Jumaat, 20 April 2018

MELIHAT PENENUN BATIK DI GIANYAR

Tags

MELIHAT PENENUN BATIK DI GIANYAR

Rupa-rupanya di Pulau Bali pun ada orang yang membuat batik. “Saya fikir selama ini pembuat batik hanya di Pulau Jawa saja, padahal di sini pun ada batik juga,”, kata seorang pengunjung ketika kami melawat Bali Bidadari Batik, di Gianyar, pada hari ketiga kami berada di pulau itu.
Sebaik tiba di premis itu, penenun-penenun batik itu sibuk menyiapkan kain tenunan batik masing-masing. Rombongan Fam Trip Media dari Sabah dan Sarawak ke Bali itu, berpeluang melihat kerja-kerja membuat tenunan batik dari dekat.
Saya memerhatikan pembatik-pembatik itu begitu tekun dengan  kerja-kerja mereka. Banyak jenis batik Bali sedang disiapkan untuk memenuhi citarasa penggemar-gemar batik.
Wayan Sumartini, 40, dari Denpasar, adalah salah seorang pembatik yang sudah lama bekerja di Bali Bidadari. Menurutnya, Batik Bali memiliki keunikan yang tersendiri dan tidak sama dengan batik-batik keluaran dari tempat lain.
Wayan adalah salah seorang daripada 35 pekerja kilang dan galerri  batik itu. Mereka bekerja dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang.
“Kain tenunan ini biasanya sepanjang 75 meter. Ia boleh disiapkan selama kira-kira dua bulan. “Satu hari, dua meter,” kata Kade Ani, 25, seorang pembatik yang sudah lama bekerja di situ.
Kebanyakan pekerjanya terdiri daripada kalangan saudara mara, tetangga, kenalan dan rakan, kata Made Pon Mediani, pemilik sekaligus pengurus Bidadari Batik.
Made Pon mengakui beliau terilham untuk membuka galeri dari ayahnya sendiri, seorang pengukir kayu yang terkenal.
“Saya menceburi bidang ini kerana orang tua saya ada galeri, Orang tua saya pandai mengukir kayu di Kemenu,” katanya. Dari situlah beliau mendapat idea untuk membuat galeri batik.Kini galerinya semakin dikenali di seluruh dunia.
Sebelum itu, beliau sempat belajar menenun batik dari Solo,Jogjakarta dan Pekalongan. Kemudian beliau membuka galeri Batik di tempat kelahirannya dan kini galerinya yang terletak di Jalan WR Supratman, sering menjadi destinasi menarik untuk dikunjungi di kalangan pelancong pelbagai negara. Batik dijual dalam kadar harga yang berpatutan dan boleh dimiliki.
Kain batik di galeri itu dijual antara Rp100,000 (RM28.25) hingga Rp3juta (RM847.41) dari batik sutera halus.
Kebanyakan pembeli dari pelbagai negara termasuk Eropah dan negara Asia, katanya. Pembeli dari Indonesia kebanyakannya datang dari Jakarta atau Yogyakarta. Beliau memberitahu antara pakaian yang palin laris ialah pakaian lelaki.








Made Pon Mediani, ibu dua orang anak, seorang baru selesai dalam bidang perniagaan di Universitas Udayana dan seorang lagi masih di SMA berkata, pihak galeri juga memberikan latihan kepada mereka yang berminat.
“Kami tidak sekadar menjual batik,” kata Made Pon, tetapi kami juga memperlihatkan cara pembuatan batik.
“Ada juga dibuat kelas untuk belajar batik tapi waktunya tidak lama,” katanya. “Biasanya dua jam mereka lelah, capek duduk,” kata Made Pon.
Motif tenunan batik, adalah khas Bali. Antaranya, motif yang mirip bunga kemboja, namun bunganya lebih kecil dan beraneka warna. Selain itu, motof motif dari cerita epik ramayana, alam pulau bali dan sebagainya.
Katanya, pengunjung-pengunjung juga boleh memesan gambar lukisan untuk dilukis di kain batik pilihan mereka. Tetapi kerana waktu yang agak singkat, kami hanya sempat membeli pakaian batik yang sudah siap.
Batik Bali memiliki corak yang tersendiri dan agak berbeza dengan batik-batik dari tempat lain. Kini Bali Bidadari Batik adalah salah satu tempat yang harus dikunjungi jika berkunjung ke Pulau Bali.
Selain Batik, pelbagai jenis barangan cenderamata yang lain juga dijual di galeri itu.Selesai membeli beberapa batik dan kraftangan , kami meninggalkan Gianyar selepas mengucapkan sukseme atau terima kasih dalam bahasa bali untuk menuju destinasi lain pada hari itu.