masjid Negeri Perak sehingga mendapat Diploma Tahfiz Al-Quran. Saya pernah berguru dengan  Datuk Sheikh Mohd Nor Imam Besar Masjid Negeri Perak.
UB: Selepas tamat Maahad Tahfiz, dimana datuk bekerja?
DUKE: Selepas tamat Maahad Tahfiz, pada 1993, saya mengajar sebagai guru di  Maahad Tahfiz Al Quran Addin, Tualang Sekah, Malim Nawar, Perak .Saya juga dijemput sebagai pensyarah di Pusat Perkhidmatan Keluarga Cawangan Negeri Perak pada 1994. Kemudian saya dilantik sebagai Pengarah bagi pusat kaunseling itu pada tahun 1996, dan menjadi imam untuk Masjid Al-Aulia di Jalan Kuala Kangsar Ipoh sehingga tahun 2001.
UB: Kemudian?
DUKE: Saya menubuhkan pusat dakwah Sedaya Irham pada tahun 2001. Kemudian pada tahun 2005, saya menubuhkan Pusat Pendidikan Islam Al Barakah di Kampung Manjoi, Ipoh Perak.
UB: Saya lihat ceramah yang datuk sampaikan menggunakan pendekatan santai yang menghiburkan?
DUKE: Saya gunakan pendekatan santai tengok tempat. Kalau di sekolah, saya agak serius mengajar pelajar baca kitab.
UB: Datuk masih mengajar?
DUKE: Saya mengajar di sekolah, hari Isnin hingga Khamis. Ketika mengajar di sekolah, saya agak serius. Tetapi saya gunakan pendekatan yang santai, komedi yang sifatnya menghibur, jika berhadapan dengan hadirin atau pendengar dari pelbagai lapisan masyarakat. Kadang-kadang ada ibu-ibu sanggup datang dari jauh, bawa anak-anak mendengar ceramah,saya sampaikan mesej dan gunakan pendekatan  yang menghibur.
UB:  Biasanya apa topik yang datuk sampaikan?
DUKE: Biasanya topik  berkaitan dengan institusi kekeluargaan, motivasi,  dan sebagainya. Saya tekan konsep akhlak, penyatuan bangsa dan negara. Ceramah saya juga dihadiri oleh kalangan bukan Islam.Orang bukan Islam pun datang dengar ceramah, tengok dalam tv, menonton ceramah yang saya sampaikan. Jadi ceramah saya berkisar soal keindahan Islam, Islam sesuatu yang mudah, Islam tidak bermusuh dan tidak menggalakkan permusuhan. Mat rempit, mat rock juga datang dengar ceramah. Kita tonjolkan keindahan Islam. Penampilan saya pun mudah didekati, orang tak segan nak tegur.
UB: Kalau di Sabah ni, dimana Ustaz pernah mengadakan ceramah?
DUKE: Kalau tempat yang belum pergi, antaranya Kota Marudu, Ranau, Pulau Sebatik, Pulau Banggi. Tempat lain dah pergi.
UB: Bagaimana sambutan masyarakat Islam di Sabah?
DUKE: Sambutan masyarakat Islam di Sabah luar biasa. Di Tawau, berpuluh ribu orang datang.Begitu juga di Semporna, Sandakan. Sokongan Kerajaan Sabah dibawah kepimpinan Tan Sri Musa Haji Aman amat baik.Sambutan dan kerjasama serta sokongan pemimpin-pemimpin Sabah juga sangat baik. Pengarah Yadim,(Haji Samin Ongki) dah bawa saya pusing keliling satu Sabah.
UB: Apa yang datuk dapat lihat di Sabah?
DUKE: Saya selalu sebut  Sabah  sebagai satu contoh. Semangat satu Malaysia ada di Sabah, tidak kira bangsa , suku kaum , mereka boleh bersatu.
Malah waktu program ceramah di Tambunan, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Seri Panglima Pairin Kitingan, Pegawai Daerah Tambunan yang bukan Islam pun datang.Mereka tunggu sampai program habis. Di Sabah, masyarakatnya sangat harmoni.Hubungan kaum harmoni. Toleransi yang ada di Sabah, patut dicontohi.
Saya lihat juga kepelbagaian budaya di Sabah. Di Pitas lain, pergi ke Tawau lain. Masyarakatnya berbeza, banyak suku kaum. Di Pitas, masyarakatnya kebanyakan suku Sungai, Bajau, ada juga Brunei, Pemandangan juga berbeza. Ini yang menarik.
UB: Datuk ada masa lapang? Kalau ada masa lapang apa yang datuk lakukan?
DUKE: Masa lapang? saya tak ada masa lapang. Kalau ada masa lapang saya pergi sekolah . Kegemaran saya main badminton. Saya juga berjalan kaki ziarah hospital. Bawa pelajar ziarah hospital, buat kerja kemasyarakatan dan sebagainya.
UB: Oh ya, ramai yang ingin tahu bagaimana datuk pandai menyanyi banyak lagu?
DUKE:  Bapa tiri suka pasang piring hitam. Beliau selalu pasang piring hitam, bila pulang dari menoreh getah. Itulah sebabnya lagu lagu lama saya hafal, lagu lagu hindustan, lagu-lagu Tan Sri P.Ramlee. Ayah saya meninggal dunia pada tahun 1973, iaitu ketika saya berusia lapan bulan. Mak saya kahwin semula  pada tahun 1977, waktu saya berusia lima tahun. Jadi sejak kecil lagi, saya memang biasa dengar lagu-lagu lama,menyebabkan saya boleh hafal semua lagu. Bapa tiri saya, Abu Osman Ludin seorang sangat baik. Beliau tak pernah pukul  saya. Tak pernah marah saya, malah  tak pernah cubit saya.
UB: Datuk anak keberapa dalam keluarga?
DUKE: Saya anak ketujuh dari sembilan adik beradik,ada dua adik saya lain bapa.
UB: Apa cita-cita datuk ketika kecil dahulu?
DUKE: Cita-cita masa kanak-kanak sekejap nak jadi polis, sekejap nak jadi tentera, sekejap nak jadi cikgu. Masa kanak-kanak biasalah.
UB: Pernah terfikir nak jadi penceramah?
DUKE:  Masa kecil dah jadi anak yatim.Tak ada kawan banyak. Lebih banyak duduk di rumah. Pendiam, takut, malas. Masa tingkatan empat, tingkatan lima, masih tak keluar rumah. Itu sebab bila saya beri ceramah, keluarga saya terkejut kerana mereka tahu waktu kecil saya tak cakap dengan orang. Tiba-tiba jadi penceramah.Keluarga saya terkejut.
UB: Siapa yang beri inspirasi jadi penceramah?
DUKE: Saya nampak abang saya Kapt (B) Datuk Haji Najmuddin Elias masuk dalam Tv Program Siaran Langsung Maal Hijrah. Saya fikir nak masuk juga dalam tv dan boleh berceramah seperti abang saya.
UB: Dalam ceramah-ceramah, datuk selalu selitkan dialog dalam cerita P Ramlee. Mana satu filem P Ramlee yang paling datuk sukai?
DUKE: Filem yang saya suka ialah Filem Semerah Padi. Yang paling saya tak suka ialah Filem Ibu Mertuaku, janganlah jadi macam tu, wataknya lemah sangat kerana cinta.
UB: Apa pesan datuk kepada penceramah muda?
DUKE: Dalam hidup ini, kita jangan sombong.Saya sendiri suka bersembang dan bergaul dengan orang, ini yang saya jadikan modal ceramah saya.

UB: Siapa yang paling berpengaruh dalam hidup Datuk?
DUKE: Arwah ibu saya.
UB: Apa pesan ibu yang datuk paling ingat?
DUKE: Ibu saya pesan, buat yang terbaik, buat kerja yang terbaik, sama ada orang suka tak suka, buat kerja yang terbaik.

PERCAKAPAN DENGAN NELDY DAN CHRIS GALLEGOS MENGENAI BAHASA

Tags
PERCAKAPAN DENGAN NELDY DAN CHRIS GALLEGOS MENGENAI BAHASA

Banyak perkara menarik yang menjadi topik perbincangan kami ketika dikunjungi Chris Gallegos, rakan kami dari Quezon City Manila. Bersama pasangannya Emm Austria, beliau bercuti di  Kota Kinabalu untuk merasakan betapa cantiknya pantai di Pulau Manukan dan betapa segar dan dinginnya angin di Kundasang. Chris adalah rakan kami yang ikut serta  dalam Media Fam Trip South East Asia 2015 selama 10 hari di Indonesia bersama lebih 30 wartawan lain dari Malaysia, Singapura, Thailand dan Kemboja.
Salah satu yang mungkin boleh dikongsikan ialah persamaan perkataan yang terdapat dalam bahasa Melayu dan bahasa Tagalog, atau nama rasminya Filipino, bahasa rasmi di Filipina disamping bahasa Inggeris. Bahasa Tagalog tergolong dalam keluarga bahasa Austronesia.
Sambil menikmati makan malam di Pasar Malam Ikan Todak, kami bercerita mengenai keunikan dan persamaan perkataan antara bahasa Melayu dan bahasa  Tagalog. Kebetulan sahabat saya, Neldy mahir bahasa Tagalog kerana pernah kuliah selama tujuh tahun  di Mindanao State University (MSU) di Marawi City. Neldy bukan saja pengkaji bahasa, kelulusannya adalah dalam bidang perhutanan, botani, pernah menjadi pensyarah di universiti, seorang penyair, komposer, pelakon, bloggers dan kini menyiapkan kajian sarjana di Universiti Malaysia Sabah mengenai ukiran atau Ukkil Suluk.
Melalui pengetahuannya yang kaya dalam bahasa itulah, kami dapat membandingkan antara bahasa Melayu dan bahasa Filipino atau  Tagalog.
Ada perkataan "dalamhati" dalam bahasa Tagalog, ada frasa "dalam hati" dalam bahasa Melayu tetapi pengertiannya tidak sama.Pengertian `dalamhati' dieja satu perkataan dalam bahasa Tagalog ialah berduka atau kecewa. Bagi kita, dalam hati bermaksid sesuatu yang tidak dizahirkan atau tidak diucapkan, sesuatu yang hanya dipendam dalam fikiran dan perasaan, tidak diluahkan.
Perkataan "Indah" bagi kita tentulah membawa makna cantik, molek, elok dan sebagainya. Tetapi dalam bahasa Tagalog, indah bermaksud tidak diendahkan atau tidak dipedulikan.
"Duka" dalam bahasa Melayu maksudnya perasaan yang susah dan sedih. Dalam bahasa Tagalog, duka bermakna orang miskin. Kalau kita melihat orang miskin tentulah kita turut berduka apatah lagi jika tidak dapat membantunya.
"Sulit" dalam bahasa Melayu bermakna dirahsiakan sukar, gawat atau rumit tetapi dalam bahasa Tagalog , ia bermakna berbaloi.
Satu lagi perkataan iaitu " buntut'. Dalam bahasa Tagalog, ia bermakna ekor binatang tapi dalam bahasa melayu, ia adalah bahagian badan di antara belakang dan kaki atau punggung. Perkataan itu selalu kita gunakan dengan penambahan seperti membuntuti, mengekori dan sebagainya.
"Kulit" dalam bahasa Melayu bermakna tisu nipis yang membaluti tubuh atau bahagian luar yang membaluti isi buah, bahagian di sebelah luar dan sebagainya. Namun dalam bahasa Tagalog, kulit maksudnya mengusik.
Neldy menambahkan, "Bintang" dalam bahasa tagalog bermakna tuduhan, bagi kita bintang bermakna salah satu cakerawala yang beribu-ribu banyaknya mengeluarkan cahaya berkelip kelip di langit pada waktu malam.
"Batas" dalam bahasa Tagalog bermakna undang-undang tetapi dalam bahasa  Melayu "Batas"  bermaksud had atau paras sesuatu yang paling tinggi, garis pinggir sesuatu  bidang, hingga, sampai dan sebagainya.
Persamaan perkataan dalam bahasa Melayu dan Tagalog ini, walaupun kadang-kadang  lain maknanya tidaklah menghairankan, kami memberitahu Chris. Bahkan Jose Rizal, pahlawan yang terkenal di Filipina itu  selalu disebut sebagai " pride of the Malay race"
Percakapan kami  berlanjut dengan menikmati kopi tenom sambil melihat suasana malam di Jesselton Point sebelum menyedari w

BERJUANG JANGAN SETENGAH-SETENGAH, KATA PAK DUBES

Tags
BERJUANG JANGAN SETENGAH-SETENGAH, KATA PAK DUBES

KERJA keras dan sikap tidak mahu kalah, memberikan banyak kelebihan  kepada Rusdi Kirana, orang yang dahulu bercita-cita hanya untuk menjadi pencuci piring, tetapi kemudian berjaya menjadi  salah seorang jutawan terkemuka di Indonesia. “Bagi saya, hanya soal hidup atau mati. Lebih baik mati daripada menderita, kalau mahu hidup, jadikan hidup berhasil atau berjaya,” katanya. Kini beliau adalah  Duta Besar Luar Biasa dan Berkuasa Penuh Republik Indonesia di Malaysia.. “Saya beritahu anak-anak sekolah SD di SIKK, live or die, jangan setengah-setengah. Kita punya hidup Tuhan yang tentukan. Kalau tak mahu kerja, Tuhan tak mahu kasih kerana lu malas...” katanya.
Rusdi Kirana S.E, lahir di Cirebon pada 17 Ogos 1963. Beliau lulus Sarjana Ekonomi dari Fakultas Ekonomi, Universitas Pancasila Jakarta. Beliau pernah menjadi penjual mesin taip, penjual tiket, mendirikan agensi pelancongan, Lion Tour pada 1990, dan kini menjadi usahawan berjaya selepas menubuhkan Lion Air, syarikat penerbangan murah dan kini mempunyai banyak anak syarikatseperti Lion Air, Wings Air, Batik Air, Malindo Air. Beliau menempati tangga ke-17 sebagai  salah satu orang terkaya di Indonesia versi Majalah Forbes pada 2016. Beliau juga pernah menjadi Wakil Ketua Umum PKB,2014-2019 dan Anggota Dewan Pertimbangan Presiden, 2014-2019.

Walaupun bergelar jutawan dan kini menjawat jawatan Duta Besar Luar Biasa dan Berkuasa Penuh RI untuk Malaysia sejak 18 Mei 2017, Pak Rusdi Kirana tetap dengan kesederhanaannya. Beliau sering memakai potongan kemeja putih dan celana hitam. Wartawan Utusan Borneo, Abd.Naddin Haji Shaiddin sempat mewawancara beliau di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu selepas melakukan lawatan ke Sabah tidak berapa lama dulu. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang pak Dubes?
DUBES: Sebenarnya saya lahir bukan sebagai anak orang kaya. Saya berusaha dari nol atau kosong. Hidup saya miskin. Malah cinta saya pernah ditolak hanya kerana tidak memiliki sepatu puma.
UB: Apa kerjaya Pak Dubes sebelum menjadi usahawan?
DUBES: Saya memulai karier sebagai penjual mesin tik (mesin taip) jenama Brothers. Saya fikir hanya dengan menjalankan bisnis , kita baru mendapatkan kehidupan yang lebih baik terutamanya dalam soal kewangan. Waktu itu, mesin tik (mesin taip) masih popular lagi.
Tapi saya fikir, saya harus berkembang lebih baik lagi. Setelah berfikir, saya kemudian mencari peluang bisnis sebagai agen biro perjalanan.Kemudian saya membuka perniagaan sebagai agen menjual tiket pesawat di Bandara Soekarno Hatta  pada tahun 1990.


UB: Apa cita-cita Pak Dubes dulu?
DUBES: Saya mahu ke Amerika , kerja sebagai pencuci piring atau pemetik buah epal. Tapi saya tidak bisa masuk kerana masalah visa.
UB: Boleh ceritakan sedikit bagaimana pak Dubes terlibat dalam perniagaan dalam bidang penerbangan?
DUBES:Pada Jun tahun 2000, saya ke Rusia menyewa sebuah pesawat dari Rusia. Itulah awal mulanya saya terlibat dalam dunia penerbangan. Ketika Lion Air pertama kali muncul pada tahun 2000 itu, istilah penerbangan kadar tambang murah (low-cost carrier) masih asing di teling orang. Waktu itu, yang boleh naik pesawat adalah orang yang berduit dan punya wang.Masyarakat menengah ke bawah hanya kenderaan seperti bas dan keretapi jika berpergiaan ke kota lain. Harga tiket pun  masih tinggi. Tapi di Lion Air kami punya motto ialah We Make People Fly, semua orang bisa terbang.
Di peringkat awal, banyak yang menhyatakan langkah kami membangun syarikat penerbangan, bukan pilihan yang terbaik dan sukar bertahan lama. Ekonomi Indonesia ketika itu juga bergejolak. Namun kami tetap yakin, walaupun kondisi perekonomian kurang baik, kami mampu bertahan.Itulah tantangan besar. Tapi kami membuktikan sebaliknya. Dengan mengusung konsep penerbangan biaya murah, kami membangun kepercayaan dari pengguna di Indonesia. Dengan kondisi perusahaan yang semakin baik, kami berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan menambahkan lagi kuantiti pesawat dengan membeli pesawat baru walaupun ekonomi global belum stabil.
Hanya dalam masa lima tahun, Lion menjadi syarikat penerbangan terlaris selepas Garuda.  Pada tahun 2013,Lion Air menjadi syarikat penerbangan nombor satu dari segi jumlah penumpang yang diangkut.
Sebenarnya ketika menceburi perniagaan dalam bidang penerbangan, saya sebenarnya belum pernah punya pengalaman. Pengalaman saya hanya dalam bidang ticketing.Tapi ini tidak mem buat saya gentar. Saya tetap yakin punya peluang dalam bisnis penerbangan. Kini Lion Air mengangkut kira-kira 9.5 juta penumpang ke 160 bandaraya di seluruh dunia.
窗体顶端






UB: Dari dunia usahawan, apa yang membuat pak Dubes memilih untuk menjadi Duta Besar?
DUBES: Sebenarnya saya sendiri yang meminta dipilih sebagai Duta Besar khusus untuk Malaysia.
DUBES: Sebenarnya saya sendiri yang meminta kepada Presiden Joko Widodo untuk menjadi Duta Besar. Saya mohon kepada Pak Presiden untuk menjadi duta besar khusus Malaysia.
UB: Mengapa Malaysia?
DUBES: Terus terang,saya didorong keinginan untuk menyumbangkan bakti bagi memperbaiki kondisi Tenaga Kerja Indonesia di Malaysia.Saya terpanggil untuk mengurus masalah bukan saja TKI ilegal namun tenaga kerja wanita di Malaysia. Tidak  ada keluarga yang mahu anaknya jadi pembantu.
 Saya ingin membantu Warga Negara Indonesia terutamanya yang bekerja di Malaysia untuk memiliki keterampilan yang memadai. Bila mereka sudah kembali ke Indonesia, mereka tidak terfikir lagi untuk kembali ke Malaysia kerana mereka memiliki kemahiran dan ketrampilan sehingga mereka boleh mengembangkan usaha atau perniagaan di Indonesia. Kita cuba untuk melatih mereka dan ckita akan membuka kolej agar mereka dapat bersekolah dan tempat latihan agar mereka memiliki ketrampilan.Kita akan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memberikan peluang dan latihan kejuruan kepada pekerja Indonesia.Tujuannya tenaga kerja Indonesia yang berada di Malaysia memiliki kemampuan kerja yang baik.
Kita memiliki banyak tenaga kerja Indonesia di Malaysia yang perlu dibantu. Itu salah satu sebab saya memilih untuk menjadi duta besar di Malaysia. Lebih baik berada di Malaysia untuk dapat membantu mereka.
UB: Apa cita-cita Pak Dubes dulu?
DUBES: Saya mahu ke Amerika , kerja sebagai pencuci piring atau pemetik buah epal. Tapi saya tidak bisa masuk kerana masalah visa.
UB: Apa hobi pak Dubes?
DUBES: Saya tidak punya hobi. Saya tidak main golf. Hobi saya kerja. Kalau tiada kerja, saya malah jadi bingung.
UB: Apa impian Pak Dubes dalam hidup ini?
DUBES: Impian saya ialah melihat anak saya menjadi orang yang berguna.
UB: Dalam kunjungan ke Sabah, Pak Dubes sempat berkunjung ke Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK).Apa kira-kira pesan Pak Dubes kepada mereka?
DUBES:“ Saya beritahu kita mesti berjuang. Saya beritahu anak-anak sekolah SD di SIKK, live or die, jangan setengah-setengah. Kita punya hidup Tuhan yang tentukan. Kalau tak mahu kerja, Tuhan tak mahu kasih kerana lu malas...”  
UB: Apa nasihat pak Dubes kepada pembaca?
DUBES: Jangan biarkan orang lain meremehkan kamu. Meskipun orang itu adalah teman wanita kamu. Jangan benarkan mereka memandang rendah kepada kita. Kita harus kerja keras dan berusaha bahawa kita juga mampu berhasil dan berjaya.

DEDDY M BORHAN, BESAR JASANYA DALAM INDUSTRI FILEM TANAHAIR

Tags
DEDDY M BORHAN,  BESAR JASANYA DALAM  INDUSTRI FILEM TANAHAIR 

KETIKA industri perfileman negara memasuki zaman kemerosotan,  Deddy M Borhan muncul sebagai penyelamat. Walaupun kurang  berpengalaman, beliau memberanikan diri menceburi bidang perfileman dengan menubuhkan syarikat Sabah Film Productions di Kuala Lumpur pada tahun 1975. Melalui syarikat itu, industri filem tempatan mulai menggeliat dan bangkit semula  pada pertengahan 1970-an dan 1980-an selepas era kegemilangan Studio Malay Film Production dan Cathay Keris Filem yang berpusat di Singapura. Beliau adalah tokoh penting yang memberikan nafas kepada industri filem yang tercungap-cungap bersaing dengan filem filem asing yang menguasai pawagam tempatan. Sumbangannya amat besar dalam menghidupkan semangat dunia perfileman Melayu.




Datuk Deddy M Borhan atau nama sebenarnya Maddin Borhan dilahirkan di Tuaran, Sabah pada 26 Februari 1944. Beliau mendapat pendidikaan awal di Goverment Primary School (GPS) Tuaran sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Sabah College, kini dikenali sebagai Maktab Sabah.  Selepas tamat persekolahan pada 1964, M Borhan menerima tawaran kerja sebagai kerani di Pejabat Daerah Tuaran pada tahun 1965. Tahun berikutnya, beliau ditukarkan ke Bahagian Akaun Ibu Pejabat Polis Kepayan. Selepas beberapa  bulan bertugas di situ, beliau dipindahkan ke Pejabat Daerah Tenom, sebagai kerani akaun. Pada tahun 1967, beliau bertugas semula di Kota Kinabalu sebagai Pegawai Eksekutif di Jabatan Hasil Bumi  sehingga dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif Tinggi. Selepas itu, beliau berhenti untuk menceburi bidang perniagaan sebagai pembekal  alat ganti kenderaan,membuka bengkel kereta dan  membuka agensi perjalanan. Namun demikian, M Borhan memilih bidang perfileman untuk memenuhi minatnya yang mendalam dalam bidang itu. Sepanjang  pembabitan beliau dalam bidang perfileman, beliau pernah menerbitkan 18 filem yang berjaya menarik minat penonton. Beliau bukan saja seorang penerbit filem, pelakon, pengarah filem, pemuzik, pencipta lagu dan penyanyi. Malah M.Borhan adalah pengasas dan presiden pertama Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanahair (PAPITA) pada tahun 1977.
Atas sumbangan jasa baktinya, Deddy M Borhan dianugerahkan Tokoh Perfileman Finas pada tahun 2006. Beliau juga menerima anugerah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk"  sempena Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah pada tahun 2016.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri mengenai  pengalaman beliau terlibat dalam bidang seni khususnya perfileman . Ikuti petikan wawancara bersama  Penasihat Industri Kreatif Sabah dan Sarawak ini:
UTUSAN BORNEO: Bagaimana awalnya Datuk terlibat dalam bidang seni?
DATUK DEDDY M BORHAN:  Saya meminati bidang seni sejak berada di bangku sekolah. Sauya minat muzik. Saya juga boleh bermain clarinet, saxophone, drum,biola dan juga menyanyi. Di sekolah kami menubuhkan kumpulan kugiran. Malah ketika bersekolah di Sabah College, kami sering mendapat undangan menyanyi di majlis-majlis keramaian dan jemputan menyanyi di RTM.Ketika itu saya selalu mendapat jemputan menyanyi bersama MY Ahmad, Tan Sri RM Jasni dan pernah dibayar sebanyak RM8.00 sahaja masa itu.
Ketika berkhidmat dengan kerajaan, mungkin kerana bakat menyanyi yang ada, saya pernah membuat persembahan di Kudat atas jemputan Ketua Menteri Sabah masa itu, Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha. Saya ingat masa itu, belum ada jalan yang baik ke Kudat, jadi terpaksalah naik kapal laut 'Kimanis' yang cukup terkenal pada masa itu.
UB: Apa kerja datuk selepas tamat persekolahan?
DEDDY: Selepas tamat sekolah, saya mendapat tawaran kerja sebagai kerani di Pejabat Daerah Tuaran pada tahun 1965. Tidak lama kemudian, saya ditukarkan ke Bahagian Akaun Ibu Pejabat Polis Kepayan. Tidak sampai setahun, saya dihantar bertugas sebagai kerani di Pejabat Daerah Tenom pada 1966. Selepas itu, saya berkhidmat sebagai Pegawai Eksekutif di Jabatan Hasil Bumi   pada 1967. Selepas itu, saya  berhenti kerja untuk menceburi bidang perniagaan sebagai pembekal  alat ganti kenderaan,membuka bengkel kereta dan  membuka agensi perjalanan.

UB: Boleh ceritakan suasana dunia perfileman ketika itu?
DEDDY: Dunia perfileman tempatan pada awal dan pertengahan 60-an  sudah memasuki masa suram.  Filem-filem tempatan menerima saingan hebat dari filem-filem luar seperti filem Indonesia. Pawagam-pawagam di Sabah menayangkan filem Cathay Kris dan filem luar yang lain. Malah ramai artis dari Singapura yang datang ke Sabah membuat persembahan.  Menteri Kewangan Sabah masa itu, Datuk Salleh Sulong sering mengundang artis-artis dari Singapura. Saya pula memang biasa dengan Datuk Salleh Sulong dan selalu berkunjung ke rumahnya,sekadar untuk bersembang dan sebagainya. Suatu hari, saya bertemu Datuk Aziz Sattar di rumah Datuk Salleh Sulong. Di situlah kami berkenalan. Dalam pertemuan demi pertemuan yang diadakan, Kemudian timbul idea untuk membeli saham dalam PERFIMA. Datuk Salleh Sulong berhasrat membeli saham bernilai RM500,000 dalam Perfima dengan syarat menguasai kepentingan sebanyak  51 peratus. Namun demikian HM Shah tidak bersetuju.  Ketika di Kuala Lumpur, P Ramlee cuba menghubungi Datuk HM Shah tetapi tidak diangkat walaupun didail berkali-kali. Kami menunggu hingga larut malam  tetapi HM Shah tidak ada jawapan. Jam 1.00 pagi kami balikla.hMungkin beliau  takut kehilangan kuasa dalam dalam Perfima, Akhirnya hasrat itu tidak tertunai dan Allahyarham Datuk Salleh Sulong tidak mahu terlibat lagi.
UB: Selepas itu, apa yang datuk lakukan?
DEDDY: Walaupun hasrat tersebut gagal tetapi tidak mematahkan semangat saya. Akhirnya saya membulatkan tekad menubuhkan Sabah Film Production pada tahun 1971 walaupun saya tidak pengalaman dalam filem. Saya yakin pelaburan dalam bidang perniagaan filem  boleh membantu memajukan filem tempatan. Saya mendapat khidmat nasihat dari Aziz Sattar.
UB: Bagaimana datuk mulai minat dalam filem?
DEDDY:Sejak kecil saya memang minat Filem Tan Sri  P.Ramlee.Adakalanya filem filemnya yang ditayangkan di panggung wayang di Tuaran, saya tonton empat lima kali. Harga tiket masa itu antara 30 sen hingga 50 sen. Dengan harga tiket itu saya boleh menonton di kelas kambing. Duduk paling depan. Itu sebabnya saya dapat menghafal dan menyanyikan lagu-lagu P.Ramlee.
UB: Pernah jumpa Tan Sri P Ramlee?
DEDDY: Saya pernah bertemu sekali saja dengan Tan Sri P.Ramlee di Shah Motel bersama Datuk Salleh Sulong. Itulah saja pertemuan kami. Masa itu, P Ramlee sudah di Kuala Lumpur.
UB: Selepas menubuhkan Sabah Film Production, apa filem pertama yang dikeluarkan?
DEDDY: Filem pertama yang kami terbitkan ialah Keluarga Comat. Saya minta Aziz Sattar untuk jadi pengarah. Saya tanya "Abang Aziz boleh arah buat filem kan? Lama dia tidak menjawab, Katanya dia tidak mempunyai pengalaman.  Abang Aziz boleh arah? Aziz jawab saya cuba-cuba.Selepas itu kami beli peralatan filem dari Hongkong.  . Abang Aziz yang  tulis skrip dan arahkan.Awalnya memang Aziz gusar memikul tanggungjawab itu kerana pengalamanya mengarah tidak begitu banyak.Saya katakan padanya, tidak apa, tulis dulu skrip dan saya akan uruskan hal lain seperti membeli peralatan kamera, cari jurukamera dan krew filem yang lain.Selepas itu kami beli peralatan filem dari Hongkong.  Saya bawa Oscar Bakar Ali beli peralatan filem, kamera filem kerana dia yang paling tahu soal kamera.
Dalam filem Keluarga Si Comat kami syuting di Singapura, Semenanjung dan Sabah. Filem ini mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan penonton.
Selepas kejayaan itu,  Sabah Filem menerbitkan Hapuslah Airmatamu, lakonan Broery Marantika yang ketika artis top di Indonesia, pelakon terbaik Indonesia, Christine Hakim dan Datuk Sharifah Aini, Penyanyi top Malaysia dan Latiif Ibrahim. Filem itu berjaya menjadi satu fenomena dalam Filem Malaysia masa itu. Hampir setiap rumah memiliki kasetnya.Setiap yang ada kereta, memiliki kaset Hapuslah Airmatamu.  Lagu-lagu menjadi siulan anak muda
UB: Apa kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika berada dalam industri filem?
DEDDY: Banyak juga. Salah satu filem yang mendapat sambutan hebat masa itu ialah filem Azura. Saya jadi pengarah.Kami buat syuting di Kundasang, Kuala Lumpur.  Pemandangan menarik, lagi pula lokasi syuting di Kundasang itu bagus untuk filem cinta. Filem Azura  menggandingkan penyanyi Jamal Abdillah, Ogy Ahmad Daud, A.Galak dan Maria Arshad.
 Dalam filem keluaran Sabah Film saya banyak memilih lokasi syuting di Sabah.  Kemudian saya mengarahkan filem Pendekar, saya buat syuting antaranya di Kota Belud.  Saya memujuk M Amin untuk berlakon. Antara pelakon yang terlibat pelakon Indonesia Farouk Afero, Teh Faridah dan Malik Selamat.
Satu lagi kenangan ialah filem Si Badul arahan Aziz Sattar  yang mendapat sambutan hangat, hingga ada peminat yang meninggal dunia ketika berebut tiket di Kelang. Nama AR Badul dan Allahyarham R Jaafar masa itu memang cukup popular. Filem itu menjadi box office dan kutipannya mencecah RM2 juta , satu jumlah yang cukup banyak jika dibandingkan dengan harga tiket masa itu.Filem itu bertahan selama 60 hari di panggung Coliseum dan 102 hari di Panggung P.Ramlee dan menjadi antara filem Melayu yang paling lama bertahan di pawagam.
UB: Berapa filem yang sempat diterbitkan sepanjang pembabitan dalam filem?
DEDDY: Selama kira-kira 15 tahun  dalam industri filem tanahair, Sabah Filem menerbitkan sebanyak 18 buah filem.Antaranya ialah Keluarga Si Chomat (1975) , Hapuslah Air Matamu (1976) Pendekar (1977),Gila-Gila, Kisah Seorang Biduan, Si Badol, Si Luncai dan Tuan Besar (1980),Sumpah Semerah Padi dan Toyol (1981) Bertunang (1982) Manis-Manis Sayang dan Mat Salleh Pahlawan Sabah (1983), Azura, Di Ambang Kasih, Pagar-Pagar Cinta dan Talaq (1984) Si Jantung Hati (1985).
UB: Apa pengalaman menarik ketika berlakon dalam filem?
DEDDY: Saya pernah naik kerbau. Naik tanpa pelana, hanya tarik ekornya. Saya juga pernah jatuh kerbau sampai sakit pinggang. Saya pernah buat 15 kali stunt untuk filem saya. Walaupun menjadi penerbit filem, Saya selalu bersama krew mengangkat kerusi, menyediakan set dan props, sistem tata cahaya, kamera, hinggalah sudut pengarahan.
UB: Masih ingin bergiat dalam filem? Apakah masih ada keupayaan untuk itu?
DEDDY:  Saya yakin masih bertenaga. Saya ingin membuat filem Pahlawan Mat Salleh. Saya mahu bikin baru dengan format baru. Saya mahu melahirkan filem epik yang besar mengenai Pahlawan Mat Salleh. Saya yakin dengan adanya teknologi terkini kita boleh melahirkan filem besar yang boleh diterima penggiat filem di peringkat global.  Dulu saya pernah mengeluarkan Filem Mat Salleh Pahlawan Sabah tapi saya kurang puas hati walaupun ia diterima peminat. Banyak kekurangan dalam filem itu, Kali ini kita buat filem yang lebih besar dan boleh bersaing di peringkat antarabangsa.