Ahad, 27 Mei 2018

SEKADAR BERCERITA MENGENAI TIKUS

Tags
SEKADAR BERCERITA MENGENAI TIKUS

Apa yang harus kita buat untuk memecahkan persoalan tikus? Ini bukan pertanyaan saya sebaliknya pertanyaan Syed Hussein Alatas dalam sebuah simposium antarabangsa di Tokyo pada 1982. Saya hanya menulis ulang semula kerana tiba-tiba saya teringat persoalan mengenai tikus.
Apa yang harus kita buat? Mula-mula kita ada kesedaran mengenai Tikus. Ini bererti, masyarakat kita harus punya pemimpin-pemimpin yang mahu membenteras tikus hingga punah sama sekali.
SH Alatas kemudian memberikan sebuah contoh. Hasil pemerhatiannya sendiri. Jikalau tanaman diserang sedimikian rupa oleh tikus-tikus selama berpuluh tahun sebagai kejadian yang sentiasa terjadi, maka ia bererti bahawa kita memberikan kesempatan kepada tikus-tikus, kepada makhluk yang tamak, kepada perompak, perosak yang rakus, pekerja yang tak produktif yang didorong nafsu seksdan makanan, kebaikan dan giat dalam kegiatan kelobaan, untuk menghentikannya hanya dengan kekerasan.
Apa yang perlu dibangkitkan, kata SH Alatas adalah cita-cita kebajikan dan perasaan malu.Perasaan malu secara kolektif yang telah dibinasakan oleh tikus-tikus harus dihidupkan kembali dalam setiap usaha membangun dan memajukan masyarakat dan bangsa.
Kenapa Tikus?  Dalam lontara Bugis ada dinyatakan mengenai perihal tikus ini. Saya kutip dalam buku  Nilai Utama Kebudayaan Bugis oleh A Rahman Rahim. Tikus adalah binatang yang paling banyak menimbulkan kerosakan, lagi sangat menjengkelkan dan menjijikkan kelakukannya. Kerosakan yang ditimbulkannnya tidak hanya terbatas di sawah tetapi sampai padi itu disimpan di rumah, sampai selesai ditumbuk jadi beras dan sudah pula dimasak, tikus itu terus merosaknya. Nasi yang sudah dimakannya , dikencinginya pula..
Bukan itu saja, dinding dilubangi, lantas dari lubang itu binatang-binatang kecil yang lain mengambil kesempatan melakukan kerosakan dengan melalui kebocoran atau lubang itu.
Peti juga dapat dilubangi oleh Tikus. Kalau ia sudah masuk ke dalamnya, pakaian dan barang berharga lainnya akan dimakan dan dirosakkannya.Kebiasannya tidak boleh ditinggalkan maka sebelum keluar iapun berak dan kencing. Begitulah kerosakan yang ditimbulkan oleh Tikus.
Tikus adalah binatang yang tidak dikurnia perasaan malu dan akal fikiran. Saya terbaca catatan mengenai Lontara Bugis yang mengaitkan persoalan tikus ini dengan persoalan manusia yang tidak memliki kejujuran, kebijaksanaan, kepatutan, keteguhan dan usaha.
Persoalan mengenai tikus teryata tidak dapat saya rungkaikan. Saya tidak dapat menjawab pertanyaan SH Alatas mengenai apa yang kita harus buat untuk memecahkan persoalan tikus. Apa yang saya fikir ialah kita harus punya pemimpin-pemimpin yang mahu membenteras tikus hingga punah sama sekali.

Khamis, 24 Mei 2018

WAKTU TIDAK CUKUP DI GALERI DEWA PUTU TORIS

Tags
WAKTU TIDAK CUKUP DI GALERI DEWA PUTU TORIS

Kalau ada satu tempat yang membuat masa kunjungan kita ke Bali tidak mencukupi, ia adalah Dewa Putu Toris. Ketika rombongan Fam Trip Media Sabah dan Sarawak dibawa berkunjung ke tempat, saya masih belum tahu apa isinya di dalam, kecuali sebuah galeri lukisan.
Tetapi sebaik masuk ke dewan pameran, dan menyaksikan ribuan karya seni yang dipamerkan, kami tidak sedar betapa cepatnya masa berlalu.

Dewa Putu Toris terletak di Banjar Tengah, Batuan, Sukawati, Gianyar. Galeri itu menghimpunkan lukisan, puluhan ribu jumlahnya, hasil karya seramai 90 pelukis Indonesia, kebanyakannya berasal dari Bali sendiri.

Galeri itu dibuka oleh Dewa Made Puja pada tahun 1992. Tujuannya adalah untuk memberikan ruang kepada pengkarya untuk menterjemahkan idea mereka ke dalam kanvas.  Pelbagai jenis aliran lukisan dari moden, kamasan, naive, tradisional dan dekoratif, dipamerkan di galeri ituyu.

“Falsafah kami adalah membawa lukisan bali ke setiap rumah di seluruh dunia,” kata pemiliknya.
Walaupun tempoh yang diberikan agak singkat, saya cuba mengamati setiap lukisan, mesti tidak semuanya saya dapat hayati dan selami dengan baik.

Melalui lukisan-lukisan yang dipamerkan, saya dapat menyaksikan keindahan alam pulau Bali yang sudah menyihir pelancong asing sejak puluhan tahun. Saya melihat keindahan sawah padi yang menghijau, malah padi yang menguning dan petani-petani yang sedang sibuk menyemai padi. Saya dapat melihat kehidupan masyarakat Bali, yang unik dan masih mempertahankan budaya mereka.

Di tangan pelukis-pelukis yang melukis hampir semua aspek kehidupan di Bali membuat saya terpegun kagum melihat betapa telitinya mereka melukis setiap detail kehidupan ke dalam kanvas. Kehidupan masyarakat Bali sejak dahulu hinggalah sekarang menarik perhatian. Kehebatan pelukis yang menggunakan imiginasi mereka menggambarkan sedekat mungkin  Bali dan masyarakatnya sangat luar biasa. Mungkin kita jarang bertemu sebuah masyarakat yang sangat mencintai seni selain Bali.

Lukisan-lukisan itu yang dijual dari harga yang murah hingga yang termahal ratusan ribu dolar USD sentiasa menggamit pengunjung dari luar negara, tidak kurang juga pelancong domestik.







Mungkin ada yang tidak sempat berkunjung ke tempat-tempat tertentu  mereka boleh menyaksikan di Galeri Dewa  Putu Toris, salah satu galeri yang terkenal di Gianyar. Sebenarnya terlalu banyak galeri lukisan di sekitar Desa Batuan itu, tapi jika tidak sempat ke galeri lain, galeri Dewa Putu Toris mampu memberikan pengalaman yang istimewa buat pengunjungnya.

Studio galeri Dewa Putu Toris ini boleh dikatakan unik kerana ia menggabungkannya dengan konsep Rumah Tradisi Masyarakat Bali. Karya lukisan yang dijual juga adalah asli karya pelukis-pelukis Indonesia yang kebanyakannya berasal dari Bali.

Carilah apa jenis lukisan, dan apa aliran pelukisnya, semuanya ada di Dewa Putu Toris. Saya tidak sempat mengadakan banyak sesi temubual kecuali mengajukan pertanyaan-pertanyaan pende kerana perhatian saya lebih kepada lukisan-lukisan yang tergantung untuk pameran. Saya tercengang melihat betapa pelukis-pelukis itu, yang tidak sempat saya kenali, dapat menjiwai setiap karya yang mereka hasilkan. Malah ada lukisan yang boleh dikatakan moden dan berani, tetapi kita masih dapat menghayatinya dengan rasa seni.






 Sayang sekali kerana waktu yang diperuntukkan untuk kami berada di sana,terasa singkat sehingga kami nyaris ditinggalkan oleh rakan-rakan yang sudah lama menunggu dalam bas untuk meneruskan perjalanan ke destinasi yang selanjutnya, iaitu menikmati hdang Bebek Bengil di Jalan Hanoman Ubud. Menikmati masakan bebek atau itik yang sangat terkenal di Bali. Saya agak hairan juga mengapa makanan yang sedap itu disebut bebek bengil atau terjemahannya `dirty duck’. Percaya atau tidak percaya, restoran yang ditata rapi berhampiran sawah padi dengan suasana kampung, itu sangat menarik dan menggoda mulut untuk mengunyah apa saja untuk mengisi perut yang tiba-tiba lapar.

Ahad, 20 Mei 2018

YB HAJI UDA SULAI, JANJI BUAT YANG TERBAIK UNTUK PETAGAS

Tags


YB HAJI UDA SULAI, JANJI BUAT YANG TERBAIK UNTUK PETAGAS

BERUBAH tidak ada had umur.Kenapa saya hadkan diri saya jika saya memperjuangkan masa depan rakyat Sabah? Saya tidak mahu tunggu perubahan.I’m The Change, kata Ahli Dewan Undangan Negeri N18 Petagas, Haji Uda Sulai. Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang baru saja berlalu, beliau membuat kejutan apabila berjaya mengalahkan mantan  Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin yang menjadi wakil rakyat Petagas selama lebih 20 tahun. Kemenangan itu hadir pada ketika usianya 75 tahun. Dalam percubaan pertamanya kira-kira 20 tahun lalu, beliau kecundang di tangan Yahya tetapi kali ini beliau berjaya menumbangkan Yahya  ketika hampir semua orang tidak menyangka beliau mampu melakukannya. Dalam Pilihan raya Umum ke-14, Haji Uda memperolehi DUN Petagas apabila memperolehi sebanyak 6,526 undi mengalahkan mantan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin yang mendapat undi sebanyak 6,318 undi dan Ester Otion yang mendapat 760 undi.


“Ramai orang bertanya apa yang orang tua ini boleh bagi khidmat apabila menjadi wakil rakyat N18? Saya katakan pada mereka, tolong jangan pandang remeh semangat dan kebolehan saya menggerak perubahan. Meskipun  saya sudah lama bersara, tetapi saya tidak pernah berhenti berkhidmat melalui pelbagai NGO yang saya sertai. Kini saya diberikan amanah dan tanggungjawab untuk membela nasib rakyat. Saya akan laksanakan sebaik mungkin,” kata Haji Uda Sulai yang baru saja dilantik sebagai Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri dalam Kabinet Sabah yang baru saja dibentuk, Rabu lepas.

Haji Uda Sulai dilahirkan di Kampung Tekuli, Putatan pada tahun 1943. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Buit Hill Putatan hingga darjah lima. Kemudian  melanjutkan pelajaran di Sabah College (kini Maktab Sabah ) hingga Form 3 (Tingkatan Tiga). Selepas lulus LCE, beliau berhidmat di Jabatan Hutan Sandakan dari tahun 1961 hingga 1968, Biro Bahasa Jabatan Ketua Menteri (1968-1970), Penolong Pegawai Daerah Kota Marudu (1971-1974), Penolong Pegawai Daerah Kunak (Pertengahan 1974), Pegawai Daerah Semporna (1975-1976), Pegawai Daerah Lahad Datu (1977-1979). Selepas itu, beliau mengikuti Kursus Diploma di South Dewon Technical College, England dan sekembalinya dari sana, beliau ditukarkan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sehingga 1983. Kemudian, sekali lagi beliau ke England untuk melanjutkan pelajaran di Teeside University, Middlesbrough sehingga berjaya memperolehi BA dalam Social Studies. Haji Uda kemudian bertugas sebagai Pegawai Tadbir (Prinsipal Officer) di Jabatan Keretapi Negeri Sabah selama tiga tahun sebelum berpindah sebagai Senior Assistant Secretary di Kementerian Pembangunan Perindustrian. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dari tahun 1994 hingga 1996. Jawatan akhirnya sebelum bersara pada 1998  ialah Pegawai Daerah  Tuaran. Dalam kegiatan sukarela dan kemasyarakatan, Haji Uda mula melibatkan diri dalam NGO ketika usianya masih muda lagi.. Beliau pernah sebagai Ahli Persatuan Islam Putatan (PIP), pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi USIA, Penolong Setiausaha Agung USIA, Ketua Usia Bahagian Penampang, dan pernah menjadi Pengerusi Rukun Tetangga Pasir Putih, dan Penasihat Umum Jawatankuasa Masjid Nurul Iman Pasir Putih Putatan. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Hajah Naimah Sabin dan dikurniakan lima cahayamata.



Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau pada Rabu lepas di rumahnya di Jalan Dembila Kera, Kampung Pasir Putatan. Sambil menikmati teh tarik dan kuih bumbai, beliau bercerita mengenai pengalamannya semasa berkempen, isu-isu yang diperjuangkannya dan perkara -perkara utama yang diperjuangkannya sebagai wakil rakyat. Ikuti petikan temubual bersama Haji Uda Sulai, ADUN Petagas yang baru saja dilantik sebagai Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri:

UTUSAN BORNEO: Apa perasaan YB terpilih sebagai waki rakyat bagi N18 Petagas?
YB HAJI UDA SULAI:Syukur alhamdulilah dengan izin Allah saya berjaya memenangi kerusi DUN N18 Petagas. Saya gembira dan rasa terharu dengan keputusan kemenangan saya, yang kebetulan dikecapi ketika usia saya 75 tahun. Saya ucapkan ribuan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh semua pengundi  yang membenarkan saya menggalas tugas mewakili mereka.
UB: Sejauhmana keyakinan YB untuk menggalas tugas yang diberikan ini?
YB: Ramai orang bertanya apa yang orang tua ini boleh bagi khidmat apa bila menjadi wakil rakyat N18. Saya katakan pada mereka, tolong jangan  pandang remeh semangat dan kebolehan saya menggerak perubahan. Selama ini, sejak bersara dalam perkhidmatan kerajaan kira-kira 20 tahun lalu, saya tidak pernah berhenti berkhidmat. Setelah bersara, saya masih menyumbang khidmat kerja kepada Persatuan USIA, RELA, Komunitu Masjid Putatan hingga sekarang. Bagi saya, saya tidak mahu tunggu perubahan. Im the change. Bagi saya, berubah tidak ada had umur. Kenapa perlu saya hadkan diri saya jika saya memperjuangkan masa depan rakyat Sabah. Itu sebab dalam kempen pilihanraya lepas, saya menyeru agar rakyat Sabah bangkit berubah.

UB: Boleh YB jelaskan sedikit mengenai perubahan yang perlu dibuat?
YB: Banyak perkara yang perlu perubahan. Bagi saya kita orang Sabah, sangat unik dengan pelbagai bangsa. Kita tahu orang Sabah adalah bangsa yang berani,, kita orang Sabah bangsa yang memang teguh bersatu. Itu sebab saya katakan kita tidak boleh menjadi pak turut.Kalau kita berpuakpuak , itu bukan bersatu namanya. Sabah boleh menjadi contoh perpaduan di kalangan rakyat. Di Sabah tidak ada masalah. Tapi kita lihat kerajaan yang lalu berbelanja dengan boros mempromosi 1 Malaysia, padahal kita orang Sabah atau umumnya di Borneo sudah lama bersatu. Kita tidak perlu slogan 1Malaysia untuk bersatu. Cuba lihat, dimana mana tempat di negeri Sabah, kita boleh duduk di kedai kopi, boleh ada makanan halal tersedia. Kita boleh duduk bersama bersembang pelbagai perkara. Kita lihat ada orang Cina pandai bercakap Bajau, Kadazan, Dusun, dan bangsa-bangsa lain pula pandai bercakap Cina. Kita orang Sabah sangat unik dengan pelbagai bangsa.

Walaupun kita lihat ada kemajuan, tetapi kebanyakan kemajuan pembangunan itu dimulakan oleh pihak swasta, seperti di Putatan.. Tanpa pihak swasta yang membuat pembangunan, apa yang BN buat. Kerajaan yang lalu mengambil masa 25 tahun untuk buat perasmian membina sekolah di Petagas,Ada rasmi pecah tanah tapi belum bina bangunan. Pihak  swasta berjaya membuat Giant, Servay, One Place Mall, Royal Plaza, Platinum dan sebagainya. Ini semua dirancang oleh pemaju Swasta tidak pun mengambil masa 25 tahun. Yang buat jalanraya masuk Kedai Putatan bukan BN tetapi developer.

Cuba kita lihat perbandingannya.Kita lihat keadaan jalanraya kampung yang masih sempit, parit tiada, jambatan kecil pun rosak, kontraktor yang dilantik pun buat kerja cincai,asal boleh claim . kontraktor buat kerja `asal buli claim’.
Apa ini semua? Inikah yang  kita mahu generasi akan datang dididik dengan mentaliti ‘asal buli  klaim?”


Kita berada di zaman berpelajaran,zaman berteknologi tinggi, era digital, semua mudah akses dan sebagainya
Jangan benarkan diri kita  diletak dibawah menjadi rakyat yang tidak ada integriti.

Saya selalu katakan dalam tagline,rakyat yang berpecah akan musnah dan kemusnahan itu akan menjadi racun paling berbisa sehingga kita tidak mampu bersatu menerajui perubahan. Bersatulah demi  negara bangsa dan ugama. Jom ubah Sabah. Perubahan yang perlu kita lakukan ialah kalau dulu kita berpecah, sekarang kita tidak boleh berpecah, tetapi kita mesti bersatu agar suara kita didengar dan kita kuat dan dapat memperjuangkan banyak kebaikan untuk rakyat.

UB: Apa antara perkara yang menjadi keutamaan YB untuk membela nasib rakyat di kawasan Petagas?
YB:Perkara utama yang diminta disuarakan oleh rakyat ialah masalah kemudahan prasana kesihatan seperti klinik. Kita lihat klinik kesihatan yang ada tidak mampu lagi menampung pesakit. Sepatutnya Klinik kesihatan yang  sudah dinaiktaraf sebagai sebuah hospital. Selain itu, sebagai sebuah daerah yang semakin berkembang, Putatan sepatutnya sudah memiliki Balai Bomba. Kita sudah lama memerlukan sebuah balai bomba. Kalau dikatakan masalah tanah,, saya fikir ia bukan alasan. Kita boleh cari jalan. Selain Balai Bomba, kita juga perlukan Pejabat Polis yang baru. Pejabat yang ada perlu dinaiktaraf.

Perkara lain yang perlu diberikan fokus ialah pembangunan sektor pelancongan termasuk mengenal pasti kawasan yang boleh dijadikan pusat peranginan.Kita akan majukan Daerah Putatan dan Petagas khasnya dengan memberikan tumpuan kepada pembangunan sektor pelancongan kerana ketika ini kawasan tersebut tidak mempunyai tempat peranginan yang mampu menarik kehadiran pelancong

Saya sedar bahawa saya memikul tanggungjawab besar, tapi saya punya perancangan tersendiri untuk membangunkan kawasan yang saya wakili.

Saya berazam akan membawa satu perubahan besar buat kawasan Petagas memandangkan kawasan ini  tidak jauh daripada Pusat Bandaraya Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

UB: Apa masalah lain yang dihadapi rakyat?
YB: Masalah perparitan yang kurang baik menyebabkan berlakunya banjir. Ini perkara asas yang perlu diiambil perhatian.  Sungai yang ada juga perlu dibersihkan bagi mengelakkan banjir.Ia perlu diatur dengan baik baik.

Kita harus beri keutamaan kepada kebajikan rakyat. Kita mesti pastikan penduduk boleh hidup dalam keadaan yang sejahtera dan baik.

UB: Oh ya, apa hobi YB di masa lapang?
YB: Jika ada masa lapang, saya suka menyiram bunga, memelihara ikan dan sebagainya.

UB: Pernah terfikir mahu jadi YB pada usia sebegini?
YB: Sebenarnya saya tidak pernah melobi untuk menjadi calon. Saya sedar diri saya sudah tua. Tetapi Presiden, Datuk Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjadi calon. Saya berterima kasih. Alhamdulillah, dalam pilihanraya kali ini saya dipiliih oleh rakyat untu mewakili mereka. Bagi saya kemenangan saya dalam pilihanraya ini adalah kehendak rakyat. Jika dihitung atas kertas,, peluang saya menang memang tipis tapi kerana kehendak rakyat, kemenangan berpihak kepada saya. Saya sangat berterima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya.





UB: Sebelum kita akhiri temubual ini, ada apa-apa yang YB ingin sampaikan?
YB: Syukur alhamdulilah dengan izin Allah saya berjaya memenangi kerusi DUN N18. Saya gembira dan rasa terharu dengan keputusan kemenangan saya pada usia saya 75 tahun.Saya ucapkan ribuan terima kash atas kepercayaan yang diberikan oleh semua pengundi  yang membenarkan saya menggalas tugas mewakil rakyat.Terima kasih kepada sahabat sahabat dan keluarga yang tidak putus putus memberi sokongan dengan iringan doa-dia kejayaan. Saya juga mengucapkan terima kasih semua anggota jentera parti, saya tabik kamu semua. Semua ketua-ketua PDM yang membanu dengan kerelaan tanpa penat, saya ucapkan ribuan terima kasih dan berdoa semoga Allah melindungi kamu.
Saya juga mengucapkan terima kasih kepada isteri saya yang sentiasa bersama dalam perjuangan ini, walaupun kita dah berumur. Kepada anak-anak dan cucu-cucu, terima kasih kerana menolong bapa untuk berjuang untuk rakyat, fighting for the voice of rakyat. Sahabat dan keluarga yang tidak putusutus memberi semangat dan ucap tahniah.Terima kasih.
Saya percaya dengan izin Allah, saya akan buat yang terbaik sebagai ADUN Petagas iaitu tempat kelahiran saya.

KUNJUNGAN KE BALI, PENGALAMAN YANG TIDAK DAPAT DILUPAKAN

Tags
KUNJUNGAN KE  BALI, PENGALAMAN YANG TIDAK DAPAT DILUPAKAN



Selepas empat hari berada di Bali, tibalah masanya untuk kami berangkat pulang. Sepanjang berada di pulau yang terkenal di seluruh dunia itu,Rombongan Fam Trip Media dari Sabah dan Sarawak dibawa melawat beberapa tempat seperti Pura Uluwatu dan menyaksikan tari Kecak, menyeberang dari Pantai Sanur ke Nusa Penida melihat Pasih Uug atau Angel Billabong, sempat pula ke Pantai Klingking. Kemudian ke Tanjong Benoa.Selepas itu, kami sempat dibawa berkunjung ke Pura Tirta Empul yang dibina sejak abad ke-10 lagi, serta berpeluang pula ke desa terbersih di dunia iaitu Desa Penglipuran.
Selain itu juga, rombongan berpeluang untuk merasai pengalaman safari malam melihat segala jenis binatang dan mergastua di Bali Safari. Pengalaman memegang kulit harimau dan singa, adalah satu pengalaman yang mungkin sukar terulang di tempat lain.





Tidak ada Bali yang lebih Bali dari Bali itu sendiri. Bali adalah sebuah pulau yang istimewa, yang walaupun sudah dikunjungi berkali kali tetapi tetap menyuguhkan pengalaman lain setiap kali kita ke sana.
Kali ini, rombongan juga yang menyertai program Fam Trip anjuran Kementerian Pariwisata dan Ekonomi Kreatif Republik Indonesia dan disokong oleh Assocation of The Indonesian Tours  & Travel Agencies (ASITA) ditempatkan di sebuah hotel enam bintang, The Trans Resort Hotel, di Jalan Sunset Road, Kerobokan, Bali Kuta, Indonesia.
Hotel ini adalah milik seorang pengusaha Muslim yang terkemuka di Indonesia, turut memiliki Trans Tv dan beberapa perniagaan lain. Lokasinya pun agak strategik iaitu tidak jauh dari Seminyak Square dan Pantai Legian. Kami sempat berbual dengan Pengurus Besarnya, Alexander Jovanovic yang sangat berpengalaman. Beliau memberikan pelbagai info mengenai hotel yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengunjungnya.
Pemerintah Indonesia memang giat memperkenalkan banyak tempat pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong ke Bali dan Bali-bali yang baru. Mereka sedang gigih mempromosi destinasi pelancongan yang baru.
Ketibaan pelancong ke Bali meningkat setiap tahun walaupun agak terjejas akibat letusan gunung Agung. Kebanyakan pelancong ke Bali masih didominasi pelancong dari Australia, China , Amerika,India dan negara-negara Eropah dan Asia. Selain destinasi yang sudah terkenal seperti Ubud, Tanah Lot, Sanur, banyak tempat lain yang menarik di sekitar Bali yang diperkenalkan sebagai destinasi baru yang perku dikunjungi.
Banyak yang dapat dipelajari dan pengetahuan yang diperolehi sepanjang kunjungan ke Bali kali ini. Sesungguhnya program Fam Trip yang disertai Media dan operator dan agensi pelancongan dari Sabah dan Sarawak mampu memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak dalam memajukan lagi industri pelancongan.


Pada hari terakhir di Bali, kami diraikan dalam satu majlisw jamuan makan malam bersama pengusaha-pengusaha pelancongan di Bali. Selain persembahan tarian, hadirin juga menyaksikan tayangan multimedia mengenai kehebatan Bali.
Selepas berkemas, kami berangkat pulang ke destinasi masing-masing  melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai.

DIALOG KANDALAYANG DAN IKAN TENGGIRI MENGENAI PEMIMPIN

Tags
DIALOG KANDALAYANG DAN IKAN TENGGIRI MENGENAI PEMIMPIN
Ada dialog menarik antara kandalayang ( ikan layar) dengan ikan tenggiri, dalam satu kisah darangen atau epik masyarakat Iranun di Kota Belud. Dialog ini terkandung dalam “Darangen a Seda” yang juga dikenal sebagai “Darangen a Kandalayang”, sejenis sastera lisan Iranun yang mengisahkan  seekor  ikan layaran atau kandalayang yang memerintah sebuah kerajaan laut bernama Bembaran. Kandalayang dikisahkan sebagai seorang pemerintah yang sangat sombong serta zalim kepada rakyatnya yang terdiri daripada ikan-ikan kecil. Pelbagai nasihat yang diberikan oleh jemaah menterinya yang terdiri daripada Tanggiri’ (ikan tenggiri) dan mamesa (Ikan putih) tidak dihiraukan oleh Kandalayang. Sikap angkuh dan tidak mendengar nasihat itu menyebabkan mereka terperangkap dan kecundang dalam sebuah lagun yang dikuasai orang laut.
Kisah `darangen a seda’ ini sangat menarik. Seperti diceritakan oleh Haji Asmah Haji Ibrahim dari Kampung Merabau, Kota Belud dan diterjemahkan seorang peneliti sastera rakyat Iranun, Mabulmaddin Haji Shaiddin, Kandalayang kerana kegagahan dan kehebatannya tidak mengendahkan nasihat yang diberikan kepadanya sehinggalah ia kalah tersungkur.
Begini nasihat Tanggiri kepada Kandalayang.
Aya den Datu’ aken;Si Kandalayang pembedtas tabung a pedtarapas;Na indud tanan su inged a iliyan a bembaran
Su alungan imantu, di’ ta den kasaba’an sa masirik a biala;Na si ta den kasaba’an manga raun a pandan;O nisayan sa ilis
(Aduhai ketuaku,Kandalayang yang perkasaMari kita berundur ke sempadan Bembaran,Kerana pada hari ini ;Katakan kita terlepas dari tebaran jala;Tapi kita akan terpesona pada daun-daun pandan;Yang (mereka lipat dan jadikan umpan) seakan akan ikan bilis).
Tanggiri memperingatkan kandalayang agar berundur buat seketika, kerana musuh mempunyai banyak muslihat. Meskipun mereka mungkin boleh terselamat dari tebaran jala, tetapi mereka masih boleh membuat daun-daun pandan yang boleh menyerupai ikan bilis,, yang jadi kegemaran kandalayang.
Apa Kata Kandalayang; “Kena ku ipeglalek,Masirik a biala manga raun a pandan,A inisayan sa ilis, kena’ku ipegkalek”
(Aku tak gentar pada tebaran jala,Atau daun pandan yang seolah-olah kelihatan seperti bilis,Aku tak pernah gentar).
Kandalayang bertempik bahawa apapun yang dilakukan, dia tak akan pernah takut. Walau bagaimanapun, Tanggiri tetap juga memberikan nasihat kepada pemimpin mereka, kandalayang  agar segera berundur.
Kadenan datu’ aken indud tanun sa inged;I tulung ta sa surat na ilaita sa rimaran;
Pun magayun su angka’ agu’ su kuta’ kudarat;Na sageda’-geda’ ku run da’ den a maka durat;Tuladanta pinidaya’ kulima sa pandi’an
(Aduahai pemimpinku, berundurlah ke negeri Bembaran;Kita baca catatan kita;kita rujuk kitab ramalan;Jika serasi angka dan kekuatan;Kukira tiadalah yang dapat menghalang;Untuk kita mendapat kemenangan).
Tanggiri mengatakan sebaikknya mereka berundur melihat segala catatan,, membaca segala tanda, merujuk kitab-kitab dan jika didapati, cukup jumlah dan kekuatan berbanding lawan, maka tidak ada lagi yang dapat menghalang untuk mereka mencipta kemenangan.
Namun Kandalayang tidak lagi percaya kepada kitab, atau catatan kerana catatan yang ada semuanya tidak boleh dipercayai.
Aden a surat bpamugkag ku surat;Aden den a rimaran bpagakal su rimaran;Ya ku pagapa’an su angin laut magerang;Panalukunan ku den munut sa bagu aig!
(Ada catatan yang bersifat dusta,Ada ramalan yang sangat nista;Aku hanya menunggu hembusan angin laut;Dan pasti ke sana bersama air pasang).
Akibat keengganan Kandalayang menerima nasihat dari menteri-menterinya, akhirnya mereka terperangkap, kalah tersungkur di tangan musuh mereka. Wal hal, Tanggiri sudah memperingatkan agar kitab panduan yang ada hendaklah dibaca untuk mengkaji dan mencari strategi untuk mereka bangkit semua.
Kisah Darangen a Kandalayang ini terdapat dalam “Inventori Budaya Etnik Negeri Sabah;Etnik Iranun terbitan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah tahun 2017. Ia salah satu warisan khazanah sastera lama yang boleh dijadikan bahan renungan dan panduan.


Sabtu, 12 Mei 2018

BEBERAPA NASIHAT TAI GONG KEPADA RAJA WEN

Tags
BEBERAPA NASIHAT TAI GONG KEPADA RAJA WEN

Ketika Raja Wen sakit tenat di tempat tidur, beliau memanggil Tai Gong dan Putera Mahkota Fa (Raja Wu dari Dinasti Zhou)  ke sisinya. Beliau memberitahu bahawa “langit tak lama lagi meninggalkan saya”  dan urusan negara Zhou akan segera diserahkan kepada Putera Mahkota. Raja Web meminta nasihat  Tai Gong mengenai beberapa perkara yang boleh beliau wariskan kepada generasi akan datang.
“Bolehkah saya mendengar mengenai orang-orang bijak yang terdahulu, bagaimana  mereka jatuh dan bagaimana mereka bangun?” tanya Raja Wen.
Apa jawaban Tai Gong?, seorang ahli strategi pada zaman Dinasti Zhou?
Katanya, “ jika seseorang melihat kebaikan tetapi lalai dalam melakukannya, jika kesempatan muncul tetapi dia tidak bertindak, jika anda mengetahui sesuatu yang salah tetapi tidak pernah menghukumnya, ini adalah tiga perkara yang menyebabkan kejatuhan orang-orang bijak.
“Jika seseorang lembut dan tenang ketika memperlakukan dirinya sendiri, mulia dan hormat ketika memperlakukan orang lain, tegas  namun ramah ketika menangani beberapa hal, bersikap toleransi dan tegas ketika muncul kesempatan , ini tiga prinsip yang menyebabkan orang-orang bijak bangkit. Kalau kebajikan mengalahkan sikap tamak,negara akan maju.Kalau sikap tamak mengalahkan kebajikan, negara akan mati, kewaspadaan mengalahkan kelalaian, itu baik bagi negara. Kelalaian mengalahkan kewaspadaan, negara akan hancur,” katanya seperti yang terkandung dalam buku Seni Perang China, Kumpulan karya Militer Klasik yang disusun oleh Yanuardi G Soebiono.
Bagaimana seharusnya penguasa mendengar permasalahan. Kata Tai Gong, dia tidak boleh menerima atau menolak pendapat secara sembarangan.  Menerima pendapat tanpa pertimbangan yang saksama membuat penguasa kelihatan tidak tegak. Menolak pendapat tanpa pertimbangan yang saksana akan menutup seluruh kemungkinan semua kesempatan menyampaikan pendapat. Penguasa harus seperti gunung tinggi,, jika diliat tingginya tidak boleh diukur, Penguasa harus seperti jurang yang sangat dalam, kedalamannya tidak boleh diukur. Kalau diberikan pencerahan, tenang dan adil, itu adalah puncaknya.
Tapi seperti apakah kebijaksanaan penguasa itu? Jawaban Tai Gong ialah nilai mata terletak pada kejelasan, nilai telinga terletak pada ketajaman, nilai fikiran terletak pada kearifan di dalam. Jika anda menggunakan mata dari mereka semua yang ada di bawah langit untuk melihat, tidak ada satupun yang tidak boleh anda lihat. Begitu juga jika anda menggunakan telinga dari mereka semua yang ada di bawah langit untuk mendengar, maka tidak ada satupun yang tidak boleh anda dengar. Jika anda menggunakan fikiran dari mereka semua yang ada di bawah langit untuk berfikir maka tidak ada perincian yang tidak boleh anda pertimbangkan.
Bagaimana caranya mencintai Rakyat?, tanya Raja Wen. Tai Gong menjawab,” perkaya mereka, jangan merugikan mereka, bantulah mereka menghasilkan produk, dan perkhidmatan, jangan menghancurkan mereka,lindungi hidup mereka, jangan musnahkan mereka, dana bantuan janganlah dikurangi, berilah mereka kebahagiaan, jangan ciptakan penderitaan.Janganlah buat sesuatu yang menyebabkan mereka marah, buatlah mereka bahagia.

Jumaat, 11 Mei 2018

SEKADAR MENGUTIP UNGKAPAN LAMA

Tags
SEKADAR MENGUTIP UNGKAPAN LAMA

Saya berkira-kira mahu menulis mengenai kempen pilihan raya umum ke-14. Malangnya saya belum dapat ayat yang paling tepat untuk intro, padahal tulisan itu perlu siap segera.
Kemudian saya terfikir, mungkin ada baiknya saya mengutip beberapa ungkapan tradisional Melayu Riau yang pernah dikumpulkan oleh pak Tenas Effendy. Boleh jadi ungkapan lama ini bermanfaat untuk difikir dan direnungkan, tidak semestinya ketika ketika berada dalam musim pesta demokrasi ini.
Saya mengutip ungkapan-ungkapan lama secara rambang, dan mungkin tidak punya korelasi antara satu dengan yang lain, tetapi saya yakin, dalam menghadapi musim celaru dan keliru dalam menentukan pilihan, ungkapan Melayu lama ini boleh membantu meringankan beban fikiran sambil kita duduk menikmati minuman sama ada di rumah atau di kedai kopi.
“Sedap limpah-limpahkan, pahit sorok-sorokkan”. Jika ada yang sedap, limpah-limpahkan lah kepada yang lain, jangan makan sendiri-sendiri. Sebaliknya jika ada yang pahit, sembunyikan dari orang lain. Misalnya jika ada aib seseorang, sorok-sorokkanlah dan tak perlu didedahkan hanya kerana ini musim pilihanraya.
Kata orang, kalau terbakar kayu, rumput tertumpang layu. Kalau terbakar tunggul, terbakarlah pula cendawan. Kalau terbakar batang, terbakarlah pula lumutnya. Kalau terbakar ladang, terbakarlah belalang.
Mungkin semua orang mampu memahami ungkapan lama ini. Kalau terbakar kayu, rumputpun akan layu.Kalau terbakar tunggul, cendawan yang tumbuh diatasnya akan turut terbakar.Sama juga dengan batang.Jika batang terbakar, pasti terbakarlah lumutnya. Kalau terbakar ladang, kita yang belalang-belalang ini akan ikut terbakar. Pastilah begitu kerana ia adalah sebahagian hukum alam.
Yang baik cepat-cepatkan. Yang buruk lambat-lambatkan. Yang sedikit pada-padakan, yang banyak lebih-lebihkan. Ungkapan yang sangat menarik. Buat baik berpada-pada, berbuat jahat jangan sekali, kalau makan berhingga-hingga, kalau hilang cari mencari.
Jangan kita kalah kira, oleh kira-kira. Sekali selera diturut, seumur hidup merana perut.
Sebaiknya cakaplah berhingga-hingga, kasih berkira-kira Jangan mati langkah, oleh tingkah, jangan kalah angan, oleh angan-angan. Tetapi yang jelas, orang yang banyak kira-kira, menjadi kura-kura. Tidak baik juga begitu. Berkira, memang patut, kalau sangat berkira-kira, kita pula yang jadi bantut. Berkira pada tempatnya, berkira-kira pada patutnya.
Sekadar ingatan kepada yang pembaca, moga ungkapan lama ini ada faedahnya. Padi pulut padi ketan, dari mulut menjadi syaitan.Padi mulut padi cerai, dari mulut orang bercerai, padi pulut padi tumbuk, dari mulut orang bertumbuk.Dari pulut keluar ketan, dari mulut keluar syaitan. Kerana itu, berhati-hatilah, jangan bicara sesedap rasa.Walaupun musim pilihanraya, etika dan kesopanan hendaklah dipelihara.

Utusan Borneo 9 Mei 2018

Khamis, 10 Mei 2018

SATU PETANG DI PENGLIPURAN,DESA TERBERSIH DI DUNIA

Tags

SATU PETANG DI PENGLIPURAN,DESA TERBERSIH DI DUNIA


Selepas meninggalkan pura Tirta Empul di Tampak Siring, Pak Bagas memberitahu destinasi kami yang seterusnya ialah Desa Penglipuran, sebuah desa yang pernah dinobatkan sebagai Desa Terbersih di Dunia.



Desa Penglipuran mendapat penghargaan dari Trip Advisor sebagai The Travellers Choice Destination 2016. Ia diiktiraf sebagai sebuah desa terbersih di dunia selain Desa Terapung Giethoorn di Wilayah Overijseel Belanda, dan Desa Mawlynnong di India. Bali sendiri diiktiraf sebagai pulau kedua terbaik di dunia selepas Kepulauan Galapagos di Ecuador.


Sebaik tiba di Desa Penglipuran itu, kita dapat merasai suasana desa yang mendamaikan. Desa Adat Penglipuran itu terletak di Kelurahan Kubu  Kabupaten Bangli, tidak jauh dari Kintamani atau Gunung Batur. Ia terketak kira-kira 45 kilometer dari Denpasar.
Masyarakat di desa itu pernah mendapat penghargaan Kalpataru, ia satu pengiktirafan kerana usaha penduduknya memelihara alam sekitar. Selain itu, penduduk yang sudah mendiami desa itu secara turun temurun masih mempertahankan adat budaya nenek moyang mereka. Bentuk bangunan rumah yang dibina itu masih mempertahankan bentuk tradisionalnya malah banyak rumah yang sudah berusia ratusan tahun dan masih kekal utuh sehingga kini.

Saya sempat singgah mewawancara seorang penduduk, Pak Nyoman namanya, yang mewarisi rumah dari keluarganya sejak turun temurun.
“Saya generasi yang ke-150,” katanya.Nenek moyangnya sudah menempati Desa Penglipuran sejak kira-kira 800 tahun lalu. Sambil duduk di tangga rumahnya beliau bercerita bahwa leluhurnya dulu berasal dari Desa Bayung Gede, Kintamani.


Menurut cerita leluhurnya, jumlah keluarga yang mula-mula  berpindah ke desa itu hanya 45 keluarga. Asalnya mereka adalah orang yang membantu Raja Bangli. Kerana sesuatu sebab, mereka berpindah kedesa Kubu Bayung, yang kini berganti nama menjadi Penglipuran, dari akronim kata pengeling dan pura yang bererti mengingat tempat leluhur.

Pak Nyoman memberitahu, biasanya anak lelaki pertama yang mewarisi rumah keluarga. Kenapa harus begitu? Kerana anak lelaki sulung juga yang mewarisi hutang orang tuanya. Semua yang tinggal di kampung itu memiliki kaitan keluarga .Desa adat itu sendiri sudah wujud turun temurun sejak abad ke-12 lagi.

Salah satu keunikan di desa itu ialah setiap rumah memiliki pintu gerbang yang disebut angkul-angkul. Ia hanya boleh muat satu orang dewasa. Kebanyakan dinding rumahnya masih bambu.Bentuk rumah kelihatan mirip walaupun tidak sama. Ukurannya pun sama. Pembahagian ruang juga sama antara bilik tidur dan dapur.


Penduduknya hampir seribu orang. Terdapat kira-kira 234 keluarga yang terbahagi kepada 76 perkarangan di kawasan seluas 112 hektar.

Saya sempat bertanya bagaimana masyarakat di desa itu mempertahankan kedudukannya sebagai desa terbersih.

“Setiap hari kami menyapu. Bangun pagi sebelum ngopi, kami ambil sapu dulu. Ia sudah menjadi menjadi kebiasaan kami. Dari dulu nenek moyang kami, suka bersih-bersih,” katanya. Beliau sendiri akan menyapu terlebih dahulu sebelum keluar bekerja. Kebanyakan penduduk di kampung itu bekerja sebagai petani, penternak selain dikenali sebagai penganyam anyaman bambu.

Pak Nyoman memberitahu, masyarakat di desa itu masih mempertahankan adat Bali. Mungkin itulah sebabnya desa itu menjadi salah satu tempat pilihan pelancong yang ingin melihat kebudayaan nenek moyang  masyarakat Bali yang masih belum begitu terusik oleh arus kemodenan.


Menurut cerita pak Nyoman, mulanya Desa Penglipuran hanyalah sebuah desa yang belum begitu terkenal.  Pada tahun 1990, mahasiswa Universitas Udayana mengadakan Kuliah Kerja Nyata atau Latihan Praktikal. Mereka membina taman-taman kecil dan menata alam sekitar. Selepas itu, ia dikunjungi oleh pengunjung-pengunjung hingga kemudian sesepuh, pemuda dan perwakilan dari pwmerintah daerah dan kota mengadakan mesyuarat untuk mengembangkan potensi pelancongan  di Desa Adat Pelipuran. Sehinggalah pada akhirnya,, tahun 1993 desa adat ini ditetapkan sebagai Desa Wisata Penglipuran dengan Surat Keputusan (SK) Bupati No.115 tanggal 29 April 1993.
Selepas berkunjung ke rumah Pak Nyoman, dan membeli kopi penglipuran, saya sempat berkunjung ke beberapa rumah penduduk yang lain. Kebanyakan mereka hidup dengan menjual produk kopi dan minuman cemceman, sejenis minuman dari ramuan tempatan yang berkhasiat.
Saya melihat tahap kebersihan di kampung itu memang sangat tinggi. Tidak hairanlah jika kampung itu mendapat pengiktirafan sebagai sebuah desa yang terbersih di dunia.